Ahad, 28 Mei 2017

KARANGAN PELAJAR 5 SAINS, KEKUATAN DAN KELEMAHAN SEMASA MENJAWAB SOALAN KERTAS 1 PPT 2017 DAN ULASAN

HASILAN KARANGAN PELAJAR 5 SAINS 
BERDASARKAN KEKUATAN DAN KELEMAHAN SEMASA MENJAWAB
SOALAN KARANGAN BERPANDU DAN KARANGAN UMUM
SEMASA PEPERIKSAAN PERTENGAHAN TAHUN 2017

     Sebelum saya merujuk kepada karangan pelajar 5 Sains semasa menjawab soalan 1 Peperiksaan Pertengahan Tahun 2017, eloklah saya paparkan contoh karangan saya bina, tetapi saya olah balik semula kerana bahan yang saya paparkan sebelum ini terpadam akbibat kesilapan saya semasa 'copy paste' bahan yang saya berkenaan daripada mikrosoft word ke dalam blog.
     

     PASTIKAN ANDA RUJUK KARANGAN DI BAWAH DENGAN
KARANGAN HASILAN PELAJAR SEMASA MENJAWAB PPT 2017       

         Jauh perjalanan, luas pemandangan, begitulah indah bahasa Melayu memperkatakan tentang kepentingan melancong dalam kalangan masyarakat. Dengan melancong dalam negara banyak kemaslahatannya kepada warga Malaysia kerana dengan melancong masyarakat akan memahami budaya, anutan agama masyarakat Malaysia yang bervariasi, seperti orang Melayu dengan agama Islamnya, Orang Cina dengan agama budhanya, orang India dengan agama hindunya dan begitu juga dengan etnik yang lain seperti baba dan nyonya, etnik masyarakat asli peribumi seperti Senoi,Jahai Jakun, Iban, dan sebagainya. Begitulah keunikan masyarakat majmuk Malaysia dan cara berpakaian, kepelbagaian masakan, bahasa, serta tempat tinggal yang unik, dan semuanya hanya terdapat di Malaysia. Seyogia, ukhwah masyarakat Malaysia akan utuh atau mampan kerana dengan memahami dan menghormati variasi budaya masyarakat majmuk dan sudah pasti setiap masyarakat akan memahami dan menghormati budaya dan anutan masyarakat majmuk yang lain. Bahkan juga, hasrat kerajaan untuk memastikan perpaduan kaum akan kekal selepas berlakunya peristiwa kekacauan kaum pada 13 Mei 1967 apabila hubungan antara kaum retak, situasi hubungan antara kaum pada ketika itu ibarat menyimbah minyak ke api. Selain itu, sikap sesetengah masyarakat lebih mengutamakan melancong ke luar negara perlu diubah dengan mengutamakan pelancongan domestik supaya memahami banyak keunikan melancong di dalam negara dan terelak daripada mengamalkan maksud peribahasa, kera di hutan di susukan, anak di rumah mati kelaparan. Tambahan lagi negara kita memiliki kawasan pelancongan kaya dengan pelbagai keindahan khazanah alam semula jadi seperti Taman Negara Mulu, Taman Negara Kinabalu, Melaka Bandar raya Bersejarah, dan Georgetown yang telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO. Apakah faedahnya melancong di dalam negara dalam kalangan masyarakat?


    Mari kita berbincang menggunakan pemikiran pelajar bertaraf dunia dengan mengulas isi pertama iaitu melancong di dalam negara dapat merapatkan ukhwah antara ahli keluarga. Seyogia, kita bersetuju kehidupan masyarakat milineum kini lebih mengutamakan kerjaya dan pendidikan dan menidakkan keharmonian keluarga mereka. Ibu bapa sekarang imtihanya lebih mengutamakan kerjaya sama ada untuk menyara kehidupan ahli keluarga, terutama akibat kebejatan ekonomi kini yang memberi impak kepada ekonomi mereka atau mereka lebih mengutamakan  kejayaan kerjaya terutama untuk kenaikan pangkat. Sementara, ibu bapa kini menyedari bahawa dengan pendidikan, anak-anak mereka pasti akan hidup sejahtera apabila dewasa nanti, bahkan juga akan dapat mengubah kehidupan keluarga sekiranya ibu bapa diselubungi dengan kemiskinan. Secara tidak langsung, sikap ibu bapa alaf ini seperti menghidupkan jam randik untuk mengaktifkan bom yang akan memusnahkan keharmonian hidup berkeluarga. Mereka berlumba-lumba menghantar anak-anak mereka ke pusat tuisyen, sudah tentunya hubungan ibu bapa dan anak-anak bertambah renggang kerana pada waktu paginya anak-anak mereka di sekolah dan pada waktu malamnya, anak-anak mereka berada di pusat tuisyen. Kehidupan masyarakat ini seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing kerana ibu bapa pada ketika ini mengabaikan usaha untuk mewujudkan suasana keluarga bahagia. Apabila dewasa, anak-anak diutamakan untuk mendapat pendidikan dan tinggal di asrama sama ada di sekolah berasrama penuh, di Maktab Amanah Rakyat, dan sebagainya, dan sekali lagi hubungan anak-anak akan renggang. Oleh sebab itu, dengan melancong ibu bapa akan dapat merapatkan ukwah mereka sekeluarga dengan melancong di dalam negara. Di samping itu dengan melancong ibu bapa dapat mendekati anak-anak serta mengambil tahu masalah anak-anak dan menyelesaikan masalah mereka sambil mereka menikmati panorama alam yang dianugerahkan oleh Tuhan. Konklusinya, jelas dengan melancong domestik merapatkan ukhwah antara ahli keluarga dan ibu bapa perlu mengaplikasinya demi keharmonian hidup berkeluarga.                  


    Seterusnya, mari kita berbicara menggunakan minda kelas pertama berkaitan isi kedua iaitu melancong secara domestik dapat meningkatkan ekonomi negara. Apabila kita melancong secara domestik, secara tidak langsung kita akan menambah peluang pekerjaan dan perniagaan kepada masyarakat. Misalnya, industri perhotelan, taman tema, restoran, program 'homestay' atau inap desa yang dijalankan oleh penduduk kampung dan pusat beli-belah yang sinonim dengan industri pelancongan akan  menawarkan banyak peluang pekerjaan dan perniagaan jika sektor ini berkembang. Pelbagai bidang kerjaya boleh dicipta daripada bahagian pengurusan hinggalah ke bahagian khidmat pelanggan apabila kita melancong di dalam negara. Buktinya, sektor pelancongan telah berjaya menjana pendapatan sebanyak RM40 bilion keluaran dalam negara kasar  (KDNK) pada tahun 2011. Izharnya, bagi menjamin sektor ini terus menyumbang kepada KDNK yang mampu meningkatkan kesejahteraan rakyat. Di samping itu, kebergantungan kita kepada kemasukan pelancong asing mendatangkan signifikan negatif kepada  kehidupan masyarakat  kerana ada sesetengah pelancong asing membawa bersama penyakit berjangkit seperti Tuberkulosis (tibi) atau batuk kering, selesema  (Influenza A H1N1 atau H5N1), malaria, HIV/AIDS, hepatitis, polio dan banyak lagi akibat daripada jangkitan bakteria, virus, parasit atau mikroorganisma lain. Bahkan juga, "Leptospirosis (kencing tikus) merupakan penyakit yang  jarang ditemui di negara kita tetapi kini semakin kerap dikesan sementara jangkitan virus Adeno pula seperti  mencatatkan  peningkatan  yang menakutkan dan juga berkemungkinan akibat kedatangan warga asing ke negara kita. Dari segi budaya pula, kedatangan pelancong asing merosakkan minda remaja dengan budaya masyarakat luar yang tidak menjaga adab berpakaian serta hubugan bebas antara lelaki dan perempuan. Selain itu, kedatangan pelancong asing juga boleh menjejas keselamatan global apabila kedatangan mereka ke negara kita bertujuan untuk menjalankan aktiviti jenayah seperti merompak atau aktiviti kongsi gelap. Kedatangan mereka ini ibarat madu diberi, tuba dibalas. Tuntasnya, pelancong tempatan memberikan impak yang besar kepada kemajuan industri pelancongan domestik dan sekurang-kurangnya dapat  mengelak kebergantungan negara kepada kedatangan pelancong asing.

  
                    Perbincangan seterusnya menjurus kepada isi ketiga iaitu melancong domestik dapat memupuk semangat cinta akan tanah air. Sebagai ibu bapa, mereka perlu mendedahkan kepada anak-anak mereka tempat-tempat bersejarah yang terdapat di negara kita, serta memperkenalkan pejuang-pejuang negara bangsa yang telah berusaha untuk mempertahankan negara daripada penjajah durjana, bak kata pepatah tak kenal, maka tak cinta, daripada mata turun ke hati. Ibu bapa yang prihatin tentang sejarah bangsa perlu membawa anak-anak ke monumen bersejarah terdapat di tanah air demi meningkatkan nilai patriotik dalam kalangan anak-anak mereka. Monumen bersejarah ini adalah tinggalan penjajah di tanah air seperti Kota A Famosa di Melaka merupakan kota yang dibina oleh penjajah Portugis, sementara Kota Belanda  dibina oleh Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC) untuk menyimpan bijih timah yang diperoleh dari negeri Perak. Peninggalan monumen sejarah ini membuktikan nafsu serakah penjajah lebih bertujuan untuk bertapak di negara berdaulat iaitu Tanah Melayu ketika itu khasnya untuk mengaut hasil khazanah negara seperti rempah ratusnya, dan bijih timah yang menjadi bahan bernilai ketika berlakunya peperangan dunia kedua dahulu tanpa mengutamakan kebajikan dan hak masyarakat untuk menikmati bersama limpahan khazanah negara.. Bahkan juga, Jepun meninggalkan kenangan pahit semasa penjajah Jepun menjajah Tanah Melayu, antara pengenalan duit pisang di Tanah Melayu. Selain itu juga, pihak British banyak meninggalkan kubu dianggarkan, terdapat 25 kubu kebal dari Kota Bharu hingga ke Bachok. Ibu bapa juga perlu memberi maklumat berkaitan pejuang bangsa seperti Dato’ Bahaman, Mat Kilau, Mat Salleh, Dato’ Maharaja Lela Pandak Lam,Abdul Rahman Limbong, Tok Gajah di galeri Muzium Negara Kuala Lumpur kerana demi menjaga maruah Tanah Melayu, pejuang bangsa ini sanggup menggadai nyawa mereka asalkan Tanah Melayu tidak dijajah. Bak kata peribahasa Melayu, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Tambahan pula demi kepentingan penjajah British mereka menggelar pejuang bangsa ini sebagai musuh negara, sedangkan hakikatnya bertentangan dengan keadaan sebenarnya. Konklusinya, jelas melancong secara domestik dapat memupuk semangat cinta akan tanah air.


                      Saya akan memfokus isi perbincangan selanjutnya dengan kata kunci pelancongan domestik dapat mengurang kos perbelanjaan masyarakat. Jika kita renungkan sejenak, kita akan mendapati bahawa apabila kita melancong dalam negara kita dapat menjimatkan kos. Realitinya, jika masyarakat berhajat untuk melancong ke luar negara, mereka memerlukan bajet yang besar untuk tambang pengangkutan, tempat penginapan, dan makan minum. Hal ini, akan lebih membebankan jika melibatkan kadar tukaran wang kerana kadang kala negara yang ingin kita lawati, kadar tukaran wangnya lebih tinggi daripada mata wang kita misalnya, Jepun, Korea, Singapura dan Britian. Tambahan pula ketika ekonomi negara dan dunia sedang merundum, dan diikuti pula kejatuhan nilai matawang ringgit negara kini, memberi kelebihan kepada aktiviti pelancongan domestik. Hal ini kerana apabila melancong dalam negara, masyarakat kebiasaannya diberikan potongan harga atau diskaun oleh pihak hotel atau pihak pengurusan taman tema terutama sepanjang usaha kerajaan untuk menggalakkan pelancong tempatan dengan Program Cuti-cuti Malaysia. Di samping itu, promosi kerajaan negeri tertentu yang berlomba-lomba memasukkan dalam kalender sebagai Tahun Melawat negeri berkenaan sebagai galakan pelancong dalam negara untuk melancong ke negeri berkenaan, ibarat bulan jatuh ke riba kepada pelancong tempatan. Tambahan pula dengan kerjasama kerajaan negeri dengan agensi pelancongan, tawaran dan potongan harga di beri kepada pelancong seperti diskaun untuk penginapan di hotel, pakej pelancongan yang lengkap dan murah melibatkan perkhidmatan melawat tempat-tempat menarik yang terdapat di dalam negeri tersebut. Malahan, masyarakat yang memilih untuk melancong tanpa menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan yang disediakan, boleh melancong dengan memandu kenderaan sendiri untuk bergerak dari suatu destinasi ke suatu destinasi dan sudah pasti bajet mereka dapat diminimumkan dan mereka boleh memilih sendiri destinasi pelancongan menarik yang mereka ingini. Konklusinya, jika hendak  melancong ukurlah baju di badan sendiri kerana jika kita melancong dalam negara, kita tidak perlu berbelanja besar dan  mengelakkan pembaziran kerana membazir adalah amalan syaitan.

                 Kesimpulannya, sudah terang lagi bersuluh aktiviti pelancongan domestik banyak faedahnya. Antaranya seperti dibincangkan di atas melancong dalam negara dapat merapatkan ukhwah antara ahli keluarga, melancong secara domestik dapat meningkatkan ekonomi negara, melancong domestik dapat memupuk semangat cinta akan tanah air dan pelancongan domestik dapat mengurang kos perbelanjaan masyarakat. Oleh sebab itu, setiap masyarakat perlu menggunakan neraca timbangan masing-masing sebelum membuat keputusan sama ada untuk melancong dalam negara atau melancong luar negara. Jika pemikiran masyarakat didasarkan atas semangat patriotik iaitu menjurus kepada sayang akan negara, sudah pasti pelancongan domestik menjadi pilihan kerana masih banyak tempat-tempat menarik yang boleh dilawati. Oleh sebab banyak kemashalatan melancong dalam negara, masyarakat diseru mengutamakan melancong di tempat sendiri berdasarkan pelbagai kelebihannya . Bak kata peribahasa Melayu, hujan emas di negara orang,lebih baik hujan batu di negara sendiri. Maksudnya walaupun negara orang makmur dan majunya negeri orang tetapi keselesaannya lebih baik di negara sendiri.


Saya maklum, untuk menghasilkan karangan seperti di atas adalah sukar tetapi tidak mustahil untuk dihasilkan oleh pelajar dengan syarat  pembacaan perlu luas  diikuti dengan latihan yang berterusan serta keazaman yang tinggi untuk menghasilkan karangan bertaraf A+. Mungkin juga pelajar sukar untuk menulis karangan begitu panjang, tetapi sekiranya unsur kematangan diambil tahu atau diambil berat, sudah pasti karangan yang anda hasilkan akan ke arah karangan cemerlang atas. InsyaAllah. Seterusnya, beruntunglah kepada pelajar yang mempunyai aplikasi internet, kerana maklumat di hujung jari. Oleh sebab itu, saya mohon dalam kalangan pelajar diberi Allah kemudahan teknologi maklumat berkenaan, kongsi-kongsilah maklumat di atas dan sebarlah kepada rakan-rakan yang hauskan maklumat.  Ingat, sekiranya kita berkongsi maklumat walaupun sebesar zarah atom, Allah akan membalas usaha orang-orang yang membantu rakan-rakannya dengan memberi gandaan ilmu. Tambahab sepanjang Bulan Ramadhan InsyaAllah.




SAYA SENARAIKAN CONTOH KARANGAN CEMERLANG 
PELAJAR 5 SAINS SMK SERI LONDANG DAN ULASANNYA
PADA MALAM NANTI KERANA SAYA NAK BALIK KAMPUNG MOREI

KARANGAN PERTAMA ( CEMERLANG BAWAH)


     Ulasan guru berkenaan karangan di atas.

     Bahagian Pengenalan:
     Untuk menghasilkan karangan yang lebih menarik, ayat rangsangan demi rangsangan perlu diambil berat semasa menghuraikannya dengan kematangan serta memasukkan peribahasa berkaitan untuk menunjukkan kematangan pelajar dalam memulakan karangan. Selain itu, penguasaan fakta perlu ada terutama untuk mengambarkan kepada pemeriksa seperti kepelbagaian budaya masyarakat majmuk seperti agama, budaya berpakaian, bahasa, tempat tinggal dan kenapa kerajaan mengutamakan melancong dalam negara, terutama untuk mewujudkan masyarakat yang menghormati kaum yang lain dan mengelak daripada permusuhan antara kaum. Selain itu, fakta berkaitan geografi dan keunikannya tempat-tempat menarik di Malaysia juga perlu di paparkan dan semua akan pelajar peroleh dengan pembacaan luas.Kemudian kemahiran menulis ayat arahan. Cara penulisan karangan ini beradasarkan peribahasa. terdapat banyak kaedah penulisan karangan yang anda boleh bina. Rujuk cara menulis pengenalan karangan.

     Ulasan Bahagian perenggan isi:-

Bahahgian isi melancong domestik dapat merapatkan uhkwah antara ahli keluarga. Pelajar perlu bijak mengambarkan suasana keluarga alaf atau milineum kini....sibuk dengan kerjaya dan mengutamakan pendidikan anak-anak. Akibatnya....hubungan ahli keluarga diabaikan jelaskan sejelas-jelasnya situasi berkenaan, kenapa berlaku...dan pentingnya ibu bapa membawa anak-anak melancong. Di saat ini kepentingan pelajar mahir mengaplikasi kaedah deduktif untuk menghasilkan  ayat judul atau isi, ayat huraian( kepelbagaian huraian), ayat contoh, dan ayat penegas. Untuk mengindahkan bahasa, pelajar perlu bijak memilih istilah menarik (IM) dan menyelitkan Frasa Menarik (IM).

Bahagian isi berkaitan pelancongan domestik meningkatkan pendapatan negara dan mengurangkan kebergantungan kepada kehadiran pelancong asing yang adakalanya memberi impak negatif kepada masyarakat terutama berkaitan kesihatan iaitu membawa penyakit berjangkit, dan juga mebawa budaya negatif kepada remaja. Bahkan juga kedatangan mereka juga membawa risiko kepada keselamatan. Selain itu pelajar miskin data penulisan terutama statistik berkaitan ekonomi imtihanya berkaitan maklumat Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau pendapatan negara berkaitan pelancongan, dan jika adalah lebih baik perbandingan pendapatan negara, berdasarkan aktiviti pelancongan mendatangkan dana negara ke berapa......berbanding aktiviti perindutrian, pertanian, dan sebagainya.......semua bergantung kepada pembacaan luas. Senang sahaja, taip di google....semua maklumat boleh diperoleh......jadilah pelajar yang pintar menggunakan teknologi maklumat terkini.

Bahagian isi berkaitan pelancongan domestik dapat meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan ahli keluarga. Berdasarkan dapatan saya penyampaian isi pelajar hambar kerana tiada maklumat diberi berkaitan pejuang bangsa, dan monumen bersejarah yang boleh membangkitkan semangat patriotik dan jelas kenapa semangat patriotik boleh mengalir di minda ahli keluraga dan bagaimana untuk menanam semangat berkenaan dalam kalangan ahli keluarga. Agak malang apabila pelajar tidak mengaitkan sumber maklumat berkaitan kajian sejarah, kenapa tidak digunakan. Fikir-fikirkanlah Di sini pentingnya erti kematangan semasa menghasilkan karangan bermutu tingggi mengaitkan mata pelajaran sejarah dalam penulisan.

Bahagian isi berkaitan pelancongan dosmetik mengurangkan perbelanjaan, pelajar perlu mengetahui secara lebih luas dengan situasi ekonomi negara, terutama keadaan ekonomi semasa negara dan dunia kini dalam keadaan merundum seperti masalah kejatuhan ringgit sekarang memberi impak negatif untuk aktiviti pelancongan terutama keluar negara. Di samping itu, pelajar boleh mengaitkan promosi Cuti-Cuti Malaysia dan Promosi Kerajaan negeri tertentu yang memasukkan ke dalam kalender Tahun Melawat Negeri berkenaan dan kaitkan hubungan kerajaan negeri dengan agensi pelacongan- memberi diskaun sepanjang promosi tahun malawat negeri berkenaan dan begitu juga dengan pakej yang ditawarkan sepanjang promosi berlangsung. Untuk mendapatkan maklumat, seperti saya nyatakan di atas cari sahaja di aplikasi google semua data boleh diperoleh.

Perenggan penutup perlu mantap.

Perlu penegasan dan ayat harapan, dan ayat konklusi. Ayat harapan dengan mengulang semula isi-isi yang dibincangkan. Jelaskan lebih lanjut ayat harapan dengan memberi sedikit penjelasan kenapa pentingnya pelancongan domestik kepada rakyat dan negara, Harapan anda terhadap kementerian dan agensi pelancongan terhadap usaha menggalakkan pelancongan domestik. Kemudian buatlah kesimpulan berkenaan tajuk karangan.

 

KARANGAN KEDUA ( KEPUJIAN)




 Ulasan berkaitan karangan di atas, lebih kurang dengan karangan yang pertama, iaitu daripada segi kematangan menghasilkan karangan, karangan kurang fakta yang mantap untuk menggarap dan meluaskan huraian, serta kekurangan istilah dan frasa menarik.


    Saya memohon kepada pelayar internet, memberi komen terhadap setiap bahan yang saya hasilkan sebagai usaha untuk penambahbaikan kerana mungkin ada bahagian yang boleh diperbaiki . Oleh sebab itu saya mengalu-alukan komenatau ulasan tuan puan, atau kalangan pelajar untuk saya memperkasakan blog ini. Sekian terima kasih.

Tiada ulasan: