Isnin, 15 Mei 2017

KARANGAN ATAS PERKONGSIAN BAHAN DARIPADA SUMBER 98arifeducation.blogspot.my

PERANAN IBU BAPA MENJADIKAN ANAK-ANAK INSAN YANG BAIK
Anak ibarat kain putih , ibu bapalah yang insan yang bertanggungjawab mencorakkannya. Jika merah, merahlah ia, jika biru, birulah ia. Corak yang dihasilkan itu bakal menentukan siapakah anak-anak pada masa hadapan, Ibu bapa sentiasa mengharapkan dan mendambakan anak-anak mereka menjadi insan yang berguna serta berbakti terhadap orang tua. Demi mencapai keinginan tersebut ibu bapa sanggup melakukan apa sahaja bagi memastikan hasrat hati mereka itu terlaksana dengan jayanya. Mereka tega menghabiskan masa dan tenaga bahkan wang ringgit demi melihat anak-anak mereka berjaya. Kebanyakan ibu bapa menyayangi anak mereka dengan setelusnya, umpama menatang minyak yang penuh. Namun, dengan mencurhkan kasih sayang semata-mata tidak mungkin akan dapat menjadikan anak-anak seorang insan yang berbakti, justeru usaha-usaha lain harus ditimbal balik dan diambil kira.       

Memetik kata-kata pakar motivasi terkenal Malaysia Dr. H.M Tuah Iskandar “seribu mancis tidak dapat menerangi engkau dalam kegegalapan namun, cahaya keimanan pasti dapat menyuluh engkau ke jalan kebahagiaan”. Oleh hal yang demikian, langkah awal wajar diambil oleh ibu bapa untuk meralisasikan hasrat murni itu iaitu dengan cara menerapkan dan memberikan didikan agama yang sempurna. Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud; “ suruh dan perintahlah anak-anakmu mendirikan solat sedari umurnya tujuh tahun”. Solat merupakan perkara terpenting yang perlu dipantau oleh ibu bapa. Solat dapat mendidik anak-anak untuk sentiasa melakukan perkara baik dan menjauhi perkara mungkar. Apabila anak-anak telah diterapkan dengan nilai-nilai murni seperti menghormati oarng tua dan berbudi pekerti luhur, sudah pasti segala apa yang diangan-angankan oleh ibu bapa akan menjadi realiti. Insan yang berguna ialah insan yang tahu nilai diri dan estetika. Jadi apabila benteng pertahanan diri mereka sudah cukup teguh, segala apa yang dirancang pasti menjadi nyata.       


Seterusnya usaha yang wajar dilakukan oleh ibu bapa untuk memastikan harapan melihat anak-anak mereka berjaya itu tercapai adalah dengan bermain “tarik tali’ dengan anak-anak. Dalam usaha mendidik anak-anak ibu bapa perlu mengamalkan toleransi, perasaan kasih sayang dan bertegas dalam bicara perlu menjadi tunjang utama. Ibu bapa tidak perlu memanjakan anak-anak sehingga mereka merasakan bahawa diri seperti anak emas dalam keluarga, ibu bapa boleh menuruti rengekkan dan permintaan anak-anak. Namun, mereka harus berpada-pada, Sedikit penegasan perlu diberikan. Hal ini bertujuan mengelakkan anak-anak menjadi manja dan besar kepala. Menghukum apabila anak-anak melakukan kesalahan tidak bererti ibu bapa membanci, tetapi hal ini merupakan tanda ibu bapa menyayangianak-anak. Apabila perasaan kasih sayang dan bertegas sudah menjadi sama rata, maka tidak akan wujud sebarang kekangan. Anak-anak akan sentiasa mengawal tingkah laku dan peradaban mereka. Malah, mereka pasti akan melakukan yang terbaik demi membahagiakan diri sendiri dan ibu bapa yang tercinta. “Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Perpeganglah kepada peribahasa tersebut, nescaya kesudahan yang baik akan menjadi milik kita.       


“Lampu Alladdin tidak akan bersinar dengan sendiri tetapi Alladdin akan mengosoknya terlebih dahulu”. Begitulah kata-kata azimat yang ditinta oleh Alex Osborn. Hasrat ibu bapa untuk menyaksikan anak-anak mereka menjadi insan yang berguna tidak akan berhasil jika ibu bapa sahaja yang bertungkus lumus menggembleng tenaga. Dalam konteks ini, ibu bapa perlu memberi sedikit penekanan terhadap kepentingn pendidikan dalan sanubari anak-anak. Ibu bapa perlu mengasuh anak-anak untuk memahami dan mendalami ilmu. Anak-anak pula perlulah berusaha untuk mencapai keinginan tersebut. Anak-anak umpama jentera yang memerlukan minyak pelincir bagi menlancarkan pergerakannya. Apabila minyak pelincir sudah dituang, maka akan lencarlah pergerakannya. Sehubungan dengan itu, kedua-dua belah pihak perlu melaksanakan tanggungjawab masing-masnig bagi memastikan kelangsungan perjalanan hidup mereka.       


Tun Dr Mahathir pernah berkata, “banyak masalah di dunia ini berpunca daripada sikap manusia yang tidak pernah berusaha memahami antara satu sama lain dan berbincang untuk melepaskan diri daripada sebarang musibah”. Oleh yang demikian langkah drastik yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka menjadi insan yang berguna ialah dengan menyelami hati dan keinginan anak-anak. “Umpama menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus tepung tidak berselerak”, ibu bapa perlu sebaik-baiknya mengetahui rasa hati anak-anak. Cara sebegini akan dapat menghindari anak-anak daripada berasa tertekan. Tertekan dalam konteks ini bermaksud bahawa anak-anak akan berasa dalam dilema sama ada menurut kemahuan diri dan menghancurkan harapan ibu bapa atau menurut kemahuan ibu bapa dan merobek hati sendiri. Kebanyakan ibu bapa mengharapkan anak-anak berusaha untuk mencapai mimpi mereka tanpa memikirkan kemampuan sebenar anak-anak. Anak-anak akan memberontak akibat desakan yang bertubi-tubi daripada ibu bapa. Nah, apabila situasi ini berlaku, lain yang diharap lain yang menjadi, bak kata pepatah, yang dikejar tidak dapat yang diikendong berciciran. Oleh itu, ibu bapa perlu memikirkan sedalam-dalamnya atas segala tindakan yang akan diambil. Setiap insan memiliki paradigma dan pandangan yang berbeza dalam menentukan hala tuju hidup mereka. Dato Dr Fadzillah Kamsah, ada menyebut “usah direnung ke langit hingga terlupakan bumi, sedangkan langit tidak mungkin digapai, sedangkan bumi sedia di tapak kaki”.       


Selanjutnya ibu bapa haruslah memberikan sedikit ruang kepada anak-anak untuk melakukan apa-apa yang mereka hajati, asalkan tidak menyipang dan tersasar jauh ke lembah kehancuran. Dalam memastkan anak-anak berhsil menjadi insan yang berguna, ibu bapa tidak boleh terlalu mengongkong anak-anak. Tiada paksaan dalam menuntut ilmu. Jika anak-anak tidak mampu meneruskannya, ibu bapa tidak boleh terus memaksa. Sebaliknya dorongan dan kata-kata semangat perlu diberi untuk menaikkan semula semangat membara anak-anak. Ahli Falsafah Pascal mengungkapkan “kalau kita berusaha mencapai keinginan, mulakan dengan kata-kata yang lembut kerana kata-kata yang lembut umpama air yang menyirami tanah yang tandus”. Desakan dan paksaan akan menjatuhkan anak-anak. Sebaliknya dorongan dan nasihat akan mendorong anak-anak untuk berjaya kerana “anak umpama bunga-bunga yang tumbuh di taman, yang menjadi tanah dan baja ialah ibu bapa”. Justeru mulakan dengan kelembutan dalam memastikan kejayaan menjadi hak hakiki dan azali anak-anak.       


Intihanya, sudah terang lagi bersuluh, usaha untuk memastikan anak-anak mereka supaya menjadi insan berguna bukanlah mudah. Professor Beetcher pernah berkata, “anak-anak ibarat simen basah, sesiapa yang jatuh ke atasnya pasti memberi kesan”. Justeru, ibu bapa perlu berhati-hati mengambil sebarang tindakan dalam usaha melahirkan model insan yang cemerlang. Usaha yang sewajarnya perlu diambil dan segala emosi yang membungkam jauh dalam sanubari perlu ditolak ke tepi. Kepentingan setiap individu perlu diambil kira dan dipertimbangkan. Akhir kalam, pendayong sudah di tangan, perahu sudah di air, segala tindakan wajar sudah terpampang hanya yang tinggal adalah usaha untuk melaksanakannya. Jauhkan emosi untuk meningkatkan prestasi.

SETIAP AHLI KELUARGA MEMAINKAN PERANAN PENTING KE ARAH MELAHIRKAN GAYA HIDUP SIHAT.  
JELASKAN PERANAN IBU BAPA DALAM USAHA MEMUPUK AMALAN GAYA HIDUP SIHAT.
     Amalan gaya hidup sihat adalah cara hidup yang boleh mengurangkan pelbagai risiko penyakit pada masa hadapan. Namun demikian, ribuan rakyat Malaysia mempunyai berat badan berlebihan, tidak aktif dan terlalu banyak menghisap rokok. Ribuan rakyat Malaysia mengamalkan cara hidup yang tidak sihat sejak kecil lagi seperti menggemari makanan yang mengandungi kolesterol, tidak melakukan senaman dan makan secara berlebihan. Oleh itu, untuk mengurangkan risiko obesiti serta penyakit berbahaya seperti sakit jantung, darah tinggi, kencing manis dan sebagainya, rakyat Malaysia perlulah mengamalkan gaya hidup sihat. Secara umumnya, tanggungjawab ini sudah semestinya jatuh pada bahu ibu bapa yang melahirkan anak-anak serta menjaga mereka sejak kecil lagi. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dan keluarga untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak mereka?
     Sudah terang lagi bersuluh peri pentingnya peranan ibu bapa dalam memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak. Peranan utama ibu bapa dalam memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak mereka adalah dengan memastikan anak-anak mengamalkan pemakanan yang seimbang. Pemakanan yang seimbang bermaksud pemakanan yang mengandungi ketujuh-tujuh kelas makanan dalam kadar yang bersesuaian iaitu karbohidrat, protein, vitamin, mineral, lemak, air serta serat. Ibu bapa perlulah sentiasa menghidangkan makanan yang berzat serta bernutrien kepada anak-anak. Selain itu, ibu bapa juga digalakkan untuk makan di rumah kerana makanan di luar, khususnya gerai-gerai makanan di sepanjang jalan yang makanannya biasa digoreng dengan penuh minyak. Jika tabiat yang baik ditanam dalam diri anak-anak, sudah pasti anak-anak akan tahu menjaga pemakanan mereka apabila dewasa kelak. Ibu bapa juga perlu mengurangkan pengambilan minuman berkarbonat oleh anak-anak kerana minuman sebegini tidak memberikan apa-apa kebaikan dan mengandungi kandungan gula yang berlebihan. Anak-anak perlulah diajar untuk minum air kosong atau jus buah-buahan yang asli. Jelasnya, ibu bapa perlulah memastikan anak-anak mengamalkan pemakanan seimbang dalam memupuk amalan gaya hidup sihat.
Selain itu, ibu bapa juga boleh melakukan aktiviti bersenam dan beriadah bersama anak-anak. Perbuatan ini bukan sahaja akan menyihatkan badan, malah hubungan antara ibu bapa dengan anak-anak akan menjadi lebih erat. Aktiviti bersenam mampu mengekalkan gaya hidup sihat kerana peluh-peluh yang keluar sewaktu melakukan senaman akan keluar bersama-sama toksin badan. Kesannya, anak-anak mampu membina tahap imunisasi yang tinggi terhadap serangan penyakit. Aktiviti senaman perlulah dilakukan sekurang-kurangnya 20 minit sehari dan tiga kali seminggu.  Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah senamrobik, berjoging, berbasikal, berenang serta mendaki bukit. Disebabkan ramai golongan ibu bapa yang bekerja, senaman ini boleh dilakukan pada awal pagi ataupun pada waktu petang selepas ibu bapa pulang dari kerja. Apabila seseorang itu bersenam dan beriadah, mereka dapat meningkatkan kesihatan diri dari aspek fizikal dan mental bak kata pepatah, badan cergas otak cerdas. Tegasnya, ibu bapa perlulah melakukan aktiviti senaman dan riadah bersama anak-anak supaya amalan gaya hidup sihat dapat dipupuk.
     Di samping itu, ibu bapa juga perlulah membawa anak-anak membuat pemeriksaan kesihatan secara berkala untuk memupuk amalan gaya hidup sihat. Ibu bapa digalakkan untuk membawa anak-anak menjalani pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya enam bulan sekali ataupun dua kali setahun. Pemeriksaan kesihatan adalah penting kerana mampu mengesan sesuatu penyakit ketika masih di peringkat awal dan memudahkan pesakit menjalani rawatan dengan teknologi moden kini. Bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati. Dengan ini, ibu bapa dapat mengenali tubuh badan anak-anak mereka dengan lebih baik dan mampu menentukan pilihan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Jika ibu bapa mendapati anak-anak mereka tidak sihat, ibu bapa perlulah segala membawa mereka berjumpa dengan doktor  untuk mendapat ubat serta pengesahan tentang penyakit yang dihidapi. Bukan itu sahaja, ibu bapa perlulah memastikan anak-anak mematuhi nasihat doktor dan mengambil ubat pada masa yang ditetapkan. Jelasnya, pemeriksaan kesihatan secara berkala oleh anak-anak akan memupuk amalan gaya hidup sihat.
     Ibu bapa juga perlu mengajar dan melatih anak-anak mereka  mengutamakan kebersihan diri pada setiap masa bagi memastikan mereka terhindar daripada sebarang penyakit. Keperluan asas seperti menggosok gigi, mandi, berpakaian bersih, waktu tidur dan rehat yang cukup juga perlu dijadikan amalan hidup seharian. Bagi mengelakkan jangkitan kuman atau penyakit, mereka juga perlulah mengamalkan budaya mendisiplinkan diri dengan asas-asas kebersihan seperti mencuci tangan dengan bersih sebelum makan, menutup makanan dengan baik agar tidak dihinggapi  lalat mahupun memilih gerai atau tempat makan yang bersih semasa menjamu selera. Sikap sambil lewa ibu bapa dalam menitik beratkan aspek berkenaan mungkin boleh membawa padah. Justeru, amalan sebegini harus dilentur sejak dari rebung dalam diri anak-anak  agar dapat membentuk gaya hidup yang sihat apabila mereka dewasa kelak.
     Pada masa yang sama,  selain mengutamakan kesihatan diri dan makanan, ibu bapa  juga seyogia mendidik  ahli keluarga mereka agar menjaga kebersihan persekitaran mereka. Persekitaran yang bersih perlu dijadikan amalan dan gaya hidup agar kita terhindar daripada sebarang penyakit. Umpamanya, ibu bapa menggalakkan anak-anak mengadakan gotong-royong di rumah setiap hujung minggu untuk membersihkan kawasan rumah bersama ahli keluarga. Ibu bapa juga boleh membawa anak-anak menyertai kegiatan gotong royong di taman perumahan dengan membersihkan sampah-sarap atau memastikan kawasan persekitaran mereka sentiasa bersih. Amalan seperti ini dapat mengelakkan pembiakan agen-agen pembawa penyakit seperti nyamuk, lipas, lalat dan sebagainya. Tempat-tempat pembiakan nyamuk di dalam atau di luar rumah seperti pelapik pasu bunga ataupun tempat takungan air mestilah kerap dibersihkan ataupun ditukar. Dengan cara demikian, ibu bapa dapat melatih gaya hidup yang positif dalam diri anak-anak mereka  sekali gus akan dapat menjauhkan diri mereka daripada pelbagai penyakit.
     Gaya hidup yang sihat juga melibatkan aspek psikologi dan sosial seseorang itu. Mereka yang lebih terbuka dan bersedia untuk berkongsi masalah dengan orang lain didapati lebih bermakna kehidupannya berbanding dengan individu yang suka bersendirian atau menyimpan masalah mereka. Sikap berkawan dan menghabiskan masa bersama-sama mereka menjadikan keperluan psikologi manusia dipenuhi dengan efektif. Ibu bapa digalakkan menjalin hubungan komunikasi yang mesra bersama-sama anak-anak  atau jiran tetangga. Hubungan baik yang berkekalan biasanya dapat melahirkan satu bentuk kehidupan yang ceria dan menggembirakan. Sesungguhnya, aspek psikologi dan sosial manusia perlu dipenuhi bagi memperoleh gaya hidup yang sihat ini Peranan ibu bapa  mengamalkan cara  berkomunikasi berkesan dengan ahli keluarga, rakan-rakan dan jiran tetangga serta  mengamalkan ibadat mengikut agama masing-masing akan memberi impak psikologi yang positif.
     Pada masa yang sama memiliki sikap atau mentaliti positif penting untuk menangani tekanan kehidupan dalam era moden ini. Pemikiran yang positif menjadikan seseorang itu mampu menyelesaikan pelbagai kemelut yang melanda kehidupannya dengan baik tanpa tertekan. Kehidupan zaman moden yang penuh cabaran terutama tekanan di pejabat, kekangan di tempat kerja memerlukan satu persepsi positif daripada ahli masyarakat kita. Para ibu bapa perlu bijak menghadapi tekanan hidup, mereka mungkin boleh mendapatkan bantuan daripada pakar motivasi ataupun rakan-rakan di sekeliling mereka. Hal ini perlu kerana tekanan yang dialami boleh menjuruskan ibu bapa  pada perlakuan negatif seperti mendera, menagih dadah atau melakukan sesuatu perkara di luar jangkaan. Jadi, semakin positif minda ibu bapa  itu maka semakin tinggilah gaya hidup sihat yang mampu dicapai oleh dirinya dan keluarga  kelak. Penguasaan diri yang baik dan pesanan yang sering merangsang anak-anak ke arah positif menangani cabaran merupakan asuhan yang amat dicontohi oleh anak-anak sehingga mereka dewasa.
     Tambahan pula, untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam anak-anak, ibu bapa perlulah membawa mereka menziarahi orang sakit sama ada saudara-mara, jiran tetangga ataupun rakan-rakan. Hari ini kita sihat, tetapi bagaimana pula dengan hari esok? Jika ibu bapa sering melawat orang yang sedang sakit, nescaya anak-anak mereka juga akan berbuat demikian kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Anak-anak tidak seharusnya merasakan bahawa perbuatan sebegini hanya membuang masa dan merugikan diri kerana perkara ini adalah sesuatu amalan yang mulia. Apabila kita menziarahi orang yang sakit, secara tidak langsung kehadiran kita dapat melahirkan perasaan gembira kepada pesakit dan memberi kekuatan kepada diri pesakit  itu untuk melawan kesakitan yang ditanggung. Perbuatan menziarahi orang yang sakit akan sedikit sebanyak melahirkan rasa simpati terhadap nasib orang lain dan pada masa yang sama anak-anak akan bersyukur atas kurniaan sebuah badan yang sihat. Kehadiran kita menunjukkan bahawa kita, khususnya anak-anak, mengambil berat tentang diri pesakit dan dapat mengurangkan perasaan sedih pesakit walaupun pepatah menyatakan bahawa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Tegasnya, amalan menziarahi orang yang sakit oleh ibu bapa dan anak-anak mampu menanamkan amalan gaya hidup yang sihat.
     Akhir sekali, bagi menjalani amalan gaya hidup sihat, ibu bapa perlu memastikan agar anak-anak mendapat rehat dan tidur yang secukupnya. Tubuh badan anak-anak juga perlu direhatkan dengan kadar yang diperlukan untuk mengecas semula organ-organ dalam badan mereka. Bagi anak-anak yang telah mencapai usia remaja, mereka memerlukan sekurang-kurangnya lapan jam sehari untuk tidur dengan selesa. Namun, ramai anak-anak muda pada masa ini yang lebih suka tidur selepas tengah malam walaupun keesokan merupakan hari persekolahan. Kesannya, mereka tidak akan berasa cergas dan badan akan lesu dan tidak bermaya. Malahan, pelajaran anak-anak juga diganggu dan lama-kelamaan prestasi mereka dalam peperiksaan semakin merosot. Salah satu langkah yang boleh diambil oleh ibu bapa adalah menetapkan satu masa yang spesifik untuk anak-anak masuk tidur dan mestilah dipatuhi dengan sepenuhnya. Tegasnya, untuk memupuk amalan gaya hidup sihat, ibu bapa perlu memastikan anak-anak mendapat rehat yang secukupnya.
     Jika mendaki menuju ke puncaknya, jika berbicara menuju ke noktahnya. Kemelut yang bersangkut isu peranan ibu bapa telah dikupas dengan mendalam. Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang besar untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak. Amalan ini adalah penting untuk dilaksanakan agar kesihatan rakyat dalam negara ini sentiasa dalam keadaan yang baik. Oleh itu, langkah-langkah di atas perlulah diamalkan oleh anak-anak yang menjadi pemimpin generasi akan datang bak kata pepatah pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Semua rakyat Malaysia haruslah mengamalkan gaya hidup sihat supaya penyakit seperti kencing manis, obesiti, darah tinggi, sakit jantung dan sebagainya dapat dikurangkan dalam jangka masa yang panjang ini. Dengan kata lain, segala kelemahan perlu ditangani sebelum padi di sawah menjadi lalang, sebelum ayam di reban disambar helang. Jelasnya, jika hal-hal yang dinyatakan di atas itu kita laksanakan, sudah pasti kita memiliki ciri-ciri manusia yang sihat bak kata pepatah hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.





PERANAN SAYA DALAM MEMANFAATKAN FAEDAH LAMAN SOSIAL.
       
                  
Pada era perindustrian yang serba mencabar akal dan minda kita, isu berkaitan laman sosial sering dipolemikkan di warung-warung kopi mahupun di parlimen. Laman sosial menjadi wahana penting dalam kehidupan seharian mereka memandangkan masyarakat yang tua mahupun yang muda tertarik dengan laman sesawang ini.  Perumpamaan hubungan manusia dengan laman sosial bagaikan lagu dan irama yang tidak dapat dipisahkan.  Begitulah sebahagian lirik lagu yang pernah dipopularkan oleh  P. Ramlee suatu ketika dahulu.  Tambahan pula, dalam dunia yang dilingkari sains dan teknologi, laman sosial makin menjadi kegilaan masyarakat kini terutamanya remaja sehingga sanggup menghabiskan masa berjam-jam di depan komputer semata-mata untuk melayari laman sosial. Antara laman sosial yang sering menjadi pilihan pengguna di internet ialah ’Facebook’ , ’Wechat’ , ’Line’ , ’Instagram’ dan sebagainya. Manakala laman sosial ’Facebook’ merupakan laman sosial yang mendapat tempat di hati masyarakat kini. Statistik yang sahih menunjukkan bahawa terdapat 1.5 juta orang yang melayari ’Facebook’ dalam sehari. Oleh hal yang demikian, peranan saya dalam memastikan laman sosial memberikan pelbagai faedah kepada saya yang menjadi fokus perbincangan saya pada hari ini akan dihuraikan dan dikupaskan secara terperinci demi kebaikan kita bersama.
                   Sebagai pembuka mukadimah pembicara, saya ingin melontarkan peranan saya dalam memastikan laman sosial tersebut memberikan pelbagai faedah kepada saya. Namun begitu, apakah yang hendak saya lakukan untuk memastikan saya memperoleh kebaikan bukannya keburukan semasa melayari laman sosial?  Dalam meninjau ranjau dunia yang serba rencam ini, pelbagai jenayah sosial telah meningkat dari hari ke hari akibat ketiadaan kawalan di laman sosial di samping dek iman yang tidak mantap. Oleh hal yang demikian, saya memanfaatkan laman sosial ini dengan mencari bahan-bahan bacaan yang saya perlukan sahaja. Memang tidak dapat dinafikan bahawa laman sosial merupakan sumber hebahan yang terkini dan tercepat.  Melalui laman sosial, saya dapat mengetahui perkembangan dari luar negara dan perkembangan isu-isu mutakhir yang menjadi tajuk utama akhbar harian di negara kita, Malaysia. Tidaklah saya menjadi seperti katak di bawah tempurung. Laman sosial merupakan wadah yang terpenting untuk mendedahkan kita dengan isu-isu semasa termasuklah isu politik, sosial dan ekonomi. Sebagai pelajar yang dahaga akan ilmu pengetahuan dan pelajar yang bakal menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), saya dapat menambah ilmu pengetahuan saya melalui penggunaan laman sosial. Sebagai analoginya, saya dapat mengakses sumber bacaan daripada laman sosial. Selain itu, saya tidak perlu ke perpustakaan untuk mencari maklumat. Bahan bacaan di laman sosial merangkumi ilmu pengetahuan yang tidak dapat dicari di dalam sillibus sekolah. Oleh hal yang demikian, laman sosial merupakan saluran utama saya memperoleh ilmu pengetahuan di luar bilik darjah dalam menjalani kehidupan saya sebagai seorang yang dahagakan ilmu pengetahuan. 
                   Pada realitinya, laman sosial merupakan platform penting dalam kehidupan seharian kita memandangkan laman sosial memberikan kesan yang mendalam dan mempengaruhi corak kehidupan kita.  Melalui laman sosial, saya dapat berkenalan dengan kawan-kawan di alam mayatanpa dibatasi oleh  sempadan negara, agama, dan bangsa. Saya dapat memahami dan mengetahui budaya masyarakat luar dengan hanya satu klik sahaja. Rentetan daripada situasi tersebut, semangat perpaduan dan semangat cinta akan negara dapat disuntik dalam diri saya. Persefahaman antara kaum juga dapat dipupuk dalam diri kita.  Melalui penggunaan laman sosial, saya dapat bertukar-tukar pendapat dan berkongsi pengalaman saya dengan rakan tersebut.  Contoh yang paling dekat ialah saya dapat memuatkan foto-foto apabila menghadiri sesuatu majlis yang melibatkan pelbagai kaum. Dengan ini, rakan saya dapat memahami budaya di negara saya.  Adat istiadat dan pantang larang ini masih diamalkan oleh semua lapisan masyarakat seperti orang Melayu, Cina dan India, bak mutiara kata tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan. Bagi mereka, biar mati anak, jangan mati adat.  Orang Melayu terkenal dengan baju kurung, manakala orang Cina dan orang India termashyur dengan Ceongsam dan Sari. Namun begitu, kita hendaklah berhati-hati semasa berkenalan. Hal ini demikian kerana kita mungkin akan tertipu oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk memaklumkan butir-butir peribadi sendiri dan kata laluan. Sebagai contoh, saya tidak bersua muka dengan kenalan di alam maya untuk menjaga keselamatan sendiri. Terdapat segelintir masyarakat terutamanya remaja perempuan berjanji dengan kenalan di internet untuk berjumpa di sesuatu tempat. Hal ini memberikan peluang keemasan kepada penjenayah untuk melakukan gejala sosial seperti rogol.
                   Semakin menjelang ambang 2020, titik permulaan ini menandakan permulaan untuk kesusahan dan cabaran yang bakal menghambat kehidupan manusia. Semua lapisan masyarakat terutama golongan remaja  tidak mahu ketinggalan dalam mengikuti kemajuan sains dan teknologi yang terkini. Namun begitu, kita seharusnya memanfaatkan laman sosial. Bertitik tolak daripada itu, saya perlu menjadi model dengan memanfaatkan laman sosial. Laman sosial merupakan medan dan ruang untuk saya berhubung dengan rakan sekelas dan saudara mara agar hubungan silaturahim dapat dieratkan bagai isi dengan kuku. Laman sosial membolehkan saya dan rakan sekelas mahupun saudara mara menjalinkan hubungan semula yang telah terputus. Saya dapat mengetahui perkembangan terbaru tentang kawan saya melalui laman sosial. Saya dapat mengimbas kembali peristiwa pahit, manis, masin dan tawar yang pernah saya lalui bersama dengan rakan saya dan saudara mara. Sebagai contoh, saya boleh menggunakan ’skype’ untuk berhubung dengan saudara mara yang tinggal berjauhan. Seterusnya, saya dapat bertanya khabar dan bersembang dengan mereka. Namun, di sebalik keghairahan mengaplikasikan kelebihan yang ada pada ruang maya ini, laman sosial juga mengandungi budaya kuning dari barat yang bertentangan dengan nilai-nilai ketimuran budaya masyarakat kita. Oleh hal yang demikian, saya akan memastikan diri agar tidak terpengaruh dengan unsur-unsur negatif di laman sosial dengan berpegang teguh pada nilai-nilai agama dan budaya timur yang disanjung tinggi ini. Bahan-bahan tersebut boleh diakseskan oleh sesiapa sahaja tanpa sebarang halangan jika tiada iman di dada. Jika perkara ini dibiarkan, gejala sosial seperti gengterisme dan hedonisme akan menular dalam pemikiran remaja.  Perkara inilah yang akan saya cuba elak sejauh-jauhnya.
                   Sebagai konklusi bagi  segala yang telah diperkatakan di atas, kita seharusnya memanfaatkan penggunaan laman sosial agar tidak terpengaruh oleh unsur-unsur negatif yang bertentangan dengan agama dan budaya timur  masyarakat Malaysia. Oleh itu,  kita perlulah bertindak secara rasional dan matang tanpa mudah mengikut rentak kemajuan ICT yang begitu kuat mengoda jiwa insani yang leka.  Kita seharusnya menyeimbangkan masa dalam melayari laman sosial supaya tidak mudah alpa dengan keasyikan yang ada pada laman sosial. Kita seharusnya pandai menguruskan masa dan tidak terpedaya dengan kata-kata manis kenalan baru supaya tidak mudah dieksplotasikan untuk kepentingan diri mereka. Laman sosial akan terus menjadi populariti masyarakat kini. Kita tidak boleh mengekang kemajuan ICT yang kian menular di seluruh dunia, tetapi dengan menggunakan minda yang dianugerahi Tuhan ini, kita mampu melakukan anjakan paradigma untuk  memastikan kebaikan sentiasa menyebelahi kita. Lantaran itu, amalan penggunaan laman sosial ke arah kebaikan perlu disuntikkan dalam sanubari  setiap rakyat di Malaysia. Marilah kita bekerjasama memanfaatkan laman sosial ini, umpama aur dengan tebing  dan ibarat ke bukit sama di daki, ke lurah sama dituruni demi merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020 dalam melahirkan masyarakat yang peka dan celik ICT.

Arus globalisasi telah menyebabkan pelbagai budaya warisan rakyat Malaysia semakin terhakis.
Anda sebagai rakyat yang cinta akan negara, sarankan sumbangan anda untuk mengekalkan budaya warisan rakyat Malaysia.[ 100 markah ]
Peribahasa Melayu jelas menyatakan bahawa tak basah dek hujan, tak lekang dek panas. Peribahasa ini menunjukkan warisan budaya bangsa perlu dipertahankan agar sentiasa releven dan diingati oleh masyarakat Malaysia, terutamanya golongan muda-mudi. Yang berlaku sekarang, kemasukan budaya asing sudah mula menjajahi minda warisan yang dianggap pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Budaya “punk” dan “gotic” umpamanya menerapkan unsur bawah tanah, yakni alam kematian dan keseronokan yang bertunjangkan keghairahan melalui penggunaan pil khayal dan dadah. Fenomena ini melunturkan semangat menghargai warisan bangsa.Tepuk dada, tanya selera; berapa ramaikah yang mengenali dan menghargai pakaian tradisional? Golongan yang muda masih bermain permainan tradisional mahupun suka akan makanan tradisional? Oleh hal yang demikian, remaja seperti saya memainkan peranan penting untukmengembalikan zaman kegemilangan untuk warisan rakyat Malaysia supaya tinggalan nenek moyang kita sentiasa subur dalam sanubari kita.
Sebagai rakyat yang berjiwa patriotisme, darah kita mengalir deras warisan daripada nenek moyang kita. Hal ini dikatakan demikian kerana manusia tidak mungkin melupakan asal usulnya kecuali berpegang pada sikap kacang lupakan kulitnya. Sebagai remaja, saya akan mengaktifkan diri dalam persatuan atau kelab permainan tradisional. Dengan menyertai aktiviti dalam kelab tersebut, saya dapat memahami permainan tradisional yang terdapat di Malaysia. Hal ini bertepatan sekali dengan peribahasa Melayu, tak kenal maka tak cinta. Dengan menghadiri perjumpaan dan belajar bermain permainan seperti congkak dan gasing, kita dapat mengetahui betapa halusnya dan tingginya tahap pemikiran nenek moyang kita yang mewariskan permainan ini kepada kita. Oleh hal yang demikian, warisan bangsa ini dapat diturunkan dari satu generasi kepada satu generasi. Jikalau warisan acara merejam lembing dan wushu dapat diketengahkan ke arena sukan dunia, bagaimanakah pula dengan wau dan gasing? Saya berpendapat bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Kita harus menghargai warisan rakyat Malaysia sebelum warisan ini diapresiasi oleh orang asing.
Selain itu, anak remaja seperti saya yang umur baru setahun jagung, darah baru setampuk pinang perlulah mengingati warisan nenek moyang seperti pantang larang sekali gus mempraktikkannya. Hal ini dikatakan demikian kerana kita akan memperoleh banyak pengetahuan dan pengalaman daripada amalan tersebut. Di samping itu, kita dapat mengetahui kebaikan yang diperoleh daripada amalan pantang larang tersebut. Antara pantang larang yang penting ialah anak gadis tidak digalakkan duduk di anjung rumah dan bernyanyi di dapur. Selain itu, kita diajar tidak memakai kasut di dalam rumah dan bercakap sewaktu menikmati hidangan. Jika dilihat dari sudut lain, pantang larang ini sebenarnya mendisiplinkan diri kita selain dapat menglakkan anak gadis daripada terjerumus dalam kebejatan sosial. Oleh sebab itu, warisan rakyat Malaysia yang juga amalan nenek moyang harus dijadikan tunjang kehidupan agar kita berjati diri teguh untuk menangkis segala godaan anasir yang jahat yang mampu menggadaikan maruah diri dan keluarga. Oleh itu, janganlah kita menconteng arang di muka ibu bapa kita.

Warisan rakyat Malaysia memang luas. Antara warisan yang perlu dipertahankan ialah busana. Pakaian tradisional kita melambangkan ketinggian nilai hidup serta kehalusan hasil tangan masyarakat dahulu kala. Golongan pelajar seperti saya sewajarkan memainkan peranan yang penting dengan mengetengahkan pakaian tradisional. Pemakaian busana klasik ini bukan sahaja menutup aurat, malah dapat menonjolkan keistimewaan Malaysia kepada jagatraya. Remaja seperti saya wajarlah memakai pakaian tradisional untuk menghadiri majlis rasmi atau majlis tidak rasmi seperti jamuan. Pakaian tradisional seperti baju kurung dan baju kebaya bukan sahaja menampilkan kecantikan diri seseorang gadis malah kemanisan gadis yang memelihara adab pemakaian dan adab berjalan apabila berpakaian tradisional. Mahukah kita melihat dengan bangganya busana tradisional kita dipakai oleh model terkenal dunia lalu berjalan di pentas fesyen dunia. Kita harus mengorak langkah untuk merealisasikannya kerana genggam bara api, biar sampai jadi arang.
Apabila kita melangkah masuk ke dapur rumah, nescaya makanan yang disediakan oleh ibu bapa kita adalah untuk melangsungkan kehidupan. Makanan merupakan keperluan hidup manusia yang terpenting selain tempat tinggal. Oleh hal yang demikian, masyarakat yang terdahulu banyak membuat kajian dan analisis tentang makanan. Golongan yang lebih banyak makan garam ini telah mencipta makanan tradisisional yang berwarna warni untuk terus dapat dinikmati oleh muda-mudi zaman globalisasi ini. Oleh hal yang demikian, kita sepatutnya menunjukkan penghargaan kepada golongan tua dengan mempelajari cara penyediaann makanan tradisional. Jika kitamembuat anjakan paradigma ini, nenek atau datuk kita pasti sejuk hati melihat kejayaan kita menyediakan makanan kegemaran mereka seperti petai, jering, kuih-muih dan sebagainya. Makanan tradisional yang bebas daripada bahan kimia bukan sahaja lebih sihat, malah dapat memperkukuhsilaturahim dan ukhuwah antara golongan tua dengan yang muda.
Peribahasa “Bagaimana acuan, begitulah kuihnya” juga jelas menunjukkan kebijaksaan golongan veteran menyamakan sikap ibu bapa kepada anak-anak mereka. Dengan kata lain, golongan muda seperti saya sepatutnya memberikan teladan kepada adik-adik kita supaya mengenali dan mengamalkan warisan rakyat Malaysia. Pada masa lapang, kita bolehlah membawa adik kita bermain wau, congkak, mahupun menyertai pertandingan membuat wau. Aktiviti seperti ini mampu mencambahkan minat anak-anak muda untuk terus berkecimpung dalam bidang tugas yang diperturunkan oleh nenek moyang kita. Janganlah kita berasa malu untuk menerima warisan yang sebenarnya milik kita bersama. Walaupun pemikiran orang terdahulu sanggup mempertahankan prinsip biar mati anak, jangan mati adat; golongan zaman ini boleh memperbaik keadaan dengan menghargai dan menjadikannya sebagai kayu pengukur tahap pemerimaan kita terhadap nenek moyang kita dan betapa kita menghormati dan menyanjungi mereka.
Tiada kusut yang tidak boleh dileraikan, tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Oleh hal yang demikian, arus globalisasi yang mengalir deras dalam kehidupan kita tidak wajar menghakiskan jati diri kita yang sebenar. Hakisan warisan rakyat Malaysia yang semakin serius haruslah diselamatkan daripada terus melunturkan sinar dan kekilatan warisan kita. Warisan kita tanggungjawab kita. Nenek moyang kita yang menciptanya, kita yang harus mengekalkannya. Jika kita hanya berpeluk tubuh dan menunggu warisan ini tenggelam dalam arus perdana ini, ke mana akan kita gapai kehidupan sebenar? Apakah erti sebenar kehidupan ini jika kita hanya mampu merosakkan yang baik dan membinasakan yang murni? Ayuh rakyatku, marilah kita sama-sama menggembleng tenaga demi memastikan warisan kita terus berdiri teguh di belakang kita sebagai warisan yang tidak boleh dijual beli oleh bangsa lain. Slogan Satu Malaysia harus dijadikan pegangan demi kehidupan yang lebih bersatu dan padu. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh!




SUNGAI MERUPAKAN ANUGERAH TUHAN YANG AMAT BERNILAI DAN PERLU DIJAGA DENGAN BAIK OLEH MANUSIA.
JELASKAN PENDAPAT ANDA TENTANG SEBAB-SEBAB SUNGAI TERCEMAR DAN KEPENTINGAN SUNGAI DALAM KEHIDUPAN.[ 100 MARKAH ]
“Beribu-ribu ekor ikan terapung-apung di permukaan sungai” “
“sungai di Pahang telah teruk dicemar”.
Begitulah tajuk-tajuk berita yang acap kali menghiasi dan menguasai dada akhbar-akhbar tempatan. Berita dan paparan media umpama ini bukan sahaja menghiasi dan menguasai dada akhbar-akhbar tempatan, isu ini juga sering menjadi liputan media massa antarabangsa dan persidangan utama dunia.Pencemaran yang berlaku sepanjang dasawarsa ini sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap empat pelosok dunia. Oleh itu, isu pancemaran sungai sudah menjadi berita basi.Kerajaan pernah mengadakan kempen-kempen seperti “Cintailah Sungai Kita” tetapi mendapat sambutan yang dingin daripada segenap lapisan masyarakat. Walaupun isu ini hangat diperkatakan dan meningkatnya kes ibarat cendawan tumbuh selepas hujan, pernahkah terlintas dalam benak anda apakah yang dimaksudkan dengan “pencemaran sungai”? Mengikut penjelasan yang terdapat dalam Kamus Dewan Edisi keempat, “pencemaran sungai” dapat didefinisikan sebagai perbuatan yang mengotorkan sungai yang jernih sehingga keruh dengan pelbagai bentuk cara. Fenomena yang terjadi ini pasti ada sebab-sebab yang munasabahnya kerana kalau angin tidak bertiup, masakan pokok bergoyong? Tahukah anda faktor-faktor yang menyumbang kepada pencemaran sungai? Segalanya bakal terhurai tirai bicara dibuka.
Faktor perdana yang menyumbang kepada pencemaran sungai ialah pembuangan sampah sarap oleh masyarakat. Hal ini ghalibnya dilakukan oleh masyarakat yang tinggal berhampiran dengan sungai. Mereka membuang apa-apa sahaja sampah sarap yang mereka ada ke dalam sungai. Fenomena ini boleh dikatakan telah menjadi satu lumrah dalam kehidupan masyarakat. Pada zaman globalisasi ini, masyarakat telah menganggap sungai sebagai sebuah tong sampah yang besar.Merujuk kepada laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Sungai Malaysia pada tahun 2007, alasan yang diberikan oleh masyarakat yang membuang sampah ke dalam sungai ialah tong sampah yang sedia ada berada jauh dari tempat tinggal mereka. Mereka malas untuk membuang sampah sarap tersebut ke dalam tong sampah yang sedia ada kerana perlu memakan masa yang banyak dan meletihkan mereka. Oleh sebab itu, mereka mengambil jalan mudah dengan membuangkan sampah sarap tersebut ke dalam sungai yang jernih itu dan mengakibatkan sungai itu menjadi keruh. Sampah sarap yang terapung-apung di permukaan sungai itu mempunyai bahan kimia yang akan menyumbang kepada pencemaran sungai.
Selain itu, punca yang seterusnya ialah pembuangan sisa toksik daripada kilang-kilang ke dalam sungai. Sisa toksik dari kilang-kilang tersebut akan mencemarkan sungai dengan menurunkan pH air sungai tersebut. pH air sungai yang rendah amat berbahaya kepada manusia dan kehidupan akuatik. Hal ini dikatakan demikian kerana jikalau seseorang meminum air sungai yang pH rendah, kesihatan seseorang itu mungkin terjejas dan yang memburukkan keadaan lagi ialah mendatangkan kematian yang tidak diingini sama sekali. Kualiti kehidupan akuatik seperti ikan akan menurun kerana keadaan sungai yang tercemar tidaklah sesuai untuk ikan-ikan tersebut. Statistik yang sahih lagi tepat yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Air Malaysia pada tahun 2008 jelas menunjukkan kebanyakan kilang yang membuang sisa toksik ke dalam sungai ialah kilang-kilang besar. Ketika ditanya tentang sebab mereka mengalirkan sisa toksik tersebut ke dalam sungai, alasan yang diberi ialah mereka tidak ada pilihan lain selain mengairkan sisa toksik tersebut ke dalam sungai tanpa memikirkan impaknya. Sikap sebegini yang mementingkan dirisendiri ibagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing perlu dikikis demi kepentingan bersama.
Faktor yang seterusnya ialah tumpahan minyak oleh kapal-kapal. Hal sebegini telah lama berlaku di dalam negara kita. Mengapakah hal ini akan berlaku? Sebabnya ialah tong yang mengisi minyak bagi kapal tersebut telah bocor ataupun pecah. Minyak yang jisimnya kurang daripada air akan terapung di permukaan air. Masalah ini akan menjejaskan tumbesaran bagi tumbuh-tumbuhan yang hidup di dalam sungai. Hal ini dikatakan demikian kerana minyak tersebut akan menghalang sinaran matahari daripada sampai ke tumbuh-tumbuhan tersebut. Hal ini secara langsungnya akan menjejaskan proses tumbesaran tumbuhan tersebut kerana tumbuhan itu tidak dapat menjalankan proses pemhasilan makanan. Di negara lain seperti Jerman dan Australia, masalah tumpahan minyak ini tidak pernah berlaku dalam negara tersebut kerana mereka mempunyai kapal yang serba canggih dan tong minyak yang baik sekali.
Apakah kepentingan sungai dalam kehidupan seharian kita? Tidak dapat dinafikan bahawa sungai memang mempunyai kepentingan tertentu dalam kehidupan seharian kita. Kepentingan utamanya ialah sungai memainkan peranannya sebagai medium pengangkutan dan penghubungan. Berbalik kepada sejarah dahulu, pembukaan Terusan Suez telah memendekkan jarak perjalanan antara Timur dan Barat. Hal ini akan menjimatkan masa dan memudahkan perhubungan. Kawasan yang tidak dapat dihubungkan dengan jalan raya dapat dihubungkan dengan menggunakan jalan air. Keadaan ini akan memajukan sistem pengangkutan di negara kita dengan mempunyai pengangkutan darat, pengangkutan udara dan juga pengangkutan air. Hal ini dapat meyakinkan rakyat negara kita agar visi kudsi Wawasan 2020 dapat direalisasikan dan menjadi bumi Malaysia duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengannegara gergasi yang lain di persada dunia.
Seterusnya, sungai amat penting kerana membekalkan sumber air dan protein kepada manusia. Air yang diminum oleh penduduk bumi kebanyakannya datang dari air sungai. Jikalau air sungai telah tercemar, air sungai tersebut perlu dibersihkan melalui proses yang merumitkan dan memakan kos seperti yang berlaku di negara Jerman. Sungai amatlah penting sebagai habitat hidupan akuatik seperti ikan, ketam, dan udang. Tanpa air sungai, manalah datangnya ikan, ketam dan udang yang kita makan pada hari ini? Ikan, ketam dan udang membekalkan sumber protein yang mencukupi kepada manusia. Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, sumber protein yang terdapat dalam ikan, ketam dan udang adalah amat tinggi. Persis kata jauhari “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya”. Peribahasa ini mengingatkan manusia supaya tidak mencemarkan air sungai yang merupakan habitat hidupan akuatik dan merupakan anugerah istimewa daripada Tuhan yang akan membahagiakan kitapada hari esok agar kita tidak menyesal pada hari kemudiannya.
Secara kesimpulannya, semua pihak harus berganding bahu ibarat “ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni” untuk mengatasi kemelut pencemaran air yang dapat diibaratkan seperti duri dalam daging kepada masyarakat dan negara. Janganlah kita membiarkan masalah ini terus bernanah di dalam negara kita. Sebagai khalifah Allah yang dikurniakan akal fikiran dan bergelar insan kamil, kita bertanggungjawab untuk menjaga sungai yang merupakan anugerah Tuhan yang amat bernilai ini. Kita haruslah menjauhkan diri daripada perbuatan mencemarkan sungai agar tidak terjadi fenomena “sudah terhantuk baru tengadah”. Marilah kita bersama-sama merealisasikan hasrat dan visi kudsi wawasan 2020. ‘Cintailah Sungai Kita’.
 LANGKAH MEMAJUKAN PELANCONGAN NEGARA
           Sektor pelancongan di negara kita berkembang maju dan menjadi sumber pendapatan negara yang penting. "Pendapatan indsutri pelancongan mencatatkan peningkatan 7.2 peratus dengan nilai RM103.3 bilion pada tahun 2013 dalam menjana ekonomi Malaysia,” kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Hal ini menunjukkan peningkatan ekonomi yang memberangsangkan yang dibawa masuk melalui industri pelancongan. Kerajaan telah menggerakkan semua agensinya untuk memastikan sektor pelancongan berkembang pesat sejajar dengan pembanguna negara yang pantas. Namun begitu, insiden yang menimpa negara baru-baru ini dengan kejadian misteri iaitu kehilangan pesawat Malaysian Airlines Systems (MAS) MH371 dari China dan MH17 yang ditembak lalu terhempas di Ukraine sedikit sebanyak boleh menjejaskan industri pelancongan negara. Kebanyakan pelancong berasa terancam untuk datang ke Malaysia apatah lagi tahun 2014 diisytiharkan sebagai Tahun Melawat Malaysia. Oleh itu, semua pihak haruslah megatur langkah yang lebih proaktif dan pragmatik untuk memastikan industri pelancongan negara kita terus rancak dengan kunjungan para pelancong sama ada dari dalam negara atau dari luar negara untuk memastikan semua pihak mendapat faedah daripada perkembangan sektor ini. Persoalan yang bermain-main di gawang minda kita ialah apakah langkah-langkah yang pragmatik yang dapat dipraktikkan untuk memajukan sektor pelancongan di negara kita?
            Uslub yang perdana yang dapat diambil ialah pihak kerajaan memperkenalkan produk pelancongan baharu yang dapat menarik minat pengunjung mancanegara. Produk pelancongan negara perlu diperbanyak supaya para pengunjung dapat menikmati sesuatu yang baharu dan unik di negara kita. Banyak produk pelancongan yang wajar diterokai oleh pihak-pihak yang terbabit. Misalnya, kerajaan menggalakkan masyarakat melibatkan diri dalam program inap desa dengan lebih banyak. Selain itu konsep pelancongan kesihatan, agropelancongan, ekopelancongan, dan seumpamanya hendaklah dikembangkan. Kita juga wajar memperkenalkan pelancongan musim buah-buahan seperti musim durian, manggis, langsat, dan sebagainya. Produk pelancongan yanng diperkenalkan mestilah dapat menarik hati pelancong-pelancong mancanegara. Biasanya pelancongan luar mahu melihat sesuatu yang tidak ada di negara mereka. Oleh itu, kita harus mengambil peluang untuk memperkenalkan keunikan negara ini dengan mengetengahkan budaya hidup dan kesenian masyarakat tempat. Sebagai contoh, pelancong wajar dibawa untuk tinggal bersama-sama masyarakat luar bandar dan mendalami cara hidup mereka. Dengan ini, para pengunjung dapat menimba pelbagai ilmu yang baharu dan mereka tidak akan pulang dengan tangan yang kosong tanpa ilmu di dada. Benarlah kata orang tua-tua, “jauh perjalanan, luas pengalaman”. Jadi, usaha kerajaan memperkenalkan produk pelancongan baharu dapat meningkatkan sektor berkenaan.
          Selain itu, pihak kerajaan wajar menganjurkan karnival pelancongan di seluruh pelosok dunia. Karnival pelancongan ialah kaedah yang berkesan untuk memperkenalkan negara kita sebagai destinasi pelancongan. Dalam karnival ini, banyak perkara yang dapat diketengahkan. Antaranya ialah tempat-tempat menarik di negara ini, makanan yang pelbagai, dan juga kebudayaan masyarakat pelbagai kaum. Selain itu karnival ini juga wajar menyediakan pakej-pakej pelancongan yang kompetetif kepada masyarakat antarabangsa. Karnival seperti ini hendaklah diadakan di seluruh dunia. Tumpuan hendaklah diberikan pada rantau yang jauh seperti di Amerika Selatan dan juga Afrika. Sebagai contoh, karnival wajar diadakan di Brazil untuk menarik minat pengunjung di sana datang ke Malaysia dan menghebahkan kehebatan negara kita bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta. Secara implisitnya, bilangan pelancong ke negara kita akan semakin meningkat. Tegasnya, penganjuran karnival pelancongan di luar negara merupakan langkah yang berkesan untuk mempromosikan negara kita sebagai destinasi pelancongan yang menarik.
            Meninjau skop yang lebih luas lagi, kerajaan Malaysia juga wajar menganjurkan pelbagai acara antarabangsa dengan lebih kerap. Pelbagai acara antarabangsa wajar dilobi agar diadakan di negara ini untuk menjadi tarikan kepada para pengunjung. Sebagai contoh, penganjuran acara sukan antarabangsa seperti Monsoon Cup, perlumbaan Formula 1, kejohanan badminton, pameran Maritim dan Udara Langkawi (LIMA), Kejohanan Kereta Formula Satu dan Kejohanan Lumba Basikal Tour de Langkawi dan seumpamanya merupakan acara yang sangat mendapat perhatian peminat antarabangsa. Dalam bidang seni pula, negara kita menjadi tuan rumah kepada beberapa acara antarabangsa, contohnya Festival Muzik Dunia yang diadakan di Sarawak setiap tahun. Kemampuan negara untuk menganjurkan acara antarabangsa seperti ini memang terbukti kejayaannya, bak kata pepatah duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain di dunia. Acara antarabangsa ini hendaklah diadakan dengan lebih kerap dan dijadikan acara tahunan. Kejohanan-kejohanan dan pameran ini perlu dirancang dengan teliti agar dapat dijalankan sepanjang masa dengan promosi yang lengkap dan meluas. Kesannya, kedatangan pelancong ke negara kita juga akan meningkat. Mereka bukan sahaja datang untuk melibatkan diri dalam acara-acara yang dianjurkan, malahan untuk melawat tempat-tempat menarik di negara kita berterusan tanpa menunggu musim-musim tertentu sahaja.  Dengan cara ini, kita dapat mengekalkan pulangan yang diperoleh danpada kedatangan pelancong ke negara kita. Jadi, jelaslah penganjuran acara antarabangsa dapat meningkatkan promosi pelancongan di negara kita.
            Seperkara lagi, satu daripada langkah-langkah untuk mempromosikan sektor pelancongan negara ini adalah dengan mengadakan kempen Tahun Malaysia Malaysia dengan lebih berkesan dan melibatkan lebih banyak penyertaan. Tahun Melawat Malaysia ialah kempen untuk menggalakkan pelancong datang ke negara kita dengan lebih besar bilangannya. Kempen yang diadakan sepanjang tahun ini menyediakan pelbagai acara untuk menarik minat pelancong datang ke negara ini. Misalnya, pelbagai acara kebudayaan pelbagai kaum dipersembahkan untuk para pelancong. Penyertaan pelbagai pihak digalakkan untuk memeriahkan lagi sambutan Tahun Melawat Malaysia ini. Selain badan-badan kerajaan, pihak swasta juga memikul tanggungjawab untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang kompetetif, bak kata pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Program seumpama Cuti-cuti Malaysia oleh TV3 perlu diteruskan agar masyarakat mengetahui keindahan negara kita Hotel-hotel, syarikat penerbangan, dan syarikat pengangkutan awam mestilah melibatkan diri untuk menjayakan kempen ini. Hal ini sekali gus akan mendorong para pelancong untuk melancong dan berehat di sini. Jelaslah, kempen Tahun Melawat Malaysia dapat meningkatkan sektor pelancongan di negara kita..
            Uslub dan minhaj yang lain ialah menghapuskan atau mengurangkan cukai belian barangan di negara ini. Berdasarkan rekod Perbadanan Pelancongan Malaysia (TDC), pelancong asing yang datang ke sini bukan sekadar untuk menikmati keindahan alam semula jadi negara, bahkan juga untuk membeli-belah. Mereka ingin menjadikan percutian di Malaysia sebagai serampang dua mata. Oleh itu, pihak berkuasa perlu menghapuskan atau mengurangkan cukai belian barangan di negara ini. Namun begitu, kualiti barangan yang dijual haruslah terpelihara supaya para pelancong berasa puas hati ketika membeli-belah di negara kita dan janganlah indah khabar dari rupa. Selain itu, peraturan-peraturan imigresen perlu dilonggarkan kepada mereka yang berhasrat melancong ke negara ini. Manakala pusat-pusat perkhidmatan tukaran wang asing perlu ditambah dan disediakan di lokasi-lokasi yang strategik seperti di hotel, pusat pelancongan dan pekan-pekan kecil. Dengan adanya kemudahan-kemudahan ini, para pelancong akan tertarik untuk berkunjung ke Malaysia. Izharlah bahawa penghapusan dan pengurangan cukai belian barangan dapat merancakkan industri pelancongan negara .
            Jika ditinjau dari sudut yang lain, langkah-langkah keselamatan juga perlu diambil bagi menjamin kepuasan dan kesejahteraan pelancong semasa berada di negara kita. Faktor kawalan keselamatan yang terjamin di sesuatu destinasi pelancongan sering menjadi kayu pengukur untuk mereka datang ke destinasi pelancongan yang menjadi pilihan di hati mereka. Kita tidak seharusnya lupa dengan gelagat segelintir masyarakat yang mengambil kesempatan ke atas pelancong. Oleh itu, Unit Keselamatan Pelancong perlu ditubuhkan untuk membantu pihak polis menangani jenayah ke atas pelancong. Kejadian-kejadian rogol, mencabul kehormatan, menghendap, peras ugut, rompak dan tipu harus ditangani secepat mungkin. Ini perlu dilakukan agar pelancong asing terus berkunjung ke negara ini. Bilangan keanggotaan pasukan keselamatan perlu ditambah supaya rondaan dapat dilakukan dengan lebih kerap di kawasan tumpuan pelancong. Sehubungan dengan itu, pelancong dapat melancong di negara kita dengan lebih selesa dan sekali gus imej negara terpelihara di mata dunia. Pendek kata, kawalan keselamatan yang baik mampu meningkatkan industri pelancongan negara.
                Akhir kalam, bulan semakin terang, bayang kian jelas bahawa  terdapat pelbagai langkah yang dapat dirancang dan dilaksanakan untuk meningkatkan sektor pelancongan di negara kita. Memang diakui pelancongan merupakan suatu industri yang cukup berpotensi dan begitu menguntungkan. Oleh itu, usaha memajukan industri pelancongan bukanlah terletak atas pundak pihak berkuasa semata-mata kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Semua pihak hendaklah tampil dan menunjukkan iltizam yang tinggi untuk membantu kerajaan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang hebat, bak kata pepatah kalau tidak dipecahkan ruyung, di mana akan mendapat sagunya. Jika tidak, segala keunikan dan kehebatan budaya pelbagai kaum di negara ini akan sia-sia dan tidak dapat diketengahkan untuk dinikmati oleh pelancongan tempatan dan mancanegara. Kerjasama dan kesungguhan daripadasemua pihak yang terbabit akan menonjolkan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan yang terkenal di dunia. Menurut Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim, Mantan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, industri pelancongan di dalam negara boleh berkembang setanding dengan destinasi pelancongan di luar negara seperti Pulau Bali, Disneyland dan lain-lain sekiranya usaha memperkenalkan Malaysia dilakukan secara giat malah disokong oleh rakyat jelata. Biarlah pepohon terus bergoyang, biarlah mentari terus bersinar dan biarlah industri pelancongan negara kita terus meniti dari bibir ke bibir umat manusia di seantero dunia demi menjana pendapatan yang lebih lumayan untuk kemaslahatan bersama.
KELEBIHAN-KELEBIHAN PENGANGKUTAN AWAM
Era pascaperindustrian dan pascaglobalisasi yang serba mencabar akal dan minda telah menyumbang kepada faktor perubahan sistem pengangkutan awam secara drastik.  Menurut Kamus Dewan dan Pustaka Edisi Keempat, pengangkutan awam dapat didefinisikan sebagai sistem pengangkutan bermotor seperti teksi, bas dan kereta api yang digunakan oleh orang ramai di kawasan tertentu dengan kadar tambang yang telah ditetapkan.  Pada zaman yang serba canggih ini, sistem pengangkutan moden kian mempengaruhi kehidupan masyarakat.  Berdasarkan perangkaan terkini yang diperoleh, didapati bahawa kenderaan awam tidak terhad dalam sistem perhubungan di darat malah di udara juga di laut.  Apakah kepentingan pengangkutan awam kepada pengguna dan persekitaran negara kita?  Antara tamsilan pengangkutan awam yang selalu digunakan oleh pengguna ialah bas, teksi, LRT, monorel dan kapal terbang.  Umum mengetahui bahawa bas awam merupakan kemudahan awam yang paling meluas digunakan di seluruh negara termasuklah di bandar dan di kawasan pedalaman.  Oleh itu, kelebihan-kelebihan pengangkutan awam yang mewarnai fokus perbincangan akan dihuraikan dengan terperinci demi kebaikan bersama.

 Kita seharusnya berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam kepada semua.  Bertitik tolak daripada itu, dengan menggunakan pengangkutan awam sebenarnya dapat menjimatkan masa seseorang untuk sampai ke sesuatu destinasi seterusnya dapat menjimatkan kos perjalanan. Sebagai contohnya, jika dahulu  perjalanan  ke   Ipoh dengan memandu kereta mungkin memakan masa hingga tiga jam dan kadangkala meletihkan kerana terpaksa menempuh kesesakan yang tidak diduga sepanjang perjalanan. Namun, pada hari  ini   anda   boleh menikmati kopi panas dan membaca buku  kegemaran  anda dengan  menaiki kereta api elektrik (ETS) yang hanya mengambil masa dua jam lima minit sahaja perjalanan pada kadar tambang yang berpatutan. Sudah jelas di sini bahawa penggunaan ETS dapat menjimatkan masa seseorang lebih kurang 50 minit berbanding penggunaan kereta persendirian. Impaknya, pengangkutan awam dapat menjimatkan masa dan kos perbelanjaan dengan tambang yang berpatutan seperti juga pengangkutan awam yang lain iaitu LRT (Light Rail Transit) dan MRT(Mass Rail Transit) yang menjadi pilihan ramai terutamanya golongan pertengahan di kawasan bandar. Malahan kita boleh pergi ke mana-mana destinasi tanpa perlu memikirkan kos petrol yang semakin meningkat dan pengguna tidak perlu memikirkan bayaran tol serta bayaran tempat meletak kenderaan.    Seterusnya, kos yang dapat dijimatkan itu boleh digunakan untuk membeli barang keperluan yang lebih penting. Peribahasa yang bertepatan dengan situasi di atas ialah Ingat Sementara Belum Kena, Jimat Sebelum Habis dan Masa Itu Ibarat Emas.  Sudah Terang Lagi Bersuluh, pengangkutan awam dapat menjimatkan masa dan kos perjalanan seseorang.

 Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa masyarakat perlu menggunakan pengangkutan awam agardapat mengurangkan kesesakan lalu lintas.  Perkhidmatan bas telah lama menerima persepsi negatif umum sebagai pengangkutan bagi golongan miskin. Perkhidmatan bas semasa tidak mampu menandingi kelajuan, keupayaan dan kekerapan perkhidmatan rel yang tinggi kerana bas perlu meredah kesesakan lalu lintas bersama-sama ribuan kenderaan lain. Bagi mengatasi masalah ini, tiga usaha utama merentasi 12 koridor menuju ke bandar utama iaitu Bus Expressway Transit (BET), Bus Rapid Transit (BRT), dan Lorong Bas telah disediakan. Perkhidmatan BET akan dilancarkan di empat lebuh raya di Lembah Klang yang tidak digunakan sepenuhnya. Pengguna akan menikmati pengurangan kesesakan lalu lintas daripada perkhidmatan ini kerana pengangkutan awam ini mempunyai jumlah hentian yang terhad dan laluan khas di kawasan tol bagi melancarkan perjalanan.  Selain itu, pengguna yang mengutamakan perkhidmatan pengangkutan awam dan tidak mementingkan diri sendiri, Bagai Enau Dalam Belukar Melepaskan Pucuk Masing-Masing dapat mengurangkan bilangan kenderaan di jalan raya.  Kekurangan kenderaan persendirian di jalan raya secara langsungnya dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas yang kronik.  Secara implisitnya, kadar kemalangan dapat dikurangkan sekali gus. Dengan ini, diharapkan masyarakat sedar akan kelebihan pengangkutan awam yang dapat membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Pengangkutan Awam sebenarnya mempunyai perkaitan yang amat kuat dengan pembinaan bandar lestari atau bandar hijau malah mengurangkan pencemaran alam. Mahu atau tidak, pengangkutan awam akan menjadi nadi penting dalam memperkasakan bandar yang bersih atau mampu mengurangkan karbon atau gas beracun di kawasan bandar. Kawasan bandar yang kurang kenderaan persendirian bermaksud akan bertambah kurangnya karbon dilepaskan. Tambahan pula, LRT, MRT dan Monorel digerakkan menggunakan tenaga elektrik. Pembinaan pengangkutan awam yang efisyen membolehkan bandar raya dibangunkan dengan sempurna. Kajian masa depan perlu dilakukan untuk memikirkan kesesakan bandaraya pada masa akan datang. Walaupun adanya bandar satelit yang membantu mengurangkan kesesakan bandar utama, perancangan pengangkutan awam yang sempurna perlu difikirkan. Kenderaan  bermotor yang padat  di kawasan bandar menyumbang kepada pencemaran udara dan pencemaran bunyi. Dari satu segi, fenomena ini menunjukkan kemajuan ekonomi sesebuah negara. Manakala dari sisi alam sekitar pula, hal ini menunjukkan kemerosotan alam sekitar. Keadaan yang bercanggah inilah yang sepatutnya diselarikan supaya kenderaan bermotor bukan sahaja boleh digunakan sebagai petunjuk kemajuan ekonomi negara, bahkan turut menyumbang kepada  kelestarian alam sekitar. Bagaimanakah kedua-duanya dapat diselarikan? Jawapannya adalah dengan memperkenalkan ‘Sistem Pengangkutan Hijau’ yakni satu sistem pengangkutan awam yang bukan sahaja menawarkan perkhidmatan yang berkualiti iaitu cepat, cekap dan selesa bahkan mengurangkan pencemaran alam sekitar. Sekiranya sistem pengangkutan hijau berjaya dilaksanakan dengan sepenuhnya di kawasan bandar tanpa gangguan daripada kenderaan persendirian dan motosikal sudah pasti matlamat untuk meningkatkan kualiti  hidup penduduk di bandar akan tercapai. Hal ini kerana gangguan dari segi tekanan, ketidakselesaan, kerumitan, kelewatan jadual perjalanan, kesesakan lalu lintas telah berjaya diatasi.  Keselesaan dan kesejahteraan penduduk dalam berinteraksi di jalan raya juga merupakan sumbangan kepada peningkatan kualiti hidup penduduk.  Izharlah bahawa sistem pengangkutan awam yang moden di negara kita mampu melestarikan alam sekitar seterusnya pencemaran udara tidak akan menjadi masalah lagi.

Sebagaimana yang kita ketahui, penggunaan pengangkutan awam moden dapat memudahkan perjalanan.  Hal ini dapat dibuktikan dengan penggunaan kapal terbang sebagai pengangkutan utama bagi masyarakat Islam yang ingin menunaikan haji.  Penggunaan kapal terbang dapat mempercepat perjalanan di samping memudahkan jemaah haji yang ingin menunaikan tuntutan rukun Islam yang kelima.  Jika dibandingkan pada tahun 1950-an, jemaah haji yang menunaikan haji akan mengambil masa lebih kurang dua bulan untuk sampai ke destinasinya.  Hal ini amat menyusahkan, berbanding sekarang hanya 8 jam sahaja, seseorang itu telah sampai ke Mekah.  Situasi ini jelas menunjukkan penggunaan pengangkutan awam moden telah memudahkan perjalanan bagi jarak yang amat jauh melangkaui sempadan antarabangsa. Selain itu, Sistem Transit Aliran Ringan (LRT), komuter, monorel dan KLIA Ekspress telah terbukti dapat memudahkan perjalanan kerana bebas daripada kesesakan lalu lintas.  Hal ini disebabkan pengangkutan awam ini mempunyai laluan atau rel yang tersendiri. Selain itu, keistimewaan pengangkutan awam ini juga memudahkan perjalanan kerana mempunyai jadual perjalanan yang telah ditetapkan.  Sekali gus, orang ramai dapat merancang perjalanan mereka dan membuat persediaan awal seperti peribahasa Sediakan Payung Sebelum Hujan. Tegasnya, perjalanan akan menjadi lebih mudah bagi pengguna apabila pengangkutan awam ini tidak dipinggirkan.
Perbincangan saya telah meniti ke puncaknya maka sebagai akhirulkalam, pengangkutan awam banyak mendatangkan manfaat dalam memudahkan manusia menjalani urusan seharian.  Semua lapisan masyarakat Malaysia digalakkan menggunakan pengangkutan awam.  Sekiranya langkah yang drastik dan efektif ini tidak diikuti, sudah tentu banyak masalah akan timbul dalam kehidupan kita di bumi yang fana ini.  Jika dikaji sehingga ke akar umbi, masalah ini berpunca daripada asap kenderaan.  Oleh itu, pihak kerajaan juga hendaklah memainkan peranan yang vital dengan menaik taraf perkhidmatan pengangkutan awam di Malaysia agar setanding dengan negara-negara gergasi yang lain bak peribahasaBerdiri Sama Tinggi, Duduk Sama Rendah.  Oleh hal yang demikian, anggota masyarakat perlu menyokong langkah kerajaan  yang berstrategi serampang dua mata bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam. Sesungguhnya, kemajuan dalam pengangkutan awam yang disokong sepenuhnya oleh rakyat Malaysia akan dapat meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan insan seiring dalam memenuhi aspirasi negara menjelang pencapaian Wawasan 2020.
USAHA MENGEKALKAN PERMAINAN TRADISIONAL
           Dalam era globalisasi ini, permainan tradisional mula dilupakan. Hal ini terjadi kerana pengaruh permainan moden seperti permainan video, permainan komputer, dan sebagainya berleluasa di pasaran. Mungkin ramai orang tidak tahu bahawa permainan tradisional membawa banyak kebaikan jika permainan ini dipraktikkan oleh generasi muda hari ini. Permainan tradisional bukan sahaja memberi hiburan, malah ia memberi manfaat terhadap kecerdasan rohani dan jasmani sewaktu bermain, terutama di luar rumah. Oleh itu, usaha-usaha tertentu perlu diambil untuk mempopularkan permainan ini, terutamanya kepada generasi muda.
             Usaha bagi mengekalkan permainan tradisional adalah peranan sekolah agar mengadakan kegiatan kokurikulum yang berkaitan permainan tradisional. Contoh permainan tradisional ialah permainan congkak, mencipta wau sobek atau bermain sepak raga. Bukan sahaja mengadakan pertandingan, tetapi langkah mewajibkan permainan ini di sekolah turut mampu memupuk minat dalam jiwa remaja kita. Tindakan ini bertujuan memastikan semua pelajar di sekolah akan menyertai satu permainan tradisional sebagai aktiviti kokurikulum mereka.  Hal ini demikian kerana jiwa para pelajar yang ingin mencuba perkara baru akan tertarik perhatiannya untuk menyertai kegiatan kokurikulum berdasarkan permainan tradisional ini kerana mereka kurang terdedah dengan permainan-permainan tersebut. Dengan ini, generasi muda terutamanya pelajar sekolah dapat mengenal permainan tradisional dan boleh mengetahui cara-cara bermain permainan ini. Oleh itu, tindakan mengadakan kegiatan kokurikulum berdasarkan permainan tradisional di sekolah berupaya mengekalkan kewujudan permainan ini pada saat masa yang panjang.
           Selain itu, usaha yang dapat dilakukan adalah peranan pihak Kementerian Kesenian, Kebudayaan, dan Warisan agar mengadakan pesta permainan tradisional di peringkat negeri atau kebangsaan serta memberi sijil penghargaan kepada sesiapa yang menyertainya. Hal ini dapat menarik perhatian para pelajar sekolah untuk menyertai pesta tersebut dengan ganjaran sijil penghargaan yang sedikit sebanyak dapat membantu mereka dalam melanjutkan pelajaran. Langkah ini berupaya untuk mencungkil bakat-bakat baru yang pada masa yang sama menggalakkan remaja meminati permainan ini. Dengan memperluas permainan tradisional hingga ke peringkat angtarabangsa seperti permainan wau dan permainan sepak raga juga membantu dalam mengekalkan kewujudan permainan tradisional. Usaha memperkenalkan kepada para pelancong melalui program pelancongan “tak kenal maka tak cinta” dapat menjadikan permainan tradisional berada dalam taraf angtarabangsa. Oleh itu, jelaslah bahawa peranan pihak Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Warisan amat penting dalam mengekalkan kewujudan permainan tradisional.
          Di samping itu, kerajaan juga perlu membina lebih banyak kemudahan untuk permainan tradisional. Pembinaan kawasan padang dan gelanggang khas membolehkan lebih banyak rakyat negara ini turut melibatkan diri dalam permainan tradisional yang memberi banyak kesan positif kepada rakyat Malaysia seperti manyatupadukan dan mengeratkan silaturahim sesama masyarakat. Suasana yang meriah sebegini pasti memberikan impak positif kepada masyarakat. Mereka melihat permainan ini sebagai sesuatu yang penting dalam kehidupan harian mereka.. Sesungguhnya, lebih banyak kawasan khas permainan ini disediakan semakin bertambahlah minat masyarakat kita untuk bermain permainan tradisional. Malah, satu kempen yang terancang tentang permainan ini perlu diadakan oleh pihak berkuasa. Dalam kempen itu dipamerkan kepentingan permainan tradisional dibekalkan bersama-sama dengan sejarah permainan, tokoh dan sebagainya. Semua informasi ini memberikan satu pengetahuan baru kepada masyarakat yang mungkin boleh menimbulkan minat dan penghargaan mereka terhadap permainan tradisional.
            Akhir sekali, berkaitan dengan pembinaan gelanggang, pihak kerajaan boleh memajukan permainan tradisional dengan turut menyediakan jurulatih yang terlatih dan mahir di setiap gelanggang yang telah disediakan itu. Dengan adanya jurulatih ini memastikan masyarakat menerima latihan yang betul tentang sesuatu permainan tradisional itu dan berupaya mengajarkan pengetahuan mereka itu kepada anak-anak mereka pula. Langkah ini memastikan berlakunya kesinambungan dalam memainkan permainan tradisional yang semakin dilupakan kerana tiadanya tunjuk ajar yang tepat tentang permainan tersebut. Jelaslah, permainan tradisonal ini akan terus dimainkan jika ada jurulatih yang bertauliah untuk mengajar masyarakat kita. Peranan media massa dalam menyiarkan program yang memaparkan permainan tradisional dan sukaneka berteraskan permainan tradisional seperti program ‘telematch’ yang disiarkan oleh media massa Eropah juga menjadi satu langkah efektif untuk menjadikan permainan tradisional mendapat tempat di hati rakyat Malaysia terutamanya generasi muda.
             
           Kesimpulannya, dalam usaha untuk mengekalkan permainan tradisional, pihak yang berkenaan haruslah mengambil langkah yang sesuai untuk memperkembangkan dan memajukannya. Hal ini demikian kerana permainan tradisional membawa banyak kebaikan kepada masyarakat dan negara. Dalam bidang pelancongan misalnya permainan tradisional dapat dijadikan daya tarikan pelancong. Khazanah permainan tradisional, sekiranya tidak dikekalkan akan melenyapkan identiti bangsa.
USAHA-USAHA UNTUK MENINGKATKAN SEMANGAT PATRIOTIK DALAM KALANGAN MASYARAKAT DI NEGARA KITA
Semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan masyarakat di negara kita pada masa ini seperti yang didakwa oleh banyak pihak. Hal ini berlaku demikian kerana masing-masing sibuk dengan urusan sendiri yang menyebabkan mereka tidak menghiraukan perkara lain. Pada pendapat mereka, perkara yang penting dalam hidup ialah mereka perlu berusaha untuk mencari kekayaan dan hendak mencari wang untuk menambahkan pendapatan semata-mata. Oleh itu, mereka tidak menitikberatkan semangat patriotik dan tidak tidak mempedulikan sambutan hari kebangsaan, contohnya anggota masyarakat kita tidak mengibarkan bendera Malaysia ketika sambutan ulang tahun kemerdekaan negara dijalankan. Jadi, kita berharap agar semangat patriotik dalam kalangan masyarakat dapat ditingkatkan.
Sebenarnya terdapat banyak cara yang boleh dijalankan untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita. Satu daripada caranya adalah dengan memberikan penekanan tentang proses pemupukan semangat patriotik dari bangku sekolah lagi. Perkara ini membolehkan semangat patriotik sebati dalam diri pelajar seperti kata peribahasa Melayu, “melentur buluh, biarlah dari rebungnya”. Sekiranya semangat patriotik dapat dipupuk sejak kecil, sudah tentulah semangat patriotik akan terus diamalkan dan dikekalkan hingga dewasa. Tambahan pula, amalan ini penting kerana kita dapat melahirkan masyarakat yang sentiasa cinta akan negara dan tidak melakukan perkara-perkara yang akan memburukkan nama negara.
Cara lain yang boleh dijalankan adalah dengan membuat pengubahsuaian dan memberikan penekanan tentang aspek semangat patriotik ini dalam kurikulum di sekolah dan di institusi pengajian tinggi. Sekiranya perkara ini dilakukan, murid-murid akan memahami dan menghayati semangat patriotik kerana aspek tersebut dipelajari dalam mata pelajaran tertentu. Dengan perkataan lain, perkara itu akan dipelajari secara formal di dalam kelas, diuji dalam peperiksaan dan seterusnya diamalkan dalam kehidupan seharian. Oleh hal yang demikian, semangat patriotik itu akan terus subur dalam sanubari murid-murid hinggalah selepas mereka menamatkan persekolahan atau pendidikan mereka di institusi pengajian tinggi.
Pihak yang bertanggungjawab hendaklah menjalankan kempen secara besar-besaran melalui media massa. Kempen-kempen yang berkaitan dengan semangat patriotik ini akan memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita Oleh itu, Kementerian Penerangan Malaysia, di samping media elektronik seperti televisyen dan radio memang berkesan untuk menyuburkan dan meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat. Dengan perkataan lain, televisyen dan radio hendaklah menyiarkan rancangan atau program yang dapat meningkatkan semangat patriotik seperti menyiarkan rencana tentang pejuang-pejuang kemerdekaan negara. Selain itu media elektronik itu juga hendaklah menayangkan filem seperti “Bukit Kepong”, “Paloh”, dan drama-drama yang berkaitan dengan semangat cinta akan negara.
Agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab pula perlulah menjalankan aktiviti yang bersesuaian dengan usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat agar dapat memupuk semangat ini. Aktiviti tersebut boleh dijalankan di kampung-kampung dan juga di kawasan perumahan. Oleh itu, aktiviti seperti sambutan hari kemerdekaan pada peringkat taman perumahan dan kampung perlulah digalakkan. Di samping itu, Jabatan Penyiaran atau stesen televisyen juga perlu mengadakan forum tentang semangat patriotik dengan menjemput tokoh-tokoh akademik daripada pelbagai bangsa dan juga tokoh masyarakat yang memperjuangkan semangat kebangsaan suatu masa dahulu. Aktiviti tersebut bukan sahaja dapat memupuk semangat patriotik malahan dapat mengeratkan perpaduan antara kaum di negara kita.
Semangat patriotik juga dapat dipupuk melalui contoh dan teladan daripada pemimpin-pemimpin negara dan pemimpin masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik. Dengan cara itu, anggota masyarakat akan mencontohi pemimpin-pemimpin mereka yang memiliki semangat patiotik yang tinggi. Para pemimpin perlulah selalu mengingatkan dan menekankan kepentingan menghargai kemerdekaan yang telah dicapai hasil perjuangan dan titik peluh pejuang-pejuang kemerdekaan yang terdahulu dan menghayatinya dengan sepenuh hati. Hal ini penting kerana, kemerdekaan yang dinikmati ini hendaklah dihayati, dijaga dan dikekalkan sampai bila-bila. Sekiranya perkara ini tidak dititikberatkan oleh semua orang sudah pasti kemerdekaan yang dinikmati sukar untuk dipertahankan dan tidak tidak akan memberi makna lagi kepada generasi yang akan datang.
Oleh hal yang demikian, usaha-usaha untuk memupuk semangat patriotik perlulah dijalankan sepanjang masa tanpa henti. Hal ini demikian kerana, semangat patriotik ini penting untuk melahirkan warganegara yang cinta akan negaranya dan pasti akan menjadi individu yang berguna kepada bangsa, agama dan negaranya sendiri. Individu yang memiliki semangat patriotik yang tinggi juga akan sentiasa berusaha untuk memajukan diri dan negaranya agar mencapai kemajuan dan pembangunan dengan cepat, setanding dengan negara-negara maju yang lain. Skiranya semangat patriotik tidak dapat dipupuk dalam kalangan remaja, pastilah mereka tidak ada perasaan cinta akan negara dan menyebabkan mereka hilang jati diri. Oleh itu, semua pihak perlulah berganding bahu dan memainkan peranan masing-masing agar semangat patriotik dapat dipupuk dan disuburkan dalam kalangan masyarakat.
KEPENTINGAN PERPADUAN
Umum mengetahui bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang unit lantaran rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum. Ramai penduduk dunia tertanya-tanya apakah formula ampuh yang telah digunakan oleh pemimpin-pemimpin berwibawa di Malaysia sehingga rakyatnya dapat hidup bersatu-padu dan aman damai tanpa sebarang pertelingkahan. Namum, persoalan sedemikian hanya dapat dijawab apabila semangat perpaduan itu tersemat di dalam diri setiap anak watan yang akan mewarisi tampuk pentadbiran Malaysia. Tambah pula, aspek perpaduan telah dianggap sebagai tulang belakang kepada kegemilangan Malaysia. Oleh sebab itu, setiap rakyat Malaysia perlu sedar akan kepentingan perpaduan kaum kerana aspek perpaduan ini memberi impak yang besar kepada seluruh rakyat Malaysia.

Dalam hal ini, perpaduan kaum amat penting untuk mengekalkan kestabilan politik. Kestabilan politik dalam setiap jabatan amat  perlu bagi menjamin keutuhan struktur pentadbiran Malaysia. Fungsi pentadbiran Negara pula perlu dilaksanakan secara sistematik kerana banyak negara luar yang gemar berurusan dengan pemimpin Malaysia. Impak positif yang berlaku ialah Negara Malaysia dapat melebarkan ruang lingkup jalinan persahabatan dan perdagangan bagi mencakupi arena global. Umpamanya, kestabilan politik di Johor telah memberi keyakinan kepada pelabur-pelabur asing untuk melabur di Malaysia bagi membangunkan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI). Oleh itu, perpaduan kaum yang telah menyumbang ke arah kestabilan politik memberi pulangan yang lumayan kepada Malaysia bak kata pepatah Melayu’ pucuk dicta, ulam mendatang’ kerana kedua-duanya memberikan faedah kepada Malaysia.

Seperkara lagi, perpaduan kaum dapat menjamin Negara Malaysia. Amnya mengetahui bahawa Malaysia terdiri  daripada berbilang bangsa di mana majoriti rakyatnya terdiri daripada bangsa Melayu, Cina dan India yang mempunyai pelbagai adat resam, agama dan kepercayaan sejak lima dekad yang lalu. Pemimpin-pemimpin yang lalu seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock, Tun Sambathan serta ramai pemimpin berwibawa yang lain telah berunding dan bertolak ansur untuk mencapai perpaduan demi sebuah negara yang tercinta. Kini, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk terus memelihara perpaduan yang telah kita warisi sejak zaman-berzaman lagi. Melalui perpaduan dan keharmonian, Malaysia telah mengorak langkah serta melalui satu fasa perubahan yang drastik sehingga kita standing dengan negara-negara maju yang lain dan dikagumi oleh seluruh pelusok dunia. Tambahan pula, ada segelintir pemimpin dunia yang menjadikan Malaysia sebagai suri teladan untuk membentuk perpaduan rakyat mereka seterusnya mencetuskan keharmonian negara,

Dalam nada yang sama, perpaduan kaum amat penting bagi merapatkan jurang perbezaan ekonomi pelbagai kaum di Malaysia. Melalui penemuan satu formulasi ekonomi iaitu Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia ke- 2, Allahyarham Tun Abdul Razak pada tahun 1970, beliau berjaya merungakai satu masalah yang membelenggu rakyat Malaysia yang mana, pada masa itu satu kaum telah memusuhi kaum yang lain dalam peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Impak positif daripada formulasi ini, wujud semangat bertolak-ansur dalam kalangan rakyat dalam usaha membasmi kemiskinan. Tindakan ini juga jelas dapat dilihat apabila pihak kerajaan sendiri berusaha meningkatkan taraf kehidupan golongan miskin melaui proses memodenkan kawasan luar bandar. Intihanya, usaha merapatkan jurang ekonomi antara kaum amat penting dalam usaha memupuk perpaduan kaum.

Akhirulkalam, tanggungjawab menyemai benih perpaduan dalam diri setiap individu menjadi tugas rakyat Malaysia bersama-sama. Moga-moga usaha yang telah dilakukan oleh pemimpin-pemimpin terdahulu dihargai oleh kita dengan terus memupuk sikap bersatu-padu tanpa mengira latar belakang agama, bangsa, maupun budaya. Oleh itu marilah sama-sama kita menghayati cogan kata ‘bersatu teguh, bercerai roboh’ dalam usaha meningkatkan lagi kesedaran kita tentang peri penting hidup bersatu-padu.

MANFAAT DASAR 1 MURID 1 SUKAN
     Dasar 1 Murid 1 Sukan mewajibkan setiap murid menyertai sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan di sekolah. Dasar ini menyokong pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang berhasrat untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Dengan dasar ini, setiap murid akan melibatkan diri secara aktif dengan menyertai aktiviti sukan sekolah sepanjang tahun. Dasar ini selaras dengan Dasar Sukan Negara untuk membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat dan hendaklah dimulakan di peringkat sekolah melalui dua strategi iaitu Sukan untuk Semua dan Sukan untuk Kecemerlangan. Aktiviti sukan di bawah Sukan untuk Semua adalah sangat penting dalam membina kesihatan, sahsiah dan kesejahteraan semua murid. Bagi Sukan untuk Kecemerlangan, prestasi murid yang berbakat dan berpotensi hendaklah terus dibangunkan di bawah Program Kecemerlangan Bakat Muda, Sukan Prestasi Tinggi Sekolah serta sukan lain yang mampu ditawarkan oleh pihak sekolah. Oleh halyang demikian, penyertaan setiap murid dalam sukan adalah amat penting sebagai satu landasan mendokong aspirasi 1 Malaysia yang sihat, cergas, dinamik dan bersatu padu. Dasar ini selaras dengan hasrat Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dalam mendokong semangat 1 Malaysia. Terdapat pelbagai kebaikan Dasar 1 Murid 1 Sukan. Perkara ini akan dibincangkan demi kepentingan bersama.
        Dasar 1 Murid 1 Sukan berupaya membangunkan modal insan melalui penyertaan yang menyeluruh dari kalangan murid dalam kegiatan sukan sepanjang tahun. Hala tuju dasar pendidikan negara kita amat jelas iaitu melahirkan modal insan yang bersahsiah unggul dan berkeperibadian mulia. Oleh itu, Dasar 1 Murid 1 Sukan secara tidak langsung dapat membentuk sahsiah, jati diri, disiplin dan nilai murni dalam kalangan murid-murid di sekolah. Dasar ini bertujuan untuk membangunkan sukan sekolah ke arah meningkatkan kadar penyertaan murid dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan di sekolah. Setiap murid termasuk murid berkeperluan khas yang tidak mengalami masalah kesihatan hendaklah wajib mengambil bahagian dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan. Dasar 1M 1S  diwajibkan untuk Tahun 4 hingga Tahun 6 di sekolah rendah dan Peralihan, Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6 di sekolah menengah. Walau bagaimanapun murid-murid prasekolah hingga Tahun 3 digalakkan menyertai program ini berdasarkan kemampuan sekolah. Hal ini dikatakan demikian kerana kerajaan mahu membina dan menjana modal insan yang berguna kepada bangsa dan negara melalui sukan. Tegasnya, modal insan yang syumul dan holistik dapat dilahirkan melalui dasar ini.
         Selain itu, Dasar 1 Murid 1 Sukan dapat memupuk budaya bersukan dalam kalangan murid sekolah agar menjadi ahli masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas kerana badan sihat otak cerdas. Aktiviti sukan berupaya meningkatkan kecergasan jasmani seseorang dan memenuhi naluri semula jadi murid dalam aktiviti fizikal. Hal ini dikatakan demikian kerana kerajaan sedar semakin banyak rakyat Malaysia yang mengabaikan sukan dalam kehidupan lantaran terlalu sibuk dengan urusan seharian. Akibatnya, bilangan rakyat Malaysia yang menghidap masalah kegemukan dan obesiti semakin meningkat saban tahun. Senario ini amat merugikan kerana golongan ini biasanya tidak aktif dan menghidap pelbagai penyakit yang berbahaya kepada diri mereka. Pada tahun 2011, dilaporkan rakyat Malaysia merupakan golongan terbanyak mengidap obesiti dalam kalangan rakyat di negara-negara ASEAN dan yang keenam di Asia. Oleh sebab itu, tindakan kerajaan memperkenalkan Dasar 1 Murid 1 Sukan memang tepat pada masanya dalam usaha membentuk masyarakat Malaysia yang cergas dan cerdas sepanjang masa. Izharlah bahawa amalan gaya hidup sihat dapat dipupuk melalui dasar ini.
     Jika kita singkap dari perspektif yang berbeza, Dasar 1 Murid 1 Sukan berupaya untuk memupuk perpaduan antara kaum dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia. Perpaduan merupakan kunci kejayaan Malaysia hingga dikenali di peringkat antarabangsa. Malaysia sentiasa dijadikan contoh kepada negara-negara lain di dunia ini kerana kejayaannya membentuk perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk selama 55 tahun kebelakangan ini. Kerajaan sedar bahawa rakyat tidak harus alpa akan kepentingan perpaduan untuk membina sebuah negara Malaysia yang berjaya dan harmoni. Indikator terbaik ke arah itu adalah melalui sukan. Semangat kerjasama dan bertolenransi amatlah penting dalam menjayakan sesuatu aktiviti sukan. Semua ahli sukan mesti bersatu padu untuk menjadi juara tanpa mengira warna kulit, bangsa, dan agama. Rakyat pelbagai kaum akan dipertemukan dan bergaul sesama mereka semasa menjalani aktiviti sukan. Dengan ini mereka akan memahami budaya dan cara hidup kaum lain. Sudah terang lagi bersuluh, Dasar 1 Murid 1 Sukan amatlah penting untuk memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.
        Seperkara lagi, Dasar 1 Murid 1 Sukan dapat memberikan keseimbangan antara keperluan akademik dengan keperluan fizikal. Dasar ini boleh memberikan akses kepada semua murid mendapatkan faedah daripada penglibatan dalam sukan khususnya kepada murid yang kurang atau tidak aktif. Murid-murid pada zaman ini lebih cenderung menjadi ulat buku kerana terlalu mementingkan kecemerlangan dalam bidang akademik. Mereka beranggapan bahawa aktiviti sukan hanyalah membuang masa mereka sahaja. Persepsi seperti itu perlu dikikis dari kamus kehidupan mereka kerana mereka perlu memperuntukkan masa untuk melakukan kecergasan fizikal seperti bermain bola sepak, berenang, menyertai acara balapan dan sebagainya demi kebaikan mereka. Kata orang, otak yang sihat datang dari badan yang cergas. Dengan memiliki badan yang sihat, murid-murid dapat fokus pada pelajaran mereka. Mereka dapat menjana idea yang bernas dan mampu berfikir secara kreatif dan kritis. Secara implisitnya, murid akan beroleh kejayaan dalam bidang akademik mereka. Pendek kata, murid dapat mencapai keseimbangan antara kejayaan akademik dengan kejayaan sukan melalui Dasar 1 Murid 1 Sukan yang diperkenalkan ini.
      Pada masa yang sama, Dasar 1 Murid 1 Sukan juga berupaya untuk mewujudkan landasan ke arah kecemerlangan sukan. Dasar ini memberikan peluang kepada semua murid yang berbakat dan berpotensi untuk digilap ke tahap yang lebih tinggi. Murid boleh menyertai lebih dari satu sukan mengikut kemampuan dan sukan yang ditawarkan oleh sekolah atau yang dijalankan dengan pengetahuan dan persetujuan pihak sekolah. Pada masa ini, sukan merupakan salah satu aktiviti penting. Ahli-ahli sukan yang berjaya akan dikenali di seluruh dunia. Mereka disanjung dan dipuja serta mampu meraih pendapatan berjuta-juta ringgit. Mereka bukan sahaja mampu menyumbang kepada pendapatan negara malahan menjadi duta kecil untuk menaikkan imej negara di persada antarabangsa. Kejayaan beberapa orang ahli sukan negara kita seperti Datuk Nicol Ann David, Datuk Lee Chiong Wee, dan sebagainya dalam bidang sukan seharusnya diteruskan.Sesungguhnya, usaha untuk memartabatkan arena sukan negara ke persada antarabangsa dengan kelahiran jaguh sukan negara yang digeruni dapat dicapai menerusi dasar ini.
       Bulan semakin terang, bayang kian jelas bahawa Dasar 1 Murid 1 Sukan banyak membawa  kemaslahatan kepada murid-murid di negara kita. Oleh itu, semua pihak harus memberikan galakan kepada murid-murid sekolah untuk menyertai semua aktiviti sukan yang dikelolakan oleh pihak sekolah berkaitan dengan Dasar 1 Murid 1 Sukan. Dalam pada itu, pihak sekolah pula haruslah melaksanakan Dasar 1 Murid 1 Sukan dengan sempurna agar segala matlamat dan objektif yang ditetapkan akan tercapai. Pihak sekolah tidak harus bersikap sambalewa atau sekadar melepaskan batuk di tangga. Namun begitu, sokongan daripada ibu bapa juga penting untuk menjayakan dasar ini kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Mudah-mudahan, hasrat kita untuk melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang, dan terbilang dalam sukan akan menjadi realiti dan bukannya angan-angan Mat Jenin. Biarlah matahari terus bersinar, biarlah pepohon terus menghijau dan biarlah sukan di Malaysia terus maju untuk bersaing di peringkat global agar Malaysia dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain di persada antarabangsa.
KEPENTINGAN AMALAN MENABUNG
     Dalam meniti ranjau kehidupan yang penuh dengan pancaroba, permasalahan berkaitan dengan wang amat sinonim dengan kehidupan seharian kita. Hal ini demikian kerana dengan wanglah kita dapat melakukan segala-galanya walaupun wang tidak dapat membeli segala-galanya. Menabung juga merupakan amalan yang tidak asing lagi dengan konsep kewangan demi mewujudkan masa depan yang terjamin. Oleh itu, anak-anak perlu dididik untuk menabung bagi menjamin keselesaan hidup pada hari mendatang kerana bak kata pepatah "sediakan payung sebelum hujan."

    Amalan menabungkan wang sememangnya dapat mendatangkan pelbagai manfaat kepada anak-anak khususnya apabila mereka ingin menjejakkan kaki ke menara gading. Hal ini demikian kerana kos pendidikan ke IPT semakin meningkat saban tahun akibat faktor ekonomi khususnya kolej-kolej swasta. Amalan menabung juga dapat meringankan beban keluarga lebih-lebih lagi keluarga yang mempunyai ramai anak. Oleh itu, menabung dapat meringankan beban untuk memasuki IPT khususnya kolej-kolej swasta.

   Di samping itu, amalan yang dituntut agama ini juga dapat digunakan bagi tujuan kecemasan. Hal ini demikian kerana kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja kerana bak kata pepatah "malang tidak berbau". Kos perubatan yang semakin meningkat juga merupakan sebab amalan menabung perlu diamalkan sejak kecil lagi bagi menampung kos perubatan yang mahal. Pada masa yang sama, nilai berdikari dapat ditanam dalam diri seseorang individu.

    Seterusnya, sikap suka berhutang juga dapat dielakkan. Hal ini demikian kerana dengan adanya wang simpanan, kita tidak perlu berhutang dengan orang lain ataupun dengan ceti haram. Jika kita tidak mempunyai hutang, beban hidup kita akan berkurangan. Hal ini kerana kita tidak perlu risau diburu oleh pemiutang ataupun diisytiharkan muflis dalam perniagaan.

    Selain itu, kita juga dapat mempelajari selok-belok dunia perbankan. Perkara sebegini amat penting lebih-lebih lagi kepada anak-anak yang bercita-cita untuk bekerja dalam agensi perbankan. Kita juga akan menjadi lebih arif akan perkembangan ekonomi dalam negara kita. Penabungan di bank juga dapat menyumbang kepada ekonomi dalam negara kerana wang yang ditabung akan dilaburkan sekali gus menjamin keteguhan ekonomi negara.

   Intihanya, sebagai warga yang sentiasa bersedia menghadapi ujian yang mendatang, amalan menabung perlu dipupuk sejak kecil lagi. Walaupun menabung wang dalam kuantiti yang sedikit, lama-kelamaan wang tersebut akan terkumpul menjadi banyak. Bak kata pepatah "sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit". Kita juga perlu ingat bahawa penabungan kita akan membawa kepada hasil yang lumayan pada masa akan datang.
CIRI-CIRI PELAJAR CEMERLANG

Berderap seiring berjalan pulang,
Mawar disisip hiasan si dara,
Remaja kini berperibadi cemerlang,
Menjadi tunjang aspirasi negara.

            Pantun di atas menerangkan bagaimana seorang pelajar yang cemerlang dapat memberikan kebaikan kepada negara. Hal ini demikian kerana pelajar cemerlang mampu merealisasikan aspirasi negara dan seterusnya bakal menerajui tampuk pemerintahan negara. Sehubungan dengan itu, setiap pelajar perlu mengambil inisiatif untuk menjadi pelajar yang cemerlang, bak kata peribahasa,kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Bagi menjadi pelajar yang cemerlang, pelbagai kriteria yang positif perlu dipraktikkan dalam kehidupan seharian mereka.
            Ciri utama yang perlu ada dalam diri seorang pelajar cemerlang ialah mempunyai sahsiah dan peribadi yang unggul. Seorang pelajar yang mempunyai peribadi yang unggul akan sentiasa menjaga hubungan baik sesama manusia tidak kiralah ketika bersama keluarga, guru mahupun rakan-rakan.Sebagai contoh, pelajar yang cemerlang sentiasa menghormati dan menyayangi guru mereka. Mereka juga sentiasa berlapang dada untuk membantu rakan-rakan dalam pelajaran. Sifat sombong dan angkuh tidak pernah wujud dalam kamus hidup seorang pelajar yang cemerlang. Mereka sentiasa mengamalkan sikap bermurah hati dan tidak pilih kasih dalam pergaulan dengan membeza-bezakan bangsa, agama dan prestasi akademik kerana menyedari bahawa setiap manusia adalah sama di sisi Allah. Sahsiah dan peribadi pelajar yang cemerlang yang unggul disenangi oleh orang di sekelilingnya kerana mereka tetap bergaul mesra kerana tidak bersikap seperti kera sumbang. Oleh itu, jelaslah bahawa pelajar cemerlang mempunyai sahsiah dan peribadi yang unggul.
            Seterusnya, pelajar yang cemerlang sentiasa mengikut ajaran agama. Setiap agama di dunia ini menganjurkan manusia melakukan kebaikan tidak kiralah agama Islam, Kristian, Hindu mahupun Buddha. Pelajar yang cemerlang sentiasa menjadikan agama sebagai panduan hidup. Agama menjadi landasan yang paling ampuh dalam membentuk diri pelajar yang cemerlang seperti kata seorang cendekiawan, permulaan hidup seseorang manusia adalah mengenal Tuhan dan agamanya. Pelajar yang cemerlang akan sentiasa mempunyai nawaitu yang suci dalam setiap tindakan yang dilakukan oleh mereka. Sebagai contoh, seorang pelajar Islam yang cemerlang sentiasa menunaikan tanggungjawabnya terhadap Allah iaitu dengan menunaikan solat serta sentiasa berdoa untuk mencapai kejayaan. Oleh itu, jelaslah bahawa agama menjadi pegangan pelajar yang cemerlang agar mereka tidak terpesong daripada matlamat sebenar hidup di dunia ini serta seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial (JERIS).
            Selain itu, pelajar yang cemerlang sentiasa menyedari hakikat bahawa masa itu emas dan tidak mensia-siakan setiap saat yang dimilikinya. Mereka sentiasa mengisi masa terluang dengan melakukan pelbagai aktiviti yang berfaedah seperti membaca buku, mengulang kaji pelajaran, dan beriadah. Mereka juga menyediakan jadual aktiviti harian yang fleksibel agar aktiviti yang mereka lakukan seimbang daripada aspek jasmani dan rohani. Penyediaan jadual aktiviti harian amat penting bagi memastikan pelajar tidak hanya menghabiskan masa selama 24 jam di meja belajar sahaja. Pelajar yang cemerlang juga sentiasa berusaha menambah ilmu pengetahuan mereka dengan membaca buku sekiranya mempunyai masa yang terluang. Hal ini demikian kerana, mereka menyedari melalui pembacaan, mereka akan dapat meluaskan horizon pemikiran mereka dan seterusnya menjadikan diri mereka seorang pelajar yang cemerlang. Mereka juga sentiasa menyiapkan setiap tugasan yang diberi dan tidak menangguhkannya. Mereka juga tidak mengamalkan sikap seperti pahat dengan penukul dalam proses menuntut ilmu. Oleh hal yang demikian, jelaslah kepada kita semua bahawa pelajar yang cemerlang sentiasa bijak dalam mengisi setiap saat dan minit dalam kehidupan mereka agar tidak berakhir dengan penyesalan.
            Di samping itu, ciri pelajar yang cemerlang termasuklah sentiasa memberikan tumpuan ketika guru sedang mengajar. Hal ini demikian kerana, perhatian dan tumpuan yang diberikan menjadi salah satu medium pembentukan pelajar yang cemerlang di samping meningkatkan pemahaman mengenai subjek yang dipelajari. Sebagai contoh, seseorang pelajar haruslah memberi sepenuh perhatian dan fokus ketika proses pengajaran dan pembelajaran sedang dijalankan. Mereka harus menghargai setiap detik waktu dalam proses tersebut kerana masa itu ibarat pedang, jika kita tidak memotongnya,maka ia akan memotong kita. Tumpuan dan perhatian pelajar di dalam kelas sahaja menjadi salah satu ciri pelajar cemerlang malahan dapat meningkatkan ilmu pengetahuan mereka dalam sesuatu subjek yang dipelajari. Tambahan lagi, sekiranya mereka menerapkan ciri yang berikut dalam diri mereka, mereka akan disenangi oleh para guru. Para guru akan berasa senang hati ketika mengajar seterusnya memberi keberkatan kepada pelajar tersebut untuk memperoleh kejayaan dalam pelajaran, peperiksaan bahkan dalam kerjaya mereka pada masa akan datang. Oleh hal yang demikian, jelaslah bahawa pelajar yang cemerlang sentiasa memberikan tumpuan semasa guru sedang megajar di dalam kelas.
            Bukan itu sahaja, pelajar yang cemerlang juga mempunyai wawasan hidup. Hal ini demikian kerana wawasan hidup diperlukan supaya mereka sentiasa dapat mencapai segala cita-cita dalam hidup mereka. Sebagai contoh, mereka yang cemerlang sentiasa mempunyai sasaran dalam peperiksaan dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Selain itu, wawasan hidup mampu mengajar mereka erti berdisiplin dan bertanggungjawab dalam hidup berikutan mereka akan lebih teliti dan kreatif dalam menyusun masa belajar dan melakukan aktiviti seharian. Wawasan hidup merupakan ciri dominan pada diri pelajar cemerlang kerana apabila mereka berwawasan, mereka sentiasa berusaha gigih kerana yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Pelajar yang mempunyai wawasan juga lebih mengetahui hala tuju kehidupan serta tidak mudah berputus asa dalam kehidupan mereka. Walaupun mereka mungkin menemui kegagalan dalam sesuatu perkara, mereka tidak akan mudah bersedih malahan menjadikan kegagalan tersebut sebagai batu loncatan untuk berusaha dengan lebih gigih pada masa hadapan. Wawasan hidup juga mampu menjauhkan diri daripada sifat menangguhkan kerja dalam kalangan pelajar cemerlang. Setiap pekerjaan haruslah dilakukan hingga selesai, bak kata peribahasa, alang-alang menyeluk perkasam, biar sampai ke pangkal lengan. Sifat negatif tersebut tidak akan lagi menjadi penghalang kepada diri mereka dalam menempa kejayaan hidup. Oleh hal yang demikian, jelaslah bahawa pelajar yang berwawasan merupakan pelajar yang cemerlang.
            Sementara itu, untuk menjadi seorang pelajar yang cemerlang, setiap pelajar hendaklah sentiasa aktif melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum. Hal ini demikian kerana, melalui aktiviti kokurikulum di sekolah, bakat dan kebolehan para pelajar akan terserlah dan dapat terus digilap untuk mencapai kejayaan. Tamsilannya, para pelajar akan sentiasa melibatkan diri dalam sebarang aktiviti yang diadakan oleh unit beruniform, serta kelab dan persatuan seperti berkawad dan berkhemah. Dalam konteks ini, para pelajar bukan sahaja dapat menyihatkan tubuh badan mereka malah turut dapat mencerdaskan otak mereka kerana otak yang cerdas lahir daripada badan yang cergas. Para pelajar juga haruslah menyertai sebarang pertandingan bagi mengenal pasti potensi diri sama ada melalui unit beruniform mahupun akademik. Contohnya, pelajar yang cemerlang akan menyertai pertandingan yang dapat menguji minda serta pemikiran mereka seperti pertandingan perbahasan, forum dan catur. Oleh hal yang demikian, setiap pelajar perlu bergiat aktif dalam aktiviti kokurikulum untuk menjadi seorang pelajar yang cemerlang dan seimbang.
            Intihnya, kriteria-kriteria yang positif perlu ada dalam diri setiap pelajar bagi melahirkan pelajar yang cemerlang dalam semua skop kehidupan. Pelajar yang cemerlang mampu berfikir luar daripada kotak pemikiran dan seterusnya mampu merealisasikan aspirasi negara. Hal ini demikan kerana, pelajar yang cemerlang merupakan pemacu jentera negara dan akan menerajui tampuk pemerintahan negara pada masa hadapan. Oleh itu, generasi pelajar yang cemerlang perlu dipupuk sejak kecil lagi bak kata peribahasa Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya.

WAJIB LULUS MATA PELAJARAN SEJARAH MAMPU MENINGKATKAN SEMANGAT PATRIOTIK DALAM KALANGAN PELAJAR. BAHASKAN.
Dasawarsa ini, isu semangat patriotik yang semakin luntur dalam atma rohani generasi akar umbi kerap menjadi perbincangan dalam kalangan marhaen di Malaysia. Dari segi konsepnya, semangat patriotik boleh didefinisikan sebagai semangat cinta akan tanah air dan sanggup berkorban nyawa demi mempertahankan negara tercinta. Biasanya, golongan remaja yang tidak menyedari kepentingan sejarah silam tidak memiliki semangat patriotik. Hal ini bertepatan dengan peribahasa, bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Menurut Tun Dr Mahathir, tiada bangsa di dunia yang tidak mencintai tanah airnya sendiri. Natijahnya, negara akan menjadi mundur, masa depan negara kabur jika generasi pelapis luntur semangat patriotiknya. Oleh itu , langkah kerajaan yang akan mewajibkan pelajar peringkat Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) lulus mata pelajaran sejarah merupakan langkah yang pragmatik untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan belia.
Antara sebab kerajaan mewajibkan pelajar lulus mata pelajaran Sejarah adalah kerana sifat menyeluruh isi kandungan mata pelajaran Sejarah. Hal ini kerana peristiwa dan tarikh yang tercatat dalam sejarah tidak boleh dipesongkan kerana faktanya tepat dan tidak terseleweng. Justeru, peristiwa 31 Ogos 1957 dan 13 Mei 1963 wajar dijadikan iktibar agar generasi muda lebih menghargai dan menyedari kepentingan sejarah silam. Hal ini bertepatan dengan peribahasa, yang baik dijadikan teladan dan yang buruk dijadikan sempadan. Menurut Datuk Dr Haji fadzillah Kamsah, manusia tanpa sejarah, melakukan kesalahan yang sama berulang kali.Sekiranya, mata pelajaran Sejarah bersifat menyeluruh dipelajari dan dihayati oleh generasi pelajar , maka pastinya semangat patriotik akan lebih membara dalam jiwa mereka.

Selain itu, tiada cara lain yang lebih berkesan untuk meningkatkan semangat patriotik dalam diri pelajar selain daripada mata pelajaran Sejarah. Hal ini kerana, mata pelajaran lain seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik tidak membantu secara langsung pemupukan semangat patriotik.Menurut kajian yang dilakukan oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Putra Malaysia mendapati,mata pelajaran Sejarah memberikan pendedahan kepada golongan pelajar untuk memahami dan menghayati perjuangan tokoh-tokoh terdahulu.Hal ini bertepatan dengan peribahasa, tak kenal maka tak cinta. Menurut Abraham Lincoln, semangat patriotik  merupakan asas pembentukan sebuah negara bangsa. Sekiranya, segenap lapisan marhaen di Malaysia menghayati sejarah negara, maka Malaysia akan menjadi sebuah negara maju, aman dan damai.

Dalam pada itu, semangat patriotik yang semakin luntur dalam kalangan remaja hari demi hari menyebabkan mata pelajaran Sejarah perlu diwajibkan untuk lulus. Hal ini demikian kerana terdapat banyak insiden tidak bermoral seperti menjadikan Jalur Gemilang sebagai kain basahan dan sikap kurang ajar Namawee yang menukar lirik lagu Negaraku ke Negarakuku. Justeru, mata pelajaran Sejarah perlu disuntik secara paksa dan lebih mendalam dengan cara wajib lulus. Hal ini bertepatan dengan peribahasa, cegah sebelum parah. Sekiranya pelajar sedar dan percaya akan kepentingan wajib lulus mata pelajaran Sejarah, maka pastinya hasrat mahu melihat generasi muda lebih bersemangat patriotik akan tercapai.

Akhir kalam, isu semangat patriotik yang semakin luntur kerap menjadi polemik dalam kalangan rakyat Malaysia. Sememangnya, semangat patriotik  dalam diri rakyat Malaysia kini berada pada tahap yang rendah dan tidak boleh dibanggakan. Semoga,api semangat patriotik terus berkobar-kobar dan bernyala dalam diri setiap insan.Oleh itu kita perlu bersinergi supaya semangat patriotik dalam kalangan  marhaen lebih baik. Sekiranya, semangat patriotik kita tinggi, maka negara kita menjadi lebih utuh dan kukuh  seperti negara-negara atas angin.
GEJALA BULI SEMAKIN BERLELUASA DALAM KALANGAN REMAJA. 
BINCANGKAN LANGKAH MENGATASI GEJALA BULI DI SEKOLAH.

Belakangan ini, isu gejala buli sering meniti dari bibir ke bibir golongan marhaen di negara ini. Dari segi konsepsinya, gejala buli boleh ditakrifkan sebagai perbuatan memeras ugut pelajar lain hingga mengakibatkan kecederaan atau kehilangan nyawa. Biasanya, murid sekolah menengah yang bermasalah terlibat dalam gejala buli ini. Keadaan pembuli dan mangsanya bertepatan dengan peribahasa, bagai anjing dengan kucing. Oleh itu, terdapat pelbagai strategi untuk mengatasigejala buli di sekolah.
Antara prakarsa yang pragmatik dan berkesan untuk menangani gejala buli ialah remaja seharusnya bijak memilih rakan sebaya. Hal ini demikian dapat mengelakkan remaja daripada terlibat dalam gejala negatif. Justeru, remaja perlu mencari rakan yang Islamik, taat kepada kedua ibu bapa dan mempunyai budi pekerti mulia sebagai rakan akrab. Natijahnya, remaja boleh menghindarkan diri daripada terlibat dalam gejala buli serta perlakuan negatif yang lain. Hal ini bertepatan dengan peribahasa Arab, jika kita berkawan dengan penjual minyak wangi kita akan berbau wangi dan jika berkawan dengan tukang besi kita akan terasa bahangnya. Rakan yang baik bolehdianalogikan seperti bunga ros yang sentiasa mekar dan harum baunya. Menurut Datuk Dr Haji Fadzillah Kamsah, orang yang cemerlang dan hebat dalam pergaulan bermula daripada cetusan aura apabila dikelilingi rakan-rakan yang hebat. Sekiranya remaja Malaysia bijak dalam bersahabat, maka pastinya gejala buli dapat dikurangkan.
Selain itu, langkah seterusnya ialah ibu bapa bertanggungjawab memantau tingkah laku anak-anak mereka. Hal ini demikian, ibu bapa boleh mengesan sebarang perlakuan aneh anak-anak mereka. Justeru, ibu bapa seharusnya megetahui keberadaan anak-anak mereka dengan sentiasa berhubung melalui telefon bimbit. Natijahnya, ibu bapa boleh menghindarkan anak-anak mereka daripada sebarang perlakuan songsang terutamanya buli. Hal ini bertepatan dengan peribahasa, anak-anak ibarat kain putih dan ibu bapa pencoraknya. Pemantauan berkesan oleh ibu bapa dalam menangani gejala buli boleh dianalogikan seperti selimut yang menutup tubuh ketika kesejukan.Sekiranya, ibu bapa peka dengan tingkah laku anak-anak maka statistik masalah buli dalam kalangan remaja di sekolah akan berkurangan.

Selain itu, pihak kerajaan boleh menjenamakan semula kempen antibuli yang selama ini saban tahun diadakan di sekolah. Hal ini kerana kempen antibuli yang berteraskan ceramah dan pameran agak kurang terkesan di hati para pelajar. Pihak sekolah melalui Unit Disiplin Sekolah boleh menukar strategi kempen yang proaktif dan provokatif bagi tujuan menakut-nakutkan bakal pembuli. Justeru, pihak sekolah umpamanya boleh meminta kerjasama pihak Jabatan Penjara Malaysia atau Polis Diraja Malaysia bagi memastikan kempen antibuli menjadi lebih berkesan. Kerjasama pelbagai pihak dalam menangani gejala buli boleh diumpamakan seperti ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni. Sekiranya, kempen antibuli berjaya meresapi nurani pelajar maka pastinya sekolah menjadi tempat yang lebih selamat untuk semua pelajar.

Akhir kalam, gejala buli yang menjadi polemik dalam kalangan masyarakat pelajar di negara ini perlu ditangani segera. Sememangnya gejala buli masih wujud namun banyak kes-kes terpencildisensasikan oleh media massa di negara ini. Semoga gejala buli dapat ditangani secara bijaksana oleh pihak berkuasa dengan kerjasama pihak sekolah. Oleh itu  kitaperlu bersinergi dalam memastikan gejala buli dapat dilenyapkan di bumi bertuah ini. sekiranya gejala buli tidak wujud maka Malaysia mampu berdiri gah di persada dunia dan mendabik dada kerana generasi mudanya bertaraf dunia.
TEMA    : Menghargai kasih sayang guru
ARAH    : Cara


                Dalam mendepani era milennium pada abad ke-21 kini, dunia menyaksikan iktisad negara yang semakin pesat membangun seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Ekonomi negara yang semakin maju ibrata tenggelam sama basah, timbul sama hanyut dengan negara maju lain. Namun, dasawarsa ini generasi muda kurang menghormati guru sungguhpun golongan guru ibarat lilin yang yang sanggup membakar diri. Suffian Astauri ada menyatakan, menuntut ilmu lebih utama daripada solat sunat. Hal ini kerana , menuntut ilmu merupakan bekalan pahala kita di akhirat nanti. Surah Al-Baqarah ada menjelaskan, boleh jadi kamu tidak menyukai sesuatu perkara sedangkan perkara tersebut baik untukmu, boleh jadi kamu menyukai sesuatu perkara sedangkan perkara tersebut tidak baik untukmu. Hatta, tanpa guru tidak lahir golongan cerdik pandai yang mampu memimpin negara ke arah kecemerlangan. Oleh itu, Konsep Sekolah Penyayang yang berteraskan budaya kemesraan dan kasih sayang antara guru dan murid sewajarnya diterapkan di setiap sekolah. Rentetan itu, murid akan lebih menghargai  setiap ilmu yang dititiskan oleh guru. Malahan, terdapat pelbagai variasi uslub dan minhaj boleh diswadaya bagi menghargai golongan guru. Hal ini kerana, guru sentiasa menganggap murid sebagai benih yang baik dilemparkan ke darat menjadi permata yakut yang bersinar cemerlang, dilemparkan ke laut menjadi pulau penuh khazanah.

                Sudah terang lagi bersuluh, prakarsa yang afdal untuk menghargai kasih sayang guru adalah menghormatinya. Tamsilnya, kita mestilah memberi salam dan mengikuti arahan guru pada setiap masa. Hal ini kerana, guru ialah orang yang mencurahkan ilmu dan mengajar kita erti kehidupan tanpa mengenal jemu. Natijahnya, kita akan menjadi orang yang berpengetahuan luas dan bersedia menghadapi krisis kehidupan pada masa akan datang. Murid yang menghormati guru boleh dianalogikan seperti semut merah yang menghormati dan melindungi permaisurinya. Menurut Whittier, apabila kepercayaan terhadap guru hilang, maka matilah orang itu. Surah An Nahl ayat 125 ada menyatakan, serulah ke jalan Tuhan-Mu wahai Muhammad dengan hikmah dan pengajaran yang baik serta berbahaslah dengan cara yang terbaik. Hal ini bermakna, guru merupakan orang yang sepatutnya kita letakkan di tempat yang tinggi kerana agama Islam sendiri meletakkan guru sebagai insan selepas ibu dan bapa. Sekiranya pelajar di Malaysia menghormati guru-guru mereka , maka wujudlah suasana sekolah yang kondusif dan harmonis. Oleh itu, marilah kita menghormati guru yang mengajar kita supaya kita menjadi pelajar yang cemerlang dan berakhlak mulia.

               
                Peribahasa Melayu ada menyatakan, orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa. Oleh itu, sebagai murid, kita seharusnya bersyukur dan sentiasa mendoakan kebahagiaan guru yang telah mendidik kita tanpa jemu. Tambahan pula, mereka sanggup bersengkang mata menanda kertas peperiksaan dan mengadakan kelas tambahan semata-mata mahu melihat kejayaan anak didiknya. Jika kita sentiasa mendoakan kebahagiaan guru-guru kita, ilmu yang kita pelajari akan kekal dan diberkati oleh Allah s.w.t. Imam Abu Hanifah pernah menyatakan, “tidak sekalipun aku solat kecuali aku doakan untuk guruku Hammad dan mereka yang pernah mengajarku.” Hal ini kerana, sebagai umat Islam kita seharusnya sentiasa berpegang teguh pada ajaran Islam  dan mentaati serta mendoakan guru-guru kita agar kita dapat belajar dengan tenang dan selesa.

                Sebagai remaja yang lagi lebai lagi berjanggut, kita semestinya membantu guru tatkala mereka inginkan pertolongan kita.Hal ini kerana, guru merupakan golongan yang perlu dihormati oleh individu bergelar pelajar. Natijahnya, keberkatan ilmu  akan diperoleh jika menyenangkan hati guru mereka tanpa menggores perasaan mereka. Seyogia, setiap pelajar harus ringan tulang membantu guru-guru mereka. Hal ini bertepatan dengan aforisme, habis kapak berganti beliung. Tanpa sikap ringan tulang, pasti pelajar akan mengalami kesukaran untuk berjaya kelak. Menurut Datuk Dr Haji Fadzillah Kamsah, pelajar yang terbaik ialah pelajar yang sentiasa datang awal ke sekolah membantu guru sesuai dengan peribahasa hanyut dipintasi, lulus diselami dan hilang dicari. Sementelahan, jasa guru terhadap pelajar tidak ternilai dengan harta dan wang ringgit. Sekiranya setiap pelajar berusaha sedaya upaya menbatu guru seperti membawa buku guru dan menyiapkan tugasan mengikut masa yang ditetapkan, segala ilmu akan beroleh keberkatan.
Peribahasa seperti pahat dengan penukul menggambarkan sikap liat dan berat hati dalam melakukan tugasan. Oleh itu , pelajar perlu mengubah sikap dan sentiasa bertindak pantas dalam membuat sebarang tugasan yang diarahkan oleh guru. Menurut Surah Ar Ra’d, Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum tersebut yang mengubahnya. Hal ini menunjukkan bahawa, pelajar perlu memiliki wawasan dan visi yang jelas di sekolah. Sikap malas harus dibuang sama sekali dan sikap rendah diri dalam menyiapkan sebarang tugasan yang diberikan oleh guru perlu wujud dalam diri pelajar. Seperkara yang penting ialah, setiap tugasan merupakan amanah yang diberikan oleh guru kepada murid. Manakala sebagai murid, kita perlu berusaha sedaya upaya menyiapkan tugasan yang terbaik untuk diserahkan kepada guru. Sekiranya semua pelajar berintegriti dalam menyiapkan tugasan serta memahami tanggunjawab diri, maka elemen kasih sayang antara guru dan murid semakin terpaut erat.

Sebagai pengitlakan, guru ialah insan yang perlu kita letakkan pada darjat yang tinggi. Guru banyak berkorban masa dan tenaga mendidik kita sehingga berjaya. Albert Einstein sendiri pernah menyatakan, ilmu tanpa agama ialah buta. Hal ini membuktikan kepada kita bahawa, pelajar yang berilmu dan berpengetahuan dalam semua bidang terhasil daripada komitmen dan kerja keras golongan guru. Sebagai murid, kita perlu menjadi seperti burung jentayu yang patah sayap bertongkatkan paruh, patah paruh bertongkatkan dagu, patah dagu bertongkatkan kuku dalam memartabatkan guru-guru kita. Sekiranya semua pelajar menghargai jasa dan pengorbanan guru, maka ilmu yang dipelajari diberkati dan seterusnya menjana modal insan kelas pertama.
                Jika hari ini seorang ulama yang mulia ,
                Jika hari ini seorang peguam menang bicara ,
Jika hari ini seorang perdana menteri berkuasa ,
Semuanya bermula dengan guru biasa ,
Yang mengajar tulis baca.

LANGKAH UNTUK MENANGANI MASALAH KENAIKAN HARGA BARANG
Setelah menghela nafas kemerdekaan selama 57 tahun, ibu pertiwi kita yang telah bebas daripada cengkaman penjajah begitu pesat membangun bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.Sehubungan dengan hal itu, peribahasa ada menyebut bahawa, ada bukit, ada paya, namun kita tidak boleh mendabik dada kerana di sebalik kemajuan yang sedang dikecapi, negara kita masih lagi terkongkong dalam gelombang inflasi yang semakin rumit. Walaupun isu ini hangat diperkatakan dan sering meniti di bibir masyarakat, tetapi pernahkah terlintas dalam benak fikiran kita, apakah yang dimaksudkan dengan inflasi?  Mengikut penjelasan yang terdapat dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, inflasi didefinisikan sebagai keadaan kenaikan harga barangan yang disebabkan oleh bertambahnya kuasa membeli. Oleh itu, masalah ini tidak boleh dipandang remeh dan formula penyelesaian harus diimplimentasikan untuk merungkai masalah ini bak kata peribahasa, tak ada gunung yang tak dapat didaki, tak ada lurah yang tak dapat dituruni.
Setiap penyakit ada penawarnya yang mustajab, setiap masalah ada jalan penyelesaian yang berkesan, oleh itu, pihak kerajaan sewajarnya mengambil inisiatif dengan menganjurkan kempen berhemat secara istiqamah dan konsisten ke seluruh pelosok negara dan bukannya sekadar melepaskan batuk di tangga. Memetik kata-kata azimat  Lootze, kehidupan membazir dan tamak haloba mendorong manusia ke arah kebinasaan. Lantaran itu, kempen tersebut haruslah menekankan kepentingan amalan berjimat cermat supaya nilai murni ini dapat dijadikan amalan dalam kehidupan masyarakat Malaysia. Tindakan yang lebih afdal, masyarakat sewajarnya diseru supaya berbelanja mengikut kemampuan sendiri ibarat mengukur baju di badan sendiri dan usahlah bersikap membesarkan kerak nasi. Cara berbelanja dengan mengikut hawa nafsu akan membawa padah yang buruk kerana peribahasa Melayu ada menyatakan, ikut nafsu lesu, ikut hati mati, ikut rasa binasa. Bukan itu sahaja, pihak kerajaan juga harus mengadakan pertandingan yang dapat menarik penyertaaan khalayak seperti sayembara puisi, menulis esei, persembahan artis dan sebagainya dalam usaha menyebarluaskan kempen tersebut. Jelaslah bahawa penganjuran kempen berhemat secara berterusan dan holistik merupakan perisai yang ampuh untuk merungkai masalah kenaikan harga barangan.
Jika satu pintu tertutup, pintu lain akan terbuka untuk menyelesaikan sebarang kesulitan yang berlaku di negara kita termasuk isu kenaikan harga barang. Namun begitu. kita tetap melihat dan kemudiannya menyesal kerana pintu penyelesaian itu tertutup terlalu lama sehingga kita tidak dapat melihat pintu lain yang telah terbuka. Begitulah gambaran implikasi daripada kata-kata mutiara Alexander Graham Bell, seorang ahli sains dan matematik Barat yang menunjukkan bahawa setiap masalah pasti ada cara yang berkesan untuk mengatasinya. Sebagai kesinambungan idea, tindakan agensi bukan kerajaan atau NGO melindungi hak-hak pengguna daripada kenaikan harga barangan tanpa kawalan di pasaran merupakan langkah konkrit yang patut dilaksanakan sepanjang masa. Organisasi atau agensi yang menyokong peranan kerajaan ini seperti Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia atau FOMCA dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang atau CAP, telah mendukung obligasi untuk melindungi hak para pengguna. Pihak-pihak ini berperanan untuk menerima sebarang aduan dan menyiasat segala permasalahan yang dihadapi termasuklah masalah kenaikan harga barangan keperluan, penjualan barangan yang telah luput tarikh, caj perkhidmatan yang melampau dan sebagainya. Seterusnya FOMCA dan CAP haruslah mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memastikan hak golongan pengguna akan terpelihara dan tidak mudah dieksploitasi oleh peniaga-peniaga yang licik dan tidak bertanggungjawab. Organisasi-organisasi ini haruslah menjalinkan hubungan ukhuwah ibarat seikat bak sirih, serumpun bak serai dan kita juga berpegang pada falsafah Confusius, apakah gunanya sekiranya kita tidur sebantal tetapi mimpi kita lain-lain, lebih baik kita tidur bantal yang berlainan, tetapi mimpi kita tetap sama. Deduksinya, melindungi hak-hak pengguna daripada kenaikan harga barangan tanpa kawalan di pasaran merupakan tindakan efektif oleh agensi bukan kerajaan atau NGO.
Tokoh psikologi Barat pernah mengungkapkan bahawa tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan, sebaliknya hidup tanpa dibebani masalah adalah kosong. Kata-kata ini memang ada kebenarannya dan semua rakyat di negara ini perlu berpijak di bumi nyata kerana setiap kemelut yang kita hadapi mesti ada uslub dan minhaj yang komprehensif. Bertitik tolak daripada manifestasi ini, pihak berkuasa seharusnya sentiasa membuat pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menaikkan harga barangan sesuka hatitanpa memperoleh kelulusan daripada pihak berwajib. Pegawai kerajaan berkaitan juga haruslah memainkan peranan yang penting untuk mengadakan pemeriksaan secara mengejut ke premis-premis perniagaan dari semasa ke semasa untuk memastikan para peniaga mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan tidak bersikap seperti lintah darat. Sementelahan itu, pihak kerajaan juga haruslah melunaskan tanggungjawab yang terletak di atas pundak mereka untuk menggubal, mengkodifikasikan seterusnya menguatkuasakan undang-undang secara serius dan telus supaya dapat memberi peringatan kepada golongan peniaga. Mana-mana peniaga yang cuba menaikkan harga barangan atau memasang lukah di pergentingan hendaklah didakwa di mahkamah agar kesalahan sebegini tidak berulang ibarat pisang berbuah dua kali. Oleh itu, usaha pihak berkuasa yang sentiasa membuat pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang tidak bertanggungjawab dapat mengekang masalah kenaikan harga barangan di pasaran.
Lampu Aladdin tidak akan bersinar sendiri, tetapi Aladdin akan menggosoknya terlebih dahulu, persis ungkapan kata Alex Osborn telah membuktikan bahawa kejayaan semanis madu tidak akan terjana tanpa curahan usaha yang bersungguh-sungguh kerana peribahasa Melayu ada menyebut, kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Hakikatnya, media massa juga menggalas kewajipan untuk menyebarluaskan informasi berkaitan ilmu kepenggunaan merupakan prakarsa bagi menangkis masalah kenaikan harga barang. Sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa ilmu kepenggunaan dalam kalangan masyarakat Malaysia masih kurang meluas dan berada di takuk yang lama. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya segelintir golongan peniaga yang mengutamakan keuntungan akan bersikap ibarat menangguk di air keruh, menindas gologan pengguna yang tidak berdosa. Oleh hal yang sedemikian, media massa haruslah menyumbang tenaga secara optimum dengan menerapkan pengetahuan berkaitan hak-hak pengguna kepada seluruh strata masyarakat. Dengan komitmen pihak media massa, pengguna akan mengetahui kaedah yang efisien untuk menuntut hak mereka daripada dimanipulasikan oleh para peniaga yang durjana. Misalnya, apabila berlaku kenaikan harga barangan, pengguna akan dapat membuat aduan kepada pihak berwajib dan agensi bukan kerajaan supaya hak-hak mereka dapat dipertahankan. Melalui penyebaran maklumat oleh media cetak dan media elektronik, para pengguna termasuk suri rumah tangga akan memperoleh ilmu kepenggunaan secara total dan bertindak berani kerana benar dalam memperjuangkan hak mereka seterusnya mengatasi kemelut kenaikan harga barangan di negara ini.
Dari dimensi yang berbeza,  kurikulum  dan kokurikulum  tentang ilmu kepenggunaan di sekolah adalah pendekatan yang ampuh untuk melahirkan pengguna muda yang bijak. Hal ini disebabkan oleh proses pendidikan yang berkesan hanya dapat dilakukan oleh pihak sekolah untuk melahirkan generasi yang berilmu terutamanya ilmu kepenggunaan.  Ilmu kepenggunaan perlu disuntik kepada sanubari pelajar kita ketika masih di bangku sekolah kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Melalui mata pelajaran Kemahiran Hidup, pelajar telah disalurkan pengetahuan tentang hak-hak pengguna. Di samping itu, semua sekolah juga digalakkan supaya menubuhkan Kelab Pengguna kepada remaja yang berusia setahun jagung dan berdarah setampuk pinang. Pelbagai aktiviti boleh dianjurkan seperti perbahasan, pidato, perbicaraan mahkamah pengguna dan sebagainya. Tindakan ini amat penting supaya anak muda kita  akan menjadi jauhari yang mengenal manikam, iaitu menjadi pengguna yang bijak. Kesannya, ketika melangkah ke alam kedewasaan, golongan tersebut dapat menggunakan kuasa pengguna daripada terus ditindas oleh pengguna yang tamak dan tidak beramanah. Ternyatalah bahawa ilmu kepenggunaan dapat dipupuk dari alam persekolahan lagi.
Setelah meniti perbincangan secara panjang lebar, sudah terang lagi bersuluh bahawa terdapat pelbagai minhaj yang dapat diambil untuk menangani masalah  kenaikan harga barang di negara kita. Oleh itu, segenap lapisan masyarakat mesti bersama-sama menggembleng tenaga untuk mengekang kenaikan harga barangan dari peringkat akar umbinya. Sebagai manusia yang kamil dan soleh, kita tidak wajar menadah tangan ke langit menunggu kejatuhan lampu ajaib Aladdin kerana peribahasa Melayu ada menyatakan, yang bulat tak datang bergolek, yang pipih tak datang melayang. Oleh itu,semua anggota komuniti haruslah mendukung semangat habis kapak berganti beliung untuk membendung masalah tersebut.  Oleh itu, Wawasan 2020 yang dicetuskan oleh mantan Perdana Menteri kita yang keempat, Tun Mahathir bin Mohamad bukan lagi menjadi angan-angan Mat Jenin. Diharapkan usaha yang dimainkan dapat memelihara kestabilan ekonomi pelbagai pihak.
PERANAN PIBG MEMBANTU MENINGKATKAN KECEMERLANGAN AKADEMIK, SAHSIAH DAN KOKURIKULUM MURID-MURID DI SEKOLAH.
Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) merupakan elemen penting dalam sesebuah institusi pendidikan. Hubungan yang erat antara ibu bapa dan guru berupaya meningkatkan kecemerlangan murid dalam bidang akademik, sahsiah dan kokurikulum.  Sering kali kita lihat di dada-dada akhbar bahkan sudah lali di telinga tentang isu ibu bapa menyerang guru dipolemikkan dan menjadi tajuk utama dalam akhbar harian.   Pihak sekolah pula mempertikaikan tindakan ibu bapa yang menuduh pihak sekolah tanpa usul periksa terlebih dahulu punca anak mereka didenda ataupun dikenakan tindakan tatatertib oleh pihak sekolah.  Fenomena ini tidak seharusnya terjadi jika  wujudnya persefahaman dan kejelekitan hubungan antara PIBG dengan pihak sekolah. Persoalannya kini, apakah prakarsa atau kerjasama yang dapat dijalinkan bagi mencapai kata sepakat sejajar dengan mutiara kata, Bersekutu membawa mutu?   Oleh itu, segala elemen penting untuk meningkatkan kecemerlangan akademik, sahsiah dan kokurikulum murid akan dikupas dengan lebih terperinci lagi untuk kepentingan semua pihak.
Sebagai lanjutan huraian di atas,  perkara dominan yang harus dititikberatkan ialah kerjasama ibu bapa dan guru dalam bidang akademik. Sebagai contohnya, guru boleh memaklumkan tahap  progresif akademik murid kepada ibu bapa mereka pada setiap akhir peperiksaan.   Apabila ibu bapa sudah tahu tahap pencapaian akademik anak-anak mereka,  melalui perbincangan dalam mesyuarat PIBG, pelbagai insiatif boleh diambil bagi menangani masalah pencapaian akademik anak-anak mereka.  PIBG boleh memberikan saranan bagi menambahbaikkan program kecemerlangan yang telah dirancang oleh pihak sekolah.   Melalui perbincangan profesionalisme inilah akan lahirnya pelbagai program kecemerlangan seperti  Program Menuju Puncak,  Program Jejak Gemilang dengan menjemput penceramah yang mahir dan berpengalaman dalam mata-mata pelajaran tertentu.  Keprihatinan dan kebertanggungjawaban inilah akan dapat melonjakkan GPS sekolah seterusnya kegemilangan dalam pencapaian akademik akan terserlah.  Seterusnya, masa depan negara yang bakal diterajui oleh belia-belia negara sudah pasti bukan lagi menjadi impian semata-mata. Jelaslah bahawa peranan PIBG dalam membantu meningkatkan kecemerlangan akademik murid tidak perlu lagi dipertikaikan terutamanya sumbangan dalam bentuk saranan idea yang bernas mahupun dana kewangan.
Lontaran idea yang seterusnya, kepentingan Persatuan Ibu Bapa dan Guru dalam mendidik sahsiah anak nusa bangsa.  Pada realitinya,  guru merupakan mata dan telinga ibu bapa di sekolah.   Hal ini kerana rata-rata murid menghabiskan satu  per tiga masanya di sekolah termasuklah kelas tambahan,  aktiviti sukan dan sebagainya.   Biar kita ambil contoh yang paling dekat dengan kita, murid yang bermasalah dari segi sahsiahnya lazimnya akan dipanggil oleh guru disiplin. Obligasi guru pula adalah dengan memaklumkan tingkah laku anak mereka di sekolah.  Melalui Mesyuarat Agung PIBG, segala permasalahan disiplin murid yang menjadi agenda perbincangan turut dibahaskan  dengan pelbagai usul dikemukakan oleh ibu bapa. Pada masa yang sama, PIBG tidak seharusnya melepaskan tanggungjawab membentuk keperibadian yang syumul anak-anak mereka kepada pihak sekolah sahaja.  Sebagai contohnya, pada Hari Terbuka ibu bapa seharusnya mengambil peluang keemasan ini untuk bertemu dan berbincang dengan guru bagi mengetahui perkembangan semasa anak mereka di sekolah lebih-lebih lagi tentang masalah disiplin anak mereka.  Persis mutiara kata yang mengatakan bahawa kalau tiada angin masakan pokok bergoyang.   Peribahasa tersebut menjelaskan bahawa setiap perbuatan itu ada sebab dan musababnya.   Ibu bapa seharusnya mendidik anak mereka sejak usia mereka setahun jagung, darah setampuk pinang lagi. Hal ini bertepatan dengan peribahasa bagaimana acuan begitulah kuihnya.   Izharlah bahawa Persatuan Ibu Bapa dan Guru memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan kecemerlangan sahsiah murid.

Peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru dalam memantapkan kokurikulum tidak seharusnya dipandang sebelah mata.  Kegiatan kokurikulum merupakan aktiviti di luar bilik darjah yang amat digalakkan untuk penyertaan semua pelajar.  Selain menyahut seruan kerajaan 1Murid 1Sukan,  kegiatan kokurikulum juga akan mencergaskan fizikal dan mencerdaskan minda murid-murid di sekolah. Sebagai analoginya, PIBG boleh memberikan komitmen yang padu dalam penganjuran Hari Sukan Tahunan dengan menjemput semua ibu bapa hadir untuk memberikan sokongan dan memeriahkan Hari Kejohanan  Sukan tersebut.  Galakan yang diberikan secara tidak langsung akan meningkatkan semangat kesukanan murid.  Hal ini demikian kerana dengan adanya ibu bapa tersayang memberikan semangat, pelajar akan terdorong dan lebih teruja untuk memenangi sesuatu acara sukan tersebut.  Guru-guru pula dapat berkenalan dengan ibu bapa pelajar sekali gus membincangkan potensi-potensi yang dapat dicungkil daripada anak mereka.  Rentetan daripada itu, bidang kokurikulum dapat ditingkatkan ke arah yang lebih cemerlang,  gemilang dan terbilang. Seharusnya kita lebih mengerti pengaruh PIBG  dalam menjayakan aktiviti kokurikulum ini melalui komitmen, sokongan padu dan galakan ibu bapa terhadap penyertaan anak-anak mereka dalam kegiatan kokurikulum ini.  Tambahan pula, pencapaian kokurikulum turut diambil kira dalam prasyarat kemasukan ke IPTA.  Jadi, ibu bapa dan gurulah yang perlu mencorakkan hala tuju mereka ke arah yang lebih baik.  Tuntasnya, Persatuan Ibu Bapa dan Guru amatlah penting dalam meningkatkan kecemerlangan kokurikulum sekali gus meniupkan harapan senada dalam memenuhi aspirasi negara seiring dengan slogan ‘Majulah sukan untuk negara’.
Sudah terang lagikan bersuluh, Persatuan Ibu Bapa dan Guru berupaya membantu dalam meningkatkan kecemerlangan akademik, sahsiah dan kokurikulum. Usahlah kita memandang enteng dengan potensi yang ada dalam wira bangsa anak-anak kita dengan mengagung-agungkan masyarakat luar umpama anak di pangkuan diletakkan, kera di hutan disusui. Oleh hal yang demikian, pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru wajarlah mengambil langkah dan prakarsa yang konkrit, sistematik dan pragmatik bak peribahasa sediakan payung sebelum hujan, sebelum nasi menjadi bubur.   Sesungguhnya dengan berkat semua pihak yang saling berganding bahu bagai aur dengan tebing, bergerak seia sekata, kecemerlangan akademik, sahsiah dan kokurikulum dapat direalisasikan demi menyahut Wawasan 2020 yang bakal menjelang tiba sekali gus melahirkan rakyat yang sihat sejahtera serta  berketerampilan dalam segala bidang.
PERANAN IBU BAPA DAN MASALAH SOSIAL
Dalam meniti arus kemodenan ini, pelbagai penyakit sosial yang mampu meranapkan peradaban bangsa dan negara melanda golongan remaja. Akhir-akhir ini, berita mengenai golongan remaja terjebak dalam gejala sosial kerap terpampang di dada akhbar. Masalah sosial adalah suatu ketidaksesuaian antara unsur-unsur kebudayaan atau masyarakat, yang membahayakan kehidupan kelompok sosial. Daripada kes bohsia, hamil luar nikah yang diikuti dengan pembuangan zuriat di dalam tong sampah, penderaan, gengsterisme dan vandalisme, rogol, sumbang mahram, ketagihan dadah, hinggalah kepada mat rempit. Keutuhan institusi keluarga begitu penting dalam usaha menangani gejala sosial sehingga institusi keluarga diibaratkan seperti batu bata dalam sesebuah bangunan. Malah, institusi keluarga begitu penting dalam usaha menangani gejala sosial sehingga kempen Rumahku Syurgaku yang menekankan kepentingan rumah diibaratkan sebagai syurga untuk memastikan keutuhan institusi keluarga diadakan secara besar-besaran. Oleh itu, ibu bapa perlulah menyahut cabaran bagi menghalang golongan remaja daripada terjebak dalam gejala sosial.

Sebenarnya, golongan ibu bapa wajarlah mencurahkan kasih sayang kepada anak-anak mereka dan mengasuh anak-anak bagai menatang minyak yang penuh. Ibu bapa perlu menganggap anak-anak sebagai kurniaan Tuhan yang tidak ternilai dan mendidik anak-anak dengan penuh kasih sayang dan kesabaran. Sikap sesetengah ibu bapa yang hanya sibuk mengejar harta kekayaan perlulah dikikis sama sekali. Mereka tidak sedar bahawa nilai kebendaan dan materialistik yang ada pada diri mereka akan menyebabkan mereka terlalu sibuk dengan kerja mereka sehingga mengabaikan anak-anak mereka. Contohnya, pada hujung minggu, ibu bapa perlulah meluangkan masa mereka untuk melakukan aktiviti-aktiviti riadah bersama-sama anak-anak mereka. Ibu bapa bolehlah membawa remaja makan angin di destinasi-destinasi yang menarik di negara kita. Hadis ada menyatakan bahawa anak-anak diibaratkan seperti kain putih, ibu bapalah yang mencorakkannya. Sememangnya, ibu bapa perlu mampu mengimbangi kepentingan keluarga dan kerjaya mereka kerana anak-anak mereka amat memerlukan kasih sayang seorang ayah dan ibu.

Peranan utama ibu bapa untuk mengatasi masalah remaja ialah memberi didikan agama kepada anak-anak. Agama merupakan senjata ampuh yang mampu membantu mereka menangkis segala anasir yang bersifat negatif. Oleh hal yang demikian, ibu bapa haruslah memberikan didikan agama kepada anak-anak sejak dari kecil ibarat “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Kendatipun, ibu bapa yang memberi anak-anak dengan cahaya keimanan yang cukup akan melahirkan adiwangsa yang soleh dan solehah. Di samping itu, ada juga keluarga yang makmur dari segi ekonomi tetapi muflis nilai kerohanian. Menurut pakar motivasi, Dato’ Dr. Fadzillah Kamsah mengatakan bahawa ibu bapa haruslah mencurahkan ilmu agama kepada putera puteri mereka kerana itu merupakan benteng untuk mereka menempuh arus modenisasi kini. Tuntasnya, ibu bapa hendaklah membuka fikiran seluas padang pasir dan agar hati seputih salju bahawa agama merupakan senjata ampuh untuk mengelakkan modal insan terjerumus ke dalam kancah masalah sosial pada masa kini.

Bukan itu sahaja, pihak ibu bapa perlulah bertanggungjawab terhadap kebajikan anak-anak mereka dengan mengikuti perkembangan anak-anak mereka di sekolah. Dari semasa kesemasa, ibu bapa perlu mengambil inisiatif untuk menghubungi pihak sekolah untuk mengetahui masalah-masalah yang dihadapi oleh anak-anak mereka. Sebagai contohnya, ibu bapa perlulah menghadirkan diri dalam sebarang pertemuan antara ibu bapa dan guru. Dengan ini, pihak sekolah, guru dan ibu bapa akan dapat bermuafakat dan bekerjasama untuk membantu remaja yang bermasalah dengan mencari jalan penyelesaian yang terbaik. Ibu bapa perlu memastikan bahawa nasihat yang diberikan oleh mereka kepada anak-anak mereka tidaklah Bagai me ncurahkan air ke daun keladi. Setiap penyakit pasti ada penawarnya. Masalah remaja perlu dikesan sebelum terlambat kerana mencegah itu lebih baik daripada mengubati. Ibubapa memainkan peranan untuk menjaga kepentingan anak-anak mereka dengan meletakkan kepentingan anak-anak mereka melebihi harta benda dan wang ringgit.

Bukan itu sahaja, ibu bapa haruslah menjadi teladan kepada anak-anak mereka . Ibu bapa sememangnya perlu memastikan segala tingkah laku dan pertuturan mereka kerana segala perlakuan mereka akan diperhatikan oleh anak-anak mereka. Malah, segala tingkah laku ibu bapa akan ditiru oleh anak-anak mereka. Contohnya, ibu bapa yang mempunyai tabiat buruk seperti merokok perlulah bertaubat dan berhenti merokok kerana anak-anak mereka berkemungkinan besar akan terpengaruh dan seterusnya merokok. Ibu bapa perlulah mengatasi apa-apa kelemahan yang ada pada diri mereka agar perbuatan mereka tidak akan menyebabkan anak-anak mereka terdedah kepada amalan yang kurang sihat. Ibu bapa tidak harus bersikap seperti ketam menyuruh anaknya berjalan betul. Dengan ini, golongan remaja tidak akan terpengaruh dengan tabiat buruk ibu bapa mereka dan seterusnya tidak akan melakukan gejala sosial yang mampu menghancurkan masa depan mereka.

Intihanya, ibu bapa perlu memantapkan kemahiran keibubapaan mereka lagi dalam mendidik anak-anak. Contohilah ketokohan Luqmanul Hakim yang cukup hebat mendidik anak-anaknya berorientasikan Al-quran dan al-Hadis. Kita tidak mahu remaja-remaja yang bobrok dan kaya dengan pidana dihasilkan. Sebaliknya, kita inginkan barisan remaja yang berkaliber, cukup syumul dan utopia hasil didikan kedua-dua ibu bapa mereka. Marilah kita berubah, “sebelum padi di tangan menjadi lalang” dan “ayam ditambat disambar helang”, ayuhlah ibu bapa, berkorbanlah demi masa depan anak-anak tercinta.

FAEDAH MENYERTAI KEGIATAN KOKURIKULUM.

 

Kegiatan kokurikulum ialah aktiviti di luar bilik darjah. Terdapat tiga jenis kegiatan kokurikulum di sekolah. Kegiatan tersebut termasuklah aktiviti badan beruniform, kelab dan persatuan serta sukan dan permainan. Semua pelajar digalakkan menyertai kegiatan kokurikulum kerana  mendatangkan banyak faedah.

     Salah satu faedah kegiatan kokurikulum ialah pelajar dapat memanfaatkan masa lapang mereka dengan bijak. Dengan menyertai aktiviti kokurikulum, kita tidak akan melakukan aktiviti-aktiviti yang tiada feadahnya seperti merokok, melepak, mencuri dan lain-lain.Secara tidak langsung, pelajar akan dapat menghindari diri sendiri daripada terjebak dengan gejala sosial dalam  kalangan remaja. Contohnya, jika kita aktif dalam bidang sukan, kita akan membuat latihan pada setiap petang dan akan mengisi masa petang kita dengan melalukan perkara-perkara yang berfaedah. Oleh itu, kegiatan kokurikulum dapat memenuhi masa lapang kita dengan perkara-perkara yang berfaedah.

     Selain itu, kegiatan kokurikulum juga dapat melatih diri pelajar untuk menjadi pemimpin. Ada berbagai-bagai jawatan dalam persatuan seperti pengerusi, setiausaha, bendahari, ahli jawatankuasa dan ahli biasa. Apabila pelajar memegang sesuatu jawatan, maka kita akan belajar menjadi ketua dan menguruskan aktiviti persatuan. Ahli biasa juga boleh belajar daripada kawan-kawan yang ada jawatan. Oleh hal yang demikian, dengan menyertai aktiviti kokurikulum, pelajar akan belajar menjadi  seorang pemimpin. Dengan adanya jawatan-jawatan seperti ini, ini akan membuat pelajar-pelajar lebih bijak menguruskan sesuatu pekerjaan tanpa bantuan guru-guru mereka.Aktiviti kokurikulum juga akan menambahkani keberanian dalam diri seorang pelajar itu.

     Malahan, kegiatan kokurikulum akan mengukuhkan lagi perpaduan antara kaum. Setiap persatuan dan kelab mempunyai banyak ahlinya. Ahli-ahli tersebut terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India dan lain-lain. Dalam aktiviti yang dijalankan, semua ahli akan berkumpul. Oleh itu, kita boleh berbincang atau bertukar-tukar pendapat serta bekerjasama dalam melakukan sesuatu aktiviti. Kita juga dapat berkomunikasi dengan baik bersama mereka walaupun berlainan agama atau kaum.Dengan ini, akan terjalinlah hubungan yang erat sesama kita.
    
    Di samping itu, dengan menyertai kegiatan kokurikulum kita juga dapat membentuk disiplin diri. Disiplin sangat penting untuk mencapai kejayaan. Pelajar yang tidak berdisiplin susah untuk berjaya. Contohnya, kita akan dilatih menepati masa, berpakaian kemas dan mematuhi peraturan sama ada peraturan perkhemahan, bersukan dan sebagainya.Disiplin juga memainkan peranan yang penting dalam mencapai kejayaan. Justeru, pelajar haruslah menyertai aktiviti kokurikulum untuk memantapkan lagi disiplin mereka.

     Kesimpulannya, terdapat banyak faedah apabila kita menyertai kegiatan kokurikulum. Oleh itu, saya menyarankan kepada rakan-rakan agar memanfaatkan masa yang terluang dengan menyertai aktiviti kokurikulum. Apalah gunanya mempunyai otak yang pintar sekiranya tubuh badan kita tidak bermaya.Pihak sekolah juga hendaklah mengadakan aktiviti yang menarik untuk menggalakkan lagi minat pelajar untuk menyertainya. Ibu bapa pula haruslah menasihati anak-anak mereka supaya melibatkan diri dengan kegiatan kokurikulum di sekolah. Dengan itu, sekolah dapat melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang sama ada dalam bidang akademik mahupun kokurikulum.

Tiada ulasan: