Rabu, 28 Mac 2018

AKTIVITI MENGARANG KARANGAN BERPANDU (BERFOKUS KEPADA BIDANG EKONOMI-SEKTOR PELANCONGAN) 28MAC 2018

Pada hari ini, pelajar diminta menulis karangan berpandu bertajuk Kepentingan sektor pelancongan kepada rakyat dan negara kita. Setelah bahan rangsangan diberikan saya memberikan ruang kepada pelajar berbincang. Di samping itu, saya telah memberi penekanan terhadap pembinaan perenggan pengenalan, perenggan isi, dan perenggan penutup secara umum serta ayat-ayat yang diberi penekanan semasa mengembangkan perenggan berkenaan mengunakan jadual pengembangan idea karangan seperti fungsi ayat rangsangan, fungsi frasa menarik, fungsi ayat KBAT, fungsi ayat arahan, ayat huraian, fungsi ayat penegas, fungsi ayat cadangan semasa mengarang. Sila rujuk semula, Jadual pengembangan Idea Perenggah untuk membantu menghasilkan karangan cemerlang.

      Berdasarkan pemerhatian saya, pelajar agak sukar berbincang dan bersedia untuk menulis karangan berkenaan kerana mereka :-
  1.  Kurang fakta dan  kurang membaca berkaitan maklumat bidang ekonomi terutama maklumat     berkaitan sektor  pelancongan negara.
  2.  Tidak dapat menentukan jenis pengenalan untuk memulakan perenggan pengenalan, sama ada   berkaitan lagu, peribahasa, fakta berkaitan paratus sumbangan sektor pelancongan  kepada   ekonomi negara  atau sektor keada      sektor ekonomi negara.
  3.  Tidak kreatif untuk mengaitkan isi dan fakta oleh sebab kurang maklumat.
  4.  Tidak dapat menentukan cara untuk menulis
          Oleh sebab itu, saya meminta mereka menghasilkan karangan berkenaan sebagai kerja rumah dengan harapan mereka akan mengumpulkan fakta sebelum mengarang sama ada menggunakan internet, sumber rujukan bahan pembacaan dan sebagainya kerana maklumat dihujung jari dan dunia tanpa sempadan. Paling penting kesungguhan, di samping pelajar dapat mengelakkan sikap ambil mudah seperti peribahasa Melayu menganggap kerja berkenaan seperti melepaskan batuk di tangga. 

            Sebagai bantuan saya berikan contoh karangan, berkaitan karangan berpandu di atas.

Fokus pengenalan berfakta:- ( Merujuk sumber Internet)

         Tahun Melawat Malaysia (TMM) pertama kali dilancarkan pada tahun 1990 dengan tema "Mengagumkan Malaysia. Tahun Perayaan". Kempen ini merupakan satu kejayaan besar kepada negara apabila kerajaan Malaysia berjaya  menarik 7.4 juta  pelancong ke Malaysia berbanding 4.8 juta pada tahun 1989. Oleh sebab itu, Tahun Melawat Malaysia berjaya menggamit kedatangan ramai pelancong luar, kempen ini terus dijalankan pada tahun 1994, 2007, dan 2014 dengan tema “Meraikan 1Malaysia Truly Asia untuk mengambarkan kepelbagaian kaum dan perpaduan rakyat Malaysia. Paling menarik, berdasarkan laporan ekonomi negara 2010/2011, menunjukkan jumlah pendapatan negara melalui sektor pelancongan terus meningkat kepada RM59.2 bilion pada tahun 2010. Persoalannya, apakah kepentingan sektor pelancongan kepada rakyat dan negara?


Fokus pengenalan karangan biasa:-

Apabila kerajaan mula mengisytiharkan Tahun Melawat Malaysia pada tahun 1990, usaha ini menunjukkan bahawa kerajaan semakin memberikan perhatian yang serius kepada industri pelancongan kerana langkah ini berpotensi memajukan ekonomi negara. Setiap tahun bilangan pelancong yang datang ke Malaysia semakin meningkat. Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai keistimewaan tersendiri. Ramai pelancong, sama ada dari luar ataupun dalam negara memilih negara kita sebagai destinasi pelancongan mereka. Persoalannya, apakah kepentingan sektor pelancongan kepada rakyat dan negara kita?

Antara kepentingan sektor pelancongan ialah kita dapat mempromosikan tempat pelancongan yang menarik di Malaysia. Hal ini demikan kerana, Malaysia mempunyai banyak tempat bersejarah yang boleh dilawati seperti Bandar Bersejarah yang terletak di negeri Melaka.  Tempat – tempat bersejarah ini dapat mengembangkan ilmu pengetahuan seseorang. Sealain itu, pelancong juga boleh bermain sambil melawat tempat – tempat  bersejarah ini kerana kita mengetahui bahawa sekiranya cuma melihat barangan bersejarah amat membosan bagi sesetengah pelancong. Oleh sebab itu, untuk memanfaatkan pelbagai pihak, selain barangan bersejarah persembahan turut diadakan, seperti di Kota A – Famosa. Bahkan juga, di Kota A – Famosa pelancong bukan sahaja dapat menambahkan ilmu sejarah tetapi juga beriadah pada masa yang sama kerana tempat beriadah seperti Bandar Cowboy, Dunia Binatang Safari dan Dunia Air turut disediakan. Tempat – tempat ini sesuai untuk semua golongan masyarakat sama ada kanak – kanak ataupun dewasa. Jelasnya, sektor pelancongan dapat mempromosikan tempat pelancongan yang menarik di negara kita.

            Selain itu, sektor pelancongan dapat mempromosikan makanan setempat di negara kita. Hal ini demikian kerana Malaysia mempunyai beraneka jenis makanan yang digemari oleh pelancong. Oleh sebab , negara kita unik dengan kepelbagaian kaum, sudah pasti masyarakatnya mempunyai varieti  masakan yang berbeza seperti masakan Melayu, masakan Cina dan masakan India. Negara – negara Barat seperti England cuma mempunyai satu jenis kaedah masakan seperti kentang goreng, stik dan salad. Negara Itali pula mempunyai masakan seperti spageti, pizza dan telur dadar. Negara kita tidak seperti negara lain yang cuma mempunyai satu kaedah masakan. Masyarakat berbilang kaum di Malaysia mengetahui pelbagai jenis makanan dari serata dunia seperti yu sang, bau dan char kuey teow daripada kaum Cina, rendang, ketupat dan nasi lemak daripada kaum Melayu, capati, tosai dan idli daripada kaum India serta tidak kurangnya masakan barat dan masakan enak daripada kaum yang berlainan. Masakan yang tidak pernah dirasai oleh pelancong ini memberikan mereka rasa baharu maka menarik minat mereka untuk mengunjungi Malaysia. Tegasnya, makanan setempat dapat dipromosikan melalui sektor pelancongan.

            Di samping itu, sektor pelancongan dapat memperkenal dan mengembangkan industri kraf tangan di Malaysia. Barangan kraf tangan buatan rakyat tempatan bukan sahaja bermutu bahkan harga yang ditawarkan amat berpatutan. Barangan kraf tangan buatan rakyat Malaysia yang diperbuat daripada kain batik, seramik, kayu, perak, kaca dan kulit amat cantik dari segi reka bentuk dan sesuai dijadikan cenderahati kepada pelancong. Pelancong pasti membeli – belah barangan kraf tangan buatan Malaysia seperti batik, kain songket, wau dan lain – lain sebagai buah tangan atau ole-ole buat keluarga atau rakan mereka. Kedatangan pelancong asing ke Malaysia bukan sahaja memajukan industri kraf tangan ke luar negara kita bahkan menjadi periuk nasi kepada pengusaha kraf tangan tempatan. Sekiranya, sektor industri kraf tangan berkenaan tidak dipromosikan, sudah pasti indutri ini ibarat hidup segan mati tak mahu. Jelasnya, industri kraf tangan dapat dimajukan melalui sektor pelancongan.

            Akhir sekali, sektor pelancongan dapat memperkenalkan budaya Malaysia yang unik lagi istimewa kepada dunia luar. Hal ini demikian kerana Malaysia mempunyai penduduk yang berbilang kaum dan etnik seperti Melayu, Cina, India, Kadazan, Murut, Iban dan lain-lain. Kaum-kaum di negara kita yang mempunyai adat, budaya dan cara pemakanan yang berbeza dan istimewa mampu menarik minat pelancong asing. Sektor pelancongan dapat mempromosikan warisan budaya yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas ke serata dunia. Pelancong yang datang ke suatu destinasi pelancongan boleh dihidangkan dengan persembahan kesenian tradisional misalnya wayang kulit, makyung, dikir barat, ronggeng dan kuda kepang. Mereka juga diberi peluang untuk mencuba permainan tradisional seperti sepak raga, galah panjang, congkak, batu seremban dan lain-lain. Pakaian tradisional seperti baju kurung yang diperbuat daripada kain batik dan sari yang diperbuat daripada kain sutera boleh cuba dipakai oleh pelancong asing. Keseronokan pengalaman yang dibawa pulang ke negara asal pelancong akan menjadi memori indah yang akan menggamit mereka untuk datang semula ke negara kita. Tegasnya, keunikan budaya masyarakat Malaysia yang berjaya dipromosi melalui sektor pelancongan sebenarnya memberi imej yang sangat baik kepada negara Malaysia.

            Kesimpulannya, sektor pelancongan merupakan salah satu sumber ekonomi yang amat penting dalam negara kita. Oleh itu, kita harus menggunakan kelebihan yang ada pada negara kita dengan sepenuhnya supaya negara kita dapat menjadi pusat pelancongan yang terkenal di dunia dan seterusnya membangunkan ekonomi negara kita. Walaupun masyararakat kita terdiri daripada berbilang kaum, kita harus bersatu padu demi menjaga kepentingan tanah air tecinta kita. Tegasnya, kita perlulah bersatu padu bak kata pepatah, bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.
Berdasarkan karangan di atas, pelajar perlu sedar betapa pentingnya membaca dan merujuk maklumat untuk memantapkan kerangan pelajar. Selain itu, saya ingin memberi penekanan bahawa soalan karangan berpandu di atas merupakan karangan yang berkait dengan dimensi negara. Tanpa membaca, pelajar tidak akan dapat menghasilkan karangan yang menarik dan matang.
Saya akui, ada masa format jadual pengembangan idea sukar untuk diaplikasi 100% semasa mengarang, terutama bahagian ayat KBAT tetapi tidak semestinya dengan ketiadaan unsur berkenaan, pelajar tdak boleh mengarang.
kesimpulannya, pelajar masih belum dapat mengarang dengan mantap. Esok, saya akan lihat hasilan karangan yang diarahkan. Berusaha menghasilkan karangan yang berkualiti.

2 ulasan:

Fizie berkata...

Saya dah copy dan siap print,izinkan saya okkk🙌

MOHD. RAMSUL ABD. RAHIMAN berkata...

Sila gunakan bahan berkenaan. Semoga bahan berkenaa dapat membantu dan mengembangkan idea Fizie menulis karangan.