Sabtu, 24 Jun 2017

Karangan Kerja Rumah Kelas 5 Sains- Aktiviti Kokurikulum amat penting dalam kalangan pelajar.

Terdapat sebilangan murid, ibu bapa dan masyarakat hanya mementingkan pencapaian akademik dengan meminggirkan aktiviti kokurikulum di sekolah.

Sebagai seorang murid, huraikan pendapat anda untuk menyakinkan semua pihak bahawa kegiatan kokurikulum banyak faedahnya kepada murid-murid dan tidak wajar diketepikan di sekolah.

Apakah yang dimaksudkan kokurikulum? Merujuk Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, kokurikulum adalah sebahagian kurikulum asas selain mata pelajaran yang diajar di dalam bilik darjah meliputi kegiatan kelab dan persatuan, unit beruniform, dan kelab sukan dan permainan. Kementerian Pendidikan Malaysia telah mewajibkan aktiviti kokurikulum kepada semua pelajar di seluruh negara kerana aktiviti kokurikulum bukan sahaja memberi banyak faedah kepada pelajar tetapi pada masa yang sama mendatangkan pelbagai kemaslahatan kepada negara. Seyogia, akan pentingya kegiatan kokurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia telah memperkenalkan sistem meritokrasi dalam penentuan kemasukan pelajar ke Universiti dengan menggunapakai 90% markah akademik dan 10% markah kokurikulum. Keputusan ini amat wajar kerana aktiviti kokurikulum mendatangkan pelbagai faedah kepada pelajar sejajar dengan hasrat falsafah Pendidikan Negara yang mementingkan kemejandian manusia perlu dilakukan  mengikut acuan dan kehendak negara untuk melahirkan pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Mengapakan kokurikulum penting kepada pelajar itulah fokus penulisan yang akan saya paparkan di bawah.


Saya akan membicarakan penulisan tajuk karangan ini dengan kata kunci pertama iaitu kokurikulum penting untuk mengembangkan potensi seseorang pelajar. Peribahasa Melayu ada menyebut tuah ayam terdapat di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Seseorang pelajar tidak akan mengetahui potensinya dalam kepimpinan, dan kesukanan jika tidak menceburi aktiviti kokurikulum kerana di dalam bilik darjah, potensinya lebih banyak bertumpu kepada soal intelek. Jika adapun, potensi dalam bidang sukan dan permainan dapat dikesan melalui aktiviti mata pelajaran jasmani itupun tidak menyeluruh, justeru melalui aktiviti kelab dan pesatuan serta kelab sukan dan permainan potensi pelajar akan lebih banyak menyerlah kepada pengkususan sukan dan permainan yang disertanya. Sebagai contoh, aktiviti bola sepak, permainan badminton, bola baling dan sebagainya, apabila pelajar menyertai kelab dan permainan berkenaan pelajar dapat menumpu perhatian sepenuhnya kepada kemahiran permainan berkenaan. Begitu juga dengan soal kepimpinan seperti kelab dan persatuan, potensi kepimpinan pelajar dapat dikesan apabila pelajar dilantik menjadi pengerusi atau ahli jawatankuasa dalam persatuan berkenaan. Seyogia, melalui jawatan yang dipegang pelajar akan dapat mengembang kemahiran untuk mentadbir persatuan, seperti seorang pengerusi persatuan mampu menentukan keaktifan persatuan yang ditadbirnya. Malahan, dengan aktiviti kelab dan pesatuan serta kelab dan permainan mereka boleh mengembangkan potensi mereka apabila terpih menjadi wakil daerah dalam kejohanan seperti pertandingan bola sepak daerah. Konklusinya, memang sudah terang lagi bersuluh, aktiviti kokurikulum penting untuk mengembangkan potensi seseorang pelajar.


Seterusnya, saya akan menyelongkar faedah kokurikulum dalam kalangan pelajar dengan kata kunci kedua iaitu aktiviti kokurikulum mampu menambah kenalan terutama untuk bertukar-tukar fikiran dalam dunia pendidikan serta soal kepimpinan kerana berkawan biar seribu, bermusuh jangan sekali. Aktiviti kokurikulum bukan sahaya bertumpu kepada aktiviti kokurikulum di sekolah sahaja tetapi bergantung kepada keaktifan seseorang pelajar. Pelajar yang aktif akan sentiasa melanjutkan penglibatan mereka dalam aktiviti ini ke peringkat, daerah, negeri, kebangsaan dan tidak mustahil ke peringkat antarabangsa. Banyak maslahat yang akan mereka nikmati daripada penglibatan mereka dalam aktiviti kukurikulum ini, izharnya  mereka akan bertemu rakan-rakan daripada variasi bangsa, budaya, agama, dan tahap pendidikannya seperti jika di peringkat negeri, mereka akan bertemu pelajar berbangsa Cina, India, serta pelbagai etnik lain. Sudah pasti, dengan dengan hubungan persahabatan dengan variasi bangsa, pelajar akan mengetahui budaya, cara pemakanan, agama dan ini akan mengukuhkan lagi perpaduan bangsa antara kaum di negara Malaysia dihuni oleh masyarakat pelbagai bangsa dan ini akan meningkatkan perpaduan bangsa. Begitu juga dengan tahap pendidikan, sudah pasti kebanyakan mereka terpilih mempunyai latar iq dan tahap pencapaian terbaik dalam pejaran, begitu tahap kepimpinan, sudah pasti mereka memegang jawatan tertinggi dalam kelab dan persatuan di peringkat negeri. Oleh sebab itu, mereka boleh bertukar-tukar fikiran, pengalaman, dan menerima input pelbagai urusan kelab dan persatuan dan tidak ketinggalan soal pelajaran. Tambahan pula dengan kemudahan komunikasi moden, pelajar boleh meneruskan hubungan, tamsilya bertukar-tukar soalan atau karangan terbaik di peringkat sekolah, daerah ataupun negeri kerana dengan komunikasi moden kini berada pada tahap terbaik, kecangihan komunikasi ini mengujudkan dunia tanpa sempadan, dan maklumat sentiasa berada di hujung jari. Sudah terang lagi bersuluh, iaitu aktiviti kokurikulum mampu menambah kenalan terutama untuk bertukar-tukar fikiran dalam dunia pendidikan dan dunia kepimpinan.

Pada bahagian perenggan isi ini, saya akan berbicara berkaitan faedah kokurikulum dari sudut disiplin dengan kata kunci, aktiviti kokurikulum dalam membina disiplin dan jati diri seorang pelajar. Sebagai seorang pemimpin dalam unit pakaian beruiniform, persatuan dan kelab sukan dan permainan soal disiplin perlu dititikberatkan tanpa kompromi kerana sebagai seorang pepimpin mereka merupakan idola atau contoh kepada pelajar-pelajar lain. Tamsilnya, seorang pengerusi apa sahaja unit aktiviti kokurikulum, mereka perlu mempunyai disiplin dan jati diri terpuji. Hal ini kerana sebagai seorang ketua mereka perlu mempunyai disiplin daripada pelbagai sudut, sama ada cara mereka bertutur, berpakaian, patuh kepada jadual serta masa, patuh peraturan dan juga semasa membuat keputusan. Apabila seseorang pemimpin mempunyai sifat-sifat terpuji sedemikian rupa, jati diri mereka ini akan menjadi ikutan, dan sudah pasti organisasi mereka akan beroleh kejayaan. Bahkan juga dengan sifat terpuji yang ada pada seseorang pepimpin arahan mereka sentiasa diikuti dan ini amat penting untuk menjayakan sebarang usaha atau aktiviti yang dijalankan setiap unit atau badan  kokurikulum. Jika tidak, sudah pasti organisasi yang mereka pimpin akan gagal mencapai objektifnya, ibarat ketam mengajar anaknya berjalan lurus sudah pasti kepimpinan yang diharapkan untuk menjadi ikutan anak-anaknya tidak akan kesampaian. Intihanya, jelaslah bahawa aktiviti kokurikulum dalam membina disiplin dan jati diri kepada seorang pelajar.

Seterusnya, penulisan karangan saya ini akan menjurus kepada bicara berkaitan faedah kokurikulum kepada pelajar dengan kata kunci aktiviti kokurikulum mampu memenuhi masa senggang pelajar dengan aktiviti yang bermanfaat dan mengasah bakat mereka dengan permainan profesional. Sebagai mana kita sedia maklum bahawa masa itu amat berharga kerana masa itu emas. Apabila masa itu gagal dimanfaat oleh pelajar dengan sebaik-baiknya masa itu akan berlalu begitu sahaja dan masa tidak boleh diundur. Bahkan juga, pelajar yang terpengaruh dengan rakan-rakan yang buruk akhlaknya, mereka akan mudah terjebak dengan aktiviti yang memudaratkan diri mereka seperti merokok, menggunakan dadah untuk keseronokan, terlibat dengan aktiviti jenayah seperti merempit, mencuri dan sebagainya Oleh sebab itu, dengan adanya aktiviti kokurikulum pelajar dapat memenuhi masa dengan cara terbaik. Contohnya, dengan aktiviti kokurikulum mereka boleh menggunakan masa lapang mereka dengan aktiviti untuk mengasah kebolehan atau bakat mereka dalam aktiviti sukan, seperti permainan bola sepak, badminton dan sebagainya. Jelasnya lagi, kalangan pelajar yang tergolong dalam kalangan pelajar yang tidak cemerlang dalam pelajaran boleh mendapat bimbingan guru-guru yang mahir dalam permainan mengikut kelab sukan dan permainan yang mereka pilih berdasarkan minat mereka. Dengan bakat yang mereka ada dan diasah dengan baik oleh guru-guru berpengalaman, mereka berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah-sekolah sukan yang mengutamakan pelajar yang berkemahiran dalam bidang sukan dan disamping meneruskan pelajaran mereka seperti biasa seperti pelajar-pelajar lain. Terbukti, ada kalangan pelajar seperti ini terpilih untuk bermain dengan pasukan profesional atas kemahiran mereka dalam bidang permainan yang mereka ceburi seperti pasukan bolasepak negeri atau kebangsaan. Sudah terang lagi bersuluh, aktiviti kokurikulum mampu memenuhi masa senggang pelajar dengan aktiviti yang bermanfaat an mengasah bakat mereka dengan permainan profesional.

Penulisan saya ini saya juruskan kepada perbicaraan berkaitan aktiviti kokurikulum mampu meningkatkan kesihatan pelajar sama ada kesihatan rohani mahupun jasmani. Sebagai mana kita sedia maklum dengan aktiviti kokurikulum terutama melibatkan aktiviti kelab dan permainan pelajar mampu meningkatkan mutu kesihatan pelajar. Pada zaman milineum ini, penyakit seperti diabetes mellitus atau kencing manis dan obesiti sering diperkatakan dalam kalangan masyarakat mahupun para pengamal perubatan. Kenapa isu ini sering berlaku dalam kalangan pelajar? Jawapannya sudah pasti kerana mereka tidak bersukan. Oleh sebab itu mereka perlu bertindak dengan proaktif dengan melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti sukan terutama melibatkan aktiviti kokurikulum berkaitan dengan aktiviti sukan dan permainan. Jangan sampai sudah terhantuk baru tergadah dan mencengah lebih baik dari mengubati. Sekiranya mereka liat untuk bersukan, gunakanlah kesempatan yang ada untuk melibatkan aktiviti kokurilukum yang diadakan di sekolah. Kenapa bersukan mampu mengatasi masalah diabetes dan obesiti? Sekiranya pelajar menjalani aktiviti bersukan semasa aktiviti kokurikulum mereka akan meningkatkan metabolisme dalam badan dan gula dan lemak dapat diuraikan dan dinyahkan daripada badan melalui proses perkumuhan. Selain itu, dengan bersukan perpeluhan yang berlaku akibat aktiviti berkenaan mampu mengeluarkan bahan-bahan yang tidak diperlukan badan kerana badan cergas otak cerdas. Izharnya, jelaslah aktiviti kokurikulum mampu meningkatkan kesihatan pelajar sama ada kesihatan rohani mahupun jasmani.

Konklusinya, aktiviti kokurikulum wajar diberikan perhatian yang bersungguh-sungguh oleh semua pihak terutama oleh pentadbir dan guru-guru sekolah yang terlibat memandangkan sumbangan dan peranan yang dimainkannya begitu besar dan berpengaruh kepada perkembangan jasmani, rohani, disipilin, dan jati diri pelajar. Walaupun aktiviti kokurikulum masih mempunyai kekurangan tersendiri, namun aktiviti ini seharusnya dikemaskinikan sentiasa agar yang kurang dapat ditambah, yang bocor dapat ditampung dan yang lemah dapat diperkasakan agar tujuan murni untuk melahirkan pelajar yang seimbang dari segi jasmani, rohani, emosi, dan intelek sebagaimana yang digariskan dan diharapkan oleh Falsafah Pendidikan Negara akan tercapai dan kewujudannya tidak hanya dipaparkan di di dinding bangunan sekolah atau di bingkai dan digantung di pejabat sekolah


Alhamdulillah, saya telah mengotakan kata-kata saya untuk menghasilkan karangan di atas, bagaimana pula anda. Anda boleh menjadikan bahan penulisan sebagai panduan bukan menyalinnya bulat-bulat. Begitu juga, bahagian perenggan pengenalan anda boleh menggunakan pelbagai bentuk dan jenis pengenalan. Selamat bercuti di samping menyelesaikan kerja-kerja yang ditugaskan.


2 ulasan:

Unknown berkata...

Sangat bermanfaat.saya mntak izin utk salin.saya hargai jasa penukis ni

MOHD. RAMSUL ABD. RAHIMAN berkata...

Silakan. Namun banyak panduan dan contoh karangan yang bokeh digunapakai untuk menghasilkan karangan terbaik. Semoga bahan berkenaan dapat membantu. Terima kasih.