Isnin, 12 Jun 2017

KERJA ATAU LATIHAN DI DALAM KELAS SEPANJANG DUA HARI SAYA DI KUALA LUMPUR (TEMU JANJI DOKTOR PAKAR -SELAYANG DAN HKL)

LATIHAN PADA HARI SELASA (13/6/2017)

Soalan 1 : Rumusan [30 markah] (PNM 2016)

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang peranan generasi muda dalam mengisi kemerdekaan dan langkah-langkah meningkatkan kesedaran tentang semangat cinta akan negara dalam kalangan generasi muda. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan. 

 Tahun ini Malaysia meraikan Hari Kemerdekaan yang ke-58 tahun. Diam tidak diam sudah hampir separuh abad negara kita terlepas daripada cengkaman penjajah. Menjadi rutin tahunan, menjelang sahaja bulan Ogos atau juga dikenali bulan kemerdekaan, agensi atau kementerian yang berkenaan akan mula menjalankan Kempen Kibarkan Jalur Gemilang. Namun begitu, perkara yang menjadi kebimbangan  banyak pihak ialah generasi muda tidak mengambil endah tentang hari kemerdekaan. Mereka sewajarnya menghayati erti kemerdekaan dengan mendalam.  Banyak kemajuan yang telah dicapai oleh generasi muda melalui usaha keras mereka sendiri dan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan. Walau bagaimanapun, generasi muda juga menghadapi pelbagai masalah. Jika hal ini tidak diatasi secara menyeluruh akan memberi kesan kepada usaha pembangunan. Pelbagai permasalahan sosial dalam kalangan generasi muda kerap diperkatakan. Hal ini terbukti menerusi kes jenayah dan salah laku membabitkan mereka di negara kita kian serius dan bertambah kronik. Penyalahgunaan dadah pula masih lagi memberi petunjuk bahawa kedudukan masalah ini masih pada peringkat yang membimbangkan. Kesan penyalahgunaan dadah kepada negara boleh membantutkan usaha untuk menjayakan dasar-dasar yang diwujudkan. Oleh itu, generasi muda perlu mengelakkan diri daripada dadah kerana mereka merupakan aset yang bernilai bagi negara. 

Mereka juga kurang mempunyai semangat patriotisme kerana dikatakan tidak dapat merasai detik-detik kepayahan dalam menuntut kemerdekaan di samping hidup pada zaman yang selesa. Mereka sepatutnya bertanggungjawab membina kejayaan negara iaitu sanggup bekerja keras untuk negara. Generasi muda juga perlu mementingkan kecemerlangan dalam pendidikan. Hal ini demikian kerana pendidikan memainkan peranan penting dalam usaha membangunkan modal insan yang mempunyai jati diri yang kukuh, berketerampilan, berkeperibadian mulia, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi bagi mengisi keperluan negara maju menjelang 2020. 

Generasi muda perlu membantu pihak kerajaan bagi mengekalkan keamanan dan kestabilan  negara. Hal ini demikian kerana keamanan dapat mengelakkan negara daripada serangan musuh sama ada  berbentuk fizikal atau psikologi. Tambahan pula, tugas generasi muda adalah untuk memastikan Malaysia akan terus berpegang pada konsep keadilan dan kesaksamaan.  Dengan ini, semua rakyat dapat menikmati kemakmuran dan kemajuan  bersamasama. Selain itu, generasi muda yang akan mengisi perjuangan kemerdekaan hendaklah memastikan prinsip demokrasi akan terus diamalkan di samping  dapat mengurus negara dengan bijak. Sesungguhnya kejayaan negara dalam fasa kedua 58 tahun kemerdekaan memerlukan komitmen semua pihak terutama  generasi muda.

(Dipetik dan diubah suai daripada  ‘Di manakah Semangat Patriotisme Kita,’ 
oleh Dewan Siswa, Ogos 2015) 
Soalan 2(a) – Petikan Umum 
Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri. 
(i) Berikan maksud rangkai kata membantutkan usaha.                
[2 markah] 
 (ii) Pengarang ada mengemukakan beberapa permasalahan sosial dalam kalangan generasi muda.
 Nyatakan permasalahan-permasalahan tersebut.
[3 markah] 

(iii)  Sambutan Bulan Kemerdekaan sering dilaksanakan pada peringkat sekolah.

Pada pendapat anda, apakah faedah-faedah yang anda peroleh daripada Sambutan Bulan Kemerdekaan tersebut?                                                                                                                                                                                                                                                                                            [4 markah]

Skema Jawapan   ( LATIHAN PADA 13/6/2017 – SELASA)
SOALAN 1 (RUMUSAN) - (30 markah)
BIL
PENDAHULUAN
MARKAH
1
Petikan membincangkan tanggungjawab/tugas/fungsi/kewajipan generasi muda dalam mengisi kemerdekaan di negara kita
2

2
Rumusan membincangkan tanggungjawab/tugas/fungsi/kewajipan generasi muda dalam mengisi kemerdekaan dan langkah-langkah meningkatkan kesedaran tentang semangat cinta akan negara dalam kalangan generasi muda.

2

3
Petikan membincangkan tanggungjawab/tugas/fungsi/kewajipan muda dalam mengisi kemerdekaan dan permasalahan sosial dalam kalangan generasi muda. *Pendahuluan ini merujuk kepada soalan pemahaman 2(a) ii.

2
4
Rumusan membincangkan tanggungjawab/tugas generasi muda dalam mengisi kemerdekaan
1
5
Petikan membincangkan tanggungjawab generasi muda dalam mengisi kemerdekaan.
1
6
Petikan membincangkan peranan generasi muda dalam mengisi kemerdekaan.
0

BIL
ISI TERSURAT ( TERDAPAT DI DALAM TEKS)
MARKAH
1
Menghayati erti kemerdekaan dengan mendalam.
2
2
Mengelakkan diri daripada dadah.
2
3
Bertanggungjawab membina kejayaan negara.
2
4
Mementingkan kecemerlangan dalam pendidikan.
2
5
Mementingkan kecemerlangan dalam pendidikan.
2
6
Memastikan Malaysia akan terus berpegang pada konsep keadilan dan kesaksamaan.
2
7
Memastikan prinsip demokrasi akan terus diamalkan
2
8
Mengurus negara dengan bijak pada masa akan datang


BIL
ISI TERSIRAT ( TIDAK TERDAPAT DI DALAM TEKS / KBAT )
MARKAH
1
Mengadakan kempen kesedaran/ceramah tentang cinta akan negara.
2
2
Mengadakan pertandingan yang berkaitan dengan semangat cinta akan negara.
2
3
Menyemai semangat cinta akan negara melalui pelbagai aktiviti di sekolah.
2
4
Ibu bapa menjadi suri teladan kepada anak-anak tentang semangat cinta akan negara.
2
5
Mengadakan lawatan ke tempat bersejarah.
2
6
Mengadakan pameran yang berunsurkan patriotik.
2

BIL
PENUTUP
MARKAH
1
Kesimpulannya, generasi muda mestilah mengisi kemerdekaan  negara dengan baik demi mengekalkan keamanan
2
2
Kesimpulannya, generasi muda mestilah mengisi kemerdekaan negara  dengan baik agar negara aman
2
3
Kesimpulannya, generasi muda mestilah mengisi kemerdekaan negara dengan baik.
1


Jawapan soalan Pemahaman Teks
Soalan 2 ( a )
i
- Menghalang langkah
- Menyekat cara
- Menghentikan langkah


ii

- Terlibat dalam kes jenayah dan salah laku
- Terjebak dalam  penyalahgunaan dadah
- Kurang mempunyai semangat patriotisme 


iii

- Melahirkan rasa  cinta akan negara
- Memupuk nilai-nilai murni
- Menyedarkan saya tentang peranan saya untuk mengisi kemerdekaan dengan baik
- Mengetahui sejarah kemerdekaan negara
- Menghargai jasa tokoh kemerdekaan negara



LATIHAN HARI RABU ( 14/6/2017)

(c) Dalam setiap ayat di bawah, terdapat satu kesalahan ejaan  dan satu kesalahan penggunaan imbuhan. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat, anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan ejaan  dan satu kesalahan penggunaan  imbuhan. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.
 (i) Sifat  tamak haluba dan hasad dengki  perlulah kita jauhkan demi kehidupan yang lebih tenang dan tidak dibenci oleh masyarakat setempat.

 (ii) Pembabitan Malaysia dalam bidang penerokaan angkasalepas hanya bermula pada  tahun 1980-an  sedangkan bidang tersebut dicebur lebih awal lagi oleh sesetengah negara lain.

 (iii) Selain tidur pada waktu malam, amalan tidur seketika pada waktu tengah hari dapat  kesegaran tubuh badan, sekali gus meningkatkan prodaktiviti.
[6 markah]

(d) Dalam setiap ayat di bawah, terdapat satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat, anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.

(i) Hasrat Azman untuk menyertai ekspedisi memanjat Gunung Kinabalu terpaksa dibatalkan oleh sebab tidak mendapat keizinan dari ibu bapanya.

(ii) Guru perlu mendidik murid-murid mereka  agar supaya berbudi bahasa dan mengamalkan nilai-nilai murni lantaran banyak masa murid diselesaikan di sekolah.

(iii) Ibu mengambil cuti rehat khas daripada ketua jabatannya kerana ibu ada temu janji dengan doktor pakar di Hospital Sultan Ahmad Shah, Temerloh pada hari Khamis ini.
  [6 markah]

(e) Nyatakan maksud peribahasa di bawah.

(i)            Seperti api dalam sekam
(ii)          Enggang lalu ranting patah
(iii)         Sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit
   [6 markah] 


Jawapan soalan latihan ( 14/6/2017 – Rabu )
3 (c) 
(i) haluba -  haloba     /  jauhkan  - jauhi
(ii) angkasalepas  - angkasa lepas      /    dicebur - diceburi
(iii) kesegaran - menyegarkan  /   prodaktiviti – produktiviti

3(d) 
(i) memanjat - mendaki      /   dari - daripada
(ii) agar supaya  - agar / supaya     /   diselesaikan - dihabiskan
(iii) mengambil - memohon/ meminta  /   temu janji  - janji temu

3 (e) 
   i)    Kejahatan yang tersembunyi.
 (ii)   Orang jahat akan selalu dituduh apabila berlaku sesuatu musibah/kejahatan
(iii)   Amalan menabung/sesuatu yang disimpan/dibuat berdikit-dikit lama-lama banyak atau siap

*2 markah diberikan bagi setiap maksud peribahasa yang betul atau tepat.
*Peribahasa yang tidak lengkap tidak diterima (0 markah).
*Salah ejaan tidak diambil kira selagi tidak mengubah maksud.  

Semoga latihan anda telah siap disempurnakan.


Tiada ulasan: