Sabtu, 10 Jun 2017

APA ITU KEMAHIRAN BERFIKIR ARAS TINGGI (KBAT) DAN KEPENTINGANNYA SEMASA MENULIS KARANGAN

TAKSONOMI BLOOM. Taksonomi bloom mula diperkenalkan oleh Benjamin Bloom pada tahun 1956. Taksonomi bloom mengkategorikan kemahiran dan objektif yang ingin dicapai oleh pelajar kepada 3 domain iaitu kognitif, afektif dan psikomotor.

1)    Domain kognitif digunakan untuk mengukur kemahiran intelektual.

2)  Domain afektif digunakan untuk mengukur kemahiran generik, yang telah diterapkan kepada pelajar melalui penglibatan pelajar dalam persatuan-persatuan dan juga dalam pelbagai perbincangan secara berkumpulan seperti dalam kursus rekabentuk sistem dan sebagainya.

3)  Domain psikomotor pula bertujuan mengukur kemahiran praktikal dan teknikal.

Perbincangan saya mengkhusus kepada domain kognatif yang ada kaitannya dengan penggunaan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi  semasa penulisan karangan. Pada asalnya, domain kognitif Taksonomi Bloom dibahagikan kepada enam aras. Namun, sekitar tahun 1990-an, terdapat beberapa perubahan telah dilakukan secara berperingkat. Antara perubahan yang telah dilaksanakan ialah perubahan terminologi. Sebagai contoh, tema pengetahuan, pemahaman, aplikasi, analisis, sintesis dan penilaian ditukarkan kepada mengingat, memahami, mengaplikasi, menganalis, menilai dan membina.

 1. Pengetahuan (Knowledge) Mengingat kembali, mengenal idea, fakta asas, definisi teori, hukum, tarikh, peristiwa dan lain-lain daripada pembelajaran yang lepas. Contoh: Nyatakan, terangkan, namakan, labelkan.

2. Pemahaman (Comprehension) Mengubah kefahaman daripada satu bentuk kepada satu bentuk yang lain, menyatakan idea-idea utama dalam ayat sendiri, menterjemah, memberi contoh kepada konsep, menterjemah draf. Contoh: Pilih, terangkan, tulis semula.

3. Aplikasi (Application) Menggunakan maklumat dalam situasi yang baru, termasuk menyelesaikan masalah menggunakan prinsip, kaedah, hukum, teori, formula. Membina graf daripada data, dan lain-lain. Contoh: Selesaikan, ramalkan, cari, kesilapan, bina alat.

4. Analisis (Analysis) Memecahkan sesuatu yang kompleks kepada yang kecil, membezakan fakta daripada pendapat, kaitan kenal di antara bahagian, kenali struktur organisasi. Contoh: Bezakan, pasti, pilih.

 5. Sintesis (Synthesis) Menyepadu, mencantum idea menjadi satu, usaha tersendiri, menyelesaikan masalah, membuat ramalan, membuat klasifikasi. Contoh: Bina, hasilkan, susun, kembangkan.

6. Penilaian (Evaluation) Membuat pertimbangan termasuk memberi rasional atas alasan dalaman atau luaran, menafsir dan mengkritik. Contoh: Pilih, berikan alasan, kritikan, buktikan.


     Kesimpulannya, semasa mengarang, pelajar bukan sahaja perlu untuk menulis berdasarkan pengetahuan sahaja kerana pengetahuan tergolong dalam Kemahiran Berfikir Aras Rendah (KBAR), tetapi pelajar perlu mengubah ingatan atau fakta asas tersebut kepada perkara baru, menggunakan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) seperti unsur pemahaman, aplikasi, analisis, sintesis, dan penilaian. Dengan penggunaan KBAT dalam karangan akan menunjukkan pelajar matang, dan dapat menggarapkan isu atau isi karangan kepada huraian menjurus kepada perbicangan kepada isi karangan, serta situasi semasa, akan datang termasuklah impak atau kesan isu kepada generasi akan datang.

         Bagaimana unsur KBAT ini boleh diselitkan dalam karangan? Sekiranya pelajar mengikuti penulisan contoh karangan yang telah saya hasilkan, pelajar akan nampak, bagaimana unsur KBAT ini saya selitkan semasa penulisan karangan berkenaan, cuba fokus kepada karangan-karangan yang dihasilkan, dan jelasnya penggunaan KBAT menyebabkan karangan yang dihasilkan panjang dan menunjukkan kematangan semasa mengarang. Bagaimana untuk menghasilkan karangan sedemikian rupa? Jawapanya pelajar perlu pembacaan luas, diikuti dengan latihan, serta sentiasa memfokus kepada ulasan guru selepas memeriksaan kertas karangan anda dan anda pula perlu bertanya sekiranya anda tidak faham maksud ulasan guru kerangan banyak bertanya anda tidak akan sesat jalan. Semoga ada faham apa peranan KBAT semasa mengarang dan cara mengaplikasinya semasa mengarang. Semoga anda berjaya menghasilkan karangan tahap cemerlang atas.

Sebagai contoh, seperti perkembangan dan huraian isi di bawah:-

   Perbincangan seterusnya menjurus kepada isi ketiga iaitu melancong domestik dapat memupuk semangat cinta akan tanah air. Sebagai ibu bapa, mereka perlu mendedahkan kepada anak-anak mereka tempat-tempat bersejarah yang terdapat di negara kita, serta memperkenalkan pejuang-pejuang negara bangsa yang telah berusaha untuk mempertahankan negara daripada penjajah durjana, bak kata pepatah tak kenal, maka tak cinta, daripada mata turun ke hati. Ibu bapa yang prihatin tentang sejarah bangsa perlu membawa anak-anak ke monumen bersejarah terdapat di tanah air demi meningkatkan nilai patriotik dalam kalangan anak-anak mereka. Monumen bersejarah ini adalah tinggalan penjajah di tanah air seperti Kota A Famosa di Melaka merupakan kota yang dibina oleh penjajah Portugis, sementara Kota Belanda  dibina oleh Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC) untuk menyimpan bijih timah yang diperoleh dari negeri Perak. Peninggalan monumen sejarah ini membuktikan nafsu serakah penjajah lebih bertujuan untuk bertapak di negara berdaulat iaitu Tanah Melayu ketika itu khasnya untuk mengaut hasil khazanah negara seperti rempah ratusnya, dan bijih timah yang menjadi bahan bernilai ketika berlakunya peperangan dunia kedua dahulu tanpa mengutamakan kebajikan dan hak masyarakat untuk menikmati bersama limpahan khazanah negara.. Bahkan juga, Jepun meninggalkan kenangan pahit semasa penjajah Jepun menjajah Tanah Melayu, antara pengenalan duit pisang di Tanah Melayu. Selain itu juga, pihak British banyak meninggalkan kubu dianggarkan, terdapat 25 kubu kebal dari Kota Bharu hingga ke Bachok. Ibu bapa juga perlu memberi maklumat berkaitan pejuang bangsa seperti Dato’ Bahaman, Mat Kilau, Mat Salleh, Dato’ Maharaja Lela Pandak Lam,Abdul Rahman Limbong, Tok Gajah di galeri Muzium Negara Kuala Lumpur kerana demi menjaga maruah Tanah Melayu, pejuang bangsa ini sanggup menggadai nyawa mereka asalkan Tanah Melayu tidak dijajah. Bak kata peribahasa Melayu, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Tambahan pula demi kepentingan penjajah British mereka menggelar pejuang bangsa ini sebagai musuh negara, sedangkan hakikatnya bertentangan dengan keadaan sebenarnya kerana tokoh-tokoh di atas merupakan pejuang negara yang patut kita banggakan. Konklusinya, jelas melancong secara domestik dapat memupuk semangat cinta akan tanah air.

Ulasan:-
Cuba lihat karangan di atas, antara maklumat berkaitan huraian isi yang diselitkan berkaitan dengan fakta sejarah, tamsilnya maklumat berkaitan dengan monumen bersejarah tinggalah penjajah, penulisan di atas menghuraikan kenapa monumen ini memberi impak positif kepada para pelancong domestik kerana menaikkan semangat patriotisme mereka dan seterusnya mempertahankan negara daripada sebarang pengaruh negara luar untuk meruntuhkan keamanan negara. Begitu juga fakta sejarah berkaitan pejuang bangsa yang cuba di adu domba oleh penjajah seperti British yang menanam api dalam sekam untuk memburuk-burukkan imej mereka dalam kalangan masyarakat kerana sebagai warga negara kita harus realistik dengan menepis segala maklumat songsang yang cuba dimainkan oleh pihak penjajah untuk mengukuhkan penguasaan mereka terhadap negara yang dijajah. Di sinilah unsur KBAT yang perlu pelajar selitkan semasa menghuraikan fakta dan malkumat sejarah yang diselitkan dalam karangan. Oleh sebab itu, kematangan pelajar menghuraikan karangan yang akan meningkatkan markah dan menghasilkan karangan cemerlang. Fikir-fikirkan dan aplikasi kemantangan menghuraikan fakta atau maklumat semasa menghasilkan karangan. Selamat Maju Jaya....semoga anda dalam kalangan pelajar cemerlang.

Tiada ulasan: