Selasa, 28 Mac 2017

BAGAIMANA PULA KAEDAH UNTUK MENGHASILKAN PENGENALAN YANG BAIK

PENULISAN PENGENALAN KARANGAN.

PELAJAR BOLEH MENULIS DAN MEMILIH JENIS-JENIS PENGENALAN KARANGAN SEPERTI DI BAWAH:-

JENIS-JENIS PENGENALAN KARANGAN
( PELAJAR PERLU BIJAK MEMILIH JENIS PENGENALAN KARANGAN YANG SESUAI DENGAN KEBOLEHAN DAN KESESUAIAN DENGAN TAJUK KARANGAN)
Bil
Perkara
Keterangan
1
Pengenalan  jenis umum
Penulisan pengenalan jenis umum memerlukan pelajar menulis dua jenis ayat iaitu            
 a)  ayat rangsangan             b)  ayat arahan.

Ayat rangsangan  ialah ayat yang berfungsi untuk merangsang pembaca untuk membaca karangan tersebut seterusnya dan meninggalkan kesan yang bermakna kepada pembaca atau pemeriksa. Justeru, dalam penulisan perenggan pengenalan jenis umum ini pelajar perlu mampu menulis ayat-ayat yang menarik, merujuk kepada tema berdasarkan soalan karangan dan isu yang dikaitkan seelok-eloknya berkaitan isu semasa yang hendak dikaitkan secara umum. Sebaliknya, jika ayat yang dibina tidak merangsang minat pembaca, situasi ini akan menyebabkan pengenalan anda biasa sahaja dan tidak ada ciri keistimewaan untuk memikat pembaca untuk mendapat markah cemerlang.

Ayat arahan pula bermaksud ayat yang menjawab kata kunci soalan karangan yang ditugaskan. Melalui ayat arahan ini pembaca atau pemeriksa sudah tahu isi yang ingin anda tulis atau garap dalam penulisan seterusnya. Kebiasaannya ayat arahan ditulis pada bahagian akhir perenggan pengenalan.

PENGENALAN YANG BAIK MEMERLUKAN PELAJAR MENULIS LEBIH DARIPADA SATU AYAT RANGSANGAN. TERBAIK TIGA ATAU EMPAT AYAT RANGSANGAN YANG AKAN MENUNJUKKAN KEMATANGAN ANDA.

Contoh soalan:-


Kerajaan telah berusaha untuk membanteras gejala rasuah, namun amalan yang berakar umbi dalam kalangan masyarakat ini masih wujud. Pada pendapat anda, mengapakah masalah rasuah perlu dibendung?

2
Pengenalan jenis definisi.

Penulisan pengenalan jenis umum memerlukan pelajar tahu definisi kata atau frasa yang terdapat pada tajuk karangan berdasarkan Kamus Dewan. Pelajar yang tidak menguasai maksud perbendaharaan kata atau istilah, serta frasa dalam Kamus Dewan, dinasihatkan tidak memilih pengenalan jenis ini.

Contoh soalan:-
Isu penderaan kanak-kanak masih lagi berlaku walaupun negara kita sudah mencapai kemajuan yang pesat. Bincangkan punca-punca yang menyebabkan kes ini sentiasa berlaku dan berulang.

3
Pengenalan jenis pendapat pemimpin
Penulisan pengenalan jenis pendapat pemimpin perlu pengetahuan dan pembacaan yang luas. Pendapat pemimpin tidak boleh direka-reka kerana berbentuk fakta dan melibatkan dasar-atau isu semasa dalam negara, hubungan antara negara dan negara. Adalah menjadi suatu kesalahan sekiaranya pelajar mereka-reka pendapat pemimpin negara.
Contoh soalan:-

Kepentingan bahasa Inggeris kepada rakyat dan negara. Bincangkan.

5
Pengenalan jenis suasana atau situasi
Penulisan pengenalan jenis suasana dan situasi memerlukan pelajar mendalami dan menghayati suasana yang digambarkan dalam tajuk karangan. Pelajar juga perlu bijak memainkan perasaan pembaca atau pemeriksa, samada suasana tajuk karangan tersebut suasana sedih, suasasa mencemaskan, suasana seseorang putus asa, dan sebagainya. Contoh soalan:-
Jiran anda telah ditimpa kemalangan ngeri kerana rumahnya tertimbus oleh runtuhan batu. Gambarkan keadaan dan suasana pada masa itu.

6
Pengenalan jenis persoalan
Penulisan pengenalan jenis persoalan memerlukan pelajar bijak mengaitkan persoalan berdasarkan tajuk karangan yang dikemukan. Beberapa persoalan dikemukan supaya pembaca dan pemeriksan faham anda memang tahu persoalan yang akan dikemukan dalam isi karangan.
Contoh soalan karangan:-

Akhir-akhir ini, kejadian kemalangan di jalan raya berlaku hampir setiap hari. Pada pendapat anda, apakah faktor-faktor yang menyebabkan kemalangan ini berlaku?

7
Pengenalan jenis sejarah
Penulisan pengenalan jenis sejarah memerlukan pelajar tahu dan faham sejarah negara bangsa terutama sesuai dengan tajuk karangan. Sekiranya pelajar tidak menguasai fakta-fakta sejarah yang hendak ditulis dengan mengaitkan tajuk karangan, anda dinasihatkan tidak menulis pengenalan jenis ini. Peringatan, pemeriksa kertas peperiksaan mahir dan boleh merujuk fakta sejarah yang anda kemukakan dalam pengenalan karangan. Elakkan mereka-reka  sejarah tanpa ada bukti yang kukuh kerana sejarah tetap sejarah.
Contoh soalan:-

Bincangkan punca-punca yang menyebabkan mutu sukan bola sepak di negara kita merosot.

8
Pengenalan jenis berita
Sama seperti pengenalan jenis sejarah kerana pelajar perlu banyak membaca akhbar atau sentiasa mendengar atau menonton berita di kaca televisyen dan mengaitkan sesuatu berita dan peristiwa sesuai dengan tajuk karangan yang dikemukan.
Contoh soalan:-

Sistem pengangkutan di negara ini telah mengalami perubahan yang amat ketara. Berbanding dengan dua puluh tahun yang lalu, kini pelbagai jenis sistem pengangkutan moden telah disediakan bagi kemudahan para pengguna.
Berikan pendapat anda tentang sistem pengangkutan moden di negara ini.
9
Pengenalan jenis peribahasa
Pengenalan jenis peribahasa memerlukan pelajar menguasai dan bijak mengaitkan peribahasa dengan tajuk karangan yang diberikan. Di samping itu, pelajar juga perlu bijak menghuraikan maksud peribahasa dan kemudian mengaitkat peribahasa tersebut dengan tajuk karangan yang dikemukakan.

Contoh soalan:-
Peribahasa ”jiran sepakat membawa berkat” sangat tepat digunakan sebelum ini oleh masyarakat di kawasan luar bandar dalam tradisi bermasyarakat.  Bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar pula, budaya ini semakin pupus sekiranya tiada usaha untuk terus memupuknya.
Huraikan pendapat anda tentang usaha-usaha memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.


10
Pengenalan jenis dialog
Pengenalan jenis dialog memerlukan pelajar mahir dan bijak menulis dialog seperti penulisan dalam drama, cerpen atau dialog biasa. Kebiasaannya pelajar yang berminat membaca novel, cerpen, dan drama mampu menghasilkan pengenalan jenis dialog ini.
Contoh soalan:-

Ceritakan sebuah karangan yang berkait dengan peribahasa air yang dicincang tidak akan putus.

11
Pengenalan jenis puisi
Pengenalan jenis puisi memerlukan pelajar menguasai pantun, sajak atau syair dan bijak mengaitkan dan menghuraikan puisi berkenaan sesuai dengan tajuk karangan karangan yang dikemukakan.

Contoh soalan:-

Anda telah dipilih mewakili kelas dalam pertandingan menulis esei sempena Minggu Keusahawanan yang dianjurkan oleh Persatuan Ekonomi sekolah anda. Tajuk esei yang ditetapkan ialah “Faedah Berjimat Cermat”.
Tulis esei anda itu selengkapnya.

12
Pengenalan jenis lagu
Pengenalan jenis lagu sebenarnya mempunyai kesan atau impak yang amat besar kepada pemeriksa sekiranya sesuai dengan tajuk karangan. Agak merugikan sekiranya pelajar menyanyi lagu berkenaan di bilik air, semasa pulang dari sekolah sambil menaiki basikal atau sambal berjalan kaki dari sekolah, kedai dan sebagainya. Cuma pastikan lagu tersebut sesuai dengan tema atau tajuk seperti berbentuk patriotik, berunsur kesedihan, nasihat dan sebagainya.

Contoh soalan:-

Pelbagai langkah telah diambil oleh pihak kerajaan untuk memajukan sektor pertanian di samping meningkatkan taraf hidup golongan petani.
Tulis sebuah rencana tentang sumbangan sektor pertanian terhadap ekonomi negara untuk dimuatkan dalam akhbar tempatan.

CONTOH SETIAP PENGENALAN YANG DIKEMUKAKAN DI ATAS SAYA
LAMPIRKAN DI BAWAH. NAMUN, ANDA BOLEH MENGUBAH SECARA
KREATIF DAN KRITIS BERDASARKAN KEMATANGAN SERTA KEBOLEHAN
ANDA SENDIRI. SELAMAT MENCUBA.


1.  Pengenalan Jenis Umum

Di negara kita, kemalangan jalan raya dikatakan berlaku hampir setiap hari. Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengatasi kes kemalangan jalan raya.

Hampir setiap hari media masa sama ada media elektronik mahupun media cetak menyiarkan berita tentang kemalangan jalan raya. ( AR1) Pada musim-musim perayaan terutamanya, banyak pengguna jalan raya kehilangan nyawa atau mengalami kecacatan anggota akibat terlibat dalam kemalangan. (AR2)  Dari segi stastik pula, kadar kemalangan jalan raya di negara kita kadar kemalangan yang tertinggi di dunia. (AR3) Menurut stastitik bagi tempoh perayaan Hari Raya Aidilfitri 2015, sebanyak 20,458 kemalangan yang melibatkan 330 kematian telah direkodkan oleh Polis Di Raja Malaysia (Stastitik). Justeru, stastitik berkenaan merupakan kejutan yang menakutkan kita sebagai masyarakat Malaysia. ( AR4) Oleh itu, pihak berkuasa seperti Polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan perlu mengambil langkah drastik dan berkesan untuk mengatasi masalah ini. (AA)

Dalam jawapan contoh pengenalan di atas ( AR1 ) ialah ayat rangsangan 1, (AR2) ayat rangsangan 2, (AR3) ayat rangsangan 3,  (Ayat Contoh Statstik ) dan (AA) ayat arahan.

2. Pengenalan jenis definisi.
Isu penderaan kanak-kanak masih lagi berlaku walaupun negara kita sudah mencapai kemajuan yang pesat. Bincangkan punca-punca yang menyebabkan kes ini sentiasa berlaku dan berulang.

“Dera” bermaksud pukulan dengan rotan, tali pinggang, atau alat-alat lain sebagai hukuman. “Mendera” bermaksud memukul dengan menggunakan alat-alat yang dinyatakan tadi. “Penderaan” pula bermaksud melakukan perbuatan mendera. Sebenarnya penderaan terbahagi kepada dua jenis iaitu penderaan berbentuk fizikal dan penderaan berbentuk mental. Bedasarkan keratin akhbar Utusan Malaysia bertarikh 15 April 2016,
Sebanyak 1,531 kes penderaan kanak-kanak telah dilaporkan di seluruh negara dengan 46 daripadanya melibatkan kematian sejak 2011 sehingga Mac 2016.
Berdasarkan kajian, banyak terdapat punca yang menyebabkan perbuatan ini berlaku terutamanya kepada kanak-kanak.

3. Pengenalan jenis pendapat pemimpin.
    Kepentingan bahasa Inggeris kepada rakyat dan negara. Bincangkan.

Tun Dr. Mahathir pernah menyatakan bahawa kita tidak akan mencapai kemajuan yang cepat jika kita tidak menumpukan perhatian dalam penguasaan bahasa Inggeris. Beliau juga mengatakan bahawa kebanyakan ilmu yang terdapat dalam dunia ini terungkap dalam bahasa Inggeris. Oleh itu, kita mestilah memberikan penekanan terhadap penggunaan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan kita untuk memacu kemajuan negara di mata dunia. Menurut beliau bahasa Inggeris banyak kepentingan atau kebaikannya, sama ada kepada rakyat mahupun negara.



4. Pengenalan jenis suasana atau situasi.
Jiran anda telah ditimpa kemalangan ngeri kerana rumah tertimbus oleh runtuhan batu. Gambarkan keadaan dan suasana pada masa itu.
Apabila saya sampai di tempat kejadian itu, saya terdengar jeritan manusia dari celah-celah rekahan batu. Selain itu, tangisan bayi dan kanak-kanak jelas kedengaran dari sebuah bilik yang berdekatan dengan runtuhan batu tersebut. Pada ketika itu, pasukan penyelamat masih belum tiba lagi. Saya menjadi gelabah kerana buntu untuk melakukan sesuatu tindakan. Tambahan pula. tiada alat yang boleh saya gunakan untuk membantu saya menyelamatkan mangsa. Namun begitu saya menggagahkan semangat dan mencuba untuk melakukan sesuatu supaya mangsa yang berada di bawah runtuhan batu itu dapat diselamatkan.
  
5. Pengenalan jenis persoalan.
Akhir-akhir ini, kejadian kemalangan di jalan raya berlaku hampir setiap hari. Pada pendapat anda, apakah faktor-faktor yang menyebabkan kemalangan ini berlaku?

Tahukah anda bahawa hampir setiap hari ada sahaja kemalangan di jalan raya yang dilaporkan di media massa? Siapakah yang patut disalahkan, penggunaan jalan raya atau pihak kerajaan? Persoalannya, apakah faktor-faktor yang menyebabkan kemalangan ini berlaku?
  
6. Pengenalan jenis sejarah.
Bincangkan punca-punca yang menyebabkan mutu sukan bola sepak di negara kita merosot.

Pada tahun 1972, pasukan bola sepak negara kita telah berjaya melayakkan diri dalam pertandingan bola sepak Sukan Olimpik di Munich, Jerman. Kejayaan ini diulang pada tahun 1980 apabila pasukan kita layak menyertai Sukan Olimpik di Moscow, Rusia. Pada akhir tahun 1970-an dan awal tahun 1980-an pula, keupayaan pasukan bola sepak negara kira setanding dengan keupayaan pasukan bola sepak Korea Selatan. Namun demikian, apakah punca-punca yang menyebabkan mutu sukan bola sepak negara kita sekarang ini begitu jauh merosot atau ketinggalan berbanding dengan negara-negara lain?

 7.  Pengenalan jenis berita .
Sistem pengangkutan di negara ini telah mengalami perubahan yang amat ketara. Berbanding dengan dua puluh tahun yang lalu, kini pelbagai jenis sistem pengangkutan moden telah disediakan bagi kemudahan para pengguna.
Berikan pendapat anda tentang sistem pengangkutan moden di negara ini.

‘Kerajaan galak mohon permit teksi eksekutif’. Demikian tajuk berita yang terpapar di muka 11 akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 17 Jun 2007 yang lalu. Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi selepas beliau merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Berjasa Negeri Sembilan Berhad kali ke-9 di Seremban. Teksi eksekutif merupakan sistem pengangkutan awam yang menggunakan teksi yang lebih besar dan selesa, tetapi tambangnya lebih tinggi berbanding dengan teksi bajet. Penggunaan teksi eksekutif dicadangkan apabila usia kenderaan sedia ada mencapai tempoh tujuh tahun. Selain teksi eksekutif, terdapat beberapa jenis sistem pengangkutan moden di negara ini, termasuklah monorel, keretapi LRT dan lain-lain lagi.

 8.  Pengenalan jenis peribahasa.
Peribahasa ”jiran sepakat membawa berkat” sangat tepat digunakan sebelum ini oleh
masyarakat di kawasan luar bandar dalam tradisi bermasyarakat. Bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar pula, budaya ini semakin pupus sekiranya tiada usaha untuk terus memupuknya.
Huraikan pendapat anda tentang usaha-usaha memupuk semangat kejiranan dalam
kalangan masyarakat.

‘Jiran sepakat membawa berkat’. Ungkapan indah ini mengandungi maksud yang amat mendalam. Hidup bermasyarakat pada era globalisasi ini sering meletakkan konsep kejiranan bukan di sisi paling utama. Senario ini menyebabkan kedapatan jiran yang tidak mengetahui bahawa tetangga mereka sedang mengalami masalah, malah musibah sekalipun. Ada antara mereka yang kehairanan serta terkejut apabila dimaklumkan bahawa jiran sebelah rumah sudah berulat setelah menjadi mangsa pembunuhan oleh penjenayah. Seandainya hidup sesama jiran mengamalkan konsep pemuafakatan, sudah barang pasti pelbagai faedah diperoleh masyarakat. Justeru, kejadian yang menyedihkan seperti peristiwa di atas tidak akan berlaku dalam kalangan masyarakat.  Hal ini tentu menggenapi maksud peribahasa yang terungkap di awal perenggan
ini.

9.   Pengenalan jenis dialog.     
      Ceritakan sebuah karangan yang berkait dengan peribahasa air yang dicincang tidak
      akan putus.

“Kataku pergi! Pergi!!” pekik Kassim.
“Pergi kataku!” kataku lagi.
“Mengapa mesti aku pergi?” balas Aminah, isteri Kassim sambil menangis teresak-esak menahan kesakitan.
“Bukankah ini rumahku juga?” tambahnya lagi. Mata kirinya yang lebam kerana dipukul sebelum ini sudah tidak boleh dibuka lagi. Namun, Aminah sedar, sekeras-keras batu akan lembut juga apabila terkena titisan air. Aminah sedar akan sifat Pak Karim suaminya yang kerap membuat keputusan terburu-buru tanpa usul periksa . Aminah juga sedar, sikap pemarah Pak Karim pada hari itu sungguh berbeza. Kemungkinan juga,suaminya mempunyai masalah pada waktu tersebut. Aminah tetap sabar dan terus mendiamkan diri selepas itu.
       Hatinya berkata-kata, “ Sabar seperuh daripada iman, jika aku terus melawan ibarat api dengan minyak akan terus menyala.”

 10.  Pengenalan jenis puisi.
Anda telah dipilih mewakili kelas dalam pertandingan menulis esei sempena
Minggu Keusahawanan yang dianjurkan oleh Persatuan Ekonomi sekolah anda. Tajuk esei yang ditetapkan ialah “Faedah Berjimat Cermat”.
Tulis esei anda itu selengkapnya.

Tikar pucuk tikar mengkuang,
Alas nikah raja Melayu;
Ikan busuk jangan dibuang,
Buat perencah si daun kayu.

Pantun warisan di atas mengingatkan kita supaya tidak membuang ikan yang sudah busuk. Sebaliknya, suri rumah yang kreatif seharusnya memanfaatkan ikan busuk itu untuk dijadikan hidangan yang istimewa. Dengan sentuhan yang bijak, ditambah pula dengan pelbagai ramuan termasuk ulam-ulaman, ikan busuk itu akan menjadi makanan yang enak untuk dinikmati. Demikian, maksud secara literal pantun empat kerat di atas. Secara tersiratnya, pantun tersebut mengingatkan kita agar sentiasa berjimat-cermat dalam kehidupan amnya, dan perbelanjaan seharian khususnya. Tambahan pula, agama Islam sendiri melarang umatnya bersikap boros lantaran pemboros ialah sahabat syaitan.

11.  Pengenalan jenis lagu.
Pelbagai langkah telah diambil oleh pihak kerajaan untuk memajukan sektor pertanian di samping meningkatkan taraf hidup golongan petani.
Tulis sebuah rencana tentang sumbangan sektor pertanian terhadap ekonomi negara untuk dimuatkan dalam akhbar tempatan.

Burung yang berkicau
Air mengalir tenang
Sejuk mata memandang
Damai mempesonakan
Padi melambai-lambai
Gadis di tepi bendang
Walau panas membahang
Tetap manis tersenyum riang

Lagu ’Desa Tercinta’ dendangan Nora yang dikategorikan dalam genre muzik irama Malaysia ini sangat popular sekitar tahun 2000 yang lalu. Ilustrasi di dalam lagu tersebut menunjukkan betapa harmoni hubungan antara alam dengan insan. Lebih jauh lagi, lagu itu berusaha memberikan gambaran tentang keindahan sebuah kampung tradisional di negara kita. Kampung tersebut masih mengekalkan sektor pertanian, khususnya penanaman padi sebagai sumber utama pendapatan penduduknya. Walau bagaimanapun, gambaran seumpama itu hanya indah dan terdapat di beberapa perkampungan di negara kita, sedangkan desa yang lainnya sudah dicalar oleh projek pembangunan yang menggila. Di sisi yang lain, sektor pertanian sesungguhnya masih amat diperlukan untuk terus membangunkan negara. Lantaran itu, apakah langkah-langkah proaktif yang wajar dilaksanakan bagi memajukan sektor pertanian di negara ini?

Sebagai tambahan:-

12.  Pengenalan Jenis petikan Hadis dan Al Quran.
Tangungjawab pelajar menumpukan pelajaran amat penting kerana hanya pendidikan mampu mengubah kehidupan keluarga dan diri mereka kelak. Bincangkan.

Allah berfirman dalam Surah Al-“Asr, “ Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” Pengertian Surah “Asr ini amat bermakna kepada seorang pelajar, serta tanggungjawab mereka sebagai seorang pelajar dan tanggungjawab mereka sebagai seorang anak kepada kedua-dua ibu bapa mereka. Pelajar perlu belajar bersungguh dan berjaya dalam pelajaran untuk memastikan mereka mampu mengubah kehidupan keluarga dan untuk kebahagian kehidupan mereka pada masa mendatang. Justeru, sebagai seorang pelajar, mereka perlu tidak mengabaikan tanggung jawab mereka sebagai seorang pelajar.




PERINGATAN SETIAP PENGENALAN ADA KELEBIHAN DAN KESESUAIANNYA DENGAN TAJUK KARANGAN. SEKIRANYA PELAJAR TERSILAP MEMILIH PENGENALAN, MARKAH BAHAGIAN ISI TIDAK AKAN CEMERLANG. CUMA LATIHAN YANG KERAP AKAN MENGHASILKAN PENGENALAN YANG BAIK DAN CEMERLANG.


Tiada ulasan: