Isnin, 27 Mac 2017

HARI PERTAMA MENGAJAR SEBAGAI GURU GANTI KELAS 4S DI SMK SERI LONDANG

Pada hari pertama di SMK Seri Londang, saya masih belum menerima jadual mengajar dan saya telah diminta mengantikan guru mata pelajaran Sains kelas 4S bermula pukul 11.30 pagi hingga pukul 1.00 petang. Saya mengambil kesempatan mengajar penulisan karangan berpandu atau ransangan dengan tajuk ditentukan oleh pelajar dan keputusannya tajuk yang dipilih adalah Internet Dalam Kehidupan Pelajar.

INTERNET DALAM KEHIDUPAN  PELAJAR



HASIL PERBINCANGAN, SETIAP KUMPULAN PELAJAR
PERLU MEMBERIKAN ISI DENGAN BIMBINGAN GURU. OLEH SEBAB
TAJUK KARANGAN BERKENAAN UMUM, HASILNYA:-
  1.     Kumpulan pertama : Internet membantu pelajar berkomunikasi. ( Pro)
  2.     Kumpulan kedua    : Internet  memudahkan mencari maklumat   ( Pro)
  3.     Kumpulan ketiga    : Internet mempengaruhi gejala negatif dalam kalangan pelajar (Kontra)
  4.     Kumpulan keempat: Internet melalaikan tanggungjawab sebagai seorang pelajar (kontra)
Fokus perbincangan lebih kepada cara mengembangkan isi karangan di atas.

      Guru memberi penjelasan bahawa sebuah karangan yang baik perlu mempunyai kaedah untuk mengembangkan isi karangan:-



KEPERLUAN UNTUK MENGHASILKAN KARANGAN CEMERLANG
(PENGGUNAAN KAEDAH DEDUKTIF)

Bil
Perkara
Keterangan
1
Ayat judul
Ayat yang mengandungi kata kunci jawapan yang menjawab pokok persoalan karangan.
2
Ayat huraian
Ayat yang menghurai secara lanjut  isi utama yang dikemukakan  bertujuan untuk memberikan penjelasan tentang perkara yang diperkatakan atau menyokong isi-isi utama. Karangan cemerlang memerlukan lebih daripada satu ayat huraian.
3
Ayat Contoh
Ayat contoh pula ialah ayat yang mengandungi bukti atau contoh yang berkaitan dengan isi yang diperkatakan  untuk memperkuat hujah. Bukti dan contoh yang dikemukakan mestilah bukti yang sahih dan bukan bukti atau contoh yang sengaja diada-adakan.
5
Ayat Penegas
Ayat yang memberikan penegasan terhadap isi dan huraian yang dikemukakan. Ayat ini biasanya mempunyai penanda  wacana seperti "tegasnya", "oleh itu", dan "sehubungan dengan itu", konkulisinya.
6
Aksesori untuk mengindahkan karangan.
  i.        Adanya istilah menarik ( IM)
 ii.       Adanya frasa menarik (FM)
iii.      Adanya peribahasa/ kata-kata pujangga/kata-kata pemimpin.


SELEPAS GURU MEMBUAT PENJELASAN BERKAITAN KRITERIA UNTUK MENGHASILKAN KARANGAN CEMERLANG, MURID DIMINTA MENGEMBANGKAN
 ISI BERDASARKAN TUGASAN KUMPULAN.

CONTOH KARANGAN LENGKAP.

Pendahuluan. ( tidak dibincangkan sekadar contoh untuk melengkapkan karangan )


      Internet merupakan rangkaian maklumat antarabangsa yang terbesar di dunia yang memungkinkan pelajar saling bertukar informasi mahupun data maklumat. Dunia Tanpa Sempadan’ adalah satu istilah yang sinonim dengan internet.  Penggunaan jaringan internet kini semakin meluas ke serata dunia pada sera globalisasi selaras dengan arus kemodenan sains dan teknologi. Pada masa kini, pelbagai gadjet muncul memacu majuan komunikasi dalam kalangan pelajar. Kemajuan teknologi semakin berkembang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Segala kemudahan ini telah menjadikan kehidupan manusia terus maju ke hadapan tetapi terdapat kebaikan dan keburukannya kerana manusia menentukan kemudahan internet digunakan dengan sebaik-baiknya.

Isi perenggan pertama.

     Antara kebaikan penggunaan internet kepada pelajar ialah pelajar akan dapat menerima maklumat dengan mudah dan pantas kerana maklumat di hujung jari. Carian maklumat juga tidak dihadkan dan pelajar mudah untuk mencari maklumat dengan enjin carian seperti google, "monzila fire fox", MSN. Altavista, Yahoo, dan sebagainya. Maklumat carian juga bukan sahaja  dalam bentuk teks tetapi juga dalam bentuk gambar rajah, jadual, carta grafik, audio, animasi dan lain lain. Bahan-bahan berkenaan juga mudah dimuat turun tanpa sebarang bayaran untuk kegunaan pelajar di dalam kelas atau untuk mengulangkaji pelajaran. Dengan kemudahan internet tersebut, pelajar tidak perlu ke perpustakaan  untuk mendapatkan maklumat serta memudahkan proses pembelajaran. Malah,penggunaan internet ini secara tidak langsung dapat menjimatkan kos seperti kos perbelanjaan dan juga kos-kos lain seperti kos pengangkutan. Sebagai contoh, jika pelajar mahu membuat rujukan tetapi tidak mepunyai wang yang cukup untuk membeli buku, mereka boleh melayari internet sahaja untuk mencari sumber rujukan yang betul dan relevan. Pada masa yang sama pengunaan internet menjimatkan masa kerana masa itu emas Tegasnya, internet amat membantu  pelajar untuk mendapat maklumat dan memudahkan proses pembejalaran mereka.

Isi perenggan kedua.

         Selain itu,  pelajar juga memudahkan pelajar berkomunikasi untuk menambah kenalan daripada penggunaan internet. Hal ini kerana, laman sosial seperti Facebook dan Twitter kini telah menjadi virus epidemik dalam kalangan pelajar di seantero dunia. Oleh itu, pelajar boleh bertukar-tukar maklumat mahupun pendapat melalui kenalan daripada laman sosial berkenaan. Peribahasa ada mengatakan berkawan biar seribu, bermusuh jangan sekali. Tambahan pula, pelajar boleh menggunakan internet sebaik-baiknya dengan mencari pelbagai latihan untuk dijadikan latihtubi sebagai persediaan peperiksaan. Malah  jika pelajar stress dengan pembelajaran mahupun ujian dan peperiksaan mereka boleh mencari hiburan, contohnya di laman "Youtube" yang mampu mengurangkan stress mereka semasa mencari maklumat di internet. Tambahan pula, dengan adanya gadjet baru seperti  "smartfphone" pelajar boleh mendapatkan maklumat mengunakan peralatan canggih tersebut untuk mendapatkan maklumat tidak kira masa dan di mana sahaja mereka berada. Tuntasnya, internet memudahkan pelajar berkomunikasi untuk menambah kenalan daripada penggunaan internet.

Isi perenggan ketiga.

        Di sebalik kecanggihan internet, internet juga boleh mendatang gejala negatif yang memudaratkan pelajar sekiranya pelajar tidak menggunakan peranti berkenaan untuk kebaikan. Antara keburukan internet terhadap pelajar ialah mereka bebas melayari laman web porno atau lucah tanpa kawalan kerana internet dikatakan dunia tanpa sempadan. Bahan-bahan lucah sering menjadi kegilaan remaja kerana dapat dilayari tanpa sekatan menyeluruh oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia.  Keseronokan menonton bahan lucah mendorong pelajar melakukan hubungan sumbang selain perlakuan ini bakal mengundang perlakuan seks bebas .Impaknya boleh dilihat dalam kalangan pelajar, contohnya gejala pembuangan bayi yang berleluasa kini  Selain itu, internet juga dapat melekakan seseorang pelajar daripada fokus kepada proses pembelajarannya. Pelajar sering menghabiskan masa dengan melayari laman web yang berbentuk hiburan semata-mata hanya untuk keseronokan yang tidak mendatangkan sebarang kebaikan. Masa yang patut diperuntukkan untuk mengulang kaji pelajaran terbuang begitu sahaja dengan melayari laman sosial seperti facebook,twitter dan sebagainya. Masa itu emas, jika tidak digunakan dengan sebaik-baiknya masa tersebut akan berlalu begitu sahaja tanpa sebarang aktivti yang berfaedah. Justeru, jelaslah bahawa internet juga boleh mendatang gejala negatif yang memudaratkan pelajar sekiranya pelajar tidak menggunakan peranti berkenaan untuk kebaikan.

Isi perengan keempat.

       Bahkan juga, penggunaan internet secara berlebihan dan tanpa kawalan juga menyebabkan remaja menjadi malas untuk bergiat aktif dalam aktiviti kokurikulum atau melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai seorang pelajar. Aktiviti kokurikulum seperti bersukan dan berpersatuan dapat menyihatkan badan  tidak mendapat sambutan daripada pelajar. Pelajar kini lebih suka menghabiskan masa di hadapan komputer dan paling menakutkan penggunaan peranti seperti "smartpone" menambah lagi kebejatan masalah sosial dalam kalangan pelajar. Dengan adanya peranti  atau gadjet moden berkenaan pelajar boleh melayari internet di mana-mana sahaja mereka berada. Oleh sebab, melayari interet sehingga larut malam pelajar akan mengantuk pada waktu kelas dan tidak aktif sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran berjalan. Hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana kesannya, prestasi pelajar akan merundum dan akan memberi kesan hitam dalam kehidupan mereka ketika dewasa kelak.  Di samping itu juga, pengunaan peranti berkenaan secara berlebihan akan melahirkan pelajar yang kurang inovatif kerana kokurikulum menggalakkan aktiviti berpersatuan. Aktiviti persatuan amatlah penting untuk pelajar supaya mereka lebih bertanggungjawab dalam menguruskan organisasi. Kesimpulannya, jelaslah bahawa penggunaan internet secara berlebihan dan tanpa kawalan juga menyebabkan remaja menjadi malas untuk bergiat aktif dalam aktiviti kokurikulum dan menggalas tanggungjawab mereka sebagai seorang pelajar.

Perenggan penutup.

           Kesimpulannya, pengaruh ICT atau internet dalam peradaban moden tidak dapat dielakkan dalam kehidupan masyarakat moden kini khususnya dalam kalangan pelajar. Penggunaan internet serta kepelbagaian peranti atau gadjet yang mudah diperoleh di pasaran akan terus meningkat penggunaan internet dalam kalangan pelajarOleh itu, pihak bertanggung jawap perlulah turun padang dan mengambil tindakan sewajarnya untuk mengawal secara rapi penggunaan internet dalam kalangan pelajar supaya pelajar tidak cenderung dan terlibat dengan permasalahan sosial. Malah, dasar-dasar kerajaan berkaitan dengan pendidikan dan budaya mestilah juga meletakkan isu salah guna dan kesan negatif internet ini sebagai suatu yang penting bagi pemodenan dan pembangunan Negara bangsa Malaysia. Selain itu, peranan ibu juga penting kerana merekalah insan yang paling hampir dengan anak-anak. Anak-anak perlu diberi didikan agama yang secukupnya untuk mereka membuat keputusan memilih laman-laman web yang sepatutnya mereka layari. Anak-anak ibarat kain putih,ibu bapalah yang mencoraknya.  Cegahlah gejala sosial ini sebelum menular manjadi barah dalam kalangan masyarakat. Mencegah penyakit itu lebih baik lebih baik dari mengubati.


SAYA MENGHARAPKAN PELAJAR FAHAM BAGAIMANA
KARANGAN DI ATAS DIHASILKAN MENGGUNAKAN KAEDAH
DEDUKTIF UNTUK MENGEMBANGKAN ISI KARANGAN IAITU
 MENGGUNAKAN AYAT JUDUL, AYAT HURAIAN LEBIH DARIPADA
SATU AYAT, AYAT CONTOH, DAN AYAT PENEGAS.
ISTILAH DAN FRASA YANG DIHITAMKAN MERUPAKAN
AKSESORI UNTUK MENGINDAHKAN KARANGAN.

PELAJAR YANG CEMERLANG MAMPU MENGAPLIKASI
LEBIH BANYAK AYAT HURAIAN.


SILA RUJUK KEPADA GURU MATA PELAJARAN ANDA
JIKA ANDA TIDAK FAHAM CARA MENGEMBANGKAN ISI
MENGGUNAKAN KAEDAH MENGGUNAKAN KAEDAH
DEDUKTIF SEPERTI DI ATAS.


Tiada ulasan: