LANGKAH PERTAMA:-
MEMILIH PENGENALAN YANG SESUAI. ANTARA CADANGAN PENGENALAN:-
1. Pengenalan jenis berita.
2. Pengenalan jenis definisi.
3. Pengenalan jenis statistik.
4. Pengenalan jenis situasi.
Pengenalan Jenis Berita:-
PETALING JAYA – PLUS Expressways Berhad (PLUS) membelanjakan RM13 juta
untuk memasang semula peralatan yang rosak akibat perbuatan vandalisme di
sepanjang lebuh raya itu pada tahun lepas.
Ketua Pegawai Operasinya, Nik Airina Nik Jaffar berkata, lebih 5,000 kes
vandalisme yang dilaporkan kepada pihaknya dalam tempoh tersebut.
Katanya, antara kemudahan yang dirosakkan ialah pagar sebanyak 4,332
kes, perabot (825 kes), kecurian kabel telefon kecemasan (42 kes), kecurian
penutup longkang (50 kes) serta kemudahan tandas (107 kes). Akhbar Berita
Harian bertarikh 26 Mac 2010 di atas
mengambarkan keadaan vandalisme yang menyebabkan kerugian kepada pengendali
lebuh raya Malaysia. Justeru, apakah langkah yang boleh dilakukan untuk
mengatasi masalah berkenaan.
Pengenalan Jenis Stastitik: ( Ubah Suai daripada Berita di atas )
Ketua Pegawai PLUS Expressways Berhad (PLUS), Nik Airina Nik Jaffar
berkata, lebih 5,000 kes vandalisme yang dilaporkan kepada pihaknya pada tahun
2009. Statistik vandalisme yang dicatatkan melibatkan perbuatan merosakkan
pagar sebanyak 4,332 kes, perabot (825 kes), kecurian kabel telefon kecemasan
(42 kes), kecurian penutup longkang (50 kes) serta kemudahan tandas (107 kes).
Siapakah yang akan menanggung kerugian akibat perbuatan yang tidak
bertanggungjawab ini? Jawapannya, sudah pasti pengendali rebuh raya berkenaan
dan juga pengguna jalan raya sendiri. Justeru, apakah langkah yang boleh
dilakukan untuk mengatasi masalah berkenaan.
Pengenalan jenis definisi:-
Gejala
vandalisme dalam kalngan remaja semakin
menjadi-jadi di negara kita. Hal ini kerana, golongan remaja mudah terpengaruh
dengan sesuatu gejala atau budaya yang tidak sihat terutamanya gejala
vandalisme. Maksud vandalisme menurut kamus dewan adalah satu bentuk jenayah di
sisi moral. Sebarang perbuatan seperti menconteng, mengotori, atau merosakkan
harta benda awam dianggap sebagai vandalisme. Vandalisme juga dikenali sebagai
gejala laku musnah iaitu tabiat seseorang membinasakan harta benda awam dan
juga harta benda orang lain. Perkataan vandalisme ini berasal daripada nama
sebuah puak di Eropah yang dikenali sebagai Vandal. Kebiasaannya, gejala
vandalisme ini dianggap sebagai satu bentuk jenayah, tetapi pada keadaan
tertentu vandalisme ini juga merupakan satu bentuk jenayah ritual yang
dilakukan oleh golongan manusia yang tidak puas hati terhadap keadaan
masyarakat. Motif kejadian vandalisme biasanya terletak pada aspek emosi.
Vandalisme ini dianggap sebagai suatu cara untuk melepaskan geram atau pun cara
untuk menghilangkan kebosanan semata-mata. Walaupun mereka dianggap ringan,
tetapi masyarakat awam dan terutamanya kerajaan terpaksa menanggung kerugian
yang besar akibat daripada vandalisme tersebut. Oleh sebab itu, setiap ahli
masyarakat dan kerajaan perlu mengatasi masalah vandalisme yang banyak
mendatangkan kerugian kepada negara.
Pengenalan Jenis Situasi:-
Perbuatan yang merosakkan
segala benda awam merupakan vandalisme.Di Malaysia pelbagai kemudahan diberikan
oleh kerajaan untuk keselesaan rakyat
tetapi malangnya kebanyakan daripada kemudahan awam yang disediakan ini tekah
dirosakkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab Bayangkan sikap remaja yang
tidak bertanggungjawab melakukan perkara sedemikian tanpa memikirkan kesannya
kepada masyarakat yang memerlukan kemudahan awam berkenaan. Berita di muka akhbar dan berita televisyen sering
melaporkan mangsa terkorban dalam
kebakaran ataupun mati akibat kemalangan jalan raya kerana tidak sempat untuk
mendapat rawatan di hospital. Salah satu faktor yang menyebabkan kejadian di
atas berlaku adalah vandalisme. Telepon awam yang sudah dirosakkan menyebabkan
kita tidak dapat membuat panggilan untuk mendapatkan bantuan perubatan serta
paip yang sudah dirosakkan menyebabkan bomba tidak boleh mendapat bekalan air
untuk memadamkan api dan akhirnya membawa kepada berlakunya tragedi. Apa akan jadi, jika mangsa yang terlibat merupakan "darah daging" remaja yang melakukan vandalisme berkenaan? Oleh sebab itu, setiap ahli
masyarakat dan kerajaan perlu mengatasi masalah vandalisme yang banyak
mendatangkan kerugian kepada negara.
Cadangan Pengembangan Isi
Dalam konteks mengatasi masalah
vandalisme , ibu bapalah perlu memainkan peranan penting membanteras masalah sosial ini. Didikan agama
dan nilai moral yang sempurna haruslah ditanam dalam jiwa anak-anak mereka. Ibu
bapa perlu mendidik anak-anak mereka supaya menghargai harta benda awam yang
terdapat baik di kawasan tempat tinggal mereka mahupun di tempat lain. Selain
itu, mereka harus memantau aktiviti-aktiviti yang biasa dilakukan oleh
anak-anak mereka dan mengetahui latar belakang rakan-rakan bagi anak-anak
mereka. Sekiranya mereka mendapati anak-anak mereka terlibat dalam gejala
vandalisme ini, tindakan sewajarnya harus dilakukan. Hal ini termasuklah dengan
memberi amaran tegas kepada anak-anak mereka. Tindakan ini memang sesuai dengan
kata orang-orang tua,“Sayangkan anak, tangan-tangankan”. Tegasnya, ibu bapa merupakan orang yang paling penting menangani masalah
vandalisme dalam kalangan remaja.
Di
samping itu, masyarakat tidak harus berpeluk tubuh apabila gejala vandalisme ‘menjalar’
dengan berleluasa di kawasan perumahan dan mereka perlu prihatin terhadap masalah sosial tersebut . Perbuatan seperti menconteng
dinding bangunan, merosakkan telefon awam, buaian di taman permainan dan tong
sampah awam wajar diambil perhatian. Masyarakat di sesebuah kawasan perlu mengadakan mesyuarat dengan ibu bapa tentang gejala itu dan mengenakan
tindakan seperti denda berupa bayaran kepada ibu bapa yang didapati anaknya
terlibat dalam salah laku ini. Kesannya, ibu bapa akan menjadi lebih peka
terhadap tindak-tanduk anak-anak mereka. Konsep “menjaga tepi kain” perlu
ditanam dalam kalangan masyarakat agar masalah yang merugikan negara ini dapat
dibanteras dengan sebaik-baiknya. Jelaslah, masyarakat perlu berperanan untuk
mengatasi masalah sosial remaja ini. Sikap seperti enau dalam belukar,
melepaskan pucuk masing-masing perlu dibuang dalam persepsi kehidupan masyarakat.
Di samping
itu, pihak sekolah patut melaksanakan peraturan sekolah secara lebih tegas
terhadap pelajar. Mereka harus mendenda pelajar yang melakukan vandalisme di
dalam kawasan sekolah. Misalnya, pelajar yang terlibat dengan vandalisme perlu
dirotan atau dikenakan hukuman gantung sekolah. Tindakan ini dapat menginsafkan
pelajar yang terlibat dan mampu menjadi pengajaran kepada pelajar-pelajar yang
lain. Pihak sekolah juga harus mengenepikan sikap pilih kasih semasa mengenakan
tindakan terhadap pelajar yang terlibat dengan vandalisme. Langkah ini bukan
sahaja mampu menangani masalah vandalisme, tetapi turut dapat mengurangkan
masalah-masalah disiplin yang lain. Kesimpulannya, pihak sekolah patut
melaksanakan peraturan sekolah secara lebih tegas terhadap pelajar yang
terlibat dalam gejala vandalisme.
Selain itu, pihak kerajaan perlu
mengadakan kempen-kempen untuk memerangi gejala vandalisme. Pihak kerajaan
boleh menyebarkan idea tersebut melalui stesen televisyen dan radio tempatan
untuk menangani gejala yang semakin ‘membarahi’ negara ini. Kerajaan juga perlu
mengenakan bayaran kompaun yang setimpal kepada sesiapa yang didapati melakukan
sebarang aktiviti yang melibatkan kerosakan harta benda awam. Individu yang
didapati bersalah melakukan perbuatan laku musnah ini perlulah melakukan kerja-kerja
kebajikan kepada masyarakat seperti menyapu sampah dan membersihkan tandas awam
dan taman-taman permainan. Natijahnya, sudah pasti gejala vandalisme akan dapat
diatasi dengan penguatkuasaan undang-undang yang tegas oleh pihak berwajib.
Tegasnya, pihak kerajaan perlu mengadakan kempen-kempen untuk memerangi gejala
vandalisme sebelum penyakit sosial ini merebak menjadi barah.
Kesimpulannya, semua pihak perlu berganding bahu dan mengerah keringat
untuk bersama-sama memerangi gejala vandalisme ini. Walaupun isu ini dilihat
tidaklah terlalu teruk, tetapi ingatlah bahawa ia dapat memberi impak yang
besar kepada negara. Sekiranya semua kemuahan awam kita tidak boleh digunakan
atau diconteng, maka di manakah kita hendak meletakkan air muka kita. Imej
negara yang bersih hanya akan tinggal kenangan sahaja. Ayuhlah kita bertindak
segera untuk ‘memerangi’ gejala ini dan ingatlah , ‘jangan sudah terhantuk
barulah terngadah’.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan