Ahad, 13 Oktober 2019

KARANGAN BERPANDU CARA-CARA MENGAMAL GAYA HIDUP SIHAT (NOSTALGIA SEMASA MENGAJAR DI SMKASAS PADA TAHUN 2013)

Karangan Berpandu diubahsuai daripada karangan Hasilan Nurul Ashikin bt. Abdullah ( Tingkatan 5 Ibnu Haitham Tahun 2013)  Pelajar Tingkatan 5 Wajib Menyalin Karangan Di bawah.

Huraikan pendapat anda tentang cara-cara mengamalkan gaya hidup sihat. Panjang karangan anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.


    Dalam meniti arus kemodenan yang berteraskan sains dan teknologi maklumat, faktor kesihatan masyarakat pada hari ini berada pada tahap yang membimbangkan pihak berkuasa terutamanya Kementerian Kesihatan Malaysia. Semakin hari, masalah wabak pelbagai penyakit semakin menjalar dalam kalangan masyarakat tanpa mengira usia tua atau muda. Jika dahulu masalah darah tinggi  dan  kencing manis merupakan penyakit yang sering dihadapi oleh golongan tua tetapi pada hari ini golongan kanak-kanak juga sering dihantui penyakit berkenaan. Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2011, angka pesakit yang menghadapi masalah kesihatan telah meningkat sebanyak 200 000 orang  pesakit melebihi bilangan pesakit pada tahun sebelumnya. Sebenarnya masalah kesihatan masyarakat mampu diatasi dengan pelbagai cara terutamanya dengan kemudahan prasarana berkaitan kesihatan semakin banyak disediakan oleh pihak kerajaan. Klinik desa, Klinik 1 Malaysia, Hospital Desa, Hospital Besar merupakan tempat masyarakat mendapat kemudahan rawatan kesihatan.  Persoalannya, mengapakah kadar pertambahan bilangan pesakit yang tidak mengenal usia berlaku pada zaman sekarang? Bak kata pepatah, setiap penyakit ada ubatnya, setiap masalah pasti ada jalan keluarnya. Salah satu daripadanya adalah dengan mengamalkan gaya hidup sihat sebagaimana yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Bagaimanakah caranya  untuk kita mengamalkan gaya hidup sihat?


         Mari kita capahkan lensa perbincangan kita kepada skop yang lebih khusus di bawah kata kunci pengambilan makanan seimbang. Kebanyakan rakyat Malaysia mengganggap pengambilan makanan seimbang ialah diet. Sebenarnya, tanggapan masyarakat mengenai perkara tersebut adalah salah sama sekali.Hal ini kerana pengambilan makanan seimbang bermaksud pengambilan makanan oleh seseorang individu yang mengandungi semua nutrien dan vitamin yang diperlukan oleh tubuh badan secara seimbang. Jika kita merujuk piramid makanan, pembahagian pemakanan terbahagi kepada beberapa bahagian mengikut keperluan makanan berdasarkan seorang manusia normal. Bahagian bawah piramid makanan merupakan kumpulan makanan mengandungi karbohidrat, diikuti dengan kumpulan makanan yang mengandungi vitamin, mineral, dan serat, seterusnya kumpulan makanan yang mengandungi protin, dan terakhir bahagian atas ialah kumpulan makanan mengandungi lemak. Piramid makanan juga merupakan panduan kepada pengguna dengan mengurangkan pengambilan makanan berlemak di bahagian atas sekali, seperti lemak dan gula,. Oleh sebab itu, makanan berlemak hanya perlu kita ambil dalam kuantiti sedikit. Berbanding kandungan karbohidrat perlu diambil dalam kuantiti yang banyak kerana makanan seperti ini membekalkan kita tenaga untuk menjalani kehidupan seharian, contohnya nasi, roti, dan bijirin. Seorang ahli falsafah Yunani iaitu Socrates berkata " Aku makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan." Tegasnya, kita boleh mengamalkan gaya hidup sihat dengan mengambil makanan seimbang setiap hari.


           Seterusnya, mari kita lebarkan lensa perbincangan dengan memperkatakan gaya hidup sihat iaitu menjalankan aktiviti rekreasi. Sebagai mana yang kita sedia maklum, kegiatan rekreasi merupakan aktiviti yang berfaedah terutama untuk mengisi masa senggang, merehatkan minda dan mengelakkan stress, selain menyehatkan badan. Pada abad milenium ini, banyak tempat rekreasi, sama ada bertemakan air, alam sekitar dan sebagainya. Dengan adanya pusat rekreasi, anak muda atau remaja boleh menyertai aktiviti berkenaan dengan mandaftar diri dan menyertai program yang dianjurkan seperti kursus berkayak, mendaki gunung, , menyelam, "jungle tracking" dan sebagainya. Bagaimana kegiatan rekreasi ini dapat menyihatkan tubuh badan? Aktiviti rekreasi merupakan aktiviti mencabar. Sebelum melakukan aktiviti berkenaan, peserta selalunya diminta untuk melakukan aktiviti regangan agar seluruh sendi dan sistem kardivaskular kita bersedia terlebih dahulu sebelum melakukan aktiviti berkenaan. Bahkan juga, dengan adanya aktiviti regangan dan pemanasan badan, kadar pengaliran darah dan pergerakan jantung akan stabil sebelum peserta melakukan aktiviti yang berat. Selain itu, kelenjar endokrin dan kelenjar adrenalina akan merembeskan peluh yang mengandungi toksin untuk disingkirkan daripada badan. Oleh sebab itu, badan kita akan menjadi sihat dan sukar untuk dijangkiti patogen-patogen penyakit. Kebiasaanya, seorang fasiltator akan memberi penerangan kepentingan melakukan regangan dan peringatan mengenai langkah-langkah menjaga keselamatan sepanjang program rekreasi diadakan untuk mengelak sebarang kemalangan atau kecederaan. Bak kata pepatah, malang tidak berbau dan sediakan payung sebelum hujan. Justeru, tahap keselamatan peserta lebih terjamin semasa melakukan aktiviti lasak tersebut. Hal ini jelas menunjukkan aktiviti berekreasi merupakan satu cara untuk kita mengamalkan gaya hidup sihat dalam kehidupan.


                Mari kita meneruskan perbincangan menggunakan minda pelajar kelas pertama dalam membicara aktiviti sukan sebagai amalan gaya hidup sihat. Sebagaimana kita maklum, remaja tidak lari daripada melakukan aktiviti sukan dalam kehidupan mereka sejajar dengan usaha Kementerian Pelajaran Malaysia memperkenalkan pelaksanaan Program 1 Murid 1 Sukan yang mewajibkan pelajar sekurang-kurang menyertai satu aktiviti sukan di sekolah. Bahkan juga,Kementerian Pelajaran Malaysia juga telah 10% syarat kemasukan ke universiti berdasarkan pencapaian pelajar dalam bidang kokurikulum antaranya sukan permainan. Namun, pelaksanaan program ini belum mencapai objektifnya kerana sebilangan pelajar masih belum membudayakan diri mereka untuk bersukan dan penglibatan mereka dalam aktiviti berkenaan hanya sekadar untuk penyertaan bukan sebagai budaya. Sebenarnya, pucuk pangkal permasalahan berkenaan terus berlaku akibat masyarakat masih belum mengetahui akan manfaat dan kepentingan sukan dalam kehidupan mereka. Dengan bersukan, masyarakat akan mendapat manfaat iaitu selain menyihatkan badan, mereka juga akan dapat mencergaskan minda mereka. Hal ini kerana ketika bersukan oksigen akan diserapkan ke dalam badan dengan lebih cepat dan akan mengaktifkan sel-sel badan menjalankan proses respirasi, disamping aliran oksigen ke otak akan lebih aktif. Secara langsung neuron-neuron otak juga akan bersambung dan badan akan menerima cas-cas positif yang berfungsi untuk menyihatkan badan dan mencerdaskan otak. Kebaikannya kepada pelajar, mereka tidak akan mudah mengantuk semasa berada di dalam kelas dan sudah pasti proses pengajaran dan pembelajaran akan lebih bermakna. Pepatah Arab ada mengatakan bahawa minda cerdas lahir daripada badan yang sihat. Justeru, kita boleh mengamalkan gaya hidup sihat dengan melakukan aktiviti bersukan.


              Akhir sekali, sudah terang lagi bersuluh bahawa pemeriksaan dan rawatan kesihatan adalah penting dalam memastikan tahap kesihatan kita sentiasa berada di bawah paras bahaya. Masyarakat Malaysia perlu bersyukur kerana kerajaan terutamanya di bawah kelolaan Kementerian Kesihatan Malaysia amat mengambil berat dalam menyediakan prasarana dan kemudahan  kesihataperkhidmatan bertaraf dunia. Hal ini boleh kita lihat di setiap pelusuk negara terdapat pusat rawatan sama ada klinik desa, Klinik 1 Malaysia, Hospital Desa dan Hospital Besar sentiasa terbuka untuk dikunjungi oleh rakyat yang sedar akan kepentingan kesihatan mereka. Bahkan juga, pengamal perubatan yang sedia merawat pesakit adalah lepasan universiti dikerah berkhidmat di pusat rawatan daerah, dan negeri agar setiap masyarakat mudah untuk mendapat perkhidmatan kesihatan yang berkualiti. Berbading suatu ketika dahulu, pesakit yang memerlukan rawatan daripada seorang doktor hanya boleh mendapat perkhidmatan mereka di hospital desa atau hospital besar. Rawatan kesihatan amat penting supaya setiap warganegara akan tahu tahap dan darjah kesihatan mereka dari semasa ke semasa. Apabila kita melakukan rawatan kesihatan secara berskala sekurang-kurangnya tiga bulan sekali perkembangan kesihatan kita boleh dipantau oleh pengamal perubatan atau doktor dengan sebaik-baiknya. Natijahnya cukup positif kerana pengesanan penyakit secara awal akan memudahkan mereka mendapat rawatan yang sepatutnya. Secara langsung pengesanan awal boleh menyelamatkan nyawa kerana kadang kala penyakit menyerang tanpa disedari terutama penyakit tiga serangkai iaitu darah tinggi, kecing manis dan serangan jantung. Contohnya, sekiranya pesakit mengalami penyakit kencing manis para doktor berpengalaman akan menasihatkan pesakit mengawal kaedah pemakanan yang sesuai dan sekiranya pesakit mengalamai masalah diabetis yang kronik suntikan insulin akan dilakukan untuk mengawal paras gula dalam badan. Pepatah ada menyebut " mencegah lebih baik daripada merawat." Tegasnya mendapat pemeriksaan dan rawatan kesihatan adalah sangat penting dalam memastikan tahap kesihatan masyarakat dalam keadaan baik.


          Kesimpulannya, pengamalan gaya hidup sihat merupakan inisiatif kita sendiri. Jika kita inginkan kesihatan kita sentiasa sihat, kita perlulah melibatkan diri dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang boleh menyihatkan tubuh badan kita seperti pengambilan makanan seimbang, melakukan aktiviti rekreasi, menyertai aktiviti sukan dan mendapatkan rawatan kesihatan secara sempurna. Oleh itu, untuk menyokong kerajaan dalam merealisasikan Wawasan 2020, kita perlulah memastikan tahap kesihatan kita dalam keadaan terbaik kerana pekerja, pentadbir, dan pemimpin yang sihat jasmani, rohani, emosi dan inteleknya sahaja yang akan dapat membantu menggapai cita-cita pemimpin  untuk memastikan Malaysia mampu untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara maju yang lain. Justeru, kesihatan merupakan aset paling penting sebagai warganegara Malaysia kerana bak kata pepatah, kesihatan itu lebih penting daripada wang ringgit yang menggunung.


Para pelajar boleh mengolah dan, menambah istilah, frasa atau ayat, maklumat atau fakta serta frasa menarik asalkan binaan ayatnya gramatis. 

Tiada ulasan: