SOALAN : Penggunaan media sosial amat popular di
Malaysia. Media sosial seperti Facebook, Twitter, WhatsApps dan My Space
mendapat perhatian masyarakat di negara ini. Kecanggihan teknologi dunia tanpa
sempadan sukar membendung angkara negatif di sebaliknya.
Terangkan cara-cara mengawal penggunaan media sosial dalam
kalangan masyarakat.
Dalam meniti arus pemodenan yang
mencabar akal dan minda,kita sering kali dikaitkan dengan penggunaan media
sosial yang kian meluas di segenap empat penjuru dunia yang juga menular dalam
kalangan masyarakat di Malaysia. Blog,rangkaian sosial seperti Facebook,
Twitter, Instagram, WeChat, Skype, Viber dan WhatsApps adalah antara contoh
medium penting yang terdapat dalam aplikasi media sosial. Media sosial ini
menjadi wahana bagi setiap lapisan masyarakat dunia untuk kekal berhubung
dengan kenalan, sahabat handai dan keluarga yang berjauhan. Menurut Wikipedia,
iaitu ensiklopedia bebas yang tersohor mentakrifkan media sosial adalah sejenis
wahana yang digunakan terus secara talian dengan membolehkan para pengguna
dengan mudah untuk menyertai, berkongsi dan mencipta isi meliputi blog,
rangkaian sosial, wiki, forum dan dunia virtual. Menurut sumber yang dipetik
daripada persatuan Digital Malaysia ( MDA ), pada bulan Oktober 2010 sahaja
mencatatkan bahawa Facebook merupakan media sosial paling popular dalam
kalangan lapan juta rakyat Malaysia yang menggunakannya. Anggota komuniti yang
paling popular adalah antara 15 hingga 30 tahun. Belakangan ini, isu
membabitkan media sosial hebat diperkatakan apabila media sosial itu dilihat
sebagai ancaman keselamatan terhadap masyarakat dan negara. Hal ini disebabkan
kewujudan golongan tidak bertanggungjawab yang menjadikan media sosial
sebagai wadah untuk memfitnah, menipu, menyamar menjadi individu tertentu bagi
tujuan menjatuhkan reputasi seseorang dan menarik perhatian dengan
membangkitkan isu sensitif seperti agama, budaya dan kaum. Pelbagai persoalan
terus menghantui minda kita apabila berbicara tentang penyalahgunaan media
sosial. Persoalannya ialah apakah cara-cara untuk mengawal penyalahgunaan media
sosial dalam masyarakat? Siapakah yang sebenarnya wajar memikul dan menggalas
tugas-tugas untuk mengawal penyalahgunaan media sosial? Seharusnya media sosial
dipantau oleh pelbagai pihak daripada jari-jari yang tidak bertanggungjawab ini.
Suatu hakikat yang tidak dapat
diketepikan untuk mengawal penggunaan media sosial dalam kalangan masyarakat
ialah peranan yang dimainkan oleh setiap individu. Dalam ilmu
sosial, individu bererti bagian terkecil dari kelompok masyarakat yang tidak
dapat dipisahkan lagi menjadi bagian yang lebih kecil. Persoalan yang
menerawang dalam benak kita ialah bagaimanakah individu itu boleh mengawal
penggunaan media sosial? Pada zaman yang serba canggih ini, keimanan dan jati
diri perlu ada dalam diri setiap individu untuk mengawal penggunaan media
sosial. Jari jemari amat mudah untuk menari-nari pada papan kekunci menaip
apa-apa sahaja yang ada di fikiran, apatah lagi mudah sangat untuk mengetuk
peranti pintar yang dimiliki. Tanpa kita sedar ada kalanya bait-bait tulisan
itu mengundang provokasi atau banyak dusta daripada benarnya umpama baik kaya
ialah kaya hati, sebaik-baik bekal ialah takwa, seburuk-buruk buta ialah buta
hati dan sebesar-besar dosa ialah berdusta. Setiap individu perlulah
menggunakan media sosial dengan bijak sebagai penambah timbangan pahala agar
tidak menimbulkan perkara yang sensitif yang membawa kepada permusuhan.
Seseorang individu itu juga perlulah berdisiplin dalam melayari media sosial
agar tidak terleka dengan keasyikan dunia alam maya yang disajikan. Tugas
hakiki seharian perlu dilunaskan terlebih dahulu seperti mengulang kaji
pelajaran bagi seorang yang bergelar murid dan melakukan tugas rutin seharian
bagi orang dewasa persis masa itu emas iaitu media sosial tidak seharusnya
menjadi peneman sepanjang 24 jam sehingga melupakan hubungan sosial secara
bersemuka bersama keluarga dan teman-teman. Berdasarkan statistik terkini
di laman Statistik menyatakan bahawa penggunaan harian media sosial oleh
pengguna Internet secara global telah mencecah 106.2 minit sehari berbanding
103.2 minit sehari pada 2014. Pada 2016 pula, pengguna media sosial sedunia
dijangkakan mencecah dua bilion. Persatuan Digital Malaysia menyatakan bahawa
pada bulan Oktober 2010 sahaja mencatatkan bahawa laman web sosial Facebook
merupakan laman web paling popular dalam kalangan lapan juta rakyat Malaysia.
Seseorang individu itu boleh mengurangkan masa mengakses media sosial dengan
menyibukkan diri melakukan sesuatu pekerjaan seperti melakukan aktiviti
beriadah yang boleh menyihatkan badan dan mencerdaskan minda seperti bersukan,
berkelah sambil merapatkan saf kekeluargaan dan bergotong-royong sambil
membasmi nyamuk Aedes dan mengeratkan silaturahim sesama jiran tetangga dan mewujudkan
perpaduan berbilang kaum ibarat bersatu kita teguh,bercerai kita roboh. Setiap
individu memikul amanah terhadap diri sendiri bersesuaian dengan kata-kata
daripada Hamka iaitu seorang ulama, sasterawan, sejarawan dan ahli
politik Indonesia yang mengungkapkan kata-kata puitis untuk renungan kita
bersama berbunyi kecantikan abadi terletak pada keelokan adab dan ketinggian
ilmu seseorang, bukan terletak pada wajah dan pakaiannya. Tegasnya, tepuk dada
tanya selera masing-masing sama ada seseorang individu itu mahu menjadi seorang
yang berguna dengan mengaut ilmu sebanyak mungkin menggunakan media sosial atau
sebaliknya menyalahgunakannya untuk perkara-perkara yang tidak baik.
Kupasan dan huraian tentang
media sosial tidak harus ada titik noktahnya. Maka sebagai meneruskan
kesinambungan kupasan, moleklah andai kata ditinjau pula dari aspek
peranan ibu bapa. Hal ini dikatakan demikian kerana ibu bapa
merupakan insan yang paling rapat dengan anak-anak. Persoalan yang bermain
dalam minda kita ialah bagaimanakah ibu bapa dapat memainkan peranan untuk
membendung penyalahgunaan media sosial dalam kalangan anak-anak? Pemikir
tersohor dan tokoh ilmuwan yang disegani di negara kita, Profesor diraja Ungku
Aziz pernah menyatakan bahawa rumah merupakan universiti pertama bagi anak-anak
dan ibu bapa pula merupakan profesor pertama bagi mereka. Nah, sudah terang
lagi bersuluh fungsi primer ibu bapa iaitu sebagai profesor pertama bagi
anak-anak! Ibu bapa perlulah memantau setiap perkara yang dilakukan oleh
anak-anak ketika mereka mengakses media sosial. Pemantauan ibu bapa sebenarnya
mampu menggelakkan anak-anak daripada mengakses laman sesawang yang berunsurkan
pornografi, mahupun melakukan jenayah siber seperti mencetak rompak bahan
media, mencetuskan provokasi atau menggodam laman sesawang. Ibu bapa juga boleh
menjadi mata dan telinga umpama sambil menyelam minum air iaitu dengan menjadi
rakan dalam laman sesawang Facebook, WhatsApps, Instragram dan sebagainya bagi
mengetahui perjalanan pelayaran kembara anak-anak dalam media sosial. Ibu bapa
yang menjadi rakan dalam alam maya anak-anak akan dapat mengetahui 1001 rahsia
anak-anak dari segi emosi, perlakuan, kesukaan, perasaan, cita-cita dan
mengenali rakan-rakan anak mereka. Ibu bapa boleh menjadi rakan paling akrab
dan mesra kepada anak-anak mereka apabila memahami naluri anak-anak. Sudah
pasti anak-anak yang tahu kasih sayang dan cakna orang tua mereka tidak
tergamak untuk menconteng arang ke muka ibu bapa mereka dengan melakukan
penyalahgunaan dalam media sosial. Pada masa yang sama, ibu bapa juga perlulah
mengehadkan masa penggunaan media sosial dalam kalangan anak-anak. Sebagai
contoh yang bersesuaian dengan situasi di atas, anak-anak hanya dibenarkan
untuk mengakses media sosial dengan pemantauan daripada ibu bapa selama satu
jam sehari. Mungkin anak-anak ingin mendapatkan info daripada guru, rakan-rakan
atau mengakses Internet untuk bahan rujukan pembelajaran. Ibu bapa harus
mengawasi perlakuan dan memantau penggunaan media sosial dalam kalangan
anak-anak yang baru berumur setahun jagung, berdarah setampuk pinang agar tidak
terjebak dalam kancah negatif. Anak diibaratkan sehelai kain putih, maka
menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk mencorakkannya sama ada seindah warna
pelangi atau semalap mendung awan di langit. Ibu bapa harus mengambil
alternatif yang lain persis meletakkan komputer di ruangan yang terbuka sama
ada di ruang tamu atau di sudut-sudut yang boleh dilihat oleh ibu bapa.
Ibu bapa tidak boleh terlepas pandang daripada memerhatikan anugerah terindah
ini lagi-lagi di zaman dunia tanpa sempadan dan segala maklumat baik buruk
hanya di hujung jari sahaja. Setegas-tegasnya dinyatakan bahawa ibu bapa
seyogialah memainkan peranan yang dominan untuk melahirkan anak-anak yang
berkaliber, cukup syumul dan utopia hasil didikan kedua-dua ibu bapa mereka dan
bukan anak-anak yang bobrok dan kaya dengan pidana termasuk jenayah di media
sosial.
Paparan demi paparan berita tentang
penggunaan media sosial yang sering menjadi hiasan media arus perdana, nyata
perlu dijadikan agenda penting oleh pihak sekolah. Sekolah
diumpamakan sebagai gedung ilmu bagi insan-insan yang dahagakan ilmu
pengetahuan. Mengambil sumber benar lagi tepat daripada Kamus Dewan (edisi
keempat) mendefinisikan sekolah sebagai tempat untuk belajar dan mengajar,
tempat menerima dan memberi pelajaran. Persoalan yang bermain-main di minda
kita ialah bagaimanakah sekolah boleh menjadi institusi yang mengawal
penggunaan media sosial? Bertepatan dengan maksudnya, murid menerima pelajaran
secara formal meliputi jasmani, emosi, rohani dan inteleknya seperti termaktub
dalam Falsafah Pendidikan Negara. Guru-guru di sekolah memainkan peranan
penting dengan menasihati murid agar menjadi insan yang bermoral dah bersahsiah
terpuji dengan menjauhi perkara-perkara mungkar bersangkut paut dengan
penyalahgunaan media sosial. Guru mata pelajaran Pendidikan Islam boleh
membuktikan hukum penyalahgunaan media sosial dengan dalil Al-Quran manakala
guru mata pelajaran Pendidikan Moral boleh menyenaraikan beberapa nilai seperti
nilai amanah, harga diri, rasional dan bertanggungjawab. Timbalan Menteri
Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata jumlah capaian Internet
di negara ini mencecah 70.2 peratus dengan purata seseorang melayari laman
sesawang ialah empat jam 30 minit sehari. Tidak mustahil 70.2 peratus itu
termasuk penggunaan Internet oleh mereka yang masih memakai uniform sekolah.
Larangan membawa telefon bimbit ke sekolah memang bertepatan dengan peribahasa
lama yang menyatakan ibarat orang mengantuk disorongkan bantal. Budaya buli,
gengsterisme dan perlakuan tidak senonoh yang menjadi tular dalam kalangan
murid sekolah begitu menyesakkan nafas pihak sekolah. Imej sekolah
tercalar,apatah lagi air muka ibu bapa mereka yang melakukan perkara mungkar
dan tersebar dalam media sosial yang boleh disaksikan seantero dunia. Pihak
sekolah mengikut hukuman dalam Panduan Tatacara Disiplin Sekolah selaras dengan
Peraturan-peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah 1959) boleh mengambil tindakan
dengan Pembuangan Sekolah, Penggantungan Sekolah, Hukuman Dera (Corporal
Punishment), Penahanan (detention) dan Amaran. Unit Kaunseling dan Unit
Disiplin di sekolah juga boleh berganding bahu mengadakan kem motivasi, pameran
dan kempen kesedaran untuk murid tentang penggunaan media sosial. Pendedahan
dari segi rohani dan jasmani boleh membentuk murid yang celik IT dan
mengelakkan murid menjadi ketagihan media sosial. Oleh yang demikian, jelaslah
bahawa pihak sekolah memainkan peranan penting mengawal penggunaan media sosial
dalam kalangan murid-murid di sekolah agar tidak menjadi kudis bernanah yang
merosakkan masyarakat, bak peribahasa Melayu yang amat berharga iaitu sesal
dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Sebelum nasi menjadi bubur,
ada baiknya segala masalah media sosial dikekang sejak di bangku sekolah lagi
sebelum membarah dalam masyarakat.
Populariti media sosial ini tidak
dapat disangkal lagi oleh mana-mana pihak.Masyarakat sendiri perlu
bertindak pantas untuk mengawal penggunaan media sosial dalam kalangan mereka.
Setiap anggota masyarakat harus menjunjung tinggi sikap bekerjasama dan
bertoleransi yang menjadi senjata utama untuk mengawal penggunaan media sosial.
Menurut Kamus Dewan (edisi keempat) yang benar lagi sahih mendefinisikan
masyarakat sebagai kumpulan manusia yang hidup bersama di sesuatu tempat dengan
aturan dan cara tertentu. Persoalan yang berlegar-legar dalam minda kita ialah
bagaimanakah seluruh masyarakat Malaysia dapat berganding bahu dan saling
mendepani penggunaan media sosial bak peribahasa Melayu yang tak jemu diucap
selalu iaitu yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing? Adakah
masyarakat kita ambil peduli tentang permasalahan ini atau hanya menutup mata
dan memekakkan telinga masing-masing? Statistik yang diambil daripada akhbar
arus perdana iaitu Utusan Malaysia melaporkan bahawa menurut laman web Internet
Lives Stars seramai tiga bilion atau 40 peratus daripada penduduk dunia
menggunakan Internet. Di Malaysia terdapat hampir 20 juta atau 67 peratus
rakyat menggunakan Internet dan lebih daripada 15 juta orang mengakses
Facebook. Ayuh, bangkitlah semua! Masyarakat perlu menjadi mata dan telinga
kepada pihak berkuasa dengan melaporkan kepada pihak polis jika terdapat
penyalahgunaan media sosial. Masyarakat di kawasan komuniti masing-masing boleh
mengadakan kempen kesedaran tentang media sosial kepada remaja atau golongan
belia. Kempen kesedaran ini boleh diadakan di dewan serba guna yang gah
tersergam dibina di setiap kawasan perumahan, di balai raya atau di rumah-rumah
ibadat seperti masjid. Forum atau tazkirah santai berkenaan cara penggunaan
media sosial yang betul pasti menarik perhatian golongan belia yang sinonim
dengan minat mereka. Melalui forum, bual bicara atau tazkirah santai tersebut
boleh diselitkan dengan pengenalan aplikasi-aplikasi canggih yang secara
tidak langsung masyarakat itu sendiri dapat membuka minda golongan muda ini
untuk menerokainya dan menjauhi jenayah siber. Masyarakat juga boleh
menggunakan media sosial seperti Facebook, WhatsApps atau Instagram untuk
mengajak setiap ahli komuniti melakukan sesuatu yang memberi impak positif
seperti berniaga dalam talian dan bertukar-tukar idea atau info tentang resipi
masakan bagi kaum ibu atau info pelajaran bagi mereka yang bergelar pelajar .
Setiap individu di muka bumi ini merupakan khalifah yang tugasnya menyeru
semua orang berbuat kebaikan dan bukannya memukul canang menabur fitnah dan
menyebarkan berita palsu melalui media massa. Masyarakat juga hendaklah
berfikir sejenak dan tidak cepat melatah menerima sesuatu berita itu tanpa
menganalisis dengan bijaksana. .Oleh yang demikian, jelaslah bahawa masyarakat
berperanan penting dalam mengawal penggunaan media sosial bersesuaian dengan
peribahasa buat air kerana muafakat, bulat manusia kerana muafakat. Maka
masyarakat hendaklah saling menggembleng tenaga untuk mengawal penggunaan media
sosial.
Sebagai akhir kalam, pihak kerajaan merupakan
tonggak utama dalam mengawal penggunaan media sosial. Statistik yang diambil
daripada Koleksi Rencana Umum Untuk Rujukan Karangan SPM & STPM yang
ditulis oleh Hj. Samat bin Buang menyatakan bahawa Malaysia mencatatkan sebagai
13 negara paling aktif dalam jenayah siber di seluruh dunia. Sebenarnya dalam
konteks jenayah siber, banyak sudah berlaku kes penipuan dalam talian sejak
lima hingga tujuh tahun kebelakangan ini apabila wujud kes-kes seperti “Love
Scam, Parcel Scam dan Online Scam yang menyaksikan penjenayah boleh mengakses
akaun peribadi seseorang mangsa. Modus operandi yang digunakan oleh penjenayah
siber ini ialah menyamar sebagai wakil Bank Negara kononnya akaun mereka
dibekukan dan meminta mangsa memindahkan wang ke dalam akaun lain yang lebih
selamat. Pertanyaan yang muncul dalam benak kita ialah bagaimanakah kerajaan
dapat mengawal penyalahgunaan media sosial dalam kalangan masyarakat? Pihak
polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal berhadapan cabaran lebih hebat pada masa
akan datang berikutan pelbagai taktik baharu perlakuan jenayah siber.
Antara undang-undang yang sudah sedia wujud di Malaysia bagi mengawal
selia segala yang berlaku dalam dunia siber ialah Akta Komunikasi dan
Multimedia 1998 (Akta 588), dan Akta Jenayah Komputer 1997 (Akta 563). PDRM
boleh berkolaborasi dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
(SKMM) yang diterajui oleh Datuk Sri Salleh Said Keruak untuk mengambil
tindakan tegas kepada seseorang yang menyalahgunakan rangkaian media sosial
untuk menyebar berita palsu, lucah, mengancam keselamatan dengan niat
menyinggung perasaan, menganiaya, menggugat atau mengganggu orang lain. Mereka
boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia
1998 dan jika didapati bersalah boleh didenda RM50,000 atau dipenjarakan tidak
melebihi setahun atau kedua-duanya sekali. Janganlah kita hanya bertindak
setelah keadaan sudah menjadi parah. Portal-portal berita yang merasakan mereka
kebal dan bebas untuk melakukan fitnah dan tohmahan serta memutarbelitkan
sesuatu berita perlu diajar memahami undang-undang. Sekarang masa untuk
bertindak bagi mengelakkan yang benar dianggap batil, yang batil dianggap
benar, fitnah diiktiraf sebagai bukti dan tohmahan dijamah setiap hari. Rakyat
semestinya tanpa ragu-ragu menjunjung tinggi prinsip undang-undang negara di
mana-mana sahaja mereka berada, bak kata peribahasa Melayu zaman berzaman iaitu
di mana bumi dipijak,di situ langit dijunjung. Tidak manis kiranya tindakan
undang-undang diambil sebelum diberikan penerangan dan kempen kesedaran tentang
kesan buruk penyalahgunaan media sosial kepada masyarakat. Oleh itu mengambil
pendekatan pendidikan perlu sejak awal usia lagi, program Latihan Khidmat
Negara (PLKN) merupakan suatu program yang bertepatan untuk menyemai jati diri,
nilai murni yang tinggi dan taat kepada agama, bangsa dan negara selari dengan
laungan slogan ‘Pemuda Harapan Bangsa, Pemudi Tiang Negara. Besarnya harapan
menggunung terpikul di pundak muda-mudi generasi pelapis memimpin negara
tercinta. Oleh itu sudah semestinya mereka iaitu generasi muda yang bakal
menerajui negara sifar daripada penyalahgunaan media sosial. Jelaslah bahawa
pihak kerajaan merupakan peneraju gemilang terhadap sesebuah negara berperanan
menjaga keharmonian dan keamanan negara melalui kempen kesedaran dan
undang-undang yang tegas bagi mengawal penyalahgunaan media sosial.
Sebagai melabuh tirai perbincangan
tentang mauduk mengawal penggunaan media sosial telah dikupas dengan mendalam.
Hal ini tidak akan menemui kejayaan jika tiada sokongan padu daripada pelbagai
pihak. Oleh itu, setiap lapisan masyarakat perlu bahu membahu dan bergandingan
tangan untuk merealisasikan mengawal penggunaan media sosial demi keharmonian
dan kemajuan negara serta membentuk masyarakat yang celik IT, berinovasi dan
bermaklumat seiring dengan lagu Keranamu Malaysia.
Alam siber teknologi terkini,
Kejayaan semakin hampiri,
Biar di kota ataupun desa,
Kita semua pasti merasa bangga.
Persatuan Digital Malaysia menyatakan bahawa pada bulan
Oktober 2010 sahaja mencatatkan bahawa laman web sosial Facebook merupakan
laman web paling popular dalam kalangan lapan juta rakyat Malaysia.
Sumber Blog Dr. Tan CL.
Pelajar
digalakkan mengubahsuai karangan di atas dengan mengaplikasi Kaedah
Pengembangan Idea Karangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan