Ahad, 13 Oktober 2013

CONTOH KARANGAN TERBAIK PELAJAR SMAKASAS (PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2013)

Karangan Berpandu diubahsuai daripada karangan Hasilan Nurul Ashikin bt. Abdullah  ( Tingkatan 5 Ibnu Haitham)  Pelajar Tingkatan 5 Wajib Menyalin Karangan Di bawah.
Huraikan pendapat anda tentang cara-cara mengamalkan gaya hidup sihat. Panjang karangan anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

    Dalam meniti arus kemodenan yang berteraskan sains dan teknologi maklumat, faktor kesihatan masyarakat pada hari ini berada pada tahap yang membimbangkan pihak berkuasa terutamanya Kementerian Kesihatan Malaysia. Semakin hari, masalah wabak pelbagai penyakit semakin menjalar dalam kalangan masyarakat tanpa mengira usia tua atau muda. Jika dahulu masalah darah tinggi  dan  kencing manis merupakan penyakit yang sering dihadapi oleh golongan tua tetapi pada hari ini golongan kanak-kanak juga sering dihantui penyakit berkenaan. Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2011, angka pesakit yang menghadapi masalah kesihatan telah meningkat sebanyak 200 000 orang  pesakit melebihi bilangan pesakit pada tahun sebelumnya. Sebenarnya masalah kesihatan masyarakat mampu diatasi dengan pelbagai cara terutamanya dengan kemudahan prasarana berkaitan kesihatan semakin banyak disediakan oleh pihak kerajaan. Klinik desa, Klinik 1 Malaysia, Hospital Desa, Hospital Besar merupakan tempat masyarakat mendapat kemudahan rawatan kesihatan.  Persoalannya, mengapakah kadar pertambahan bilangan pesakit yang tidak mengenal usia berlaku pada zaman sekarang? Bak kata pepatah, setiap penyakit ada ubatnya, setiap masalah pasti ada jalan keluarnya. Salah satu daripadanya adalah dengan mengamalkan gaya hidup sihat sebagaimana yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Bagaimanakah caranya  untuk kita mengamalkan gaya hidup sihat?

         Mari kita capahkan lensa perbincangan kita kepada skop yang lebih khusus di bawah kata kunci pengambilan makanan seimbang. Kebanyakan rakyat Malaysia mengganggap pengambilan makanan seimbang ialah diet. Sebenarnya, tanggapan masyarakat mengenai perkara tersebut adalah salah sama sekali.Hal ini kerana pengambilan makanan seimbang bermaksud pengambilan makanan oleh seseorang individu yang mengandungi semua nutrien dan vitamin yang diperlukan oleh tubuh badan secara seimbang. Jika kita merujuk piramid makanan, pembahagian pemakanan terbahagi kepada beberapa bahagian mengikut keperluan makanan berdasarkan seorang manusia normal. Bahagian bawah piramid makanan merupakan kumpulan makanan mengandungi karbohidrat, diikuti dengan kumpulan makanan yang mengandungi vitamin, mineral, dan serat, seterusnya kumpulan makanan yang mengandungi protin, dan terakhir bahagian atas ialah kumpulan makanan mengandungi lemak. Piramid makanan juga merupakan panduan kepada pengguna dengan mengurangkan pengambilan makanan berlemak di bahagian atas sekali, seperti lemak dan gula,. Oleh sebab itu, makanan berlemak hanya perlu kita ambil dalam kuantiti sedikit. Berbanding kandungan karbohidrat perlu diambil dalam kuantiti yang banyak kerana makanan seperti ini membekalkan kita tenaga untuk menjalani kehidupan seharian, contohnya nasi, roti, dan bijirin. Seorang ahli falsafah Yunani iaitu Socrates berkata " Aku makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan." Tegasnya, kita boleh mengamalkan gaya hidup sihat dengan mengambil makanan seimbang setiap hari.

           Seterusnya, mari kita lebarkan lensa perbincangan dengan memperkatakan gaya hidup sihat iaitu menjalankan aktiviti rekreasi. Sebagai mana yang kita sedia maklum, kegiatan rekreasi merupakan aktiviti yang berfaedah terutama untuk mengisi masa senggang, merehatkan minda dan mengelakkan stress, selain menyehatkan badan. Pada abad milenium ini, banyak tempat rekreasi, sama ada bertemakan air, alam sekitar dan sebagainya. Dengan adanya pusat rekreasi, anak muda atau remaja boleh menyertai aktiviti berkenaan dengan mandaftar diri dan menyertai program yang dianjurkan seperti kursus berkayak, mendaki gunung, , menyelam, "jungle tracking" dan sebagainya. Bagaimana kegiatan rekreasi ini dapat menyihatkan tubuh badan? Aktiviti rekreasi merupakan aktiviti mencabar. Sebelum melakukan aktiviti berkenaan, peserta selalunya diminta untuk melakukan aktiviti regangan agar seluruh sendi dan sistem kardivaskular kita bersedia terlebih dahulu sebelum melakukan aktiviti berkenaan. Bahkan juga, dengan adanya aktiviti regangan dan pemanasan badan, kadar pengaliran darah dan pergerakan jantung akan stabil sebelum peserta melakukan aktiviti yang berat. Selain itu, kelenjar endokrin dan kelenjar adrenalina akan merembeskan peluh yang mengandungi toksin untuk disingkirkan daripada badan. Oleh sebab itu, badan kita akan menjadi sihat dan sukar untuk dijangkiti patogen-patogen penyakit. Kebiasaanya, seorang fasiltator akan memberi penerangan kepentingan melakukan regangan dan peringatan mengenai langkah-langkah menjaga keselamatan sepanjang program rekreasi diadakan untuk mengelak sebarang kemalangan atau kecederaan. Bak kata pepatah, malang tidak berbau dan sediakan payung sebelum hujan. Justeru, tahap keselamatan peserta lebih terjamin semasa melakukan aktiviti lasak tersebut. Hal ini jelas menunjukkan aktiviti berekreasi merupakan satu cara untuk kita mengamalkan gaya hidup sihat dalam kehidupan.

                Mari kita meneruskan perbincangan menggunakan minda pelajar kelas pertama dalam membicara aktiviti sukan sebagai amalan gaya hidup sihat. Sebagaimana kita maklum, remaja tidak lari daripada melakukan aktiviti sukan dalam kehidupan mereka sejajar dengan usaha Kementerian Pelajaran Malaysia memperkenalkan pelaksanaan Program 1 Murid 1 Sukan yang mewajibkan pelajar sekurang-kurang menyertai satu aktiviti sukan di sekolah. Bahkan juga,Kementerian Pelajaran Malaysia juga telah 10% syarat kemasukan ke universiti berdasarkan pencapaian pelajar dalam bidang kokurikulum antaranya sukan permainan. Namun, pelaksanaan program ini belum mencapai objektifnya kerana sebilangan pelajar masih belum membudayakan diri mereka untuk bersukan dan penglibatan mereka dalam aktiviti berkenaan hanya sekadar untuk penyertaan bukan sebagai budaya. Sebenarnya, pucuk pangkal permasalahan berkenaan terus berlaku akibat masyarakat masih belum mengetahui akan manfaat dan kepentingan sukan dalam kehidupan mereka. Dengan bersukan, masyarakat akan mendapat manfaat iaitu selain menyihatkan badan, mereka juga akan dapat mencergaskan minda mereka. Hal ini kerana ketika bersukan oksigen akan diserapkan ke dalam badan dengan lebih cepat dan akan mengaktifkan sel-sel badan menjalankan proses respirasi, disamping aliran oksigen ke otak akan lebih aktif. Secara langsung neuron-neuron otak juga akan bersambung dan badan akan menerima cas-cas positif yang berfungsi untuk menyihatkan badan dan mencerdaskan otak. Kebaikannya kepada pelajar, mereka tidak akan mudah mengantuk semasa berada di dalam kelas dan sudah pasti proses pengajaran dan pembelajaran akan lebih bermakna. Pepatah Arab ada mengatakan bahawa minda cerdas lahir daripada badan yang sihat. Justeru, kita boleh mengamalkan gaya hidup sihat dengan melakukan aktiviti bersukan.

              Akhir sekali, sudah terang lagi bersuluh bahawa pemeriksaan dan rawatan kesihatan adalah penting dalam memastikan tahap kesihatan kita sentiasa berada di bawah paras bahaya. Masyarakat Malaysia perlu bersyukur kerana kerajaan terutamanya di bawah kelolaan Kementerian Kesihatan Malaysia amat mengambil berat dalam menyediakan prasarana dan kemudahan  kesihataperkhidmatan bertaraf dunia. Hal ini boleh kita lihat di setiap pelusuk negara terdapat pusat rawatan sama ada klinik desa, Klinik 1 Malaysia, Hospital Desa dan Hospital Besar sentiasa terbuka untuk dikunjungi oleh rakyat yang sedar akan kepentingan kesihatan mereka. Bahkan juga, pengamal perubatan yang sedia merawat pesakit adalah lepasan universiti dikerah berkhidmat di pusat rawatan daerah, dan negeri agar setiap masyarakat mudah untuk mendapat perkhidmatan kesihatan yang berkualiti. Berbading suatu ketika dahulu, pesakit yang memerlukan rawatan daripada seorang doktor hanya boleh mendapat perkhidmatan mereka di hospital desa atau hospital besar. Rawatan kesihatan amat penting supaya setiap warganegara akan tahu tahap dan darjah kesihatan mereka dari semasa ke semasa. Apabila kita melakukan rawatan kesihatan secara berskala sekurang-kurangnya tiga bulan sekali perkembangan kesihatan kita boleh dipantau oleh pengamal perubatan atau doktor dengan sebaik-baiknya. Natijahnya cukup positif kerana pengesanan penyakit secara awal akan memudahkan mereka mendapat rawatan yang sepatutnya. Secara langsung pengesanan awal boleh menyelamatkan nyawa kerana kadang kala penyakit menyerang tanpa disedari terutama penyakit tiga serangkai iaitu darah tinggi, kecing manis dan serangan jantung. Contohnya, sekiranya pesakit mengalami penyakit kencing manis para doktor berpengalaman akan menasihatkan pesakit mengawal kaedah pemakanan yang sesuai dan sekiranya pesakit mengalamai masalah diabetis yang kronik suntikan insulin akan dilakukan untuk mengawal paras gula dalam badan. Pepatah ada menyebut " mencegah lebih baik daripada merawat." Tegasnya mendapat pemeriksaan dan rawatan kesihatan adalah sangat penting dalam memastikan tahap kesihatan masyarakat dalam keadaan baik.

          Kesimpulannya, pengamalan gaya hidup sihat merupakan inisiatif kita sendiri. Jika kita inginkan kesihatan kita sentiasa sihat, kita perlulah melibatkan diri dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang boleh menyihatkan tubuh badan kita seperti pengambilan makanan seimbang, melakukan aktiviti rekreasi, menyertai aktiviti sukan dan mendapatkan rawatan kesihatan secara sempurna. Oleh itu, untuk menyokong kerajaan dalam merealisasikan Wawasan 2020, kita perlulah memastikan tahap kesihatan kita dalam keadaan terbaik kerana pekerja, pentadbir, dan pemimpin yang sihat jasmani, rohani, emosi dan inteleknya sahaja yang akan dapat membantu menggapai cita-cita pemimpin  untuk memastikan Malaysia mampu untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara maju yang lain. Justeru, kesihatan merupakan aset paling penting sebagai warganegara Malaysia kerana bak kata pepatah, kesihatan itu lebih penting daripada wang ringgit yang menggunung.

Para pelajar boleh mengolah dan, menambah istilah, frasa atau ayat, maklumat atau fakta serta frasa menarik asalkan binaan ayatnya gramatis. 

CONTOH KARANGAN BERPANDU KEDUA


 






Karangan di bawah bukan soalan Percubaan SPM 2013 SMKASAS. Saya masukkan karangan berkenaan atas dasar kehebatan hasilan  karangan pelajar berkenaan dan boleh dijadikan contoh semasa mengarang oleh setiap pelajar. Justeru, karangan di bawah wajib salin.
Diubahsuai daripada karangan nukilan Norfaezah bt. Mohd. Nozani  ( Pelajar Tingkatan 4 Ibnu Sina )
Karangan Umum Berfokus Komsas.
Soalan : Dalam karangan masyarakat Malaysia, pantun merupakan puisi tradisional yang masih kekal sehingga ke hari ini. Bincangkan keistimewaan pantun dan peranannya dalam masyarakat Melayu.

Busana indah bertata suasa,
Menari puteri di dalam taman,
Pantun lambang budaya bangsa,
Takkan hilang ditelan zaman.

       Rangkap pantun di atas menggambarkan pantun sebagai satu lambang keistimewaan mayarakat Melayu. Pantun merupakan seni bangsa yang telah diperturunkan daripada generasi terdahulu kepada generasi pasca kemerdekaan ini. Pantun yang kaya dengan seni kata yang halus dan irama yang indah turut melambangkan kehebatan dan kepakaran masyarakat Melayu dalam bidang berbahasa. Marcapada, puisi tradisional kini turut dipertahan dan diberi penekanan oleh golongan pencinta ilmu agar tidak terhakis dibawa arus perubahan zaman yang rakus menelan budaya Melayu dari bangsanya.  Justeru, komponen sastera yang diperkenalkan dalam sukatan mata pelajaran Bahasa Melayu merupakan usaha bijak pandai kita agar pendedahan sedari usia rebung pasti mampu memupuk kecintaan pelajar atau generasi muda terhadap  kemahiran berbahasa terutamanya kemahiran berpantun. Bukan itu saja, malah harapan kita agar generasi sekarang juga diharapkan mampu mencipta hasilan pantun seperti generasi nenek moyang kita sebelumnya. Seterusnya, diharapkan kesenian berbahasa ini akan menjadi budaya masyarakat bangsa dalam setiap aktiviti harian sama ada ketika berkomunikasi secara umum ataupun formal. Jelasnya, kenenian berbahasa menggunakan pantun sebagai wahana komunikasi antara masyarakat mempunyai pelbagai keistimewaan dan peranannya.

       Mari kita bersama-sama memfokuskan lensa perbincangan ke arah horizon minda pelajar kelas pertama dengan membicara kata kunci pertama iaitu fungsi pantun sebagai wahana penyampaian rasa penghargaan dan terima kasih kepada seseorang. Masyarakat Melayu yang sememangnya terkenal dengan sikap suka menghargai dan berterima kasih atas sumbangan dan jasa orang lain. Antara hasilan pantun generasi terdahulu yang masih diaplikasi masayarakat sehingga kini terpapar melalui pantun seperti di bawah,
            Pisang emas dibawa belayar,
            Masak sebiji di atas peti,
            Hutang emas boleh dibayar,
             Hutang budi dibawa mati.
Justeru, penggunaan pantun sebagai alat untuk menyampaikan rasa penghargaan dan ucapan terima kasih seperti tergambar dalam pantun di atas memaparkan kehalusan budi bangsa Melayu sesuai dengan pepatah Melayu iaitu harimau mati meninggalkan belang, manusia matiu meninggalkan nama. Ucapan terima kasih melalui penggunaan pantun yang selalunya digunakan dalam ucapan semasa acara rasmi, atau dalam perbualan seorang rakan dengan rakan memang meninggalkan impak yang besar kepada pendengarnya. Ucapan dengan penggunaan pantun ini boleh berlaku apabila seseorang itu menghulurkan bantuan sama ada kewangan, tenaga atau usaha membantu orang lain dalam meringankan bebanan kerja, memberikan idea dalam menyelesaiakan masalah, memberikan nasihat dan sebagainya. Secara langsung, penggunaan pantun dalam menyampaikan penghargaan terima kasih ini dapat melahir dan menyemaikan bibit-bibit kasih sayang antara pengguna atau penutur bahasa. Tuntasnya, pantun menjadi wadah dan wahana dalam menyampaikan rasa penghargaan dan terima masih seseorang dalam kehidupan bermasyarakat.

      Seterusnya, mari kita selusuri fokus lensa perbincangan menggunakan minda pelajar kelas pertama mengenai peranan pantun dan keistimewaannya dengan kata kunci kedua iaitu pantun juga boleh diguna pakai sebagai medan media berkomunikasi dalam menyampaikan sesuatu maklumat kepada masyarakat. Sebagai contoh, kita sering melihat iklan yang dipaparkan di kaca televisyen menggunakan pantun sebagai medium komunikasi mereka. Usaha murni media massa menggunakan pantun sebagai alat menyampaikan pesanan atau nasihat amat dipuji kerana dengan aplikasi pantun berkenaan dalam media akan membangkitkan rasa kecintaan masyarakat terhadap fungsi pantun dalam kehidupan dan secara langsung mereka tidak akan lupa akan peranan pantun dalam kehidupan seharian serta tidak melupakan identiti bangsa mereka. Di samping itu, media komunikasi tidak kira media cetak ataupun media elektronik boleh menggalakkan masyarakat mengaplikasi pantun dalam kehidupan mereka sama ada semasa berinteraksi atau berhubung melalui komunikasi berbahasa ataupun melalui tulisan. Antara contoh, media massa  seperti radio dan televisyen menyiarkan rancangan berbalas pantun sama ada secara tertutup mahupun secara siaran langsung dalam rancangan mereka. Langkah ini juga patut dipuji kerana golongan yang meminati siaran eletronik ini antaranya golongan remaja dan mereka inilah bakal pemimpin dan merupakan aset negara. Bahkan juga, penggunaan pantun dalam kehidupan boleh menjadi bahan untuk hiburan dan jenaka kerana pantun sering mendapat perhatian dalam kalangan penghibur negara terutama dalam rancangan realiti televisyen sekarang seperti Super Spontan, Maharaja Lawak,  Karott Komedia X, dan sebagainya mencuri tumpuan peminat dalam kalangan masyarakat. Tamsilnya, pabila masyarakat menonton rancangan seperti ini mereka akan dapat melupakan sementara rasa sedih dan stress mereka setelah bergulamang dengan kerjaya pada sebelah siangnya. Sebagai nasihat, dalam berhibur ciri-ciri pantun sebagai puisi lama tidak perlu diabaikan kerana di situlah erti keindahan dan keunikan berbahasa yang ditinggalkan oleh generasi dahulu kepada kita. Tegasnya, masayarakat tidak perlu memandang rendah peranan pantun dalam kehidupan mereka kerana pantun berperanan sebagai penyampai maklumat dan juga sumber hiburan yang mengasyikkan.
   
        Darsawarsa, segelintir masyarakat kita, terutama masyarakat Melayu alpa kerana meminggir dan tidak menghargai tradisi  pantun sebagai satu medium atau wahana untuk menyindir dan menempelak sesorang tanpa menyinggung perasaan pendengar. Kita sedia maklum, masyarakat Melayu terkenal dengan sifat berbudi bahasa dan sentiasa menjaga akhlak semasa berkomunikasi. Hal ini kerana setiap individu tidal lari daripada melakukan kesalahan sama ada secara sengaja atau sebaliknya sehingga menggores perasaan orang di sekeliling mereka. Justeru, pabila kita berbalik kepada generasi nenek moyang kita dahulu, mereka cenderung menggunakan pantun dalam menyindir atau menempelak sesorang. Dengan cara sedemikian, pendengar atau orang yang dilawan bercakap tidak akan berasa pedihnya sindiran berkenaan berbanding jika disampaikan dengan cara terus terang. Contohnya boleh kita lihat melalui pantun berikut, "Berakit ke hulu dengan bergalah,  buluh pecah terbelah dua, orang tua jangan dilangkah, kelak biadap dituduhnya pula." Pantun berkenaan jelas  menunjukkan contoh cara golongan tua menyindir golongan muda yang sering menempelak golongan tua sama ada semasa bercakap atau semasa memberi nasihat kerana orang tua lebih banyak makan garam. Berbanding sekiranya dalam menempelak atau menyindir seperti berkata, " Diam, jangan melawan cakap orang tua", menunjukkan seseorang terus menghalang orang lain bersikap biadap dengan orang tua. Sekiranya berlaku situasi sedemikian, sudah pasti golongan muda yang mendengar kata-kata seperti itu akan tersinggung dan akibatnya hubungan mereka akan menjadi renggang.Situasi ini sering berlaku dalam alaf milenium ini kerana golongan remaja sekarang lebih suka berterus terang semasa berbual dengan rakan-rakan sebaya, dan sudah pasti ada kalanya sikap ini akan mengundang padah seperti berlakunya pertengkaran dan perkelahian. Tegasnya, masyarakat terutama golongan remaja boleh menggunakan pantun apabila cuba untuk menempelak atau menyindir rakan sebaya kerana penggunaan pantun akan melembutkan maksud teguran berbanding jika teguran itu dizahirkan secara berterus terang.

         Mari kita lebarkan fokus lensa perbincangan kepada kata kunci peranan pantun dalam adat istiadat orang Melayu . Masyarakat Melayu sememangnya terkenal dengan sikap mengutamakan adat dalam upacara seperti merisik, pertunangan dan perkahwinan. Dalam majlis seperti rombongan merisik kebiasaannya ahli keluarga akan memilih golongan tua daripada keluarga mereka menjadi orang utama dalam majlis seperti disebutkan di atas. Kebiasaannya, orang paling utama dalam acara seperti tersebut dipilih dalam kalangan ahli keluarga yang petah berkata-kata dan kaya dengan kesenian berpantun. Selalunya, pantun akan digunakan sebagai mukadimah atau pembuka kata sebagai tanda meminta kebenaran sebelum aktiviti selanjutnya dijalankan semasa upacara merisik, pertunangan dan perkahwinan. Dalam berpantun kebiasaannya ketua rombongan akan cuba untuk menyampaikan hasrat rombongan keluarga mereka dan selalunya ke rumah gadis yang menjadi pilihan ahli keluarga lelaki. Selalunya, pantun yang dikemukan akan dibalas oleh keluarga gadis. Sebagai contoh pantun berkenaan seperti di bawah:-

            Tok Sami ke teluk Lipat,
             Kain batik dibawa Salma,
             Datang kami membawa hajat,
             Kalau sudi minta diterima.

             Dari Pauh singgah Permatang,
             Singgah merapat papan kemudi,
             Dari jauh saya datang,
             Kerana tuan yang baik budi.

Pantun seperti di atas, biasanya dipertuturkan semasa adat merisik, pertunangan atau perkahwinan yang mengambar orang Melayu sentiasa berkomunikasi secara bersopan dalam acara tertentu. Tegasnya, budaya masyarakat Melayu begitu unik dan kaya dengan kesenian bahasa antara kemahiran berpantun dalam upacara adat.

            Selain itu, pantun juga sering digunakan sebagai usaha untuk memberi tunjuk ajar atau nasihat kepada seseorang. Nasihat dan tunjuk ajar ini kebiasaannya diajukan kepada setiap lapisan masyarakat tidak kira usia muda atau tua. Pada zaman dahulu, orang tua-tua sering mengutamakan pantun sebagai usaha untuk memberi tunjuk ajar dan nasihat kepada anak-anak atau golongan remaja kerana dengan cara tersebut teguran dan nasihat yang hendak disampaikan secara lebih bersopan.  bahkan juga, dengan penggunaan pantun teguran dan tunjuk ajar dapat disampaikan tanpa menggores perasaan golongan yang menjadi sasarannya. Contoh pantun nasihat seperti di bawah:-

        Pergi ke pantai berkereta coklat,
        berdayung sampan hingga ke malam,
        Firman Tuhan tutuplah aurat,
        Menjadi kewajipan wanita Islam.

Berdasarkan pantun di atas, pemantun cuba menasihatkan golongan hawa agar sentiasa menutup aurat mereka kerana perkara tersebut sudah menjadi kewajipan kaum wanita di sisi Tuhan. Jelasnya, melalui pantun seperti diatas nasihat yang disampaikan secara lembut dan tidak berbentuk keras dalam bentuk paksaan walaupun perkara berkenaan adalah wajib dilaksanakan kaum perempuan. Berbanding dengan situasi remaja sekarang lebih suka membuat teguran secara terus terang sehingga menyebabkan timbul perasaan tidak senang dalam kalangan mereka. Adakalanya, cara teguran disampaikan menyebabkan hubungan antara mereka akan renggang malah ada juga yang mencetuskan perkelahian kerana ada yang berpendapat soal menutup aurat adalah soal peribadi. Tegasnya, pantun amat signifikan untuk memberikan nasihat dan teguran kerana cara ini lebih lembut dan bersopan.

      Akhirulkalam, sudah terang lagi bersuluh bahawa pantun sememangnya banyak kelabihan dan keistimewaannya tersendiri. Antara, pantun berfungsi sebagai hiburan, berguna dalam adat istiadat, sebagai nasihat, menempelak dan sebagainya. Sebagai penerus generasi terdahulu, kita bukan sahaja perlu menghargai keunikan dan kesenian pantun Melayu, malah lebih jauh lagi kita perlu mempertahan dan seterusnya membudaya tradisi penggunaan pantun dalam kehidupan seharian agar tidak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas dibawa arus zaman yang serba ligat dengan kemodenan zaman milineum ini. Justeru, kita sebagai perwaris bangsa perlu bekerjasama ibarat aur dengan tebing, bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat dalam usaha untuk terus memartabat dan memperkasakan pantun sebagai satu wahana dan mideum komunikasi sopan antara masyarakat Melayu yang terkenal dengan budi bahasanya. Oleh sebab itu, ternyatalah keistimewaan pantun dan peranannya dalam masyarakat tidak dapat dipertikaikan.

Soalan Berfokus Diri:-
Anak jiran anda menghidapi masalah penyakit yang kronik. Tuliskan pendapat anda cara untuk membantu anak jiran anda berkenaan agar bebanan keluarganya dapat diringankan. Saya mohon para pelajar melihat hasilan karangan pelajar di bawah dan buat rumusan ringkas mengenai karangan berkenaan dan saya harap semasa di dalam kelas untuk berbincang berkenaan keistimewaan dan kelemahan karangan berkenaan aharp maklum.




 
 

   Ulasasan anda:-
   1.    Idea relevan atau tidak dengan tugasan.
   2.    Pengolahan idea menarik atau tidak, mengaplikasi kaedah deduktif atau tidak.
   3.    Gaya bahasa menarik atau tidak. ( Ejaan, frasa, ayat)
   4.    Ejaan dan tanda baca ( Terdapat kesalahan ejaan atau tanda baca)
   5.    Pemerengganan. ( Cukup 7 perrenggan atau tidak/ Kepanjangan seimbang atau tidak )

    Ulasan keseluruhan ( Cemerlang atas, Cemerlang, Cemerlang bawah, Kepujian )

     .........................................................................................................................................................

     Anda juga boleh memberikan markah untuk karangan umum di atas.

Saya akan cuba memasukkan lagi karangan menarik Percubaan SPM SMKASAS 2013. Tetapi dua karangan yang saya lampirkan di atas merupakan karangan menarik pelajar tingkatan empat yang boleh dijadikan contoh kerana kualiti karangan berkenaan, kecuali karangan di atas. Karangan di atas perlu diberi ulasan dan markah. Setelah cuti nanti, pelajar diminta menyatakan ulasan dan tahap pencapaian karangan pelajar di atas semasa proses pengajaran dan pembelajaran.

Contoh Karangan Berpandu Nukilan Nur Aishah Humaira bt. Moideen Tingkatan 5 Ibnu Khaldun





Contoh Karangan Berpandu Percubaan SPM 2013




Karangan Umum Fokus Keluarga / Ibu Bapa
Ibu bapa memainkan peranan penting untuk membentuk budaya membaca dalam kalangan anggota keluarga mereka.
Bincangkan pernyataan di atas.

Karangan ini nukilan Nur Aisah Humaira bt. Moideen Ting. 5 Ibnu Khaldun





Karangan Nukilan Nurfarhana Nisa bt. Muhammad Fauzi  Tingkatan 5 Al Haitham




Karangan Umum Berfokus Diri Hasilan Nur Sayidah bt. Malek Tingkatan 5 Ibnu Khaldun
Anda bercita-cita menjadi seorang usahawan menjelang tahun 2020. Jelaskan persediaan-persediaan yang dilakukan untuk mencapai cita-cita tersebut.





 


Karangan berfokus masyarakat.

Kaum wanita di negara ini wajar diberikan peluang yang sama rata dengan kaum lelaki untuk menceburi diri dalam pelbagai bidang.
Berikan komen anda tentang pernyataan di atas.

         “Mampukah wanita menggalas tugas kaum lelaki?”  “ Kaum wanita hanya sesuai di dapur, mengemas rumah dan menjaga anak” “ Bolehkah wanita menjadi seorang pemimpin?” Persoalan sebegini kerap diperbual dan kerap menjadi perbincangan dalam kalangan masyarakat terutama dalam kalangan kaum adam yang sering memandang rendah akan kemampuan kaum hawa.  Namun, tohmahan dan pandangan kaum adam akan terhakis apabila nama-nama tokoh wanita sudah membarisi nama-nama hebat dengan kejayaan mereka dalam pelbagai bidang dan sekaligus membuktikan mereka mampu menyamai dan ada yang mengatasi kaum lelaki. Hal ini terbukti terbukti sejak dari dahulu lagi. Mana tidaknya, semenjak zaman Rasulullah sendiri nama wanita seperti Saiditina Aisyah, Ummi Salamah, Fatimah dan Zainab Al Ghazali memberi sumbangan yang besar dalam pembangunan Islam. Begitu wanita di Malaysia yang Berjaya dalam bidang mereka seperti Dr. Zeti Akhtar Aziz wanita pertama dilantik sebagai Gabenor  Bank Negara Malaysia,  Aireen Omar wanita pertama yang mengepalai syarikat Penerbangan Air-Asia, Datuk Dr. Maznah Hamid bekerjaya  dan memiliki syarikat sekuriti dan hartanah, Kadijah Abdullah Ketua Eksekutif Insuran Malaysia dan pelbagai lagi nama wanita berjaya di Malaysia, sudah pasti menutup pandangan serong golongan adam akan kebolehan kaum hawa. Benarlah kata pepatah, tangan yang menghayun buaian mampu mengoncang dunia. Tegasnya, wanita wajar diberi peluang yang sama rata dengan kaum lelaki untuk menceburi pelbagai bidang asalkan peranan mereka tidak bertentangan dengan agama.

        Mari kita lebarkan lensa skop perbincangan berdasarkan minda pelajar kelas pertama dengan kata kunci golongan wanita mampu menerajui bidang kewangan negara. Nama yang tidak asing dalam bidang kewangan berkenaan ialah Dr. Zeti Akhtar Aziz iaitu anak kepada pasangan Profesor Diraja  Ungku  Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid dan Sharifah Azah Alsagof merupakan Tokoh Budayawan Negara.  Dr. Zeti Akhtar Aziz merupakan wanita Malaysia pertama dilantik sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia setelah menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana dan  Doktor Falsafah dalam Jurusan Kewangan dan Ekonomi Antarabangsa Universiti Pennyslvania pada tahun 1978. Atas sumbangan  dan kejayaannya dalam mentadbir kewangan negara,  beliau telah terpilih sebagai Ahli Perbankan Pusat Terbaik di dunia oleh Majalah Global Finance.  Beliau menerima anugerah berprestij tersebut bersama-sama tokoh kewangan dunia seperti Gabenor Bank Australia, Gabenor Bank Israel, dan tokoh kewangan dari Filipina dan Taiwan. Selain Dr. Zeti Akhtar, nama wanita berjaya dalam bidang ekonomi seperti nama yang disebut di bahagian pengenalan iaitu Aireen Omar, Datuk Maznah, begitu juga Pengurus Syarikat Faiza Sdn. Bhd.  iaitu Faiza Bawurni Sayed Ahmad terkenan dengan pengedar beras basmathi.  Justeru, terbukti bahawa golongan wanita mampu untuk mentadbir kewangan dan ekonomi negara, malah jauh mengatasi kebolehan golongan lelaki apabila Dr. Zeti Akhtar telah diiktiraf sebagai antara Ketua Bank Negara yang terbaik di dunia.

         Seterusnya, mari kita selongkar kehebatan kaum hawa dalam bidang sukan agar sikap dan prasangka kebolehan wanita tidak dipertikai sebagai kaum yang lemah malah boleh berjaya seperti  peserta sukan lelaki. Kaum wanita juga mampu untuk berjaya seperti kaum lelaki dalam acara sukan sekiranya diberi ruang dan peluang untuk menunjukkan kebolehan mereka. Kejayaan mereka bukan sahaja di peringkat kebangsaan, malah ada yang berjaya di peringkat global apabila mampu menunduk pencabar dunia. Justeru, nama-nama seperti peserta sukan wanita berjaya dalam karear mereka di peringkat antarabangsa seperti Dato' Nicol Ann David dan  Pandela Rinong berjaya dalam acara sukan yang mereka tandingi di peringkat dunia iaitu dalam acara skuasy dan acara terjun. Dalam acara skuasy, Ratu Skuasy Negara sering memberi kejutan demi kejutan apabila berjaya meneruskan gelaran sebagai pemain skuasy pertama dunia apabila muncul sebagai johan dalam pelbagai kejohanan skuasy di peringkat dunia. Kejayaan Pandela Rionong mendapat pingat gangsa dalam acara terjunan di  Sukan Olimpik London pada tahun 2013 amat membanggakan rakyat Malaysia. Hal ini kerana, beliau merupakan peserta sukan pertama negara yang berjaya mencapai kejayaan gemilang seperti itu di peringkat Sukan Olimpik. Tegasnya, kaum hawa juga mampu menggegarkan dunia apabila diberi ruang untuk menyertainya.

        Jika kita sorot lensa perbincangan kepada penglibatan golongan wanita dalam aktiviti ekstrim atas dasar untuk menyenaraikan nama wanita Malaysia sebaris dengan kejayaan wanita negara luar. Sebagai warganegara Malaysia,  kita amat berbangga dengan semangat patriotik golongan hawa yang sanggup menggadai nyawa untuk memartabatkan nama negara kita sebaris dengan negara maju yang lain agar kita dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara yang lain. Nama kaum hawa yang dimaksudkan dalam perbincangan ini ialah  Datin Paduka Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir, pensyarah Psikologi Sukan di Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM). Beliau telah mengambil risiko untuk menjelajah kawasan paling sejuk di dunia iaitu untuk menjelajahi Kutub Utara walaupun beliau sedar kemungkinan nyawa beliau boleh melayang dalam menjayakan usaha menjelajahi kutub berkenaan secara solo. Oleh sebab semangatnya yang membara untuk berjaya menakluk Kutub Utara akahirnya usahanya berjaya melaksanakan ekspedisinya  pada 17 April 2007, sekali gus menjadikannya sebagai wanita Asia pertama berjaya menjelajah kedua-dua Kutub Utara dan Kutub Selatan. Semangat dan keazaman penuh membara yang ditunjukkan oleh mereka ini seharusnya dijadikan iltizam buat generasi masa hadapan untuk terus mengorak langkah merintis kecemerlangan. Tegasnya, kaum wanita juga mampu untuk berjaya sekiranya mempunyai semangat patriotisme, di samping kecekalan hati dalam menghadapi cabaran mengharungi kawasan paling sejuk dan paling mencabar di dunia.

         Seterusnya, mari kita terus menyelongkar kehebatan wanita Malaysia menggunakan minda pelajar kelas pertama dengan memperkatakan kehebatan kaum hawa dengan kata kunci mereka juga boleh berjaya dalam bidang politik terutama membantu barisan kabinet menerajui kepimpinan negara.  Kini terdapat ramai wanita yang menyandang jawatan menteri, senator, ahli parlimen, ahli  EXCO, ADUN dan sebagainya. Kita berbangga dengan ahli-ahli politik wanita seperti Datuk Seri Rafidah Aziz, mantan Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, mantan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang berusaha gigih menjaga hak dan kepentingan wanita. Berdasarkan senarai anggota kabinet Malaysia 2013, Datuk Rohani Abdul Karim merupakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengganti Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Tidak lupa juga jasa mantan Allahyarhamah Tan Sri Aishah Ghani yang telah banyak berjasa kepada negara dan  pertama di Malaysia yang dilantik ke jawatan senator pada tahun 1963 dan merupakan wakil wanita pertama dari Malaysia ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Pada tahun 1973, beliau dilantik menjadi Menteri Kebajikan Masyarakat dan memegang jawatan tersebut sehingga tahun 1984. Oleh sebab itu, jasa mereka terhadap masyarakat amat dikagumi terutama dalam menentukan kebajikan golongan wanita agar sentiasa terbela terutama golongan ibu tunggal. Tuntasnya, kaum wanita juga memainkan peranan membantu barisan kabinet negara menerajui kepimpinan negara Malaysia.

         Setelah kita membincangkan jasa pemimpin wanita membela kaum wanita dan membantu barisan kabinet mentadbir negara dalam bidang politik, mari kita menelesuri pula peranan wanita dalam dalam membantu kebajikan masyarakat peringkat antarabangsa. Bukan senang untuk mencari seorang budiman seperti Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood yang sanggup meninggalkan kesenangan dan kemewahan demi untuk membantu orang lain. Beliau merupakan pengerusi dan pengasas MERCY Malaysia ataupun 'Malaysian Medical Relief Society' iaitu pertubuhan bantuan perubatan sukarela yang ditubuhkan di Malaysia pada tahun 1999 berikutan perang di Kosovo. Beliau sendiri selalu mengetuai misi membantu penduduk di negara-negara yang menghadapi bencana alam seperti gempa bumi, tsunami dan juga di wilayah yang bergolak akibat perang. Baginya apa yang dilakukannya itu adalah lebih berharga daripada apa yang boleh dibeli oleh wang ringgit. Dr. Jemilah merupakan salah seorang daripada 16 yang lain dipilih oleh Setiausah Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), General Ban Ki-moon sebagai kumpulan penasihat Pusat Tindakan Tabung Kecemasan PBB (CERF). Begitulah jasa seorang wanita dan atas jasanya tersebut pelbagai penghargaan telah diterimanya seperti anugerah  Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP) oleh Yang Teramat Mulia Sultan Azlan Shah pada tahun 2002 dan Panglima Jasa Negara (PJN) oleh Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong pada tahun 2003.Pada 6 Jun 2009, beliau dianugerahkan Panglima Setia Mahkota (PSM) oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin yang membawa gelaran Tan Sri.
Beliau juga telah menerima Anugerah Keamanan Wanita yang Pertama di Asia Timur (Kategori Perkhidmatan Kemanusiaan) di Manila. Anugerah yang berprestij itu juga pernah dianugerahkan kepada Presiden Filipina Corazon Aquino dan Aung San Suu Kyi dari Manila. Justeru, insan bergelar kaum hawa memang hebat kerana jasa mereka sentiasa disanjung tinggi dunia atas jasa mereka tidak pernah kenal sempadan.

      Akhir kalam, jasa dan peranan wanita memang telah diiktiraf semenjak zaman Rasulullah lagi dan seterusnya nama-nama wanita Malasyia juga tidak kurang hebatnya. Mereka sentiasa mewarnai senario di tanah tumpah darah mereka dalam pelbagai bidang , sama ada di bidang politik, sukan, ekonomi, berusaha memartabatkan nama negara di mata dunia, membantu kepimpinan negara dan membantu masyarakat tanpa mengenal sempadan dunia. Sebagai warganegara Malaysia kita harus berbangga dengan sumbangan kaum hawa ini kerana keberadaan mereka membantu kaum adam untuk memantapkan segala kekurangan yang ada pada mereka. Oleh sebab itu, kaum wanita memang perlu diberi ruang untuk menceburi pelbagai bidang kerana kepakaran mereka bukan racun yang mampu membunuh kaum adam malah boleh diibaratkan ubat yang mampu menyembuhkan penyakit kaum adam. Allah berfirman bahawa kaum adam dijadikan untuk berpasangan dengan kaum hawa. Justeru, prasangka buruk dalam kalangan kaum adam terhadap kaum hawa perlu dihapuskan agar sikap bekerjasama akan wujud demi membina sebuah negara merdeka dan perkasa dalam pelbagai bidang agar mampu untuk menyinar di mata dunia.

Cuba anda lihat per pentingnya maklumat dalam membina karangan jenis fakta berfokus masyarakat di atas. Oleh sebab itu, pelajar tidak memilih karangan berkenaan kerana kekurangan maklumat. Karangan di atas wajib salin kerana saya bersusah payah mencari maklumat dan mengolahnya.

Karangan Tambahan.
Masyarakat pada zaman alaf milenium ini amat mudah untuk mendapat maklumat melalui internet. Berdasarkan pernyataan berkenaan huraikan kebaikan internet dalam kalangan masyarakat kini.


Saban hari penggunaan internet semakin digemari oleh setiap lapisan masyarakat di negara kita. Tahukan anda bahawa penggunaan internet di negara kita ibarat cendawan tumbuh selepas hujan kerana pertambahan penggunaannya amat ketara sama ada di kawasan bandar mahu pun di kawasan luar bandar. Penggunaan internet juga bertambah dalam kalangan rakyat di negara kita disebabkan wujudnya rangkaian jaringan sosial seperti Facebook, Friendster, My Space dan Tagged dalam internet yang semakin meluas. Bahkan, negara kita tersenarai dalam sepuluh negara yang paling banyak menggunakan jaringan sosial iaitu Facebook. Sedar atau tidak, penggunaan internet juga telah sampai di segenap desa apatah lagi selepas wujudnya teknologi ‘3G’ dan "4G". Apa yang pasti, kajian telah menunjukkan bahawa satu daripada sepuluh buah rumah di negara kita menggunakan kemudahan internet untuk pelbagai tujuan. Jadi, sudah terang lagi bersuluh bahawa pelbagai manfaat dapat diperoleh daripada kemudahan penggunaan internet dalam kalangan masyarakat sekaligus mengubah ajakan paradigma masyarakat dalam era teknologi maklumat kini kerana maklumat berada di hujung jari.




        Mari kita melebarkan lensa perbincangan dengan mengupas kebaikan penggunaan internet dalam kalangan masyarakat kini. Pertama kita gunakan minda pelajar kelas pertama dalam memperinci tajuk perbincangan pertama dengan kata kunci internet bermanfaat untuk mencari dan mengumpul maklumat dalam masa yang singkat.  Hal ini kerana dalam era globalisasi ini segala maklumat sama ada formal atau tidak formal telah dimuat naik dalam rangkaian internet oleh pelbagai pihak dengan cepat sehingga mengalahkan media cetak seperti surat khabar.  Dalam soal ini, pengguna hanya perlu menaip sahaja maklumat yang dikehendaki dalam carian enjin google atau yahoo dan segala maklumat yang diperlukan akan tertera di skrin komputer. Malah, setiap maklumat yang kita perlu dapat kita peroleh menggunakan pelbagai sumber yang boleh dipercayai keesahannya.  Sebagai contoh, jika kita ingin mencari maklumat berkenaan berita terkini di akhbar, kita akan memperoleh banyak maklumat kerana hampir semua akhbar telah dibuka atas talian seperti Utusan Malaysia Online, Berita Harian Online, Malaysia Kini dan News Strait Times. Malahan, pelajar juga boleh mendapat maklumat mengenai berita terkini berlaku di dunia kerana dengan internet kerana dunia ibarat tanpa sempadan. Perkara ini secara tidak langsung memudahkan kita mengumpul maklumat daripada pelbagai sumber dan kita juga akan memperoleh berita terbaru kerana dalam media mungkin berita berkenaan masih belum disiarkan.  Contohnya, kita akan mengetahui peristiwa seperti bencana tsunami yang pernah berlaku di Acheh dan Jepun, serangan Israel ke atas negara kecil iaitu di Palestin. Justeru, pada zaman milineum ini bergantung kepada seseorang pelajar untuk mencari maklumat dan sekiranya mereka malas berbuat demikian mereka boleh  diibarat seperti  katak di bawah tempurung. Oleh itu, kita dapat membuat kesimpulan bahawa mencari maklumat akan menjadi lebih mudah dengan menggunakan  kemudahan internet.



    Seterusnya mari kita memperinci perbincangan selanjutnya dengan kata kunci penggunaan jalur lebar dapat menyelesaikan pelbagai urusan seharian seperti membayar bil dan urusan perbankan Kini, kehidupan masyarakat kita terutama mereka yang tinggal di bandar sangat sibuk dek tekanan tempat kerja dan kesesakan lalu lintas sebelum serta selepas pulang dari pejabat.  Jadi, kesuntukan masa yang dialami ini amat menyusahkan apabila mereka hendak menguruskan hal-hal berkaitan rumah tangga dan pembayaran pelbagai bil. Oleh sebab itu, masyarakat di bandar sering mengalami tekanan kehidupan atau stress yang membelenggu kehidupan mereka seharian. Justeru, masyarakat milenium mereka perlu sedar akan kemudahan yang telah disediakan oleh pelbagai agensi sama ada agensi kerajaan mahupun swasta dalam meringankan bebanan dan masa. Bak kata pepatah, masa itu emas, sekiranya kita tidak memotongnya masa akan memotong kita.  Oelh sebab itu satu cara untuk menyelesaikan masal pembayaran bil dalam kehidupan seharian adalah dengan  penggunaan internet. Justeru, pembayaran bil dan urusan perbankan boleh dilakukan pada bila-bila masa sama ada sambil minum kopi dan berbual bersama-sama ahli keluarga di rumah, atau dipejabat. Perkara ini dapat dibuktikan apabila banyak bank seperti Maybank, CIMB Bank, Agro Bank dan RHB Bank menyediakan perniagaan secara ‘online’ di internet kepada para pelanggan untuk memindahkan wang ke dalam akaun lain dan menyimpan wang secara ‘online’, begitu juga dengan pembayaran bil kad kredit. Pembayaran bil elektrik, bil air dan bil telefon juga dapat dibayar dengan penggunaan internet di rumah melalui laman web kerajaan iaitu myeg.com. Pendek kata, kita dapat menguruskan pembayaran bil dan urusan perbankan di rumah melalui internet sekaligus menjimatkan masa kita.



           Di samping itu, manfaat penggunaan internet di rumah dapat memudahkan kita berkomunikasi di antara jarak jauh dan dekat malah merentasi lautan seantero dunia. Hal ini kerana terdapat pelbagai kemudahan yang disediakan di internet untuk tujuan komunikasi. Malah, syarikat gergasi telekomunikasi berlumba-lumba membuka laman web mereka untuk memudahkan pengguna berkomunikasi di internet. Berkomunikasi di internet bukan sahaja melibatkan suara orang yang dihubungi malah kita dapat bersua muka dan melihat wajah kenalan atau individu yang baru kita kenali dengan hanya duduk di kerusi dan mengadap komputer serta tangan bermain dengan tetikus melalui beberapa klik. Perkara ini amat memberi kebaikan kepada ahli keluarga yang jauh meninggalkan keluarga untuk bekerja dan belajar di luar negara seperti di Asia Barat dan Eropah. Oleh sebab itu dengan penggunaan internet hubungan ahli keluarga yang jauh dapat dipererat dengan menggunakan internet. Mereka hanya perlu mengakses aplikasi ‘yahoo mesengger’ untuk berkomunikasi bagi melihat wajah dan mendengar suara ahli keluarga yang jauh bagi melepaskan kerinduan. Tambahan pula, gajet telefon sekarang seperti ipad dan telefon pintar lain boleh diaplikasi sebagai akses kemudahan internet dan ini mempermudah komunikasi antara masyarakat berlaku dengan mudah. Tuntasnya, penggunaan internet amat bermanfaat dalam kalangan masyarakat untuk mereka berkomunikasi jarak jauh. 

         Negara kita sedang mengorak langkah untuk menjadi negara maju, justeru Kementerian Pelajaran Malaysia sentiasa meningkatkan mutu pendidikan negara dengan  dengan memperkenal pelbagai kemudahan seperti  Sistem Aplikasi Peperiksaan Sekolah (SAPS) yang memudahkan ibu bapa melihat keputusan anak mereka diinternet sama ada untuk mengetahui keputusan ujian bulanan dan peperiksaan. Melalui capaian internet ini ibu bapa akan mudah mendapat keputusan peperiksaan anak secara cepat dan berkesan. Seterusnya, ibu bapa boleh membuat langkah susulan bertemu dengan para pendidik di sekolah untuk mengetahui keputusan anak mereka dengan lebuh lanjut. Selain itu program pengajaran dan pembelajaran secara maya sedang diaplikasi oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dengan memudahkan guru dan pelajar untuk berinteraksi melaui capaian internet. Sistem berkenaan yang dikenali sebagai Frog Vle merupakan satu sistem pembelajaran berasaskan web yang menyerupai dunia pembelajaran sebenar dengan mengintegrasikan konsep pendidikan konvensional dengan kaedah maya. Sebagai contoh, guru-guru dapat memberi tugasan, ujian dan menyemak tugasan secara maya, sementara pelajar dapat menghantar tugasan dan menyemak markah menerusi VLE. Ibu bapa boleh berkomunikasi dengan pihak sekolah manakala pentadbir sekolah boleh menguruskan kalendar sekolah dan mewar-warkan notis sekolah melalui Internet. Justeru, pembelajaran kini boleh berlaku di mana-mana sahaja dan sudah pasti pembelajaran secara berterusan akan memantapkan lagi prestasi pelajaran dan anak-anak akan lebih tertarik belajar secara interaktif. Malahan ibu bapa juga mampu mengetahui prestasi pembelajaran anak mereka sebagai sokongan Sistem Aplikasi Peperiksaan Sekolah (SAPS) yang diguna pakai sekarang. Tegasnya, Kementerian Pelajaran Malaysia kini berusaha membuat Transformasi Pendidikan Negara ke araf pendidikan bertaraf dunia agar pendidikan negara kita boleh duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan pendidikan negara maju di dunia.

         Akhirnya, sebagai pelajar berminda kelas pertama saya ingin menggunakan kata kunci bahan-bahan bloger di internet yang dikendalikan oleh guru-guru pakar dalam mata pelajaran mampu memperkasakan kemahiran pelajar dalam mata pelajaran terutama pelajar yang akan menghadapi peperiksaan awam. Hal ini terbukti apabila guru-guru yang bertanggungjawab, berdedikasi berusaha untuk membantu pelajar menguasai kemahiran pelajar dalam mata pelajaran berkenaan. Bukan itu sahaja, guru-guru berkenaan juga membuka ruang kepada pelajar untuk berinterksi di lamam web seperti bmspmet, mohdramsul.blogspot, mohdrazak.bogspot, dan sebagainya dengan aplikasi chatrool, face book, dan pelbagai aplikasi lain agar pelajar boleh sentiasa berhubung, sama ada untuk bertanya hal berkaitan kemahiran yang sukar pelajar kuasai. Malangnya, pelajar tidak mengambil kesempatan untuk menggunakan kemudahan yang ada untuk tujuan penguasaan terhadap kemahiran berkenaan. Tambahan pula, guru-guru pakar berkenaan tidak mengenakan bayaran kepada pelajar untuk meningkatkan kemahiran mereka dalam penguasaan kemhiran tatabahasa, komsas, dan penulisan karangan. Usaha tangga kejayaan, setiap usaha akan ada balasannya, begiutlah ungkapan pepatah Melayu yang membawa maksud sekiranya pelajar berusaha apa sahaja yang mereka usahakan, akhirnya mereka akan menerima hasilnya. Justeru, terbukti internet banyak memberikan kebaikan kepada peajar terutamapelajar yang bijak menggunakan aplikasi ini untuk tujuan meningkatkan kemahiran dalam pembelajaran.

         Kesimpulannya, penggunaan internet mendatangkan pelbagai manfaat berguna kepada masyarakat. Oleh itu, masyarakat di negara kita perlu memanfaatkan penggunaan internet  kerana melalui penggunaan internet segala maklumat berada di hujung jari anda. Apa yang pasti, internet mampu memberikan seribu satu macam kemudahan kepada pengguna jika digunakan sebaiknya. Dalam era serba moden ini, penggunaan internet seakan tidak dapat dipisahkan lagi dengan kemajuan negara sekarang. Jadi, pihak kerajaan perlu mendidik masyarakat menggunakan internet bagi melahirkan generasi celik IT sekaligus setanding dengan masyarakat negara maju lain seperti Jepun demi mencapai wawasan 2020. Selain itu, ibu bapa juga tidak ketinggalan perlu mendidik anak-anak mempelajari internet di rumah kerana melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Akhirul kalam, tidak dapat dinafikan bahawa kemudahan internet di rumah memberi pelbagai faedah kepada kita.


Saolan berfokus diri
 Belakangan ini, isu kenakalan remaja hangat diperkatakan dan membawa petanda yang tidak baik kepada generasi akan datang.  
Huraikan peranan anda sebagai seorang remaja dalam membentuk sahsiah diri yang terpuji.


Gunakanlah masa yang ada
Dengan sebaiknya
Kuatkanlah tekad di hati
Memajukan diri
Tiada kejayaan yang datang
Tanpa usaha yang gigih
Bersusah-susahlah dahulu
Bersenang kemudian
Jadilah warga yang berguna
Pada keluarga, masyarakat jua negara

Sebahagian daripada lirik lagu ‘Remaja’ persembahan kumpulan nasyid Unic saya petik untuk menggambarkan kemaslahatan peranan remaja pada masa ini. Lagu yang menyuntik semanagat ini menyeru  para remaja agar menggunakan masa dengan sebaiknya dan mempunyai azam yang kuat demi memajukan diri masing-masing . Melalui usaha yang gigih dan tabah tanpa mengenal jemu dalam bidang yang diceburi serta memiliki sahsiah yang terpuji , remaja akan menjadi warga yang berguna kepada keluarga, masyarakat dan nusa. Hal ini demikian kerana menurut Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Ahmad Shabery Cheek,  belakangan ini, remaja begitu terdedah kepada pelbagai bentuk cabaran sama ada dari segi pengaruh media massa, pengaruh atau desakan daripada rakan  sebaya serta ibu bapa dan masyarakat ataupun konflik pergolakan antarabangsa yang semakin hari semakin mendapat liputan meluas di dada-dada akhbar seluruh negara. Pergolakan antarabangsa yang berlaku sedikit sebanyak mempengaruhi akidah remaja kita.  Remaja yang rata-ratanya mempunyai semangat inkuiri atau ingin tahu yang tinggi berserta perlakuan untuk mencuba sedaya upaya sehingga berjaya bak kata pepatah alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan, perlu dipandu dan ditarbiah ke jalan yang benar baik melalui diri sendiri, ibu bapa, guru-guru, masyarakat mahupun kerajaan memandangkan remajalah yang bakal memegang tampuk pemerintahan negara ini lantas mencorakkannya menjadi sebuah negara yang unggul dan terbilang. Negara memerlukan remaja yang mempunyai nilai mandiri dan jati diri yang utuh di samping berdaya saing serta berfikiran kreatif dan inovatif. Namun demikian, amatlah malang kepada negara kita jika remaja yang diharap-harapkan akan sentiasa mendukung panji ‘Pemuda Harapan Bangsa, Pemudi Tiang Negara’ kini dikaitkan dengan isu kenakalan. Perbuatan yang melanggar norma, aturan atau hukum dalam masyarakat yang dilakukan pada usia remaja ini dikatakan membawa petanda yang tidak baik kepada generasi akan datang bak kata pepatah, air perabung mengalir ke cucur atap. Isu ini begitu hampir dengan saya memandangkan saya juga  seorang insan yang bergelar remaja justeru saya mempunyai peranan dalam membentuk sahsiah diri yang terpuji agar memiliki ciri-ciri remaja cemerlang dambaan negara.
 Sebagai seorang remaja, dalam membentuk sahsiah diri yang terpuji, saya akan mendalami ilmu agama dan mencintai Allah. Ilmu agama merupakan ilmu yang mendekatkan diri seseorang kepada Maha Pencipta iaitu Allah swt. Tiada ilmu yang lebih mulia melainkan ilmu agama di dunia ini iaitu ilmu dan pengetahuan Islam yang syumul. Perkara ini boleh dibuktikan melalui pernyataan rasa yang disuarakan oleh ilmuan sains yang terkenal iaitu Albert Einstein  (walaupun beliau tidak beragama Islam) yang menyatakan bahawa agama tanpa ilmu adalah buta , ilmu tanpa agama adalah lumpuh. Jelas dapat dilihat bahawa ilmu dan agama mempunyai hubung kait yang sangat akrab. Seseorang yang mendalami ilmu tetapi tidak berlandaskan atau berpaksikan agama tidak akan merasai nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah swt.  Saya akan mendalami ilmu agama dengan membaca dan memahami  Al-Quran,  mengkaji hadis-hadis dan menyelami sirah nabi serta para sahabat. Akhlak Rasulullah yang terpuji dan sempurna yang terkandung dalam Al-Quran dan hadis itu pastinya akan menjadi sumber  primer saya bagi membina pemahaman yang kukuh tentang kemuliaan dan kehebatan memiliki sahsiah yang terpuji. Pembelajaran melalui pembacaan dan penelaahan yang mendalam sebegini mampu memberi input yang berguna seperti memahami nilai  yang perlu dipraktikkan dalam kehidupan sehari-hari . Nilai-nilai seperti ketakwaan, kesabaran, kegigihan, keikhlasan dan bertanggungjawab semuanya memandu diri saya membina peribadi mulia . Pengajaran daripada Al-Quran dan hadis mampu merobah mana-mana perlakuan saya yang sebelum ini yang dianggap bejat atau kurang memuaskan kepada perlakuan yang positif atau terpuji. Jikalau saya tidak memahami kandungan Al-Quran ataupun hadis, saya akan berjumpa dengan ustaz atau ustazah yang mempunyai pengetahuan yang luas berkaitan dengan agama yang suci ini. Saya akan meluangkan masa untuk pergi ke perpustakaan bagi mendalami ilmu agama kerana di perpustakaan, suasananya yang hening mampu menenangkan fikiran dan mendamaikan jiwa. Dengan mendalami ilmu agama, saya yakin saya mampu membentuk sahsiah diri yang terpuji kerana saya akan memperlihatkan kesopanan berbudi bahasa, kemanisan berkata-kata dan kemampuan memberikan buah fikiran dengan penuh tertib serta matang berlandaskan akhlak Nabi Muhammad saw. Jelasnya, saya akan terhalang daripada menjadi penyumbang petanda yang tidak baik kepada generasi akan datang.
             Selain itu, satu lagi modus operandi yang sepatutnya saya lakukan adalah dengan menumpahkan ketaatan sepenuhnya kepada ibu bapa saya. Ibu bapa merupakan dua insan yang paling dekat dengan diri saya kerana sesudah saya dilahirkan di muka bumi ini, saya ditatang bagai minyak yang penuh oleh mereka. Begitu besar pengorbanan ibu bapa terhadap saya bermula dengan ibu yang mengandungkan saya dengan jerih payahnya selama sembilan bulan sepuluh hari ditambah pula dengan jasa bapa yang bertungkus lumus mencari nafkah bagi menyara keluarga. Walaupun cuma untuk sesuap nasi tetapi itulah titik peluh ikhlas yang dilakukan oleh bapa kepada saya. Saya tidak ingin hidup menjadi seperti Si Tanggang atau Si  Malim Kundang yang merupakan anak derhaka terhadap ibunya. Saya akan taat kepada ibu bapa dengan cara mendengar dan menerima nasihat yang diberikan mereka dengan tangan yang terbuka dan hati yang lapang. Jika saya tidak bersetuju sekalipun, saya tidak akan memberontak dan meninggikan suara ketika memberikan pendapat malah saya akan berbincang dengan cara yang paling baik atau bertatasusila bagi menyelesaikan segala permasalahan yang berlaku sesuai dengan peribahasa buang yang keruh ambil yang jernih.  Allah telah memberikan kedudukan tinggi kepada ibu bapa dan menyuruh setiap anak berbuat baik kepada mereka. Perkara ini jelas diterangkan melalui firman Allah dalam Surah Al-Israk ayat 23 yang menyuruh kita berbakti kepada ibu bapa. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dalam satu wawancara menyatakan bahawa remaja boleh membina peribadi mulia dengan mentaati ibu bapa melalui perbuatan yang baik, melaksanakan hak-hak mereka  dan menjauhkan diri daripada perilaku yang boleh menyakiti hati dan kehidupan mereka. Taat kepada ibu bapa adalah amalan wajib ditunaikan setiap anak. Ketaatan adalah cara paling baik mendekatkan diri kepada Allah kerana taat kepada ibu bapa bererti mentaati perintah-Nya juga. Berbakti kepada ibu bapa membawa berkat. Terdapat hadis Rasulullah saw. yang bermaksud  : “Sesiapa yang ingin dipanjangkan umurnya dan ditambah rezekinya, maka hendaklah dia berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali silaturahim." Jelaslah bahawa mentaati ibu bapa mampu menjadikan saya individu yang mempunyai sahsiah diri yang terpuji dan terhalang daripada melakukan perkara-perkara yang merosakkan moral.
            Di samping itu, prakarsa ataupun peranan lain yang dapat saya laksanakan adalah dengan menghormati guru-guru. Sepanjang pembelajaran saya hatta sekalipun saya tidak lagi bergelar pelajar, saya akan menghormati guru-guru saya sebagai tanda terima kasih kepada mereka kerana mereka telah bersungguh-sungguh mengajar sehingga saya mampu berdiri dan berpijak di bumi yang nyata menjadi insan yang sebaiknya dan berguna. Guru telah banyak berkorban demi memartabatkan ilmu dan banyak berjasa bermula daripada mereka mengajar kita membaca, menulis dan mengira. Mereka tidak pernah mentertawakan kesalahan yang saya lakukan malah membetulkan setiap satu daripadanya lantas menepati mutiara kata cendekiawan Wellington iaitu, ‘Usah merendahkan diri seseorang kerana tabiat buruknya tetapi bimbinglah ia ke jalan yang lebih baik”. Saya akan menerima dan menjadikan nasihat, bimbingan dan tunjuk ajar daripada guru sebagai insentif dan motivasi untuk saya berjaya menjadi insan berguna yang mampu mendaki menara gading . Bukan sahaja guru ialah ibu, bapa, pengajar, pendidik, pengasuh, penasihat dan pembimbing malahan guru adalah segalanya bagi seorang pelajar. Segala kesusahan yang ditempuhinya dalam mendidik anak-anak muridnya sepatutnya dikenang dan dihargai kerana tanpa jerih payah seorang guru itu, pelajarnya akan menjadi manusia yang tidak berguna di dunia dan akhirat. Dengan ilmulah manusia diangkat menjadi makhluk termulia di sisi Allah swt. sehingga dijadikan sebagai khalifah-Nya di muka bumi. Semua ini tidak akan tercapai kecuali dengan kita menjaga peradaban dan rasa hormat yang ikhlas terhadap penyampai ilmu tersebut iaitu guru, pewaris para nabi. Justeru dengan menghormati guru, saya mencetuskan rasa insaf dalam diri dan bertatih membentuk sahsiah diri yang terpuji.
            Dalam pada itu, saya akan menjalinkan hubungan yang baik dengan rakan-rakan dan taulan. Secara perbandingannya, seorang remaja akan meluangkan masa yang lebih bersama rakan-rakannya berbanding dengan ibu bapa atau saudaranya. Hal ini demikian kerana selain keluarga tercinta yang dekat di hati, rakan merupakan tempat mengadu, mencurah perasaan dan berkongsi masalah. Sehubungan itu, saya akan menjaga atau memelihara hubungan yang baik dengan rakan tidak kira sama ada rakan saya berlainan agama, kaum mahupun warna kulit. Seseorang yang mempunyai sahsiah diri yang terpuji harus seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Saya juga sedaya upaya tidak akan menimbulkan isu sensitif terutama isu agama. Saya akan mengambil iktibar daripada peristiwa 13 Mei 1969 yang telah mengorbankan banyak nyawa yang berpunca daripada rusuhan kaum. Saya akan memberikan pertolongan kepada rakan yang memerlukan bantuan kerana dia merupakan rakan yang baik dan telah membantu ketika saya dalam kesusahan. Dalam kehidupan yang singkat ini, saya perlu berbaik-baik dengan semua orang dan bekerjasama dalam semua bidang kerana yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Kita digalakkan mencari teman yang baik dan meramaikannya seperti kata pepatah ‘berkawan biar seribu tetapi musuh jangan sesekali dicari.’ Saya akan menjadi seseorang yang dapat memberi manfaat segi dorongan, nasihat, ilmu dan sebagainya kepada orang lain.  Rakan-rakan juga tidak akan berasa kekok apabila berkawan dengan saya sekiranya saya tidak bersikap bagai buntal kembung. Apabila saya menjalinkan hubungan baik dengan rakan-rakan, masalah kebejatan moral tidak akan ada dalam kamus rutin hidup saya sejajar dengan visi saya untuk menjadi remaja yang mempunyai sahsiah terpuji.
            Peranan saya yang terakhir adalah dengan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah dan tidak bermoral . Seorang yang ingin mempunyai sahsiah diri yang terpuji tidak bisa melakukan perkara yang negatif yang mampu  keruntuhan akhlak lantas menjatuhkan imej diri sendiri, keluarga, bangsa dan negara. Saya tidak akan mudah terpedaya oleh hasutan syaitan yang membisikkan ‘kata-kata bermadu’ kepada anak Adam agar melakukan dosa. Saya sentiasa awas bahawa syaitan telah berjanji akan menyesatkan umat manusia dek sebab Allah swt. telah mencampakkannya keluar dari syurga kerana tidak mahu sujud kepada Nabi Adam. Kesombongan merajai hati syaitan dengan alasan dia diciptakan daripada api manakala Adam daripada tanah. Kedegilan syaitan kian hari kian diwarisi manusia hingga pelbagai kebejatan moral dan perlakuan hedonisme mewarnai kehidupan menjadikan nilai-nilai nurni jelas nyata dikesampingkan. Saya tidak mahu terjebak dalam kancah yang serba ‘menyesakkan nafas’ dan boleh memusnahkan visi dan misi saya sebagai seorang Muslim yang cemerlang dan memiiki sahsiah yang terpuji. Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Ahmad Shabery Chee pernah menyuarakan pendapat bahawa , “Para belia harus diasuh dan dididik agar memainkan peranan penting dalam mempamerkan akhlak yang baik sesuai dengan imej di mana-mana sahaja pada bila-bila masa”. Akhlak yang baik termasuklah menghindarkan diri daripada pergaulan bebas, mengamalkan gaya hidup sihat, menjaga batas-batas aurat dan menjaga hubungan baik sesama individu di sekeliling kita. ‘First impression’ orang lain terhadap kita amat penting kerana dari situlah orang lain akan dapat menilai diri kita yang sebenar”.
            Kesimpulannya, gagasan dan tugas untuk memupuk, membangunkan dan meningkatkan mutu akhlak dalam  kalangan remaja adalah suatu tanggungjawab besar. Tugas ini tidak dapat dilakukan dengan jayanya kecuali oleh manusia yang berjiwa besar dan mempunyai kualiti kemanusiaan yang tinggi. Saya yakin berlandaskan lima prinsip yang saya pegang di atas, dengan izin Allah, saya dapat membentuk sahsiah diri yang terpuji. Pemupukan sahsiah diri  ini saya yakin akan membentuk saya menjadi seorang yang beriman dan bertakwa, mempunyai iltizam yang tidak berbelah bahagi, mempunyai kerohanian yang amat tinggi serta mewarisi ciri-ciri akhlak perjuangan Rasulullah saw. Mutiara kata ulamak tersohor Hamka akan saya jadikan pedoman dalam meniti kehidupan ini. Katanya, “Aku hairan melihat orang menyisir rambutnya setiap hari, tetapi tidak pernah menyisir otaknya, memperkemas dadanya teapi tidak pernah mencuci hatinya. Digosok kasutnya tetapi tidak akalnya.”  Tidak akan saya lakukan perkara yang sia-sia yang bisa menyesatkan saya daripada landasan yang benar sebaliknya pemurnian hati, pemantapan akhlak, ilmu dan  akidah akan terus menjadi pegangan perjalanan hidup saya. Semoga isu kenakalan remaja akan lenyap agar tidak lagi menebarkan sayap negatif kepada generasi akan datang bak kata peribahasa ‘Sebab nila setitik rosak susu sebelanga’

Oleh:

Siti Zareen Naqiyah Zool Ambia5 Hydrology (2011)
MRSM Transkrian

FAKTOR-FAKTOR KEJAYAAN SESEORANG MURID DALAM PELAJARAN
PEMBELAJARAN DI BILIK DARJAH
PROGRAM SEKOLAH
KELAS TUISYEN
DORONGAN IBU BAPA


CONTOH KARANGAN
Belakangan ini, soal pembinaan modal insan adalah antara perkara yang menjadi agenda utama pembangunan negara. Selaras dengan usaha kerajaan untuk memastikan Malaysia muncul sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020, pembangunan modal insan menerusi bidang pendidikan telah diberi penekanan.  Hal ini cukup penting kerana kita memerlukan sejumlah besar golongan cerdik pandai bagi membolehkan negara bersaing di peringkat global. Sehubungan dengan itu, kejayaan murid-murid dalam pelajaran menjadi agenda perdana setiap sekolah kerana mereka merupakan modal insan yang bakal memacu negara agar berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain. Pada pendapat saya, pelbagai faktor  yang dapat dikenal pasti mampu mempengaruhi kejayaan seseorang murid dalam pelajaran.
Pembelajaran di dalam bilik darjah merupakan faktor perdana yang mempengaruhi kejayaan seseorang murid dalam pelajaran. Pembelajaran dan pengajaran yang berlaku secara kondusif di dalam bilik darjah merupakan kunci utama kejayaan seseorang murid. Bilik darjah yang mempunyai sistem pengudaraan yang baik, susun atur peralatan yang memudahkan pergerakan pelajar, memiliki ciri-ciri keselamatan, bersih dan ceria menjadi pendorong kepada murid-murid untuk belajar dengan selesa. Apabila murid-murid berasa selesa, mereka akan lebih fokus terhadap pembelajaran dan pengajaran di dalam bilik darjah.  Jadi, apabila murid memberikan perhatian di dalam kelas, setiap perkara yang dipelajari dapat difahami dengan mudah. Menurut kajian yang dilakukan oleh Pusat Pengajian Kaunseling di Universiti Kebangsaan Malaysia, 70 peratus kejayaan seseorang murid adalah tumpuan di dalam bilik darjah ketika proses pembelajaran dan pembelajaran, 29 peratus adalah inspirasi dan 1 peratus melibatkan genius. Oleh itu, berdasarkan kajian tersebut, dapat dirumuskan   bahawa proses pembelajaran dan pengajaran di dalam bilik darjah yang kondusif mempengaruhi kejayaan seseorang murid dalam pelajaran.
Seterusnya, program-program sekolah yang dirancang juga mampu mempengaruhi kejayaan seseorang murid dalam pelajaran. Program-program yang dirancang oleh Jawatankuasa Kurikulum Sekolah dan panitia mata pelajaran sama ada di dalam  atau di luar sekolah berupaya mencemerlangkan murid-murid. Program-program seperti Kem Wacana Akademik, Ceramah Teknik Menjawab , Bengkel Akademik, Cemamah Motivasi  dan sebagainya mampu meningkatkan keupayaan murid dalam pelajaran. Program-program yang dirancang seperti ini membolehkan murid-murid menguasai topik-topik utama dengan mudah dan berupaya menjawab soalan peperiksaan dengan baik. Hal ini demikian kerana mereka sudah menghadapi soalan-soalan yang mirip peperiksaan sebenar dan telah berbincang  dengan guru dalam program yang dianjurkan. Tokoh motivasi negara, Datuk Dr. Mohd Fazilah Kamsah menegaskan bahawa jika seseorang melakukan sesuatu perkara secara berulang-ulang kali maka dia mampu menghadapi setiap cabaran dengan mudah kerana sudah melaluinya sebelum ini. Oleh itu, jelas menunjukkan bahawa program yang dirancang oleh pihak sekolah mampu mempengaruhi kejayaan seseorang murid dalam pelajaran.
Selain itu, murid-murid yang mengikuti kelas-kelas tuisyen juga mampu berjaya dalam pelajaran. Ramai ibu bapa sekarang menghantar anak-anak mereka ke kelas-kelas tuisyen berbayar pada luar waktu persekolahan untuk menambahkan pengetahuan dan kemahiran anak-anak mereka dalam pelajaran. Mereka tidak menghiraukan tentang kos yang perlu dibayar kepada pusat tuisyen kerana mereka mengharapkan anak-anak mereka berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran. Kelas-kelas tuisyen sama ada secara individu atau kelompok mampu meningkatkan kemahiran murid dalam pelajaran. Murid-murid akan ditekankan oleh guru pusat tuisyen tentang teknik-teknik menjawab yang betul dan strategi untuk mendapat markah yang tinggi. Murid-murid akan mendapat pendedahan tersebut secara terus berbanding guru-guru di sekolah. Hal ini mampu meningkatkan kemahiran pelajar dalam setiap mata pelajaran yang diikuti, sekali gus mereka mampu menjawab soalan peperiksaan dengan cemerlang kerana peribahasa ada menyatakan bahawa alah bisa tegal biasa. Jadi, jelas menunjukkan bahawa murid-murid yang menghadiri kelas-kelas tuisyen mampu berjaya dalam pelajaran.
Akhir sekali, dorongan daripada ibu bapa juga mempengaruhi kejayaan seseorang murid dalam pelajaran. Ibu bapa merupakan orang yang paling dekat dengan anak-anak mereka. Setiap ibu bapa menginginkan anak-anak mereka berjaya dalam pelajaran. Tiada ibu bapa yang  mahu melihat anak-anak mereka gagal melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi. Mereka akan melakukan apa-apa sahaja bagi memastikan anak-anak mereka cemerlang dalam peperiksaan kerana pada mereka di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Mereka akan memberikan dorongan dan kata-kata motivasi kepada anak-anak mereka agar belajar bersungguh-sungguh supaya kejayaan dapat digapai. Selain motivasi, ibu bapa akan sentiasa berdoa agar anak-anak mereka dipermudahkan ketika menghadapi peperiksaan. Mereka mengharapkan anak-anak mereka akan tenang apabila menduduki peperiksaan dan dapat menjawab soalan dengan mudah. Apabila anak-anak merasakan diri mereka dihargai maka mereka akan belajar bersungguh-sungguh supaya harapan ibu bapa dapat direalisasikan. Mereka berazam untuk menghadiahkan kejayaan kepada ibu bapa sebagai balasan atas jasa dan pengorbanan mereka selama ini. Jadi, jelas menunjukkan bahawa dorongan ibu bapa mempengaruhi kejayaan seseorang murid dalam pelajaran.
Kesimpulannya, aset yang paling berharga bagi sesebuah negara adalah warganya. Modal insan inilah yang menjadi aset yang boleh disuntik nilai tambahnya untuk menjana pembangunan negara. Kejayaan murid-murid dalam pelajaran menjadi keutamaan dalam membina modal insan yang berwawasan. Anak-anak yang cemerlang dalam pelajaran dapat menjana idea untuk memacu negara ke arah menjayakan Wawasan 2020. Jadi, ibu bapa memainkan tanggungjawab yang besar bagi memastikan anak-anak mereka cemerlang dalam pelajaran kerana di bahu anak-anak inilah terletak harapan untuk menggantikan barisan kepimpinan negara yang ada sekarang selaras dengan cogan kata pemuda harapan bangsa pemudi tiang negara.
Bahan disedut daripada  http://blogcikguazaman.blogspot.com( Terima kasih)



      Saya telah menyenaraikan pelbagai karangan sebagai rujukan dan tugas pelajar adalah untuk menyalin karangan berkenaan. Saya berharap pelajar memilih setiap satu karangan iaitu satu contoh karangan berpandu, karangan umum berfokus diri, dan karangan umum berfokus keluarga atau ibu bapa. Namun, pelajar boleh membuat penambahbaikan terhadap karangan berkenaan jika perlu terutama karangan terakhir berfokus diri hasilan Saiyidah bt. Malek. Harapan saya anda dapat melakukan tugasan dengan sempurna dan berkualiti. Harap maklum.

Persoalan sekarang, kenapa pelajar tidak cenderung untuk memilih soalan karangan, berfokus diri ( hanya segelintir pelajar memilih soalan ini )  berfokus negara, dan berfokus komsas semasa Peperiksaan Percubaan SPM 2013 yang lalu. Cuba fikir-fikirkan. Sudah pasti antara faktornya kerana pelajar kurang maklumat berkaitan tajuk atau tema yang dibicarakan. Jika dibicara dari segi puncanya, jawapannya kerana pelajar kurang berminat  untuk membaca maklumat atau fakta berkaitan isu semasa melibatkan isu negara dan isu dunia. Jika ditanya, mampukan pelajar hanya bergantung kepada soalan fokus diri, fokus ibu bapa, fokus masyarakat dan fokus komsas semasa ketika menjawab soalan SPM 2013 kelak. Terbukti karangan SPM percubaan lalu  menyebabkan pelajar sesak nafas, kerana soalan satu bermasalah, soalan ketiga bermasalah, soalan keempat pun bermasalah, dan soalan harapan komsas juga bermasalah . Sila rujuk kertas soalan percubaan SPM yang lalu. Sesiapa antara pelajar yang cuba untuk menjawab soalan berkenaan dikecualikan menyalin contoh karangan di atas. harap maklum. Selain itu, saya mengharapkan pelajar merujuk soalan percubaan negeri yang lalu di tulisan saya di bawah dan cuba lihat kekerapan soalan berdasarkan fokusnya, adakah pelajar mampu menjawabnya? Jika ya, bagus, jika tidak, bagaimana anda untuk mengatasinya. Fikir-fikirkan. Jika anda bijak, semasa cuti ini cari bahan-bahannya dalam internet. Selain itu, pabila balik bercuti nanti, sila dapatkankan semula folio bahan maklumat karangan yang anda cari dulu dan letakkan di ruang rujukan maklumat di dalam kelas untuk anda membaca maklumat yang anda cari dahulu. Dengan adanya bahan-bahan berkenaan akan mampu untuk anda mengemas kini maklumat anda.

Selain itu, mana-mana pelajar yang telah menyiapkan hasil kerja kumpulan sila emailkan karangan anda atau kumpulan anda kepada saya di alamat emai mohdramsul@yahoo.com atau mohdramsul@gmail.com. Pelajar juga boleh menggunakan chatrool yang terdapat di dalam blog saya untuk berkomunisi dengan saya .Harap maklum.




Berakit ke hulu dengan bergalah
Buluh pecah terbelahdua
Orang tua jangan dilangkah
Kelak biadap dituduhnya pula - See more at: http://www.gen22.net/2011/10/pantun-nasehat-terbaik-terlengkap-2011.html#sthash.7idxwP1J.dpuf

47 ulasan:

rabiatul95 berkata...

karangan anda banyak membantu saya dalam menyiapkan karangan kerja kursus . thank you

Tanpa Nama berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.
Nur Syahirah Hidayah berkata...

Terima Kasih Cikgu !!!!!!!!

Unknown berkata...

Karangan di atas sangat membantu :)

Unknown berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
Unknown berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
Tanpa Nama berkata...

minta izin nak copy untuk membuat rujukan..
terima kasih ;)

Unknown berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
Unknown berkata...

karangan mantap

Unknown berkata...

Minta izin copy sebagai rujukan...

MOHD. RAMSUL ABD. RAHIMAN berkata...

Silakan, semoga bahan tersebut bermanfaat dan dapat membantu segala urusan.

Tanpa Nama berkata...

Macam mne nk olahan ayt yg betul, bagi esei kebaikan bersma keluarga

MOHD. RAMSUL ABD. RAHIMAN berkata...

Terima kasih kepada yang bertanya. Seelok-eloknya, sertaka nama anda sebelum bertanya, tetapi saya akan cuba juga menjawab soalan orang yang bertanya. Soalannya, bagaimana untuk mengolah ayat supaya gramatis semasa mengarang. Jawapannya mudah sahaja, untuk membetulkan olahan ayat perlu bantuan guru, justeru bertanyalah kepada guru anda kerana dengan cara ini anda akan faham masalah anda semasa mengolah kerana setiap hasilan kerja anda akan disemak oleh guru, dan terus bertanya kepada guru anda jika ada ayat anda tidak gramatis bak kata pepatah Melayu hanya "mutu yang mengenal manikam.:. Selain itu, anda boleh melihat contoh-contoh karangan terbaik terutama bertaraf A+ dan cuba lihat bagaimana pelajar bertaraf pelajar kelas pertama ini mengolah ayat semasa mengarang dan sebaik-baiknya anda salin karangan berkenaan semula kerana cara ini lebih baik daripada anda membaca sahaja. Pabila kita melibatkan lebih daripada satu anggota badan kita, pemahaman berkaitan olahan karangan akan tercena. Paling baik anda perlu melakukan perkara ini lebih awal tetapi masih belum terlambat untuk anda berbuat demikian tetapi cara terbaik rujuklah guru anda dengan seberapa segera sekiranya anda menghadapi mengolah ayat semasa mengarang, atau bertanya perkara berkenaan selepas sahaja anda menerima buku kerja atau latihan karangan yang telah disemak guru. Anda perlu ingat, hanya guru bahasa Melayu tempat kita mengadu tentang kemahiran bahasa Melayu terutama mengarang. Semoga, saya menjawab soalan orang yang bertanya.

Unknown berkata...

mohon salin semula cikgu.terima kasih

Tanpa Nama berkata...

aqilah comel

Unknown berkata...

terbaik wow

Unknown berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
Tanpa Nama berkata...

hai

Muhammad Akid berkata...

cikgu karangan semua ni terbaik ah

Tanpa Nama berkata...

bagus semua karangan ni cikgu

Tanpa Nama berkata...

booooooo

Tanpa Nama berkata...

Mata saya tersinar!

Tanpa Nama berkata...

Cikgu apa maksud ' jekisnya '???

Tanpa Nama berkata...

Karangan terbaik pernah saya baca. Mohon copy untuk rujukan walaupun saya pelajar sekolah lain ye cg:)

Tanpa Nama berkata...

Assalamualaikum,terima kasih banyak2 cikgu sebab tlg share!!Karangan ini amat membantu saya <3

amirul berkata...

Assalammualaikum ini ialah karangan yang paling hebat yang pernah saya baca terima kasih cikgu kerana sharel degan kami

vibrate69 berkata...

karangan ini terlalu baik, izinkan saya untuk catatkan perkataan/ayat yang cantik/bombastik, terima kasih :)

MOHD. RAMSUL ABD. RAHIMAN berkata...

Silakan, sekiranya bahan berkenaan dapat membantu. Hanya mereka yang arif akan mengambil kesempatan untuk memantapkan hasilan karangan mereka kerana hanya mutu mengenal manikam.

Hidup Haira Je berkata...

Salam En. Ramsul, saya Haira. Mohon halalkan ilmu yang diberi. Saya rujuk di sini sebagai persediaan mengahadapi penilaian memasuki sektor awam. Saya baru saja baca bahagian info blog ini dan saya doakan En. Ramsul akan lebih sihat dan sentiasa dilimpahi rahmat Allah. Amin.

MOHD. RAMSUL ABD. RAHIMAN berkata...

Alhamdulillah, terima kasih atas doa dan saya mengharapkan maklumat bahasa Laman Bahasa Melayu ini dapat membantu Haira menghadapi penilaian kemasukan ke sektor awam. Syukur, alhamdulillah kini saya kembali sihat seperti biasa di samping saya terus mendapatkan rawatan susulan daripada doktor pakar Hospital Selayang dan Hospital Kuala Lumpur untuk memastikan kesihatan terus sihat dan terhindar daripada masalah kanser saya hadapi. Terima kasih juga kepada insan yang terus mendoakan kesihatan saya selama ini dan saya akan terus menyebarluaskan kemahiran bahasa Melayu selagi saya mampu. Semoga Haira berjaya. Aamiiin.

Tanpa Nama berkata...

Assalamualaikum. Saya minta izin copy ye untuk rujukan saya. Terima kasih

MOHD. RAMSUL ABD. RAHIMAN berkata...

Waalaikumsalam. Silakan, semoga bahan berkenaan membantu rujukan saudara.

Unknown berkata...

Trima kasih💗

Gerbang Perkahwinan berkata...

Nk tny karangan sebab berlakunya gejala mat rempit

Tanpa Nama berkata...

Terima kasih ��

Tanpa Nama berkata...

halalkan sy baca ye..

Cikgu Eko berkata...

minta izin copy ye

MOHD. RAMSUL ABD. RAHIMAN berkata...

Silakan Cikgu, semua bahan dalam Laman Bahasa Melayu boleh digunapakai untuk kepentingan pelajar dan rujukan.

Cikgu Ani berkata...

Assalamualaikum ..saya Cikgu Noraini ..saya tertarik dengan bahan yang dikongsikan dalam blog ini..mohon kebenaran daripada cikgu untuk saya kongsikan karangan yang ada untuk anak didik saya.Terima kasih.

MOHD. RAMSUL ABD. RAHIMAN berkata...

Silakan cikgu, semoaga dapat membantu.

MOHD. RAMSUL ABD. RAHIMAN berkata...

Maaf, silap taip. Semoga dapat membantu.

MUHAMMAD FARHAN BIN ZOLKEFLY berkata...

Saya Muhammad Farhan Bin Zolkefly,pelajar tingkata 4 Maahad Tahfiz Sains Darul Aman memohon untuk copy karangan cikgu.Jazakallah khiran jaza'

Tanpa Nama berkata...

nak tanya kata peribahasa 'mencegah lebih baik daripada mengubati ke mencegah lebih baik daripada merawat'?

MOHD. RAMSUL ABD. RAHIMAN berkata...

Peribahasa yang paling tepat, mencegah lebi baik dariapada mengubati.

Suhaila Ghaffar berkata...

Blog yang sangat bagus, membantu dalam usaha untuk memberi tunjuk ajar kepada anak masa PKP ini. Teruskan berkongsi maklumat, pengalaman cikgu disini. Hasil karangan pelajar2 yg disertakan juga menjadi panduan bagaimana yang dikatakan karangan dari pelejar kumpulan A+. Terima kasih. semoga usaha ini mendapat pahala yang berterusan.

Unknown berkata...

Nice

Tanpa Nama berkata...

TERIMA KASIH CIKGU ATAS NOTA KARANGAN DLM BLOG CIKGU INI - UTK KEGUNAAN SAYA DAN JUGA PARA PELAJR - MOHON GUNA YA UTK UTK PDP SAYA DI SEKOLAH - DRP[ SAYA CIKGU HASHIM MENGAJAR DI BANGI DAN ASAL DRP BOTA KANAN PERAK TK CIKGU