Selasa, 15 Oktober 2013

MODUL PECUTAN AKHIR JPN PERAK 2012 KERTAS 1 BAHAGIAN A



Latihan 1
Bahagian A
[30 markah]
(Masa dicadangkan : 45 minit)
Lihat rajah di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang  punca-punca yang membawa kepada kecemerlangan murid dalam akademik. Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.



 


Jawapan:
Khalifah Ar-Rasyidin yang keempat, Saidina Ali Abi Talib pernah menukilkan, “Ilmu apabila diperdagangkan bertambah, sebaliknya harta apabila diperdagangkan berkurang”. Pernyataan ini jelas menunjukkan bahawa ilmu adalah sangat penting dalam kehidupan seharian kita terutamanya murid-murid sekolah.     Kecemerlangan murid dalam akademik adalah sangat penting kerana mereka  merupakan bakal pemimpin kita pada masa hadapan. Remaja yang cemerlang akan menyumbang kepada pembangunan sesebuah negara.  Hal ini bertepatan dengan ungkapan “ Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara ”. Persoalannya, apakah  faktor-faktor yang mempengaruhi kecemerlangan seseorang murid dalam akademik?
Faktor utama yang membawa kepada kecemerlangan murid dalam akademik ialah melalui tumpuan ketika guru mengajar di bilik darjah semasa proses pengajaran dan pembelajaran  (p&p). Sekiranya seseorang murid itu menumpukan perhatian semasa guru mengajar di bilik darjah, sudah tentu pelajaran tersebut lebih cepat diserap masuk ke dalam minda murid-murid. Pakar psikologi pernah mengatakan bahawa, “lima puluh peratus kejayaan murid dalam akademik adalah melalui tumpuan seratus peratus murid ketika proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah”. Kebanyakan murid yang berjaya dalam akademik adalah terdiri daripada mereka yang sentiasa mengemukakan soalan kepada guru-guru sekiranya terdapat tajuk yang tidak dapat difahami ketika guru mengajar. Selain itu, murid-murid yang sering berjumpa dan berbincang dengan guru-guru tentang akademik, pasti meraih kejayaan yang cemerlang. Dalam hal ini, murid-murid perlu menghindari perasaan malu atau segan untuk bertanya apa-apa masalah tentang akademik kepada guru mereka kerana pepatah menyatakan, malas berkayuh perahu hanyut, segan bertanya sesat jalan. Murid-murid juga perlu menyiapkan segala kerja rumah yang disuruh oleh guru dan menghantar dengan segera kepada guru untuk diperiksa. Murid-murid  juga  turut melibatkan diri dalam aktiviti bilik darjah  secara proaktif bagi membantu mewujudkan proses pengajaran guru yang menarik dan berkesan. Tegasnya, tumpuan murid-murid semasa guru sedang mengajar dalam bilik darjah merupakan faktor utama kecemerlangan murid dalam akademik
Selain itu, program kecemerlangan akademik yang dianjurkan oleh pihak sekolah turut menyumbang kepada kecemerlangann murid dalam akademik. Antara program yang diadakan ialah pelancaran Minggu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Melalui pelaksanaan program ini, murid-murid dapat memupuk minat mereka dalam subjek tertentu dan seterusnya memperoleh keputusan yang cemerlang dalam akademik. Selain program Minggu Bahasa, pihak sekolah juga banyak mengadakan bengkel teknik menjawab soalan bagi subjek-subjek tertentu . Dengan menghadiri bengkel menjawab soalan , murid-murid dapat mengetahui kelemahan mereka dalam sesuatu subjek dan memperbaiki kelemahan tersebut serta mendedahkan murid-murid berkaitan teknik untuk menjawab soalan peperiksaan sebenar dengan betul.  Hal ini bertujuan untuk menjadikan murid-murid supaya lebih berkeyakinan semasa menjawab soalan dalam peperiksaan yang sebenar. Sekolah turut mengadakan kem kecemerlangan, kem motivasi dan kem bina insan agar murid dapat membina sahsiah diri, mempunyai motivasi dan membentuk keperibadian yang luhur.  Program Hari Anugerah Cemerlang yang diadakan pada setiap tahun juga turut memberi motivasi kepada murid supaya belajar bersungguh-sungguh.  Jelasnya,  program yang dianjurkan sekolah juga merupakan salah satu faktor kecemerlangan murid dalam akademik.
Seterusnya, saya akan menubuhkan kumpulan perbincangan di sekolah bagi meraih kejayaan yang cemerlang dalam akademik. Saya akan mengajak empat atau lima orang rakan saya untuk sama-sama berbincang tentang sesuatu tajuk atau topik pelajaran yang kurang difahami. Selain guru, penerangan dan penjelasan daripada rakan-rakan dalam kumpulan perbincangan berkaitan sesuatu topik amat penting untuk meningkatkan pemahaman murid tarhadap tajuk pelajaran yang kurang difahami semasa di kelas. Bersama rakan perbincangan juga, saya akan membuat lebih banyak latihan terutamanya  Matematik, Fizik, Prinsip Akaun dan subjek Sains yang lain. Saya dan rakan kumpulan perbincangan akan selalu mengunjungi perpustakaan untuk  mengulang kaji pelajaran dan berbincang dengan rakan-rakan. Kami akan menyiapkan kerja rumah dan latihan yang diberi oleh guru bersama-sama. Kumpulan perbincangan amat penting lebih-lebih lagi menjelang peperiksaan yang sebenar. Murid-murid yang menyertai kumpulan perbincangan di sekolah akan lebih bersedia dan berkeyakinan ketika menghadapi peperiksaan. Oleh itu, penyertaan murid dalam kumpulan perbincangan guga merupakan antara faktor kejayaan murid dalam akademik.
Akhir sekali, kecemerlangan murid dalam akademik berpunca daripada sokongan dan dorongan daripada kedua-dua  ibu bapa. Dorongan daripada ibu bapa dapat menjadikan  seseorang murid  itu rajin dan gigih berusaha untuk mencapai kecemerlanagn.  Hal ini kerana dorongan daripada ibu bapa merupakan satu sumber inspirasi kepada anak-anak. Anak- anak akan lebih berjaya dalam pelajaran mahupun dalam hidup dengan adanya dorongan, motivasi, kata-kata perangsang, restu, dan keredaan daripada ibu bapa. Ibu bapa juga boleh menjadi contoh teladan kepada anak-anak dengan membawa anak-anak ke perpustakaan atau menghantar anak-anak ke kelas tambahan. Anak-anak akan mencontohi ibu bapa dan menganggap dorongan ibu bapa itu sebagai motivasi kepada diri mereka sendiri. Bak kata peribahasa, “ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi”. Salah satu cara ibu bapa memberi dorongan kepada anak-anak adalah dengan memperuntukkan sejumlah wang untuk anak-anak menghadiri kelas tuisyen dan menyediakan kemudahan untuk anak mereka belajar di rumah. Ibu bapa juga boleh menyediakan perpustakaan mini di rumah untuk memupuk budaya membaca dalam diri anak-anak. Dengan ini, anak-anak akan membahagiakan ibu bapa dengan kejayaan yang dicapai oleh mereka. Tegasnya, dorongan ibu bapa amat penting untuk anak-anak mencapai kecemerlangan  dalam akademik.
Kesimpulannya, banyak faktor penentu kecemerlangan  murid dalam akademik. Untuk mencapai kecemerlangan dalam akademik, murid-murid perlu memberikan tumpuan ketika pembelajaran di bilik darjah. Murid-murid juga hendaklah menyertai program-program akademik yang dianjurkan oleh sekolah selain menyertai kumpulan perbincangan di sekolah. Kecemerlangan murid dalam akademik juga adalah berpunca daripada sokongan dan dorongan daripada ibu bapa. Tegasnya, kecemerlangan seseorang murid dalam akademik  bergantung pada keazaman seseorang murid itu untuk berjaya, bak kata pepatah, usaha tangga kejayaan dan hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.





Latihan  2
Bahagian A
[30 markah]
(Masa dicadangkan : 45 minit)
Lihat gambar rajah di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang usaha-usaha mewujudkan perpaduan kaum. Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.




Usaha-usaha Mewujudkan Perpaduan Kaum
            Malaysia merupakan sebuah negara yang unik kerana masyarakatnya terdiri daripada berbilang kaum dan agama. Kaum Melayu, Cina, India dan rakyat peribumi yang lain dapat hidup dalam keadaan yang aman dan damai malah saling menghormati. Rakyat Malaysia dapat hidup bersatu padu dan bekerjasama berdasarkan atas prinsip-prinsip  Rukun Negara. Perpaduan yang wujud ini mampu mengelakkan tragedi 13 Mei 1969 kerana rakyat Malaysia sedar akan pentingnya perpaduan bak kata pepatah “bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”. Persoalannnya, apakah usaha-usaha mewujudkan perpaduan kaum di negara kita?

            Salah satu usaha mewujudkan perpaduan kaum di negara kita adalah peranan yang dimainkan oleh pihak sekolah. Rakyat harus menyokong cadangan mewujudkan satu sistem pendidikan berteraskan kebangsaan.  Dengan adanya sistem  pendidikan yang terbuka kepada setiap kaum dan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar, hal ini mampu membentuk elemen perpaduan dalam kalangan murid. Apabila murid berbilang kaum di peringkat awal didedahkan dengan kepelbagaian bangsa dan agama di sekolah rendah lagi, usaha  untuk membentuk satu masyarakat berbilang kaum yang bersatu padu dapat dilakukan dengan lebih berkesan. Di sekolah, murid-murid yang berbilang kaum akan berinteraksi, bergaul , bermain dan sebagainya semasa melakukan aktiviti- aktiviti semasa P & P ataupun aktiviti kokurikulum. Dengan cara ini, generasi Malaysia yang lebih bersefahaman, bekerjasama dan bersatu padu mampu dilahirkan. Selain itu, menerusi sukatan pelajaran Bahasa Melayu, Sejarah dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan, sifat perpaduan kaum dapat dipupuk dalam kalangan murid. Jelasnya, generasi muda akan sedar akan peranan mereka untuk mengukuhkan perpaduan kaum menerusi peranan yang dimainkan oleh pihak sekolah.
            Selain itu, rumah terbuka yang diadakan pada hari perayaan dapat mewujudkan perpaduan kaum di negara kita. Rumah terbuka bermaksud satu perayaan agama yang disambut oleh penganut pelbagai agama dengan tujuan untuk memupuk persefahaman dalam kalangan rakyat Malaysia. Amalan kunjung-mengunjungi ketika merayakan Hari Raya Aildilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali dan Hari Natal dapat memupuk silaturahim dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum. Semasa menghadiri rumah terbuka, rakyat Malaysia boleh mengenali adat resam setiap kaum dengan lebih mendalam sekali gus dapat menjana sikap bertimbang rasa dan saling menghormati antara satu sama lain. Setiap kaum yang ada di negara kita  sedia menerima adat resam dan budaya kaum lain selain dapat menikmati juadah tradisional masyarakat mengikut kaum yang ada di Negara kita. Rakan-rakan yang datang berkunjung  ke rumah kita bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan sesama kaum  tetapi juga dapat memeriahkan suasana rumah terbuka. Tegasnya, rumah terbuka yang diadakan pada setiap perayaan dapat memupuk perpaduan dalam kalangan anggota masyarakat.
            Di samping itu, perpaduan kaum dalam kalangan rakyat Malaysia dapat dipupuk menerusi aktiviti hari keluarga. Hari keluarga merupakan aktiviti yang sihat yang wajar menjadi kemestian sesebuah komuniti. Aktiviti hari keluarga boleh disertai oleh semua lapisan masyarakat dalam sesebuah taman atau komuniti untuk mengerattkan hubungan sesama kaum.Hari keluarga boleh diadakan pada hujung minggu dan boleh dijalankan di kawasan berhampiran tempat tinggal seperti di padang sekolah, taman rekreasi atau di sesebuah tempat perkelahan. Ibu bapa boleh membawa anak masing-masing dan menyertai aktiviti yang dijalankan. Secara tidak langsung, setiap ahli masyarakat dapat mengenali, dan berkomunikasi dengan jiran tetangga mereka yang selama ini hanya berpeluang untuk melihat muka tanpa berbual-bual ketika keluar rumah. Jelasnya, aktiviti hari keluarga yang dijalankan dapat mengeratkan perpaduan dan sekali gus menjayakan gagasan 1 Malaysia.
            Akhir sekali, perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat dapat diwujudkan menerusi kepelbagaian kebudayaan. Kepelbagaian kaum dan budaya di Malaysia merupakan aspek yang penting untuk mewujudkan perpaduan. Walaupun terdiri daripada latar belakang yang berbeza, namun apabila dikaitkan dengan kebudayaan, semua rakyat boleh menerimanya tanpa wujud prasangka. Apabila diadakan sesuatu persembahan untuk meraikan hari kebesaran atau menerima kedatangan orang kenamaan, akan dipersembahkan tarian oleh pelbagai kaum seperti tarian Zapin dan tarian Inang oleh masyarakat Melayu. Tarian kipas, tarian singa dan tarian piring oleh masyaraat Cina, Tarian Bharatanatiam dan Tarian Kollattam oleh masyarakat India. Persembahan kebudayaan yang unik ini secara  tidak langsung dapat menarik minat pelancong asing yang berkunjung ke negara ini. Tegasnya, kepelbagaian kebudayaan yang ada di negara  kita dapat mewujudkan perpaduan kaum dan mengenali antara satu sama lain kerana tak kenal maka tak cinta.
            Kesimpulannya, usaha mewujudkan perpaduan kaum  perlu diberi penekanan di negara kita kerana menjadi tonggak kesejahteraan rakyat dan kemakmuran. Oleh itu, semua pihak perlulah bekerjasama dalam memastikan perpaduan dapat dicapai di negara ini. Jelasnya, rakyat Malaysia perlulah bersama-sama menjayakan Gagasan 1 Malaysia seperti yang disarankan oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia. “ Bersatu teguh, bercerai roboh”.



Latihan 3
Bahagian A                                                                                                                                   
[30 markah]                                                                                                                              (Masa dicadangkan : 45 minit)
Lihat gambar di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang usaha-usaha mengelakkan kejadian tanah runtuh di negara ini. Panjang huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah kata.

 


Jawapan:
            Peristiwa tanah runtuh di Bukit Antarabangsa pada 6 Disember 2008 dan kejadian tanah runtuh yang  meragut nyawa anak-anak yatim di Hulu Langat, merupakan dua peristiwa yang banyak mengalirkan air mata rakyat Malaysia.  Peristiwa ini menuntut masyarakat membenamkan mata fikir dalam akal yang waras untuk mencari penyelesaian bukan hanya polemik di media-media  dan menuding jari berbalah sesama sendiri terhadap peristiwa yang terjadi. Secara implisitnya, ketidakprihatinan masyarakat negara ini merupakan punca kemurkaan alam kepada kita. Justeru, adalah  wajar  semua pihak  membuka mata  serta mengorak langkah  bagi mengelakkan kejadian ini. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh di Negara ini?
            Usaha pertama untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh di negara ini  ialah kerajaan menanam semula pokok-pokok di cerun bukit terutama di kawasan yang telah dibangunkan. Usaha murni tersebut  merupakan langkah terbaik untuk  menjaga cerun-cerun   dan kawasan yang dibangunkan  daripada terdedah  kepada risiko kejadian tanah runtuh. Usaha tersebut juga dapat menguatkan tanah yang telah melalui proses pembangunan.  Memang tidak dapat dinafikan bahawa pembangunan yang dijalankan menyebabkan banyak pokok yang ditebang dan bukit ditarah atas nama pembangunan.  Hutan rimba dan bukit-bukau merupakan pasak kepada ekosistem bumi. Pembalakan dan penebangan hutan tanpa kawalan  telah melonggarkan ikatan tekstur tanah, menjadikan cerun longgar dan rebah. Di Malaysia, hujan lebat yang turun akan menyebabkan tanah di lereng bukit menjadi longgar dan menggelongsor. Oleh itu, pokok-pokok besar yang berakar dalam dan tanaman tutup  bumi perlu ditanam untuk menyelamatkan kawasan pembangunan yang terdedah kepada  cuaca dan hujan lebat. Hal ini dapat membantu menyekat pergerakan tanah daripada dibawa  aliran air bawah tanah  yang menggelonsorkan cerun yang tidak stabil. Usaha menanam kembali pokok-pokok atau tumbuh-tumbuhan, dapat memampatkan kembali kelonggaran tanah akibat pembangunan. Kejadian tanah runtuh yang berlaku di Kondominium Highland Tower dan  Bukit Antarabangsa misalnya,  masih lagi menjadi igauan  rakyat akibat  tidak  mempedulikan cerun yang lemah berhampiran dengan kediaman. Jelasnya, untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh, kerajaan perlulah menanam semula pokok-pokok di cerun-cerun bukit.
            Usaha kedua yang dapat dilakukan untuk  mengelakkan kejadian  tanah  runtuh  ialah kerajaan membina sistem perparitan yang terancang. Sistem perparitan yang terancang penting untuk membolehkan air hujan  dari cerun bukit  mengalir dengan baik dan terus ke longkang atau sungai dan laut. Air tidak akan bertakung di sesuatu kawasan sehingga menyebabkan berlakunya banjir. Keadaan ini secara tidak langsung boleh mengelakkan  berlakunya hakisan tanah dan tanah runtuh. Sistem perparitan yang dibina dapat berfungsi sebagai benteng yang kukuh di lereng bukit. Sistem perparitan yang terancang dapat memadatkan struktur tanah di lereng bukit.   Sekiranya, tidak ada sistem perparitan dibina di lereng bukit, hujan lebat yang turun di kawasan bukit akan menyebabkan air bertakung dan menyerap di kawasan lereng bukit melalui tanah sehingga struktur tanah menjadi longgar dan tidak kukuh. Hal ini boleh mengundang padah seperti berlakunya banjir kilat, hakisan tanah dan  tanah runtuh.   Rakyat Malaysia tidak pernah melupakan peristiwa yang berlaku di Pos Dipang, Perak yang mengorbankan begitu banyak nyawa akibat banjir lumpur. Kawasan tanah tinggi yang dibangunkan pembangunan  sangat berisiko dengan kejadian tanah runtuh dan aliran lumpur. Oleh itu. jelaslah pembinaan sistem perparitan yang terancang dapat mengelakkan kejadian tanah runtuh.
            Selain itu, pembangunan yang terancang juga merupakan usaha yang dapat  dilakukan  untuk mengurangkan berlakunya kejadian  tanah runtuh. Kerajaan perlu mendepani persaingan pembangunan dengan strategik dan bijak. Tindakan strategik dan sistematik terhadap pembangunan adalah sangat mustahak dipraktikkan bagi memastikan pembangunan tidak mengundang padah. Pembangunan terancang mestilah bersifat mesra rakyat, mengambil kira keselamatan dan kesejahteraan rakyat. Memang pembangunan  tidak dapat dihentikan, tetapi pembangunan perlu dirancang sebaik-baiknya untuk mengurangkan fenomena yang membawa bencana kepada pelestarian alam dan manusia. Pembangunan seperti perumahan, perladangan dan pelancongan perlu dirancang dengan teliti demi keselamatan dalam jangka panjang. Kawasan ladang di lereng bukit perlu dibina teres selain menyusun atur tanaman  dan laluan untuk menyelamatkan cerun. Kerajaan atau pemaju perumahan perlu mengkaji keutuhan tanah di lereng bukit dari semasa ke semasa untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh yang tidak diingini berlaku. Kerajaan juga perlu menetapkan junlah kuota untuk melaksanakan pembangunan di lereng-lereng  bukit. Selain itu, pihak-pihak tertentu seperti pemaju perumahan  perlu mewujudkan  Pelan Tindakan Kecemasan untuk bertindak pantas  apabila mengesan tanda-tanda pergerakan cerun berlaku. Perancangan pembangunan perlu melihat simbiosis alam dengan projek yang bakal dibangunkan. Jelasnya, Pembangunan yang terancang  dapat mengelakkan  kejadian yang tidak diingini seperti tanah runtuh.
            Akhirnya sekali,  penguatkuasaan undang-undang perlu dilaksanakan bagi mengelak kejadian yang boleh meragut nyawa.  Penguatkuasaan yang tegas dapat  mencegah sesetengah pihak yang melaksanakan projek pembangunan seperti “melepaskan batuk di tangga”.  Penguatkuasaan tanpa  “pilih bulu”  dapat mencegah  perbuatan yang tidak bertanggungjawab.  Kerajaan perlu mengawal aktiviti pembalakan dan penebangan hutan di negara kita. Dalam hal ini, kerajaan perlu mengehadkan jumlah lesen yang diluluskan untuk penebangan hutan. Hanya pokok yang telah cukup tua sahaja dibenarkan untuk ditebang Lesen dan konsesi pembalakan  perlu disemak semula. Kelulusan Sijil Menduduki  Kediaman dan pembangunan di kawasan tanah tinggi dan cerun perlu diberi perhatian wajar oleh kementerian yang berkaitan. Mereka yang melanggar peraturan yang ditetapkan haruslah dikenakan hukuman yang setimpal seperti hukuman penjara atau denda yang tinggi sebagai pengajaran agar tidak mengulangi kesalahan tersebut. Penetapan akta seperti Akta Pembangunan, Akta Tanah, dan Akta Perhutanan dapat menjaga hak dan menyelematkan situasi genting. Jelasnya, penguatkuasaan  yang tegas dapat memberi kesan kepada pihak yang mementingkan keuntungan tanpa menghiraukan kebajikan sosial.
            Kesimpulannya, rakyat Malaysia masih mempunyai ruang usaha dan ikhtiar untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh. Usaha semua pihak amat diharapkan  agar kejadian tanah runtuh ini dapat dielakkan. Setiap langkah keselamatan dan peraturan tidak boleh dipandang enteng kerana sikap tersebut boleh mengundang padah. Rakyat Malaysia diharapkan dapat merenung kata-kata  Chief Seattle  bahawa “kita tidak mewarisi bumi ini daripada nenek monyang kita, sebaliknya kita meminjamnya dari cucu cicit kita”. Oleh itu , kita perlu menjaga  sesuatu yang kita pinjam agar kita dapat memulangkan  dengan keadaan yang masih baik.



Latihan 4
Bahagian A                                                                                                                                   
[30 markah]                                                                                                                              (Masa dicadangkan : 45 minit)
Carta di bawah ini menunjukkan sebahagian daripada keistimewaan negara kita. Huraikan  pendapat anda tentang kepentingan sektor pelancongan kepada rakyat dan negara kita. Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

  





Kepentingan sektor pelancongan kepada rakyat dan negara kita.
            Apabila kerajaan mula mengisytiharkan Tahun Melawat Malaysia pada tahun 1990, usaha ini menunjukkan bahawa kerajaan semakin memberikan perhatian yang serius kepada industri pelancongan kerana langkah ini berpotensi memajukan ekonomi negara. Setiap tahun bilangan pelancong yang datang ke Malaysia semakin meningkat. Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai keistimewaan tersendiri. Ramai pelancong sama ada dari luar ataupun dalam memilih negara kita sebagai destinasi pelancongan. Persoalannya, apakah kepentingan sektor pelancongan kepada rakyat dan negara kita?
            Antara kepentingan sektor pelancongan ialah kita dapat mempromosikan tempat pelancongan yang menarik di Malaysia. Malaysia mempunyai banyak tempat bersejarah yang boleh dilawati seperti Bandar Bersejarah yang terletak di negeri Melaka. Tempat – tempat bersejarah ini dapat mengembangkan ilmu pengetahuan seseorang. Di negara kita pelancong juga boleh bermain sambil melawat tempat – tempat  bersejarah ini kerana kita mengetahui bahawa sekiranya cuma melihat barangan bersejarah amat membosan bagi sesetengah pelancong. Jadi, bagi memanfaatkan pelbagai pihak, selain barangan bersejarah persembahan turut diadakan seperti di Kota A – Famosa. Di Kota A – Famosa pelancong bukan sahaja dapat menambahkan ilmu sejarah tetapi juga beriadah pada masa yang sama kerana tempat beriadah seperti Bandar Cowboy, Dunia Binatang Safari dan Dunia Air turut disediakan. Tempat – tempat ini sesuai untuk semua golongan masyarakat sama ada kanak – kanak ataupun dewasa. Jelasnya, sektor pelancongan dapat mempromosikan tempat pelancongan yang menarik di negara kita.
            Selain itu, sektor pelancongan dapat mempromosikan makanan setempat di negara kita. Malaysia mempunyai beraneka jenis makanan yang digemari oleh pelancong. Negara kita yang mempunyai pelbagai kaum yang berlainan dan masakan yang berbeza seperti masakan Melayu, masakan Cina dan masakan India. Negara – negara Barat seperti England cuma mempunyai satu jenis kaedah masakan seperti kentang goreng, stik dan salad. Negara Itali pula mempunyai masakan seperti spageti, pizza dan telur dadar. Negara kita tidak seperti negara lain yang cuma mempunyai satu kaedah masakan. Masyarakat berbilang kaum di Malaysia mengetahui pelbagai jenis makanan dari serata dunia seperti yu sang, bau dan char kuey teow daripada kaum Cina, rendang, ketupat dan nasi lemak daripada kaum Melayu, capati, tosai dan idli daripada kaum India serta tidak kurangnya masakan barat dan masakan enak daripada kaum yang berlainan. Masakan yang tidak pernah dirasai oleh pelancong ini memberikan mereka rasa baharu maka menarik minat mereka untuk mengunjungi Malaysia. Tegasnya, makanan setempat dapat dipromosikan melalui sektor pelancongan.
            Di samping itu, sektor pelancongan dapat memperkenalkan dan mengembangkan industri kraf tangan di Malaysia. Barangan kraf tangan buatan rakyat tempatan bukan sahaja bermutu bahkan harga yang ditawarkan amat berpatutan. Barangan kraf tangan buatan rakyat Malaysia yang diperbuat daripada kain batik, seramik, kayu, perak, kaca dan kulit amat cantik dari segi reka bentuk dan sesuai dijadikan cenderahati kepada pelancong. Pelancong pasti membeli – belah barangan kraf tangan buatan Malaysia seperti batik, kain songket, wau dan lain – lain sebagai buah tangan atau ole-ole buat keluarga atau rakan mereka. Kedatangan pelancong asing ke Malaysia bukan sahaja memajukan industri kraf tangan ke luar negara kita bahkan menjadi periuk nasi kepada pengusaha kraf tangan tempatan. Jelasnya, industri kraf tangan dapat dimajukan melalui sektor pelancongan.
            Akhir sekali, sektor pelancongan dapat memperkenalkan budaya Malaysia yang unik lagi istimewa kepada dunia luar. Hal ini demikian kerana Malaysia mempunyai penduduk yang berbilang kaum dan etnik seperti Melayu, Cina, India, Kadazan, Murut, Iban dan lain-lain. Kaum-kaum di negara kita yang mempunyai adat, budaya dan cara pemakanan yang berbeza dan istimewa mampu menarik minat pelancong asing. Sektor pelancongan dapat mempromosikan warisan budaya yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas ke serata dunia. Pelancong yang datang ke suatu destinasi pelancongan boleh dihidangkan dengan persembahan kesenian tradisional misalnya wayang kulit, makyung, dikir barat, ronggeng dan kuda kepang. Mereka juga diberi peluang untuk mencuba permainan tradisional seperti sepak raga, galah panjang, congkak, batu seremban dan lain-lain. Pakaian tradisional seperti baju kurung yang diperbuat daripada kain batik dan sari yang diperbuat daripada kain sutera boleh cuba dipakai oleh pelancong asing. Keseronokan pengalaman yang dibawa pulang ke negara asal pelancong akan menjadi memori indah yang akan menggamit mereka untuk datang semula ke negara kita. Tegasnya, keunikan budaya masyarakat Malaysia yang berjaya dipromosi melalui sektor pelancongan sebenarnya memberi imej yang sangat baik kepada negara Malaysia.
            Kesimpulannya, sektor pelancongan merupakan salah satu sumber ekonomi yang amat penting dalam negara kita. Oleh itu, kita harus menggunakan kelebihan yang ada pada negara kita dengan sepenuhnya supaya negara kita dapat menjadi pusat pelancongan yang terkenal di dunia dan seterusnya membangunkan ekonomi negara kita. Walaupun masyararakat kita terdiri daripada berbilang kaum, kita harus bersatu padu demi menjaga kepentingan tanah air tecinta kita. Tegasnya, kita perlulah bersatu padu bak kata pepatah, bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.







Latihan 5
Bahagian A                                                                                                                                   
[30 markah]                                                                                                                              (Masa dicadangkan : 45 minit)
Lihat grafik di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang faedah-faedah bersukan kepada masyarakat.Panjang huraian  hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.


 
 

Sukan bukanlah semata-mata aktiviti fizikal yang dilakukan untuk mengisi masa lapang atau sebagai riadah kecil mengeluarkan peluh.Mutakhir ini ,pemodenan sukan bergerak seiring dengan kemajuan dunia dan membawa falsafah yang lebih berat. Pertumbuhan pelbagai bidang sukan yang rancak ini digerakkan dengan lebih dinamik dan profesional. Penglibatan masyarakat dalam bidang sukan juga telah banyak membawa manfaat. Ironinya, penglibatan masyarakat dalam bidang sukan dapat menunaikan pelbagai hasrat bukan sekadar pertarungan di gelanggang sahaja. Persoalannya, apakah faedah-faedah bersukan kepada maasyarakat?
            Salah satu daripada faedah bersukan ialah kegiatan sukan dapat membantu mengekalkan kesihatan fizikal dan mental. Kehidupan zaman moden ini lebih banyak menggunakan tenaga dalaman dan pemikiran.Golongan profesional dan separa profesional dalam membangunkan negara sering kali terpaksa mengabaikan kegiatan fizikal kerana kekurangan waktu untuk tujuan tersebut. Kesibukan semua lapisan masyarakat ini membawa kepada masalah kesihatan fizikal dan mental. Penglibatan golongan kanak-kanak , remaja dan orang dewasa dalam pelbagai kegiatan sukan dapat menyelesaikan pelbagai masalah kesihatan. Kegiatan sukan merupakan  langkah awal seperti kata pepatah “sediakan payung sebelum hujan” dalam mengawal obesiti, penyakit kronik seperti darah tinggi, diabetis dan penyakit jantung. Kegiatan sukan  juga dapat membantu mereka yang telah menghidap penyakit untuk kembali pulih. Penglibatan masyarakat dalam bidang sukan juga mampu menangani ketegangan fikiran dan meringankan bebanan mental. Sesungguhnya kegiatan sukan dapat melancarkan perjalanan darah, mengurangkan lemak yang berlebihan dalam salur darah dan jantung ,membantu perkumuhan dan membuang sisa-sisa yang tidak diperlukan oleh badan. Tegasnya, penglibatan dalam bidang sukan merupakan usaha efektif dalam melahirkan masyarakat yang sihat.
            Selain itu, bersukan juga dapat mengisi masa lapang seseorang. Masa lapang sebenarnya amat berharga bagi  setiap individu atau masyarakat. Seseorang yang melibatkan diri dalam bidang sukan juga adalah satu cara mengisi masa lapang dengan berfaedah. Masa itu emas , walaupun hanya ada beberapa minit, masa itu sangat berharga .Masa lapang ini sangat bermanfaat jika digunakan untuk bersukan bagi mengembalikan tenaga dan melegakan ketegangan. Bagi golongan remaja pula, penglibatan dalam bidang sukan dapat menghindarkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang tidak bermoral , vandalisme dan membuang masa sia-sia seperti melepak , merokok dan terlibat dalam pengambilan dadah. Sukan dapat menarik masyarakat ke arah memanfaatkan masa lapang dengan cara yang lebih baik. Kesan yang jelas ialah sukan mampu meningkatkan swadaya masyarakat dan melangkah gagah  dengan yakin ke peringkat antatabangsa  walaupun melalui ranjau pidana  dunia persaingan hari ini. Sesungguhnya sukan dapat mendisiplinkan masyarakat memanfaatkan masa dengan lebih bermakna.


            Di samping itu, sukan merupakan  salah satu instrumen penting untuk mengeratkan hubungan perpaduan dan integrasi masyarakat. Hal ini demikian kerana, kegiatan sukan dapat melahirkan semangat kekitaan dalam pasukan untuk meraih kemenangan.  Sifat bersatu padu juga dapat dipupuk melalui penglibatan dalam kegiatan sukan kerana bulat air kerana pembentung, bulat  manusia kerana muafakat. Lantaran itu, hubungan yang erat dapat melahirkan sebuah pasukan yang kuat. Para penyokong juga dapat menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di samping berkongsi minat dalam sukan yang sama. Dengan ini, nilai-nilai perpaduan seperti bekerjasama, bertoleransi dan meletakkan kepentingan negara dan pasukan melebihi kepentingan diri dapat dilahirkan melalui penglibatan diri dalam bidang sukan. Justeru , kegiatan sukan dapat mendidik masyarakat bekerjasama dan bersatu padu serta mengeratkan hubungan.
            Akhir sekali, sukan juga mampu memberi ruang untuk menambahkan pendapatan secara individu dan kumpulan. Atlet yang mencapai tahap kemahiran profesional boleh menjadikan sukan sebagai kerjaya yang lumayan. Penganjuran dan pengusaha peralatan dan prasarana sukan juga mampu menjana pendapatan yang besar. Serentak dengan kegiatan sukan secara serius di peringkat  glokal dan global mampu menjana keuntungan melalui kadar tukaran wang asing. Seiring dengan itu, industri hiliran muncul bersama perkembangan sukan yang diceburi. Kemajuan sukan menampakkan hala tuju  anak muda yang berkebolehan mengembangkan bakat dan potensi menjadikan sukan sebagai  kerjaya masa depan mereka. Pemain bola sepak secara professional, pemain badminton  seperti Datuk Lee Chong Wei  dan Shalin Zulkifli masing-masing menjadikan badminton dan  bowling sebagai kerjaya. Jelaslah sukan juga dapat menjadi kerjaya yang baru kepada masyarakat.
Kesimpulannya, penglibatan dalam bidang sukan akan membawa pelbagai faedah kepada masyarakat.Oleh itu , semua lapisan masyarakat amat digalakkan menyertai semua jenis sukan. Sukan diharapkan dapat melahirkan masyarakat yang sihat, bersatu padu, berdaya maju dan berdaya saing. Sukan juga mampu mengangkat martabat rakyat dan negara di persada antarabangsa agar mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan Negara maju yang lain.  Sesungguhnya , sukan berfaedah kepada individu, masyarakat dan negara. Tegasnya,  kegiatan sukan wajar digalakkan kepada semua lapisan masyarakat.

 


Latihan  6
Bahagian A
[30 markah]
(Masa dicadangkan : 45 minit)
Gambar di bawah menunjukkan suasana di sebuah pusat sumber sekolah. Huraikan pendapat anda tentang usaha-usaha meningkatkan penggunaan kemudahan Pusat Sumber Sekolah. Panjangya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.       


  


JAWAPAN:
Pusat sumber bertindak sebagai bank atau gedung ilmu pengetahuan. Banyak bahan bacaan dikumpulkan dan disimpan di sana. Antaranya termasuklah bahan rujukan, buku cerita, majalah, surat khabar dan sebagainya daripada pelbagai negara. Kesemua bahan ini adalah untuk bacaan dan rujukan murid dan warga sekolah. Terdapat pelbagai kemudahan yang disediakan di pusat sumber, contohnya kemudahan ASTRO kampus, ICT, makmal bahasa, bilik audio visual, dan sebagainya. Murid akan memperoleh  pelbagai manfaat  jika memaksimum penggunaan  kemudahan pusat sumber sekolah. Persolannya, apakah usaha-usaha yang boleh dilakukan untuk meningkatkan penggunaan  kemudahan Pusat Sumber Sekolah?

Antara usaha untuk meningkatkan penggunaan kemudahan Pusat Sumber Sekolah (PSS) adalah dengan  memastikan lokasi pusat sumber sekolah perlulah strategik agar mudah dikunjungi oleh murid-murid. Misalnya, lokasi pusat sumber perlu terletak di bahagian bawah atau paras paling rendah sesebuah bangunan agar memudahkan pengunjung. Lokasi PSS juga perlu jauh daripada suasana kebisingan untuk membolehkan pengunjung memberi tumpuan terhadap bahan yang dibaca. PSS juga perlu terletak di tempat yang menjadi tumpuan semua orang.  Hal ini memudahkan pengunjung untuk mengunjungi PSS. Bangunan tersebut perlulah dicat dan dihias dengan mural yang sesuai dan menarik supaya menjadi tarikan murid untuk  mengunjungi dan meneroka kemudahan yang terdapat di pusat sumber itu, bak kata pepatah, ’tak kenal maka tak cinta’. Selain itu,  suasana di dalam pusat sumber perlulah kondusif seperti terdapat penyaman udara, dan ruang membaca dan membuat rujukan yang selesa. Suasana di pusat sumber juga perlu ceria, bersih dan senyap agar pengunjung dapat memperoleh ketenangan dan memberi tumpuan terhadap bahan yang dibaca. Buku-buku yang terdapat dalam PSS perlulah ditambah bilangannya dan yang terkini. Waktu PSS juga perlu ditambah untuk membolehkan murid-murid meminjam buku dan membaca atau membuat ulang kaji.

Usaha seterusnya ialah guru Pusat Sumber Sekolah  perlu menghebahkan perkhidmatan dan kemudahan yang terbaharu yang disediakan di pusat sumber. Hebahan tersebut boleh dilakukan semasa perhimpunan mingguan. Melalui saluran ini, murid-murid dapat mengetahui maklumat terkini tentang kemudahan terbaharu yang terdapat di pusat sumber seperti e-pusat sumber iaitu kemudahan pusat sumber yang menggunakan rangkaian internet dan komputer dan sistem automasi. Di samping itu, bahan rujukan dan koleksi buku cerita pelbagai bahasa juga dihebahkan untuk menarik murid mengunjungi pusat sumber. Maklumat-maklumat tentang buku dan bahan rujukan terkini perlu ditampalkan di papan kenyataan pusat sumber dan kelas-kelas untuk rujukan murid. Selain itu, murid-murid dan persatuan-persatuan yang ingin mengadakan mesyuarat di PSS juga dialu-alukan agar mereka dapat memanafaatkan sepenuhnya penggunaan PSS. Mereka perlulah menempah bilik tersebut terlabih dahulu agar tidak berlaku pertembungan. Pihak PSS juga boleh menampal jadual penggunaan bilik mesyuarat di papan notis. Jelasnya, melalui hebahan tersebut, murid-murid dapat maklumat tentang penggunaan perkhidmatan pusat sumber dan berminat untuk mengunjungi Pusat Sumber Sekolah.

Selain itu, untuk menggalakkan murid-murid mengunjungi PSS, pihak PSS perlu  mengadakan Program Membaca. Program banyak membaca atau program NILAM harus digiatkan lagi agar murid  akan sentiasa mengunjungi pusat sumber untuk meminjam dan membuat bacaan di pusat sumber.  Program NILAM merupakan satu pendekatan untuk penyuburan tabiat membaca dalam kalangan murid. Hal ini menggalakkan usaha berkekalan murid untuk menanamkan sifat membaca. Di bawah program NILAM, setiap murid perlu merekodkan buku yang dibaca dalam Buku Rekod Membaca Nilam. Guru pula akan mengesahkan rekod bacaan murid. Pengiktirafan diberi kepada murid berdasarkan bilangan buku yang dibaca. Di samping itu, PSS perlu menambahkan bilangan bahan bacaan yang dibaca agar murid juga dapat menambahkan pengetahuan dan pengalaman melalui bahan yang dibaca bak kata pepatah ’jauh berjalan luas pandangan, banyak membaca, menambah pengetahuan’.  Tempat yang penuh dengan bahan bacaan tidak lain dan tidak bukan tentulah di pusat sumber sekolah. Hal ini secara tidak langsung meningkatkan penggunaan kemudahan pusat sumber sekolah dalam kalangan murid.

Akhir sekali, pelbagai pertandingan dan aktiviti boleh dijalankan dalam usaha menarik pengunjung mengunjungi PSS. PSS boleh mengadakan pelbagai pertandingan sempena minggu-minggu tertentu seperti Minggu Bahasa Melayu, Minggu Bahasa Inggeris dan Minggu Patriotik. Pertandingan seperti Menulis Ulasan Buku/Novel, Menulis Esei, Menulis Cerpen, Pertandingan Debat, Forum Remaja dan sebagainya boleh diadakan di PSS.  Hal ini membolehkan murid-murid yang mengambil bahagian dalam pertandingan akan meminjam buku-buku daripada perpustakaan sebagai rujukan. Selain itu, murid-murid lain yang tidak mengambil bahagian akan hadir sebagai penonton untuk memberi sokongan kepada rakan-rakan yang mengambil bahagian. Secara tidak langsung, murid-murid yang terlibat dalam aktiviti atau pertandingan di PSS, dapat mengetahui kemudahan yang di sediakan di PSS. Mereka akan  terus mengunjungi PSS pada masa yang lain untuk meminjam buku-buku di PSS. Tegasnya, pelbagai pertandingan dan aktiviti di PSS mampu meningkatkan penggunaan kemudahan pusat sumber sekolah.

Kesimpulannya, pusat sumber sekolah perlu menyediakan kemudahan yang terkini dan mengikut peredaran zaman. Kemudahan yang disediakan perlu memenuhi keperluan murid  dan menarik mereka untuk menggunakan kemudahan yang disediakan. Pusat sumber harus menjadi nadi utama murid dalam proses pembelajaran mereka di sekolah. Sebenarnya, ilmu yang kita miliki hanyalah setitik air jika dibandingkan dengan lautan yang luas. Oleh itu, manfaatkan masa dengan membaca kerana hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.

 
 SEMOGA ANDA MENGGUNAKAN BAHAN DI ATAS DENGAN SEBAIK-BAIKNYA
SEMOGA ANDA BERJAYA MENGGAPAI KECEMERLANGAN





Tiada ulasan: