Setiap murid mempunyai cita-cita tersendiri
untuk berjaya dalam hidup termasuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam
peperiksaan.
Huraikan langkah-langkah yang perlu anda lakukan
untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.
Tidak dapat dinafikan bahawa setiap
murid pasti mempunyai keinginan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.
Kecemerlangan ini hanya akan dapat dicapai sekiranya murid-murid berusaha
bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Kecemerlangan dalam peperiksaan bukanlah
sesuatu yang susah untuk dicapai sekiranya murid itu sendiri mempunyai azam
yang tinggi untuk mencapainya. Murid-murid tidak sepatutnya
menganggap perkara ini sesuatu yang remeh atau mudah kerana keputusan
peperiksaanlah yang akan menjamin masa hadapan seseorang pelajar. Oleh itu,
murid-murid janganlah menyesal pada masa hadapan disebabkan tidak dapat
memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan bak kata orang tua-tua
“sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna”. Oleh sebab itu,
saya sebagai salah seorang murid, saya harus berusaha mencapai
kecemerlangan dalam peperiksaan. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang
sepatutnya saya lakukan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan nanti?
Langkah yang pertama yang akan saya
lakukan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan ialah saya akan sentiasa
memberikan perhatian ketika guru sedang mengajar di bilik darjah. Apabila saya
memberi perhatian ketika seseorang guru sedang mengajar sudah tentulah sesuatu
pembelajaran tersebut akan cepat diserap masuk ke dalam minda saya. Bahkan
seorang pakar psikologi pernah mengatakan bahawa “ lima puluh peratus kejayaan
pelajar-pelajar adalah disebabkan kerana mereka memberikan sepenuh perhatian
ketika proses pengajaran dan pembelajaran sedang dijalankan. Saya juga akan
terlibat secara aktif ketika proses pengajaran dan pembelajaran sedang
dijalankan agar dapat mewujudkan suasana bilik darjah yang ceria supaya saya
tidak akan berasa bosan dan secara tidak langsung saya akan dapat mengingati apa-apa
yang disoal atau ditanya oleh guru serta apa-apa yang saya sebut atau yang saya
ulangi. Saya juga akan menyiapkan segala kerja rumah yang diberikan oleh
guru-guru supaya saya akan lebih memahami sesuatu topik dan tidak ketinggalan.
Saya juga akan bertanya kepada guru-guru sekiranya terdapat sesuatu topik atau
tajuk yang saya kurang fahami kerana berdasarkan satu kajian yang telah
dijalankan dan telah mendapati bahawa kebanyakan kecemerlangan pelajar-pelajar
dalam peperiksaan adalah disebabkan oleh pelajar-pelajar yang sentiasa
mengemukakan soalan-soalan sekiranya terdapat sesuatu topik atau tajuk yang
kurang difahami oleh mereka. Tegasnya, memberi tumpuan ketika guru-guru
sedang mengajar dan dengan menyiapkan segala kerja rumah yang diberikan oleh
guru-guru merupakan salah satu langkah dalam mencapai kecemerlangan dalam
peperiksaan.
Selain itu, saya akan menguruskan masa dengan bijak dan baik. Saya akan
menyediakan jadual waktu belajar dan saya akan mengikutinya dengan tegas
sekiranya saya ingin mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Hal ini demikian
kerana berdasarkan satu kajian, jadual waktu belajar dapat membantu para
pelajar menguruskan masa secara berkesan supaya mereka akan mempunyai masa yang
mencukupi untuk mengulang kaji pelajaran dengan lebih menyeluruh dan bersiap
sedia untuk menghadapi peperiksaan. Malah, jika saya mengikut jadual waktu
belajar yang telah saya tetapkan dengan apabila peperiksaan sudah hampir kerana
peribahasa menyatakan bahawa sediakan payung sebelum hujan. Tambahan pula,
kebanyakan pelajar yang berjaya biasanya terdiri daripada pelajar-pelajar yang
telah membuat persiapan awal. Manakala, pelajar-pelajar yang tidak membuat
persiapan awal kerana mereka terlalu leka membuang masa dan tidak berpegang
kepada pepatah “masa itu emas” dan “masa yang lalu tidak akan kembali” maka
mereka tidak dapat menghabiskan semua tajuk-tajuk sebelum tiba peperiksaan.
Jelasnya, pengurusan masa yang cekap akan memberi saya masa yang cukup untuk
membuat persediaan awal supaya saya dapat mencapai kecemerlangan dalam
peperiksaan yang akan saya duduki nanti.
Pada waktu yang sama, untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan, saya akan
membuat lebih banyak latihan dan saya juga akan mengulang kaji pelajaran secara
berterusan. Ungkapan yang dipetik daripada Bahasa Inggeris iaitu, “practice
makes perfect”. Kalau ungkapan ini ditukarkan ke dalam Bahasa Melayu, maka
ungkapannya akan menjadi, “praktis asas kecemerlangan”. Kedua-dua ungkapan ini
membawa maksud yang sama iaitu jikalau seorang itu membuat latihan yang banyak
maka dia akan mencapai kecemerlangan dalam hidup.saya akan membuat latihan bagi
setiap mata pelajaran setelah selesai mengulang kaji sesuatu topik. Hal ini
kerana saya akan lebih menguasai sesuatu topik dan secara tidak langsung saya
akan biasa dengan jenis-jenis soalan yang akan ditanya dalam peperiksaan. Saya
juga akan membuat ulang kaji secara berterusan bak kata pepatah “ sehari
selembar benang, lama-lama menjadi kain” dan “ sedikit-sedikit , lama-lama jadi
bukit”. Saya akan belajar bersungguh-sungguh dan saya akan membuat ulang kaji
secara berterusan untuk memastikan saya tidak akan ketinggalan dalam pelajaran
dan terutamanya dalam mata pelajaran sains. Tegasnya, saya membuat lebih banyak
latihan dan jika saya mengulang kaji pelajaran secara berterusan, pasti saya
akan mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan nanti.
Seterusnya, saya akan mengikuti
kelas tuisyen. Jika saya segan bertanya guru-guru di sekolah, bolehlah saya
bertanya kepada guru-guru yang mengajar di kelas tuisyen tetapi saya juga
perlulah menghapuskan perasaan segan bertanya kepada guru-guru di sekolah
kerana bak kata pepatah “malas berkayuh perahu hanyut”, “segan bertanya sesat
jalan”. Malahan, jika saya tidak memahami sesuatu topik yang diajar oleh
guru-guru di pusat tuisyen, maka bolehlah saya bertanya kepada guru-guru yang
mengajar di kelas tuisyen. Tambahan pula, jika terdapat sesuatu topik itu
diajar dua kali, maka saya akan mudah ingat dan saya juga akan menguasai
sesuatu topik itu. Contohnya, di sekolah yang diajar topik yang sama yang telah
diajar di pusat tuisyen terlebih dahulu, maka saya akan lebih faham. Di samping
itu, saya juga boleh mengikuti program di sekolah kerana ini juga membantu saya
untuk mencapai kecemrlangan dalam peperiksaan. Saya akan menyertai segala
program-program yang telah dianjurkan oleh pihak sekolah seperti Minggu Bahasa
Melayu dan Bahasa Inggeris, Teknik Menjawab Soalan-soalan dan lain-lain lagi.
Sekiranya saya menyertai dalam program-program yang dianjurkan oleh pihak
sekolah, saya akan didedahkan dengan jenis-jenis soalan dan latihan yang kerap
kali akan ditanya dalam peperiksaan. Jelasnya, penyertaan saya dalam
program-program sekolah dan mengikuti kelas-kelas tuisyen merupakan salah satu
langkah bagi saya untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.
Langkah yang berikutnya ialah saya
akan bersikap sabar, tabah dan tidak mudah putus asa. Saya tidak akan dapat
cepat mengalah apabila saya gagal dalam sesuatu buat kali pertama dan kedua,
malah saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk lulus dalam sesuatu perkara
kerana saya berpegang pada prinsip, “gagal sekali tidak bermakna gagal
selama-lamanya”. Saya juga akan tabah apabila terdapat apa-apa masalah atau
cabaran yang saya hadapi. Seseorang yang ternama pernah menyatakan bahawa jika
seseorang itu berjaya dalam hidupnya, tentu dia telah memenuhi kegagalan
beberapa kali kerana untuk mencapai sesuatu tentu ada kekangan yang akan kita
tempuhi. Contohnya, jika saya gagal mendapat penyelesaian untuk sesuatu soalan,
saya tidak akan putus asa, malah saya akan mencuba beberapa kali sehingga saya
mendapat penyelesaiannya. Tegasnya, saya perlu bersikap sabar, tabah dalam
menghadapi halangan dalam mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan dan
sayatidak akan mudah putus asa untuk memperoleh kecemerlangan dalam
peperiksaan.
Akhir sekali, saya juga akan
mematuhi segala nasihat daripada kedua-dua ibu bapa saya dan saya juga akan
sentiasa berdoa kepada Tuhan. Kata orang tua-tua, “Tuhan hanya akan menolong
dan memberkati hidup anak yang taat kepada ibu bapa”, Kenyataan ini pasti benar
kerana orang-orang tua mempunyai lebih banyak pengalaman. Saya akan sentiasa
patuh pada nasihat dan asuhan ibu bapa kerana saya sedar bahawa syurga terletak
di telapak kaki ibu. Misalnya, ibu bapa saya akan selalu menasihati saya untuk
belajar bersungguh-sungguh. Oleh itu, saya akan berusaha secara gigih untuk
memperoleh kejayaan yang cemerlang. Segala doa dan dorongan ibu bapa, saya tahu
walaupun betapa tabah atau bijak mana saya sekali pun, saya tidak mungkin dapat
memperoleh kejayaan yang cemerlang yang saya ingini tanpa doa, restu dan
dorongan daripada kedua-dua ibu bapa saya. Malah, saya juga akan sentiasa
berdoa kepada Tuhan supaya saya tidak akan jatuh sakit pada hari peperiksaan
kerana manusia hanya mampu merancang, Tuhan yang menentukan segala-galanya.
Jelasnya, untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan, saya perlulah
mematuhi segala nasihat kedua-dua ibu bapa saya dan saya juga akan sentiasa
berdoa dan bersyukur kepada Tuhan atas segala pemberianNya.
Berdasarkan perbincangan di atas,
dapatlah saya simpulkan bahawa untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan,
saya perlulah mengikuti langkah-langkah yang telah saya tulis dalam perenggan
di atas. Saya perlu mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan agar masa depan
saya tidak gelap tetapi terang dengan cahaya iaitu kejayaan. Kejayaan dalam
peperiksaan adalah diibaratkan pelita yang menjadi penyuluh kepada kita pada
malam-malam yang gelap-gelita. Tanpa kecemerlangan dalam peperiksaan kerana ini
akan menentukan masa depan kita, kita akan hidup teraba-raba dalam kegelapan.
Oleh itu, saya akan belajar berungguh-sungguh untuk mencapai
kecemerlangan dalam peperiksaan ibarat genggam bara api biar sampai jadi
arang.
Semangat kejiranan semakin hari semakin luntur dalam
kalangan masyarakat. Jelaskan peranan ibu bapa dalam usaha memupuk semangat
kejiranan dalam kalangan masyarakat.
Dalam kehidupan sehari-hari, keluar
dari rumah, sama ada memandang ke kanan, ke kiri atau memandang hadapan atau
belakang, rumah yang kita lihat ialah rumah jiran. Betapa pun kita mengasihi
adik-beradik dan saudara-mara, namun jarak yang jauh menyebabkan
pergantungan kita terhadap jiran lebih besar berbanding dengan orang yang dekat
dengan kita sejak lahir. Menurut perspektif Islam, konsep jiran meliputi skop
yang lebih luas sehingga menjangkau empat puluh buah rumah atau keluarga yang
tinggal berhampiran dengan kita. Semangat kejiranan pula membawa pengertian
jiran tetangga yang hidup berbaik-baik, bertolak ansur dan bekerjasama antara
satu sama lain. Dalam kehidupan kita, kita dilarang menyakiti hati jiran,
sebaliknya diminta mengambil berat antara satu sama lain dan hidup berlandaskan
kasih sayang sesama individu tanpa mengira keturunan, usia, agama atau pangkat.
Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa “Jiran Sepakat Membawa Berkat”. Jadi, kita
perlulah mengutamakan jiran kita dalam kehidupan dan mengukuhkan semangat
kejiranan supaya kita sentiasa bersatu padu dalam melakukan sesuatu perkara.
Walau bagaimanapun, dalam era globalisasi yang dipenuhi pelbagai pancaroba
moden, semangat kejiranan dalam kalangan anggota masyarakat, semakin meluntur.
Oleh itu, semua lapisan masyarakat terutamanya ibu bapa wajar mengambil
langkah untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.
Persoalannya, apakah langkah-langkah yang elektif wajar diambil oleh ibu bapa
untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat?
Menyedari hakikat betapa pentingnya
semangat kejiranan diamalkan oleh masyarakat majmuk di negara ini, maka usaha
perlu dilakukan oleh ibu bapa agar nilai yang berharga ini tidak lenyap
daripada amalan hidup masyarakat kini. Ibu bapa haruslah menyertai
aktiviti gotong-royong yang dianjurkan oleh komuniti atau masyarakat
setempat. Dalam hal ini. ibu bapa boleh membawa anak-anak menyertai aktiviti
tersebut bersama. Melalui aktiviti gotong-royong, semua penduduk setempat
dapat berkumpul bersama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan.
Apabila berkumpul dan berbincang, mereka akan dapat berbual-bual dan
berkenal-kenalan antara satu sama lain dan sekali gus membolehkan seseorang itu
mengenal hati budi jiran mereka dengan lebih baik dan dekat. Hal ini dapat
digambarkan melalui pepatah Melayu yang mengatakan bahawa “ tak kenal maka tak
cinta”. Sebagai contoh, aktiviti yang boleh dijalankan secara bergotong-royong
ialah membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara
dan sebagainya. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan secara bergotong-royong
memerlukan masyarakat bekerjasama bagai aur dengan tebing agar
aktiviti-aktiviti tersebut dapat dijalankan dengan lancar dan baik. Melalui
cara ini, setiap ahli keluarga dapat menjalinkan hubungan mesra sesama jiran.
Mereka juga sedar akan peranan masing-masing dalam sesuatu komuniti .
Apabila dewasa kelak, anak-anak akan melakukan perkara yang sama untuk
mengeratkan ikatan kejiranan. Jelasnya, ibu bapa haruslah mengadakan aktiviti
gotong-royong agar dapat memupuk semangat kejiranan dalam masyarakat.
Selain itu, ibu bapa perlulah
menjadi suri teladan atau ‘role model’ yang baik kepada anak-anak sekiranya
mahu anak-anak mengamalkan semangat kejiranan dalam diri sendiri. Ibu bapa
perlulah mengamalkan cara hidup seperti ‘aur dengan tebing’ atau ‘ ke
bukit sama di daki, ke lurah sama dituruni’ dan ‘hati gajah sama dilapah,
hati kuman sama dicecah’ untuk mencapai keberkatan dalam hidup. Sebagai
anggota dalam sesebuah masyarakat, ibu bapa mesti mempunyai
semangat kekitaan dan keprihatinan terhadap jiran mereka.. Apabila
mengambil berat akan hal-hal jiran, bukanlah bermaksud kita hendak menjaga tepi
kain mereka atau mengambil tahu hal rumah tangga mereka, tetapi kita mengambil
tahu masalah-masalah yang dihadapi oleh jiran dan cuba membantu mereka
supaya dapat meringankan beban yang ditanggung oleh jiran. Hal ini demikian
kerana, dalam kehidupan berkeluarga, setiap keluarga pasti akan menghadapi
masalah dan masalah itu hanya boleh diatasi atau dikurangkan dengan
bantuan orang lain. Misalnya, ketika ketua keluarga sakit tenat, maka ahli-ahli
keluarga itu memerlukan bantuan daripada jiran untuk menghantar ketua keluarga
itu ke hospital, memberitahu keluarganya yang tinggal berjauhan daripada
mereka, mendapatkan bantuan nasihat ataupun kewangan dan sebagainya. Sikap
keprihatinan yang ditunjukkan oleh ibu bapa terhadap jiran, akan menyebabkan
anak-anak juga turut mengambil berat tentang jiran mereka. Tegasnya, ibu bapa
yang berjaya menjadi suri teladan yang baik, sudah pasti mampu memupuk semangat
kejiranan dalam kalangan masyarakat.
Di samping itu, ibu bapa juga
mestilah mengadakan atau menghadiri majlis-majlis rumah terbuka sempena sesuatu
sambutan perayaan. Amalan mulia ini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan
silaturahim, tetapi juga mampu mengukuhkan semangat kejiranan dalam kalangan
masyarakat. Melalui majlis rumah terbuka, ibu bapa boleh membawa anak-anak
bersama. Dalam majlis tersebut, masyarakat dapat berkumpul dan mengenali
antara satu sama lain dengan lebih dekat. Mereka juga berpeluang untuk
berkongsi pendapat tentang sesuatu perkara dan bertanya khabar sambil menikmati
juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Dengan itu, masyarakat akan lebih
memahami adat resam, agama dan budaya masing-masing di negara ini.
Sebagai contoh, majlis-majlis rumah terbuka sempena sambutan Hari Raya Aildilfitri,
Tahun Baru Cina, Hari Krismas dan Hari Deepavali hendaklah dijadikan acara
tahunan. Kehadiran ibu bapa bersama ahli keluarga dalam majlis rumah terbuka,
bukan sahaja dapat memperkenalkan anak-anak mengenali lebih dekat adat resam
sesuatu budaya malah dapat menanamkan semangat hormat-menghormati dalam diri
anak-anak dan mengamalkan semangat perpaduan. Tegasnya, majlis-majlis rumah
terbuka mestilah diadakan setiap tahun agar mampu mendekatkan ahli masyarakat
untuk bertemu muka dan membentuk masyarakat yang bersatu-padu.
Seterusnya, ibu bapa hendaklah
menyemarakkan budaya ziarah-menziarahi dalam kalangan masyarakat sebagai
langkah untuk memupuk dan meningkatkan semangat kejiranan dalam diri anak-anak.
Dalam hidup bermasyarakat, ibu bapa digalakkan membawa anak-anak-anak
menziarahi jiran tetangga pada masa-masa yang sesuai. Dengan
menziarahi jiran, kita akan mengetahui masalah dan kesusahan yang dihadapi oleh
jiran kita. Semua masalah boleh diselesaikan bersama dan hal ini akan
menjadikan hidup mereka lebih aman dan harmoni walaupun dalam keadaan yang
serba kekurangan. Sebagai contoh, ibu bapa boleh membawa anak-anak
berkunjung ke hospital jika kita mendapat tahu bahawa jiran kita telah
dimasukkan ke hospital kerana menghidap sesuatu penyakit atau mendapat kemalangan.
Amalan ini dapat membentuk sifat kasih sayang dan sikap ambil berat serta
membuang sejauh-jauh sikap mementingkan diri sendiri dan hidup diibaratkan ‘
seperti enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’. Walaupun
pepatah Melayu ada mengatakan bahawa ‘berat mata memandang, berat lagi bahu
memikulnya’, namun sebagai jiran, kita mestilah berpegang teguh pada prinsip
“cubit peha kiri, peha kanan terasa juga”. Jadi, melalui lawatan kita,
sekurang-kurangnya kita dapat meringankan penderitaan yang dialami oleh jiran
kita dan secara tidak langsung, mereka dapat hidup dengan lebih selesa, aman
dan tenang. Anak-anak turut mengambil berat tentang jiran yang ditimpa masalah
sama seperti ibu bapa mereka. Jelasnya, ibu bapa boleh menyemarakkan budaya
kunjung-mengunjungi dalam diri anak-anak untuk memupuk semangat kejiranan.
Akhir sekali, ibu bapa bolehlah
menggalakkan anak-anak supaya melibatkan diri dalam aktiviti sosial seperti
Hari Keluarga. Setiap komuniti, sering mengadakan aktiviti Hari Keluarga untuk
mengukuhkan hubungan dalam kalangan masyarakat setempat. Aktiviti kerap
diadakan sama ada di padang, taman rekreasi atau di tepi pantai. Ibu bapa boleh
membawa anak-anak bersama dan setiap ahli keluarga boleh menyertai permainan
yang disediakan. Selain itu, ibu bapa boleh mendedahkan kepada anak-anak
tentang kepentingan hidup berpersatuan dalam masyarakat setempat yang mempunyai
satu sistem organisasi yang teratur. Persatuan atau pertubuhan ini hendaklah
melibatkan semua penduduk tempatan sebagai ahli. Dewasa ini, banyak pertubuhan
sukarela ditubuhkan dalam masyarakat seperti Pertubuhan Rukun Tetangga ,
Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, Pertubuhan Khairat Kematian dan
sebagainya. Sebagai contoh, melalui Pertubuhan Rakan Tetangga, masyarakat
setempat secara bergilir-gilir mengawasi keselamatan kawasan tempat tinggal
atau taman untuk mengelakkan berlakunya kejadian-kejadian yang tidak diingini
seperti membunuh, merogol, merompak dan sebagainya. Hal ini dapat kita lihat
dalam peribahasa Melayu, iaitu ibarat aur dengan tebing yang mementingkan
semangat sandar-menyandar atau saling membantu antara satu sama lain dalam
kehidupan. Jelasnya, ibu bapa berperanan penting untuk menggalakkan anak-anak
supaya melibatkan diri dalam aktiviti sosial sebagai langkah untuk memupuk
semangat kejiranan.
Berdasarkan perbincangan di atas,
dapat saya simpulkan bahawa semangat kejiranan dalam setiap individu amat
penting untuk melahirkan masyarakat yang prihatin dan mmmembentuk
perpaduan kaum. Walau apa pun keadaan dan di mana-mana pun kita tinggal,
kita perlulah mempunyai jiran yang baik hati, iaitu jiran yang menjadi tempat
untuk memohon bantuan ketika kita dalam keadaan yang susah dan sentiasa
menghulurkan bantuan dengan senang hati dan menghiburkan ketika kita senang.
Jadi, untuk mempunyai jiran yang baik, maka kita perlu menjadikan diri kita
sebagai jiran yang baik kepada jiran kita. Sekiranya kita berbaik-baik dengan
jiran, maka jiran juga akan berbaik-baik dengan kita. Cogan kata “ Jiran
Sepakat Membawa Berkat” perlu terus diamalkan dalam kehidupan kita sehari-hari.
Jangan kita berasa susah dalam usaha mengamalkan budaya murni ini. Amalkan
dengan hati yang ikhlas, barulah kita memperoleh keberkatan dalam kehidupan.
Oleh itu, dengan meningkatkan semangat kejiranan, perpaduan kaum akan bertambah
utuh dan teguh. Jadi, dalam setiap masa, kita mestilah sentiasa berusaha untuk
memastikan semangat kejiranan sentiasa terpelihara supaya negara kita sentiasa
aman, harmoni dan sejahtera. Allah berfirman yang maksudnya, “Wahai manusia,
sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang
perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu
kenal-mengenali”.
Semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan remaja pada masa ini.
Jelaskan peranan ibu bapa dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa
anak-anak.
Setiap negara mempunyai sejarah yang
tersendiri. Di Malaysia, sejarah yang ada telah membentuk identiti negara
kita. Negara kita terdiri daripada rakyat yanhg berbilang kaum iaitu Melayu,
Cina, India, Kadazan, Dusun dan sebagainya. Perpaduan kaum yang terbentuk pada
masa dahulu sehingga kini merupakan satu pencapaian negara yang amat
membanggakan. Rakyat yang berbilang kaum ini dapat hidup bersama secara aman damai
kerana mereka mempunyai semangat patriotik yang kukuh dan kental dalam diri
mereka. Walau bagaimanapun, masyarakat pada zaman moden ini, asyik dengan
perkembangan dunia sehingga mengabaikan kepentingan semangat patriotik
dalam diri mereka. Amat jelas dapat dilihat bahawa masyarakat kini kurang
berpengetahuan tentang sejarah pembentukan negara hasil perjuangan oleh tokoh
pejuang bangsa seperti Dato’ Maharajalela, Dato’ Bahaman, Tok Janggut dan
sebagainya. Masyarakat kini kurang bersyukur dengan keamanan dan kemakmuran
yang terdapat di negara kita. Oleh itu, pelbagai usaha perlu dilakukan oleh
pelbagai pihak bagi menyuburkan semangat patriotik dalam jiwa masyarakat.
Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dalam menerapkan semangat patriotik dalam
jiwa anak-anak?
Sesungguhnya tidak dapat dinafikan
bahawa ibu bapa memainkan peranan yang utama dalam menerapkan dan menyuburkan
semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Ibu bapa seharusnya sentiasa membawa
anak-anak melawat ke tempat-tempat yang bersejarah. Contohnya, ibu bapa
hendaklah membawa anak-anak ke Bandar Bersejarah, Melaka. Di situ, terdapat
pelbagai barang dan bangunan tinggalan sejarah. Amalan ini dapat menimbulkan
dan melahirkan minat anak-anak untuk mengetahui latar belakang dan asal-usul
pembentukan negara dan seterusnya akan wujud semangat patriotik dalam jiwa
anak-anak. Tempat-tempat bersejarah seperti Lembah Bujang, Seri Menanti, Kota
Belanda di Perak dan sebagainya boleh dijadikan sebagai destinasi lawatan.
Aktiviti lawatan ke tempat yang bersejarah merupakan langkah bagai serampang
dua mata kerana anak-anak bukan sahaja dapat menimba ilmu pengetahuan, tetapi
juga dapat mengekalkan hubungan silaturahim yang erat antara keluarga.
Jelasnya, lawatan ke tempat yang bersejarah boleh dijadikan amalan setiap kali
cuti persekolahan oleh ibu bapa sebagai cara menerapkan semangat patriotik
dalam jiwa anak-anak.
Selain itu, ibu bapa juga hendaklah
membeli buku-buku yang berkaitan dengan sejarah atau buku-buku novel bertemakan
semangat patriotik dan semangat cinta akan negara kepada anak-anak. Hal ini
demikian kerana melalui proses pembacaan, anak-anak dapat mengetahui lebih
banyak perkara berkaitan dengan sejarah. Buku-buku sejarah dan novel dapat
membantu menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak kerana buku-buku
tersebut mempunyai isi kandungan yang berunsur patriotisme. Hal ini amat jelas
menunjukkan bahawa usaha ibu bapa dalam memilih buku-buku yang sesuai untuk
anak-anak adalah amat penting. Oleh itu, ibu bapa haruslah memilih buku-buku
yang tinggi nilai ilmunya dan bukannya buku-buku komik yang tidak bermanfaat.
Dengan membaca buku-buku berunsurkan patriotisme, pasti semangat patriotik
dapat diterapkan dalam jiwa anak-anak. Amalan membaca buku-buku tersebut
hendaklah dipupuk sejak dari kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari
rebungnya. Apabila anak-anak membesar nanti, mereka akan sentiasa bersemangat
patriotik dan suka membaca kerana kalau asal benih yang baik jatuh ke laut
menjadi pulau, terlontar ke udara menjadi kejora dan dicampak ke bumi menjadi
penawar.
Di samping itu, ibu bapa juga
haruslah menjadi ‘role model’ atau suri teladan kepada anak-anak. Ibu bapa
perlu sedar bahawa segala perbuatan, perlakuan, amalan, pertuturan dan
pemikiran mereka akan diikuti oleh anak-anak. Oleh hal yang demikian, ibu bapa
hendaklah sentiasa menunjukkan sikap yang positif kepada anak-anak. Sebagai
contohnya, ibu bapa boleh mengibarkan bendera di rumah atau melakukan aktiviti
yang boleh menunjukkan sokongan terhadap negara. Ibu bapa janganlah menyertai
apa-apa protes terhadap negara kerana perbuatan sedemikian hanya akan menjadi
seperti ketam mengajar anak berjalan betul, tetapi diri sendiri tidak betul..
Oleh itu, ibu bapa harus sentiasa menunjukkan contoh yang tebaik kepada
anak-anak kerana ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Ibu bapa boleh
membawa anak-anak menyertai program larian 1 Malaysia, ceramah tentang Sejarah
Negara, atau lawatan ke Muzium Negara. Ibu bapa haruslah melakukan usaha dengan
sepenuh hati agar anak-anak yang dibesarkan dapat menjadi insan yang cinta akan
negara dan bersemangat patriotik. Tegasnya, ibu bapa perlu menjadi suri teladan
kepada anak-anak bagi melahirkan generasi muda yang berwawasan.
Seterusnya, ibu bapa perlu
meluangkan masa untuk bercerita mengenai peristiwa-peristiwa atau kisah yang
berkaitan dengan sejarah kepada anak-anak bagi melahirkan generasi muda yang
bersemangat patriotik. Bak kata pepatah, “pemuda harapan bangsa, pemudi tiang
negara”. Sebagai contohnya, sebelum anak-anak masuk tidur, ibu bapa boleh
membacakan cerita mengenai pejuang-pejuang bangsa kepada anak-anak seperti
kisah perjuangan Datuk Bahaman, Datuk Maharajalela, Mat Kilau, Kapten Hasan dan
lain-lain ketika menentang Inggeris. Ibu bapa bolehl juga menceritakan sendiri
pengalaman nenek moyang terdahulu,betapa mereka menderita dizalimi dan
didera semasa zaman penjajahan di negara kita. Anak-anak yang bijak sudah
pastinya dapat membandingkan kehidupan mereka sekarang berbanding dahulu.
Hal ini boleh menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Ibu
bapa juga boleh melayari internet untuk mendapatkan maklumat-maklumat yang
diperlukan untuk bercerita kepada anak-anak. Dengan mempunyai maklumat yang
tepat, anak-anak akan mendapat informasi yang betul dan setelah itu, anak-anak
akan sentiasa teringat-ingat tentang kisah sejarah. Mereka akan belajar sesuatu
melalui sejarah lalu timbullah semangat patriotik dalam jiwa mereka. Oleh itu,
ibu bapa perlulah sentiasa mencari peluang atau kesempatan untuk menceritakan
pengalaman diri atau berbincang dengan anak-anak mengenai topik-topik
berunsurkan negara bagi menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak.
Amalan-amalan ini haruslah dilaksanakan dengan berterusan kerana alah bisa
tegal dek biasa. Anak-anak akan cuba mengingati setiap cerita yang
pernah didengarnya terutama tentang sejarah negara. Tegasnya, ibu bapa perlu
melaksanakan tanggungjawab dengan baik bagi membentuk jiwa anak-anak yang
bersemangat patriotik.
Akhir sekali, ibu bapa juga haruslah
membawa anak-anak menyertai sambutan-sambutan negara seperti Hari Kebangsaan
pada 31 Ogos, Hari Malaysia pada 16 September dan sebagainya. kita Dengan
menyertai sambutan hari kemerdekaan ini, semangat patriotik dapat disemai dalam
diri mereka. Sebagai contohnya, apabila anak-anak dapat bersama-sama mengibarkan
jalur gemilang, mendengar deklamasi sajak serta mendengar cerita-cerita
tentang kesengsaraan para pejuang tanah air untuk memerdekakan negara.
Anak-anak dapat melihat sendiri kemeriahan sambutan kemerdekaan sekali gus
memahami objektif sebab-sebab sambutan sebegini diadakan. Kisah disebalik
kemewahan dan kedamaian negara akan dapat dirungkai dan seharusnya dapat
menghadirkan keinsafan dalam diri mereka bahawa banyak harta benda dan nyawa
yang harus dikorbankan demi melihat Malaysia gagah seperti sekarang. Dengan
menyertai aktiviti sambutan ini juga, kita akan mendapat peluang untuk melihat
persembahan daripada kaum lain dan berkenal-kenalan antara satu sama lain.
Secara tidak langsung, perpaduan antara kaum akan tercapai dan wujudlah
masyarakat yang harmoni yang bersemangat patriotik. Jelaslah
bahawa, jika ibu bapa dapat membawa anak-anak menyambut hari Kemerdekaan
setiap tahun sejak mereka kecil lagi sudah pasti semangat patriotik dapat
dipupuk dengan mudah kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Berdasarkan perbincangan di atas,
dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam
menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Hadis Riwayat At-Tarmizi
ada menyatakan bahawa ‘ tiada anugerah yang dapat diberikan oleh seorang
ayah kepada anaknya selain tunjuk ajar dan budi pekerti yang mulia’. Hal ini
amat jelas membuktikan betapa besarnya tanggungjawab seorang ibu atau bapa
kepada pembinaan personaliti anak-anak. Oleh itu, ibu bapa haruslah
melaksanakan tanggungjawab dan peranan bagi melahirkan individu yang
bersemangat patriotik, cinta akan negara dan berwawasan.
Setiap ahli keluarga memainkan peranan penting ke arah melahirkan gaya
hidup sihat. Jelaskan peranan ibu bapa dalam usaha memupuk amalan gaya
hidup sihat.
Amalan gaya hidup sihat adalah cara
hidup yang boleh mengurangkan risiko penyakit jantung pada masa hadapan. Namun
demikian, ribuan rakyat Malaysia mempunyai berat badan berlebihan, tidak aktif
dan terlalu banyak menghisap rokok. Ribuan rakyat Malaysia mengamalkan cara
hidup yang tidak sihat sejak kecil lagi seperti menggemari makanan yang
mengandungi kolesterol, tidak melakukan senaman dan makan secara berlebihan.
Oleh itu, untuk mengurangkan risiko penyakit berbahaya seperti sakit jantung,
obesiti, darah tinggi, kencing manis dan sebagainya, rakyat Malaysia perlulah
mengamalkan gaya hidup sihat. Secara umumnya, tanggungjawab ini sudah
semestinya jatuh pada bahu ibu bapa yang melahirkan anak-anak serta menjaga
mereka sejak kecil lagi. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dan keluarga
untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak mereka?
Peranan utama ibu bapa dalam memupuk
amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak mereka adalah dengan
memastikan anak-anak mengamalkan pemakanan yang seimbang. Pemakanan yang
seimbang adalah pemakanan yang mengandungi ketujuh-tujuh kelas makanan dalam
kadar yang bersesuaian iaitu karbohidrat, protein, vitamin, mineral, lemak, air
serta serat. Ibu bapa perlulah sentiasa menghidangkan makanan yang berzat serta
bernutrisi kepada anak-anak. Selain itu, ibu bapa juga digalakkan untuk makan
di rumah kerana makanan di luar, khususnya gerai-gerai makanan di sepanjang
jalan yang makanannya biasa digoreng dengan penuh minyak. Jika tabiat yang baik
ditanam dalam diri anak-anak, sudah pasti anak-anak akan tahu menjaga pemakanan
mereka apabila dewasa kelak. Ibu bapa juga perlu mengurangkan pengambilan
minuman berkarbonat oleh anak-anak kerana minuman sebegini tidak memberikan
apa-apa kebaikan dan mengandungi kandungan gula yang berlebihan. Anak-anak
perlulah diajar untuk minum air kosong atau jus buah-buahan yang asli.
Jelasnya, ibu bapa perlulah memastikan anak-anak mengamalkan pemakanan seimbang
dalam memupuk amalan gaya hidup sihat.
Selain itu, ibu bapa juga boleh
melakukan aktiviti bersenam dan beriadah bersama anak-anak. Perbuatan ini bukan
sahaja akan menyihatkan badan, malah hubungan antara ibu bapa dengan anak-anak
akan menjadi lebih erat. Aktiviti bersenam mampu mengekalkan gaya hidup sihat
kerana peluh-peluh yang keluar sewaktu melakukan senaman akan keluar
bersama-sama toksin badan. Kesannya, anak-anak mampu membina tahap imunisasi
yang tinggi terhadap serangan penyakit. Aktiviti senaman perlulah dilakukan
sekurang-kurannya 20 minit sehari dan tiga kali seminggu. Antara aktiviti
yang boleh dilakukan ialah senamrobik, berjoging, berbasikal, berenang serta
mendaki bukit. Disebabkan ramai golongan ibu bapa yang bekerja, senaman ini
boleh dilakukan pada awal pagi ataupun pada waktu petang selepas ibu bapa pulang
dari kerja. Apabila seseorang itu bersenam dan beriadah, mreka dapat
meningkatkan kesihatan diri dari aspek fizikal dan mental bak kata pepatah,
badan cergas otak cerdas. Tegasnya, ibu bapa perlulah melakukan aktiviti
senaman dan riadah bersama anak-anak supaya amalan gaya hidup sihat dapat
dipupuk.
Di samping itu, ibu bapa juga
perlulah membawa anak-anak membuat pemeriksaan kesihatan secara berkala untuk
memupuk amalan gaya hidup sihat. Ibu bapa digalakkan untuk membawa anak-anak
menjalani pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya enam bulan sekali ataupun
dua kali setahun. Pemeriksaan kesihatan adalah penting kerana mampu mengesan
sesuatu penyakit ketika masih di peringkat awal dan memudahkan pesakit
menjalani rawatan dengan teknologi moden kini. Bak kata pepatah, mencegah lebih
baik daripada mengubati. Dengan ini, ibu bapa dapat mengenali tubuh badan
anak-anak mereka dengan lebih baik dan mampu menentukan pilihan yang terbaik
untuk anak-anak mereka. Jika ibu bapa mendapati anak-anak mereka tidak sihat,
ibu bapa perlulah segala membawa mereka berjumpa dengan doktor untuk
mendapat ubat serta pengesahan tentang penyakit yang dihidapi. Bukan itu
sahaja, ibu bapa perlulah memastikan anak-anak mematuhi nasihat doktor dan
mengambil ubat pada masa yang ditetapkan. Jelasnya, pemeriksaan kesihatan
secara berkala oleh anak-anak akan memupuk amalan gaya hidup sihat.
Ibu
bapa juga perlu mengajar dan melatih anak-anak mereka mengutamakan
kebersihan diri pada setiap masa bagi memastikan mereka terhindar daripada sebarang
penyakit. Keperluan asas seperti menggosok gigi, mandi, berpakaian bersih,
waktu tidur dan rehat yang cukup juga perlu dijadikan amalan hidup seharian.
Bagi mengelakkan jangkitan kuman atau penyakit, mereka juga perlulah
mengamalkan budaya mendisiplinkan diri dengan asas-asas kebersihan seperti
mencuci tangan dengan bersih sebelum makan, menutup makanan dengan baik agar
tidak dihinggapi lalat mahupun memilih gerai atau tempat makan yang
bersih semasa menjamu selera. Sikap sambil lewa ibu bapa dalam menitik beratkan
aspek berkenaan mungkin boleh membawa padah. Justeru, amalan sebegini harus
dilentur sejak dari rebung dalam diri anak-anak agar dapat membentuk gaya
hidup yang sihat apabila mereka dewasa kelak.
Pada
masa yang sama, selain mengutamakan kesihatan diri dan makanan, ibu
bapa juga perlu mendidik ahli keluarga mereka agar menjaga
kebersihan persekitaran mereka. Persekitaran yang bersih perlu dijadikan amalan
dan gaya hidup agar kita terhindar daripada sebarang penyakit. Umpamanya, ibu
bapa menggalakkan anak-anak mengadakan gotong-royong di rumah setiap hujung
minggu untuk membersihkan kawasan rumah bersama ahli keluarga. Ibu bapa juga
boleh membawa anak-anak menyertai kegiatan gotong royong di taman perumahan
dengan membersihkan sampah-sarap atau memastikan kawasan persekitaran mereka
sentiasa bersih. Amalan seperti ini dapat mengelakkan pembiakan agen-agen
pembawa penyakit seperti nyamuk, lipas, lalat dan sebagainya. Tempat-tempat
pembiakan nyamuk di dalam atau di luar rumah seperti pelapik pasu bunga ataupun
tempat takungan air mestilah kerap dibersihkan ataupun ditukar. Dengan cara
demikian, ibu bapa dapat melatih gaya hidup yang positif dalam diri anak-anak
mereka sekaligus akan dapat menjauhkan diri mereka daripada pelbagai
penyakit.
Gaya
hidup yang sihat juga melibatkan aspek psikologi dan sosial seseorang itu.
Mereka yang lebih terbuka dan bersedia untuk berkongsi masalah dengan orang
lain didapati lebih bermakna kehidupannya berbanding dengan individu yang suka
bersendirian atau menyimpan masalah mereka. Sikap berkawan dan menghabiskan
masa bersama-sama mereka menjadikan keperluan psikologi manusia dipenuhi dengan
efektif. Ibu bapa digalakkan menjalin hubungan komunikasi yang mesra
bersama-sama anak-anak atau jiran tetangga. Hubungan baik yang berkekalan
biasanya dapat melahirkan satu bentuk kehidupan yang ceria dan menggembirakan.
Sesungguhnya, aspek psikologi dan sosial manusia perlu dipenuhi bagi memperoleh
gaya hidup yang sihat ini Peranan ibu bapa mengamalkan cara berkomunikasi
berkesan dengan ahli keluarga, rakan-rakan dan jiran tetangga serta
mengamalkan ibadat mengikut agama masing-masing akan memberi impak psikologi
yang positif.
..........Pada masa yang sama sikap atau mentaliti positif penting untuk dimiliki oleh seseorang itu bagi menangani tekanan kehidupan dalam era moden ini. Pemikiran yang positif menjadikan seseorang itu mampu menyelesaikan pelbagai kemelut yang melanda kehidupannya dengan baik tanpa tertekan. Kehidupan zaman moden yang penuh cabaran terutama tekanan di pejabat ,kekangan di tempat kerja memerlukan satu persepsi positif daripada ahli masyarakat kita. Para ibu bapa perlu bijak menghadapi tekanan hidup, mereka mungkin boleh mendapatkan bantuan daripada pakar motivasi ataupun rakan-taulan di sekeliling mereka. Hal ini perlu kerana tekanan yang dialami boleh menjuruskan ibu bapa pada perlakuan negatif seperti mendera, menagih dadah atau melakukan sesuatu perkara di luar jangkaan. Jadi, semakin positif minda ibu bapa itu maka semakin tinggilah gaya hidup sihat yang mampu dicapai oleh dirinya dan keluarga kelak. Penguasaan diri yang baik dan pesanan yang sering meransang anak-anak ke arah positif menangani cabaran merupakan asuhan yang amat dicontohi oleh anak-anak sehingga mereka dewasa.
Tambahan pula, untuk memupuk amalan
gaya hidup sihat dalam anak-anak, ibu bapa perlulah membawa mereka menziarahi
orang sakit sama ada saudara-mara, jiran tetangga ataupun rakan-rakan. Hari ini
kita siha, tetapi bagaimana pula dengan hari esok? Jika ibu bapa sering melawat
orang yang sedang sakit, nescaya anak-anak mereka juga akan berbuat demikian
kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Anak-anak tidak seharusnya merasakan
bahawa perbuatan sebegini hanya membuang masa dan merugikan diri kerana ianya
sesuatu amalan yang mulia. Apabila kita menziarahi ornag yang sakit, secara
tidak langsung kehadiran kita dapat melahirkan perasaan gembira kepada pesakit
dan memberi kekuatan kepada diri pesakit itu untuk melawan kesakitan yang
ditanggungnya. Perbuatan menziarahi orang yang sakit akan sedikit sebanyak
melahirkan rasa simpati terhadap nasib orang lain dan pada masa yang sama
anak-anak akan bersyukur atas kurniaan sebuah badan yang sihat. Kehadiran kita
menunjukkan bahawa kita, khususnya anak-anak, mengambil berat tentang diri pesakit
dan dapat mengurnagkan perasaan sedih pesakit walaupun pepatah menyatakan
bahawa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Tegasnya, amalan
menziarahi orang yang sakit oleh ibu bapa dan anak-anak mampu menanamkan amalan
gaya hidup yang sihat.
Akhir sekali, bagi menjalani amalan
gaya hidup sihat, ibu bapa perlu memastikan agar anak-anak mendapat rehat dan
tidur yang secukupnya. Tubuh badan anak-anak juga perlu direhatkan dengan kadar
yang diperlukan untuk mengecas semula organ-organ dalam badan mereka. Bagi
anak-anak yang telah mencapai usia remaja, mereka memerlukan sekurang-kurangnya
lapan jam sehari untuk tidur dengan selesa. Namun, ramai anak-anak muda pada
masa ini yang lebih suka tidur selepas tengah malam walaupun keesokan merupakan
hari persekolahan. Kesannya, mereka tidak akan berasa cergas dan badan akan
lesu dan tidak bermaya. Malahan, pelajaran anak-anak juga diganggu dan
lama-kelamaan prestasi mereka dalam peperiksaan semakin merosot. Salah satu
langkah yang boleh diambil oleh ibu bapa adalah menetapkan satu masa yang
spesifik untuk anak-anak masuk tidur dan mestilah dipatuhi dengan sepenuhnya.
Tegasnya, untuk memupuk amalan gaya hidup sihat, ibu bapa perlu memastikan
anak-anak mendapat rehat yang secukupnya.
Berdasarkan perbincangan di atas,
dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang besar untuk memupuk
amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak. Amalan ini adalah penting
untuk dilaksanakan agar kesihatan rakyat dalam negara ini sentiasa dalam
keadaan yang baik. Oleh itu, langkah-langkah di atas perlulah diamalkan oleh
anak-anak yang menjadi pemimpin generasi akan datang bak kata pepatah pemuda
harapan bangsa, pemudi tiang negara. Semua rakyat Malaysia haruslah mengamalkan
gaya hidup sihat supaya penyakit seperti kencing manis, obesiti, darah tinggi,
sakit jantung dan sebagainya dapat dikurangkan dalam jangka masa yang panjang
ini. Jelasnya, jika hal-hal yang dinyatakan di atas itu kita laksanakan, sudah
pasti kita memiliki ciri-ciri manusia yang berjaya bak kata pepatah hendak
seribu daya, tidak hendak seribu dalih.
Menabung amat penting untuk
menjamin kehidupan pada masa hadapan.
Apakah peranan ibu bapa dalam
memastikan amalan menabung menjadi budaya masyarakat kita?
Hidup ibarat roda,
sekejap di atas, sekejap di bawah, begitulah lumrah manusia dalam kehidupan.
Menjelang era milieu yang sarat dengan informasi dan teknologi, momentum arus
terus bergerak ke depan dengan tidak berlengah-lengah. Oleh itu, generasi muda
perlu berjimat cermat dan sifat menabung perlu disemai sejak anak-anak masih
kecil lagi. Amalan menabuing ini diharapkan terbawa-bawa sehingga dewasa.
Menabung merupakan tabiat menyimpan wang. Tanggungjawab untuk memupuk amalan
ini dalam sanubari anak-anak jatuh pada bahu ibu bapa. Dengan itu, ibu bapa
perlu memainkan peranan mereka dengan bijaksana ibarat menarik rambut di dalam
tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak. Persoalannya, apakah
peranan yang perlu dimainkan oleh ibu bapa dalam memastikan amalan ini menjadi
budaya masyarakat kita?
Perkara pertama yang perlu dilakukan oleh ibu bapa bagi menerapkan amalan berjimat-cermat dalam diri anak-anak adalah dengan menjadikan amalan ini sebagai budaya keluarga. Hal ini kerana suasana keluarga merupakan cara yang paling cepat dan efektif bagi membentuk keperibadian anak-anak. “Anak ibarat sehelai kain putih, ibu bapa yang bakal mencorakkannya menjadi putih atau hitam”. Ibu bapa merupakan orang yang pertama berpeluang untuk berinteraksi dengan anak-anak. Anak-anak telah dibawa ke dunia ini oleh ibu bapa. Anak-anak datang ke dunia yang berwarna-warni ini dengan otak yang kosong. Oleh itu, ibu bapa perlulah mengisikan tempat kosong yang ada dalam minda anak-anak. Dengan kesempatan ini, ibu bapa boleh menyemai amalan menabung dalam jiwa anak-anak. Ibu bapa boleh mengajar anak-anak menabung dengan menyimpan sebahagian daripada wang perbelanjaan harian sekolah anak-anak. Ajarlah anak-anak berjimat-cermat dan tidak membelanjakan semua wang perbelanjaan harian yang diberi agar anak-anak tahu akan kepentingan menabung. Jelasnya, ibu bapa perlu memupuk tabiat ini dalam kalangan kanak-kanak “sebelum kudis menjadi tokak”.
Selain itu, ibu bapa wajar menerapkan amalan menabung dalam jiwa anak-anak sejak bangku prasekolah lagi, bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sewaktu anak-anak masih kecil, mereka sangat mematuhi kata-kata dan nasihat ibu bapa. Oleh itu, ibu bapa mudah memberitahu dan mendidik mereka amalan yang berunsur positif seperti amalan menabung. Anak-anak mudah dipengaruhi ketika mereka masih kecil. Mereka tidak akan mengingkari nasihat ibu bapa dan mengikut segala ajaran ibu bapa mereka. Dengan cara ini, amalan menabung, secara tidak langsung, mudah berakar umbi dalam hati anak-anak. Sekiranya didikan dan ajaran seperti ini diberikan sewaktu belia, anak-anak yang berdarah muda tidak akan mempedulikan ibu bapa lagi dan nasihat ini bagai mencurahkan air ke daun keladi. Ibu bapa yang melahirkan anak-anak dan membawa mereka ke alam fana ini, sekiranya mangajar kanak-kanak bukan tanggungjawab mereka, siapakah yang mampu bertanggungjawab dalam hal ini lagi? Oleh itu, ibu bapa perlu menerapkan amalan sedikit demi sedikit dalam jiwa anak-anak sejak kecil kerana sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit.
Selain itu, ibu bapa mengamalkan
gaya hidup sederhana dan tidak menunjuk-nunjuk. Anak-anak perlu
diterapkan dengan gaya hidup yang sederhana dan tidak membazir. Sebagai
contohnya, jenis rumah dan perkakas di dalamnya menjadi penanda aras paling
senang bagi menilai taraf hidup sesebuah keluarga. Oleh itu, ibu bapa perlulah
bersederhana dalam pembelian peralatan di rumah dan setiap pembelian perlu
dibayar tunai tanpa berhutang. Kadangkala, terdapat keluarga yang sanggup
berhutang bagi membeli perabot dan perkakas rumah yang bergaya supaya mendapat
"pengiktirafan"orang berada oleh orang-orang di sekeliling walaupun
hakikat sebenarnya mereka tidak berkemampuan .Mereka inilah yang berpegang
pada prinsip biar papa asal bergaya. Jika ada ibu bapa yang menjadikan hal ini
sebagai budaya keluarga, diharapkan mereka dapat menukar perspektif tersebut
bagi memudahkan proses penerapan amalan berjimat-cermat dalam diri anak-anak.
“Adat usang pusaka lama”, amalan menabung merupakan tabiat yang bijak dan harus
diwariskan secara turun-temurun. Ibu bapa perlu mengajar anak-anak menguruskan
wang dengan cekap. Mereka harus memberitahu anak-anak cara penggunaan wang dan
cara penyimpanannya. Mereka perlu kerap menggalakkan anak-anak mengamalkan
tabiat menabung. Membuka akaun bank untuk anak-anak
merupakan perkara pertama yang boleh diambil bagi menyiapkan anak-anak ke arah
berjimat-cermat. Malah, langkah ini boleh diambil sejak usia mereka masih bayi.
Ibu bapa dapat menaikkan semangat anak-anak untuk menabung dengan meminta
mereka membayangkan wang simpanan yang bakal digunakan untuk masa depan mereka
kelak. Kata orang tua, “semua orang memerlukan pujian”. Dengan hal tersebut,
ibu bapa boleh memuji anak-anak sekiranya mereka melakukan sesuatu yang baik.
Pujian dengan batasan tertentu boleh mewujudkan keyakinan anak-anak. Oleh itu,
mereka akan menerima nasihat dan ajaran ibu bapa dengan hati terbuka. Mereka
akan belajar pengurusan wang dengan cekap. Amalan menabung mudah ditanamkan.
Dengan itu, ibu bapa harus memuji anak-anak dan cara ini dapat memudahkan
penerapkan amalan menabung sudah terang seperti “murai berkicau hari siang”.
Pada hakikatnya, ibu
bapa berperanan untuk menunjukkan contoh teladan
yang baik kepada anak-anak. Ibu bapa sendiri
harus mengamalkan sikap menabung. Mereka harus menabung wang
bersama dengan anak-anak. Ibu bapa perlu menunjukkan kepada anak-anak bahawa
pada setiap bulan, mereka menyimpan sejumlah kecil wang di bank atau pejabat
pos. Perbuatan ibu bapa menyimpan wang akan dicontohi oleh anak-anak.
Anak-anak mudah terikut-ikut oleh tingkah
laku ibu bapa dan mereka akan mengikut jejak langkah ibu bapa. Oleh
itu, ibu bapa perlu menujukkan contoh yang baik. Mereka harus mengamalkan
tabiat menabung juga. Cuba anda bayangkan, macam mana
anak-anak akan rela hati untuk menabung sekiranya ibu bapa mereka sendiri
seorang yang boros dan tidak pandai menguruskan
wang? Hal ini jelas menunjukkan betapa
pentingnya imej yang diberikan oleh ibu bapa di depan anak-anak.
Pepatah Melayu juga mengatakan bagaimana acuan, begitulah kuihnya.
“Jika berkawan dengan tukang besi, baju kita akan tercarik terkena percikan
api; jika berkawan dengan penjual pewangi harum, tubuh kita akan berbau harum”,
Kawan merupakan ‘magnet sakti’ yang boleh mempengaruhi anak-anak yang berusia
seumur jagung. Ibu bapa harus menapis kawan anak-anak dan mengelakkan mereka
berkawan dengan mereka yang kurang berakhlak. Benteng iman yang lemah anak-anak
mudah runtuh sekiranya kegembiraan dan kemewahan mengaburi mata, bak kata
pepatah, “ikut hati mati, ikut rasa binasa”. Oleh itu, ibu bapa harus
mengurangkan peluang anak-anak untuk bercampur dengan golongan tidak bermoral.
Anak-anak mudah terjerumus ke dalam lembah maksiat. Anak-anak hanya tahu
menghabiskan wang dan tidak tahu betapa susah payahnya ibu bapa memperoleh wang
untuk perbelanjaan anak-anak. Dengan itu, amalan menabung akan dialpakan dan
diketepikan oleh anak-anak. Oleh itu, ibu bapa perlu mengelakkan anak-anak
berkawan dengan mereka yang kurang bersahsiah.
Sudah terang lagi bersuluh, ibu bapa memang memainkan peranan dominan dalam
memastikan amalan menabung manjadi budaya masyarakat kita. Pepatah cina
mengatakan “Jikalau tiada wang semua kerja tak terjadi”. Peribahasa Melayu pula
menunjukkan “ada padii semua jadi, ada beras semua deras”. Gambaran ini
menunjukkan betapa pentingnya wang dalam zaman globalisasi yang mengutamakan
kebendaan dan material. Kita harus menyemai sifat menabung dan menjadikan
amalan ini sabagai satu tabiat hidup. Pembentukan generasi muda barakhlak yang
merupakan tonggak aspirasi untuk menerajui negara pada masa depan amat
diperlukan untuk merealisasikan kelahiran masyarakat madani. “Air bersih,
ikannya jernih”
Ibu bapa memainkan peranan penting untuk mencorakkan
masa depan
seseorang.
Pada pendapat anda, apakah peranan ibu bapa untuk
membantu anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.
Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam sesebuah keluarga. Sebagai anak,
seseorang itu memerlukan bantuan dan sokongan daripada ibu bapa untuk mencapai
kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Dengan bantuan dan doa daripada ibu
bapa, anak-anak mampu mencipta kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Ibu
bapa mempunyai tanggungjawab yang amat besar terhadap anak-anak dan rumah
tangga. Sekiranya, ibu bapa sering mengabaikan anak-anak, anak-anak pasti
berasa dirinya terabai dan mereka akan melibatkan diri dalam kegiatan
gejala sosial yang tidak baik. Oleh hal yang demikian, ibu bapa perlulah
bertanggungjawab dan memastikan anak-anaknya cemerlang dalam pelajaran.
Persoalannya, apakah usaha-usaha yang perlu dilakukan oleh ibu bapa untuk
membantu anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran?
Peranan pertama yang dapat dimainkan oleh ibu bapa untuk membantu anak-anak
mencapai kejayaan yang cemerlang ialah ibu bapa mengutamakan iklim rumah tangga
yang dibina dalam situasi yang aman dan bahagia.Anak kunci keamanan dan
kebahagiaan rumah tangga ialah sikap saling memahami, berkasih sayang dan
tambatan cinta yang luhur dan abadi. Keharmonian dan keceriaan rumah
tangga menjamin anak-anak membesar dengan selamat dan sihat. Hal ini demikian kerana,
kehidupan yang bahagia akan membebaskan anak-anak daripada masalah keluarga
seperti pertengkaran antara ibu bapa atau ibu bapa yang berpecah-belah.
Perpecahan keluarga boleh mengganggu kesejahteraan dan pelajaran anak-anak.
Dalam hal ini, peranan ibu bapa penting dalam mewujudkan rumah tangga yang
bahagia agar anak-anak dapat menganggap “rumahku syurgaku”. Anak-anak sudah
pasti dapat berusaha bersungguh-sungguh tanpa gangguan dalam pelajaran kerana
mereka hidup dalam keadaan gembira tanpa ada tekanan yang berat. Tegasnya, ibu
bapa bertanggungjawab memastikan anak-anak membesar dalam suasana yang harmoni
dan ceria sepanjang masa bagi mencapai kejayaan yang cemerlang dalam
pelajaran.
Selain itu, ibu bapa juga perlulah bertanggungjawab mengawasi perkembangan
dan pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya. Pergaulan anak-anak dengan rakan
sebaya memberikan pengaruh yang besar dalam kehidupan harian dan masa depan
anak-anak. Hal ini demikian kerana anak-anak lebih mudah dipengaruhi oleh rakan
sebaya dalam segala tindakan atau kelakuan kerana remaja mempunyai prinsip,
nilai dan identiti yang hampir sama. Anak-anak lebih mempercayai dan meyakini
kawan daripada ibu bapa sehingga mereka sukar untuk membezakan antara perkara
baik dengan perkara yang buruk. Apabila anak-anak bergaul dengan rakan yang
bermasalah seperti ponteng sekolah dan menghisap rokok, mereka juga akan
mengikut jejak rakan sebaya itu dan hilang minat untuk belajar. Untuk menangani
hal ini, ibu bapa mestilah mengenali latar belakang setiap rakan sebaya anak
mereka dan mengenal pasti perubahan yang berlaku kepada anak-anak mereka pada
setiap masa. Ibu bapa perlulah bertindak lebih awal, bak kata pepatah beringat
sebelum kena, berjimat sebelum habis kerana anak-anak dapat diselamatkan dan
boleh memberikan tumpuan terhadap kecemerlangan dalam pelajaran. Tegasnya, ibu
bapa perlulah mengawasi perkembangan dan pergaulan anak-anak dengan rakan
sebaya bagi melahirkan anak-anak yang cemerlang dalam pelajaran.
Di samping itu, ibu bapa juga perlulah memastikan anak-anak mendapat pendidikan
agama dan moral yang secukupnya. Pendidikan agama dan moral ini perlu diberikan
sejak kecil lagi, bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Anak-anak ibarat sehelai kain putih, ibu bapalah yang mencorakkan warna pada
kain tersebut. Pendidikan agama dan moral yang diberikan oleh ibu bapa
mampu menepis segala bentuk kemungkaran yang berlaku. Anak-anak akan dapat
membezakan perkara yang baik dan yang buruk. Mereka juga akan menjadi anak-anak
yang lebih bertanggungjawab dan memahami peranan mereka sebagai seorang anak
dan tidak akan menghampakan harapan ibu bapa. Hasil didikan agama dan moral
yang cukup ini dapat membantu anak-anak untuk memperoleh kejayaan yang
cemerlang dalam pelajaran. Tegasnya, ibu bapa perlulah memberikan didikan agama
yang secukupnya untuk memastikan anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang
dalam pelajaran.
Seterusnya, ibu bapa juga perlulah menyediakan kemudahan yang lengkap untuk
anak-anak belajar supaya anak-anak boleh memberikan tumpuan terhadap
pelajaran. Ibu bapa perlu memberi motivasi dan galakan terhadap anak-anak
untuk belajar. Dalam hal ini, ibu bapa perlulah menjadi contoh teladan yang
baik terhadap anak-anak kerana anak-anak akan mencontohi kelakuan ibu bapa
mereka bak kata pepatah, bagaimana acuan begitulah kuihnya. Ibu bapa
perlulah menitikberatkan pelajaran anak-anak dengan menghantar anak-anak ke
kelas tambahan atau tuisyen serta menyediakan buku-buku rujukan yang lengkap
untuk memudahkan anak-anak mengulang kaji pelajaran di rumah. Selain itu,
ibu bapa juga perlulah menyediakan bilik yang sesuai dan selesa untuk kemudahan
anak-anak belajar. Ibu bapa perlulah menggalakkan anak-anak membaca untuk
mencapai kecemerlangan dalam pelajaran. Oleh itu, ibu bapa
hendaklah membawa anak-anak ke pameran buku, ke kedai buku atau ke
perpustakaan. Langkah ini penting kerana secara tidak langsung anak-anak telah
ditanamkan dengan sikap suka membaca. Situasi ini boleh menimbulkan persaingan
dalam diri anak-anak untuk membaca buku-buku tersebut. Natijahnya, anak-anak
akan mempunyai kesedaran dan keinsafan betapa pentingnya pengetahuan dalam
kehidupan mereka sehingga mereka berusaha untuk mencapai kejayaan yang
cemerlang dalam pelajaran.
Tambahan lagi, ibu bapa juga perlulah selalu berhubung dan berbincang dengan
pihak sekolah serta bertukar-tukar pendapat dengan guru-guru tentang
anak-anak. Untuk mengetahui perkembangan pelajaran dan sahsiah anak-anak di
sekolah, ibu bapa perlulah sentiasa berhubung dengan pihak sekolah terutama
guru kelas dan guru disiplin. Usaha ini penting kerana jika anak-anak
menghadapi masalah dalam pelajaran atau masalah disiplin, ibu bapa boleh
bertindak segera untuk menangani masalah tersebut. Dalam hal ini, anak-anak
pasti dapat diselamatkan daripada dipengaruhi oleh rakan sebaya yang
tidak sihat. Selain itu, ibu bapa juga perlu sentiasa mengambil berat tentang
masalah yang dihadapi oleh anak-anak walaupun dalam kesibukan bekerja.
Ibu bapa mestilah bersedia menjadi pendengar yang baik kepada anak-anak setiap
kali anak-anak meluahkan masalah mereka. Masalah dan kesedihan anak-anak
mestilah dikongsi bersama agar perasaan tersebut tidak akan terpendam yang
akan menjadi satu tekanan dalam diri anak-anak. Biasanya, anak-anak yang
memendam perasaan, pasti tidak dapat menumpukan perhatian dalam pelajaran dan
akhirnya mereka akan keciciran dalam pelajaran. Oleh itu, jelaslah bahawa
ibu bapa perlu mengambil berat tentang masalah anak-anak mereka dalam pelajaran
dan selalu berbincang dengan guru-guru lain agar anak-anak mendapat pedoman dan
boleh memberikan tumpuan untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.
Daripada perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan
peranan yang penting untuk membantu anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang
dalam pelajaran. Ibu bapa hendaklah bertanggungjawab terhadap masa depan
anak-anak sebelum nasi menjadi bubur. Sekiranya ibu bapa kurang
memberikan perhatian terhadap masa depan anak-anak, anak-anak pasti sukar untuk
mencapai kejayaan dan kemungkinan mereka terjebak dalam masalah sosial sehingga
sukar untuk diselamatkan. Tegasnya, ibu bapa memainkan peranan yang besar dalam
mencorakkan masa depan anak-anak khususnya untuk mencapai kejayaan dan
kecemerlangan dalam pelajaran.
Dewasa ini, masalah gejala sosial di negara kita
semakin serius. Huraikan pendapat anda tentang punca-punca yang menyebabkan
masalah ini berlaku dan tuliskan cadangan-cadangan tentang peranan ibu bapa
dalam menangani gejala tersebut.
Masalah gejala sosial semakin meruncing di negara kita sejak akhir-akhir ini.
Dalam surat khabar sering dipaparkan berita tentang golongan remaja yang
terlibat dengan gejala sosial ini. Gejala sosial dapat ditakrifkan sebagai satu
kemelut sosial dan kekeliruan yang timbul dalam kalangan remaja akibat daripada
perkembangan sosial, ekonomi dan politik yang pesat di negara ini. Contoh
gejala sosial yang berlaku ialah ponteng sekolah, remaja lari dari rumah,
penagihan najis dadah, vandalisme gengsterisme dan melepak. Masalah gejala
sosial ini telah menjadi perdebatan hangat dalam kalangan pemimpin sehingga
menimbulkan kebimbangan tentang masa depan para remaja. Menurut Hujatul Islam,
Imam Al-Ghazali dalam bukunya Ihya’ Ulumuddin, sekiranya kita ingin melihat
masa depan negara, maka lihatlah pada diri remajanya. Seandainya baik diri
remaja maka baiklah masa depan negara. Sebaliknya, buruk diri remaja maka
hancurlah masa depan sesebuah negara. Persoalannya, apakah punca-punca yang
menyebabkan gejala sosial ini dan apakah cadangan-cadangan untuk menangani
gejala sosial ini?
Salah satu punca yang menyebabkan gejala sosial ialah ibu bapa yang terlalu
sibuk dengan kerjaya dan urusan seharian. Hal ini disebabkan oleh ibu bapa
tidak dapat memberikan sepenuh perhatian terhadap rumah tangga. Keadaan ini
menyebabkan anak-anak berasa dirinya kurang diambil berat dan kurang diberi
perhatian oleh kedua-dua ibu bapanya. Sebagai contoh, ibu bapa tidak mempunyai
masa untuk bertanya masalah anak-anak sama ada di sekolah ataupun di rumah. Apa
yang menyedihkan, terdapat ibu bapa yang tidak bekesempatan langsung untuk
berbual-bual mesra dengan anak kerana semasa keluar untuk bekerja terlalu awal
dan apabila balik dari kerja, hari sudah malam dan ada kemungkinan anak-anak
telah memasuki untuk tidur. Ibu bapa mungkin bertembung sebentar semasa
bersarapan. Keadaan ibu bapa yang sibuk boleh mewujudkan kerenggangan antara
ibu bapa dengan anak-anak kerana anak-anak tidak mendapat sepenuh belaian kasih
sayang daripada ibu bapa. Menurut pakar psikologi, remaja yang tidak mendapat
belaian kasih sayang daripada ibu bapa mudah terlibat dalam masalah gejala
sosial seperti ponteng sekolah, melepak dan menonton video lucah. Jelasnya
anak-anak berbuat demikian untuk mendapatkan perhatian ibu bapa.
Selain itu, masalah gejala sosial berlaku kerana ibu bapa tidak memberikan
didikan agama yang sempurna kepada anak-anak. Hal ini berlaku disebabkan oleh
ibu bapa tidak mengambil berat tentang didikan agama terhadap anak-anak.
Terdapat sesetengah ibu bapa yang mengharapkan pihak lain terutamanya pihak
sekolah dan guru memberikan didikan agama kepada mereka. Pengabaian pendidikan
agama akan menyebabkan remaja tidak mempunyai asas panduan hidup dengan kukuh.
Sebagai contoh, remaja mungkin hidup dalam keadaan terumbang-ambing. Mereka
tidak dapat menilai baik buruk sesuatu perkara yang dilakukan oleh mereka.
Remaja juga sanggup melakukan apa-apa sahaja dan mudah terpengaruh
dengan situasi yang kurang sihat. Kecetekan ilmu agama ini menyebabkan remaja
kurang kesedaran dan keinsafan diri sehingga menyebabkan mereka
mudah terjerumus dalam gejala sosial. Jelasnya, ibu bapa yang tidak memberikan
didikan agama yang sempurna kepada anak-anak turut menyumbang berlakunya masalah
gejala sosial.
Di samping itu, ibu bapa yang sering bergaduh dan bertengkar di hadapan
anak-anak turut menyumbang kepada kepincangan institusi keluarga sehingga
menyebabkan gejala sosial dalam kalangan remaja. Ibu bapa yang sering bergaduh
di hadapan anak-anak boleh menyebabkan anak-anak berasa bosan dan menghadapi
tekanan di rumah. Rumah bagi anak bagaikan neraka kerana anak-anak tidak dapat
menikmati kedamaian atau ketenangan di rumah. Anak-anak akan menganggap ibu
bapa tidak lagi mengambil berat tentang keadaan diri mereka. Suasana
ketegangan seperti ini menyebabkan wujudnya kerenggangan hubungan antara ibu
bapa dengan anak-anak. Keadaan menjadi bertambah buruk apabila kedua-dua ibu
bapa bercerai-berai. Apatah lagi sekiranya, ibu bapa tersebut telah berkahwin
lain dan telah mempunyai anak dengan pasangan lain. Anak-anak hasil perkahwinan
yang pertama ini akan menjadi mangsanya. Mereka kehilangan kasih sayang ibu
bapa dan hidup tanpa belaian kasih sayang seorang ayah atau ibu. Keadaan inj
boleh menyebabkan jiwa anak-anak memberontak dan sebagai jalan keluar,
anak-anak mungkin mencari seseorang untuk meluahkan perasaan dan
melepaskan tekanan yang dihadapinya. Sebagai contoh anak-anak yang kehausan
kasih sayang daripada ibu bapa ini akan mudah terpengaruh oleh ajakan rakan
sebaya yang tidak baik. Keadaan ini boleh membawa anak-anak atau remaja
terjerumus dalam kancah gejala sosial. Tegasnya, kehidupan rumah tangga yang
tidak aman, sering bergaduh dan berpecah-belah turut menyebabkan
anak-anak terlibat dalam masalah gejala sosial.
Selain itu, pengaruh rakan sebaya merupakan faktor yang turut mempengaruhi
remaja terlibat dalam masalah gejala sosial. Ibu bapa yang terlalu sibuk dengan
kerjaya biasanya tidak ada tumpuan terhadap keluarga. Keadaan ini menyebabkan
anak-anak berasa kesunyian kerana tidak ada tempat untuk mengadu atau
menceritakan masalah yang dihadapi oleh mereka. Oleh sebab itu, anak-anak akan
mencari seseorang teman atau rakan sebaya untuk menceritakan masalah mereka.
Remaja yang tidak mendapat kasih sayang daripada ibu bapa dan tidak mendapat
asas didikan agama akan lebih mudah terpengaruh oleh ajakan rakan sebaya.
Menurut pakar psikologi, anak-anak remaja lebih mudah meniru, mencontohi dan
terikut-ikut dengan sikap rakan sebaya kerana mereka mempunyai nilai, sikap,
identiti dan perasaan yang hampir sama. Kumpulan rakan sebaya ini biasanya
mempunyai prinsip dan setiap ahli kumpulan akan akur dan patuh kepada kumpulan
tersebut. Kebanyakan remaja berasa bimbang kerana disingkirkan daripada
kumpulan rakan sebaya. Oleh sebab itu, remaja sanggup melakukan apa-apa sahaja
kehendak anggota kumpulan rakan sebaya. Sebagai contoh, seandainya rakan sebaya
mereka melepak atau ponteng sekolah, remaja tersebut sudah pasti mencontohi
kelakuan tersebut. Dalam hal ini, nasihat ibu bapa tidak akan ambil peduli.
Sekiranya, ibu bapa memarahi mereka, remaja ini sanggup lari dari rumah
mengikuti rakan sebaya mereka. Jelasnya pengaruh rakan sebaya yang tidak baik
turut menjerumuskan remaja dalam masalah gejala sosial.
Untuk menangani masalah gejala sosial ini, ibu bapa perlulah memberikan sepenuh
perhatian dan tumpuan terhadap rumah tangga dan anak-anak. Ibu bapa perlulah
memberikan kasih sayang dan mengambil berat tentang anak-anak. Ibu bapa juga perlulah
selalu berhubung dengan pihak sekolah untuk menanyakan perkembangan diri
anak-anak dan pelajaran mereka di sekolah. Selain itu, ibu bapa juga perlu
mewujudkan suasana rumah tangga yang aman damai agar anak-anak dapat menyatakan
“rumahku syurgaku”. Ibu bapa juga perlulah mengelakkan pergaduhan di hadapan
anak-anak supaya anak-anak akan menghormati mereka. Ibu bapa juga perlu menjadi
suri teladan kepada anak-anak agar anak-anak dapat mencontohi kelakuan ibu bapa
mereka. Bak kata pepatah “ bagaimana acuan, begitulah kuihnya”. Apabila wujud
kasih sayang terhadap anak-anak, anak-anak akan berasa diri mereka dihargai dan
diambil berat. Ibu bapa yang berjaya memahami jiwa anak-anak dan ditambah pula
dengan kemahiran keibubapaan mampu wujudnya sebuah rumah tangga yang bahagia.
Suasana ketenangan dan dilimpahi kasih sayang dapat menjadi tarikan kepada
anak-anak agar tidak terjerumuskan diri dalam gejala sosial atau terpengaruh
oleh ajakan rakan sebaya yang tidak sihat.
Di samping itu, ibu bapa juga perlulah memberi didikan agama yang secukupnya
kepada anak-anak sejak kecil. Bak kata pepatah “ melentur buluh biarlah dari
rebungnya” dan “ asas pendidikan bermula dari rumah”. Anak-anak ibaratkan
seperti sehelai kain putih dan ibu bapalah yang mencorakkan warna pada kain
putih tersebut. Oleh sebab itu, ibu bapa perlulah memberi didikan agama kepada
anak-anak agar anak-anak dapat menghayati ajaran agama dan nilai murni dalam
kehidupan. Didikan agama yang sempurna mampu membentuk keperibadian dan budi
pekerti yang mulia kepada anak-anak. Sebagai contoh, anak-anak akan sentiasa
menyedari akan tanggungjawab mereka sebagai seorang anak kerana mereka memiliki
keinsafan dan kesedaran diri yang tinggi. Anak-anak akan sentiasa bertutur
dengan cara lemah lembut dan penuh hormat terhadap ibu bapa dan orang yang
lebih tua. Anak-anak yang ada asas didikan agama sentiasa akan menjaga tindak-
laku dan tidak akan meninggalkan solat dan mereka akan membesar sebagai seorang
remaja yang mempunyai pinsip dan jati diri serta tidak akan terpengaruh oleh
ajakan rakan sebaya yang tidak sihat. Jelasnya, didikan agama yang sempurna
mampu melahirkan anak-anak yang keperibadian mulia dan mereka akan berasa malu
sekiranya mereka melakukan sesuatu yang boleh mencontengkan arang ke arah muka
ibu bapa.
Seterusnya, ibu bapa juga perlulah mengambil berat persahabatan anak-anak
mereka dengan rakan sebaya. Hal ini demikian kerana ibu bapa boleh mengawal
disiplin mereka. Ibu bapa perlulah memastikan anak-anak bergaul dengan
rakan-rakan yang berakhlak mulia. Dalam hal ini, ibu bapa perlu mengetahui
tujuan dan sebab-sebab anak-anak mereka keluar rumah dan balik lewat ke rumah.
Ibu bapa juga jangan terlalu memberi kebebasan yang keterlaluan dalam bergaulan
untuk memastikan anak-anak mereka tidak terlibat dengan anak-anak yang
bermasalah di sekolah atau di luar sekolah. Selain itu, ibu bapa juga perlulah
selalu berhubung dengan guru-guru kelas atau guru pelajaran anak-anak mereka di
sekolah untuk mengetahui tingkah laku dan prestasi akademik mereka di sekolah.
Menurut seorang Ahli Fikir Islam, Ibn Sina, “hendaklah setiap ibu bapa
meletakkan anak-anak mereka dalam kalangan anak-anak kelakuannya yang berakhlak
mulia”. Anak-anak yang sentiasa dikawal oleh disiplinnya dan pergaulannya oleh
ibu bapa sejak kecil, anak-anak ini akan membesar dalam suasana yang baik dan
berbudi pekerti mulia.
Berdasarkan perbincangan di atas dapat disimpulkan bahawa masalah gejala sosial
memang merupakan salah satu masalah yang meruncing dan perlu ditangani segera
oleh semua pihak terutamanya ibu bapa. Ibu bapa sebagai ketua keluarga perlulah
bertanggungjawab dan mengambil berat terhadap anak-anaknya. Saya berharap
anak-anak juga perlulah mempunyai kesedaran dan keinsafan serta tahu menghargai
segala pengorbanan yang telah dilakukan oleh ibu bapa mereka. Tegasnya, masalah
gejala sosial perlu ditangani daripada peringkat akar umbi agar tidak menjadi
barah dalam masyarakat sehingga menjejaskan nama baik negara di persada
masyarakat.
Keluarga memainkan peranan penting
dalam mencorakkan kehidupan anak-anak. Oleh itu, pendidikan anak-anak
sebenarnya bermula di rumah.
Berikan pendapat anda tentang
peranan keluarga dalam pembentukan sahsiah anak-anak.
Profesor Di raja Ungku Aziz pernah
mengatakan bahawa rumah merupakan universiti pertama bagi anak-anak dan
ibu bapa pula merupakan profesor pertama bagi mereka . Kata-kata ini
jelas menunjukkan bahawa ibu bapa dan setiap ahli keluarga memainkan peranan
yang sangat penting dalam pembentukan sahsiah anak-anak . Anak-anak merupakan
anugerah dan amanah Tuhan yang tidak ternilai . Ibu bapa bertanggungjawab untuk
mewujudkan rumah tangga yang aman dan damai kerana anak-anak akan berasa
bahagia apabila ibu bapa memberikan sepenuh kasih sayang dan melindungi diri
anak-anak mereka. Anak-anak ibarat sehelai kain putih , ibu bapalah
yang mencorakkan warna pada kain tersebut. Persoalannya , apakah
peranan keluarga khususnya ibu bapa dalam pembentukan sahsiah anak-anak ?
Ibu bapa memainkan peranan
penting bagi memastikan pembentukan sahsiah anak-anak dengan memberikan didikan
agama yang sempurna dalam diri anak-anak . Pepatah sering menyatakan bahawa melentur
buluh biarlah dari rebungnya . Peribahasa ini jelas menunjukkan bahawa
pendidikan agama perlu diterapkan dalam diri anak-anak sejak kecil lagi agar
anak-anak dapat membuka minda serta mengelakkan diri daripada terjebak dalam
perlakuan negatif . Penerapan nilai agama dapat membantu anak-anak untuk
membezakan antara baik dan buruk perlakuan yang akan dilakukan . Selain itu ,
anak-anak juga akan membesar dengan perpandukan ajaran agama . Didikan agama
yang sempurna merupakan benteng yang ampuh untuk mengelakkan anak-anak terjebak
dalam kancah gejala sosial. Anak-anak yang dibesarkan dalam keluarga yang
mementingkan didikan agama akan menjadi anak yang baik sahsiah dan akhlaknya .
Sebagai contoh , jika sesebuah keluarga mempunyai pegangan agama yang kuat,
anak-anak mereka akan mempunyai tingkah laku yang baik kerana madu satu tong
dirembes, rembesnya madu juga. Jelaslah bahawa pendidikan agama yang
secukupnya sangat penting untuk membentuk sahsiah anak-anak.
Selain itu, ahli keluarga khususnya
ibu bapa berperanan sebagai suri teladan kepada anak-anak bagi memastikan
anak-anak mempunyai sahsiah yang baik . Hal ini demikian kerana anak-anak yang
berusia setahun jagung memang mudah mencontohi sebarang bentuk perlakuan
orang yang lebih dewasa daripadanya. Dengan erti kata lain, sekiranya ahli
keluarga yang lebih tua memiliki sahsiah yang baik, sudah tentu perbuatan
ini dapat dicontohi oleh anak-anak kerana pepatah Melayu ada mengatakan bahawa ke
mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi . Sebagai contohnya , jika ahli
keluarga yang lebih dewasa rajin membaca , sudah pasti anak-anak yang terdidik
dalam suasana demikian akan mencontohi perbuatan ahli keluarga yang gemar
membaca. Tokoh-tokoh pujangga pernah menukilkan bahawa kalau asal benih
yang baik jatuh ke laut menjadi pulau , terlontar ke udara menjadi
kejora, dicampak ke bumi menjadi penawar. Pernyataan di
atas jelas menunjukkan betapa besarnya peranan yang dimainkan oleh
sesebuah keluarga dalam pembentukan sahsiah anak-anak . Ibu bapa perlulah
menjadi suri teladan yang boleh dicontohi anak-anak . Ibu bapalah yang akan
mencorakkan kehidupan anak-anak di peringkat awal. Sekiranya corak yang dilakar
menarik dan cantik , maka akan baik dan eloklah pembentukan akhlak anak-anak.
Anak –anak yang sering mencontohi perbuatan ibu bapa yang baik , tidak akan
sesekali cuba melakukan sesuatu yang boleh menconteng arang atau
menjatuhkan maruah keluarga. Tegasnya, ibu bapa memainkan peranan penting dalam
pembentukan sahsiah anak-anak.
Di samping itu, ibu bapa
juga perlulah melatih anak-anak agar saling bekerjasama dan berkasih sayang
bagi melahirkan anak-anak yang bersahsiah mulia . Dalam hal ini , ibu bapa
perlulah memberikan sepenuh kasih sayang kepada diri anak-anak bagai
menatang minyak yang penuh agar anak-anak tahu menghargai hidup untuk
saling berkasih sayang . Ibu bapa perlu meletakkan panggilan manja untuk
anak-anak seperti panggilan Kak Long atau Abang Long bagi anak sulung dan Kak
Ngah atau Abang Ngah bagi anak kedua supaya kemesraan dan kasih sayang sesama
ahli keluarga tidak luput. Budaya terima kasih juga perlu diajarkan
kepada anak-anak supaya wujud rasa penghargaan terhadap orang lain setiap kali
menerima bantuan. Ibu bapa juga hendaklah melatih anak-anak bekerjasama
dalam melakukan sesuatu perkara dan kerja rumah agar anak-anak membesar dalam
suasana yang saling bekerjasama . Perbuatan seperti ini akan terbawa-bawa
apabila anak-anak sudah dewasa dan mempunyai keluarga sendiri. Jelasnya, ibu
bapa yang berperanan untuk mewujudkan kerjasama dan kasih sayang dalam kalangan
ahli keluarga akan dapat melahirkan warga yang bersatu-padu dan saling
menghormati.
Seterusnya, ibu bapa perlulah
mendidik anak-anak cara hidup sederhana dan bertanggungjawab . Ibu bapa harus
menyediakan jadual tugasan di rumah supaya anak-anak lebih bertanggungjawab.
Anak-anak perlu diajar tentang pengurusan diri seperti membasuh baju,
menggosok pakaian dan menyimpan baju dalam almari . Anak-anak juga perlu diajar
supaya bersifat sederhana dan bersyukur dengan apa-apa sahaja yang ada di rumah
mereka . Hal ini amat penting untuk melahirkan anak-anak yang sentiasa
bersyukur dengan apa yang dimiliki . Ibu bapa juga perlu menerapkan nilai
kesederhanaan diri anak-anak di rumah agar anak-anak dapat menjadi insan yang
sentiasa berjimat cermat dan tidak boros dalam berbelanja . Anak-anak yang
sudah diterapkan dengan hidup yang sederhana akan membesar sebagai seorang yang
sederhana sikapnya , tidak sombong dan tidak berlebihan dalam sesuatu perkara.
Anak-anak juga melakukan sesuatu dengan penuh keikhlasan tanpa mengharapkan
apa-apa balasan. Hal ini penting bagi melahirkan generasi masa depan yang
berpandangan jauh. Tegasnya , pembentukan sahsiah anak-anak yang
baik dapat dilahirkan sekiranya ibu bapa mendidik anak-anak tentang cara hidup
yang sederhana dan bertanggungjawab .
Akhir sekali, ibu bapa perlulah memantau
serta mengawasi gerak geri anak-anak khususnya anak-anak yang sudah meningkat
remaja. Dalam hal ini , ibu bapa perlu mengetahui aktiviti yang dilakukan oleh
anak-anak mereka serta mengetahui latar belakang rakan sebaya anak-anak.
Pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya memberikan pengaruh yang besar terhadap
masa depan anak-anak kerana anak-anak lebih mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya
dalam segala tindakan atau kelakuannya kerana mereka mempunyai prinsip, nilai
dan identiti yang hampir sama. Ibu bapa tidak wajar memberi kebebasan yang
sepenuhnya kepada anak-anak . Hal ini demikian kerana anak-anak yang diberi
kebebasan penuh oleh ibu bapa dibimbangi akan terjebak dengan perbuatan tidak
bermoral yang boleh menconteng arang di muka keluarga . Oleh itu , ibu bapa
perlulah mengenal pasti perubahan yang berlaku terhadap anak-anak pada setiap
masa agar ibu bapa boleh bertindak lebih awal, bak kata pepatah , beringat
sebelum kena , berjimat sebelum habis. Ibu bapa perlulah
mengambil berat dengan siapa anak mereka berkawan atau bersahabat dan
mengetahui tujuan anak keluar rumah dan balik lewat ke rumah. Sekiranya ibu
bapa bertindak awal , sudah pasti masa hadapan anak-anak dapat diselamatkan.
Jelasnya , ibu bapa perlulah memantau serta mengawasi gerak-geri anak-anak agar
dapat melahirkan anak yang berperibadi mulia .
Berdasarkan perbincangan di atas,
dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam
pembentukan sahsiah anak-anak . Untuk melahirkan anak-anak yang bersahsiah baik
, ibu bapa perlulah menyedari akan tanggungjawab untuk mendidik anak-anak
menjadi insan yang mulia . Setiap ahli keluarga perlulah melengkapkan diri
mereka dengan pengetahuan dan ilmu keibubapaan . Hal ini penting kerana
pembentukan sahsiah anak-anak harus bermula dengan diri keluarga itu sendiri .
Ibu bapa harus membetulkan diri mereka terlebih dahulu agar anak-anak dapat
mencontohi segala perlakuan dan keperibadian mereka. Tegasnya, rumah tangga
merupakan kebun yang subur untuk melahirkan insan yang berjiwa luhur dan
bersahsiah mulia.
Minat membaca terutama membaca buku-buku ilmiah dalam
kalangan anak remaja belum mencapai tahap yang memuaskan. Ibu bapa memainkan
peranan penting untuk menggalakkan anak-anak mereka membaca karya-karya ilmiah
agar dapat melahirkan generasi yang cinta akan ilmu.
Nyatakan usaha-usaha yang boleh diambil oleh ibu bapa
untuk mencapai hasrat tersebut.
Pada era globalisasi ini, ibu bapa memainkan peranan penting untuk menggalakkan
anak-anak mereka membaca karya-karya ilmiah agar dapat melahirkan generasi yang
cinta akan ilmu pengetahuan. Hal ini demikian kerana anak-anak muda pada era
ini, lebih gemar membaca bahan-bahan bacaan yang ringan seperti surat
khabar, novel cinta, komik, majalah hiburan dan animasi kartun. Majalah
atau buku yang sarat dengan ilmu dan pengetahuan seperti buku-buku motivasi,
pembinaan kendiri, falsafah, Majalah Dewan Masyarakat, Solusi, Dewan Budaya, Al
Islam, dan Anis kurang diminati malah ada dalam kalangan mereka yang
tidak tahu akan kewujudan majalah tersebut di pasaran. Mereka berpendapat
bahawa membaca karya-karya ilmiah dianggap berat dan membosankan kerana memerlukan
minda untuk berfikir sedangkan majalah atau buku-buku yang berunsurkan
hiburan lebih seronok untuk dibaca kerana pembacaan bagi mereka hanya sekadar
mengisi ruang kosong dalam masa senggang sahaja. Apa pun yang jelas, buku yang
baik adalah kunci kepada khazanah kebijaksanaan. Ibu bapa merupakan insan yang
penting untuk melahirkan anak yang berilmu, bersahsiah baik dan dihormati oleh
orang lain. Persoalannya, apakah modus operandi yang boleh diambil oleh ibu
bapa untuk melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan?
Untuk memupuk budaya membaca dalam diri anak-anak, ibu bapa haruslah membawa
anak-anak ke pesta buku atau pameran buku seperti Pameran Buku
Antarabangsa di PWTC yang diadakan pada setiap tahun. Hal ini dapat
melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan. Apabila ibu bapa membawa
anak-anak ke pameran buku, minat anak-anak untuk membaca buku akan bercambah.
Anak-anak akan dapat melihat pelbagai jenis buku yang menarik serta
menyeronokkan untuk dibaca. Mereka berpeluang untuk memilih buku-buku yang
disukai dan diminati. Dalam hal ini, peranan ibu bapa amat penting untuk
membimbing anak-anak agar dapat memilih buku yang berkualiti yang mampu membina
pemikiran atau minda anak-anak. Selain itu, anak-anak juga berpeluang untuk
membaca buku-buku yang berunsurkan keagamaan, falsafah, motivasi dan
sebagainya.. Hal ini secara tidak langsung, dapat meningkatkan ilmu pengetahuan
dalam diri anak-anak. Di samping itu, anak juga berpeluang untuk membaca
buku-buku yang memaparkan sejarah negara lain. Hal ini, dapat meningkatkan
pengetahuan am anak-anak tentang Negara luar.Tegasnya, usaha ibu bapa membawa
anak-anak mereka ke pameran buku merupakan salah satu langkah efektif yang
melahirkan minat anak-anak untuk membaca karya-karya ilmiah dan menjadi ulat
buku dan seterusnya menjadi generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan.
Selain itu, ibu bapa harus menjadi suri teladan kepada anak-anak dalam
aspek membaca. Justeru, ibu bapa hendaklah memulakan budaya membaca di
rumah dengan menyediakan persekitaran yang boleh merangsang minat
anak-anak untuk membaca buku-buku ilmiah. Ibu bapa hendaklah membaca buku-buku
dan surat khabar pada setiap hari terutama pada waktu senggang. Perbuatan
ibu bapa yang suka membaca pasti akan dicontohi dan diikuti oleh anak-anak
kerana pepatah menyatakan bagaimana acuan begitulah kuihnya, ke mana tumpah
kuah kalau tidak ke nasi. Pada zaman ini, anak-anak tidak tahu untuk
mengisi masa lapang dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah Jadi, ibu bapa
boleh mendidik anak anak sejak kecil lagi untuk membaca buku-buku ilmiah. Bak
kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya dan asas
pendidikan bermula dari rumah. Ibu bapa boleh melakukan aktiviti membaca
bersama anak-anak pada hari cuti sewaktu semua ahli keluarga berehat di rumah.
Dalam hal ini, Ibu bapa janganlah menjadi seperti ketam mengajar anaknya
berjalan betul, sedangkan diri sendiri tidak betul. Sekiranya, ibu
bapa tidak pernah membaca bahan-bahan ilmiah, bagaimanakah anak-anak hendak
membaca bahan-bahan tersebut. Anak-anak akan suka membaca apabila melihat orang
tuanya membaca. Jelasnya, ibu bapa harus menjadi suri teladan yang baik
kepada anak-anak kerana anak-anak akan menjadikan membaca sebagai satu amalan
ke mana-mana sahaja mereka pergi bak kata pepatah kalau asal benih
yang baik jatuh ke laut menjadi pulau, terlontar ke udara menjadi kejora,
dicampak ke bumi menjadi penawar.
Di samping itu, Ibu bapa perlu menambahkan sumber bacaan dengan membeli banyak
buku atau majalah yang yang mengandungi ilmu pengetahuan yang boleh
mengembangkan minda anak-anak. Pepatah menyatakan bahawa membaca
jambatan ilmu. Apabila anak- anak banyak membaca, sudah tentu
pengetahuan mereka pun akan meningkat. Sebagai ibu bapa, mereka hendaklah
membeli bahan bacaan secara tetap pada setiap bulan seperti Majalah Dewan
Masyarakat, Dewan Pelajar, Dewan Siswa, Al Islam dan Solusi selain surat
khabar yang dibeli secara harian. Secara tidak langsung, anak-anak akan
tertarik untuk membaca buku-buku dan majalah yang mengandungi banyak ilmu dan
pengetahuan yang dibeli oleh ibu bapa mereka. Minat untuk membaca bahan-bahan
yang berkualiti pasti akan bercambah dalam jiwa mereka. Anak-anak yang
disuburkan dengan budaya membaca, pasti dapat membina jati diri unggul,
mempunyai minda sihat, berketerampilan sebagai orang berilmu dan berpengetahuan
tinggi. Selain itu, ibu bapa boleh memberikan hadiah berupa buku sempena hari
lahir atau hadiah sempena kejayaan anak-anak dalam pelajaran atau peperiksaan
sebagai ganjaran. Sebagai contohnya, ibu bapa boleh menghadiahkan buku-buku
motivasi sempena hari lahir anak. Hadiah tersebut dapat memotivasikan diri
anak-anak. Mereka akan belajar bersungguh-sungguh kerana menghargai jasa ibu
bapa. Amalan seperti ini akan menyebabkan anak-anak hidup dalam dunia buku.
Tak kenal maka tak cinta.
Seterusnya ibu bapa juga hendaklah menggalakkan
anak-anak membaca buku dengan cara mendaftar anak mereka menyertai kelab
buku. Melalui penyertaan dalam kelab buku, anak-anak akan menyertai
pelbagai aktiviti dan mengetahui perkembangan buku yang terkini. Sebagai
contohnya, anak-anak boleh menjadi ahli Kelab Buku Ilmiah yang ditubuhkan oleh
Dewan Bahasa dan Pustaka. Apabila anak-anak menjadi ahli
kelab buku, mereka didedahkan dengan pelbagai perkara yang berkaitan dengan
buku . Secara tidak langsung, anak-anak juga dapat membezakan bahan bacaan yang
bermutu dan bahan bacaan yang tidak berkualiti. Anak-anak pasti memilih
bahan-bahan yang berkualiti kerana boleh mematangkan minda seseorang dalam
mengeluarkan pendapat atau melakukan tindakan. Selain itu, ibu bapa juga
boleh menggalakkan anak-anak menyertai Kempen Galakan Membaca dan
Kembara Buku yang dianjurkan oleh pelbagai pihak. Dengan menghadiri
kempen-kempen membaca, anak-anak bukan sahaja mendapat kesedaran
tentang pentingnya membaca malah ibu bapa turut memperoleh manfaatnya.
Tegasnya, ibu bapa perlulah membawa anak-anak menghadiri kempen-kempen membaca
dan menggalakkan anak-anak menyertai ahli kelab buku agar anak-anak
membaca bahan-bahan ilmiah yang dapat membentuk anak-anak menjadi insan yang
mulia dan disanjung tinggi.
Selain itu, ibu bapa boleh membina perpustakaan mini yang mengandungi
bahan-bahan ilmiah yang menempatkan pelbagai jenis buku ilmiah
seperti novel karya agung, kamus, buku- buku agama, dan buku motivasi
diri selain buku pelajaran dan buku rujukan. Hal ini dapat menyuburkan
minat anak-anak untuk membaca buku-buku yang disimpan di rak buku
tersebut. Ibu bapa juga hendaklah memainkan peranan dan memastikan anak mereka
membaca buku-buku yang disediakan dalam perpustakaan mini di rumah.
Anak-anak juga digalakkan untuk membaca surat khabar atau
majalah ilmu pada setiap hari dan membaca sebuah buku pada setiap minggu.
Hal ini akan menyebabkan masa lapang anak-anak terisi dengan aktiviti membaca
tanpa perlu keluar rumah. Perpustakaan mini yang disediakan oleh ibu bapa tidak
memerlukan modal yang banyak. Buku-buku dan majalah yang dibeli pada setiap
bulan boleh disimpan dalam perpustakaan mini tersebut. Pembacaan buku dan majalah
yang berulang kali dapat menguatkan minda anak-anak. Pepatah menyatakan bahawa
bangsa yang membaca, bangsa yang berjaya. Apabila anak-anak sudah biasa
didedahkan untuk membaca surat khabar pada setiap hari dan sebuah buku
pada setiap minggu, anak-anak akan biasa berbuat demikian dan
menjadikan membaca sebagai amalan rutin harian kerana alah bisa, tegal
dek biasa. Mereka akan selalu membaca apabila ada masa terluang
dan mereka akan menghargai masa kerana masa itu emas. Tambahan pula,
jika ibu bapa mempunyai waktu terluang, mereka bolehlah membawa anak-anak ke
perpustakaan awam yang berhampiran dengan tempat tinggal mereka.
Perpustakaan awam memuatkan berjuta-juta buku yang boleh meningkatkan ilmu
pengetahuan anak-anak. Malahan, apabila anak-anak pergi ke perpustakaan awam,
mereka dapat membaca buku dalam keadaan yang senyap, aman, damai dan tenang.
Jelasnya, usaha ibu bapa membawa anak-anak mereka ke perpustakaan awam dan
menyediakan perpustakaan mini di rumah dapat melahirkan generasi yang cinta
akan ilmu pengetahuan.
Tambahan lagi, ibu bapa juga boleh
memupuk minat membaca bahan-bahan ilmiah dengan membimbing anak-anak mereka
melayari internet. Internet merupakan sumber ilmu yang boleh digunakan oleh
semua lapisan masyarakat. Namun, terdapat remaja yang yang menyalahgunakan
internet seperti melihat gambar-gambar lucah. Dalam konteks ini, ibu bapalah
merupakan pembimbing kepada anak-anak mereka. Ibu bapa perlu mendidik anak-anak
melayari internet untuk mencari judul buku ilmiah yang terkenal supaya
boleh dibeli di kedai-kedai buku berhampiran. Hal ini dapat menggalakkan
anak-anak membaca karya-karya ilmiah supaya boleh melahirkan generasi yang
cinta akan ilmu pengetahuan. Ilmu yang diperoleh daripada bahan-bahan ilmiah
boleh dijadikan sebagai panduan hidup. Hal ini disebabkan mesej-mesej yang
terkandung dalam bahan bahan ilmiah penting dalam kehidupan. Justeru, ibu bapa
memainkan peranan yang penting dalam memupuk minat membaca buku-buku ilmiah.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah saya simpulkan bahawa untuk
melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan, ibu bapalah yang
memainkan peranan penting menggalakkan anak-anak membaca bahan-bahan ilmiah. Ibu bapa harus menanamkan sikap suka membaca dalam kalangan
anak mereka kerana membaca akan menjadikan minda anak-anak mereka cerdas. Oleh
hal yang demikian, ibu bapa mestilah menjadi pendorong untuk menyemaikan
minat membaca dalam kalangan anak mereka. Jika anak-anak sudah jatuh
cinta dengan aktiviti membaca, kejayaan dalam bidang pelajaran akan
terbentang luas di depan mereka pada masa depan. Ibn Khaldun dalam
karya besarnya, Muqaddimah, pernah berkata bahawa kekuatan ilmu
bukan sahaja menjadi syarat dan pelengkap kepada kekuatan fizikal, malah
memberi arah dan makna kepada manusia dan bangsa terbabit. Tegasnya, ibu bapa
memainkan peranan yang penting dalam melahirkan generasi yang cinta akan ilmu
pengetahuan.
Ibu bapa sentiasa mengharapkan anak-anak mereka
menjadi insan yang berguna.
Bincangkan usaha-usaha yang wajar dilakukan oleh ibu
bapa untuk memastikan harapan mereka itu tercapai.
Anak-anak
yang sihat serta memperlihatkan kecemerlangan diri merupakan idaman setiap ibu
bapa. Dalam hal ini, ibu bapa bertanggungjawab penuh untuk merealisasikan hal
tersebut. Setiap ibu bapa mengharapkan anak-anaknya menjadi insan yang berguna
kepada agama, bangsa dan negara. Mereka perlu berusaha untuk merealisasikan
impian itu dengan mengaplikasikan kemahiran keibubapaan ke tahap yang paling
optimum. Jika hal ini dipraktikkan, harapan untuk memiliki anak-anak yang
berguna akan dapat direalisasikan. Persoalannya,apakah usaha-usaha yang wajar
dilakukan oleh ibu bapa untuk memastikan harapan mereka tercapai?
Usaha paling asas yang wajar dilakukan oleh ibu bapa untuk memastikan anak-anak
mereka menjadi insan yang berguna ialah mewujudkan suasana kekeluargaan yang
saling berkasih sayang. Ibu bapa haruslah memahami bahawa anak-anak memerlukan
perhatian dan kasih sayang mereka. bu bapa boleh mencurahkan kasih sayang sama
ada berbentuk luahan kata dan perbuatan yang secukup kepada anak-anak agar
anak-anak berasa diri mereka diambil berat dan tidak diabaikan oleh ibu bapa.
Misalnya, ibu bapa haruslah memberikan pujian kepada anak-anak sama ada dengan
cara memberikan hadiah ataupun dengan mengucapkan kata-kata positif apabila
anak-anak mendapat keputusan yang cemerlang. Hal ini penting kerana sepatah
kata yang positif daripada ibu bapa dapat menyuntik semangat dan memberikan
dorongan serta motivasi kepada anak-anak untuk terus berusaha mencapai kejayaan
kerana pepatah menyatakan rajin dan usaha, tangga kejayaan.Kajian menunjukkan
bahawa punca kebanyakan anak menjadi sampah masyarakat adalah kerana keadaan
rumah tangga yang porak-peranda di samping sikap ibu bapa yang materialistik
dan mementingkan kerjaya .Sebagai contohnya,banyak ibu bapa yang menyerahkan
tanggungjawab mendidik anak-anak kepada pembantu rumah sepenuhnya. Hal ini
menyebabkan anak-anak berasa tersisih dan diabaikan lalu melakukan
perkara-perkara negatif. Tegasnya,anak-anak akan menjadi insan yang berguna
kepada keluarga, masyarakat, agama, dan negara jika keluarga yang saling
berkasih sayang dan mengambil berat dapat diwujudkan.
Selain itu,untuk memastikan anak-anak menjadi insan yang berguna juga, ibu bapa
perlu menyediakan kediaman yang menepati konsep “Rumahku Syurgaku” demi
keselesaan anak-anak. Ibu bapa perlulah mewujudkan rumah tangga yang aman dan
damai supaya anak-anak berasa tenang ketika berada di rumah. Setiap ibu bapa
perlulah mengelakkan pertelingkahan di hadapan anak-anak. Ibu bapa hendaklah
mengucapkan kata-kata yang lemah-lembut agar anak-anak mendengar segala arahan
dan nasihat daripada ibu bapa. Bagi mewujudkan keselesaan dalam rumah tangga,
ibu bapa perlulah menyediakan kemudahan yang lengkap untuk ahli keluarganya
seperti bilik tidur yang mencukupi, bilik untuk anak-anak belajar dan bilik
untuk anak-anak menonton televisyen atau bermain komputer. Sudah terbukti
bahawa anak-anak yang tinggal di kediaman yang kurang selesa cenderung untuk
melepak dan sesetengahnya tidak pulang ke rumah. Amalan melepak ini mendedahkan
anak-anak kepada pelbagai bentuk gejala negatif seperti merokok, menagih dadah
dan sebagainya. Hal ini banyak berlaku di bandar-bandar besar, khususnya di
kawasan-kawasan setinggan. Oleh hal yang demikian ,ibu bapa perlu menyediakan
kediaman yang selesa untuk anak-anak mereka sekiranya mereka menginginkan
anak-anak mereka menjadi insan yang berguna dan menyayangi keluarganya.
Di samping itu, untuk memastikan anak-anak menjadi insan yang berguna, setiap
ibu bapa haruslah memberikan didikan agama yang sempurna kepada anak-anak sejak
mereka kecil lagi kerana pepatah menyatakan bahawa kalau hendak melentur buluh
biarlah dari rebungnya dan asas pendidikan bermula dari rumah.. Didikan agama
yang sempurna dapat membentuk akhlak dan pekerti mulia kepada anak-anak di
samping membantu mereka mengetahui batas hidup yang betul. Penerapan nilai
agama dapat membantu anak-anak untuk membezakan baik atau buruk sesuatu
perkara dan anak-anak membesar dengan berpandukan ajaran agama. Sebagai contoh,
jika keluarga tersebut berasal dari keluarga yang baik, kebiasaannya
keturunannya akan baik. Jika ibu bapa mempunyai pegangan didikan agama yang
kuat, anak-anak mereka juga akan mempunyai tingkah laku yang baik kerana madu
satu tong dirembes, rembesnya madu juga, dan bagaimana acuan begitulah kuihnya.
Dengan kesempurnaan didikan agama, anak-anak dapat mengawal diri daripada
melakukan maksiat seperti meragut, berfoya-foya dan sebagainya.Tegasnya,
didikan agama yang sempurna dapat merealisasikan impian ibu bapa untuk memiliki
anak-anak yang berguna.
Seterusnya, untuk memastikan anak-anak menjadi insan yang berguna, ibu bapa
mestilah menjadi suri teladan yang terbaik kepada anak-anak, bak kata pepatah
bagaimana acuan begitulah kuihnya. Ibu bapa janganlah menjadi seperti “ketam
mengajar anaknya berjalan betul”. Ibu bapa meminta anak-anak menunjukkan contoh
terbaik sedangkan mereka tidak menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak.
Gaya mendidik anak-anak seperti ini tidak akan berkesan. Peribahasa Melayu
“bapa borek anak rintik” sudah jelas membuktikan bahawa segala tindak tanduk
ibu bapa akan menjadikan ikutan anak-anak, kerana anak-anak biasanya meniru
tingkah laku dan percakapan ibu bapa. Anak-anak yang membesar di bawah didikan
ibu bapa yang berjaya menjadi suri teladan yang baik akan menjadi insan yang
baik dan bertanggungjawab. Oleh itu, ,ibu bapa haruslah sentiasa menjaga
tingkah laku dan mengelakkan penggunaan bahasa yang kasar dalam kehidupan
sehari-hari. Hal ini demikian kerana keperibadian ibu bapa menjadi penentu
tingkah laku anak-anak pada masa hadapan. Jelasnya, ibu bapa harus menjadi
contoh teladan yang baik agar anak-anaknya turut menjadi insan yang baik dan
berguna.
Tambahan lagi, ibu bapa perlulah bersedia untuk menerima sebarang teguran
daripada orang lain berkaitan dengan tingkah laku anak-anak mereka dengan hati
terbuka. Sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab dan ingin membentuk anak mereka
menjadi insan yang berguna, ibu bapa tidak sepatutnya menyebelahi anak-anak
mereka apabila orang lain memberi teguran. Hal ini demikian kerana teguran yang
diberi itu bukanlah untuk memburuk-burukkan anak mereka tetapi untuk
membetulkan kesilapan yang telah dilakukan oleh anak mereka. Dalam konteks ini,
falsafah “menjaga tepi kain orang lain” dalam masyarakat adalah untuk
kebaikan bersama dan ibu bapa perlulah menerimanya secara positif. Berdasarkan
teguran yang diberikan, ibu bapa perlulah segera membetulkan kesilapan anak dan
mencari punca anak mereka berbuat kesilapan sedemikian rupa agar anak mereka
tidak mengulangi kesilapan yang sama. Jadi, untuk membentuk anak menjadi insan
yang berguna, ibu bapa perlu menerima kritikan dan teguran orang lain dengan
hati yang terbuka. Peribahasa “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak
berguna” atau “sudah terhantuk baru terngadah” sewajarnya menjadi panduan
kepada ibu bapa.
Akhir sekali, ibu bapa perlu sentiasa mengikuti perkembangan pendidikan
anak-anak sama ada dalam aspek kurikulum, kokurikulum dan sahsiah anak-anak.
Sikap prihatin dan ambil berat ibu bapa menyebabkan anak-anak berasa diri
mereka diutamakan. Untuk tidak mengecewakan ibu bapa, anak-anak akan berusaha
meningkatkan kecemerlangan sama ada dalam aspek kurikulum ataupun kokurikulum.
Hubungan ibu bapa dengan guru-guru sekolah juga memberikan impak kepada tahap
sahsiah anak-anak. Sebagai contoh, ibu bapa perlu menjalinkan hubungan yang
baik dengan guru di sekolah sama ada guru disiplin, guru kelas atau guru mata
pelajaran. Ibu bapa perlu sering berkunjung ke sekolah untuk mengikuti
perkembangan kemajuan anak-anak dalam bidang pelajaran dan berbincang dengan
guru disiplin sekolah berkaitan akhlak dan sikap anak-anak di sekolah. Selain
itu, ibu bapa juga perlu mengawasi tingkah laku anak-anak di luar rumah serta
mengenali rakan-rakan mereka. Ibu bapa juga perlulah bertanya kepada anak
sebab-sebab anak-anak keluar rumah atau pulang lewat. Tuntasnya,ibu bapa
perlu memantau perkembangan pendidikan dan sahsiah anak-anak agar mereka jadi
insan yang berguna apabila dewasa kelak.
Berdasarkan berbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa usaha untuk
membentuk anak-anak menjadi insan yang berguna memerlukan pengorbanan dan
kesabaran ibu bapa. Untuk mendidik anak-anak menjadi seorang insan yang berguna
bukanlah satu tugas yang mudah. Semua ini perlu dilakukan melalui proses
pendidikan sedikit demi sedikit dan dengan penuh kesabaran. Oleh itu,
perancangan yang teliti dan sistematik perlu dilakukan oleh ibu bapa secara istiqomah
untuk mendidik anak-anak menjadi insan yang berguna.Setiap ibu bapa juga
mengharapkan anak mereka dapat memberikan sumbangan kepada masyarakat dan
negara serta mempertahankan maruah keluarga. Tegasnya, tiada ibu bapa yang mahu
melihat anak-anak mereka jadi sampah masyarakat yang bukan sahaja tidak
memberikan sebarang sumbangan kepada masyarakat dan negara malah membawa
masalah serta menjatuhkan keluarga kita.
Setiap ibu bapa mengharapkan anak-anak berjaya dalam
kehidupan.
Bincangkan usaha-usaha yang wajar anda lakukan untuk
memastikan harapan mereka itu tercapai.
Setiap ibu
bapa mengharapkan anak-anak berjaya dalam kehidupan. Pernyataan ini jelas
menunjukkan bahawa hasrat semua ibu bapa di dunia ini adalah sama.
Sesungguhnya, ibu bapa merupakan insan mulia yang melahirkan kita dan
membesarkan kita dengan penuh kasih sayang bagai menatang minyak yang penuh.
Mereka merupakan orang yang paling banyak berkorban demi kesejahteraan
hidup kita. Ahli bijak pandai pernah berkata bahawa,”Tiada anugerah yang lebih
berharga yang diberikan oleh ibu dan ayah kepada anaknya kecuali tunjuk ajar
dan budi pekerti yang mulia”. Ungkapan ini jelas memaparkan betapa besar
pengorbanan ibu bapa dalam mendidik anak-anak menjadi insan yang berguna.
Sebagai anak yang bertanggungjawab, kita perlu sentiasa ingat akan pengorbanan
ibu bapa kita dan sentiasa bersedia untuk membalas budi mereka agar kita tidak
dianggap sebagai anak yang derhaka atau kacang lupakan kulit. . Satu perkara
yang amat wajar kita lakukan dalam kehidupan kita ialah memenuhi harapan ibu
bapa terhadap kita agar berjaya dalam hidup. Persoalannya, apakah usaha-usaha
yang wajar saya lakukan untuk memastikan harapan ibu bapa tercapai?
Usaha
pertama yang perlu saya lakukan untuk memastikan harapan ibu bapa tercapai
ialah saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan dalam
peperiksaan. Saya akan menumpukan sepenuh perhatian semasa guru sedang
mengajar di kelas. Sekiranya terdapat topik yang tidak difahami, saya akan
bertanya kepada guru. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa kecemerlangan
dalam bidang akademik pada zaman ini menentukan keadaan masa hadapan seseorang
kerana mereka yang cemerlang dalam akademik biasanya mempunyai masa hadapan
yang cerah. Kejayaan yang saya capai ini, sudah pasti dapat membanggakan
kedua-dua ibu bapa dan keluarga. Pada era globalisasi ini yang penuh dengan
persaingan ini, amat penting bagi seseorang mencapai kecemerlangan
akademik untuk bersaing dengan orang lain terutamanya dalam alam pekerjaan.
Masyarakat kini menilai seseorang berdasarkan pencapaian akademiknya. .
Saya akan sentiasa berusaha untuk membolehkan diri saya meraih kejayaan dan
kegembiraan setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan. Oleh itu, saya akan
membuat persediaan yang rapi sebelum menduduki peperiksaan agar saya dapat
menjawab semua soalan dengan cemerlang kerana di mana ada kemahuan di
situ pasti ada jalan.. Pada masa yang sama,saya juga akan memberi
perhatian pada perkara yang berkaitan dengan ilmu selain bidang akademik. Hal
ini kerana saya sedar bahawa kecemerlangan akademik bukanlah
segala-galanya.Seorang insan yang berjaya perlu mahir dalam pelbagai
bidang.Tegasnya,saya akan belajar dengan tekun dan berusaha dengan gigih bagi
menunaikan harapan ibu bapa.
Selain itu,
saya juga akan sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni dan berbudi bahasa dalam
kehidupan. Saya akan mengamalkan nilai ketabahan, kerajinan, amanah, tidak
berputus asa dan beryakinan tinggi dalam usaha mencapai kejayaan. Hal ini
demikian kerana saya sedar bahawa orang yang berjaya dalam kehidupan bukan
sahaja perlu cemerlang dalam bidang akademik, malahan perlu menjadi
seorang yang cemerlang dari segi akhlak, rohani, intelek dan emosi iaitu
mempraktikkan konsep JERI yang terdapat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Sebagai contohnya, saya akan sentiasa bersopan santun dan menghormati ibu bapa,
guru-guru, jiran tetangga dan orang di sekeliling saya. Amanat ini
bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan saya dengan orang lain malah dapat
membina personaliti yang luhur dalam diri saya. Saya juga akan sentiasa
menghormati orang yang lebih tua dan bertegur sapa seperti mengucapkan selamat
kepada mereka. Sahsiah yang saya miliki ini pasti akan menggembirakan
hati kedua-dua ibu bapa saya, bak kata pepatah, “ahklak yang baik seperti madu,
sentiasa manis dan berkhasiat”. Saya akan membuang sikap malas dalam diri agar
tidak menghampakan harapan ibu bapa saya. Akhlak yang terpuji akan menjadi
penghias diri dan berjalan seiring dengan kejayaan yang kita miliki. Kita perlu
ingat bahawa sekiranya ahklak seseorang itu buruk,,walau betapa cemerlang pun
pencapaiannya dalam akademik tidak akan dihormati dan disegani. Jelasnya,amalan
berbudi bahasa amat penting dalam menentukan kejayaan seseorang individu.
Seterusnya, saya
juga akan sentiasa berpegang teguh kepada ajaran agama sekiranya ingin
berjaya dalam kehidupan. Pegangan agama yang teguh membolehkan saya
mempunyai benteng keimanan yang kukuh dan ampuh bagi mengelakkan diri
saya daripada pengaruh negatif yang dapat menjejaskan kehidupan
saya. Dengan berpegang teguh kepada ajaran agama, saya akan memiliki jati diri
yang utuh untuk melawan serangan pemikiran yang boleh menjerumuskan saya ke
kancah maksiat. Hal ini kerana Tuhan sentiasa menyeru hambanya untuk
melakukan sesuatu yang baik serta menjauhi perkara yang buruk. Pegangan kepada
agama juga dapat meningkatkan keyakinan diri saya dan membolehkan saya
mempunyai matlamat yang jelas dalam hidup. Hal ini amat penting dalam
menentukan kejayaan saya pada masa hadapan. Pendidikan agama yang saya
peroleh, menjadi pedoman hidup yang boleh membentuk saya menjadi seorang yang
positif dalam segala hal. Saya tidak mudah dipengaruhi oleh rakan-rakan yang
tidak baik. Sebaliknya, saya akan sentiasa menjaga nama baik ibu bapa dan
keluarga. Tegasnya,saya akan berpegang teguh kepada ajaran agama agar
dapat mencapai kejayaan dalam hidup dan membanggakan kedua-dua ibu bapa saya.
Di samping itu, saya akan bergaul dengan rakan-rakan yang baik dan mempunyai
keinginan untuk menjadi seorang yang berguna kepada masyarakat apabila dewasa
kelak. Dengan ini, saya tidak akan dipengaruhi oleh rakan-rakan yang bermasalah
dan seterusnya terlibat dalam gejala social yang negatif. Saya akan membezakan
antara kaca dengan permata dan sentisasa memikirkan akan masa depan saya serta
matlamat hidup saya. Melalui pergaulan dengan rakan-rakan yang mengutamakan
pendidikan mereka, saya akan dapat bertukar-tukar pendapat serta ilmu dengan
mereka. Saya juga dapat menyertai kumpulan pembelajaran mereka dan membolehkan
saya berbincang serta lebih memahami topik-topik yang telah diajarkan oleh
guru. Secara tidak langsung, pencapaian keputusan peperiksaan saya akan
meningkat hasil daripada perbincangan dan tunjuk ajar daripada rakan-rakan.
Pergaulan dengan rakan-rakan yang bijak dalam pembelajaran akan dapat
menimbulkan persaingan yang sihat dalam diri saya. Saya akan mempunyai semangat
untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh agar diri saya tidak akan
diasingkan dari kumpulan tersebut serta tidak akan berasa tersisih dan terpulau
apabila dalam menyelesaikan sesuatu soalan. Saya juga dapat bergantung kepada
rakan–rakan yang baik ini apabila saya tidak berdaya untuk menghadapi dan
menyelesaikan sesuatu cabaran dalam hidup. Mereka tentu akan dapat
membantu saya untuk membangkitkan diri saya semula dengan memberi
dorongan dan nasihat yang berguna kepada saya dan bukannya menyuruh saya
melibatkan diri diri dengan gejala sosial negatif yang dapat mengurangkan
tekanan jiwa dan stress. Maklumlah, seseorang akan lebih terpengaruh dengan
gejala sosial apabila berada dalam ambang kegagalan dan kekecewaan. Tegasnya,
saya akan bergaul dengan rakan-rakan yang berakhlak mulia agar saya tidak akan
tersilap langkah dalam membuat sebarang keputusan dalam hidup saya agar dapat
memenuhi impian dan harapan ibu bapa.
Seterusnya, saya akan
meningkatkan keilmuan diri saya dengan pembacaan. Ibn. Khaldun pernah berkata
bahawa “membaca menjadi akar tunjang kekuatan seseorang individu, malah sesuatu
bangsa dan sesebuah negara”.Hal ini jelas menunjukkan bahawa membaca
adalah amat penting dalam menentukan kekuatan dan kejayaan seseorang individu.
Saya akan membaca buku-buku yang berkaitan dengan pembinaan kendiri seperti
buku-buku motivasi dan sebagainya untuk meningkatkan tahap pemikiran diri saya
kerana membaca jambatan ilmu. Langkah ini bagai serampang dua mata kerana
selain boleh membantu saya dalam bidang akademik, usaha tersebut juga dapat
membentuk diri saya menjadi seorang yang berilmu pengetahuan luas. Secara
langsung, kejayaan akan dapat dicapai dalam kehidupan. Saya juga akan cuba
memperbaiki kelemahan diri untuk berjaya dalam kehidupan. termasuk
mengatasi sikap malas. Saya akan mengubah sikap ini untuk mencapai
kejayaan dan berubah menjadi seorang yang rajin kerana rajin dan usaha, tangga
kejayaan. Saya berharap agar perubahan yang saya lakukan ini dapat
membolehkan diri saya mencapai harapan ibu bapa iaitu berjaya dalam kehidupan.
Apabila masuk ke alam pekerjaan kelak, saya akan mencari pekerjaan yang
stabil dan membalas budi mereka.
Akhir sekali, saya akan sentiasa mendengar nasihat ibu bapa kerana Tuhan
hanya akan menolong dan memberkati hidup anak yang taat kepada ibu bapa. Saya
akan sentiasa patuh kepada arahan ibu bapa tanpa sebarang rungutan kerana saya
sedar bahawa syurga terletak di bawah tapak kaki ibu. Saya juga sedar bahawa
tanpa doa dan dorongan ibu bapa, betapa tabah dan pandai saya sekali pun, saya
tidak mungkin akan mencapai impian serta kejayaan dalam hidup saya. Ibu bapa
merupakan insan yang lebih tua dan mereka terlebih dahulu makan garam daripada
saya. Oleh itu, ibu bapa mempunyai pengalaman yang kaya dan luas dalam
masyarakat dan dunia luar. Maka, wajarlah saya untuk meminta dan menerima
pandangan mereka agar diri saya tidak akan menimbulkan kesilapan yang mungkin
mengakibatkan saya berasa menyesal buat seumur hidup saya. Mereka merupakan
punca tenaga dan dorongan saya untuk mengejar impian dan cita-cita saya
serta memperoleh kejayaan dalam hidup saya. Tanpa mereka, saya tidak mungkin
berpeluang untuk mencapai kejayaan dalam hidup saya. Tegasnya, saya akan
mematuhi arahan dan mendengar nasihat ibu bapa agar impian saya dapat dicapai
dan yang paling penting sekali ialah kisah Si Tanggang tidak akan berlaku ke
atas diri saya.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa untuk
mencapai impian dan kejayaan dalam hidup, saya sebagai remaja perlu berusaha
bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan.. Saya akan berusaha memastikan agar
impian dan cita-cita saya tercapai dan sekali gus, saya juga dapat
memenuhi impian dan harapan ibu bapa saya. Charles Dickens pernah berkata
bahawa “kemahuan seperti sebilah pedang yang dapat membuat jalan melalui hutan
rimba.” Manusia memang tidak dapat menjangka dan melihat masa hadapan, tetapi
manusia boleh meramal masa hadapan mereka dengan merancang masa hadapan mereka
sebaik-baiknya. Jelasnya, kita harus memberi peluang kepada diri kita untuk
menjadikan impian dan cita-cita sebagai kenyataan kerana hendak seribu
daya, tidak hendak seribu dalih.
Anda sebagai pengawas pusat sumber sekolah, jelaskan
usaha-usaha yang dapat anda lakukan untuk membantu meningkatkan penggunaan
pusat sumber sekolah anda.
Pusat Sumber sekolah merupakan gedung ilmu iaitu tempat untuk mendapatkan
pelbagai informasi yang diperlukan oleh setiap warga sekolah. Namun, sejak
akhir-akhir ini isu para pelajar kurang mengunjungi pusat sumber sekolah sering
diperkatakan dalam media massa sama ada media cetak atau media elektronik. Hal
ini membimbangkan semua pihak kerana para pelajar merupakan pelapis yang bakal
menerajui negara pada masa hadapan, bak kata peribahasa pemuda harapan bangsa,
pemudi tiang negara. Justeru, pusat sumber sekolah perlu diurus secara
sistematik dan efisien untuk memupuk budaya membaca dalam kalangan pelajar agar
menjadi pelajar yang berilmu dan bermaklumat selaras dengan Falsafah Pendidikan
Negara. Persoalannya, apakah usaha-usaha untuk membantu meningkatkan penggunaan
pusat sumber sekolah?
Selaku pengawas pusat sumber sekolah, terdapat banyak usaha yang dapat saya
lakukan untuk membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber di sekolah saya.
Salah satunya ialah saya akan memastikan pusat sumber sentiasa berada dalam
keadaan kemas dan menarik. Saya akan bekerjasama dengan pengawas pusat sumber
yang lain untuk mengemas kini pusat sumber. Aktiviti gotong-royong membersihkan
pusat sumber akan diadakan secara berkala agar pusat sumber sentiasa
berada dalam keadaan bersih . Saya juga akan memastikan buku-buku disusun atur
dengan kemas di atas rak-rak buku mengikut kategori dan jenis buku.
Dengan ini keadaan harmoni dan selesa dapat diwujudkan. Situasi ini dapat
memberi keselesaan kepada seseorang pelajar semasa mengulang kaji pelajaran di
pusat sumber. Jelaslah, situasi yang kemas, bersih dan menarik mampu menarik
para pelajar berkunjung ke pusat sumber.
Selain itu, saya akan membantu guru pusat sumber melaksanakan program Nilam
untuk meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah. Sebagai contohnya, saya
boleh membantu mencari dan menyediakan buku-buku yang sesuai serta menarik
untuk kegunaan para pelajar semasa program Nilam. Oleh itu, program Nilam dapat
dijalankan dengan lancar dan berkesan. Hal ini dapat membantu meningkatkan
penggunaan pusat sumber sekolah dan juga menyemai budaya membaca dalam kalangan
pelajar. Program Nilam merupakan salah satu usaha Kementerian Pendidikan
Malaysia untuk memupuk dan meningkatkan amalan membaca dalam kalangan pelajar.
Budaya membaca amat penting dan melambangkan ketinggian tamadun sesuatu bangsa.
Dengan membaca, seseorang itu akan mendapat pelbagai ilmu pengetahuan sebagai
pedoman hidup, bak kata peribahasa membaca jambatan ilmu. Justeru, pelaksanaan
program Nilam yang berkesan menjadi daya penarik kepada para pelajar untuk
mengunjungi pusat sumber.
Seterusnya, saya akan mengesyorkan kepada pihak sekolah agar menyediakan
kemudahan yang lengkap di pusat sumber. Saya akan menulis surat kepada pihak
pengurusan agar dapat menyediakan kemudahan yang lengkap di pusat sumber untuk
kebaikan pelajar. Saya akan meminta pihak pengurusan menyediakan komputer
yang boleh diguna pakai oleh pelajar untuk melayari internet bagi mendapatkan
pelbagai informasi terkini.Saya akan membantu dari segi penyediaan
buku-buku yang baharu dan menarik. Dengan adanya pelbagai buku yang baharu dan
terkini, pengunjung dapat meningkatkan ilmu pengetahuan mereka. Pihak sekolah
juga perlu menyediakan pendingin hawa untuk memberi keselesaan kepada para
pelajar. Secara tidak langsung keadaan ini lebih mewujudkan suasana yang
kondusif dan menggalakkan para pelajar berkunjung ke pusat sumber sekolah.
Di samping itu, sebagai pengawas pusat sumber juga, saya akan mengamalkan
budaya mesra pelanggan semasa menjalankan tugas. Saya akan bersikap sopan,
berbudi pekerti mulia dan berhemah tinggi serta sentiasa bersedia memberikan
pertolongan sekiranya pengunjung menghadapi masalah tanpa mengira bangsa dan
agama , bak kata peribahasa budi bahasa budaya kita. Layanan mesra
daripada pengawas menggembirakan para pengunjung dan merupakan
salah satu kunci untuk menarik para pelajar mengunjungi pusat sumber. Saya juga
akan membantu pihak sekolah mempromosikan buku-buku di pusat sumber agar dapat
dipinjam oleh pelajar. Saya juga perlu bersikap adil dan tegas kepada semua
pelanggan terutama sekiranya mereka lewat atau sengahaja tidak
memulangkan buku yang dipinjam mengikut tarikh yang ditetapkan.
Selaku pengawas pusat sumber juga, saya akan mencadangkan kepada pihak sekolah
agar menyediakan sistem pinjaman buku yang sistematik dan berkesan untuk
membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah saya. Contohnya
penggunaan ICT khususnya komputer dalam urusan pinjaman dan pemulangan buku
dapat menjimatkan masa dan tenaga. Penggunaan sistem berkod merupakan langkah
bijak kerana semua bahan bacaan berbentuk buku akan direkodkan secara berkod
yang memudahkan urusan pinjaman dan pemulangan buku yang dilakukan secara ‘
scaning’. Kaedah ini akan mewujudkan sistem pengurusan pusat sumber yang
sistematik kerana para pelajar tidak perlu menunggu terlalu lama untuk urusan
pinjaman dan pemulangan buku. Jelaslah sistem pinjaman yang sistematik dan
efektif adalah penting untuk meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah.
Kesimpulannya, pusat sumber sekolah menyediakan perkhidmatan dan sumber
pembelajaran dalam pelbagai bentuk bagi membolehkan warga sekolah menjadi
pengguna yang bermaklumat dan pemikir yang kreatif serta kritis. Justeru,
terpulang pada pelajar sendiri sama ada mahu menggunakan atau sebaliknya,
tepuk dada tanyalah minda. . Semua pihak perlulah berganding bahu dalam usaha
meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah bak kata peribahasa bulat air
kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.
Permainan tradisional semakin
dipinggirkan oleh generasi muda.
Jelaskan usaha-usaha yang boleh anda
lakukan bagi memartabatkan permainan tradisional di negara kita.
Pada zaman pascakemerdekaan ini, arus modenisasi dan globalisasi yang pesat
berkembang menyebabkan permainan tradisional sudah semakin dipandang enteng dan
disisihkan oleh masyarakat kita daripada arus perdana. Permainan tradisional
adalah merujuk kepada permainan budaya yang sudah diamalkan oleh sesebuah
masyarakat untuk satu tempoh yang tertentu sebagai pengisi masa lapang. Negara
kita kaya dengan pelbagai jenis permainan tradisional yang tak lapuk dek hujan
dan tak lekang dek panas. Antara jenis permainan tradisional tersebut
termasuklah congkak, wau, gasing, galah panjang, batu seremban, teng-teng,
guli, sepak raga, konda-kondi dan sebagainya. Kebanyakan daripada permainan
tersebut kurang diketahui oleh generasi muda. Hal ini membayangkan bahawa
permainan tradisional berkenaan akan lenyap ditelan zaman jika tiada
usaha diambil untuk mengetengahkannya dalam kalangan khalayak ramai khususnya
generasi masa ini. Persoalannya, apakah peranan yang seharusnya saya mainkan
dalam usaha memartabatkan permainan tradisional di negara kita?
Usaha pertama yang saya lakukan untuk memartabatkan permainan tradisional
adalah dengan memupuk minat diri sendiri terhadap permainan tradisional.
Remaja pada masa ini banyak terdedah dengan pelbagai pengaruh modenisasi
dan perubahan. Mereka sering menganggap permainan tradisional telah lapuk dan
ketinggalan zaman. Oleh itu, sebagai generasi muda, saya harus sedar
bahawa saya berperanan memartabatkan permainan tradisional. Hal ini
boleh dilakukan atas kesedaran diri sendiri untuk mencari pelbagai informasi
berkaitan dengan permainan tradisional. Saya akan mengakses maklumat tentang
permainan tradisional agar dapat memahami dengan lebih jelas setiap permainan
tradisional yang ada di negara kita. Terdapat banyak laman web yang
memberikan pelbagai maklumat berkenan pelbagai permainan tradisional berserta
gambarnya sekali. Secara tidak langsung, wujud kesedaran dalam diri sendiri
untuk memartabatkan permainan tradisional di negara ini bagi menyaingi permainan
moden yang semakin popular dalam kalangan remaja.
Selain itu, usaha yang boleh saya lakukan adalah dengan menjadikan
permainan tradisional sebagai pengisi masa lapang. Hal ini boleh dilakukan
dengan rakan-rakan sebaya pada waktu petang atau pada masa cuti sekolah bagi
menggantikan permainan moden. Saya boleh meminta tunjuk ajar daripada golongan
yang lebih tua tentang cara-cara permainan tradisional tersebut bagi
membolehkan saya dan rakan-rakan memainkannya bersama rakan-rakan. Inisiatif ini
bukan sahaja dapat memartabatkan permainan tradisional malah dapat memupuk
semangat setia kawan dan kerjasama sesama rakan. Hal ini juga boleh mengelakkan
diri saya sebagai remaja daripada terjebak dengan pelbagai gejala negatif
akibat daripada pengaruh rakan-rakan dan persekitaran yang tidak baik. Bagi
diri saya lebih baik mengisi masa dengan bermain permainan tradisional
daripada melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Jelaslah permainan
tradisional mendatangkan banyak kebaikan kepada generasi muda masa ini.
Di samping itu, bagi memartabatkan permainan tradisional, saya sebagai
pelajar sekolah haruslah berani mengesyorkan kepada guru-guru di sekolah agar
permainan tradisional menjadi salah satu aktiviti semasa perjumpaan kokurikulum.
Saya akan menulis surat kepada pihak sekolah menerusi persatuan agar memasukkan
permainan tradisional menjadi sebahagian daripada aktiviti kokurikulum di
sekolah. Hal ini secara tidak langsung akan memperkenalkan permainan
tradisional kepada semua pelajar. Saya juga akan menyertai
permainan tradisional yang dipertandingkan di peringkat sekolah semasa aktiviti
kokurikulum dan juga persatuan akademik. Antara aktiviti yang boleh dilakukan
ialah pertandingan membuat wau, pertandingan bermain congkaka dan demonstrasi
permainan daripada golongan tua yang lebih berpengalaman bagi menarik minat
pelajar. Dengan cara tersebut, minat remaja terhadap permainan tradisional
dapat dipupuk agar kepelbagaian permainan tradisional dapat dipelihara. Ibarat
kata pepatah, tak kenal maka tak cinta amat bertepatan kerana jika pelajar
telah mula diperkenalkan dengan pelbagai permainan tradisional, sudah pastilah
minat terhadapnya akan tertanam secara semula jadi. Maka para pelajar perlu
berani membuat perubahan ke arah memartabatkan permainan tradisional.
Usaha yang seterusnya ialah saya sebagai remaja perlu menanamkan semangat cinta
akan budaya terutama permainan tradisional. Hal ini adalah kerana,
permainan tradisional merupakan budaya masyarakat Malaysia sejak dahulu dan
perlu diteruskan dan dipelihara agar dikenali oleh generasi akan datang.
Sesuatu yang baik itu perlu dipupuk dan ditanam dalam diri sejak kecil sesuai
dengan peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Jika asasnya telah
kukuh maka secara langsung remaja masa ini tidak akan segan silu mempertahankan
dan memartabatkan permainan tradisional. Alah bisa tegal biasa kerana sesuatu
yang sukar pada awalnya akan menjadi mudah dan biasa jika selalu dilakukan dan
diamalkan. Begitulah juga yang diharapkan terhadap permainan tradisional. Jika
remaja seperti saya telah mula menanamkan sikap sayang dan cinta akan budaya
masyarakat ini, maka sudah pasti permainan tradisional terpelihara megah dalam
kalangan masyarakat Malaysia. Sesungguhnya kecintaan terhadap permainan
tradisional akan memupuk juga rasa cinta terhadap negara
Kesimpulannya, remaja hendaklah berusaha mempopularkan permainan tradisional
agar permainan tersebut terus terpelihara dan mendapat tempat di hati
masyarakat Malaysia umumnya dan generasi muda khususnya. Maka golongan muda
perlu berganding bahu dan meminta bantuan golongan yang lebih tua agar
permainan tradisional terus dimartabatkan dan diketengahkan dalam pelbagai
situasi dan aktiviti. Kedua-dua golongan boleh saling bekerjasama sebelum nasi
menjadi bubur. Khazanah ini perlu dipelihara dan dikekalkan di negara ini
dengan menggunakan pelbagai pendekatan sesuai dengan peribahasa di mana ada
kemahuan, di situ ada jalan.
Semangat Kejiranan dalam kalangan rakyat di egara ini
semakin
longgar.
Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang harus
diambil oleh pelbagai pihak supaya semangat kejiranan dalam kalangan
penduduk dapat ditingkatkan?
Jiran
ialah orang yang tinggal di sekeliling rumah kita, iaitu di sebelah, di hadapan
dan juga di belakang rumah kita. Jika kita tinggal dalam satu taman atau di
sebuah egara yang sama, mereka akan dikenali sebagai jiran tetangga kita. Jiran
sangat penting kerana merekalah yang akan menjadi sahabat kita dan orang
yang akan membantu kita apabila kita menghadapi kesusahan nanti. Pepatah Melayu
ada mengatakan bahawa “Jiran sepakat membawa berkat”. Jadi, kita
perlulah mengukuhkan semangat kejiranan supaya kita sentiasa bersatu hati dalam
melakukan sesuatu perkara. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang wajar
diambil untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat?
Langkah primer yang harus diambil oleh pihak kerajaan ialah kerajaan
menjalankan kempen-kempen kejiranan yang bersesuaian di semua peringkat sama
ada peringkat daerah, negeri atau kebangsaan.Tujuan kempen ini adalah untuk
menanam semangat perpaduan dan bersatu padu dalam kalangan rakyat. Konsep 1Malaysia
yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak
menekankan semangat perpaduan antara kaum di Malaysia.Usahasama sebeginilah
yang wajar diambil contoh dan diaplikasikan dalam institusi masyarakat bagi
mencetuskan semangat kejiranan yang utuh. Kempen kejiranan yang dijalankan ini
perlulah berterusan dan janganlah seperti “hangat-hangat tahi ayam”
sahaja. Jelasnya,kempen yang dijalankan ini dapat memberikan kesedaran kepada
masyarakat untuk memupuk semangat kejiranan.
Selain itu, langkah yang harus diambil ialah masyarakat setempat perlulah
mengadakan aktiviti gotong-royong. Melalui aktiviti gotong-royong, jiran dapat
berkumpul dan bekerjasama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan
dilakukan. Apabila berkumpul dan berbincang ,mereka akan dapat berkenal-kenalan
antara satu dengan yang lain yang sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal
hati budi jiran mereka dengan lebih dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui
pepatah Melayu yang mengatakan bahawa “tak kenal maka tak cinta”.
Sebagai contoh, aktiviti yang boleh diadakan secara bergotong-royong ialah
membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk kenduri kendara dan
sebagainya. Melalui cara ini, kita dapat menjalinkan dan meningkatkan hubungan
egara jiran. Malahan, menurut laporan majalah ‘The Times’ di Australia.
kegiatan gotong-royong yang diamalkan di Malaysia merupakan antara aktiviti
yang terbaik di dunia.
Di samping itu, peranan media massa merupakan langkah yang amat penting dalam
meningkatkan semangat kejiranan dalam kalangan rakyat Malaysia. Pelbagai kaedah
boleh digunakan dalam menyuburkan semangat kejiranan.Media cetak misalnya boleh
menyiarkan artikel-artikel tentang kepentingan semangat kejiranan .Media
elektronik pula boleh menyiarkan dokumentari dan rancangan menarik tentang
kejiranan. Melalui media massa, pelbagai maklumat dan berita boleh disampaikan
dengan cepat dan mudah .Sesungguhnya,berita dan isu semasa yang disiarkan oleh
media massa lebih mudah menarik perhatian orang ramai terutamanya generasi
muda. Sebagai contoh, usaha Majalah 3 menyiarkan ‘Colour of Malaysia’ wajar
disokong. Justeru,semangat “hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah”
ini wajar kita tonjolkan melalui media massa.
Seterusnya, setiap penduduk hendaklah mengadakan majlis-majlis rumah terbuka
semasa sesuatu sambutan perayaan. Amalan ini dapat membentuk ikatan silaturahim
dan memperkukuh semangat kejiranan dalan kalangan jiran setempat. Melalui acara
rumah terbuka, jiran dapat bertanya khabar dan bercerita tentang pengalaman
dengan lebih dekat. Seterusnya ,melalui rumah terbuka ini, semua ahli dalam
masyarakat berpeluang untuk berkumpul dan berbincang sambil menikmati juadah
yang disediakan oleh tuan rumah. Sebagai contoh, sambutan majlis rumah terbuka
sempena Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina,Krismas, Deepavali dan sebagainya
hendaklah dijadikan acara tahunan. Tegasnya, majlis rumah terbuka mampu
mendekatkan ahli masyarakat untuk bertemu muka dan berkenalan dengan lebih erat
lagi.
Di samping itu, Jawatan Kuasa Kampung dan Jawatan Kuasa Taman juga hendaklah
mengadakan aktiviti Hari Keluarga untuk memupuk semangat kejiranan dalam
kalangan masyarakat setempat. Semasa aktiviti Hari Keluarga diadakan,s emua
ahli keluarga jiran akan turut serta melibatkan diri dalam aktiviti berkayak,
memasukkan air ke dalam botol ,terompah gajah dan sebagainya. Apabila aktiviti
Hari Keluarga diadakan, kemesraan akan terjalin bukan sahaja antara ibu dengan
bapa, malah anak-anak juga.Aktiviti seperti ini hendaklah diadakan di padang
bola sepak, gelanggang bola egara, taman rekreasi atau padang sekolah yang
berhampiran .Jadi, melalui aktiviti ini, hubungan yang erat egara jiran dapat
dibentuk yang secara tidak langsung akan menimbulkan perasaan ingin membantu
antara satu dengan yang lain seperti yang terungkap dalam peribahasa Melayu,”ke
bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni”.
Tambahan lagi, kerajaan juga harus menggalakkan rakyat supaya melibatkan diri
dalam aktiviti egara seperti persatuan atau pertubuhan. Penduduk setempat
mestilah membentuk satu persatuan yang mempunyai satu egara organisasi yang
teratur. Persatuan atau pertubuhan ini hendaklah melibatkan semua penduduk
sebagai ahli. Dewasa ini, banyak pertubuhan sukarela ditubuhkan dalam
masyarakat seperti Pertubuhan Rukun Tetangga, Jawatan Kuasa Keselamatan dan
Kemajuan Kampung, Pertubuhan Khairat Kematian dan sebagainya. Sebagai contoh,
melalui Pertubuhan Rukun Tetangga, masyarakat setempat secara bergilir-gilir
mengawasi keselamatan taman untuk mengelakkan kejadian-kejadian yang tidak
diingini berlaku. Hal ini dapat kita lihat dalam peribahasa Melayu,iaitu “ibarat
aur dengan tebing” yang mementingkan semangat sandar-menyandar atau saling
membantu dalam kehidupan.
Akhir sekali, masyarakat mestilah menyemarakkan budaya kunjung-mengunjungi
dalam kalangan rakyat sebagai langkah untuk memupuk dan mengekalkan semangat
kejiranan. Dalam hidup bermasyarakat, kita digalakkan menziarahi jiran kita.
Melalui aktiviti ini, kita akan mengetahui masalah dan kesusahan yang dialami
oleh jiran kita. Sebagai contoh, kita perlu berkunjung ke hospital jika kita
mendapat berita bahawa jiran kita dimasukkanke hospital kerana menghidap
sesuatu penyakit atau kemalangan. Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawa
“berat mata memandang berat lagi bahu memikulnya”, namun sebagai jiran,
kita mestilah berpegang kepada prinsip cubit peha kiri, peha kanan terasa
juga. Maksudnya ialah jika kita mempunyai semangat kejiranan yang tinggi,
kita akan dapat merasai segala kesusahan dan keperitan yang dialami oleh jiran
kita itu.
Kesimpulannya, kita perlu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk
setempat. Dalam era globalisasi, sikap mementingkan diri sendiri dan sikap
tidak mempedulikan orang lain semakin menebal seperti yang terkandung dalam
pepatah Melayu “bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing”.
Jika hal ini dibiarkan, semangat kejiranan akan luntur dan seterusnya akan menjejaskan
perpaduan egara. Ada pepatah yang mengatakan bahawa “bersatu kita teguh
bercerai kita roboh”. Oleh itu, dengan meningkatkan semangat kejiranan,
perpaduan akan bertambah utuh dan teguh. Jadi,dalam setiap masa, kita mestilah
sentiasa berusaha untuk memastikan semangat kejiranan sentiasa terpelihara
supaya egara kita sentiasa aman, harmoni dan sejahtera.
Ibu bapa merupakan insan yang
berperanan penting bagi menggalakkan anak-anak menggunakan barangan
buatan Malaysia.
Huraikan langkah-langkah yang
dapat diambil oleh ibu bapa terhadap anak-anak dalam menggalakkan penggunaan
barangan buatan Malaysia.
Sebagai sebuah negara membangun yang
akan menuju ke arah negara maju menjelang 2020, Malaysia sebenarnya telah
banyak menghasilkan dan mengeluarkan pelbagai barangan serta produk sendiri.
Mungkin sudah tiba masanya bagi rakyat kita agar tidak lagi mengagung-agungkan
barangan luar. Barangan keluaran tempatan kini sudah setanding dengan produk
luar dari segi kualitinya, malahan sesetengah produk keluaran negara kita
dijamin lebih baik. Walaubagaimanapun, masih ramai lagi yang tidak mengetahui
atau menyedari tentang kelebihan dan kualiti sebenar barangan buatan negara
kita, lebih-lebih lagi orang muda-muda yang kononnya mempunyai cita rasa yang
tinggi dalam memilih kebendaan. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dalam
menggalakkan penggunaan barangan buatan Malaysia?
Peranan yang amat penting yang perlu
diamalkan oleh setiap ibu bapa ialah ibu bapa perlulah menjadi role model
kepada anak-anak mereka kerana anak-anak akan sentiasa mengikuti jejak
langkah kedua-dua ibu bapa mereka. Pepatah ada mengatakan bahawa bagaimana
acuan, begitulah kuihnya. Ibu bapa merupakan insan yang paling
dikagumi kerana ibu bapalah orang yang terdekat dengan anak-anak.
Anak-anak diibaratkan seperti sebutir permata yang belum digilap, ibu bapa yang
akan mencanai dan menggilapnya sehingga menjadi berlian yang indah dan
bersinar. Walau bagaimanapun, ibu bapa janganlah bersikap seperti ketam
mengajar anaknya berjalan dengan betul kerana ini akan menyebabkan anak-anak
hilang rasa kagum dan kepercayaan kepada ibu bapa mereka. Ibu bapa haruslah
membeli kereta buatan Malaysia seperti kereta dari kilang Proton Edar, barangan
elektrik seperti Panasonic, Philips dan lain-lain. Tegasnya, ibu bapa haruslah
menjadi suri teladan kepada anak-anak mereka dengan menyokong barangan buatan
Malaysia yang berkualiti ini.
Selain itu, ibu bapa perlulah memupuk perasaan cinta akan negara kepada
anak-anak mereka sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Hal ini terjadi demikian kerana semangat patriotik patut diterapkan ke dalam
sanubari remaja supaya mereka terpanggil untuk membeli barangan Malaysia
sebagai tanggungjawab mereka. Ibu bapa juga boleh menanam minat anak-anak
terhadap barangan Malaysia melalui mata pelajaran Bahasa Malaysia, Pendidikan
Moral dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Hal ini akan dapat menyuntik
nilai cinta akan negara, taat setia kepada raja dan negara, dan sanggup
berkorban untuk negara kepada generasi muda kita. Ibu bapa patut menyeru
anak-anak untuk mencontohi warganegara Jepun dan Korea kerana rakyat mereka
berasa bangga untuk membeli barangan negara mereka sendiri. Misalnya, dalam
filem atau drama Korea, semua artis pasti menggunakan produk negara sendiri
seperti jenama Samsung, LG dan Panasonic. Dengan menyahut seruan Tun Dr.
Mahathir yang merupakan Perdana Menteri Malaysia yang keempat malalui Dasar
Pandang Ke Timur, kita digalakkan mencontohi sifat baik negara lain yang baik
untuk meningkatkan taraf kehidupan negara ke alaf baru. Jika anak-anak telah
diterapkan semangat cinta akan negara dan ingin membeli barangan Malaysia,
amalan ini akan terbawa-bawa hingga mereka dewasa. Tidak dapat dinafikan bahawa
golongan remaja merupakan golongan pengguna yang banyak berbelanja. Golongan
remaja juga merupakan harapan negara kita. Hal ini kerana pemuda harapan
bangsa, pemudi tiang negara. Jika mereka suka membeli produk jenama Malaysia,
produk Malaysia pasti akan laris di pasaran.
Di samping itu, peranan yang boleh diamalkan oleh ibu bapa ialah ibu bapa
membawa anak-anak ke pameran barangan ciptaan Malaysia. Contohnya, ibu bapa
bolehlah membawa anak-anak ke Karnival Membeli-belah Malaysia yang dianjurkan
oleh Kementerian Pelancongan Malaysia dengan premis perniagaan seluruh negara.
Karnival sebegini telah ditetapkan hanya barangan Malaysia yang mempunyai
tawaran potongan harga yang istimewa. Sebagai contoh, kraf tangan
dan batik, yang merupakan budaya yang menggambarkan tradisi
Malaysia. Ibu bapa perlu mendedahkan anak-anak dengan pelbagai barangan
tempatan yang terdiri daripada pelbagai bentuk dan keunikannya yang tersendiri.
Apabila anak-anak meminta sesuatu benda yang tidak keterlaluan, ibu bapa
haruslah membeli barang tersebut dan barang tersebut mestilah merupakan
barangan buatan Malaysia. Terdapat juga pameran yang mengadakan pelbagai jenis
pertandingan. Dalam konteks ini, ibu bapa boleh menggalakkan anak-anak
menyertai pertandingan-pertandingan seperti menulis esei, melukis poster dan
menjawab soalan-soalan kuiz yang berkaitan. Hal ini secara tidak langsung dapat
mencelikkan minda anak-anak supaya mengetahui kualiti dan kelebihan barangan
Malaysia sehingga berminat untuk membeli barangan Malaysia, seperti peribahasa,
tak kenal maka tak cinta. Tegasnya, ibu bapa perlulah membeli barangan buatan
Malaysia untuk didedahkan kepada anak-anak generasi baru ini.
Seterusnya, ibu bapa perlulah menerangkan kebaikan pembelian barangan buatan
Malaysia kepada anak-anak mereka supaya mereka dapat memahami faedah-faedahnya,
menyokong dan menggunakan barangan buatan Malaysia. Ibu bapa haruslah
memberitahu anak-anak tentang kualiti produk-produk Malaysia yang kini bukan
sahaja kualitinya setanding dengan produk-produk luar negara, malah harganya
juga cukup murah untuk dimiliki seseorang. Ibu bapa juga boleh menunjukkan
kempen-kempen yang telah diadakan seperti Kempen Beli Barangan Malaysia kepada
anak-anak untuk memastikan anak-anak sedar dan mengetahui secara mendalam barangan-barangan
Malaysia. Sikap prejudis, memandang rendah barangan
tempatan dari sudut pemikiran juga seharusnya dilontar jauh-jauh oleh ibu bapa
dan juga tidak harus diwujudkan pada anak-anak mereka, tetapi, sebaliknya,
membinakan semangat Malaysia Boleh dari serba-serbi, termasuk soal kualiti dan standard
barangan tempatan. Jelasnya, ibu bapa berperanan penting dalam
menerangkan manfaat-manfaat barangan buatan Malaysia kepada anak-anak supaya
mereka sedar dan bijak memilih benda yang baik dan mendatangkan kebaikan kepada
mereka.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa yang
merupakan insan terdekat kepada generasi muda kini mestilah memainkan
peranannya yang amat penting dalam menggalakkan anak-anak menyokong, membeli
dan menggunakan barangan buatan Malaysia. Harapan kerajaan Malaysia supaya
negara kita bukan sahaja mengimport barangan luar negara malah juga mengeksport
barangan buatan Malaysia dapat dicapai. Sedarlah bahawa barangan Malaysia tidak sekadar lebih murah daripada barang buatan import
negara malah mempunyai kualiti dan kuantiti yang baik. Walalau
bagaimanapun, usaha daripada ibu bapa semata-mata adalah tidak mencukupi.
Rakyat Malaysia patut menghayati tema Hari Kebangsaan; 1 Malaysia
Menjana Transformasi menyemarakkan semangat seisi negara agar seia sekata
sebagai satu bangsa yang ingin memperkasakan satu perubahan sikap dengan
membeli barangan Malaysia. Tegasnya, negara kita, tanggungjawab kita merupakan
azimat yang tersemat agar kita berbangga dengan barangan Malaysia yang bermutu
tinggi.
Minat untuk membaca karya-karya sastera
dalam kalangan rakyat ini semakin berkurangan.
Bincangkan langkah-langkah yang perlu diambil oleh
pelbagai pihak untuk menarik minat orang ramai membaca karya
sastera
Pada zaman berteknologi tinggi ini,
orang ramai telah memilih untuk memiliki sebuah komputer untuk mendapatkan
maklumat daripada internet berbanding mencari maklumat atau membaca daripada
buku. Hal ini menyebabkan minat untuk membaca karya-karya sastera dalam
kalangan rakyat makin berkurangan. Malah ada yang telah lupa dan tidak kenal
akan karya sastera yang dihasilkan oleh sasterawan negara seperti Usman Awang,
Shahnon Ahmad, A.Samad Said dan sebagainya. Hal ini tidak boleh dipandang remeh
kerana karya sastera yang dihasilkan merupakan warisan bangsa yang menunjukkan
identiti dan bangsa kita. Minat untuk membaca karya-karya sastera ini perlu
disemarakkan semula dalam kalangan masyarakat. Persoalannya, apakah
langkah-langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menarik minat
orang ramai untuk membaca karya sastera?
Langkah-langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menarik minat
orang ramai membaca karya sastera termasuklah peranan pihak sekolah khususnya
Pusat Sumber Sekolah. Pusat Sumber Sekolah perlu memperbanyak buku sastera dan
karya agung seperti novel ‘Ranjau Sepanjang Jalan’ oleh Shahnon Ahmad, ‘Salina’
oleh A.Samad Said, ‘Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur’ oleh Kamaludin Muhamad
dan ‘Tulang-tulang Berserakan’ oleh Usman Awang agar murid mahupun guru
berpeluang untuk membacanya. Pusat sumber boleh mengadakan pertandingan
mengulas novel, sajak, puisi dan pantun pada setiap bulan. Langkah ini
membolehkan para pelajar untuk membaca karya-karya sastera memandangkan
mereka ingin menghasilkan ulasan yang menarik. Secara tidak langsung, minat
pelajar terhadap karya sastera akan semakin bertambah. Pihak sekolah turut
boleh menggalakkan setiap kelas menyediakan satu ruang atau sudut membaca
di kelas bagi memudahkan pelajar untuk menghayati karya sastera ketika guru
tiada di dalam kelas. Tegasnya, pihak sekolah memainkan peranan yang penting
dalam menarik minat pembaca terhadap karya sastera.
Selain itu, peranan ibu bapa juga amat penting dalam mengambil langkah untuk
menarik minat anak-anak membaca karya sastera. Ibu bapa haruslah memberikan
pendedahan tentang karya sastera kepada anak-anak sejak kecil lagi bak kata
pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Contohnya, ibu bapa boleh
membaca sastera ralyat kepada anak-anak sebelum mereka masuk tidur Melalui cara
ini, hubungan silaturahim antara ibu bapa dengan anak bukan sahaja dapat dipereratkan,
malah anak-anak dapat mengetahui cara hidup dan budaya masyarakat kita sendiri.
Selain itu, ibu bapa bolehlah membelikan karya sastera untuk dibaca oleh
anak-anak supaya mereka dapat menghayati keindahan hasil warisan bangsa selain
dapat mengisi masa lapang dengan berfaedah. Ibu bapa boleh menghadiahkan novel
yang sesuai kepada anak-anak mengikut umur mereka. Ibu bapa juga perlu
pilih bahan bacaan yang hendak dibeli untuk anak-anak sewaktu membawa mereka
berkunjung ke kedai buku mahupun pameran buku. Seterusnya, ibu bapa harus
menyediakan sebuah perpustakaan mini yang dilengkapi dengan pelbagai bahan
bacaan khususnya karya-karya sastera seperti prosa atau puisi tradisional dan
moden yang dihasilkan oleh pengarang tersohor di rumah. Dengan itu, minat
anak-anak untuk membaca karya sastera dapat dipupuk dan disemai dalam jiwa
mereka.
Di samping itu, media massa turut
memainkan peranan yang penting dalam mengambil langkah menarik minat semua
lapisan masyarakat membaca karya sastera. Sebagai contohnya, pihak media boleh
mempromosikan karya sastera kepada masyarakat melalui radio, televisyen dan
surat khabar. Melalui cara ini, lapisan masyarakat dapat mengetahui cara untuk
mendapatkan karya sastera di pasaran. Bukan itu sahaja, pihak media juga boleh
menyiarkan sudut sastera atau ulasan karya sastera yang agung di akhbar dan
majalah kepada orang ramai. Dengan itu, orang ramai berpeluang untuk mengenali
karya sastera di negara kita dengan lebih mendalam. Tambahan pula, pihak media
turut boleh menganjurkan peraduan teka teki atau menulis sajak dan syair yang
bertemakan karya-karya sastera. Jelasnya, pihak media haruslah mengambil
langkah untuk menarik perhatian orang ramai untuk membaca karya sastera.
Seterusnya, pihak kerajaan haruslah mengadakan pameran karya sastera dan kempen
menghayati karya sastera di seluruh pelusuk negara. Melalui langkah ini, rakyat
berpeluang untuk mengenali karya-karya sastera ini dengan lebih dekat. Tambahan
pula, pihak kerajaan boleh membina perpustakaan rakyat di setiap daerah bagi
memudahkan rakyat untuk membaca ataupun meminjam karya-karya sastera untuk
dibaca. Pihak kerajaan turut boleh mengambil inisiatif untuk mengurangkan kadar
cukai penerbitan karya sastera. Langkah ini dapat menurunkan harga buku
tersebut agar semua rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah berpeluang
untuk memiliki karya-karya sastera itu sendiri. Oleh itu, jelaslah bahawa pihak
kerajaan turut memainkan watak yang utama dalam mengambil langkah untuk menarik
minat orang ramai membaca karya sastera.
Akhir sekali, pihak-pihak NGO seperti syarikat penerbitan harus menerbitkan
lebih banyak karya sastera supaya karya tersebut mudah didapati di pasaran.
Pihak penerbit boleh bekerjasama dengan penulis untuk mengeluarkan
berbagai-bagai genre sastera. Penerbit juga perlu memberikan bayaran
setimpal dan berpatutan kepada penulis. Persatuan Karya-karya Sastera boleh
ditubuhkan untuk melindungi karya-karya penulis supaya tidak dplagiat oleh
pihak tertentu yang bermotifkan keuntungan dan bagi membolehkan para
peminat berkongsi pendapat bersama dengan penulis. Kerajaan juga boleh
meningkatkan jumlah penerbitan karya sastera dalam setahun dan bekerjasama
dengan seberapa ramai penulis dan penerbit untuk menghasilkan karya sastera
yang bermutu.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapat disimpulkan bahawa semua pihak
menggalas tanggungjawab yang berat dalam usaha untuk menghidupkan minat orang
ramai membaca karya sastera. Masyarakat pula harus bersikap berhati
terbuka supaya langkah-langkah tersebut mendapat sambutan yang hangat dan
seterusnya berjaya direalisasikan. Kita selaku warga Malaysia haruslah
mencintai dan menghayati karya sastera kita kerana ia merupakan warisan bangsa
dan mencerminkan identiti kita.
Usaha berterusan membantu golongan Orang Kurang Upaya
(OKU) merupakan satu tindakan yang wajar demi membolehkan golongan ini
memberikan sumbangan berkesan kepada negara.
Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang wajar dilakukan untuk membantu golongan ini?
Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang wajar dilakukan untuk membantu golongan ini?
Orang Kurang Upaya (OKU) ialah
kanak-kanak atau orang dewasa yang cacat keadaan fizikal atau mentalnya
sejak lahir atau kesan kemalangan atau penyakit tertentu. Kecacatan fizikal
dan mental ini menghalang mereka dari melakukan aktiviti-aktiviti
normal seperti sosial, rekreasi , pelajaran dan pekerjaan. Golongan Orang
Kurang Upaya (OKU) secara umumnya dapat dikategorikan kepada dua kumpulan
utama, iaitu kurang upaya secara kekal dan kurang upaya secara sementara.
Walaupun banyak kekurangan yang ada , masyarakat kurang upaya ini tidak
harus dipinggirkan kerana mereka juga turut memberi sumbangan kepada negara.
Oleh sebab itu, pelbagai usaha patut dilakukan bagi membantu OKU
meneruskan kehidupan dengan sempurna.
Antara usaha yang dapat dilakukan
ialah masyarakat perlu menerima kehadiran golongan kurang upaya ini seadanya
dan membantu mereka menjalani kehidupan dengan sebaiknya. Hal ini
kerana masyarakat perlu sedar bahawa OKU tidak meminta dilahirkan dalam
keadaan yang tidak sempurna malah mempunyai hak untuk hidup sama seperti orang
lain. Golongan Kurang Upaya (OKU) haruslah diberi layanan yang baik kerana
mereka turut mempunyai perasaan yang sama seperti insan lain. Mereka tidak suka
dipandang rendah dan dianggap tidak berguna. Namun begitu kita harus melayan
mereka secara istimewa dalam keadaan-keadaan tertentu seperti membantu mereka
melintas jalan, memberi tempat duduk di dalam kenderaan awam dan
sebagainya. Dalam hal ini, ibu bapa berperanan penting dalam mendidik
anak-anak dengan nilai-nilai murni seperti kasih sayang, simpati,belas kasihan
dan tolong menolong agar mereka dapat membantu OKU dengan seikhlas hati.
Selain itu, media massa sama ada
media elektronik atau media cetak juga berperanan penting dalam membantu
golongan kurang upaya ini. Pihak media massa perlu menyiarkan artikel dan
rancangan khas tentang OKU kepada segenap lapisan masyarakat. Rancangan di TV3
seperti Bersamamu kerap kali memaparkah kisah sedih dan pilu
OKU untuk perhatian masyarakat. Melalui rancangan ini , perasaan
masyarakat pasti akan tersentuh dan secara tidak langsung wujud perasaan
simpati dan terpanggil untuk menghulurkan bantuan. Dana dan tabung khas
disediakan oleh pihak media bagi memudahkan masyarakat menyalurkan bantuan
kewangan kepada OKU. Oleh hal yang demikian nasib OKU akan terbela dan mendapat
simpati berterusan daripada masyarakat untuk meneruskan kehidupan mereka.
Selain itu, kerajaan juga pula
dapat membantu OKU dengan memberi peluang kepada mereka untuk mendapatkan
kemahiran-kemahiran dalam pelbagai bidang . Golongan Kurang Upaya (OKU)
diberi peluang mengikuti latihan kemahiran seperti membaiki kenderaan dan
peralatan elektrik, membuat kek, keropok dan kraf tangan di Pusat Giat Mara,
Kolej Komuniti, Pusat Latihan dan Pemulihan Orang Cacat(JARO) dan lain-lain
institusi. Di sini ,OKU dilatih dalam pelbagai bidang kemahiran supaya mereka
dapat berdikari dan boleh bekerja sama ada makan gaji atau berniaga sendiri .
Setelah mantap dalam bidang pekerjaan, mereka akan duduk sama
rendah dan berdiri sama tinggi dengan orang lain membantu negara dan
tidak lagi menyusahkan orang lain bahkan mampu menyara hidup sendiri dan
keluarga.
Tambahan pula, pihak kerajaan
juga turut membantu OKU dengan memberikan bantuan dan elaun dalam bentuk wang
ringgit , makanan dan minuman, pakaian , tempat tinggal, peralatan
pembelajaran dan kenderaan khas. Peruntukan dari kerajaan ini disalurkan
melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat, MARA dan sebagainya. Bantuan seperti ini
bukan sahaja dapat meringankan beban OKU malah dapat mengembirakan hati mereka
dalam meneruskan kehidupan di dunia ini. Bantuan modal juga diperlukan oleh
golongan OKU untuk memulakan sesuatu perniagaan. Hal ini demikian kerana rata-rata
golongan ini adalah terdiri daripada orang susah atau miskin. Sehubungan dengan
itu, pihak kerajaan telah berusaha memberi bantuan modal kepada semua OKU
yang berminat melalui permohonan dan sokongan daripada persatuan masing-masing.
Oleh itu, bantuan kewangan atau modal ini sangat penting untuk
membolehkan golongan ini meningkatkan ekonomi mereka tanpa bergantung kepada
pertolongan daripada orang lain.
Selain itu, pihak kerajaan juga
menyediakan peluang untuk menyambung pelajaran di peringkat yang lebih tinggi
kepada OKU. Sistem pendidikan khas perlu diperluaskan kepada OKU yang
berada di luar bandar supaya ibu bapa yang mempunyai anak-anak ini berpeluang
menyekolahkan anak-anak mereka. Sehubungan itu, kemudahan pendidikan khas ini
mestilah ditingkatkan bagi melahirkan para pelajar yang setanding dengan
pelajar yang normal. Malah pihak kerajaan juga mestilah menyediakan tempat atau
kaota pengajian di peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) kepada OKU
yang mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia
dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia. Oleh itu, peluang ini akan meningkatkan
lagi motivasi pelajar OKU untuk mengubah nasib hidup mereka ke arah yang lebih
baik pada masa akan datang dengan ilmu yang dimiliki
itu.
Di samping itu, pihak swasta pula
digalakkan mengambil pekerja OKU untuk berkhidmat dalam syarikat mereka.
Mereka perlu memberi peluang ini kerana golongan OKU juga mampu menyumbangkan
kemahiran yang ada untuk memajukan syarikat tersebut. Di kilang umpamanya sudah
ada OKU yang bekerja sebagai operator pengeluaran, pembantu pejabat dan kerani
dimana sebelum ini kerja sebegini hanya dilakukan oleh pekerja yang normal
sahaja.Selain itu, usaha murni Pasaraya Besar Carrefour yang telah mensasarkan
5 peratus daripada pekerjanya ialah OKU haruslah diberi pujian kerana mereka
memberi peluang kepada OKU dan membantu mereka mendapatkan kerja bagi menyara
kehidupan keluarga mereka.
Kesimpulannya, golongan OKU sangat memerlukan bantuan daripada kita semua untuk meneruskan dan memajukan diri mereka ke tahap yang lebih baik lagi. Untuk merealisasikan hasrat tersebut semua pihak terutama kerajaan, swasta dan masyarakat mestilah berganding bahu menjayakan matlamat tersebut. Sekiranya kita tidak bersungguh-sunggguh membantu golongan ini sudah pasti mereka akan tersisih dalam era pemodenan negara menjelang tahun 2020 nanti. Kata pepatah muafakat membawa berkat sangat sesuai diamalkan oleh masyarakat kita dalam usaha membantu golongan OKU.
Kesimpulannya, golongan OKU sangat memerlukan bantuan daripada kita semua untuk meneruskan dan memajukan diri mereka ke tahap yang lebih baik lagi. Untuk merealisasikan hasrat tersebut semua pihak terutama kerajaan, swasta dan masyarakat mestilah berganding bahu menjayakan matlamat tersebut. Sekiranya kita tidak bersungguh-sunggguh membantu golongan ini sudah pasti mereka akan tersisih dalam era pemodenan negara menjelang tahun 2020 nanti. Kata pepatah muafakat membawa berkat sangat sesuai diamalkan oleh masyarakat kita dalam usaha membantu golongan OKU.
5 ulasan:
bagaimana saya ingin membuat krgan sehabat ini ? adakah sya perlu menyalinnya ?
bagaimana nak dapat idea ? sebab sya bru nak masuk f4 dan agk terkejut kerana perlu membuat karangan yang panjang, apabila sya cube buat , saya tiada idea. apa yng perlu sya lakukan ?
susah nak cakap.. karangan ni xbrp menarik
Ya perlu salin agar dapat banyak kosa kata
Meluasakn isi
Catat Ulasan