Khamis, 15 November 2012

SELAMAT MENYAMBUT MAAL HIJRAH

Awal Muharram atau Maal Hijrah merupakan suatu hari yang penting bagi umat Islam kerana menandakan peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah Islam iaitu memperingati penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w dari Kota Makkah ke Madinah pada tahun 622 Masihi. Peristiwa bersejarah itu berlaku pada 1 muharram tahun baru bagi Takwim Hijrah. Namun Tahun Hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah itu diambil sebagai permulaan kiraan bagi kalendar Hijrah.

MUHASABAH MAAL HIJRAH

Di awal tahun baru hijrah,
Ku sujud menghambakan diri pada-Mu,
Hati terus merintih mengenangkan dosa lalu,
Kotornya diri dengan maksiat dan noda,
Lemahnya jiwa berdepan dengan dunia,
Lalainya diri dari mengingati-Nya,
Astaghfirullahal 'adzim....
Banyaknya kekurangan diri,
Ampuni hamba-Mu ini Ya Allah.
Aku sedar,
Jiwa yang tandus taqwa,
Terdorong lakukan apa sahaja,
Sanggup menentang arus kehendak Ilahi,
Yang difikir hanyalah untuk kepuasan diri,
Maka, pabila dosa telah larut,
Gelaplah hati, kotorlah jiwa, murunglah diri,
Itulah fitrah sang pendosa,
Yang leka dari pencipta-Nya.
Namun, bila iman hadir di jiwa,
Mata hati mula bekerja,
Baru kusedar, betapa diri jauh dari-Mu Tuhan,
Asyik sibuk untuk dunia,
Hinggakan solat sering kutunda,
Al-Quran pun malas dibaca,
Lidahku kotor dengan kata-kata dusta,
Mata ini tak kujaga dari perkara dosa,
Telinga ini mendengar apa yang tak sepatutnya,
Kaki ini sering melangkah ke tempat lagha.
Ya Allah,
Jauh sekali diriku dengan peribadi kekasih-Mu,
Kau teladan terbaik bagi seluruh umat,
Ingin sekali aku mencontohi peribadimu, Rasulullah
Meskipun dirimu suci tanpa dosa,
Solat malam tidak pernah kau lupa,
Munajatmu di tengah malam jadi rutin harian,
Pengharapanmu pada Tuhan terlalu tinggi,
Sedang aku???
Seorang hamba yang penuh dosa....
Solat fardhu pun kurang dijaga,
Apatah lagi solat malam sepertimu, Ya Nabiyullah.

SELAMAT MENYAMBUT MAAL HIJRAH KEPADA MUSLIMIN DAN MUSLIMAT.
SEMOGA TAHUN BARU HIJRAH INI KITA AKAN BERUBAH MENJADI LEBIH BAIK
BERBANDING TAHUN-TAHUN YANG SUDAH BERLALU. AMIN

Tiada ulasan: