Sabtu, 5 Januari 2013

LATIHAN MERUMUS TEKS UNTUK MINGGU PERTAMA PERSEKOLAHAN SESI 2013

Soalan Rumusan Teks Di Bawah ialah latihan yang diberikan kepada pelajar Ting 4 Ibnu Sina, 4 Al Haitham, 5 Ibnu Khaldun dan 5 Al Haitham dengan contoh jawapan.



Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian tulis satu rumusan tentang langkah-langkah kerajaan meringankan beban rakyat dalam menghadapi kegawatan ekonomi dan kesan-kesan pemulihan ekonomi kepada rakyat. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Usaha membasmi kemiskinan tegar menjadi agenda utama kerajaan menjelang 2010. Bagi meringankan beban rakyat, usaha diambil dengan memperuntukkan RM214 juta bagi pelaksanaan Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat untuk tujuan pembasmian kemiskinan. Langkah ini juga akan memastikan agenda masyarakat penyayang terus diamalkan walaupun dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.
Kerajaan dalam usaha meringankan beban rakyat telah memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi pertama khusus untuk meningkatkan pemilikan rumah oleh rakyat. Oleh itu, bagi merangsang sektor perumahan kerajaan mencadangkan supaya pembeli diberi pelepasan cukai atas faedah pinjaman. Kerajaan juga telah membantu rakyat dengan menambah baik infrastruktur awam. Dalam hal ini, kerajaan telah menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM200 juta untuk menambah baik infrastruktur yang rosak serta menjalankan kerja-kerja pengubahsuaian, menyelenggara dan membaik pulih pelbagai kemudahan dan prasarana awam. Bon Simpanan Kerajaan telah diterbitkan untuk menjanakan pendapatan rakyat. Bon ini bertujuan memberi peluang kepada rakyat untuk memperoleh pendapatan tambahan. Bon ini dibuka kepada setiap rakyat berusia 21 tahun ke atas dengan nilai minimum pelaburan sebanyak RM1,000.
Selain itu, kerajaan menaik taraf pelbagai kemudahan asas di luar bandar seperti bekalan elektrik dan air terutama di Sabah dan Sarawak. Usaha ini akan meningkatkan ekonomi rakyat melalui pengambilan kontraktor kecil dan pekerja tempatan di kawasan luar bandar. Di samping itu, pelbagai program dan projek dirancang oleh kerajaan untuk meningkatkan ekonomi rakyat di Sabah dan Sarawak seperti pembesaran Lapangan Terbang Sibu, Sarawak dan Projek Sistem Penghantaran Elektrik Kota Kinabalu, Sabah.
Kini, terdapat beberapa program mikrokredit tanpa cagaran disediakan oleh pelbagai pihak seperti Amanah Ikhtiar Malaysia, AgroBank dan TEKUN. Program ini bertujuan untuk membantu peniaga kecil di bandar dan luar bandar. Kaedah lain yang dilaksanakan adalah dengan memberi bantuan kepada golongan kurang bernasib baik seperti warga emas, golongan kurang upaya dan ibu tunggal. Bantuan yang diberikan adalah seperti program jaringan keselamatan sosial, bantuan kewangan dan bilangan tenaga kerja, meningkatkan kemudahan pusat penjagaan warga tua, memantapkan pengurusan rumah perlindungan wanita dan menambahkan kemudahan pusat asuhan kanak-kanak.
Bagi mengurangkan tanggungan orang ramai, kerajaan mengambil langkah pengecualian cukai yang diberikan atas bayaran pampasan kehilangan pekerjaan. Langkah ini diambil bertujuan untuk menjaga kebajikan pekerja yang diberhentikan. Di samping itu, kerajaan menggalakkan pihak bank untuk menangguhkan bayaran balik pinjaman perumahan.
Kesimpulannya, kerajaan yakin usaha yang dirangka dan dilaksanakan adalah komprehensif dan menyeluruh untuk menghindarkan ekonomi negara daripada terjerumus dalam kancah kemelesetan yang mendalam sehingga memberi kesan kepada rakyatnya. Dengan landasan kukuh yang telah kita bina, kita yakin dapat mencipta kejayaan lebih besar.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana ‚‛Pakej RM60b
Perkukuh Ekonomi Negara Hadapi Kegawatan Global’,
Berita Harian, 11 Mac 2009)

CADANGAN JAWAPAN RUMUSAN
        Petikan membincangkan cara-cara kerajaan meringankan beban rakyat dalam menghadapi kegawatan ekonomi di Malaysia.
         Antara cara yang dijalankan adalah dengan  memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi pertama khusus untuk meningkatkan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat serta menerbitkan bon kerajaan untuk menjanakan pendapat rakyat. Selain itu, kerajaan juga berusaha menaik taraf pelbagai kemudahan asas di luar bandar serta menyediakan beberapa program mikrokredit tanpa cagaran. Bahkan juga, kerajaan mengambil langkah pengecualian cukai yang diberikan atas bayaran pampasan kehilangan pekerjaan dan menggalakkan bank menangguhkan bayaran balik pinjaman perumahan.
        Impak usaha murni kerajaan tersebut akan mengurangkan kemiskinan dalam kalangan rakyat dan ekonomi negara akan terus mampan.
       Akhir kalam, masyarakat harus menyokong usaha kerajaan mengurangkan beban rakyat dalam menghadapi kegawatan ekonomi agar nasib rakyat terus terbela.
119 patah perkataan


Antara kesalahan dilakukan pelajar semasa menulis rumusan di atas, antaranya:-
i)     Silap menulis pengenalan bersdasarkan format yang ditetapkan.
ii)    Pelajar tidak mempelbagaikan ayat semasa menulis isi sama ada tersurat atau tersirat. (  Ayat tunggal 
       dan ayat majmuk )
iii)   Isi tersurat atau isi tersirat tidak cukup ( 8 isi )
iv)   Kesalahan menulis format perenggan penutup.
vi)   Melakukan kesalahan tatabahasa.

        OLEH SEBAB ITU, PARA PELAJAR PERLU BERHATI-HATI SEMASA MENULIS RUMUSAN.

Tiada ulasan: