LAMAN WEB INTERAKSI GURU DAN PELAJAR

LAMAN BAHASA MELAYU INI DIWUJUDKAN SEBAGAI KEMUDAHAN GURU DAN PELAJAR BERINTERAKSI SERTA SEBAGAI PENGUKUHAN SITUASI PEMBELAJARAN DAN PENGAJARAN DI DALAM KELAS. SEMOGA PELAJAR KELAS 4K1, 4K2, DAN PELAJAR KELAS 5 SAINS SMK SERI LONDANG DAPAT MENGGUNAKAN BLOG INI SEBAGAI TEMPAT UNTUK MEMPERKASAKAN KEMAHIRAN BERBAHASA TERUTAMA MURID KELAS 5 SAINS BAKAL MENGHADAPI KERTAS BAHASA MELAYU (1103) SPM 2018 . SEMOGA ANDA SENTIASA CEMERLANG. SEBAGAI MAKLUMAN, SAYA SENTIASA MENAMBAH MENU BAHAN BAHASA DI SUDUT KANAN BLOG INI UNTUK MEMUDAHKAN PELAJAR MENCARI BAHAN BAHASA SAMA ADA BAHAN DARIPADA MEDIA MASSA SEPERTI AKHBAR-AKHBAR TEMPATAN, RUJUKAN KAMUS DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA, RUJUKAN MAJALAH TERBITAN DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA, KOLEKSI SOALAN-SOALAN PEPERIKSAAN SPM SEBENAR ,KOLEKSI SOALAN-SOALAN PERCUBAAN NEGERI-NEGERI DI MALAYSIA. SEMOGA BAHAN-BAHAN BERKENAAN DAPAT MEMBANTU PELAJAR MENJALANKAN TUGASAN DAN SUMBER UNTUK MENDAPATKAN MAKLUMAT BAHASA. INSYA ALLAH SAYA AKAN SENTIASA BERUSAHA UNTUK MENJADIKAN BLOG INI KONDUSIF SEBAGAI MEDIA MAYA UNTUK PELAJAR BERJAYA MENGUASAI KEMAHIRAN BERBAHASA. DOAKAN SAYA SENTIASA SIHAT MENGENDALIKAN BLOG INI SEBAIK-BAIKNYA. AAMIIIIN. SAYA JUGA MENGUCAPKAN TERIMA KASIH KEPADA PENGUNJUNG MAYA YANG SENTIASA MENGUNJUNGI BLOG LAMAN BAHASA MELAYU SPM INI. KEBERADAAN ANDA MEMOTIVASI SAYA UNTUK BERBAKTI KEPADA ANAK BANGSA SERTA MEMPERKASAKAN BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA KEBANGGSAAN, BAHASA JIWA BANGSA. SAYA MENGHARGAI SEKIRANYA ADA CADANGAN DARIPADA PENGUNJUNG TERUTAMA UNTUK MEMANTAP KEBERADAAN BLOG INI SEBAGAI SUMBER RUJUKAN BAHASA MELAYU.

Ahad, 13 Mei 2018

KARANGAN BERPANDU- RPOGRAM MENYALIN KARANGAN CEMERLANG ( LANGKAH-LANGKAH MENGATASI KESESAKAN JALAN RAYA)


             Kemajuan negara hasil keringat pemimpin hari ini dan pada masa lalu turut dirasai oleh rakyat. Seiring dengan kemajuan negara, peningkatan pendapatan penduduk membolehkan rakyat mampu memiliki kenderaan sendiri. Kita dapat melihat sendiri hampir setiap keluarga mempunyai kenderaan. Selaras dengan peningkatan jumlah kenderaan ini, kadar kesesakan di jalan raya turut semakin meningkat dan menjadi masalah utama kepada semua rakyat. Walaupun ada usaha daripada pihak kerajaan melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) memperbaik sistem pengangkutan awam dengan memperkenal perkhidmatan rel bandar, pekhidmatan Tren Elektrik (ETS), perkhidmatan bas menghubungi bandar dan antara bandar, perkhidmatan Teksi 1Malaysia, dan pengenalan kereta sewa persendirian "GrabTaxi" dan "GrabCar" tetapi masalah kesesakan jalan taya masih tetap berlaku. Sekiranya, permasalahan perkhidmatan pengangkutan ini terus berleluasa, dan tidak diselesaikan hingga ke akar umbi sudah pasti pengguna jalan raya akan terus menghadapi dilema kerana terpaksa mengharungi kesesakan jalan raya setiap hari. Persoalannya, apakah cara-cara untuk mengurangkan kesesakan jalan raya?

            Antara cara untuk menangani masalah ini termasuklah pihak kerajaan harus menambahkan rangkaian lebuh raya dengan membina lebih banyak jaringan pengangkutan terutama di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru. Lebuh raya yang sedia ada perlu dinaikkan tarafnya. Contohnya, pihak kerajaan boleh memperlebar jalan raya yang sempit. Langkah ini membolehkan jalan raya menampung bilangan kenderaan yang lebih banyak. Pembinaan jalan raya bertingkat turut harus dilaksanakan agar kesesakan dapat dikurangkan. Kerajaan juga perlu menambah dan meningkatkan kemudahan pengangkutan awam bagi mengurangkan bilangan kenderaan di jalan raya. Contohnya, perkhidmatan bas perlu dinaik taraf daripada bas mini kepada bas yang lebih selesa. Perkhidmatan komuter, LRT , dan monorel harus dimajukan dari semasa ke semasa bagi menarik minat orang ramai menaikinya. Jika penyediaan sistem pengangkutan  negara lebih kondusif pengguna dan dirangka secara efisien sudah pasti  masalah kesesakan jalan raya tidak akan terus berlaku sehingga mengancam kehidupan pengguna jalan raya. Jelasnya, pihak kerajaan berperanan penting dalam menyediakan pelbagai kemudahan dan pembinaan jalan raya dalam menangani masalah ini.

            Selain itu, polis trafik perlu mengawal lalu lintas terutama ketika waktu kesesakan . Polis trafik perlu bertugas di laluan yang sentiasa mengalami masalah kesesakan khususnya pada waktu balik kerja dari pejabat. Dengan adanya pengawalan lalu lintas oleh pihak trafik, masalah seperti kegagalan fungsi lampu isyarat tidak lagi menjadi punca kesesakan lalu lintas. Bukan itu sahaja, kesesakan jalan raya akibat kemalangan jalan raya turut dapat dikendalikan dengan cepat dan efektif kerana polis trafik telah sedia ada bertugas di jalan raya tertentu. Polis trafik turut dapat membantu memastikan kelicinan pengguna jalan raya dan seterusnya mengelakkan berlakunya kesesakan lalu lintas berlaku ketika waktu puncak. Sekiranya pihak berkuasa hanya bergantung seratus peratus kepada sistem manual dengan mengharapkan lampu isyarat mengawal aliran kenderaan pada setiap masa, sudah pasti kesesakan jalan raya tidak akan dapat diselesaikan.  Tegasnya, polis trafik menggalas tanggungjawab yang berat dalam mengurangkan masalah kesesakan di jalan raya.

            Selain itu, kerajaan juga boleh menggalakkan masyarakat berkongsi kereta ke tempat kerja. Berkongsi kereta merupakan saranan yang ideal dalam usaha mengatasi masalah kesesakan jalan raya. Hal ini berkaku demikian kerana apabila masyarakat berkongsi kereta ke tempat kerja, sudah tentu bilangan kereta di atas jalan raya dapat dikurangkan. Namun demikian, langkah ini juga mempunyai masalahnya yang tersendiri kerana melibatkan perubahan sikap pengguna yang bersikap indivualistik ibarat enau dalam belukar melepasi pucuk masing-masing dalam kehidupan seharian mereka.  Mereka tidak rela berkongsi kereta dengan pihak lain. Ada juga ramai yang tidak menyahut seruan kerajaan berkongsi kereta untuk memudahkan diri ke sesuatu destinasi tanpa menyusahkan orang lain. Jika perubahan sikap ini tidak dibanteras dari awal terutama dalam kalangan kanak-kanak sudah pasti usaha untuk berkongsi kereta yang diaplikasikan dalam kehidupan masyarakat kerana peribahasa Melayu ada mengatakan ”melentur buluh, biarlah daripada rebungnya. Jelasnya, masyarakat kini perlulah menghakis sikap tersebut dan mengambil langkah yang proaktif seperti rela berkongsi kereta agar kesesakan di jalan raya dapat dikurangkan.

            Di samping itu, pihak berkuasa juga perlu melarang kenderaan berat memasuki laluan utama dalam tempoh tertentu. Kenderaan berat hanya dibenarkan mengguna laluan utama pada masa-masa yang tertentu untuk memastikan kelicinan lalu lintas pada waktu puncak seperti waktu pagi dan waktu malam. Hal ini kerana kebanyakan masyarakat keluar pada waktu ini atas urusan ke pejabat, menghantar anak ke sekolah dan sebagainya. Dalam hal ini, pihak polis trafik haruslah sentiasa meronda di laluan utama agar tiada kenderaan berat yang berada di jalan raya yang biasanya sesak. Sekiranya sesebuah kenderaan berat telah rosak di tengah- tengah jalan, kenderaan tersebut akan mengganggu pergerakan lalu lintas kerana saiznya yang besar akan menghalang kenderaan yang lain. Pada masa yang sama penguatkuasaan terhadap kenderaan berat berada di jalan raya pada waktu puncak perlu dijalankan secara berterusan dan tidak sekadar hangat-hangat tahi ayam sahaja agar ketegasan ini akan memberi pengajaran bukan sahaja kepada pemandu tetapi juga kepada pengusaha kenderaan berat berkenaan. Sekiranya penguatkuasaan berkenaan hanya dijalankan secara bermusim sahaja, sudah pasti objektif utama untuk tidak membenarkan kenderaan berada di jalan raya pada waktu puncak akan gagal dan kesesakan jalan raya akan sentiasa berlaku. Sudah terang lagi bersuluh, pihak berkuasa perlu melarang kenderaan berat dari  memasuki laluan utama terutamanya pada waktu puncak untuk mengelakkan kesesakan di jalan raya.

            Kesimpulannya, kesesakan di jalan raya mendatangkan banyak kerugian terhadap masyarakat dari segi masa, tenaga dan kewangan. Bahkan juga, bilangan pengguna jalan raya menghadapi masalah stres semakin meningkat dan ini memberi impak kepada  keselesaan hidup mereka. Oleh itu, kerajaan dan pihak berkuasa haruslah berganding bahu dengan menguatkuasakan undang-undang jalan raya. Selain itu, usaha mendidik masyarakat untuk berkongsi kereta ke pejabat perlu diberi keutamaan bermula daripada sekolah lagi, selain media arus perdana perlu cakna dengan menyiarkan rencana dan kempen berkongsi kereta setiap masa di media-media mereka sama ada media bercetak atau media elektronik. Bagi masyarakat pula, sikap masyarakat yang mementingkan diri sendiri mestilah dihakis dan sedia menerima perubahan untuk kebaikan bersama kerana muafakat membawa berkat.

SAYA MENGHARAPKAN PELAJAR TING. 5 DAN 4 MENYALIN KARANGAN BERPANDU DI ATAS KE DALAM BUKU LATIHAN KARANGAN.
PROGRAM MENYALIN KARANGAN CUTI  PERISTIWA DAN CUTI HUJUNG MINGGU.

Tiada ulasan: