LAMAN WEB INTERAKSI GURU DAN PELAJAR

LAMAN BAHASA MELAYU INI DIWUJUDKAN SEBAGAI KEMUDAHAN GURU DAN PELAJAR BERINTERAKSI SERTA SEBAGAI PENGUKUHAN SITUASI PEMBELAJARAN DAN PENGAJARAN DI DALAM KELAS. SEMOGA PELAJAR KELAS 4K1, 4K2, DAN PELAJAR KELAS 5 SAINS SMK SERI LONDANG DAPAT MENGGUNAKAN BLOG INI SEBAGAI TEMPAT UNTUK MEMPERKASAKAN KEMAHIRAN BERBAHASA TERUTAMA MURID KELAS 5 SAINS BAKAL MENGHADAPI KERTAS BAHASA MELAYU (1103) SPM 2018 . SEMOGA ANDA SENTIASA CEMERLANG. SEBAGAI MAKLUMAN, SAYA SENTIASA MENAMBAH MENU BAHAN BAHASA DI SUDUT KANAN BLOG INI UNTUK MEMUDAHKAN PELAJAR MENCARI BAHAN BAHASA SAMA ADA BAHAN DARIPADA MEDIA MASSA SEPERTI AKHBAR-AKHBAR TEMPATAN, RUJUKAN KAMUS DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA, RUJUKAN MAJALAH TERBITAN DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA, KOLEKSI SOALAN-SOALAN PEPERIKSAAN SPM SEBENAR ,KOLEKSI SOALAN-SOALAN PERCUBAAN NEGERI-NEGERI DI MALAYSIA. SEMOGA BAHAN-BAHAN BERKENAAN DAPAT MEMBANTU PELAJAR MENJALANKAN TUGASAN DAN SUMBER UNTUK MENDAPATKAN MAKLUMAT BAHASA. INSYA ALLAH SAYA AKAN SENTIASA BERUSAHA UNTUK MENJADIKAN BLOG INI KONDUSIF SEBAGAI MEDIA MAYA UNTUK PELAJAR BERJAYA MENGUASAI KEMAHIRAN BERBAHASA. DOAKAN SAYA SENTIASA SIHAT MENGENDALIKAN BLOG INI SEBAIK-BAIKNYA. AAMIIIIN. SAYA JUGA MENGUCAPKAN TERIMA KASIH KEPADA PENGUNJUNG MAYA YANG SENTIASA MENGUNJUNGI BLOG LAMAN BAHASA MELAYU SPM INI. KEBERADAAN ANDA MEMOTIVASI SAYA UNTUK BERBAKTI KEPADA ANAK BANGSA SERTA MEMPERKASAKAN BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA KEBANGGSAAN, BAHASA JIWA BANGSA. SAYA MENGHARGAI SEKIRANYA ADA CADANGAN DARIPADA PENGUNJUNG TERUTAMA UNTUK MEMANTAP KEBERADAAN BLOG INI SEBAGAI SUMBER RUJUKAN BAHASA MELAYU.

Isnin, 14 Mei 2018

NOTA PROSA TRADISIONAL -KEPIMPINAN MELALUI TAULADAN (TING. 4)



Prosa Tradisional
(Kepimpinan Melalui Teladan)
SINOPSIS
Kisah bermula apabila Seri Betara Majapahit berbincang dengan Patih Gajah Mada untuk menewaskan Melaka setelah kematian penjurit tujuh bersaudara. Ketujuh-tujuh penjurit dibunuh oleh laksamana di Bukit Cina. Justeru, Patih Gajah Mada merancang untuk mengarahkan Kertala Sari membunuh Sultan Melaka dan laksamananya. Kertala Sari bersetuju dengan permintaan Patih Gajah kerana ingin membalas dendam atas kematian ayahnya yang dibunuh oleh laksamana Melaka.
  
Patih Gajah membawa Kertala Sari mengadap Seri Betara dan menerangkan bahawa Kertala Sari merupakan penjurit yang sangat handal. Kehebatan Kertala Sari mengalahkan negeri Daha seorang diri menyebabkan Seri Betara menitahkan Kertala Sari segera ke Melaka untuk membunuh Sultan Melaka dan laksamana Melaka dan menjanjikan jawatan penggawa agung kepadanya.

Ketika berada di Melaka Kertala Sari menyemar sebagai pengikut Patih Kerma Wijaya. Di Melaka Kertala Sari mencuri harta saudagar-saudagar dan orang-orang kaya serta mencabuli isteri-isteri mereka. Keadaan ini menimbulkan kerisauan kepada Sultan Melaka dan menitahkan agar Temenggung serta orangnya menjaga keselamatan dan mengawal keadaan negeri Melaka dari kejadian kecurian. Namun kecurian masih tetap berlaku sehingga melibatkan rumah Bendahara. Hal ini kerana Kertala Sari menggunakan ilmu kesaktian untuk menggelakkan diri daripada ditangkap. Melihat pada keadaan tersebut laksamana menawarkan diri kepada Sultan untuk mengawal istana kerana mengikut firasatnya penjurit akan masuk ke istana pula.

Dengan kebijaksanaan dan kecekapan serta ilmu yang dimiliki oleh laksamana berjaya mengagalkan rancangan Kertala Sari untuk mencuri harta raja,membakar dan mengamuk serta mengambil isteri-isteri sultan. Kertala Sari berjaya dibunuh oleh laksamana di tengah pasar, manakala kemaluan Kertala Sari dipotong sebagai bukti laksamana membunuhnya. Mayat Kertala Sari telah dikerat-kerat anggota badanya oleh penduduk yang menjumpai mayat tersebut untuk dibuktikan kepada sultan bahawa merekalah yang telah membunuh Kertala Sari. Namun laksamana telah menunjukkan bukti yang lebih kukuh kepada sultan bahawa beliaulah yang telah berjaya membunuh Kertala Sari. Baginda sultan telah memberi anugerah kepada laksamana atas kejayaan membunuh Kertala Sari

Segala hasil curian yang telah disimpan oleh Kertala Sari di Bukit Cina berjaya ditemui dan Sultan telah mengarahkan semua empunya barang untuk menuntut barang-barang tersebut. Baginda sultan telah meminta supaya empunya barang-barang tersebut memberikan dua pertiga bahagian dari barang-barang tersebut kepada laksmana. Namun laksamana hanya bersetuju untuk mengambil satu bahagian sahaja dan barang-barang tersebut kesemuanya telah diagihkan oleh laksamana kepada fakir miskin dan orang-orang bawahannya tanpa mengambil sedikitpun dari harta tersebut. Akhirnya berita kematian Kertala Sari yang dibunuh oleh laksamana telah sampai ke pengetahuan Patih Gajah Mada di Majapahit. Patih Gajah Mada tidak putus asa terus mencari orang yang dapat membunuh Sultan dan Laksamana Melaka.
TEMA
Kepahlawanan seorang laksamana mempertahankan negara.
Keberanian dan kegagahanan Laksamana mempertahankan negeri Melaka dari ancaman penjurit tujuh bersaudara serta Kertala Sari dari Majapahit yang membuat hura hara.
PERSOALAN
  1. Persoalan keberanian dalam menegakkan keadilan.
  2. Persoalan pemimpin mestilah seorang yang bijaksana.
  3. Persoalan pemimpin yang mengambil berat kesusahan rakyat.
  4. Persoalan penggunaan ilmu kesaktian dalam kehidupan seseorang.
  5. Persoalan perasaan dendam membawa akibat buruk.
WATAK DAN PERWATAKAN   

  1. Laksamana
    • Seorang yang berani
    • Seorang yang pemurah
    • Seorang yang bijaksana
    • Cinta akan keamanan negara
      • Taat setia kepada pemerintah
      • Pandai dalam ilmu kesaktian
      • Memiliki sifat kepahlawanan
  1. Kertala Sari
    • Anak kepada Petala Bumi
    • Berasal dari Majapahit
    • Seorang pencuri yang handal
    • Seorang yang tamak dan angkuh
    • Seorang pendendam
    • Pandai dalam ilmu kesaktian
    • Suka membuat huru hara
    • Taat kepada pemerintah
  1. Sultan Melaka
    • Seorang yang prihatin
    • Seorang pemimpin yang adil
    • Seorang yang mengenang budi
  1. Patih Gajah Mada
    • Berasal dari Majapahit
    • Seorang pendendam
   
LATAR 
Latar Masyarakat

  1. Masyarakat feudal
             Contoh: Masyarakat yang mengamalkan sistem pemerintahan beraja .

  1. Masyarakat yang bertanggungjawab
            Contoh : Laksamana menawarkan diri untuk menangkap penjurit yang menyebabkan
            masalah kecurian di negeri Melaka.

3.    Masyarakat yang mengenang budi
      Contoh : Saudagar dan orang-orang kaya yang kehilangan hartanya akibat dicuri oleh  
      Kertala Sari telah memberikan sebahagian harta mereka kepada Laksamana dengan ikhlas   
      serta harta mereka ditemui.

 4.  Masyarakat yang taat pada pemerintah
      Contoh : Ketaatan Laksamana terhadap Sultan dan negerinya.

Latar Tempat

  1. Negeri Melaka
            Contoh: Kartala Sari membuat huru hara dengan mencuri harta sudagar dan orang-orang
            kaya di Melaka
  1. Majapahit
            Contoh: Patih Gajah Mada dan Seri Bentara merancang untuk membalas dendam atas
            kematian penjurit tujuh bersaudara di Bukit Cina.
  1. Di tengah pasar
            Contoh : Tempat Kertala Sari mati dibunuh oleh Laksamana.

Latar Masa

  1. Malam
           Contoh: Kertala Sari masuk mencuri ke rumah saudagar dan orang-orang kaya pada sebelah    
           malam.
  1. Siang
           Contoh: Bendahara melaporkan kepada Sultan bahawa rumahnya telah dimasuki pencuri  
           dan habis segala harta-hartanya.

GAYA BAHASA 

  1. Bahasa istana
           Contoh: sultan, patik, tuanku,
  1. Bahasa pinjaman bahasa Jawa
            Contoh: manira,kula,pakanira
  1. Kata ganda
            Contoh: kaya-kaya, sekuasa-kuasa, menampar-nampar,tikam-menikam,radak-meradak

NILAI

  1. Nilai keberanian
            Contoh:Laksamana berani untuk menentang dan membunuh Kertala Sari.
  1. Nilai tolong-menolong
            Contoh: Laksamana menawarkan diri untuk mengawal keselamatan negeri Melaka.
  1. Nilai kebijaksanaan
            Contoh: Laksamana menggunakan tipu helah untuk mengalahkan Kertala Sari degan
            berpura-pura tidur di tengah-tengah pasar pada waktu malam.
  1. Nilai pemurah
             Contoh: Laksamana membahagi-bahagikan harta yang dihadiahkan oleh saudagar dan 
             orang-orang kaya kepada fakir miskin dan orang-orang bawahannya tanpa mengambil
             sedikitpun harta itu.

PENGAJARAN 

  1. Kita hendaklah berani menghadapi musuh supaya keselamatan negara akan terjamin.
  2. Kita hendaklah rasional membuat keputusan agar tidak menyesal pada masa akan datang.
  3. Janganlah kita mempunyai perasaan dendam supaya hidup kita sentiasa bahagia. 
  4. Kita hendalah mengamalkan sikap pemurah agar kehidupan kata sentiasa dirahmati tuhan

Soalan:-
Baca petikan prosa tradisional di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Hatta maka hari pun malamlah. Maka Kertala Sari pun masuk mencuri pula sebuah rumah saudagar yang lain. Setelah sudah banyaklah ia beroleh harta, maka ia pun kembali pada tempatnya pula. Dengan demikian habislah segala harta saudagar yang kaya-kaya itu dicurinya. Maka segala saudagar dan orang kaya-kaya itu pun masuk menghadap raja berdatang sembah, “Ya tuanku, patik mohonkan ampun, adapun patik sekalian ini habis kecurian tinggal sehelai sepinggang.”

Setelah baginda mendengar sembah orang itu, maka baginda pun terkejut seraya menampar-nampar pahanya. Maka titah baginda, “Wah , datanglah pula bala atas negeriku! Baiknya ada Laksamana; jikalau Laksamana kuutuskan ke negeri orang, binasalah negeri ini.” Maka baginda pun bertitah kepada Temenggung, “Hai Temenggung, suruh orang berkawal dan segala saudagar berkawal pada kampungnya!” Maka Temenggung pun menyuruhkan orangnya berkisah orang kaya-kaya dan saudagar berkawal pada kampungnya. Setelah hari malam, maka Temenggung pun menyuruh orangnya berkawal, terlalu banyak dengan lembing perisai dan segala saudagar pun masing-masing berkawal pada kampungnya.

Sebermula maka Kertala Sari pun masuk ke dalam. Maka dilihatnya oleh Kertala Sari orang berkawal terlalu banyak dengan alat senjatanya. Maka Kertala Sari pun membaca pustakanya lalu berjalan di tengah orang banyak itu. Maka ia pun pergi ke rumah seorang kaya. Maka dicurinya harta yang kemas-kemas itu lalu dibawanya kembali dan bini orang kaya-kaya itu dicabulinya. Maka ia pun kembali ke tempatnya.

Dipetik daripada “Kepimpinan Melalui Teladan”
dalam antologi Jaket Kulit Kijang dari Istanbul
Dewan Bahasa dan Pustaka

(i)  Berikan maksud sehelai sepinggang.
(2 markah)

(ii) Berdasarkan petikan di atas, apakah tindakan yang dilakukan oleh Temenggung selepas    
      mendengar perintah daripada sultan?                                                                         (3 markah)

(iii) Raja segera menitahkan orang-orang Temenggung berkawal sebaik-baik sahaja mengetahui     
       berita tentang kecurian yang berlaku di negeri baginda.
       Pada pendapat anda, mengapakah baginda menitahkan kegiatan kecurian itu diatasi dengan     
      segera?

(3 markah)

Tiada ulasan: