Karangan Berpandu
Tema atau tajuk karangan berpandu di atas sukar, kerana pelajar perlu mempunyai pengetahuan yang luas mengenai e-pembelajaran. Justeru, pelajar perlu memahami definisi e-pembelajaran dan pengetahuan fungsinya sebelum menulis karangan bertemakan tajuk berkenaan.
Contoh karangan.
Pepatah ada mengatakan ‘sekali air bah, sekali pantai berubah’,
begitulah hakikatnya perubahan sistem pendidikan negara kita kerana
sistem pendidikan konvensional yang
diamalkan sebelum ini telah bertukar wajah kepada sistem pembelajaran moden
berasaskan elektronik. Sistem pendidikan terkini iaitu e-pembelajaran melanda
kehidupan manusia dengan evolusinya seakan-akan tidak mengenal penghujungnya. Justeru,
untuk memastikan sistem pendidikan negara bertaraf dunia, Kementerian Pelajaran
Malaysia telah memperkenalkan e-pembelajaran di sekolah-sekolah bertujuan untuk
melonjakkan taraf pendidikan rakyat Malaysia agar boleh duduk sama rendah dan
berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju serta bertaraf dunia. Pendidikan secara
e-pembelajaran merupakan satu bentuk pendidikan masa depan yang memaksimumkan penggunaan Teknologi dan
Maklumat (IT) dalam proses pengajaran dan pembelajaran. E-pembelajaran dapat
ditakrifkan sebagai sistem pengajaran dan pembelajaran yang melepasi sempadan
bilik kuliah atau kelas di sekolah. Jika kita menerobosi secara terperinci
tentang sistem e-pembelajaran ini,
banyak kelebihan yang bakal diperoleh pelajar, mahasiswa, dan masyarakat
keseluruhannya apabila e-pembelajaran diaplikasikan dalam sistem pendidikan
negara.
Mari kita fokus perbincangan pertama berdasarkan kata kunci kebaikannya
iaitu e-pembejaran membolehkan para pelajar mengikuti pembelajaran tanpa perlu
terikat dengan waktu pembelajaran di dalam kelas. Hal ini kerana, para pelajar
dapat meneruskan pembelajaran dimana-mana sahaja tanpa mengira waktu
menggunakan sistem eketronik ini. Para pelajar boleh meneruskan pembelajaran
dan melakukan perbincangan pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja tanpa perlu
duduk setempat bersama-sama seperti sistem pendidikan kovensional yang
memerlukan pelajar berada di dalam kelas atau kuliah. Hasilnya, lebih banyak
informasi dapat digali dan pelbagai idea baru dapat ditunasi. Selain itu, sitem
pembelajaran e-pembejaran ini turut membuka peluang untuk para pelajar
berinteraksi menggunakan internet dan juga e-mel antara pelajar dengan pelajar,
pelajar dengan guru atau pensyarah, atau guru dengan pelajar. Hal ini secara
tidak langsung dapat menjimatkan lagi masa para pelajar. Bahkan juga, pelajar
boleh berintraksi dengan guru setiap ruang masa. Contohya, pengenalan sistem
Frog vle merupakan kaedah pembelajaran terkini yang diperkenalkan oleh
Kementerian Pelajaran di sekolah-sekolah terutama sekolah kluster kecemerlangan.
Pelajar boleh melakukan latihan dan menerima nota daripada guru melalui sistem
pembelajaran baru tersebut. Tegasnya, sistem e-pembelajaran membolehkan para pelajar mengikuti kelas tanpa
perlu terikat dengan waktu pembelajaran di dalam kelas.
Seterusnya, fokus perbincangan
kedua menjurus kepada isi menerusi e-pembelajaran, para pelajar dapat
menggunakan E-buku yang boleh dimuat turun secara langsung dari sistem
e-pembelajaran. E-Buku mempunyai pelbagai aplikasi. Antaranya termasuklah
pemprosesan kata, hamparan data, senarai kandungan, kalendar dan sebagainya.
Dengan e-buku itu, para pelajar tidak perlu membawa buku yang banyak ke sekolah.
Penggunaan buku elektronik ini dijangka dapat mengurangkan kos bagi Skim
Pinjaman Buku Teks (SPBT) di sekolah dalam jangka masa yang panjang. Penggunaan
e-buku mampu menangani kepelbagaian masalah pelajar dalam bidang akademik di
dalam kelas. Dengan itu, keluhan ibu bapa terhadap bebanan anak-anak membawa
jumlah buku yang banyak ke sekolah dapat diselesaikan apabila e-buku diaplikasi
di sekolah. E-buku menjadi suatu wahana dengan pendekatan interpersonal antara
guru dengan pelajar yang boleh mereka melahirkan komunikasi positif dalam
proses pengajaran dan pembelajaran. Sebagai seorang pelajar, internet juga
boleh dijadikan sebagai medium rujukan. Malahan, internet juga dianggap sebagai
perpustakaan maya yang menyimpan khazanah ilmu pengetahuan. Maklumat yang
diperoleh menggunakan sistem pendidikan elektronik ini membolehkan pelajar menerima
bahan berkenaan dengan lebih cepat, mudah dan
menjimatkan masa. Jelaslah, e-pembelajaran mampu mengurangkan
kebergantungan pelajar terhadap penggunaan buku teks di sekolah.
Fokus kebaikan seterusnya ialah e-pembelajaran
membantu para pelajar terutama mahasiswa meneruskan pembelajaran di peringkat pengajian
tinggi. Hal ini kerana dengan penggunaan e-pembelajaran mereka tidak perlu lagi
bersemuka dengan pensyarah. Pelajar yang mengikuti Pengajian Jarak Jauh (PJJ) tidak
perlu ke Institusi Pengajian Tinggi untuk bertemu dengan pensyarah mereka kerana
para pensyarah mengendalikan pembelajaran secara telesidang yang menggabungkan
audio, video dan grafik dari lokasi yang berbeza dengan menggunakan sistem
e-pembelajaran. Sudah pasti dengan pembelajaran cara ini kos pembelajaran dapat
dikurangkan.. Malahan, konsep universiti terbuka seperti ini dijalankan oleh universiti tempatan
seperti Universiti Terbuka ( Open Universiti), Universiti Tun Abdul Razak, dan Universiti
Putra Malaysia. Dalam hal ini, golongan seperti suri rumah dan pesara dapat
terus melanjutkan pelajaran tanpa perlu menghadirkan diri ke institusi pendidikan
tinggi berkenaan. Hal ini secara tidak langsung dapat memanifestasikan slogan
pendidikan sepanjang hayat yang digalakkan oleh kerajaan. Seterusnya, e-pembelajaran
ini dapat menjimatkan pelbagai kos kehidupan pelajar seperti penginapan dan
pembelanjaan harian kerana pembelajaran boleh dilakukan di rumah. Sudah pasti
pembelajaran secara e-pembelajaran menjimatkan kos perbelanjaan dan penginapan
para pelajar. Tegasnya, e-pembelajaran tidak memerlukan pelajar ke Institusi
Pendidikan Tinggi untuk melakukan proses pembelajaran.
Bahkan juga, aplikasi pengajaran
dan pembelajaran menggunakan e-pembelajaran amat memberangsangkan proses
pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Dalam sistem pembelajaran ini,
pelajar boleh melakukan pelbagai aktiviti, disamping pembelajaran boleh
dilakukan dalam pelbagai cara berasaskan perisian di dalam komputer seperti
kecanggihan grafiknya, audio-visualnya yang menarik sudah pasti pembelajaran
akan lebih kondusif kepada pelajar. Tambahan pula, suasana pendingin hawa yang menyegarkan
akan menyebabkan pelajar akan lebih aktif, tidak berasa bosan dan tubuh badan
pelajar cergas dan fikiran mereka cerdas. Bahkan juga, pelajar dapat
menjalankan latihan secara interaktif sama ada dengan tindak balas perisian
komputer yang dijana oleh sistem yang dihasilkan khas oleh pihak Kementerian
Pelajaran atau dihasilkan oleh guru-guru mata pelajaran sendiri. Oleh sebab
itu, pelajar akan mudah dan cepat memahami mata pelajaran yang sukar seperti
Matematik Tambahan, Sains, dan juga mata pelajaran bahasa sama ada bahasa
Melayu atau bahasa Inggeris. Justeru, Tegasnya, aplikasi pengajaran dan
pembelajaran menggunakan e-pembelajaran amat memberangsangkan proses pengajaran
dan pembelajaran di dalam kelas.
Kesimpulannya, sememangnya e-pembejaran
memberikan pelbagai kelebihan kepada seluruh lapisan masyarakat. Umum
mengetahui bahawa bentuk pengajaran dan pembelajaran yang baharu membolehkan
rakyat meningkatkan kemahiran dan kelayakan akademik mereka. Pelaksanaan sistem
pendidikan maya di negara kita dapat meluaskan lagi horizon minda para pelajar.
Para pelajar akan lebih terdedah dengan dunia globalisasi sekiranya e-pembelajaran
dilaksanakan secara menyeluruh. Walaupun usia telah meningkat ilmu pengetahuan
tetap dapat dikuasai. Konsep pembelajaran sepanjang hayat menerusi pendidikan
sedemikian patut dimanfaatkan oleh semua bertunjangkan pepatah ‘ sebab mutiara
sebiji, lautan dalam diselami orang’. Selain itu pelbagai pihak tidak kira
pihak swasta mahupun badan bukan kerajaaan (NGO) perlulah berganding bahu
bersama kerajaan untuk membangunkan lagi sistem pendidikan di negara kita agar pendidikan
negara bertaraf dunia.
2 ulasan:
Terima kasih
Sama-sama.
Catat Ulasan