Sabtu, 9 Mac 2013

KARANGAN BERPANDU

 Karangan Berpandu
Tema atau tajuk karangan berpandu di atas sukar, kerana pelajar perlu mempunyai pengetahuan yang luas mengenai e-pembelajaran. Justeru, pelajar perlu memahami definisi e-pembelajaran dan pengetahuan fungsinya sebelum menulis karangan bertemakan tajuk berkenaan.

Contoh karangan.

               Pepatah ada mengatakan ‘sekali air bah, sekali pantai berubah’, begitulah hakikatnya   perubahan sistem pendidikan negara kita kerana sistem pendidikan konvensional  yang diamalkan sebelum ini telah bertukar wajah kepada sistem pembelajaran moden berasaskan elektronik. Sistem pendidikan terkini iaitu e-pembelajaran melanda kehidupan manusia dengan evolusinya seakan-akan tidak mengenal penghujungnya. Justeru, untuk memastikan sistem pendidikan negara bertaraf dunia, Kementerian Pelajaran Malaysia telah memperkenalkan e-pembelajaran di sekolah-sekolah bertujuan untuk melonjakkan taraf pendidikan rakyat Malaysia agar boleh duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju serta bertaraf dunia. Pendidikan secara e-pembelajaran merupakan satu bentuk pendidikan masa depan yang  memaksimumkan penggunaan Teknologi dan Maklumat (IT) dalam proses pengajaran dan pembelajaran. E-pembelajaran dapat ditakrifkan sebagai sistem pengajaran dan pembelajaran yang melepasi sempadan bilik kuliah atau kelas di sekolah. Jika kita menerobosi secara terperinci tentang sistem  e-pembelajaran ini, banyak kelebihan yang bakal diperoleh  pelajar, mahasiswa, dan masyarakat keseluruhannya apabila e-pembelajaran diaplikasikan dalam sistem pendidikan negara.
               Mari kita fokus perbincangan pertama berdasarkan kata kunci kebaikannya iaitu e-pembejaran membolehkan para pelajar mengikuti pembelajaran tanpa perlu terikat dengan waktu pembelajaran di dalam kelas. Hal ini kerana, para pelajar dapat meneruskan pembelajaran dimana-mana sahaja tanpa mengira waktu menggunakan sistem eketronik ini. Para pelajar boleh meneruskan pembelajaran dan melakukan perbincangan pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja tanpa perlu duduk setempat bersama-sama seperti sistem pendidikan kovensional yang memerlukan pelajar berada di dalam kelas atau kuliah. Hasilnya, lebih banyak informasi dapat digali dan pelbagai idea baru dapat ditunasi. Selain itu, sitem pembelajaran e-pembejaran ini turut membuka peluang untuk para pelajar berinteraksi menggunakan internet dan juga e-mel antara pelajar dengan pelajar, pelajar dengan guru atau pensyarah, atau guru dengan pelajar. Hal ini secara tidak langsung dapat menjimatkan lagi masa para pelajar. Bahkan juga, pelajar boleh berintraksi dengan guru setiap ruang masa. Contohya, pengenalan sistem Frog vle merupakan kaedah pembelajaran terkini yang diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran di sekolah-sekolah terutama sekolah kluster kecemerlangan. Pelajar boleh melakukan latihan dan menerima nota daripada guru melalui sistem pembelajaran baru tersebut. Tegasnya, sistem e-pembelajaran  membolehkan para pelajar mengikuti kelas tanpa perlu terikat dengan waktu pembelajaran di dalam kelas.
Seterusnya, fokus perbincangan kedua menjurus kepada isi menerusi e-pembelajaran, para pelajar dapat menggunakan E-buku yang boleh dimuat turun secara langsung dari sistem e-pembelajaran. E-Buku mempunyai pelbagai aplikasi. Antaranya termasuklah pemprosesan kata, hamparan data, senarai kandungan, kalendar dan sebagainya. Dengan e-buku itu, para pelajar tidak perlu membawa buku yang banyak ke sekolah. Penggunaan buku elektronik ini dijangka dapat mengurangkan kos bagi Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) di sekolah dalam jangka masa yang panjang. Penggunaan e-buku mampu menangani kepelbagaian masalah pelajar dalam bidang akademik di dalam kelas. Dengan itu, keluhan ibu bapa terhadap bebanan anak-anak membawa jumlah buku yang banyak ke sekolah dapat diselesaikan apabila e-buku diaplikasi di sekolah. E-buku menjadi suatu wahana dengan pendekatan interpersonal antara guru dengan pelajar yang boleh mereka melahirkan komunikasi positif dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Sebagai seorang pelajar, internet juga boleh dijadikan sebagai medium rujukan. Malahan, internet juga dianggap sebagai perpustakaan maya yang menyimpan khazanah ilmu pengetahuan. Maklumat yang diperoleh menggunakan sistem pendidikan elektronik ini membolehkan pelajar menerima bahan berkenaan dengan lebih cepat, mudah dan  menjimatkan masa. Jelaslah, e-pembelajaran mampu mengurangkan kebergantungan pelajar terhadap penggunaan buku teks di sekolah.
Fokus kebaikan seterusnya ialah e-pembelajaran membantu para pelajar terutama mahasiswa meneruskan pembelajaran di peringkat pengajian tinggi. Hal ini kerana dengan penggunaan e-pembelajaran mereka tidak perlu lagi bersemuka dengan pensyarah. Pelajar yang mengikuti Pengajian Jarak Jauh (PJJ) tidak perlu ke Institusi Pengajian Tinggi untuk bertemu dengan pensyarah mereka kerana para pensyarah mengendalikan pembelajaran secara telesidang yang menggabungkan audio, video dan grafik dari lokasi yang berbeza dengan menggunakan sistem e-pembelajaran. Sudah pasti dengan pembelajaran cara ini kos pembelajaran dapat dikurangkan.. Malahan, konsep universiti terbuka seperti  ini dijalankan oleh universiti tempatan seperti Universiti Terbuka ( Open Universiti), Universiti Tun Abdul Razak, dan Universiti Putra Malaysia. Dalam hal ini, golongan seperti suri rumah dan pesara dapat terus melanjutkan pelajaran tanpa perlu menghadirkan diri ke institusi pendidikan tinggi berkenaan. Hal ini secara tidak langsung dapat memanifestasikan slogan pendidikan sepanjang hayat yang digalakkan oleh kerajaan. Seterusnya, e-pembelajaran ini dapat menjimatkan pelbagai kos kehidupan pelajar seperti penginapan dan pembelanjaan harian kerana pembelajaran boleh dilakukan di rumah. Sudah pasti pembelajaran secara e-pembelajaran menjimatkan kos perbelanjaan dan penginapan para pelajar. Tegasnya, e-pembelajaran tidak memerlukan pelajar ke Institusi Pendidikan Tinggi untuk melakukan proses pembelajaran.
Bahkan juga, aplikasi pengajaran dan pembelajaran menggunakan e-pembelajaran amat memberangsangkan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Dalam sistem pembelajaran ini, pelajar boleh melakukan pelbagai aktiviti, disamping pembelajaran boleh dilakukan dalam pelbagai cara berasaskan perisian di dalam komputer seperti kecanggihan grafiknya, audio-visualnya yang menarik sudah pasti pembelajaran akan lebih kondusif kepada pelajar. Tambahan pula, suasana pendingin hawa yang menyegarkan akan menyebabkan pelajar akan lebih aktif, tidak berasa bosan dan tubuh badan pelajar cergas dan fikiran mereka cerdas. Bahkan juga, pelajar dapat menjalankan latihan secara interaktif sama ada dengan tindak balas perisian komputer yang dijana oleh sistem yang dihasilkan khas oleh pihak Kementerian Pelajaran atau dihasilkan oleh guru-guru mata pelajaran sendiri. Oleh sebab itu, pelajar akan mudah dan cepat memahami mata pelajaran yang sukar seperti Matematik Tambahan, Sains, dan juga mata pelajaran bahasa sama ada bahasa Melayu atau bahasa Inggeris. Justeru, Tegasnya, aplikasi pengajaran dan pembelajaran menggunakan e-pembelajaran amat memberangsangkan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.
Kesimpulannya, sememangnya e-pembejaran memberikan pelbagai kelebihan kepada seluruh lapisan masyarakat. Umum mengetahui bahawa bentuk pengajaran dan pembelajaran yang baharu membolehkan rakyat meningkatkan kemahiran dan kelayakan akademik mereka. Pelaksanaan sistem pendidikan maya di negara kita dapat meluaskan lagi horizon minda para pelajar. Para pelajar akan lebih terdedah dengan dunia globalisasi sekiranya e-pembelajaran dilaksanakan secara menyeluruh. Walaupun usia telah meningkat ilmu pengetahuan tetap dapat dikuasai. Konsep pembelajaran sepanjang hayat menerusi pendidikan sedemikian patut dimanfaatkan oleh semua bertunjangkan pepatah ‘ sebab mutiara sebiji, lautan dalam diselami orang’. Selain itu pelbagai pihak tidak kira pihak swasta mahupun badan bukan kerajaaan (NGO) perlulah berganding bahu bersama kerajaan untuk membangunkan lagi sistem pendidikan di negara kita agar pendidikan negara bertaraf dunia.