Sabtu, 23 Mac 2013

PROGRAM MENYALIN KARANGAN BERFOKUS DIRI, KELUARGA, MASYARAKAT, NEGARA, ANTARABANGSA, DAN FOKUS KOMSAS CUTI SEMESTER PERTAMA 2013



SOALAN KARANGAN UMUM  (KERTAS 1 SPM)
[ 100 markah]
[ Masa dicadangkan : 1 jam 30 ]
Pilih satu daripada soalan di bawah dan tulis sebuah karangan yang panjangnya  lebih kurang daripada 350 patah perkataan.
1
Keluarga memainkan peranan penting dalam mencorakkan kehidupan anak-anak.  Oleh itu, pendidikan anak-anak sebenarnya bermula dari  rumah. 
Berikan pendapat anda tentang peranan keluarga dalam pembentukan sahsiah anak-anak.

2
Semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan remaja pada masa ini. Jelaskan peranan ibu bapa dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak.

3
Kejadian tanah runtuh sering berlaku di negara kita.

Tuliskan sebuah karangan cara-cara untuk mengatasi tanah runtuh di negara kita.

4
Minat bersukan dalam kalangan masyarakat semakin berkurang.

Huraikan peranan pelbagai pihak dalam meningkatkan semangat sukan dalam kalangan  remaja.

5
Tulis sebuah karangan berkaitan dengan peribahasa “genggam bara api biar sampai menjadi arang”.  

ANDA BOLEH MENYALIN KARANGAN INI KE DALAM KERTAS DAN KEMUDIAN
MENAMPAL KARANGAN TERSEBUT KE DALAM BUKU KARANGAN ATAU TERUS MENYALIN KARANGAN TERSEBUT KE DALAM BUKU KARANGAN. KERJA INI ADALAH WAJIB DILAKUKAN SEMASA CUTI HARAP MAKLUM.

      Contoh Karangan Soalan Pertama:-

            Profesor Di raja Ungku Aziz pernah mengatakan bahawa rumah merupakan universiti pertama bagi anak-anak dan ibu bapa pula merupakan profesor pertama bagi mereka . Kata-kata ini jelas menunjukkan bahawa ibu bapa dan setiap ahli keluarga memainkan peranan yang sangat penting dalam pembentukan sahsiah anak-anak . Anak-anak merupakan anugerah dan amanah Tuhan yang tidak ternilai . Ibu bapa bertanggungjawab untuk mewujudkan rumah tangga yang aman dan damai kerana anak-anak akan berasa bahagia apabila ibu bapa memberikan sepenuh kasih sayang dan melindungi diri anak-anak mereka.  Anak-anak ibarat sehelai kain putih , ibu bapalah yang mencorakkan warna pada kain tersebut.  Persoalannya , apakah peranan keluarga khususnya ibu bapa dalam pembentukan sahsiah anak-anak ? Pada pendapat saya,jawapannya sudah pasti  tugas dan peranan yang boleh dimainkan oleh keluarga terutama seorang insan yang bergelar ketua keluarga amat penting dan pelbagai dalam melahirkan sahsiah terbilang dalam kalangan anak-anak mereka.

             Ibu bapa memainkan peranan penting bagi memastikan pembentukan sahsiah anak-anak dengan memberikan didikan agama yang sempurna dalam diri anak-anak . Pepatah sering menyatakan bahawa melentur buluh biarlah dari rebungnya . Peribahasa ini jelas menunjukkan bahawa pendidikan agama perlu diterapkan dalam diri anak-anak sejak kecil lagi agar anak-anak dapat membuka minda serta mengelakkan diri daripada terjebak dalam perlakuan negatif . Penerapan nilai agama dapat membantu anak-anak untuk membezakan antara baik dan buruk perlakuan yang akan dilakukan . Selain itu , anak-anak juga akan membesar dengan perpandukan ajaran agama . Didikan agama yang sempurna merupakan benteng yang ampuh untuk mengelakkan anak-anak terjebak dalam kancah gejala sosial. Anak-anak yang dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan didikan agama akan menjadi anak yang baik sahsiah dan akhlaknya . Sebagai contoh , jika sesebuah keluarga mempunyai pegangan agama yang kuat, anak-anak mereka akan mempunyai tingkah laku yang baik kerana madu satu tong dirembes, rembesnya madu juga. Jelaslah bahawa pendidikan agama yang secukupnya sangat penting untuk membentuk sahsiah anak-anak.
        Selain itu, ahli keluarga khususnya ibu bapa berperanan sebagai suri teladan kepada anak-anak bagi memastikan anak-anak mempunyai sahsiah yang baik . Hal ini demikian kerana anak-anak yang berusia setahun jagung memang mudah mencontohi sebarang bentuk perlakuan orang yang lebih dewasa daripadanya. Dengan erti kata lain, sekiranya ahli keluarga yang lebih tua memiliki sahsiah yang baik,  sudah tentu perbuatan ini dapat dicontohi oleh anak-anak kerana pepatah Melayu ada mengatakan bahawa ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi . Sebagai contohnya , jika ahli keluarga yang lebih dewasa rajin membaca , sudah pasti anak-anak yang terdidik dalam suasana demikian akan mencontohi perbuatan ahli keluarga yang gemar membaca.  Tokoh-tokoh pujangga pernah menukilkan bahawa kalau asal benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau , terlontar ke udara menjadi kejora,  dicampak ke  bumi menjadi penawar.  Pernyataan di atas  jelas menunjukkan betapa besarnya peranan yang dimainkan oleh sesebuah keluarga dalam pembentukan sahsiah anak-anak . Ibu bapa perlulah menjadi suri teladan yang boleh dicontohi anak-anak . Ibu bapalah yang akan mencorakkan kehidupan anak-anak di peringkat awal. Sekiranya corak yang dilakar menarik dan cantik , maka akan baik dan eloklah pembentukan akhlak anak-anak. Anak –anak yang sering mencontohi perbuatan ibu bapa yang baik , tidak akan sesekali cuba melakukan sesuatu yang boleh menconteng arang atau menjatuhkan maruah keluarga. Tegasnya, ibu bapa memainkan peranan penting dalam pembentukan sahsiah anak-anak.
              Di samping itu, ibu bapa juga perlulah melatih anak-anak agar saling bekerjasama dan berkasih sayang bagi melahirkan anak-anak yang bersahsiah mulia . Dalam hal ini , ibu bapa perlulah memberikan sepenuh kasih sayang kepada diri anak-anak bagai menatang minyak yang penuh agar anak-anak tahu menghargai hidup untuk saling berkasih sayang . Ibu bapa perlu meletakkan panggilan manja untuk anak-anak seperti panggilan Kak Long atau Abang Long bagi anak sulung dan Kak Ngah atau Abang Ngah bagi anak kedua supaya kemesraan dan kasih sayang sesama ahli keluarga tidak luput.  Budaya terima kasih juga perlu diajarkan kepada anak-anak supaya wujud rasa penghargaan terhadap orang lain setiap kali menerima bantuan.  Ibu bapa juga hendaklah melatih anak-anak bekerjasama dalam melakukan sesuatu perkara dan kerja rumah agar anak-anak membesar dalam suasana yang saling bekerjasama . Perbuatan seperti ini akan terbawa-bawa apabila anak-anak sudah dewasa dan mempunyai keluarga sendiri. Jelasnya, ibu bapa yang berperanan untuk mewujudkan kerjasama dan kasih sayang dalam kalangan ahli keluarga akan dapat melahirkan warga yang bersatu-padu dan saling menghormati.
             Seterusnya, ibu bapa perlulah mendidik anak-anak cara hidup sederhana dan bertanggungjawab . Ibu bapa harus menyediakan jadual tugasan di rumah supaya anak-anak lebih bertanggungjawab. Anak-anak perlu diajar tentang pengurusan diri seperti membasuh baju,  menggosok pakaian dan menyimpan baju dalam almari . Anak-anak juga perlu diajar supaya bersifat sederhana dan bersyukur dengan apa-apa sahaja yang ada di rumah mereka . Hal ini amat penting untuk melahirkan anak-anak yang sentiasa bersyukur dengan apa yang dimiliki . Ibu bapa juga perlu menerapkan nilai kesederhanaan diri anak-anak di rumah agar anak-anak dapat menjadi insan yang sentiasa berjimat cermat dan tidak boros dalam berbelanja . Anak-anak yang sudah diterapkan dengan hidup yang sederhana akan membesar sebagai seorang yang sederhana sikapnya , tidak sombong dan tidak berlebihan dalam sesuatu perkara. Anak-anak juga melakukan sesuatu dengan penuh keikhlasan tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Hal ini penting bagi melahirkan generasi masa depan yang berpandangan jauh.  Tegasnya ,  pembentukan sahsiah anak-anak yang baik dapat dilahirkan sekiranya ibu bapa mendidik anak-anak tentang cara hidup yang sederhana dan bertanggungjawab . 
            Akhir sekali, ibu bapa perlulah memantau serta mengawasi gerak geri anak-anak khususnya anak-anak yang sudah meningkat remaja. Dalam hal ini , ibu bapa perlu mengetahui aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak mereka serta mengetahui latar belakang rakan sebaya anak-anak.  Pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya memberikan pengaruh yang besar terhadap masa depan anak-anak kerana anak-anak lebih mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya dalam segala tindakan atau kelakuannya kerana mereka mempunyai prinsip, nilai dan identiti yang hampir sama. Ibu bapa tidak wajar memberi kebebasan yang sepenuhnya kepada anak-anak . Hal ini demikian kerana anak-anak yang diberi kebebasan penuh oleh ibu bapa dibimbangi akan terjebak dengan perbuatan tidak bermoral yang boleh menconteng arang di muka keluarga . Oleh itu , ibu bapa perlulah mengenal pasti perubahan yang berlaku terhadap anak-anak pada setiap masa agar ibu bapa boleh bertindak lebih awal, bak kata pepatah , beringat sebelum kena , berjimat sebelum habis.  Ibu bapa perlulah mengambil berat dengan siapa anak mereka berkawan atau bersahabat dan mengetahui tujuan anak keluar rumah dan balik lewat ke rumah. Sekiranya ibu bapa bertindak awal , sudah pasti masa hadapan anak-anak dapat diselamatkan. Jelasnya , ibu bapa perlulah memantau serta mengawasi gerak-geri anak-anak agar dapat melahirkan anak yang berperibadi mulia .

            Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah saya simpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam pembentukan sahsiah anak-anak . Untuk melahirkan anak-anak yang bersahsiah baik , ibu bapa perlulah menyedari akan  tanggungjawab mereka untuk mendidik anak-anak menjadi insan yang mulia . Setiap ahli keluarga perlulah melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan dan ilmu keibubapaan . Hal ini penting kerana pembentukan sahsiah anak-anak harus bermula dengan diri keluarga itu sendiri . Ibu bapa harus membetulkan diri mereka terlebih dahulu agar anak-anak dapat mencontohi segala perlakuan dan keperibadian mereka kerana mereka merupakan “role model” bagi anak-anak. Tegasnya, rumah tangga merupakan kebun yang subur untuk melahirkan insan yang berjiwa luhur dan bersahsiah mulia. “Rumahku, Syurgaku”

        Karangan Soalan Kedua:-
Setiap negara mempunyai sejarah yang tersendiri. Di  Malaysia, sejarah yang ada telah membentuk identiti negara kita. Negara kita terdiri daripada rakyat yanhg berbilang kaum iaitu Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun dan sebagainya. Perpaduan kaum yang terbentuk pada masa dahulu sehingga kini merupakan satu pencapaian negara yang amat membanggakan. Rakyat yang berbilang kaum ini dapat hidup bersama secara aman damai kerana mereka mempunyai semangat patriotik yang kukuh dan kental dalam diri mereka. Walau bagaimanapun, masyarakat pada zaman moden ini, asyik dengan perkembangan dunia sehingga mengabaikan kepentingan  semangat patriotik dalam diri mereka. Amat jelas dapat dilihat bahawa masyarakat kini kurang berpengetahuan tentang sejarah pembentukan negara hasil perjuangan oleh tokoh pejuang bangsa seperti Dato’ Maharajalela, Dato’ Bahaman, Tok Janggut dan sebagainya. Masyarakat kini kurang bersyukur dengan keamanan dan kemakmuran yang terdapat di negara kita. Oleh itu, pelbagai usaha perlu dilakukan oleh pelbagai pihak bagi menyuburkan semangat patriotik dalam jiwa masyarakat.  Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak?
Sesungguhnya tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang utama dalam menerapkan dan menyuburkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Ibu bapa seharusnya sentiasa membawa anak-anak melawat ke tempat-tempat yang bersejarah. Contohnya, ibu bapa hendaklah membawa anak-anak ke Bandar Bersejarah, Melaka. Di situ, terdapat pelbagai barang dan bangunan tinggalan sejarah. Amalan ini dapat menimbulkan dan melahirkan minat anak-anak untuk mengetahui latar belakang dan asal-usul pembentukan negara dan seterusnya akan wujud semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Tempat-tempat bersejarah seperti Lembah Bujang, Seri Menanti, Kota Belanda di Perak dan sebagainya boleh dijadikan sebagai destinasi lawatan. Aktiviti lawatan ke tempat yang bersejarah merupakan langkah bagai serampang dua mata kerana anak-anak bukan sahaja dapat menimba ilmu pengetahuan, tetapi juga dapat mengekalkan hubungan silaturahim yang erat antara keluarga. Jelasnya, lawatan ke tempat yang bersejarah boleh dijadikan amalan setiap kali cuti persekolahan oleh ibu bapa sebagai cara menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Jelaslah, Sesungguhnya tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang utama dalam menerapkan dan menyuburkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak
Selain itu, ibu bapa juga hendaklah membeli buku-buku yang berkaitan dengan sejarah atau buku-buku novel bertemakan semangat patriotik dan semangat cinta akan negara kepada anak-anak. Hal ini demikian kerana melalui proses pembacaan, anak-anak dapat mengetahui lebih banyak perkara berkaitan dengan sejarah. Buku-buku sejarah dan novel dapat membantu menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak kerana buku-buku tersebut mempunyai isi kandungan yang berunsur patriotisme. Hal ini amat jelas menunjukkan bahawa usaha ibu bapa dalam memilih buku-buku yang sesuai untuk anak-anak adalah amat penting. Oleh itu, ibu bapa haruslah memilih buku-buku yang tinggi nilai ilmunya dan bukannya buku-buku komik yang tidak bermanfaat. Dengan membaca buku-buku berunsurkan patriotisme, pasti semangat patriotik dapat diterapkan dalam jiwa anak-anak. Amalan membaca buku-buku tersebut hendaklah dipupuk sejak dari kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Apabila anak-anak membesar nanti, mereka akan sentiasa bersemangat patriotik dan suka membaca kerana kalau asal benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau, terlontar ke udara menjadi kejora dan dicampak ke bumi menjadi penawar. Tegasnya, ibu bapa juga hendaklah membeli buku-buku yang berkaitan dengan sejarah atau buku-buku novel bertemakan semangat patriotik dan semangat cinta akan negara kepada anak-anak.
Di samping itu, ibu bapa juga haruslah menjadi ‘role model’ atau suri teladan kepada anak-anak. Ibu bapa perlu sedar bahawa segala perbuatan, perlakuan, amalan, pertuturan dan pemikiran mereka akan diikuti oleh anak-anak. Oleh hal yang demikian, ibu bapa hendaklah sentiasa menunjukkan sikap yang positif kepada anak-anak. Sebagai contohnya, ibu bapa boleh mengibarkan bendera di rumah atau melakukan aktiviti yang boleh menunjukkan sokongan terhadap negara. Ibu bapa janganlah menyertai apa-apa protes terhadap negara kerana perbuatan sedemikian hanya akan menjadi seperti ketam mengajar anak berjalan betul, tetapi diri sendiri tidak betul.. Oleh itu, ibu bapa harus sentiasa menunjukkan contoh yang tebaik kepada anak-anak kerana ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Ibu bapa boleh membawa anak-anak menyertai program larian 1 Malaysia, ceramah tentang Sejarah Negara, atau lawatan ke Muzium Negara. Ibu bapa haruslah melakukan usaha dengan sepenuh hati agar anak-anak yang dibesarkan dapat menjadi insan yang cinta akan negara dan bersemangat patriotik. Tegasnya, ibu bapa perlu menjadi suri teladan kepada anak-anak bagi melahirkan generasi muda yang berwawasan.
Seterusnya, ibu bapa perlu meluangkan masa untuk bercerita mengenai peristiwa-peristiwa atau kisah yang berkaitan dengan sejarah kepada anak-anak bagi melahirkan generasi muda yang bersemangat patriotik. Bak kata pepatah, “pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara”. Sebagai contohnya, sebelum anak-anak masuk tidur, ibu bapa boleh membacakan cerita mengenai pejuang-pejuang bangsa kepada anak-anak seperti kisah perjuangan Datuk Bahaman, Datuk Maharajalela, Mat Kilau, Kapten Hasan dan lain-lain ketika menentang Inggeris. Ibu bapa bolehl juga menceritakan sendiri pengalaman nenek moyang terdahulu,betapa  mereka menderita dizalimi dan didera semasa zaman penjajahan di negara kita. Anak-anak yang bijak sudah pastinya dapat membandingkan kehidupan mereka sekarang berbanding dahulu.  Hal ini boleh menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Ibu bapa juga boleh melayari internet untuk mendapatkan maklumat-maklumat yang diperlukan untuk bercerita kepada anak-anak. Dengan mempunyai maklumat yang tepat, anak-anak akan mendapat informasi yang betul dan setelah itu, anak-anak akan sentiasa teringat-ingat tentang kisah sejarah. Mereka akan belajar sesuatu melalui sejarah lalu timbullah semangat patriotik dalam jiwa mereka. Oleh itu, ibu bapa perlulah sentiasa mencari peluang atau kesempatan untuk menceritakan pengalaman diri atau berbincang dengan anak-anak mengenai topik-topik berunsurkan negara bagi menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Amalan-amalan ini haruslah dilaksanakan dengan berterusan kerana alah bisa tegal dek biasa. Anak-anak akan cuba mengingati   setiap cerita yang pernah didengarnya terutama tentang sejarah negara. Oleh sebab itu, ibu bapa perlu melaksanakan tanggungjawab dengan baik bagi membentuk jiwa anak-anak yang bersemangat patriotik.
Akhir sekali, ibu bapa juga haruslah membawa anak-anak menyertai sambutan-sambutan negara seperti Hari Kebangsaan pada 31 Ogos, Hari Malaysia pada 16 September dan sebagainya. kita Dengan menyertai sambutan hari kemerdekaan ini, semangat patriotik dapat disemai dalam diri mereka. Sebagai contohnya,  apabila anak-anak dapat bersama-sama mengibarkan jalur gemilang, mendengar deklamasi sajak serta mendengar  cerita-cerita tentang kesengsaraan para pejuang tanah air untuk memerdekakan negara. Anak-anak dapat melihat sendiri kemeriahan sambutan kemerdekaan sekali gus memahami objektif sebab-sebab sambutan sebegini diadakan. Kisah disebalik kemewahan dan kedamaian negara akan dapat dirungkai dan seharusnya dapat menghadirkan keinsafan dalam diri mereka bahawa banyak harta benda dan nyawa yang harus dikorbankan demi melihat Malaysia gagah seperti sekarang. Dengan menyertai aktiviti sambutan ini juga, kita akan mendapat peluang untuk melihat persembahan daripada kaum lain dan berkenal-kenalan antara satu sama lain. Secara tidak langsung, perpaduan antara kaum akan tercapai dan wujudlah masyarakat yang harmoni yang bersemangat patriotik.  Jelaslah bahawa,  jika ibu bapa dapat membawa anak-anak menyambut hari Kemerdekaan setiap tahun sejak mereka kecil  lagi sudah pasti semangat patriotik dapat dipupuk dengan mudah kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Hadis Riwayat At-Tarmizi ada menyatakan  bahawa ‘ tiada anugerah yang dapat diberikan oleh seorang ayah kepada anaknya selain tunjuk ajar dan budi pekerti yang mulia’. Hal ini amat jelas membuktikan betapa besarnya tanggungjawab seorang ibu atau bapa kepada pembinaan personaliti anak-anak. Oleh itu, ibu bapa haruslah melaksanakan tanggungjawab dan peranan bagi melahirkan individu yang bersemangat patriotik, cinta akan negara dan berwawasan.
Contoh Karangan Soalan Ketiga:-
            Dalam mendepani era modenisasi pada abad ke-21 kini, dunia menyaksikan iktisad negara membangun seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Negara yang semakin pesat membangun seperti tenggelam sama basah, timbul sama hanyut seiringan dengan negara maju lain. Namin sering meniti dari bibir ke bibir segenap umat manusia tentang fanomena kejadian tanah runtuh yang semakin membimbangkan. Kemelut ini juga disiarkan dalam media massa seperti internet, televisyen dan surat khabar. Dari segi konsepsinya, kejadian tanah runtuh ialah kejadian yang berlaku akibat daripada gelongsoran tanah di lereng-lereng bukit. Implikasinya, fenomena ini boleh menyebabkan kerosakan harta benda dan boleh meragut nyawa pengguna jalan raya mahupun penduduk yang berdekatan. Persoalan yang bermain dalam kotak fikiran kita ialah mengapakah fenomena ini boleh berlaku dan siapakah yang patut dipersalahkan? Menurut Jabatan Kerja Raya (JKR), fenomena kejadian tanah runtuh ini berpunca daripada kegiatan pembalakan hutan secara berleluasa oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dan akhirnya menyebabkan hakisan tanah. Oleh itu, terdapat beberapa langkah yang mesti dilaksanakan oleh pihak-pihak yang berkenaan bagi mengatasi fenomena ini sebelum nasi menjadi bubur.

     Cara-cara untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh adalah mengawal pembangunan perumahan di lereng-lereng bukit. Dalam hal ini, pembinaan taman perumahan di lereng bukit mesti mendapat kelulusan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga perlu mengetatkan undang-undang kelulusan projek di bukit dan juga tidak meluluskan projek yang kecerunannya melebihi 35 darjah yang ditetapkan oleh kerajaan. Seperti kata dalam peribahasa sediakan payung sebelum hujan. Kejadian seperti berlaku di Highland Towers 1993 melibatkan 16 mangsa terkorban, tanah runtuh yang berlaku di Ulu Yam Selangor pada 2008, dua mangsa terkorban , Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Batu 14, Hulu  Langat,  pada 2011, 25  mangsa tertimbus, dan banyak lagi peristiwa kejadian tanah runtuh adalah pengajaran untuk semua pihak terutama pihak pemaju untuk membina projek yang berisiko tinggi tanah runtuh. Tegasnya, pembangunan di lereng bukit terutama untuk tujuan perumahan perlu dikawal agar kejadian tanah runtuh dapat dielakkan.
     Langkah yang tidak  boleh dikesampingkan untuk mengelak kejadian tanah runtuh ialah membina sistem perparitan yang terancang. Dalam konteks ini, tindakan berkenaan dapat mengurangkan kejadian tanah runtuh di kawasan lereng bukit-bukau di negara kita. Sementelahan pula, tanah di bukit tidak mudah tergelongsor ke jalan raya dan dapat mengelakkan kes kemalangan. Terdapat statistik menjelaskan bahawa kejadian tanah runtuh disebabkan oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan aktiviti pembalakan haram antara penyebab berlakunya tanah runtuh. Implikasinya, langkah yang efektif dan pragmatik dapat ditangani dengan baik. Misalnya, pihak kerajaan perlu membina parit atau longkang yang sesuai dan sempurna di kawasan perumahan masyarakat. Justifikasinya, dapat mengurangkan kejadian kegelongsoran tanah di tempat kediaman masyarakat. Jadi jelaslah bahawa melalui langkah membina sistem perparitan yang terancang dapat mengelakkan kejadian tanah runtuh di negara kita sebelum nasi menjadi bubur.

            Jika ditelusuri secara mendalam, antara langkah yang pragmatik yang perlu dilakukan oleh kerajaan bagi mengelakkan kejadian tanah runtuh ialah kerajaan harus menguatkuasakan undang-undang bagi mengelakkan kejadian ini daripada terus berlaku. Oleh sebab itu, kerajaan haruslah mengenakan hukuman yang maksimum kepada pemaju perumahan yang tidak mengikut garis panduan yang ditetapkan. Bukan sahaja kerajaan malahan masyarakat juga harus memainkan peranan dalam mengelakkan kejadian tanah runtuh ini. Hal ini demikian kerana tangan-tangan manusia inilah yang telah menyebabkan berlakunya kejadiaan tanah runtuh ini. Kejadian ini juga perlu dipantau dari semasa ke semasa oleh pihak yang berwajib agar masalah ini dapat ditangani dengan segera. Agensi-agensi kerajaan harus mengadakan kempen “Cintai Alam Sekitar”  agar dapat mengelakkan kejadian tidak diingini dar terus berlaku kerana sudah terhantuk baru tergadah amat merugikan negara dan masyarakat. Anak-anak harus dididik dari kecil agar apabila dewasa kelak, mereka akan menyanyangi alam sekitar dan alam sekitar akan terjaga. Ibu bapa haruslah melentur buluh biarlah dari rebungnya sebelum nasi sudah menjadi bubur. Tegasnya, pihak kerajaan harus menguatkuasakan undang-undang bagi mengelakkan kejadian ini daripada terus berlaku.

            Tambah satu isi lagi ( Peranan media masa)..........................................................

.................................................................................................................................................

.................................................................................................................................................

     Sebagai konklusinya kita sebagai anggota masyarakat Malaysia hendaklah menjaga alam sekitar supaya kurang bencana alam seperti tanah runtuh. Seyogia, marhaen Malaysia hendaklah mengurangkan sebarang perbuatan yang boleh menyebabkan tanah runtuh berlaku. Mencegah lebih baik daripada merawat. Peribahasa berkenaan amat sesuai digunakan untuk memastikan masalah ini berlaku.  Elbert Hubbard pernah berkata, “kebijaksanaan ialah keupayaan untuk bertindak pada masa yang benar-benar tepat. Jika kita tersalah langkah, kita ibarat menconteng arang kemuka sendiri.” Oleh sebab itu, sebagai warganegara prihatin, janganlah kita hanya melepaskan batuk di tangga dalam mengurangkan masalah tanah runtuh kerana apabila nasi sudah menjadi bubur, kita hanya akan menyesal buat selama-lamanya.

** Sambungkan karangan di atas dan pastikan karangan umum anda mempunyai tujuh perenggan. Harap maklum. 



 








Contoh  karangan soalan kelima:-
Perenggan Pengenalan:
Kriteria dan teknik komsas
Contoh Ayat / Teknik Komsas Digunakan
Teknik Pemerian








Frasa menarik

Frasa menarik
Mata Hasan sukar untuk dipejamkan. Berkali-kali dia cuba melayari tidurnya pada malam tersebut, namun usahanya gagal.Tiba-tiba Hasan bangun dan berjalan  ke arah bilik ibunya. Anak mata Hassan tertacap pada sekujur tubuh yang sedang nyenyak tidur di atas katil usang di dalam bilik tidur yang agak kecil dan uzur. Entah mengapa, Hassan tertarik melihat wajah tua ibunya yang selama ini berusaha menyara hidupnya. Kelihatan tubuh ibunya kurus dan muka berkedut mengambarkan umurnya yang semakin tua. Umur ibu Hassan 60 tahun. Namun, tubuh kurus itulah yang bergelut mencari rezeki untuk menyara kehidupan Hassan dan adiknya Nazri. Kehidupan mereka ibarat kais pagi makan pagi,  kais petang makan petang. Namun, Hassan pasrah akan ketentuan Tuhan dan dia bersyukur kerana mempunyai seorang ibu yang sanggup memeliharanya bagai menatang minyak yang penuh.
Perkembangan Cerita:-
Perenggan Kedua:-
Kriteria dan teknik komsas
Contoh Ayat / Teknik Komsas Digunakan
Teknik Imbas Kembali
dan teknik dialog.
Pada masa yang sama, Hasan mula mengingati semula saat-saat manis ketika ayahnya masih hidup. Walaupun mereka kurang berada tetapi kehadiran ayahnya amat dirasai oleh Hasan. “ Hasan, ayah sudah tua nak, mungkin umur ayah tidak panjang”, kata ayahnya dengan nada suara yang lemah dan mendayu. Kata-kata ayahnya menyentuh perasaan mudanya.
“ Ayah, Hasan sayang ayah. Janganlah ayah berkata begitu”, kata Hasan sambil tangannya memeluk tubuh ayahnya yang kurus kerana setiap hari membanting tulang berladang di belakang rumahnya. Tanpa Hasan sedari air matanya berlenang dan membasahi bahu ayahnya. “Hasan sayang ayah ke?” suara ayahnya kembali kedengaran dan menyebabkan Hassan tertumpu semula melihat wajah  ayah kesayangannya. “ Jika Hasan sayang ayah, belajar bersungguh-sungguh ye nak,” kata ayahnya lagi.  Hasan menggangguk-anggukkan kepalanya tanda bersetuju. “Ayah dan ibu tidak ada harta dan Hasan perlu belajar dan mengubah kehidupan keluarga kita yang daif ini. Hasan  harapan ayah dan ibu, belajar sungguh-sungguh, ayah ingin melihat Hasan berjaya tidak seperti ayah”, kata ayahnya dengan nada yang sedih. Kata-kata itulah yang sering diluahkan oleh bapanya sebagai motivasi kepadanya  untuk berjaya dalam kehidupan dunia yang mencabar ini.


Perenggan Ketiga:-  ( Konflik)
Kriteria dan teknik komsas
Contoh Ayat / Teknik Komsas Digunakan
Teknik Dialog dan  Teknik Pemerian.
      “Hasan bangun nak”,  suara ibunya kedengaran. Hasan terpinga-pinga daripada lamunannya. Kisah lima tahun lalu bersama ayahnya berlalu begitu sahaja. Anak mata Hasan tertumpu pada jam dinding usang yang tergantung pada dinding kayu di bilik tidurnya. Jam menunjukkan pukul 5.30 pagi. “Ya, bu, Hassan datang”, kata Hasan lalu  bingkas bangun daripada biliknya. Hasan tahu bahawa setiap pagi setelah bangun, ibunya sudah menyiapkan bungkusan nasi lemak untuk dihantar ke kedai Pak Yusuf. Hasan tahu ibunya sudah bangun awal kira-kira pukul 4.00 pagi untuk menyediakan nasi lemak untuk dijual bagi menampung kehidupan mereka bertiga. Dengan menaiki basikal peninggalan arwahnya ayahnya,  Hasan akan terus berkayuh ke kedai Pak Yusuf untuk menghantar nasi lemak yang dibuat oleh ibunya. Begitulah rutin kehidupan Hasan dan setelah balik Hasan akan mandi dan menunaikan sembahyang Subuh. Kemudian, dia akan bersiap membantu menyiapkan adiknya untuk ke sekolah.  Hasan merupakan pelajar Tingkatan Lima Gemilang, Sekolah Menengah Kebangsaan Lambor Kanan. Adiknya, Nazri pelajar sekolah rendah di Kampungya. Nazri seorang pelajar tahun enam, SK. Lambor Kanan.

Perenggan Keempat:- ( Konflik)
Kriteria dan teknik komsas
Contoh Ayat / Teknik Komsas Digunakan
Teknik Dialog dan Teknik Suspen.
          Hasan merupakan pelajar cemerlang di sekolah mereka. Justeru, ada beberapa orang pelajar  yang tidak senang dengan kejayaannya. “Hoi, budak miskin. Jangan sekali-kali kau berani nak mendekati kami. Bau macam kambing,” kedengaran suara Hamid salah seorang pelajar sekelas dengannya. “ Kalau dah miskin tu, buat cara orang miskin,” sambung Hamid sambil mencebek mukanya. Hasan tahu, Hamid merupakan anak seorang  pengurus ladang kelapa sawit di kampungnya. Setiap kali Hamid membuli dan memperli Hasan, Hasan tidak membalas balik tetapi kawan-kawan yang bersama-sama dengan Hamid  akan mentertawakanya.. Hasan bertekad, berkawan biar seribu, bermusuh jangan sekali. Ada kalanya, Hamid berindak nekad dengan menarik baju Hasan. Baju Hasan yang sudah dipakai tiga tahun koyak sedikit. “Hoi budak busuk, tukarlah baju baru, kami dah tak tahan bau busuk baju kamu tu,” kata Hamid dengan nada suara yang tinggi. “Ha..ha.haaaa, memanglah dasar orang miskin suka menyusahkan kami belajar,” kata Jebat, dan Roslan. Mereka sedar, Hasan tidak akan bertindak untuk melawan mereka. Akhinya mereka meninggalkan Hasan seorang diri di tepi pandang dan menuju ke kantin. Memang Hasan tidak akan ke kantin sekolah kerana dia tahu wang yang  diberi ibunya lebih baik disimpan untuk digunakan pada masa kecemasan. Dia selalu membawa air masak dari rumahnya, air masak itulah akan  membasahkan tekaknya jika terasa haus.



Perenggan Kelima:- ( Konflik)
Kriteria dan teknik komsas
Contoh Ayat / Teknik Komsas Digunakan
Teknik Dialog


Teknik pemerian.






Imbas kembali.



“Hasan, bila awak nak bayar yuran peperiksaan? Dah masuk bulan tujuh ni, kamu masih belum menjelaskan yuran berkenaan. Saya bagi tempoh minggu depan untuk kamu membayar wang tersebut,” kata Cikgu Ramlah kepada Hasan dengan nada suara yang agak tinggi. “Baik cikgu, saya akan cuba jelaskan minggu depan,” kata Hasan. Cikgu Ramlah tahu Hasan bukan dari golongan orang berada tetapi dia terpaksa berkata begitu kerana itu sudah lumrah dan tanggungjawabnya sebagai seorang guru, memungut yuran peperiksaan daripada muridnya. Dengan longlai Hasan pulang ke rumah. Kata-kata gurunya bermain difikirannya. Sementara tindakan Hamid mengoyakkan bajunya pagi tadi menyebabkan dia serba salah kerana baju itulah satunya baju sekolahnya yang masih baik dan baju itulah yang dipakainya ke sekolah setiap hari. “ Apa aku nak cakap kepada ibu nanti, baju koyak dan Pn. Romlah minta duit yuran peperiksaan,” kata hati kecil Hasan  . Hasan terus ke tempat meletak basikal di belakang sekolah. Dengan lemah dan berat, kaki Hasan mengayuh basikal pulang ke rumahnya. Hatinya terbeban dengan dua konflik yang berlaku pada dirinya pada hari itu. Jika diluah mati bapa, ditelan mati emak, hati Hassan remuk -rendam sepanjang mengayuh basikal tuanya menuju ke rumahnya.

Perenggan Keenam:- (Konflik)
Kriteria dan teknik komsas
Contoh Ayat / Teknik Komsas Digunakan
Teknik dialog.











Frasa menarik
Teknik pemerian.



Teknik monolog dalaman


“Mak, tadi cikgu kelas Hasan minta yuran peperiksaan”, kata Hasan dengan nada yang lembut kepada ibunya. “Cikgu kata, minggu ini minggu terakhir untuk membayar yuran. Jika sesiapa tak membayar yuran tersebut mereka tidak boleh mengambil peperiksaan SPM hujung tahun ni”, sambung Hasan lagi.  Hasan gusar menunggu jawapan ibunya. “Hasan, mak nak kamu belajar bersungguh-sungguh. Berkenaan yuran berkenaan Hasan jangan risau, nak. Ibu akan menyediakankan wangnya minggu hadapan,”jawap ibunya seperti memberi kepastian bahawa masalah yuran Hasan akan selesai pada minggu hadapan. “Emak, saya ada wang simpanan. Bolehlah saya bantu emak membayar yuran berkenaan”, kata Hasan cuba meringankan bebanan yang ditanggung emaknya. “Hasan, biarlah emak saja memikirkan masalah yuran berkenaan kerana itu tanggungjawab emak. Simpan wang  kamu dan kamu tidak boleh mengikat perut di sekolah sekadar untuk menabung, Hasan,” kata emaknya tegas. Hasan tidak sanggup untuk menambah beban emaknya, dan dia terpaksa  mendiamkan dan merahsiakan bajunya yang telah koyak pada pagi tadi. Hasan segera mengambil jarum dan benang dan terus menjahit baju berkenaan untuk digunakan semula.  “Biarlah aku berkongsi masalah dengan emak dan menanggung derita ini bersama-sama. Tak sampai rasanya aku untuk menambah bebanan emak yang semakin berat. Sabar separuh daripada iman” katanya seorang diri.


Perenggan Ketujuh:- ( Konflik)
Kriteria dan teknik komsas
Contoh Ayat / Teknik Komsas Digunakan
Teknik Pemerihalan




Teknik Dialog

Teknik Suspens












Teknik monolog dalaman
       Dua bulan kemudian, peperiksaan percubaan SPM diadakan.  Apabila keputusan peperiksaan diumumkan Hasan berjaya mendapat keputusan percubaan dengan cemerlang. Hasan mendapat semua “A” dalam lapan mata pelajaran yang diambilnya. Peristiwa tiga bulan dahulu  berulang semula. Hamid dan rakan-rakanya telah mengganggu Hasan kerana mereka tidak puas hati dengan keputusan Hasan yang sentiasa cemerlang. “Hoi, Hasan, macam mana kamu boleh cermelang dalam peperiksaan sedangkan kau tidak ada buku tambahan, tak pergi tuisyen, dan pakaian busuk tak berganti-ganti,” jerit Hamid seperti biasa tidak suka melihat kelebihan Hasan dalam pelajaran.
          “Hamid, walaupun aku miskin tetapi aku tetap yakin Allah Maha Besar dan mendengar rintihan orang miskin seperti aku. Setiap malam, aku berusaha membuat latihan dan mengulangkaji di rumah. Buku rujukan rakan-rakan yang prihatin, aku gunakan dengan sebaik-baiknya. Saya orang miskin Hamid tak macam kau, orang berada” kata Hasan panjang lebar. “ Hamid jika kau nak belajar dan berbincang dengan aku, apa salahnya. Bagi aku,  kau tetap kawanku,” kata Hasan lagi dengan nada yang lemah lembut. Hamid termenung, dan meninggalkan Hasan bersendirian. Kata-kata itu betul-betul menyentuh perasaannya. “Sepatutnya Hasan membenciku, aku selalu membuli dan memperlinya, tetapi murni sungguh budi pekerti Hasan,” getus Hamid setelah pertemuannya dengan Hasan. Kata-kata Hasan mencuit hatinya yang keras bak batu.  Entah macam mana, hati Hamid mulai berubah. Hatinya yang keras itu berubah selembut kapas.

Perenggan Kelapan:- ( Konflik)
Kriteria dan teknik komsas
Contoh Ayat / Teknik Komsas Digunakan

Teknik Dialog














Teknik Pemerian

 Peperiksaan SPM akan diadakan tiga bulan lagi. Namun, Hasan tidak pula meninggalkan tugas rutinnya membantu ibunya menjual  nasi lemak di kedai Pak Yusuf. “Hasan kamu nak periksa nak. Cukuplah kamu membantu ibu. Ibu boleh menghantar nasi lemak ke kedai Yusuf. Bukan jauh pun,”kata ibunya. “ Ibu, jangan risau tentang peperiksaan SPM, Hasan sudah bersedia dan sekarang Hasan perlu meningkatkan usaha dengan menghadiri kelas tambahan yang diadakan di sekolah dan pada waktu malam Hasan membuat ulangkaji” jawab Hasan cuba meleraikan persoalan dan kerisauan bermain di dalam fikiran  ibunya. “ Allah sentiasa merahmati Hasan dan Hasan cuma mohon ibu mendoakan Hasan berjaya dalam peperiksaan nanti,” kata Hasan lagi. Mak Lijah teruja mendengar kata-kata anaknya, dan segera memeluk Hasan. “Emak ingin meilhat kau berjaya dan ingat pesan arwah ayah kau dulu. Tugas emak untuk mengotakan harapan ayah kau San,” kata Mak Lijah dalam nada bangga dan sedih. Tangganya semakin kuat memeluk anak kesayangannya itu.
     Seperti biasa pada waktu petang Hasan akan ke sekolah menghadiri kelas tambahan yang dibuat oleh guru mata pelajaran yang mengajarnya. Hasan faham kelas tersebut banyak membantunya untuk persediaan peperiksaan. Tidak seperti pelajar lain seperti Hamid, Roslan dan Jebat yang setiap malam menghadiri kelas tambahan di pekan. Pada waktu malam pula selepas menunaikan sembahyang Isya, Hasan mulai membuat kerja rumah dan mengulangkaji pelajaran. Hasan bertekad untuk berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan.

Perenggan Kesembilan:- ( Klimaks)
Kriteria dan teknik komsas
Contoh Ayat / Teknik Komsas Digunakan
Teknik pemerian

Teknik dialog


Teknik suspens













Simpulan bahasa

  Seperti setiap pagi Hassan ke sekolah menaiki basikal tua peninggalan bapanya. Hasan terkejut apabila sampai di selokah jalan dalam perjalan ke sekolah, Hasan melihat kelibat Hamid yang sedang menunggunya dengan basikal. “ Setahu aku, Hamid tak pernah naik basikal ke sekolah,” kata hati kecilnya. Ya Allah, kuatkan hatiku menghadapi Hamid yang tidak serik-serik mengangguku. Jauhkan aku dari sengketa,” Hasan berdoa sambil mengayuh basikalnya.
   “Asalamulaikum, San. Boleh aku ke sekolah bersamamu,” kata Hamid dengan suara yang tidak seperti biasa. “Silakan Hamid, ada juga teman saya ke sekolah,” kata Hasan.  Hamid dengan nada kesal memohon maaf segala tindakannya selama ini terhadap Hasan. Hamid juga meminta Hasan menerimanya sebagai seorang sahabat. Hamid juga ingin belajar dalam kumpulan Hasan. Semenjak itu, Hamid dan Hasan sentiasa belajar bersama-sama. Kawan-kawan Hamid seperti Jebat dan Roslan kehairanan melihat perubahan drastik Hamid. Mereka berdua semakin meningkatkan usaha membuat ulangkaji. Pada setiap malam, Hamid akan dihantar oleh bapanya ke rumah Hasan untuk belajar dan mengulangkaji pelajaran bersama-sama. Hamid juga membawa buku rujukan dan latihan yang pelbagai sebagai persediaan untuk belajar bersama Hassan. Ayah Hamid, kagum dengan peningkatan Hamid dalam pelajaran hasil berkawan dengan Hasan. Setiap malam, ada saja buah tangan yang di bawa oleh Hamid.








Perenggan Kesepuluh:- ( Peleraian)
Kriteria dan teknik komsas
Contoh Ayat / Teknik Komsas Digunakan
Teknik Pemerian


Teknik suspens













Selitkan peribahasa untuk mengaitkan karangan yang anda tulis.

  Peperiksaan SPM sudah berlalu. Hasan dan Hamid dapat menjawab soalan peperiksaan dengan baik. Hamid sentiasa mengucapkan terima kasih kepada Hasan kerana selama dia belajar bersama Hasan, banyak kemahiran belajar dan masalahnya dalam pembelajaran dalam dileraikan semasa berbincang dengan Hasan.
  Tiga bulan selepas itu keputusan SPM diumumkan. Hamid telah diumumkan antara pelajar terbaik dalam  peperiksaan SPM 2012 dan dia mendapat 7A 1B dalam peperiksaan berkenaan. Jantung Hasan bergemuruh kerana namanya  tidak disenaraikan sebagai pelajar terbaik. “Tuan dan puan sekalian, pada tahun ini salah seorang pelajar SMK Lambor Kanan telah diisytiharkan sebagai pelajar terbaik peringkat negeri Perak. Diminta kepada pelajar berkenaan, Adik Hasan b. Ali naik ke pentas menerima slip peperiksaan SPM 2012. Hasan memeluk ibunya dengan lenangan air mata dan naik ke pentas menerima slip peperiksaan SPM 2012. Hamid berlari ke arah Hasan dan memeluk Hasan kerana kejayaan mereka mendapat keputusan cemerlang. Encik Mustafa, bapa kepada Hamid bersetuju mengambil Hasan sebagai anak angkat dan menanggung segala perbelanjaan Hamid  untuk melanjutkan pelajaran. Kini, Hamid dan Hasan merupakan pelajar tahun akhir di Universiti Malaya dalam bidang kedoktoran. Mereka merupakan sahabat sejati.  Justeru, kehidupan mereka boleh dikaitkan dengan peribahasa  "genggam bara api biar sampai menjadi arang".



** Peringatan: Karangan berfokus cerpen atau cerita perlu merujuk kepada kaedah penulisan komsas iaitu merujuk kepada pengenalan, perkembangan, konflik, klimaks, dan peleraian. Oleh sebab itu, seorang pelajar perlu memastikan setiap fasa penulisan karangan tersebut merujuk kepada perkembangan cerita berdasarkan teknik komsas. Selain itu, mengenai kepanjangan dan jumlah perenggan bergantung kepada konflik dan setiap perkembangan karangan yang dicipta oleh pelajar. Kesimpulannya, seorang pelajar yang kreatif dan bijak, sudah pasti mereka akan merujuk kepada perkembangan cerita mereka dan jika ceritanya lengkap dan berpuas hati, sudah pasti karangannya terbaik.


                                 SELAMAT BERCUTI DAN MELAKSANAKAN TUGASAN

                    SEBAGAI SEORANG PELAJAR SEKOLAH KLUSTER KECEMERLANGAN.













 





Tiada ulasan: