Sabtu, 28 April 2012

Rumusan Teks Pelajar 4 K ( Hab Makanan Halal)


Ulasan Guru:-
Pengenalan:-
Petikan membincangkan tentang cadangan menjadikan negara ini sebagai hab makanan halal pada masa kini.

(Kesalahan kata kerja transitif membincangkan sepatutnya terus bertemu dengan objek iaitu cadangan. Kata  sendi tentang perlu digugurkan. Pengenalan masih baik dan  2 markah untuk pengenalan dan kesalahan kata sendi menjejaskan markah bahasa anda)

Perenggan Isi Tersurat:
           Antara inisiatifnya ialah kerajaan tidak lagi menganjurkan majlis di hotel yang tidak mempunyai sijil halal daripada JAKIM. Selain itu,pihak JAKIM juga telah memudahkan permohonan sijil halal dengan memohon terus melalui laman web hab halal JAKIM.Di samping itu,menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri,kerajaan telah menumpukan usaha untuk menjadikan malaysia sebagai pusat industri halal.Seterusnya,penggubalan Akta Halal mampu mengatasi masalah pengusaha yang melanggar arahan JAKIM.
( Terdapat  lima isi tersurat yang disenaraikan dan binaan ayat baik)

Perenggan Isi Tersirat:-
           Antara kebaikannya adalah terjamin kebersihannya.Seterusnya, makanan halal menjamin kesihatan tubuh badan seseorang. Bukan itu sahaja,malah,makanan yang halal akan memastikan ibadah kita diterima Allah.Selanjutnya,makanan halal bebas dari bahan-bahan yang memudaratkan kesihatan.

( Terdapat empat isi tersirat yang disenaraikan. Cuma ayat isi tersirat pertama kurang gramatis, sepatutnya " Antara kebaikannya ialah makanan halal terjamin kebersihannya" dan isi tersirat keempat setara atau sama dengan isi tersirat kedua iaitu masih berkaitan menjamin kesihatan)      

Perenggan Penutup:-
           Konklusinya, kita memboikot pembekal makanan yang tidak mempunyai sijil halal demi menjadikan negara kita dikenali sebagai hab makanan halal dunia.

(Binaan perenggan penutup masih perlu diperbaiki kerana,  ada perkataan yang perlu ditambah iaitu kita perlu memboikot. Namun, ayat harapannya kurang tepat kerana sepatutnya kita perlu menyokong usaha kerajaan menjadikan negara sebagai hab makanan halal supaya terkenal di seluruh dunia.Gunakan kata hubung supaya atau agar  untuk menghubungkan ayat harapan.)

Hasil kerja : Nazhan Mazlan 4K.
                                                                                                                                 (121 patah perkataan)
Rumusan markah:-
Pengenalan           :    2 markah
Isi Tersurat           :   10 markah
Isi Tersirat            :     6 markah
Penutup               :     1 markah
Jumlah markah isi :    19   
Markah bahasa    :      9         
Markah penuh     :      28 markah
                                 ------------
Antara sebab markah bahasa sembilan  kerana kesalahan tatabahasa dan ada ayat dalam rumusan anda yang tidak gramatis.


Ulasan guru:-

Perenggan Pengenalan:-
Petikan membincangkan usaha-usaha menjadikan negara ini sebagai hab makanan halal.

( Agak baik tetapi tidak ditambah frasa di bahagian hujung ayat contoh pada masa kini dan markah pengenalan  1 markah

Perenggan Isi Tersurat:-
Antara usaha menjadikan negara ini sebagai hab makanan halal ialah kerajaan tidak lagi menganjurkan sebarang majlis di hotel yang tidak mempunyai sijil halal  daripada JAKIM.  Pihak JAKIM juga telah memudahkan permohonan sijil halal dengan memohon terus melalui laman web halal JAKIM. Selain itu, KementerianPerdagangan Antarabangsa dan Industri telah menumpukan usaha untuk menjadikan negara ini sebagai hab industri halal. Di samping itu, Malaysia perlu menganjurkan Minggu Halal Malaysia yang bermatlamat untuk membangunkan industri halal.

( Hanya empat isi tersurat yang disenaraikan dan ayat baik)

Isi Tersirat:-
Antara kebaikan makanan halal ialah dapat menyihatkan tubuh badan.Tambahan pula, makanan halal dapat membentuk keperibadian yang mulia.

( Hanya dua isi tersirat yang disenaraikan dan ayat baik )

Perenggan Pengenalan:-
Tuntasnya, setiap pihak harus bertanggungjawab untuk mengeluarkan produk yang halal supaya menjadikan Malaysia sebagai hab makanan halal.

( Pengenalan dibina dengan mantap dan ayat gramatis) 

 Hasi kerja : Muhammad Muzzamil Azhari 4K

Ulasan keseluruhan:-
Calon kurang isi dan sepatutnya calon sedar jika isi tersurat kurang, cuba tambah atau senaraikan lebih banyak isi tersirat. Banyakkan lagi latihan untuk meningkatkan mutu rumusan yang baik.

Rumusan markah:-
Pengenalan           :    1 markah
Isi Tersurat           :     8 markah
Isi Tersirat            :     2 markah
Penutup               :     2 markah
Jumlah markah isi :    13
Markah bahasa    :      7      
Markah penuh     :      20 markah
                                 ------------

Cuba bandingkan dua jawapan pelajar di atas sebagai renungan anda.
Namun, petikan teks kurang mantap kerana hanya menyenaraikan enam isi tersurat.


Contoh rumusan yang baik.

Petikan membincangkan cadangan menjadikan negara ini sebagai hab makanan halal pada masa kini.

           Antara inisiatifnya ialah kerajaan tidak lagi menganjurkan majlis di hotel yang tidak mempunyai sijil halal daripada JAKIM. Selain itu,pihak JAKIM juga telah memudahkan permohonan sijil halal dengan memohon terus melalui laman web hab halal JAKIM.Di samping itu,menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri,kerajaan telah menumpukan usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat industri halal.Seterusnya,penggubalan Akta Halal mampu mengatasi masalah pengusaha yang melanggar arahan JAKIM.

           Antara kebaikannya, makanan halal terjamin kebersihannya.Seterusnya, makanan halal menjamin kesihatan tubuh badan seseorang. Makanan halal akan memastikan ibadah kita diterima Allah. Selanjutnya,pengguna mempunyai pelbagai  alternatif semasa membeli makanan halal.

           Konklusinya, masyarakat Islam perlu menyokong usaha menjadikan Malaysia sebagai hab makanan halal supaya terkenal di seluruh dunia.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan