Dasawarsa
ini, negara kita telah dilanda oleh gelombang inflasi secara global.
Setiap pengguna tidak dapat melepaskan diri daripada masalah sistem
ekonomi melibatkan kenaikan harga barangan yang semakin menjadi-jadi belakangan ini. Sehubungan dengan itu, segenap
masyarakat diseru supaya mengimplementasikan amalan berjimat cermat dalam rutin
hidup mereka seharian untuk menghadapi masalah berkenaan. Semua ajaran agama mengajar
penganutnya agar berjimat cermat dan tidak membazir dalam kehidupan. Allah s.w.t. menegah perbuatan boros (al-Isra’
26) seperti yang dijelaskan dalam al-Quran yang bermaksud: Dan janganlah kamu
boros terlalu boros. Filosofer Laotze berkata, “Kehidupan membazir dan
tamak akan mendorong manusia ke arah kebinasaan.” Hal ini memanifestasikan
bahawa betapa pentingnya amalan berjimat cermat dalam kehidupan sehari-harian
kita. Terdapat beberapa cara untuk kita berjimat cermat.
Mari kita fokus perbincangan ini
kepada cara berjimat cermat yang pertama iaitu mengurangkan perbelanjaan keluarga.
Sebagai unit keluarga yang besar, setiap ahli keluarga perlu mempunyai
tanggungjwab dalam mengurangkan perbelanjaan harian keluarga mereka. Ibu bapa
dan anak-anak perlu saling berkerjasama untuk menjalankan tanggungjawab
masing-masing kerana setiap unit
keluarga ini diibaratkan seperti sebatang pokok kerana setiap bahagian pokok
perlu menjalankan peranannya untuk memastikan pertumbuhan pokok tersebut
sentiasa dalam keadaan baik. Ibu bapa sebagai ketua rumah perlu menunjukkan
contoh berbelanja yang baik seperti mempunyai buku penggunaan wang seharian dan
mereka sentiasa merujuk buku berkenaan pada setiap bulan untuk melihat
pengurusan wang mereka. Justeru, dengan cara ini mereka dapat mengawal dan
merancang perbelanjaan setiap masa kerana pengguna boleh melihat rutin
perbelanjaan seharian atau sepanjang bulan dan mengurangkan perbelanjaan untuk
bulan seterusnya jika didapati perbelanjaan mereka berlebihan.
Selain itu, ibu bapa juga perlu
menjadi contoh kepada anak-anak dengan tidak mengamalkan sikap boros semasa
berbelanja. Sebelum merancang untuk membeli barangan, ibu bapa perlu menulis
barangan keperluan yang perlu digunakan
sahaja. Hal ini kerana, kita sentiasa rambang mata apabila pergi ke pusat beli
belah yang sentiasa memasang perangkap dengan menawarkan harga promosi untuk
mempengaruh pengguna membeli barangan mereka. Justeru dengan adanya senarai
barangan yang ditulis lebih awal mereka boleh mengelakkan daripada membeli
barangan yang tidak perlu dan hanya mengutamakan barangan yang perlu dibeli
sahaja. Selain itu, pengguna juga perlu menilai beberapa pusat beli belah dan
kemudian membuat bandingan harga barangan yang dijual. sebelum membuat
pembelian. Pastikan barangan yang dibeli tersebut ditawarkan dengan harga
paling istimewa kerana dengan membeli barangan yang sama dengan harga lebih
murah akan membantu pengguna berjimat cermat. Contohnya, harga sebotol syampu
rambut mungkin berbeza harganya daripada pusat beli belah berbeza. Tegasnya,
sikap tidak boros berbelanja dan membuat pengamatan harga barangan membantu
pengguna untuk berjimat cermat.
Sebagai ibu bapa, anak-anak perlu
didedahkan sikap menghargai wang yang mereka miliki sejak kecil lagi. Bak kata
pepatah melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Sebagai seorang anak, mereka
perlu sedar wang saku atau perbelanjaan yang diberikan oleh ibu bapa perlu
dihargai. Hal ini kerana, keperluan asas mereka sudah di sediakan oleh ibu bapa
dan sewajarnya mereka menyimpan lebihan wang saku yang diberikan ibu bapa untuk
perbelanjaan harian atau persekolahan di dalam tabung. Sikap sebegini akan
menjadi kelaziman mereka apabila sudah menjadi kebiasaan. Sebagai contoh, jika
ibu bapa memberi anak mereka sebanyak RM 2.00 sehari, anak-anak perlu menambung
RM 0.50 ke dalam tabung sekiranya tidak digunakan. Selain sebagai simpanan,
kemungkinan apabila wang tersebut diperlukan untuk membeli buku atau keperluan
yang penting wang tersebut boleh digunakan semula. Budaya begini bertepatan
dengan peribahasa sediakan payung sebelum hujan. Sikit-sikit, lama-lama jadi
bukit, dan peribahasa ini amat bermakna sekiranya wang yang mereka kumpul
secara berdisiplin akan menjadi banyak dalam tempoh yang lama. Tegasnya, sikap
menghargai wang amat perlu di dedahkan kepada anak-anak semenjak mereka kecil
lagi.
Akhir sekali, berjimat cermat dapat
meningkatkan tabungan sama ada anak-anak mahupun remaja. Sikap menabung ini
juga perlu didedahkan kepada anak-anak kerana wang yang mereka simpan di dalam
tabung boleh dimasukkan ke dalam bank. Hal ini amat penting untuk kesedaran
anak-anak supaya wang simpanan mereka akan tersimpan dengan lebih selamat di
dalam bank. Selain itu, wang simpanan ini boleh ditambah dari semasa ke semasa
untuk kegunaan mereka pada masa akan datang. Malang tidak berbau, kemalangan
dan tragedi yang tidak dijangka mungkin berlaku. Contohnya kebakaran,
kemalangan jalan raya mungkin terjadi kepada mereka dan wang tabungan tersebut
mungkin amat berguna untuk mereka ketika itu. Malah, kemungkinan mereka juga
memerlukan wang untuk kemasukan ke universiti dan sudah tentu wang berkenaan
dapat membantu mereka. Kesimpulannya, berjimat cermat dengan menabung dapat
meningkat tabungan mereka.
Tuntasnya, amalan berjimat cermat memang
bermanfaat dan menjadi amalan yang mampu membantu kehidupan manusia. Justeru,
bukan sahaja ibu bapa perlu membantu menyubur sikap positif ini dalam kalangan
anak-anak, malah kerajaan, pihak bank swasta dan separa kerajaan serta
Kementerian Pelajaran perlu mengorak langkah dan berganding bahu agar sikap berjimat cermat menjadi budaya dan
amalan masyarakat Malaysia yang berbilang etnik dan agama. Impaknya, ekonomi
negara dan keawangan masyarakat akan mantap dan mampu untuk menghadapi ekonomi
dunia yang sering terumbang-ambing dan
sentiasa tidak stabil. Semoga dengan situasi sedemikian rupa negara dan rakyat
mampu seiring dengan pembangunan ekonomi negara maju dunia agar kita mampu
duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi bersama mereka.
Karangan di atas sebagai contoh dan pelajar perlu kreatif mengubah suai dan
memastikan karangan yang dihasilkan lebih bermutu.
Pastikan pengenalan anda mantap dan menarik.
Pastikan perkembangan isi anda mengikut kaedah deduktif:-
Ayat Isi + Ayat Huraian 1 + Huraian 2 + Ayat Huraian 3 + Ayat Contoh + Ayat Penegas
( Selitkan frasa menarik )
Penutup:-
Ayat cadangan 1 + Ayat Cadangan 2 + Ayat Cadangan 3 + Ayat Cadangan 4
+ Ayat Harapan
2 ulasan:
assalamualaikum. saya bekas pelajar cikgu di smkasas. dapat jumpa sekejap je. tp sy cukup kagum dgn cikgu. betullah pepatah, "don't judge a book by its cover". hehe... sayangnya sy x sempat tadah ilmu sastera cikgu yg sy rasa luas tu. tp alhamdulillah sy still boleh follow melalui blog cikgu. terima kasih cgu.
Terima kasih kerana memberi komen membina untuk saya. Namun, semua yang saya lakukan adalah untuk kemudahan para pelajar dan juga sudah menjadi tugasan dan tanggungjawab saya memastikan mereka mendapat maklumat untuk persiapan menghadapi peperiksaan. Seterusnya, saya mengharapkan mereka mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Saya juga mendokan inti sukses dalam segala lapangan yang diceburi dan mantapkan keimanan dan ketakwaan sebagai muslimah.
Catat Ulasan