PERHATIAN KEPADA PELAJAR TINGKATAN 4S, 4K, 5H, DAN 5K
Selamat Bercuti dan di bawah saya senaraikan tugasan anda sepanjang cuti:-
1. Melengkapkan Program Mencari Maklumat Berdasarkan Topik.
Diharapkan para pelajar peka dengan tugasan dan sedaya upaya mencari bahan yang telah
dipertanggungjawabkan. InsyaAllah, saya akan memantau hasil kerja anda dengan kerjasama ajk
Bahasa Melayu Kelas setelah anda balik ke sekolah semula selepas Hari Raya Cina. Pastikan
hasilan kerja anda cemerlang kerana kejayaan program ini bergantung kepada kesungguhan anda
melaksanakan tugasan tersebut.
2. Penulisan Karangan berfokus Antarabangsa.
Tajuk karangan ( Soalan berdasarkan buku Kerja Twitter Tingkatan Lima) - Sumbangan Negara
Kaya untuk membantu negara-negara miskin.
Keterangan tambahan dan panduan menghasilkan karangan.
Karangan di atas merupakan karangan peringkat aras tinggi dalam karangan umum. Justeru, anda
perlu menggunakan kesempatan bercuti untuk mendapatkan maklumat dengan menggunakan bahan
sama ada menggunakan maklumat internet atau bahan bercetak. Penulisan karangan ini tanpa
sebarang maklumat tambahan akan menghasilkan karangan tidak bermutu.
Kriteria karangan umum cemerlang.
Sila rujuk kriteria karangan berkenaan, antaranya:-
i) Karangan anda perlu mempunyai tujuh perenggan.
Pengenalan ( 1 perenggan)
Isi ( 5 perenggan)
Penutup ( 1 perenggan )
ii) Kepanjangan karangan anda mesti 3 muka surat.
iii) Isi perlu dikembangkan menggunakan kaedah deduktif.
a) Ayat topik.
b) Ayat huraian ( huraian 1, huraian 2, huraian 3, dan huraian 4)
c) Ayat contoh.
d) Ayat penegas.
e) Selitkan istilah dan frasa menarik mengikut kesesuaian pada ayat.
iv) Maklumat anda perlu tepat dan berdasarkan carian di internet atau bahan cetak.
Contoh karangan ( Sambungkan Karangan Sehingga Lengkap)
Pada era globalisasi dan dunia tanpa sempadan ini, setiap negara dunia
perlu mengamalkan budaya tolong menolong atau kerjasama antara satu sama lain.
Negara kaya, terutamanya, perlu membantu negara miskin, dan begitu juga
sebaliknya kerana geruh tidak berbunyi dan malang tidak berbau. Bencana
alam melanda tidak mengenal sama ada negara yang dilanda tersebut merupakan
negara kaya mahupun miskin. Hal ini jelas apabila kita menyorot kembali bencana
alam yang pernah melanda dunia, sama di media massa seperti elektronik, mahupun
media cetak seperti bencana tsunami yang berlaku di Aceh dan Jepun, krisis
makanan akibat kemarau di Somalia. Bencana juga berlaku akibat kebiadapan
sesetengah kerajaan dunia yang tidak berhati perut dan bencana ini terus
berlaku sehingga sekarang seperti berlaku di
Gaza, Palestin, dan Bosnia Hezogovena pada suatu ketika dahulu. Impak
kejadian tersebut, sama ada semulajadi mahupun angkara manusia
menyebabkan mayat bergelimpangan,
bangkai binatang bertaburan dan harta benda musnah. Ibu bapa kehilangan orang
tersayang, dan anak-anak mangsa bencana alam kebuluran dan terpaksa meneruskan
kehidupan mereka dengan penuh kesengsaraan. Demikianlah senario gara-gara
bencana alam dan angkara kurang persafahaman antara kerajaan dunia. Kehidupan
nescaya akan menjadi sukar untuk mangsa-mangsa berkenaan . Siapakah yang dapat
membantu mereka? Jawapannya sudah pasti negara dunia lain terutamanya negara
kaya kerana hidup tak sentiasa indah, langit tak selalu cerah .
Mari kita kupas dan perhalusi bantuan masyarakat dunia kepada mangsa bencana berkenaan. Antara
bencana alam mengerikan pernah berlaku adalah
di Acheh, Indonesia pada tahun 2004. Impak bencana alam berskala 9.0 ritcher merupakan yang keempat terbesar di
dunia sejak 1900 menyebabkan seramai
200,000 kematian berlaku di Aceh. Malaysia adalah antara negara dunia yang
segera memberi bantuan kecemasan berbentuk bantuan kewangan dan keperluan
harian kepada mangsa bencana alam di negara jiran berkenaan ibarat
hulurkan tangan, ringankan beban. Selain sumbangan kerajaan Malaysia, dana
terus dijalankan oleh badan kewangan seperti anjuran Utusan Malaysia dan Maybank
telah berjaya mengumpulkan lebih kurang RM 8 juta untuk membantu mangsa tsunami.
Rakyat Malaysia memang terkenal dengan sikap pemurah dan sering membantu mereka
yang memerlukan pertolongan. Justeru, usaha Maybank yang mengharapkan tujuh
juta pelanggannya menyumbangkan RM 1.00 untuk usaha mengumpulkan dana merupakan
langkah terpuji untuk membudayakan sikap tolong menolong kepada pelanggannya. Bank
Dunia menganggarkan jumlah bantuan yang diperlukan untuk membangunkan semula
Aceh berjumlah USD 5 bilion. Tegasnya, dengan bantuan kerajaan, pertubuhan badan
bukan kerajaan, dan rakyat Malaysia serta negara dunia lain, kesengsaraan mangsa
tsunami Aceh dapat dikurangkan. Bahkan juga, negara kita akan terus terkenal di persada dunia dan mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara maju yang lain.
Skop
perbincangan seterusnya berfokus kepada sumbangan negara dunia dalam bentuk tenaga
dan kepakaran dalam misi membantu mangsa bencana alam. Kejadian tsunami di Jepun yang berlaku pada
tahun 2011, memaparkan betapa nilai
kemanusian merapatkan hubungan sesama manusia. Hal ini terpapar setelah Badan
Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) mengatur tugas-tugas menyelamat, 70
negara dunia telah menawarkan pertolongan kepada Jepun, antaranya negara Cina
yang mengenepikan hubungan tegang dengan kerajaan Jepun demi faktor kemanusian.
Malaysia sebagai sebuah negara yang
terkenal dengan sikap terpujinya bersetuju menghantar Pasukan Mencari dan
Menyelamat Khas (SMART), Rusia menghantar Pasukan (ERMACOM) dengan 40 anggota
termasuk tiga ekor anjing pengesan, Singapura menghantar pasukan penyelamat
urban, dan pelbagai lagi. Dengan adanya pasukan penyelamat berkenaan usaha
untuk menyelamat dan membantu mangsa terperangkap akan lebih mudah
dilaksanakan kerana pasukan berkenaan
dilengkapi dengan alat pengesan khas, anjing pengesan terlatih serta pengalaman
anggotanya dalam usaha menyelamat. Tegasnya, sumbangan negara dunia dalam
bentuk tenaga dan kepakaran kepada mangsa-mangsa
bencana alam dunia dapat menjalin tali silaturahim dan ukhuwah dengan
negara-negara yang terbabit.
Seterusnya, mari kita gunakan minda
pelajar kelas pertama untuk memperkatakan sumbangan negara dunia dari segi
rawatan dan kecemasan kepada mangsa bencana. Masyarakat yang mengalami bencana alam seperti tsunami
dan juga peperangan akibat kebejatan negara yang tidak memperdulikan kesengsaraan
masyarakat negara lain, menyebabkan masyarakat negara berkenaan yang tidak
berdosa menanggung sengsaranya. Fokus perbincangan ini menjurus kepada mangsa
tsunami di Aceh dan mangsa peperangan di Gaza, Palestin. Berbalik kita kepada
fungsi pertubuhan badan bukan kerajaan Malaysia (NGO) antaranya badan
pertubuhan bukan kerajaan seperti MERCY, Badan Amal, Pasukan Bulan Sabit
Malaysia, serta Pasukan Tentera Malaysia. Mercy Malaysia yang merupakan sebuah pertubuhan
bantuan perubatan sukarela, Pasukan Bulan Sabit Malaysia dan anggota perubatan
Tentera Malaysia telah menghulurkan bantuan perubatan kepada mangsa-mangsa
bencana alam di kedua-dua negara berkenaan. Bantuan perubatan amat diperlukan
dan dihargai kerana mangsa-mangsa bencana bukan sahaja mengalami kecederaan
parah bahkan menghidap penyakit berjangkit. Bantuan berupa perubatan ini bukan
setakat dapat meringankan penderitaan mereka malah tali ukhuwah terjalin dengan
negara-negara yang terbabit, bak kata pepatah cubit
paha kanan, paha kiri pun merasa juga. Jelaslah di sini, sumbangan
perubatan dan kecemasan kepada mangsa bencana berkenaan dapat mengurangkan
penderitaan mangsa.
dan infrastruktur yang telah rosak akibat bencana alam yang menimpa negara berkenaan
.........................................................................................(Sambungkan )
Akhirnya, skop perbincangan
seterusnya menjurus kepada memberikan
bantuan psikologi-
bimbingan
dan kaunseling kepada mangsa bencana alam. ............................................
(sambungkan)
Semua orang seharusnya melupakan batasan geografi dan perbezaan
pemahaman ideologi dalam menghulurkan bantuan dan tidak menjadi enau dalam
belukar, melepaskan pucuk masing-masing . Justeru, masyarakat negara dunia
perlu peka dengan permasalahan yang dihadapi oleh negara jiran walau di mana
kita berada. Kita harus sedar bahawa manusia semuanya sama iaitu menginginkan
kehidupan yang sempurna untuk meneruskan kehidupan. Oleh sebab itu, amat wajar
masyarakat dunia membudayakan sikap saling membantu selagi kita termampu
lantaran buat baik dibalas baik, buat jahat dibalas jahat, malah buat baik
berpada-pada buat jahat jangan sekali. Masyarakat negara dunia haruslah
bersama-sama menghulurkan bantuan dengan apa-apa cara sekalipun kepada
negara-negara yang dilanda bencana kerana ada pepatah mengatakan hendak seribu
daya, tak hendak seribu dalih. Kerajaan dunia juga sedar, negara kaya seperti
Jepun, mampu lumpuh akibat bencana tsunami pada suatu ketika dahulu. Paling
penting melalui nilai bantu membantu yang diterapkan oleh masyarakat dunia,
perasaan muhibah dapat dipupuk dan seterusnya akan melahirkan masyarakat
dunia yang hidup aman dan sejahtera. Sebagai masyarakat Malaysia, kita
seharusnya bersyukur kerana kerajaan dan pertubuhan badan bukan kerajaannya
sentiasa terpanggil untuk membantu masyarakat negara lain yang memerlukan
pertolongan kerana berat
mata memandang, berat lagi bahu memikul.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan