Ahad, 23 Disember 2012

KARANGAN BERFOKUS NEGARA



Kenaikan harga barangan keperluan acap kali menyusahkan pengguna di Malaysia. Tulis sebuah rencana tentang peranan pengguna dalam menangani masalah tersebut.
Diubah Daripada Hasil Karangan NUR A'ISYAH HUMAIRA' BINTI MOIDEEN KUTTY ,  TINGKATAN 4K  (2012)

Peranan Pengguna dalam Menangani Masalah Kenaikan Harga Barangan
Keperluan di Malaysia.
Oleh : Nur A’Ishyah Humaira’ Binti Moiden Kutty

         Dalam mengecapi arus pemodenan yang melanda dunia hari ini, para pengguna didedahkan oleh laporan media massa tentang kenaikan harga barangan keperluan secara berterusan seperti tiada penghujungnya. Isu kenaikan harga barangan ini merupakan isu hangat yang bermain dibibir-bibir masyarakat pengguna di negara kita. Para pengguna berasa kenaikan harga barangan akan membebankan kehidupan seharian mereka. Tambahan pula harga barangan kini berada dalam keadaan tidak terkawal dan meningkat secara mendadak setiap tahun. Labih-lebih lagi, isu kenaikan harga barangan ini dirasai oleh sesetengah masyarakat terutama  rakyat yang berpendapatan rendah. Justeru, mereka  terpaksa berjimat-cermat untuk  meneruskan kehidupan mereka dalam keadaan ekonomi negara yang tidak menentu ini. Oleh itu, para pengguna harus bersuara dan tidak memandang sebelah mata tentang permasalahan ini sebagai pengguna mereka perlu bertindak segera sebagai langkah untuk menangani permasalah kenaikan harga barangan.
  
        Pengguna merupakan individu yang berperanan penting dalam mengawal proses kenaikan atau penurunan harga barangan di pasaran. Mereka sepatutnya sedar dan mampu melontar suara dan pendapat untuk mendapatkan hak keadilan sebagai seorang pengguna. Menjelang musim perayaan, harga barangan keperluan meningkat dengan lonjakan yang dahsyat. Senario begini berlaku atas dasar  perangai dan sikap peniaga yang mementingkan diri sendiri sehingga sanggup mencekik darah para pengguna hanya untuk mendapat keuntungan yang berlipat ganda setiap kali musim perayaan menjelma. Justeru, para pengguna boleh menggunakan media massa sama ada media cetak atau media elektronik untuk meluahkan persaan mereka setiap kali peniaga didapati menaikkan harga barangan  sesuka hati. Sementara pihak berkuasa, terutama Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna perlu peka mendengar rintihan para pengguna terutama apabila berlaku isu kenaikan harga barangan  kawalan  seperti gula, dan minyak masak. Barangan keperluan tersebut merupakan bahan utama yang digunakan oleh pengguna untuk memasak semasa musim perayaan. Kenaikan harga barangan utama ini sering menimbukan keluh kesah dan terbeban kalangan pengguna akibat kenaikan harga barangan tersebut. Masyarakat pengguna yang bijak dan perlu bersatu umpama lidi yang menjadi penyapu jika disatukan.Mereka perlu bersatu dan sebulat suara menyatakan hak pengguna untuk menuntut keadilan. Tuntasnya, pengguna mempunyai kuasa untuk mengatasi kenaikan harga barangan keperluan di Malaysia dan pihak berkuasa perlulah menjalankan tugasan mereka dengan menguatkuasakan undang-undang dan mengambil tindakan kepada peniaga yang menaikkan harga barangan tanpa kawalan.

        Ada sesetengah pengguna acap kali menjadi mangsa semasa membuat pemilihan ke atas barangan yang hendak dibeli. Persis kata pujangga, ditelan mati emak, diluah mati bapa. Sebagai contoh ibu bapa yang mempunyai anak-anak masih kecil sering menghadapi masalah ekoran daripada keinginan anak-anak diperingkat usia ini pelbagai. Justeru, adakalanya ibu bapa terpaksa mengalah dalam memilih barangan yang dibeli hanya untuk mengikuti kehendak seorang anak. Contohnya dalam pemilihan makanan, anak-anak lebih mengemari ayam berbanding ikan. Sedangkan, harga untuk membeli ikan lebih murah berbanding membeli ayam kerana seekor ayam di pasaran sekarang melibatkan harga berbelas ringgit. Namun, ibu bapa terpaksa merealisasikan kehendak anak-anak mereka. Justeru, untuk mengatasi masalah tersebut, ibu bapa perlu mengubah persepsi pemilihan makanan anak-anak mereka dengan membudayakan anak-anak mereka memakan makanan yang ada. Mereka perlu diajar erti beryukur kerana masih dapat menikmati makanan berbanbding generasi terdahulu yang hanya memakan ubi kayu dan sayur-sayuran untuk meneruskan kehidupan akibat penjajahan Jepun. Ibu bapa juga perlu menerapkan pemakanan seimbang iaitu ikan memberikan lebih banyak zat makanan berbanding dengan ayam. Tegasnya, ibu bapa boleh mendidik anak-anak mereka memakan ikan berbanding ayam yang memerlukan ibu bapa mengeluarkan kos yang tinggi untuk mendapatkannya. Disamping itu, ibu bapa juga perlu bijak untuk menyediakan makanan yang lazat dengan menggunakan cara masakan yang sesuai dengan cita rasa anak-anak.

       Selain itu, sebagai seorang pengguna yang bijak mereka perlu mengelakkan membeli barangan mahal iaitu barangan yang diimport daripada luar negara. Sebagai pengguna yang bijak juga, kita perlu mengetahui bahawa barangan yang dimport dijual dengan harga yang mahal kerana kemasukan barangan tersebut dikenakan cukai oleh kerajaan. Kita sebagai pengguna sepatutnya membudayakan hidup bersederhana dalam membeli barangan seperti perabot, kenderaan bermotor dan sebagainya. Tambahan pula, sebagai sebuah negara merdeka dan mempunyai tahap ekonomi negara maju, negara kita juga telah berjaya mengeluarkan barangan seperti perabot dan kenderaan yang bermutu tinggi dan diterima pakai oleh masyarakat negara maju. Justeru, sebagai pengguna yang bijak, kita perlulah mengutamakan kualiti sesuatu barangan yang hendak dibeli, bukan jenamanya. Selain kita perlu menanam sikap ukur baju di badan sendiri dalam memberi barangan. Disamping itu, pengguna yang bijak dan mempunyai semangat patriotik perlu mengutamakan pembelian barangan buatan tempatan kerana dengan tindakan sedemikian kita akan memajukan eknomi negara. Persis kata pepatah Melayu, kera di hutan disusukan anak di rumah mati kelaparan. Selain itu, orang tua-tua pernah berkata, tiada rotan, akar pun berguna juga’. Tegasnya, pengguna yang bijak, akan bijak juga memilih barangan yang dibeli. Perlu kita ingat juga, perlu mengelakkan diri daripada mengikut kehendak hati kerana ikut hati mati, ikut rasa binasa, ikut suka duka.

         Seterusnya, penduduk kampung mahupun penduduk di taman, perlu bijak menggunakan kesempatan untuk merealisasikan konsep “Buku Hijau” yang diperkenalkan oleh Datuk Seri Ahmad Badawi pada tahun 2006. Justeru, penduduk desa atau kawasan taman perlu menggunakan tanah kosong dengan menanam sumber makanan atau sayuran sendiri seperti sayur seperti bayam, cili, jagung, dan sebagainya. Dengan menanam tanaman sendiri pengguna dapat mengurangkan kos membeli bahan makanan kerana setiap keperluan sudah ada dan mereka Cuma memetik sahaja bahan makanan tersebut. Tambahan pula, tanaman yang ditanam oleh pengguna lebih bermutu kerena tidak menggunakan racun perosak sebagaimana sayur-sayuran yang dibeli di kedai-kedai. Tambahan pula, penduduk kampung mungkin lebih beruntung kerana banyak tanah yang terbiar boleh diusahakan untuk menternak ayam, kambing, dan lembu. Selain mereka dapat mengusahakan tanah terbiar, mereka juga boleh mendapat menampah pendapatan dengan menternak ternakan tersebut. Bak kata pepatah apabila kita berbakti kepada tanah kita akan mendapatkan hasilnya. Tegasnya, dengan melakukan usaha bercucuk tanam dan menternak ternakan pengguna bukan sahaja mendapat hasil ternakan untuk digunakan sebagai makanan seharian tetapi juga usaha ini dijalankan secara komersial sudah pasti akan meningkatkan pendapata isi rumah.

        Mari kita lebarkan skop perbincangan ini kepada usaha untuk mengatasi masalah kenaikan harga barangan dengan mengubah cara hidup kita dengan membawa bekalan makanan ke tempat kerja atau ke sekolah. Sebagai pengguna yang bijak, mereka perlu berusaha untuk mengurangkan kos seharian. Sikap membawa makanan ke tempat kerja merupakan satu langkah bijak untuk mengurangkan kos membeli makanan dan minuman di tempat kerja. perlu dingat bahawa makanan yang dibeli di gerai makanan atau di kantin sekolah tidak semestinya berkhasiat, malah penyediaan makana itu juga mungkin boleh dipertikaikan. Hal ini kerana pada masa sekarang pengusaha gerai makanan dan kantin lebih mengutamakan keuntungan dengan menyediakan perasa makanan yang banyak memberi impak kepada kesihatan pengguna. Begitu juga dari segi penyimpanan makanan juga mampu menyebabkan makanan disediakan mudah menghadapi pencemaran daripada serangga perosak seperti lalat, tikus, dan lipas. Sayogia diingatkan, serangga perosak ini memudahkan penyakit berjangkit berlaku seperti taun, cirit-birit, kencing tikus dan sebagainya yang membolehkan nyawa seseorang itu melayang. Justeru, dengan penyediaan makanan daripada rumah, pengguna sudah pasti boleh menyediakan makanan yang lebih berkhasiat mengikut cita rasa mereka sendiri. Malahan, kos penyediaan makanan tersebut lebih murah, di samping pengguna akan dapat berjimat cermat berikutan harga makanan yang dibeli di luar sentiasa meningkat dari semasa ke semasa. Bak kata pepatah, ingat sebelum kena, jimat sebelum habis.

       Kesimpulannya, pengguna perlu tahu hak dan kuasa mereka dalam hal penggunaan untuk memastikan ekonomi diri dan keluarga stabil. Sebagai pengguna yang bijak mereka tidak boleh ambil sikap tidak peduli dengan kenaikan harga barangan dan memandang enteng terhadap masalah berkenaan. Sebaliknya mereka perlu ambil tahu dan campurtangan dalam menangani masalah berkenaan. Sebagai pengguna yang bijak mereka perlu menjadi ahli persatua pengguna seperti Persatuan Pengguna Pulau Pinang, Persatuan Pengguna Islam, dan lain-lain lagi. Hal ini penting, kerana dengan permuakatan pengguna dalam persatuan akan menyebabkan suara mereka akan lebih kuat dalam menuntut keadilan dan memastikan harga barangan di pasaran sentiasa terjamin daripada kenaikan harga barangan yang tidak terkawal yang boleh menjejaskan ekonomi diri dan keluarga. Pengguna perlulah mengelak daripada bersikap seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Selain itu, pengguna yang bijak perlu menyedari bahawa mereka mempunyai kuasa untuk menentukan harga barangan di pasaran. Pengguna juga perlu bangun dari pada mimpi yang lena demi mendapatkan keadilan dan cuba untuk mengelak daripada diperkotak-katik oleh peniaga yang cuba mengaut keuntungan berlipat ganda.

1 ulasan:

  1. boleh postkan karangan tajuk peranan kerajaan semasa kenaikan barang ?? tqvm

    BalasPadam