Selasa, 25 Disember 2012

FOKUS PENGGUNAAN ISTILAH UNTUK NILAI DALAM PERBINCANGAN KOMSAS


Nilai ( Kemanusian ) Dalam Kajian Komsas:-
Nilai kemanusian ialah nilai-nilai  yang baik atau positif yang terdapat dalam sesbuah karya cereka. Nilai-nilai baik seharusnya dimiliki, dihayati, dan diamalkan oleh manusia, antaranya:-
Keadilan
Kebijaksanaan
Amanah
Keberanian
Bertanggungjawab
Berbudi bahasa
Berdikari
Kasih sayang
Ketabahan
Merendah diri
Keinsafan
Nasihat menasihati
Kejujuran
Patriotik
Kesederhanaan
Kerajinan
Mengenang budi
Kesabaran
Hormat-menghormati
Simpati/ belas kasihan
Ketaatan
Kerjasama / tolong menolong
Keyakinan

Nilai ( Kemasyarakatan)  Dalam Kajian Komsas:-
Nilai kemasyarakat ialah nilai baik (positif) dan nilai buruk (negatif) yang terdapat dalam sesebuah masyarakat. Nilai positif dan nilai negatif ini dimiliki, dihayati, dan diamalkan oleh sebahagian anggota masyarakat. Nilai masyarakat merangkumi nilai-nilai di atas. Sementara nilai-nilai negatif misalnya masyarakat suka menyebar fitnah, masyarakat yang tidak taat kepada perintah Allah dan sebagainya.
Baik hati
Kesopanan
Keperihatinan
Tepat janji
Pengorbanan
Pemurah
Setiakawan
Kenang budi
Cinta akan alam sekitar
Dedikasi
Cinta akan budaya
Jimat cermat
Keredaan


 Istilah di atas perlu digunakan apabila pelajar ingin membicarakan  nilai sama ada semasa menjawab soalan komsas antologi mahupun soalan berkaitan komsas novel. Namun, soalan berkaitan nilai telah keluar pada soalan  SPM November 2012.  Sila berhati-hati semasa memilih istilah untuk nilai. Paling utama istilah nilai boleh berdiri sendiri contoh nilai kerajinan, nilai keinsafan, nilai keyakinan, nilai patriotik dan sebagainya. Jika pelajar menulis nilai rajin, penggunaan istilah rajin adalah salah.Oleh sebab itu, gunakan istilah nilai yang disenaraikan di atas.

MERUMUS TEKS SOALAN SPM KERTAS 2 NOVEMBER 2012



Soalan 1 : Rumusan ( SPM 2012)
[30 markah]
Baca petikan di hawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang faktor-faktor pemilihan Malaysia sebagai destinasi pelancongan kesihatan dan faedah-faedah industri pelancongan kesihatan kepada negara kita Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Bersesuaian dengan langkah transformasi ekonomi negara yang  memerlukan pendekatan strategi menyeluruh, kerajaan melaksanakan  usaha sama dalam pelbagai bidang  yang menjadi teras ekonomi negara. Kerjasama yang terjalin antara sektor kesihatan dengan sektor pelancongan telah merancakkan industri pelancongan kesihatan, iaitu lebih banyak pelancongan pelancong dari serata dunia berkunjung ke Malaysia bagi mencari penawar untuk pelbagai masalah  kesihatan selain memenuhi agenda pelancongan mereka. Hal ini dipengaruhi oleh  faktor kebanyakan hospital di negara ini mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
Sebagai sebuah negara yang mempunyai tahap kualiti perubatan yang tinggi, Malaysia mempunyai potensi yang sangat besar untuk menarik lebih banyak pelancong kesihatan. Hal ini demikian kerana negara kita sememangnya mampu menyediakan perkhidmatan kesihatan yang terbaik dan seterusnya menjadi peneraju industri ini di rantau Asia Tenggara.  Kemajuan dalam perkhidmatan perubatan swasta  bernilai tambah yang mempunyai  potensi untuk menjadi sumber penjanaan perkhidmatan tersebut. Selain itu, negara kita mempunyai pakar perubatan antara yang terbaik di dunia. Tambahan pula, caj rawatan di sini lebih murah berbanding dengan negara negara maju..
                                                                                   
Keyakinan pelancong kesihatan terhadap mutu rawatan di negara kita didorong oleh pengiktirafan Kualiti Kesihatan Persatuan Perubatan Malaysia (MSQH) serta standard MS IS09002. Pengiktirafan tersebut dimiliki oleh pengamal perubatan tempatan yang memenuhi piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Sehubungan dengan itu, Malaysia amat sesuai sebagai destinasi pelancongan kesihatan kerana terdapat banyak pusat perubatan persendirian yang lengkap dengan peralatan canggih dan doktor pakar yang berpengalaman dan berpengetahuan tinggi. Lebih istimewa, pusat perubatan swasta di Malaysia menawarkan pelbagai pilihan penginapan kerana kos penginapan hospital bergantung pada pilihan pesakit sama ada mahu memilih penginapan yang mewah atau penginapan yang selesa dengan bayaran yang berpatutan. Para pelancong kesihatan turut mendapat layanan bertaraf dunia daripada pusat perubatan swasta tempatan.
Bagi memperkasakan industri ini agar lebih berdaya saing dan menawarkan perkhidmatan yang relevan dengan keperluan semasa, KKM telah memperuntukkan undang-undang baharu untuk mentadbir penjagaan kesihatan. Usaha penambahbaikan sektor pelancongan kesihatan melibatkan pemberian kuasa tambahan kepada MajlisKesihatan Malaysia sekali gus akan mempertingkatkan fungsinya. Bagi memastikan jumlah pelancong kesihatan meningkat dalam kadar yang lebih tinggi  tahun ke tahun, kerajaan mengkaji kemungkinan untuk meminda undang-undang agar dapat membantu pengamal perubatan mempromosikan perkhidmatan mereka di luar negara.
(Dipetik dan diubah suai daripada
'Sinergi Sektor Kesihatan dengan Pelancongan'
oleh Hanafi Timan,
Dewan Ekonomi, Oktober 2010)

Saya pernah ditanya oleh beberapa orang guru dan pelajar sama ada terdapat atau tidak perubahan format menjawab soalan rumusan teks pada soalan SPM 2012. Jawapannya, ada. Saya berkata begitu kerana pada tahun ini pelajar yang kreatif boleh menghasilkan dua jenis pengenalan, pertama berdasarkan jawapan seperti biasa dan satu lagi jawapan berdasarkan tema keseluruhan teks. Contohnya:-
Pengenalan rumusan teks:-
a)  Biasa ditulis oleh pelajar:-
Frasa permulaan
Kata Kunci Berdasarkan Tema Teks
Frasa Tambahan
Petikan teks membicarakan
punca/ sebab/ alasan  pemilihan Malaysia sebagai  destinasi pelancongan kesihatan
berbanding dengan negara lain/ di peringkat Asia Tenggara/di peringkat Dunia                         ( 2 markah)

b)  Pengenalan berdasarkan tema keseluruhan teks rumusan:-
Frasa permulaan
Kata Kunci Berdasarkan Tema Teks
Frasa Tambahan
Petikan teks membicarakan
keistimewaan / kelebihan Malaysia sebagai destinasi pelancongan kesihatan
berbanding dengan negara lain/ di peringkat Asia Tenggara/di peringkat Dunia.                        ( 2 markah)

Persoalannya, bagaimana untuk mengesan tema dalam petikan teks? Jawapannya, mudah sahaja, tema merupakan isu atau persoalan pokok atau utama yang diberi tumpuan atau diperbincangkan dalam teks. Contohnya, dalam petikan teks bertajuk faktor-faktor pemilihan Malaysia sebagai destinasi pelancongan kesihatan anda boleh melihat keseluruhan teks membicarakan tentang keistimewaan atau kelebihan destinasi pelancongan kesihatan di Malaysia. Oleh sebab itu, frasa untuk kata kunci yang digunakan ialah keistimewaan atau kelebihan. Justeru, pelajar perlu melakukan banyak latihan untuk menguasai kemahiran mengesan tema dalam sesuatu teks.

c)
Frasa permulaan
Kata Kunci Berdasarkan Tema Teks
Frasa Tambahan
Petikan teks membicarakan
punca/ sebab/ alasan  pemilihan Malaysia sebagai  destinasi pelancongan kesihatan
di Malaysia  ( 1 markah)
** Tidak menunjukkan perbandingan
    dengan negara lain.

d)
Frasa permulaan
Kata Kunci Berdasarkan Tema Teks
Frasa Tambahan
Petikan teks membicarakan
keistimewaan / kelebihan Malaysia sebagai destinasi pelancongan kesihatan
di Malaysia.                        ( 1 markah)
** Tidak menunjukkan perbandingan
    dengan negara lain.

e)
Frasa permulaan
Kata Kunci Berdasarkan Tema Teks
Frasa Tambahan
Petikan teks membicarakan
faktor  pemilihan Malaysia sebagai  destinasi pelancongan kesihatan.
Istilah faktor tidak diubah.
di Malaysia  ( 0 markah)
** Tidak menunjukkan perbandingan
    dengan negara lain.



f)
Frasa permulaan
Kata Kunci Berdasarkan Tema Teks
Frasa Tambahan
Petikan teks membicarakan
keistimewaan / kelebihan Malaysia sebagai destinasi pelancongan
di Malaysia.                        ( 1 markah)
** Tidak menunjukkan perbandingan
    dengan negara lain.

**  Frasa pelancongan kesihatan perlu ditulis – jika tidak  ( 0 markah ) untuk pengenalan.

Panduan untuk menjawab isi tersurat, isi tersirat dan penutup rumusan teks.

     Isi tersurat :- ( Terdapat sembilan isi dicadangkan)
1.  kebanyakan hospital di negara ini mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
2.  mempunyai tahap kualiti perubatan yang tinggi.
3. Kemajuan dalam perkhidmatan perubatan swasta.
4.  mempunyai pakar perubatan antara yang terbaik di dunia.
5. caj rawatan di sini lebih murah berbanding dengan negara negara maju.
6. pengiktirafan Kualiti Kesihatan Persatuan Perubatan Malaysia (MSQH) serta standard 
   MS IS09002.
7. banyak pusat perubatan persendirian yang lengkap.
8. pusat perubatan swasta di Malaysia menawarkan pelbagai pilihan penginapan.
9. para pelancong kesihatan turut mendapat layanan bertaraf dunia.

    Isi tersirat:-
1. menjana pendapatan/ ekonomi negara.
2. meningkatkan imej negara di mata dunia.
3. menambah peluang pekerjaan.
4. merancakkan bidang Penyelidikan dan Pembangunan negara (R&D).
5. membantu kegiatan industri berkaitan dengan pelancongan negara.
6. meningkatkan pembangunan prasarana/infrastruktur negara.

Penutup:-
Akhir kalam, rakyat Malaysia perlu bekerjasama untuk membantu sektor pelancongan kesihatan agar Malaysia terus menjadi tarikan pelancong asing.
 

Soalan 2 (a) Petikan Umum. ( Masih soalan pemahaman berdasarkan Soalan SPM November 2012)

1.     Apakah maksud rangkai kata strategi menyeluruh?                                          ( 2  markah )

2.     Pengarang menyatakan beberapa usaha kerajaan untuk memajukan sektor pelancongan kesihatan.
        Nyatakan usaha-usaha tersebut.                                                                       ( 3  markah )

3.     Jelaskan pendapat anda tetang dua peranan media untuk memajukan industri pelancongan 
        kesihatan di negara ini ?                                                                                   ( 4  markah )

Jawapan soalan pemahaman teks. 

1.    i)  Strategi menyeluruh bermaksud kaedah yang lengkap merangkumi semua aspek.
      ii)  Strategi menyeluruh bermaksud cara yang lengkap merangkumi semua aspek.
     iii)  Strategi menyeluruh bermaksud teknik yang lengkap merangkumi semua aspek.
     iv)  Strategi menyeluruh bermaksud langkah yang lengkap merangkumi semua aspek.

2.   Antara usaha kerajaan untuk memajukan sektor pelancongan kesihatan adalah dengan  KKM 
     telah memperuntukkan undang-undang baharu untuk mentadbir penjagaan kesihatan,  
     pemberian kuasa tambahan kepada Majlis Kesihatan Malaysia sekali gus akan 
     mempertingkatkan fungsinya serta meminda undang-undang. ( Isi cukup sekadar 3 isi- 
     rujuk markah)

     Jawapan soalan ini mestilah dengan huraian. Untuk memastikan anda menghurai 
     jawapan berkenaan pastikan anda menggunakan kata hubung dalam ayat jawapan anda.

3.  Terdapat dua peranan media masa untuk memajukan industri pelancongan kesihatan negara, pertama dengan mempromosi sektor pelancongan kesihatan negara agar menarik kedatangan pelancong. Selain itu, media masa perlu mengurangkan bayaran untuk iklan supaya lebih banyak syarikat pelancongan mengiklan  produk pelancongan kesihatan mereka di media masa. Tambahan pula, media masa boleh menulis rencana mengenai pelancongan kesihatan agar banyak maklumat tentang produk pelancongan kesihatan diketahui oleh pelancong asing dan pelancong tempatan.

     ** Pelajar boleh menyenaraikan lebih isi sebagai bantuan sekiranya ada isi yang ditulis tidak tepat. InsyaAllah isi tambahan akan membantu anda untuk mendapat markah penuh. Sekian untuk perbincangan kali ini. Semoga pada masa akan datang saya akan membincangkan fokus atau format lain untuk kertas bahasa Melayu. Semoga coretan yang tidak seberapa ini akan membantu anda untuk menjawab soalan bahagian rumusan dan pemahaman teks bahasa Melayu Kertas 2.