Isnin, 21 Jun 2021

SISTEM DAN APLIKASI BAHASA : SOALAN 5 - PERIBAHASA.

 Soalan 5 : PERIBAHASA ( LATIHAN 2 )

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian nyatakan dua peribahasa yang sesuai dengan situasi dalam petikan tersebut.


Pada zaman penjajahan, semua penduduk bersatu hati berjuang menentang penjajah sehingga negara mencapai kemerdekaan. Sekalipun mereka menghadapi pelbagai kesusahan tetapi hal itu tidak melunturkan semangat mereka kerana situasi itu sudah dilalui mereka sepanjang masa dan menjadi lumrah hidup. Walaupun ada pejuang yang ditangkap dan dituduh sebagai penderhaka, namun hal itu tidak melemahkan semangat mereka yang berkobar-kobar itu kerana mereka tidak mahu tanah air tercinta ini terus dijajah.

4  markah

Jawapan:-

1.     Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

2.     Alah bisa tegal biasa / asam garam.

SISTEM DAN APLIKASI BAHASA : SOALAN 5 - PERIBAHASA

 

Soalan 5 : PERIBAHASA

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian nyatakan dua peribahasa yang sesuai dengan situasi dalam petikan tersebut.

Aku dengan Amirah bersahabat baik sejak kecil. Aku mempercayai dirinya dan yakin bahawa dia dapat menyimpan rahsiaku, namun telahanku silap. Amirah telah menceritakan rahsia peribadiku kepada orang lain sedangkan sebelum ini dia pernah berjanji untuk menyimpan rahsia tersebut walau berlaku apa-apa sekalipun. Betullah kata orang tua-tua bahawa kita tidak boleh menyamakan orang lain seperti diri kita. Mungkin sekarang Amirah sudah berubah. Sungguhpun begitu, tiada apa-apa yang boleh dibuat lagi. Semuanya sudah terlambat. Aku tidak mempercayainya lagi.

Sumber : Internet

4 markah


Jawapan:-

1.    Musuh dalam selimut.

2.    Nasi telah menjadi bubur/  menyesal dahulu pendapatan menyesal kemudian tiada 

       berguna.



Sabtu, 19 Jun 2021

LATIHAN BAHASA MELAYU STANDARD

 Syahadan lalu  berkhabar   Sultan Muhammad Zainuddin, “Jikalu ada ampun serta kurnia suka reda Seri Paduka Kakanda,  adinda hendak membawa pulang ke Matan, Seri Paduka Adinda Ratu serta dengan  anak laki-laki dan perempuan  sekaiannya.

Maka dijawab oleh Sultan Banjar, “Baiklah itu sahaja, ada yang sudah berlaki, ada yang sudah berbini dengan orang Banjar itu.”

(dipetik daripada Hikayat Opu Daeng Menambun  dalam buku antologi Dirgahayu Bahasa m.s. 86)

Jawapan:

Selanjutnya,   Sultan Muhammad Zainuddin pun bertitah “Jika mendapat kurnia dan ampun daripada Seri Paduka Kakanda,   adinda hendak membawa Seri Paduka Adinda Ratu dan semua anak lelaki dan perempuan untuk pulang ke Matan.

Sultan Banjar pun bertitah, “Baiklah perkara itu, apatah lagi ada pula sudah bersuami dan beristeri dengan orang Banjar itu.


SISTEM APLIKASI BAHASA - SOALAN 1 MORFOLOGI

 

Soalan 1 : Morfologi

Baca petikan di bawah dengan teliti dan senaraikan dua kata kerja aktif dan dua kata adjektif. Kemudian, anda dikehendaki membina satu ayat anda sendiri daripada setiap perkataan yang dipilih untuk menunjukkan bahawa anda faham akan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan imbuhan atau menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.

 

Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) masih memerlukan sokongan kewangan dan dasar daripada kerajaan, bank serta agensi berkaitan bagi membolehkan operasi perniagaan terus bertahan ketika berhadapan dengan impak pandemic COVID-19, demikian menurut RAM Holdings Bhd. Berdasarkan kaji selidik terkini keyakinan Perniagaan RAM, sokongan itu masih diperlukan kerana ekonomi dijangka tidak stabil dengan prospek yang tidak menentu dalam tempoh tiga bulan akan datang. Kerajaan telah melaksanakan pakej rangsangan yang efektif bagi membantu PKS ketika ini. Ini termasuk moratorium pinjaman segera, yang menjadi pelonggaran kewangan besar yang sangat diperlukan, dengan 86 peratus responden menerima tawaran itu.

 Dipetik dan diubah suai daripada

“PKS Masih Perlukan Sokongan untuk Terus Bertahan”

oleh Alzahrin Alias

Berita Harian, 21 September 2020

 [ 8 markah ]

 

Jawapan:-

Kata kerja aktif:-

1.   memerlukan

Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) masih memerlukan sokongan kewangan dan dasar daripada kerajaan, bank serta agensi berkaitan bagi membolehkan operasi perniagaan terus bertahan ketika berhadapan dengan impak pandemic COVID-19, demikian menurut RAM Holdings Bhd.

Bina ayat:-

1.1     Saya memerlukan pertolongan kamu untuk menyiapkan kerja berkenaan.

 

2.   melaksanakan

Kerajaan telah melaksanakan pakej rangsangan yang efektif bagi membantu PKS ketika ini.

 Bina ayat:-

 2.1       Ibu melaksanakan tanggungjawabnya menjaga kami adik beradik dengan

              baik.

Kata adjektif:-

1.   kecil  / sederhana

Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) masih memerlukan sokongan kewangan dan dasar daripada kerajaan, bank serta agensi berkaitan bagi membolehkan operasi perniagaan terus bertahan ketika berhadapan dengan impak pandemic COVID-19, demikian menurut RAM Holdings Bhd.

 1.1    Saiz bola itu sangat kecil berbanding bola yang biasa digunakan untuk 

          permainan bola sepak.

2. besar

Ini termasuk moratorium pinjaman segera, yang menjadi pelonggaran kewangan besar yang sangat diperlukan, dengan 86 peratus responden menerima tawaran itu.

2.1   Saiz buah epal berkenaan sangat besar.

 

KATA ADJEKTIF ( SIFAT )

 

Kata Adjektif ialah perkataan yang menerangkan sifat atau keadaan sesuatu kata nama seperti hitam, besar, kuat, banyak dan sedikit. sifat atau keadaan sesuatu benda, orang, tempat, binatang, dan sebagainya.

 

1.       Kata adjektif juga dikenal sebagai kata sifat.

2.       Kata adjektif boleh disertai kata keterangan amat, paling, sangat, dan sebagainya yang bertugas sebagai penguat.

Contohnya; sangat cantik, amat rajin, paling tinggi, dan sebagainya.

 

A. Jenis-jenis kata Adjektif


1. Adjektif Jati

          Ia menerangkan sifat atau rupa yang jati.

          Contoh

          Buku itu berwarna biru.

          Budak kurus itu kawan saya.

 

2. Ajdektif Bilangan atau pecahan

          Ia menunjukkan bilangan atau pecahan.

          Contoh

          Ayah memiliki dua buah kereta.

          Saya membeli beberapa kuntum bunga.

 

3. Adjektif Tunjuk

          Ia menunjukkan “bagaimana” / “yang mana”

          contoh

          Baju ini mahal harganya.

          Perkara demikian jangan diulangi lagi.

 

4. Adjektif pencerai / pengasingan

          Ia menerangkan benda yang disifatkan itu dikira satu-satu atau selonggok-selonggok.

          Contoh

          Setiap pelajar mesti berdiplin.

          Ambil barang masing-masing.


5.       Kata adjektif ialah kata yang menerangkan

(a) menerangkan sifat keadaan seperti sihat dan cantik;

(b) menerangkan sifat warna seperti hitam dan hijau;

(c) menerangkan sifat ukuran seperti tebal dan besar;
(d) menerangkan sifat bentuk seperti lurus dan bujur;

(e) menerangkan sifat jarak seperti hampir dan jauh;
(f) menerangkan sifat waktu seperti lama dan awal;
(g) menerangkan sifat perasaan seperti
 malu dan gembira;
(h) menerangkan sifat cara seperti lincah dan lambat;
(i) menerangkan
 sifat pencaindera seperti masin dan harum.


B. Pangkat-pangkat Adjektif

1. Pangkat biasa

ia dinyatakan dengan menggunakan kata adjektif biasa.

Contoh

Baju dia cantik.

Buah betik itu manis.

 

2. Pangkat perbandingan

Ia merupakan perbandingan sama, lebih atau kurang.

Contoh

Tenaganya sekuat Badang.

Buah jambu itu semanis gula.

 

3. Pangkat menyangat

Ia menerangkan adjektif yang keterlaluan seperti sangat, amat, benar-benar dan sebagainya.

Contoh

Cuaca hari ini sangat mendung.

Buah rambutan ini terlalu masak.

 

4. Pangkat penghabisan

Ia menerangkan adjektif paling satau penghabisan.

Contoh

Gunung Kinabalu adalah gunung yang paling tinggi di Malaysia.

Menera KLCC bangunan yang tertinggi di Malaysia.

Kata Sendi

Kata sendi ialah perkataan yang digunakan untuk menghubungkan dua atau lebih

perkataan, frasa, atau ayat.

 

NOTA KATA KERJA TRANSISITIF (KTT) DAN KATA KERJA TAK TRANSITIF ( ULANGAN )

Rabu, 16 Jun 2021

LATIHAN BAHASA MELAYU STANDARD SOALAN BERFORMAT BARU 2021 -KERTAS BAHASA MELAYU KERTAS 2 BAHAGIAN APLIKASI BAHASA SOALAN 4

 

Latihan Bahasa Melayu Standard    2

Maka oleh Seri Amerta kata Tun Perak itu semuanya dipersembahkan ke bawah Duli Yang Dipertuan. Maka baginda pun tersenyum, seraya bertitah, “Benar seperti kata Tun Perak itu.”

Maka diambil sirih dari puan baginda, disuruh berikan kepada Tun Perak. Maka titah baginda kepada Tun Perak, “Bahawa Tun Perak tiada patut diam di Kelang lagi; baiklah Tun Perak diam di negeri ini.”

(Petikan daripada Prosa Tradisional Burung Terbang Dipipi Lada , antologi Sejadah Rindu)

Jawapan:

Seri Amerta pun menyembahkan  kata-kata yang disampaikan oleh Tun Perak kepada Duli Yang Dipertuan. Baginda pun tersenyum sambil bertita, “kata-kata Tun Perak itu memang benar”.

Setelah itu, baginda mengambil sirih dari bekas sirih itu /puan sirih lalu menyuruh orang untuk menganugerahkan sirih itu kepada Tun Perak. Baginda bertitah kepada Tun Perak, ” Tun Perak tidak patut berada/ tinggal di Kelang lagi, sebaliknya lebih elok berada di negeri Melaka.


LATIHAN BAHASA MELAYU STANDARD SOALAN BERFORMAT BARU 2021 -KERTAS BAHASA MELAYU KERTAS 2 BAHAGIAN APLIKASI BAHASA SOALAN 4

 

Dalam bahagian latihan ini calon akan diuji dalam bentuk prosa tradisional, ujaran atau bahasa pasar serta cakap ajuk kepada bahasa Melayu baku / standard. Di sini, cikgu akan cuba menghuraikan teknik mengubahsuaikan bahasa klasik atau bahasa tidak baku itu kepada bahasa Melayu baku. Jika petikan itu ialah prosa tradisional, murid hendak mengenal pasti kata-kata yang lazim digunakan dalam bahasa klasik seperti maka, arakiah, hatta, syahadan, alkisah dan sebagainya. Kata-kata tersebut mesti dibuangkan dan tidak boleh menyalin kata-kata tersebut dalam bahasa Melayu standard. Dalam bahasa klasik, sering terdapat ayat songsang yang tidak normal, seperti “meminta nangka sebiji” sepatutnya “meminta sebiji nangka”. Seterusnya, cikgu telah menyediakan latihan untuk murid serta rakan setugas sebagai rujukan atau berkongsi idea.

Petua: Calon tidak boleh mengubah struktur ayat bahasa klasik itu, terutamanya ayat dalam bentuk cakap ajuk perlu dikekalkan. Selain itu, bahasa istana perlu dikekalkan, seperti bertitah, berkenan, daulat tuanku, ampun tuanku, bersemayam, berangkat, murka, bersiram dan sebagainya.


Latihan Bahasa Melayu Standard 1

Hatta diceterakan oleh orang yang empunya cetera ini tatkala Inderaputera berjalan itu maka ia pun bertemulah dengan Tasik Semendera Jin namanya. Maka dilihat oleh Inderaputera dari jauh ada suatu tasik maha besar seperti laut rupanya. Maka fikir Inderaputera , “Laut apakah ini gerangannya?”

(Petikan daripada Dua Geliga Hikmat dalam buku antologi Digarhayu Bahasa)

Jawapan: Menurut cerita yang disampaikan oleh pemilik cerita/ tukang cerita / pelipur lara itu, apabila dalam perjalanan,  Inderaputera telah menemukan sebuah tasik yang bernama Tasik Semendera Jin. Dari jauh, Inderaputera mendapati bahawa tasik itu sangat besar seperti laut. Pada fikiran Inderaputera, “kemungkinan itulah laut.


LATIHAN PENYUNTINGAN SOALAN BERFORMAT BARU 2021 -KERTAS BAHASA MELAYU KERTAS 2 BAHAGIAN APLIKASI BAHASA SOALAN 3

 Cuba jawap soalan di bawah:-

Latihan penyuntingan 3

Petikan perbualan ini mengandungi   tiga belas kesalahan Bahasa. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada tiga belas kesalahan yang terdapat dalam petikan. Anda tidak perlu menyalin petikan tersebut.

Hui Ling     : Nathan, cuba membaca berita tentang kes kematian akibat penyakit Covid-19 di negara Indonesia.

Nathan      :Aduh, malangnya banyak mangsa-mangsa  penyakit Covid-19 yang terkorban.

Hui Ling     : Warganegara-warganegara Malaysia patut bersyukur kerana penyakit tersebut dapat dikawal di negara kita di atas kerja sama semua pihak.

Nathan      : Benar, kita perlu mematuhi Standard Operasi Prosedur (SOP) yang kerajaan tetapkan. Kita pun perlu sentiasa memakai penutup mulut dan mengekalkan jarak social  di antara satu sama lain. Jangan sekali-sekala lalai.

Hui Ling     : Kita perlu mengamalkan normal baharu untuk menghadapi wabak yang telah mengubah corak hidup kita.

Jawapan:

1.              Aduh – Aduhai

2.              Banyak mangsa-mangsa  – banyak mangsa

3.              Terkorban. –  terkorban!  (kesalahan tanda bacaan ini   

              pernah   dikeluarkan dalam SPM. Sepatutnya, ayat ini ayat

               seru, perlu ada tanda seru ! di akhirnya. )

4.              Warganegara-warganegara – warganegara

5.              Di atas – atas

6.              Kerja sama – kerjasama

7.              Standard Operasi Prosedur – Prosedur Operasi      

         Standard (kesalahan dari segi hukum DM, SOP ialah singkatan        

         daripada bahasa Inggeris)

8.              Kerajaan tetapkan – ditetapkan oleh kerajaan

9.              Penutup -pelitup

10.                        Social – sosial

11.                        Di antara – antara

12.                        Sekali-sekala  – sekali-kali

13.                        Normal – norma




LATIHAN PENYUNTINGAN SOALAN BERFORMAT BARU 2021 -KERTAS BAHASA MELAYU KERTAS 2 BAHAGIAN APLIKASI BAHASA SOALAN 3

 

Cuba jawap soalam di bawah.

Latihan Penyuntingan 2

Petikan ini mengandungi tiga belas kesalahan Bahasa. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada tiga belas kesalahan yang terdapat dalam petikan. Anda tidak perlu menyalin petikan tersebut.

Sejak kebelakangan ini, pihak berkenaan telah mengadakan pelbagai pekej pelancongan yang menarik untuk menjanakan industri pelancongan di negara kita. Salah satu prodok pelancongan yang menarik ialah eko-pelancongan kerana Malaysia kekayaan dengan sumber alam semula, iaitu di hutan tropika terdapat beribu jenis spesis yang unit. Para pelancong-pelancong domestik dan luar negara pasti akan terpesona pandangan yang indah di negara kita. Alam sekitar yang bersih perlu ditanggung oleh kita agar supaya pelancong akan berulang-ulang datang ke destinasi peranginan di negara kita.

Jawapan:-

1.               Pekej   –  pakej

2.               Prodok         –  produk

3.               Eko-pelancongan   –  ekopelancongan

4.               Kekayaan   –   kaya

5.               Beribu    –   beribu-ribu

6.               Unit    – unik

7.               Para pelancong-pelancong    – para pelancong

8.               Terpesona  – terpesona oleh

9.               Pandangan  –  pemandangan

10.                        Perlu ditanggung oleh kita    –  perlu kita tanggung

11.                        Agar supaya  – agar supaya

12.                        Berulang-ulang  – berulang

13.                        Spesis –  spesies


LATIHAN PENYUNTINGAN SOALAN BERFORMAT BARU 2021 -KERTAS BAHASA MELAYU KERTAS 2 BAHAGIAN APLIKASI BAHASA SOALAN 3

 SOALAN PENYUNTINGAN 1

Petikan ini mengandungi tiga belas kesalahan bahasa. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada tiga belas kesalahan yang terdapat dalam petikan. Anda tidak perlu menyalin petikan tersebut.

Kumpulan Pengakap itu telah berjaya keluar daripada hutan belantara itu dengan berpandu kompas dan peta yang tersedia. Kesesatan mereka telah masuk hari ke 5. Selain daripada kelukaan calar balar, muka mereka juga kelihatan putih kerana mengalami kelaparan yang serious. Pihak penguatkuasa telah menghantar 150 orang pasukan penyelamatan untuk mengadakan operasi mencari lima mangsa itu. Segala kesilapan  yang telah mereka hadapi perlu menjadi pengajaran lain-lain pasukan.

 

Jawapan:-

1.              Kumpulan-pasukan

2.              Daripada-dari

3.              Berpandu- berpandukan

4.              Ke 5 – ke-5

5.              Selain daripada – selain

6.              Calar balar – calar-balar

7.              Putih – pucat

8.              Serious – serius

9.              Penguatkuasa – penguat kuasa

10.                     Penyelamatan- keselamatan

11.                     Lima – lima orang

12.                     Mereka hadapi – dihadapi oleh mereka

     13.        Lain-lain pasukan – pasukan-pasukan lain