Ahad, 13 Mei 2018

KEM KECEMERLANGAN BAHASA MELAYU KERTAS 1 DAN 2, SMK SERI ISKANDAR DI BILIK ORKID 3, D'HOTEL SERI ISKANDAR, PERAK.

GAMBAR SEPANJANG KEM KECEMERLANGAN BAHASA MELAYU KERTAS 1 DAN 2
DI BILIK ORKID 3, D'HOTEL SERI ISKNDAR 2018

TARIKH: 12 MEI 2018
MASA : 2.00 HINGGA 5.00 PETANG
HARI: SABTU




KARANGAN BERPANDU- RPOGRAM MENYALIN KARANGAN CEMERLANG ( LANGKAH-LANGKAH MENGATASI KESESAKAN JALAN RAYA)


             Kemajuan negara hasil keringat pemimpin hari ini dan pada masa lalu turut dirasai oleh rakyat. Seiring dengan kemajuan negara, peningkatan pendapatan penduduk membolehkan rakyat mampu memiliki kenderaan sendiri. Kita dapat melihat sendiri hampir setiap keluarga mempunyai kenderaan. Selaras dengan peningkatan jumlah kenderaan ini, kadar kesesakan di jalan raya turut semakin meningkat dan menjadi masalah utama kepada semua rakyat. Walaupun ada usaha daripada pihak kerajaan melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) memperbaik sistem pengangkutan awam dengan memperkenal perkhidmatan rel bandar, pekhidmatan Tren Elektrik (ETS), perkhidmatan bas menghubungi bandar dan antara bandar, perkhidmatan Teksi 1Malaysia, dan pengenalan kereta sewa persendirian "GrabTaxi" dan "GrabCar" tetapi masalah kesesakan jalan taya masih tetap berlaku. Sekiranya, permasalahan perkhidmatan pengangkutan ini terus berleluasa, dan tidak diselesaikan hingga ke akar umbi sudah pasti pengguna jalan raya akan terus menghadapi dilema kerana terpaksa mengharungi kesesakan jalan raya setiap hari. Persoalannya, apakah cara-cara untuk mengurangkan kesesakan jalan raya?

            Antara cara untuk menangani masalah ini termasuklah pihak kerajaan harus menambahkan rangkaian lebuh raya dengan membina lebih banyak jaringan pengangkutan terutama di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru. Lebuh raya yang sedia ada perlu dinaikkan tarafnya. Contohnya, pihak kerajaan boleh memperlebar jalan raya yang sempit. Langkah ini membolehkan jalan raya menampung bilangan kenderaan yang lebih banyak. Pembinaan jalan raya bertingkat turut harus dilaksanakan agar kesesakan dapat dikurangkan. Kerajaan juga perlu menambah dan meningkatkan kemudahan pengangkutan awam bagi mengurangkan bilangan kenderaan di jalan raya. Contohnya, perkhidmatan bas perlu dinaik taraf daripada bas mini kepada bas yang lebih selesa. Perkhidmatan komuter, LRT , dan monorel harus dimajukan dari semasa ke semasa bagi menarik minat orang ramai menaikinya. Jika penyediaan sistem pengangkutan  negara lebih kondusif pengguna dan dirangka secara efisien sudah pasti  masalah kesesakan jalan raya tidak akan terus berlaku sehingga mengancam kehidupan pengguna jalan raya. Jelasnya, pihak kerajaan berperanan penting dalam menyediakan pelbagai kemudahan dan pembinaan jalan raya dalam menangani masalah ini.

            Selain itu, polis trafik perlu mengawal lalu lintas terutama ketika waktu kesesakan . Polis trafik perlu bertugas di laluan yang sentiasa mengalami masalah kesesakan khususnya pada waktu balik kerja dari pejabat. Dengan adanya pengawalan lalu lintas oleh pihak trafik, masalah seperti kegagalan fungsi lampu isyarat tidak lagi menjadi punca kesesakan lalu lintas. Bukan itu sahaja, kesesakan jalan raya akibat kemalangan jalan raya turut dapat dikendalikan dengan cepat dan efektif kerana polis trafik telah sedia ada bertugas di jalan raya tertentu. Polis trafik turut dapat membantu memastikan kelicinan pengguna jalan raya dan seterusnya mengelakkan berlakunya kesesakan lalu lintas berlaku ketika waktu puncak. Sekiranya pihak berkuasa hanya bergantung seratus peratus kepada sistem manual dengan mengharapkan lampu isyarat mengawal aliran kenderaan pada setiap masa, sudah pasti kesesakan jalan raya tidak akan dapat diselesaikan.  Tegasnya, polis trafik menggalas tanggungjawab yang berat dalam mengurangkan masalah kesesakan di jalan raya.

            Selain itu, kerajaan juga boleh menggalakkan masyarakat berkongsi kereta ke tempat kerja. Berkongsi kereta merupakan saranan yang ideal dalam usaha mengatasi masalah kesesakan jalan raya. Hal ini berkaku demikian kerana apabila masyarakat berkongsi kereta ke tempat kerja, sudah tentu bilangan kereta di atas jalan raya dapat dikurangkan. Namun demikian, langkah ini juga mempunyai masalahnya yang tersendiri kerana melibatkan perubahan sikap pengguna yang bersikap indivualistik ibarat enau dalam belukar melepasi pucuk masing-masing dalam kehidupan seharian mereka.  Mereka tidak rela berkongsi kereta dengan pihak lain. Ada juga ramai yang tidak menyahut seruan kerajaan berkongsi kereta untuk memudahkan diri ke sesuatu destinasi tanpa menyusahkan orang lain. Jika perubahan sikap ini tidak dibanteras dari awal terutama dalam kalangan kanak-kanak sudah pasti usaha untuk berkongsi kereta yang diaplikasikan dalam kehidupan masyarakat kerana peribahasa Melayu ada mengatakan ”melentur buluh, biarlah daripada rebungnya. Jelasnya, masyarakat kini perlulah menghakis sikap tersebut dan mengambil langkah yang proaktif seperti rela berkongsi kereta agar kesesakan di jalan raya dapat dikurangkan.

            Di samping itu, pihak berkuasa juga perlu melarang kenderaan berat memasuki laluan utama dalam tempoh tertentu. Kenderaan berat hanya dibenarkan mengguna laluan utama pada masa-masa yang tertentu untuk memastikan kelicinan lalu lintas pada waktu puncak seperti waktu pagi dan waktu malam. Hal ini kerana kebanyakan masyarakat keluar pada waktu ini atas urusan ke pejabat, menghantar anak ke sekolah dan sebagainya. Dalam hal ini, pihak polis trafik haruslah sentiasa meronda di laluan utama agar tiada kenderaan berat yang berada di jalan raya yang biasanya sesak. Sekiranya sesebuah kenderaan berat telah rosak di tengah- tengah jalan, kenderaan tersebut akan mengganggu pergerakan lalu lintas kerana saiznya yang besar akan menghalang kenderaan yang lain. Pada masa yang sama penguatkuasaan terhadap kenderaan berat berada di jalan raya pada waktu puncak perlu dijalankan secara berterusan dan tidak sekadar hangat-hangat tahi ayam sahaja agar ketegasan ini akan memberi pengajaran bukan sahaja kepada pemandu tetapi juga kepada pengusaha kenderaan berat berkenaan. Sekiranya penguatkuasaan berkenaan hanya dijalankan secara bermusim sahaja, sudah pasti objektif utama untuk tidak membenarkan kenderaan berada di jalan raya pada waktu puncak akan gagal dan kesesakan jalan raya akan sentiasa berlaku. Sudah terang lagi bersuluh, pihak berkuasa perlu melarang kenderaan berat dari  memasuki laluan utama terutamanya pada waktu puncak untuk mengelakkan kesesakan di jalan raya.

            Kesimpulannya, kesesakan di jalan raya mendatangkan banyak kerugian terhadap masyarakat dari segi masa, tenaga dan kewangan. Bahkan juga, bilangan pengguna jalan raya menghadapi masalah stres semakin meningkat dan ini memberi impak kepada  keselesaan hidup mereka. Oleh itu, kerajaan dan pihak berkuasa haruslah berganding bahu dengan menguatkuasakan undang-undang jalan raya. Selain itu, usaha mendidik masyarakat untuk berkongsi kereta ke pejabat perlu diberi keutamaan bermula daripada sekolah lagi, selain media arus perdana perlu cakna dengan menyiarkan rencana dan kempen berkongsi kereta setiap masa di media-media mereka sama ada media bercetak atau media elektronik. Bagi masyarakat pula, sikap masyarakat yang mementingkan diri sendiri mestilah dihakis dan sedia menerima perubahan untuk kebaikan bersama kerana muafakat membawa berkat.

SAYA MENGHARAPKAN PELAJAR TING. 5 DAN 4 MENYALIN KARANGAN BERPANDU DI ATAS KE DALAM BUKU LATIHAN KARANGAN.
PROGRAM MENYALIN KARANGAN CUTI  PERISTIWA DAN CUTI HUJUNG MINGGU.

Jumaat, 4 Mei 2018

NOTA DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA OLEH AFFIX ZULKARNAEN ADAM (tTINGKATAN 4 )


DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA 
OLEH AFFIX ZULKARNAEN ADAM

SINOPSIS

Drama ini mengisahkan Aiman, seorang pelajar yang berusia 16 tahun yang memberikan pelbagai alasan untuk tidak menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Oleh sebab berasal daripada keluarga yang berada dan sudah biasa hidup dalam kemewahan, Aiman beranggapan bahawa PLKN mungkin akan menggugat zon keselesaannya.

Walaupun ibu Aiman, Masnah memihak kepada Aiman agar tidak menyertai PLKN, namun ayahnya Khir Ghazali memberi galakan dan kata-kata perangsang kepada Aiman untuk menyertainya. Selain Khir Ghazali, watak posmen, Nora, Sundarani, Ah Tiau, Syuhada dan Cikgu Dahari turut memberikan dorongan kepada Aiman untuk menyertai Khidmat Negara.

Akhirnya, setelah melayari laman sesawang yang memaparkan kejayaan pelajar senior yang menyertai dan menerima anugerah PLKN, hati Aiman terbuka untuk menyertai PLKN dan dia bertekad untuk membuktikan sikap berdikari dan semangat cinta akan tanah air.

TEMA

Sikap remaja yang mempunyai tanggapan negetif tentang PLKN.
Contohnya; Aiman berusaha untuk menggelakkan diri daripada menyertai PLKN.

PERSOALAN 
·   Sikap positif golongan remaja yang berminat untuk menyertai PLKN dan memberikan sumbangan kepada negara. Contoh: Nora, Sundarani, Ah Tiau dan Syuhada berasa seronok apabila mereka terpilih sebagai peserta PLKN dan nama mereka terpamp[ang di papan kenyataan sekolah.
·   Kesibukan dalam kalangan ahli keluarga yang merenggangkan hubungan kekeluargaan. Contoh:  Aiman sentiasa berasa kesunyian kerana ayahnya sibuk bekerja manakala ibunya Datin Masnah sibuk dengan urusan di luar dan kakaknya Dapnia sibuk dengan tugasnnya di universiti.
·   Sikap segelintir ibu bapa yang terlalu memanjakan anak.Contoh: Datin Masnah menyokong hasrat Aiman yang ingin mengecualikan diri daripada menyertai PLKN. Sebagai seorang ibu dan juga isteri kepada seseorang yang terpengaruh, beliau sepatutnya mendorong dan memberi motivasi kepada anaknya untuk berkhidmat kepada negara.
·   Peranan seorang guru dalam memberikan kesedaran dan mewujudkan semangat patriotrisme dalam kalangan pelajar. Contoh: Cikgu Dahari memberikan penerangan yang jelas kepada murid-muridnya agar mereka faham akan objektif dan pelaksanaan PLKN.


WATAK DAN PERWATAKAN

Watak utama

Aiman


·   Seorang remaja berusia kira-kira 16 tahun
·   Berasal daripada keluarga yang berada
·   Seorang yang agresif. Contoh: bersifat kasar terhadap pembantu rumah yang melayannya dengan baik dan mesra
·   Seorang yang pemalas. Contoh: segala kerjanya di rumah dibantu oleh orang gaji dan apabila berdepan dengan sesuatu masalah , dia akan tidur.
·   Seorang yang mengagungkan nilai-nilai barat. Contoh: ketika bermimpi tentang PLKN, Aiman meluahkan keinginannya untuk menikmati masakan Barat. Dia juga tahu lokasi Jempol dengan alasan selalu bercuti di luar negara.


Watak sampingan

Khir Ghazali 
·   Ayah kepada Aiman
·   Seorang yang bertanggungjawab. Contoh: walaupun sibuk bekerja beliau mengambil berat terhadap Aiman. Apabila Aiman berdepan dengan masalah beliau mendengarnya dengan sabar dan cuba menyelesaikannya.
·   Seorang yang tegas. Contoh: Apabila Aiman meminta Khir Ghazali membantunya mendapatkan pengecualian daripada PLKN, beliau bertegas untuk tidak membantunya. Hal ini adalah kerana beliau tahu bahawa PLKN akan banyak memanfaatkan Aiman.
·   Seorang yang sensitif. Contoh: apabila isterinya bertegang leher dengannya ubntuk tidak menghantar Aiman ke PLKN, beliau berasa tersinggung lalu beredar meninggalkan tempat perbincangan mereka.


Masnah 
·   Ibu kepada Aiman
·   Berpangkat datin.
·   Seorang yang suka berfikiran negatif. Contoh: Beranggapan bahawa PLKN membahayakan nyawa anaknya dan turut menyokong hasrat anaknya untuk menghadiri PLKN.
·   Seorang yang sanggup menyalahgunakan pengaruh untuk kepentingan sendiri. Contoh: Datin Masnah meminta suaminya menggunakan kedududkan dan pengaruhnya untuk mendapatkan pengecualian untuk anaknya daripada menghadiri PLKN.


Cikgu Dahari 
·   Seorang guru
·   Terlibat dengan PLKN dalam penghasilan modul program Penghayaran Sastera dan budaya.
·   Seorang yang berfikiran positif. Contoh apabila Aiman menyatakan bahawa keselamatan peserta di dalam kem latihan tidak terjamin dan sastera dan budaya tidak penting dalam kehidupan zaman moden, Cikgu Dahari menafikan pendapat tersebut dengan menerangkan bahawa keselamatan peserta sentiasa terjamin. Beliau juga menerangkan peranan sastera dan budaya dalam kalangan masyarakat.
·   Seorang yang sentiasa memberi galakan kepada anak murid. Contoh: Apabila Nora memberitahu bahawa ramai pelajar terpilih sebagai peserta PLKN, Cikgu Dahari berasa teruja dan menyatakan bahawa Malaysia bertuah kerana mendapat remaja mereka yang sentiasa bersedia berkhidmat untuk negara.


Posmen 
·   Seorang yang berfikiran positif. Contoh: Apabila Aiman menyuruh posmen membuang surat Jabatan Latihan Khidmat Negara, posmen telah memberi nasihat kepada Aiman agar fikir tentang kemahiran dan pengalaman yang bakal diperoleh oleh Aiman melalui PLKN.
·   Seorang yang amanah. Contoh: selepas memberi kata-kata perangsang kepada Aiman tentang kebaikan PLKN. Posmen meminta diri untuk meneruskan tugasnya menghantar surat kerana dia menganggap surat-surat tersebut adalah amanah yang diberikan kepadanya.


PLOT


Permulaan
Aiman menerima sepucuk surat daripada Jabatan Latihan Khidmat Negara. Posmen yang menyampaikannya cuba member penenrangan kepada Aiman tentang manfaat PLKN apabila Aiman menyuruh posmen membuang surat tersebut. Aiman berkelakuan biadap terhadap pembantu rumahnya, Nek Sinah yang melayannya seperti anak sendiri. Nek Sinah tersinggung dan kesal akan sikap Aiman dan layanan keluarganya yang mementingkan wang ringgit sahaja

Perkembangan
Perbualan antara Aiman dan rakan-rakannya di sekolah tentang senarai nama peserta PLKN yang dipaparkan di papan kenyataan sekolah. Cikgu Dahari memberi penerangan yang jelas tentang PLKN kepada anak-anak muridnya. Beliau menjelaskan setiap pertanyaan murid dengan memberikan jawapan yang positrif agar mereka berasa seronok untuk menyertai PLKN dan berkhidmat untuk negara

Perumitan
Konflik antara ahli keluarga berlaku apabila Aiman dan Datin Masnah menyuruh Khir Ghazali menggunakan kedudukan dan pengaruhnya untuk mendapatkan pengecualian agar Aiman tidak menyertai PLKN. Khir Ghazali berasa marah dan kesal dengamn sikap isteri dan anaknya yang mempunyai tanggapan dan negative tentang PLKN

Peleraian
Aiman melayari internet di biliknya dan ketika melayari beberapa sesawang, dia terbaca berita mengenai kejayaan pelajar-pelajar seniornya di PLKN. Syufia yang dikenali sebagai kera sumbang di sekolah berjaya memperoleh anugerah pelatih terbaik WIRAWATI untuk Kem Gerakkas di Desaru Johor. Manakala Ziman yang kuat makan dan tidur juga berjaya menyertai PLKN. Aiman sedar akan PLKN dan bertekad untuk menyertainya.

TEKNIK PLOT
·   Monolog Dalaman.  Aiman : Patutkah aku simpan surat ini atau aku buang saja? Hmm, kalau aku buang, nanti ada orang lain jumpa pula. Hah, baik aku bakar!. Tak ada kesannya nanti. Baik aku simpan dulu, cukup masa kalau aku tak berminat, baru aku bakar.
·   Pemerian.  Pada permula cerita pengarang menggambarkan keadaan keluarga Aiman yang hidup mewah dan kemewahan tersebut yang telah mengubah dirinya menjadi seorang remaja yang manja dan malas.
·   Imbas Muka. Aiman bermimpi menyertai PLKN. Dalam program tersebut Aiman mendapati keadaan kem yang panas, makanan yang tidak menyelerakan, mandi air kolam sejuk dan membotakkan kepala. Hanya perkara yang negatif yang terlintas dalam fikirannya ketika bermimpi.

LATAR

·      Latar masa.
·      Alaf baru (Program PLKN – bermula tahun 2004).
·      Waktu tengah hari. Contoh: Nek Sinah menjemput Aiman menikmati makan tengah hari.
·      Waktu pagi. Contoh: Aiman berdialog bersama-sama rakan-rakan di sekolah tentang PLKN yang bakal dihadiri mereka.
·      Waktu petang. Contoh: Selepas balik dari sekolah Aiman berbual bersama-sama dengan ayah dan ibunya di rumah.



Latar tempat
·         Rumah Aiman. Contoh: Peristiwa Aiman menerima surat daripada Jabatan latihan Khidmat Negara.
·         Sekolah Menengah. Contoh: dialog antara Aiman, Nora, Sundarani, Ah Tiau dan Syuhada tentang senarai nama peserta PLKN yang dipaparkan di papan kenyataan..

Latar masyarakat
·   Masyarakat bandar yang sibuk bekerja . contoh: Khir Ghazali iaitu ayah Aiman digambarkan sebagai hartawan yang sibuk bekerja. Ibunya, Datin Masnah juga selalu tidak berada di rumah manakala kakaknya, Dapnia sibuk dengan tugasan di universiti.
·   Masyarakat yang penyayang. Contoh: Walaupun Nek Sinah bekerja sebagai pembantu rumah di rumah Khir Ghazali namun dia amat menyayangi Aiman dan memasak makanan kegemarannya serta melayannya seperti cucu sendiri.
·   Masyarakat yang amanah dalam menjalankan tanggungjawab. Contoh: Posmen dalam drama ini mengedarkan surat kepada penerima dengan penuh tanggungjawab kerana dia berpendapat bahawa surat itu adalah amanah masyarakat terhadapnya.
·   Masyarakat yang sombong dan mementingkan kekayaan. Contoh: Aiman berkelakuan biadap terhadap pembantu rumahnya yang sentiasa bersikap lemah lembut. Nek Sinah berasa kesal dengan tingkah laku Aiman dan ahli keluarganya yang hanya mementingkan wang ringgit.
·   Masyarakat yang berfikiran positif. Contoh: Walaupun Khir Johari mempunyai pengaruh dan kedudukan untuk membantu Aiman mengecualikan diri daripada menyertai PLKN, namun Khir Ghazali mahu anaknya menyertai program tersebut kerana beliau tahu bahawa anaknya akan memperoleh banyak manfaat daripada PLKN. Selain itu, Cikgu Dahari menerangkan tentang kebaikan PLKN kepada pelajar-pelajarnya agar dapat mengikiskan tanggapan negative mereka terhadap program tersebut dan memberikan sumbangan mereka kepada negara.


GAYA BAHASA 
·   Sinkope. Contoh: kata singkatan ‘tak’ dalam ayat. Saya tak berminat langsung (m.s 3)
·   Inversi. Contoh: amanah orang semua surat ini (m.s 4).
·   Peribahasa. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. (m.s 7).
·   Bahasa asing. Contoh: penggunaan perkataan bahasa Inggeris daddy, mummy (m.s 14).
·   Simile. Contoh: perkataan ‘macam’ dalam ayat, Nak angan-angan macam Mat Jenin


NILAI

·         Nilai amanah. Contoh: Posmen amanah dalam menjalankan tanggungjawabnya menghantar surat.
·         Nilai kasih sayang. Contoh: Nek Sinah melayan Aiman seperti cucunya sendiri dan masak makanan kegemarannya.
·         Nilai bertanggungjawab. Contoh: walaupun sibuk bekerja, Khir Ghazali meluangkan masa mendengar masalah Aiman.
·         Nilai cinta akan tanah air. Contoh: apabila Aiman menyatakan bahawa dia tidak tahu di mana terletaknya Jempol kerana selalu bercuti di luar negara, kawannya Sundarani menegurnya bahawa kita perlu menghargai tanah air kita.
·         Nilai baik hati . Contohnya, Encik posmen telah menyerahkan surat tawaran PLKN kepada Aiman sambil menasihatinya agar menerima tawaran tersebut.
·         Nilai kegigihan. Contohnya, Cikgu Dahari gigih membimbing dan memberi tunjuk ajar kepada pelatih PLKN tentang Pogram Penghayatan Satera dan Budaya (PPSB).
·         Nilai hemah tinggi. Contohnya, Nek Sinah bertutur dengan suara yang lemah lembut ketika mengajak Aiman makan tengah hari walaupun Aiman melayannya dengan bersikap kurang sopan.
·         Nilai kesabaran. Contohnya, Nek Sinah bersabar dengan sikap biadap Aiman yang tidak menghormatinya sebagai orang tua.
         

      
PENGAJARAN

·    Kita haruslah menghormati orang yang lebih tua daripada kita. Contoh: Aiman biadap terhadap pembantu rumahnya yang menganggapnya sebagai cucu sendiri.
·       Kita mestilah bersikap amanah dalam menjalankan tugas. Contoh: Posmen menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang posmen dengan penuh amanah.
·  Kita perlulah memberi sokongan kepada program kerajaan. Contoh: Masnah tidak memberi galakan kepada anaknya untuk menyertai PLKN malah memberitahu suaminya bahawa program tersebut mungkin membahayakan nyawa anaknya. Contoh: Cikgu Dahari memberi galakan dan kata-kata perangsang kepada anak-anak muridnya agar menyertai PLKN dan berkhidmat untuk negara.
·    Kita mestilah berpendirian tegas dan teguh dalam melaksanakan satu- satu perkara yang bermanfaat kapada nusa dan bangsa. Contohnya, Datuk Khir Ghazali tetap dengan keputusannya meminta Aiman menyertai PLKN walaupun dipujuk oleh Aiman dan Datin Masnah.
·        Kita perlulah berpandangan jauh dalam usaha membina kehidupan yang lebih sempurna . Contohnya, Datuk Khir Ghazali menerangkan faedah yang bakal diperoleh oleh Aiman apabila di menyertai PLKN.
·        Kita mestilah rajin membaca bagi melahirkan sebuah masyarakat yang berilmu. Contohnya, Cikgu Daharin rajin membaca dan mendalami maklumat berkaitan dengan PLKN.