Soalan 1 : Rumusan
[30 markah]
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kepentingan disiplin dalam kalangan murid dan cabaran untuk mendisiplinkan murid. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Disiplin ialah kemahuan untuk mentaati atau menghormati peraturan baik dalam keagamaan, etika sosial mahu pun dalam sesebuah organisasi. Seseorang yang berdisiplin apabila melakukan pelanggaran terhadap disiplin, walaupun sedikit, tetapi dia tetap akan berasa bersalah kerana mengkhianati diri sendiri yang menjatuhkan maruah dirinya. Pelanggaran terhadap disiplin juga boleh menjejaskan hubungan antara individu berkenaan dengan orang-orang di sekelilingnya.
Dalam konteks sekolah, disiplin adalah satu peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah untuk memastikan murid bertingkah laku baik. Perlakuan murid yang baik mencerminkan tahap disiplin sesebuah sekolah. Sekolah yang terkawal disiplinnya menjadi pilihan ibu bapa untuk menyekolahkan anak-anak mereka. Selain itu, murid dapat mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian. Penerapan nilai murni dalam diri murid akan memberi persepsi positif dalam kalangan ibu bapa terhadap tingkah laku anak-anak mereka. Murid yang berdisiplin kelihatan berkeperibadian tinggi dan berketerampilan. Seorang murid yang mempunyai personaliti yang baik lazimnya bersedia untuk belajar. Disiplin yang dikenakan juga dapat mengawal murid daripada melakukan perkara-perkara negatif. Murid akan dikawal daripada merosakkan harta benda sekolah dan terlibat dalam pergaduhan di kawasan sekolah.
Seandainya seseorang murid berdisiplin, maka murid boleh mengawal diri di dalam kelas semasa proses pembelajaran dan pengajaran sedang berlangsung. Murid dapat belajar dengan tenang dan selesa kerana tiada gangguan semasa guru sedang mengajar. Lantaran itu, murid dapat memahami kandungan pembelajaran dengan mudah dan berkesan. Pada masa yang sama, murid tidak mudah terjebak dalam sebarang masalah disiplin di sekolah seperti ponteng kelas atau lewat masuk ke kelas. Hal ini akan memudahkan pihak sekolah melaksanakan semua program sekolah dengan lancar. Faktor disiplin juga memainkan peranan utama menentukan kejayaan seseorang murid dalam pelajaran. Hal ini terbukti apabila keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia diumumkan, murid yang mempunyai tahap disiplin tinggi dapat menempa kejayaan cemerlang.
Murid haruslah mengetepikan permasalahan peribadi agar mudah memperoleh ilmu yang disampaikan oleh guru. Murid yang berdisiplin dapat menjamin keberkesanan dalam pembelajaran. Oleh itu, hubungan yang baik dan harmonis antara guru dengan murid sangat penting dalam mewujudkan suasana kondusif di sekolah. Tanpa disiplin, murid tidak akan ke mana-mana dan sukar untuk beroleh kejayaan.
Dipetik dan diubah suai daripada
‘Disiplin Perisai Kawalan Diri’
oleh Izani Hj. Daud,
Wadah Siswa, Januari 2013
Contoh jawapan rumusan:
Perenggan Pengenalan:-
Petikan membincangkan kebaikan/manfaat/ kemaslahatan/faedah/kelebihan disiplin dalam kalangan murid di sekolah.
Atau
Rumusan membincangkan kebaikan/manfaat/ kemaslahatan/faedah/kelebihan disiplin dan cabaran untuk mendisiplinkan murid.
Perenggan Isi Tersurat:-
Kebaikan
disiplin dalam kalangan murid kerana disiplin dapat memastikan murid bertingkah laku
baik, murid
dapat mengamalkan nilai-nilai murni serta murid kelihatan berkeribadian
tinggi dan berketrampilan. Selain itu,
disiplin juga dapat mengawal murid melakukan
perkara-perkara negatif dan menjamin
keberkesanan mereka dalam pelajaran. Bahkan
juga, disiplin menentukan kejayaan
murid dalam pelajaran.
Perenggan isi tersirat:-
Sementara, cabaran untuk mendisiplinkan murid ialah ibu
bapa kurang memberi sokongan kepada guru untuk melaksanakan usaha
mendisiplinkan murid dan pengaruh media massa yang kurang menyemai usaha
mendisiplinkan murid.
Perenggan Penutup:-
Kesimpulannya, ibu bapa perlu membantu guru mendisiplin murid agar
mereka menjadi insan yang berguna.
Rumusan lengkap:-
Petikan membincangkan kebaikan/manfaat/ kemaslahatan/faedah/kelebihan disiplin dalam kalangan murid di sekolah.
Kebaikan disiplin dalam kalangan murid kerana disiplin dapat memastikan murid bertingkah laku baik, murid dapat mengamalkan nilai-nilai murni serta murid kelihatan berkeribadian tinggi dan berketrampilan. Selain itu, disiplin juga dapat mengawal murid melakukan perkara-perkara negatif dan menjamin keberkesanan mereka dalam pelajaran. Bahkan juga, disiplin menentukan kejayaan murid dalam pelajaran.
Sementara, cabaran untuk mendisiplinkan murid ialah ibu bapa kurang memberi sokongan kepada guru untuk melaksanakan usaha mendisiplinkan murid dan pengaruh media massa yang kurang menyemai usaha mendisiplinkan murid.
Kesimpulannya, ibu bapa perlu membantu guru mendisiplin murid agar mereka menjadi insan yang berguna.
98 patah perkataan
2 ulasan:
Tiada soalan pemahaman
Mantap pak abu
Catat Ulasan