“Jika berkawan dengan tukang besi, baju kita akan tercarik terkena percikan api; jika berkawan dengan penjual pewangi harum, tubuh kita akan berbau harum”, kawan merupakan ‘magnet sakti’ yang boleh mempengaruh anak-anak yang berusia seumur jagung. Ibu bapa harus menapis kawan anak-anak dan mengelakkan mereka berkawan dengan mereka yang kurang berakhlak. Benteng iman yang lemah anak-anak mudah runtuh sekiranya kegembiraan dan kemewahan mengaburi mata, bak kata pepatah, “ikut hati mati, ikut rasa binasa”. Oleh itu, ibu bapa harus mengurangkan peluang anak-anak untuk bercampur dengan golongan tidak bermoral. Anak-anak mudah terjerumus ke dalam lembah maksiat. Anak-anak hanya tahu menghabiskan wang dan tidak tahu betapa susah payahnya ibu bapa memperoleh wang untuk perbelanjaan anak-anak. Dengan itu, amalan menabung akan dialpakan dan diketepikan oleh anak-anak. Oleh itu, ibu bapa perlu mengelakkan anak-anak berkawan dengan mereka yang kurang bersahsiah.
KARANGAN SOALAN 3 BERJIMAT CERMAT AMALAN MULIA
Peringatan. Karangan di bawah Cuma untuk membenih idea anda untuk mengarang. Ubah suai jika perlu.
Setelah menghela nafas kemerdekaan selama 55 tahun, ibu pertiwi kita yang telah bebas daripada cengkaman penjajah begitu pesat membangun bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Sehubungan dengan hal itu, peribahasa ada menyebut bahawa, ada bukit, ada paya, namun kita tidak boleh mendabik dada kerana di sebalik kemajuan yang sedang dikecap, negara kita masih lagi terkongkong dalam gelombang inflasi yang semakin rumit. Walaupun isu ini hangat diperkatakan dan sering meniti di bibir masyarakat, tetapi pernahkah terlintas dalam benak fikiran kita, apakah yang dimaksudkan dengan inflasi? Mengikut penjelasan yang terdapat dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, inflasi didefinisikan sebagai keadaan kenaikan harga barangan yang disebabkan oleh bertambahnya kuasa membeli. Oleh itu, masalah ini tidak boleh dipandang remeh dan formula penyelesaian harus diimplementasikan untuk merungkaikan masalah ini bak kata peribahasa,tak ada gunung yang tak dapat didaki, tak ada lurah yang tak dapat dituruni. Persoalannya, mengapakan Berjimat Cermat Amalan Mulia?
Setiap penyakit ada penawarnya yang mustajab, setiap masalah ada jalan penyelesaian yang berkesan, oleh itu, pihak kerajaan sewajarnya mengambil inisiatif dengan menganjurkan kempen berhemat secara istiqamah dan konsisten ke seluruh pelosok negara dan bukannya sekadar melepaskan batuk di tangga. Memetik kata-kata azimat Lao Tze, kehidupan membazir dan tamak haloba mendorong manusia ke arah kebinasaan. Lantaran itu, kempen tersebut haruslah menekankan kepentingan amalan berjimat cermat supaya nilai murni ini dapat dijadikan amalan dalam kehidupan masyarakat Malaysia. Tindakan yang lebih afdal, masyarakat sewajarnya diseru supaya berbelanja mengikut kemampuan sendiri ibarat mengukur baju di badan sendiri dan usahlah bersikap membesarkan kerak nasi. Cara berbelanja dengan mengikut hawa nafsu akan membawa padah yang buruk kerana peribahasa Melayu ada menyatakan, ikut nafsu lesu, ikut hati mati, ikut rasa binasa. Tambahan pula, pihak kerajaan juga harus mengadakan pertandingan yang dapat menarik penyertaan khalayak seperti sayembara puisi, menulis esei, persembahan artis dan sebagainya dalam usaha menyebarluaskan kempen tersebut. Jikalau usaha seperti ini tidak dilakukan sudah pasti masyarakat akan menghadapi masalah kewangan terutama untuk mengharungi keadaan inflasi serta peningkatan kos sara hidup sekarang. Jelaslah bahawa penganjuran kempen berhemat secara berterusan dan holistik merupakan perisai yang ampuh untuk merungkaikan masalah kenaikan harga barangan.
“Jika satu pintu tertutup, pintu lain akan terbuka untuk menyelesaikan sebarang kesulitan yang berlaku di negara kita termasuk isu kenaikan harga barang. Namun begitu. kita tetap melihat dan kemudiannya menyesal kerana pintu penyelesaian itu tertutup terlalu lama sehingga kita tidak dapat melihat pintu lain yang telah terbuka. Begitulah gambaran implikasi daripada kata-kata mutiara Alexander Graham Bell, seorang ahli sains dan matematik Barat yang menunjukkan bahawa setiap masalah pasti ada cara yang berkesan untuk mengatasinya. Sebagai kesinambungan idea, tindakan badan bukan kerajaan atau NGO melindungi hak-hak pengguna daripada kenaikan harga barangan tanpa kawalan di pasaran merupakan langkah konkrit yang patut dilaksanakan sepanjang masa. Organisasi atau agensi yang menyokong peranan kerajaan ini seperti Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia atau FOMCA dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang atau CAP, telah mendukung obligasi untuk melindungi hak para pengguna. Pihak-pihak ini berperanan untuk menerima sebarang aduan dan menyiasat segala permasalahan yang dihadapi termasuklah masalah kenaikan harga barangan keperluan, penjualan barangan yang telah luput tarikh, caj perkhidmatan yang melampau dan sebagainya. Seterusnya FOMCA dan CAP haruslah mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memastikan hak golongan pengguna akan terpelihara dan tidak mudah dieksploitasi oleh peniaga-peniaga yang licik dan tidak bertanggungjawab. Organisasi-organisasi ini haruslah menjalinkan hubungan ukhuwah ibarat seikat bak sirih, serumpun bak serai dan kita juga berpegang pada falsafah Confusius, apalah gunanya sekiranya kita tidur sebantal tetapi mimpi kita lain-lain, lebih baik kita tidur bantal yang berlainan, tetapi mimpi kita tetap sama. Deduksinya, melindungi hak-hak pengguna daripada kenaikan harga barangan tanpa kawalan di pasaran merupakan tindakan efektif oleh agensi bukan kerajaan atau NGO.
Tokoh psikologi Barat pernah mengungkapkan bahawa tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan, sebaliknya hidup tanpa dibebani masalah adalah kosong. Kata-kata ini memang ada kebenarannya dan semua rakyat di negara ini perlu berpijak di bumi nyata kerana setiap kemelut yang kita hadapi mesti ada uslub dan minhaj yang komprehensif. Bertitik tolak daripada manifestasi ini, pihak berkuasa seharusnya sentiasa membuat pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menaikkan harga barangan sesuka hati tanpa memperoleh kelulusan daripada pihak berwajib. Pegawai kerajaan berkaitan juga haruslah memainkan peranan yang penting untuk mengadakan pemeriksaan secara mengejut ke premis-premis perniagaan dari semasa ke semasa untuk memastikan para peniaga mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan tidak bersikap seperti lintah darat. Sementelahan itu, pihak kerajaan juga haruslah melunaskan tanggungjawab yang terletak di atas pundak mereka untuk menggubal, mengkodifikasikan seterusnya menguatkuasakan undang-undang secara serius dan telus supaya dapat memberi peringatan kepada golongan peniaga. Mana-mana peniaga yang cuba menaikkan harga barangan atau memasang lukah di pergentingan hendaklah didakwa di mahkamah agar kesalahan sebegini tidak berulang ibarat pisang berbuah dua kali. Jelaslah, usaha pihak berkuasa yang sentiasa membuat pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang tidak bertanggungjawab dapat mengekang masalah kenaikan harga barangan di pasaran.
Lampu Aladdin tidak akan bersinar sendiri, tetapi Aladdin akan menggosoknya terlebih dahulu, persis ungkapan kata Alex Osborn telah membuktikan bahawa kejayaan semanis madu tidak akan terjana tanpa curahan usaha yang bersungguh-sungguh kerana peribahasa Melayu ada menyebut, kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Hakikatnya, media massa juga menggalas kewajipan untuk menyebarluaskan informasi berkaitan ilmu kepenggunaan merupakan prakarsa bagi menangkis masalah kenaikan harga barang. Sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa ilmu kepenggunaan dalam kalangan masyarakat Malaysia masih kurang meluas dan berada di takuk yang lama. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya segelintir golongan peniaga yang mengutamakan keuntungan akan bersikap ibarat menangguk di air keruh, menindas golongan pengguna yang tidak berdosa. Oleh hal yang sedemikian, media massa haruslah menyumbang tenaga secara optimum dengan menerapkan pengetahuan berkaitan hak-hak pengguna kepada seluruh strata masyarakat. Dengan komitmen pihak media massa, pengguna akan mengetahui kaedah yang efisien untuk menuntut hak mereka daripada dimanipulasikan oleh para peniaga yang durjana. Misalnya, apabila berlaku kenaikan harga barangan, pengguna akan dapat membuat aduan kepada pihak berwajib dan agensi bukan kerajaan supaya hak-hak mereka dapat dipertahankan. Melalui penyebaran maklumat oleh media cetak dan media elektronik, para pengguna termasuk suri rumah tangga akan memperoleh ilmu kepenggunaan secara total dan bertindak berani kerana benar dalam memperjuangkan hak mereka seterusnya mengatasi kemelut kenaikan harga barangan di negara ini. teganya, media massa juga menggalas kewajipan untuk menyebarluaskan informasi berkaitan ilmu kepenggunaan merupakan prakarsa bagi menangkis masalah kenaikan harga barang
Setelah meniti perbincangan secara panjang lebar, sudah terang lagi bersuluh, segenap lapisan masyarakat mesti bersama-sama menggembleng tenaga untuk mengekang kenaikan harga barangan dari peringkat akar umbinya. Sebagai manusia yang kamil dan soleh, kita tidak wajar menadah tangan ke langit menunggu kejatuhan lampu ajaib Aladdin kerana peribahasa Melayu ada menyatakan, yang bulat tak datang bergolek, yang pipih tak datang melayang. Oleh itu,semua anggota komuniti haruslah mendukung semangat habis kapak berganti beliung untuk membendung masalah tersebut. Oleh itu, Wawasan 2020 yang dicetuskan oleh mantan Perdana Menteri kita yang keempat, Tun Mahathir bin Mohamad bukan lagi menjadi angan-angan Mat Jenin
(Dimensi Keluarga)
Semangat kejiranan semakin hari semakin luntur dalam kalangan masyarakat. Jelaskan peranan ibu bapa dalam usaha memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.
. Menurut perspektif Islam, konsep jiran meliputi skop yang lebih luas sehingga menjangkau empat puluh buah rumah atau keluarga yang tinggal berhampiran dengan kita. Semangat kejiranan pula membawa pengertian jiran tetangga yang hidup berbaik-baik, bertolak ansur dan bekerjasama antara satu sama lain. Dalam kehidupan kita, kita dilarang menyakiti hati jiran, sebaliknya diminta mengambil berat antara satu sama lain dan hidup berlandaskan kasih sayang sesama individu tanpa mengira keturunan, usia, agama atau pangkat. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa “Jiran Sepakat Membawa Berkat”. Jadi, kita perlulah mengutamakan jiran kita dalam kehidupan dan mengukuhkan semangat kejiranan supaya kita sentiasa bersatu padu dalam melakukan sesuatu perkara. Walau bagaimanapun, dalam era globalisasi yang dipenuhi pelbagai pancaroba moden, semangat kejiranan dalam kalangan anggota masyarakat semakin meluntur. Oleh itu, semua lapisan masyarakat terutamanya ibu bapa wajar mengambil langkah untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang elektif wajar diambil oleh ibu bapa untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat?
Menyedari hakikat betapa pentingnya semangat kejiranan diamalkan oleh masyarakat majmuk di negara ini, maka usaha perlu dilakukan oleh ibu bapa agar nilai yang berharga ini tidak lenyap daripada amalan hidup masyarakat kini. Ibu bapa haruslah menyertai aktiviti gotong-royong yang dianjurkan oleh komuniti atau masyarakat setempat. Dalam hal ini. ibu bapa boleh membawa anak-anak menyertai aktiviti tersebut bersama. Melalui aktiviti gotong-royong, semua penduduk setempat dapat berkumpul bersama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan. Apabila berkumpul dan berbincang, mereka akan dapat berbual-bual dan berkenal-kenalan antara satu sama lain dan sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran mereka dengan lebih baik dan dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah Melayu yang mengatakan bahawa “ tak kenal maka tak cinta”. Sebagai contoh, aktiviti yang boleh dijalankan secara bergotong-royong ialah membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara dan sebagainya. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan secara bergotong-royong memerlukan masyarakat bekerjasama bagai aur dengan tebing agar aktiviti-aktiviti tersebut dapat dijalankan dengan lancar dan baik. Melalui cara ini, setiap ahli keluarga dapat menjalinkan hubungan mesra sesama jiran. Mereka juga sedar akan peranan masing-masing dalam sesuatu komuniti . Sekiranya amalan gotong-royong diamalkan anak-anak ketika dewasa kelak, anak-anak akan melakukan perkara yang sama untuk mengeratkan ikatan kejiranan. Jelasnya, ibu bapa haruslah mengadakan aktiviti gotong-royong agar dapat memupuk semangat kejiranan dalam masyarakat.
Selain itu, ibu bapa perlulah menjadi suri teladan atau ‘role model’ yang baik kepada anak-anak sekiranya mahu anak-anak mengamalkan semangat kejiranan dalam diri sendiri. Ibu bapa perlulah mengamalkan cara hidup seperti ‘aur dengan tebing’ atau ‘ ke bukit sama di daki, ke lurah sama dituruni’ dan ‘hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah’ untuk mencapai keberkatan dalam hidup. Sebagai anggota dalam sesebuah masyarakat, ibu bapa mesti mempunyai semangat kekitaan dan keprihatinan terhadap jiran mereka.. Apabila mengambil berat akan hal-hal jiran, bukanlah bermaksud kita hendak menjaga tepi kain mereka atau mengambil tahu hal rumah tangga mereka, tetapi kita mengambil tahu masalah-masalah yang dihadapi oleh jiran dan cuba membantu mereka supaya dapat meringankan beban yang ditanggung oleh jiran. Hal ini demikian kerana, dalam kehidupan berkeluarga, setiap keluarga pasti akan menghadapi masalah dan masalah itu hanya boleh diatasi atau dikurangkan dengan bantuan orang lain. Misalnya, ketika ketua keluarga sakit tenat, maka ahli-ahli keluarga itu memerlukan bantuan daripada jiran untuk menghantar ketua keluarga itu ke hospital, memberitahu keluarganya yang tinggal berjauhan daripada mereka, mendapatkan bantuan nasihat ataupun kewangan dan sebagainya. Sekiranya amalan sikap keprihatinan yang ditunjukkan oleh ibu bapa terhadap jiran, akan menyebabkan anak-anak juga turut mengambil berat tentang jiran mereka. Tegasnya, ibu bapa yang berjaya menjadi suri teladan yang baik, sudah pasti mampu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.
Di samping itu, ibu bapa juga mestilah mengadakan atau menghadiri majlis-majlis rumah terbuka sempena sesuatu sambutan perayaan. Amalan mulia ini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan silaturahim, tetapi juga mampu mengukuhkan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat. Melalui majlis rumah terbuka, ibu bapa boleh membawa anak-anak bersama. Dalam majlis tersebut, masyarakat dapat berkumpul dan mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat. Mereka juga berpeluang untuk berkongsi pendapat tentang sesuatu perkara dan bertanya khabar sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Dengan itu, masyarakat akan lebih memahami adat resam, agama dan budaya masing-masing di negara ini. Sebagai contoh, majlis-majlis rumah terbuka sempena sambutan Hari Raya Aildilfitri, Tahun Baru Cina, Hari Krismas dan Hari Deepavali hendaklah dijadikan acara tahunan. Kehadiran ibu bapa bersama ahli keluarga dalam majlis rumah terbuka, bukan sahaja dapat memperkenalkan anak-anak mengenali lebih dekat adat resam sesuatu budaya malah dapat menanamkan semangat hormat-menghormati dalam diri anak-anak dan mengamalkan semangat perpaduan. Tegasnya, majlis-majlis rumah terbuka mestilah diadakan setiap tahun agar mampu mendekatkan ahli masyarakat untuk bertemu muka dan membentuk masyarakat yang bersatu-padu.
Seterusnya, ibu bapa hendaklah menyemarakkan budaya ziarah-menziarahi dalam kalangan masyarakat sebagai langkah untuk memupuk dan meningkatkan semangat kejiranan dalam diri anak-anak. Dalam hidup bermasyarakat, ibu bapa digalakkan membawa anak-anak-anak menziarahi jiran tetangga pada masa-masa yang sesuai. Dengan menziarahi jiran, kita akan mengetahui masalah dan kesusahan yang dihadapi oleh jiran kita. Semua masalah boleh diselesaikan bersama dan hal ini akan menjadikan hidup mereka lebih aman dan harmoni walaupun dalam keadaan yang serba kekurangan. Sebagai contoh, ibu bapa boleh membawa anak-anak berkunjung ke hospital jika kita mendapat tahu bahawa jiran kita telah dimasukkan ke hospital kerana menghidap sesuatu penyakit atau mendapat kemalangan. Amalan ini dapat membentuk sifat kasih sayang dan sikap ambil berat serta membuang sejauh-jauh sikap mementingkan diri sendiri dan hidup diibaratkan ‘ seperti enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’. Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawa ‘berat mata memandang, berat lagi bahu memikulnya’, namun sebagai jiran, kita mestilah berpegang teguh pada prinsip “cubit peha kiri, peha kanan terasa juga”. Jadi, melalui lawatan kita, sekurang-kurangnya kita dapat meringankan penderitaan yang dialami oleh jiran kita dan secara tidak langsung, mereka dapat hidup dengan lebih selesa, aman dan tenang. Anak-anak turut mengambil berat tentang jiran yang ditimpa masalah sama seperti ibu bapa mereka. Jelasnya, ibu bapa boleh menyemarakkan budaya kunjung-mengunjungi dalam diri anak-anak untuk memupuk semangat kejiranan.
Akhir sekali, ibu bapa bolehlah menggalakkan anak-anak supaya melibatkan diri dalam aktiviti sosial seperti Hari Keluarga. Setiap komuniti, sering mengadakan aktiviti Hari Keluarga untuk mengukuhkan hubungan dalam kalangan masyarakat setempat. Aktiviti kerap diadakan sama ada di padang, taman rekreasi atau di tepi pantai. Ibu bapa boleh membawa anak-anak bersama dan setiap ahli keluarga boleh menyertai permainan yang disediakan. Selain itu, ibu bapa boleh mendedahkan kepada anak-anak tentang kepentingan hidup berpersatuan dalam masyarakat setempat yang mempunyai satu sistem organisasi yang teratur. Persatuan atau pertubuhan ini hendaklah melibatkan semua penduduk tempatan sebagai ahli. Dewasa ini, banyak pertubuhan sukarela ditubuhkan dalam masyarakat seperti Pertubuhan Rukun Tetangga , Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, Pertubuhan Khairat Kematian dan sebagainya. Sebagai contoh, melalui Pertubuhan Rakan Tetangga, masyarakat setempat secara bergilir-gilir mengawasi keselamatan kawasan tempat tinggal atau taman untuk mengelakkan berlakunya kejadian-kejadian yang tidak diingini seperti membunuh, merogol, merompak dan sebagainya. Hal ini dapat kita lihat dalam peribahasa Melayu, iaitu ibarat aur dengan tebing yang mementingkan semangat sandar-menyandar atau saling membantu antara satu sama lain dalam kehidupan. Jelasnya, ibu bapa berperanan penting untuk menggalakkan anak-anak supaya melibatkan diri dalam aktiviti sosial sebagai langkah untuk memupuk semangat kejiranan.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapat saya simpulkan bahawa semangat kejiranan dalam setiap individu amat penting untuk melahirkan masyarakat yang prihatin dan mmmembentuk perpaduan kaum. Walau apa pun keadaan dan di mana-mana pun kita tinggal, kita perlulah mempunyai jiran yang baik hati, iaitu jiran yang menjadi tempat untuk memohon bantuan ketika kita dalam keadaan yang susah dan sentiasa menghulurkan bantuan dengan senang hati dan menghiburkan ketika kita senang. Jadi, untuk mempunyai jiran yang baik, maka kita perlu menjadikan diri kita sebagai jiran yang baik kepada jiran kita. Sekiranya kita berbaik-baik dengan jiran, maka jiran juga akan berbaik-baik dengan kita. Cogan kata “ Jiran Sepakat Membawa Berkat” perlu terus diamalkan dalam kehidupan kita sehari-hari. Jangan kita berasa susah dalam usaha mengamalkan budaya murni ini. Amalkan dengan hati yang ikhlas, barulah kita memperoleh keberkatan dalam kehidupan. Oleh itu, dengan meningkatkan semangat kejiranan, perpaduan kaum akan bertambah utuh dan teguh. Jadi, dalam setiap masa, kita mestilah sentiasa berusaha untuk memastikan semangat kejiranan sentiasa terpelihara supaya negara kita sentiasa aman, harmoni dan sejahtera. Allah berfirman yang maksudnya, “Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu kenal-mengenali”.
(Dimensi Keluarga)
Setiap ahli keluarga memainkan peranan penting ke arah melahirkan gaya hidup sihat. Jelaskan peranan ibu bapa dalam usaha memupuk amalan gaya hidup sihat.
Amalan gaya hidup sihat adalah cara hidup yang boleh mengurangkan risiko penyakit jantung pada masa hadapan. Namun demikian, ribuan rakyat Malaysia mempunyai berat badan berlebihan, tidak aktif dan terlalu banyak menghisap rokok. Ribuan rakyat Malaysia mengamalkan cara hidup yang tidak sihat sejak kecil lagi seperti menggemari makanan yang mengandungi kolesterol, tidak melakukan senaman dan makan secara berlebihan. Oleh itu, untuk mengurangkan risiko penyakit berbahaya seperti sakit jantung, obesiti, darah tinggi, kencing manis dan sebagainya, rakyat Malaysia perlulah mengamalkan gaya hidup sihat. Secara umumnya, tanggungjawab ini sudah semestinya jatuh pada bahu ibu bapa yang melahirkan anak-anak serta menjaga mereka sejak kecil lagi. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dan keluarga untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak mereka?
Peranan utama ibu bapa dalam memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak adalah dengan memastikan anak-anak mengamalkan pemakanan yang seimbang mengikut piramid makanan. Pemakanan yang seimbang adalah pemakanan yang mengandungi ketujuh-tujuh kelas makanan dalam kadar yang bersesuaian iaitu karbohidrat, protein, vitamin, mineral, lemak, air serta serat. Ibu bapa perlulah sentiasa menghidangkan makanan yang berzat serta bernutrisi kepada anak-anak. Ibu bapa perlu merujuk kepada piramid makanan sebagai panduan untuk mendapatkan gizi seimbang. Anak-anak digalakkan mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan yang lebih kerana baik untuk kesihatan mata, gusi, kulit serta mengekalkan kecergasan tubuh badan. Jika tabiat yang baik ditanam dalam diri anak-anak, sudah pasti anak-anak akan tahu menjaga pemakanan mereka apabila dewasa kelak. Selain itu, ibu bapa juga digalakkan memasak makanan untuk anak-anak dan mengelakkan makan di luar rumah kerana makanan di luar, khususnya gerai-gerai makanan di sepanjang jalan, dibimbangi telah tercemar kerana mungkin terdedah kepada habuk dan asap kenderaan serta banyak mengandungi perisa makanan yang tidak baik untuk kesihatan. Ibu bapa juga perlu mengurangkan pengambilan minuman berkarbonat dan makanan ringan oleh anak-anak kerana minuman sebegini tidak memberikan apa-apa kebaikan dan mengandungi kandungan gula yang berlebihan. Anak-anak perlulah diajar untuk minum air kosong atau jus buah-buahan yang asli. Jelasnya, ibu bapa perlulah memastikan anak-anak mengamalkan pemakanan seimbang dalam memupuk amalan gaya hidup sihat.
Selain itu, ibu bapa juga boleh melakukan aktiviti bersenam dan beriadah bersama anak-anak. Perbuatan ini bukan sahaja akan menyihatkan badan, malah hubungan antara ibu bapa dengan anak-anak akan menjadi lebih erat. Aktiviti bersenam mampu mengekalkan gaya hidup sihat kerana peluh-peluh yang keluar sewaktu melakukan senaman akan keluar bersama-sama toksin badan. Kesannya, anak-anak mampu membina tahap imunisasi yang tinggi terhadap serangan penyakit. Aktiviti senaman perlulah dilakukan sekurang-kurannya 30 minit sehari dan tiga kali seminggu. Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah senam robik, berjoging, berbasikal, berenang serta mendaki bukit. Disebabkan ramai golongan ibu bapa yang bekerja, senaman ini boleh dilakukan pada awal pagi ataupun pada waktu petang selepas ibu bapa pulang dari kerja. Apabila seseorang itu bersenam dan beriadah, mereka dapat meningkatkan kesihatan diri dari aspek fizikal dan mental bak kata pepatah, badan cergas otak cerdas. Anak-anak yang mengamalkan senaman dan beriadah, akan lebih sihat dan dapat memberikan tumpuan terhadap pelajaran di kelas semasa guru sedang mengajar dan semasa mengulang kaji pelajaran. Menurut kajian, murid-murid yang tidak gemar bersukan dan beriadah lebih cenderung untuk berkelakuan pasif di dalam kelas selain suka berkhayal dan mengantuk ketika sesi pengajaran dan pembelajaran sedang berlangsung. Tegasnya, ibu bapa perlulah melakukan aktiviti senaman dan riadah bersama anak-anak supaya amalan gaya hidup sihat dapat dipupuk bagi melahirkan otak yang cerdas dan badan yang cergas.
Di samping itu, ibu bapa juga perlulah membawa anak-anak membuat pemeriksaan kesihatan secara berkala untuk memupuk amalan gaya hidup sihat. Ibu bapa digalakkan untuk membawa anak-anak menjalani pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya enam bulan sekali ataupun dua kali setahun di hospital atau klinik kesihatan yang berhampiran. Pemeriksaan ini meliputi tekanan darah, paras gula dalam darah dan tahap kolesterol. Tujuan pemeriksaan dibuat agar ibu bapa dapat memastikan tahap kesihatan anak-anak berada dalam keadaan sihat dan baik. Pemeriksaan kesihatan adalah penting kerana mampu mengesan sesuatu penyakit ketika masih di peringkat awal dan memudahkan pesakit menjalani rawatan dengan teknologi moden kini. Bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati. Jika ibu bapa mendapati anak-anak mereka tidak sihat, ibu bapa perlulah segera membawa anak-anak berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan dan ubat serta pengesahan tentang penyakit yang dihidapi. Hal ini penting bagi membantu ibu bapa mengawal penyakit yang dihidapi anaknya daripada menjadi lebih serius dan kronik, bak kata pepatah cegah sebelum parah. Seterusnya, ibu bapa perlulah memastikan anak-anak mematuhi nasihat doktor dan mengambil ubat pada masa yang ditetapkan. Jelasnya, pemeriksaan kesihatan secara berkala oleh anak-anak akan memupuk amalan gaya hidup sihat.
Ibu bapa juga perlu mengajar dan melatih anak-anak mereka mengutamakan kebersihan diri dan kebersihan persekitaran tempat tinggal pada setiap masa bagi memastikan mereka terhindar daripada sebarang penyakit. Keperluan asas seperti menggosok gigi, mandi, berpakaian bersih, waktu tidur dan rehat yang cukup juga perlu dijadikan amalan hidup seharian. Bagi mengelakkan jangkitan kuman atau penyakit, anak-anak diajar agar mengamalkan budaya mendisiplinkan diri dengan asas-asas kebersihan seperti mencuci tangan dengan bersih sebelum makan, menutup makanan dengan baik agar tidak dihinggapi lalat mahupun memilih gerai atau tempat makan yang bersih semasa menjamu selera. Sikap sambil lewa ibu bapa dalam menitik beratkan aspek berkenaan mungkin boleh membawa padah. Justeru, amalan sebegini harus dilentur sejak dari rebung dalam diri anak-anak agar dapat membentuk gaya hidup yang sihat apabila mereka dewasa kelak. Pada masa yang sama, selain mengutamakan kesihatan diri dan makanan, ibu bapa juga perlu mendidik ahli keluarga mereka agar menjaga kebersihan persekitaran mereka. Persekitaran yang bersih perlu dijadikan amalan dan gaya hidup agar kita terhindar daripada sebarang penyakit. Umpamanya, ibu bapa menggalakkan anak-anak mengadakan gotong-royong di rumah setiap hujung minggu untuk membersihkan kawasan rumah bersama ahli keluarga. Ibu bapa juga boleh membawa anak-anak menyertai kegiatan gotong royong di taman perumahan dengan membersihkan sampah-sarap atau memastikan kawasan persekitaran mereka sentiasa bersih. Amalan seperti ini dapat mengelakkan pembiakan agen-agen pembawa penyakit seperti nyamuk, lipas, lalat dan sebagainya. Tempat-tempat pembiakan nyamuk di dalam atau di luar rumah seperti pelapik pasu bunga ataupun tempat takungan air mestilah kerap dibersihkan ataupun ditukar. Dengan cara demikian, ibu bapa dapat melatih gaya hidup yang positif dalam diri anak-anak mereka sekaligus akan dapat menjauhkan diri mereka daripada pelbagai penyakit.
Tambahan pula, untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam diri anak-anak, ibu bapa perlulah membawa mereka menziarahi orang sakit sama ada saudara-mara, jiran tetangga ataupun rakan-rakan. Hari ini kita sihat, tetapi bagaimana pula dengan hari esok? Jika ibu bapa sering melawat orang yang sedang sakit, nescaya anak-anak mereka juga akan berbuat demikian kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Anak-anak tidak seharusnya merasakan bahawa perbuatan sebegini hanya membuang masa dan merugikan diri kerana ianya sesuatu amalan yang mulia. Apabila kita menziarahi ornag yang sakit, secara tidak langsung kehadiran kita dapat melahirkan perasaan gembira kepada pesakit dan memberi kekuatan kepada diri pesakit itu untuk melawan kesakitan yang ditanggungnya. Perbuatan menziarahi orang yang sakit akan sedikit sebanyak melahirkan rasa simpati terhadap nasib orang lain dan pada masa yang sama anak-anak akan bersyukur atas kurniaan badan yang sihat. Kehadiran kita menunjukkan bahawa kita, khususnya anak-anak, mengambil berat tentang diri pesakit dan dapat mengurangkan perasaan sedih pesakit walaupun pepatah menyatakan bahawa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Tegasnya, amalan menziarahi orang yang sakit oleh ibu bapa dan anak-anak mampu menanamkan amalan gaya hidup yang sihat.
Akhir sekali, bagi menjalani amalan gaya hidup sihat, ibu bapa perlu memastikan agar anak-anak mendapat rehat dan tidur yang secukupnya. Tubuh badan anak-anak juga perlu direhatkan dengan kadar yang diperlukan untuk mengecas semula organ-organ dalam badan mereka. Anak-anak yang mendapat tidur yang secukupnya berupaya menambah tenaga untuk bergiat aktif ketika di sekolah. Bagi anak-anak yang telah mencapai usia remaja, mereka memerlukan sekurang-kurangnya lapan jam sehari untuk tidur dengan selesa. Nik Nor Madihah, pelajar cemerlang SPM 2008, menyarankan agar semua pelajar tidur secukupnya. Namun, ramai dalam kalangan anak muda pada masa ini yang lebih suka tidur selepas tengah malam walaupun keesokannya merupakan hari persekolahan. Kesannya, mereka tidak akan berasa cergas dan badan akan lesu dan tidak bermaya. Malahan, pelajaran anak-anak juga terganggu dan lama-kelamaan prestasi mereka dalam peperiksaan semakin merosot. Salah satu langkah yang boleh diambil oleh ibu bapa adalah menetapkan satu masa yang spesifik untuk anak-anak masuk tidur dan mestilah dipatuhi dengan sepenuhnya. Tegasnya, untuk memupuk amalan gaya hidup sihat, ibu bapa perlu memastikan anak-anak mendapat rehat yang secukupnya.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang besar untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak.. Amalan ini adalah penting untuk dilaksanakan agar kesihatan rakyat dalam negara ini sentiasa dalam keadaan yang baik. Oleh itu, langkah-langkah di atas perlulah diamalkan oleh anak-anak yang menjadi pemimpin generasi akan datang bak kata pepatah pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Semua rakyat Malaysia haruslah mengamalkan gaya hidup sihat supaya penyakit seperti kencing manis, obesiti, darah tinggi, sakit jantung dan sebagainya dapat dikurangkan dalam jangka masa yang panjang ini. Jelasnya, jika hal-hal yang dinyatakan di atas itu kita laksanakan, sudah pasti kita memiliki ciri-ciri manusia yang berjaya bak kata pepatah hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.
(KARANGAN DIMENSI KELUARGA)
Remaja kini banyak menghabiskan masa dengan melayari Internet yang
memberikan pelbagai kesan kepada mereka.
Huraikan peranan ibu bapa untuk mengawal penggunaan Internet dalam kalangan
anak-anak.
Anak kecil main api,
Terbakar hatinya yang sepi
Air mata darah bercampur keringat,
Bumi dipijak milik orang.
Lirik lagu Warisan di atas mengenai nasib anak bangsa pada masa akan datang sekiranya kita membiarkan sahaja minda kita dijajah oleh anasir luar. Umumnya mengetahui bahawa penjajahan minda lebih berbahaya daripada penjajahan secara fizikal kerana penjajahan minda ini bersifat halus dan sukar untuk dikesan berbanding dengan penjajahan Internet. Melalui Internet, penjajahan minda ini lebih halus dan mudah disebarkan kerana generasi muda hari ini terlalu leka dengan Internet sehingga terikut-ikut akan budaya kuning serta hedonisme yang dibawa oleh anasir luar. Dakyah hendonisme amat dasyat sehingga remaja merupakan benteng pertahanan negara dikongkong dan kehidupan mereka lebih mengutamakan hiburan dan keseronokan sehinggakan tanggungjawab mereka sebagai pelajar hapus daripada minda. Sebelum nasi menjadi bubur, ibu bapa orang yang paling hampir dengan remaja perlu mengawasi anak-anak mereka agar budaya kuning serta hendonisme ini tidak menjadi ikutan anak-anak. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa untuk mengawal penggunaan Internet dalam kalangan anak-anak?
Antara peranan yang boleh dilakukan oleh ibu bapa ialah ibu bapa perlulah memberi didikan agama yang mantap kepada anak-anak sebagai pendinding kepada anak-anak agar terelak daripada dakyah songsang Barat. Internet bukanlah sesuatu yang mudah dikawal “programming”nya. Oleh sebab itu, banyak laman-laman web yang mengandungi unsur-unsur negatif seperti budaya Black Metal, Skin Head dan pornografi tersebar dengan begitu pantas di Internet. Melalui didikan agama yang mantap sahaja, anak-anak dapat membezakan yang mana perbuatan yang keji dan yang mana perbuatan yang mulia. Sabda Rasulullah SAW ‘akhlak yang buruk merosakkan amal seperti cuka merosakkan madu’. Sekiranya anak-anak melayari laman-laman web yang berunsur negatif sudah pasti pasti merosakkan minda mereka dan menyebabkan mereka lalai untuk menyelesaikan tuntutan agama yang wajib mereka tunaikan seperti sembahyang lima waktu sehari semalam serta menjalankan tanggungjawab belajar kerana hanya dengan pendidikan mereka mampu mengubah status ekonomi keluarga. Oleh itu, jelaslah bahawa memberikan didikan agama yang mantap kepada anak-anak adalah penting bagi mengurangkan masalah penyalahgunaan Internet.
Selain daripada memberikan didikan agama yang mantap kepada anak-anak, ibu bapa juga perlu mengehadkan masa penggunaan Internet dalam kalangan anak-anak. Memang tidak dinafikan bahawa Internet mempunyai pelbagai kebaikan tetapi ibu bapa perlulah sedar bahawa Internet juga boleh mendatangkan pelbagai keburukan kepada anak-anak. Sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab, mereka mestilah menetapkan masa penggunaan Internet dalam kalangan anak-anak. Sebagai contoh, ibu bapa hanya membenarkan anak-anaknya menggunakan Internet pada waktu-waktu tertentu terutama jika mereka ingin mencari bahan ilmiah ataupun untuk menghilangkan stres. Hal ini secara tidak langsung akan mengajar anak-anak agar menggunakan masa dengan baik di samping bijak menggunakan Internet. Sekiranya anak bebas menggunakan internet setiap masa, impaknya Internet mungkin akan melalaikan anak-anak. Jadi, tegaslah bahawa ibu bapa perlu mengehadkan masa penggunaan Internet oleh anak-anak agar anak-anak lebih berdisiplin ketika menggunakan Internet.
Seterusnya, ibu bapa haruslah memberikan pendedahan tentang Internet kepada anak-anak. Pendedahan berkaitan Internet ini adalah penting supaya anak-anak mengetahui kebaikan dan keburukan Internet sewaktu akhlak mereka masih boleh dibentuk seperti kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini akan menyebabkan mereka akan lebih berhati-hati dalam menggunakan aplikasi-aplikasi yang melibatkan penggunaan Internet. Ibu bapa perlulah menunjukkan sikap yang positif ketika menggunakan Internet di hadapan anak-anak dan mengajar mereka tentang cara penggunaan Internet yang betul. Hal ini kerana tunjuk menjadi telaga budi, ajar menjadi suluh hati. Cuba bayangkan sekiranya anak-anak tidak diberikan pendedahan tentang Internet daripada kecil. Mungkin apabila dewasa kelak mereka akan terikut-ikut budaya-budaya yang tidak bermoral yang telah dipelajarinya daripada Internet. Natijahnya, pendedahan tentang Internet daripada ibu bapa kepada anak-anak akan dapat membantu untuk mengurangkan masalah penyalahgunaan Internet.
Di samping itu, sebagai ibu bapa yang menyayangi anak-anak, mereka perlulah mendekatkan diri anak-anak semasa mereka aktiviti pembelajaran menggunakan internet. Pada masa kini, pembelajaran menjadi lebih mudah dengan adanya Internet. Pelbagai laman sesawang telah diwujudkan bagi kemudah pembelajaran. Sekiranya anak-anak kerap menggunakan Internet untuk menuntut ilmu, ibu bapa perlulah menyokong tindakan anaknya itu. Ibu bapa tidak perlu risau sekiranya anak-anak tidak menggunakan buku untuk belajar malah mereka harus berbangga kerana anak-anak mereka merupakan generasi yang pintar dalam menggunakan Teknologi Maklumat dan Telekomunikasi. Tambahan pula, sebagai ibu bapa yang tahu penggunaan internet, mereka tidak perlu risau kerana mereka boleh mengesan aktiviti Internet anak-anak dengan memantau bahagian “history” atau sejarah penggunaan enjin carian sama ada Google, Al-Tavista, Monzila Firefox, Yahoo atau MSN. Hanya dengan cara ini ibu bapa akan tahu sama ada anak-anak mereka menggunakan Internet untuk tujuan kebaikan atau sebaliknya Jadi, sebagai ibu bapa, mereka haruslah menyokong tindakan anak-anak dalam proses meningkatkan IQ melalui penggunaan Internet dalam masa yang sama ibu bapa juga boleh memantau dan terlibat sama semasa aktiviti Internet anak-anak.
Akhir sekali, ibu bapa mestilah memantau anak-anak semasa menggunakan kemudahan Internet. Janganlah terlalu mempercayai anak-anak kerana sikap tersebut akan membawa masalah kepada ibu bapa pada masa akan datang. Hal ini boleh dilihat dalam filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang berjudul ‘Anakku Sazali’ yang berkisahkan seorang bapa yang terlalu mempercayai anaknya sehingga anaknya sanggup menipu dirinya. Pemantauan terhadap penggunaan Internet oleh anak-anak mungkin sukar dilakukan kerana pada masa kini anak-anak telah mempunyai gajet peribadi seperti telefon pintar dan komputer riba. Namun, sebagai ibu bapa berminda kelas pertama dan arif berkaitan kemahiran Internet dan bertanggungjawab, mereka mampu mengesan penyalahgunaan Internet dalam kalangan anak-anak dengan memantau aktiviti penggunaan Internet. Sebagaimana saya perkatakan sebelumnya iaitu ibu bapa boleh melihat aktiviti internet anak-anak pada bahagian “history” atau sejarah enjin carian Internet, bukan sahaja dalam masa sehari, malah sepanjang masa. Tegasnya, ibu bapa mestilah memantau anak-anak semasa menggunakan kemudahan Internet untuk kebaikan anak-anak, keluarga dan bangsa.
Akhir kata, dapatlah disimpulkan bahawa peranan ibu bapa dalam mengawal penggunaan Internet amatlah penting. Selain daripada ibu bapa dapat mengelakkan anak-anak daripada penjajahan minda, ibu bapa juga dapat melahirkan anak-anak yang celik dalam penggunaan Internet. Dengan adanya generasi yang bijak dalam penggunaan Internet, sudah pasti negara kita akan bertambah maju setanding dengan negara-negara lain. Oleh itu, ibu bapa haruslah melaksanakan tanggungjawab dan peranan bagi melahirkan individu yang bijak, berakhlak serta dapat memajukan bangsa, agama dan negara. Sebelum saya mengakhiri penulisan ini, nasihat saya kepada ibu bapa yang bijak dan mahir dalam penggunaan Internet, kebijaksanaan ibu bapa dalam aplkikasi Internet mempunyai banyak kelebihan, ibarat anak seorang pelari pecut sedang berada di garisan penamat dengan larian 50 km dan ibu bapa perlu berlari lebih laju daripada pecutan anak mungkin 80 km. Barulah anak akan tahu kehebatan seorang ayah kerana ayah borek anak rintik dan ayah suri teladan bagi seorang anak.
DOAKAN SAYA SIHAT DAN MAMPU UNTUK MELIHAT KEJAYAAN ANDA DALAM PEPERIKSAAN SPM 2018. NAMUN, SAYA BUKAN INSAN SEMPURNA DAN MANA YANG TIDAK SEMPURNA SAYA HARAP ANDA SEMPURNAKANLAH.
SEKADAR INI YANG SAYA MAMPU MEMBANTU. SEKALI LAGI SAYA MEMOHON SEMUA PELAYAR BLOG LAMAN BAHASA MELAYU SPM INI, SAUDARA MARA, RAKAN TAULAN, KENALAN SAYA MENDOAKAN SAYA SIHAT DARIPADA KANSER USUS SAYA HADAPI KINI. AAMIIIIIIIN.