Selasa, 22 Disember 2020

LATIHAN PENGGUNAAN KATA PEMERI IALAH DAN ADALAH. (LATIHAN ULANGAN)

 LATIH TUBI PENGGUNAAN KATA PEMERI IALAH DAN ADALAH


Terdapat dua jenis kata pemeri iaitu:
i. adalah
ii. ialah

Kata pemeri tidak boleh hadir di hadapan frasa kerja.

KATA PEMERI
MAKSUD
AYAT CONTOH
ialah
-menunjukkan persamaan
-hadir di hadapan frasa nama
1. Rumah yang cantik itu ialah
    rumah En. Mazlan.
2. Emak ialah seorang guru.
3. Agama rasmi Negara ialah
   agama Islam.
Adalah
- menunjukkan huraian atau
  keterangan.
- Hadir di hadapan frasa
  adjektif dan frasa sendi

1. Meja yang dibeli itu adalah
    daripada kayu jati.
2. Warna kasut abang adalah
    hitam.
3. Tujuan pertandingan itu
    diadakan adalah untuk
    mencungkil bakat baru.

Nota :

1. Pada umumnya, kata pemeri tidak boleh hadir bersama-sama dengan kata nafi.

SALAH
BETUL
Siswazah yang baru lulus itu ialah bukan pengetua maktab.
Arahan itu adalah bukan untuk semua pegawai.

Siswazah yang baru lulus itu bukan pengetua maktab.
Arahan itu bukan untuk semua pegawai.

2. Kata pemeri boleh wujud dalam binaan kata nafi + frasa adjektif.
Contoh binaan kata nafi + kata adjektif:-

i.   Tidak benar
ii.  Tidak cantik
iii. Tidak adil

Contoh ayat:
Laporan itu adalah tidak benar.
Keputusan itu adalah tidak adil.

3. Kata pemeri TIDAK BOLEH hadir di hadapan frasa kerja atau kata kerja. Penggunaan kata pemeri adalah dalam ayat-ayat berikut dianggap menyalahi tatabahasa Bahasa Melayu.

Contoh:-
i. Adalah diberitahu sekolah akan ditutup esok.
  Struktur ayat yang betul ialah:
  Dengan ini diberitahu bahawa sekolah akan ditutup esok.
  Anda diberitahu bahawa sekolah akan ditutup esok.
  Ibu Bapa diberitahu bahawa sekolah akan ditutup esok.
  Tuan-tuan diberitahu bahawa sekolah akan ditutup esok.
  Dengan hormatnya diberitahu bahawa sekolah akan ditutup esok.

ii.  Adalah diisytiharkan bahawa Hari Raya Puasa jatuh pada hari Selasa.
    Struktur ayat yang betul ialah:
    Dengan ini diisytiharkan bahawa Hari Raya Puasa jatuh pada hari Selasa.

iii. Kegagalan projek itu adalah disebabkan oleh kecuaian pihak pengurusan syarikat itu.
    Struktur ayat yang betul ialah:-
    Kegagalan projek itu disebabkan oleh kecuaian pihak pengurusan syarikat itu.

Saya tambah nota kata pemeri ialah dan adalah semoga anda akan lebih faham fungsi dan penggunaan kata pemeri dalam binaan ayat.


KATA PEMERI -   IALAH DAN ADALAH

Kata pemeri ialah kata tugas yang memerihalkan atau menghubungkan subjek dengan frasa-frasa utama dalam perdikat.  Terdapat dua jenis kata pemeri dalam bahasa Melayu, iaitu ialah dan adalah.  Penggunaan yang betul bagi kedua-dua kata pemeri ini baik dalam lisan dan tulisan sering diabaikan.   Sebenarnya tanggapan ini salah.  Menukar ganti kata pemeri dengan sewenang-wenangnya perlu diperbetulkan. 

KATA PEMERI ‘IALAH’

Kata pemeri  ‘ ialah ’ diletakkan di hadapan frasa nama bagi menjelaskan persamaan.  Contoh ayat:

1      Bunga Raya ialah bunga kebangsaan negara kita.
         [… ialah + frasa nama ‘bunga Raya ialah bunga kebangsaan Negara
         Malaysia]

2       Lelaki itu ialah Yusri.
          [… ialah + frasa nama ‘ Yusri ’ ]

3       Angin ialah udara yang bergerak.
         [… ialah + frasa nama ‘ udara yang bergerak ’]

Bagaimanapun, sebenarnya kata pemeri ‘ ialah ’ hanya bersifat pilihan atau dalam erti kata yang lain boleh digugurkan. 

Dalam erti kata lain, tanpa kehadiran ialah, ayat (1), (2) dan (3) yang dibina tetap gramatis:

i)   Bunga raya bunga kebangsaan Negara Brunei Darussalam.

ii)  Lelaki itu Yusri.

iii) Angin udara yang bergerak.

Namun yang demikian, bagi ayat yang lebih panjang, kehadiran kata pemeri ‘ ialah ’ dapat membantu meningkatkan  kefahaman kerana pemisahan antara subjek dengan predikat ayat adalah lebih jelas, seperti contoh berikut:

Lelaki yang baru saja memasuki dewan itu ialah Yusri.

Kata pemeri ‘ ialah ‘ tidak boleh ditulis di hadapan kata kerja kerana penggunaannya tidak gramatis

  
KATA PEMERI ‘ ADALAH ’

Kata pemeri ‘ adalah ’ diletakkan di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama bagi menjelaskan sesuatu secara huraian, seperti contoh ayat berikut:

4.     Kepakaran beliau adalah dalam bidang komputer.
         [ … adalah + frasa sendi nama  ‘dalam bidang komputer ’]

5      Hadiah ini adalah untuk Nurul di sekolah.
        [… adalah + frasa sendi nama  ‘ untuk Nurul di sekolah ’]


6     Rupa-rupanya berita yang kita dengar selama ini adalah palsu.
        [… adalah + frasa adjektif  ‘palsu’]

Dalam konteks penggunaan bahasa Melayu baku, kata pemeri ‘adalah’ tidak boleh digunakan di hadapan kata kerja atau frasa kerja, seperti berikut:

7     Adalah dimaklumkan bahawa cuti persekolahan akan bermula pada hari
       Isnin depan.  (SALAH)

       Dengan ini dimaklumkan bahawa cuti persekolahan akan bermula pada   
       hari Isnin depan.  (BETUL)

8    Amalan bergotong royong adalah merupakan amalan mulia.  (SALAH)

      Amalan bergotong royong merupakan amalan mulia.  (BETUL)

 Rumusannya, kata sendi  ‘ ialah ‘ dan ‘ adalah ‘ tidak boleh hadir sebelum kata kerja.

Namun begitu, kata pemeri ' adalah ' boleh ditulis sebelum kata kerja apabila disertakan kata sendi seperti  adalah kerana, adalah sebab, adalah untuk, dsb. 
Contoh ayat :  
  
i)    Matlamat utama gotong-royong adalah kerana kerja yang berat akan menjadi lebih 
      ringan apabila dilakukan secara bersama-sama.

ii)   Sumbangan derma itu dilakukan adalah untuk mengurangkan bebanan keluarga            yang  malang itu.

    Latihan:-

1.        Dr. Azhar yang berucap di perhimpunan sekolah ________­­­­­­­­­­­_________           
           bekas   penuntut sekolah ini. 

2.       Penuntut perempuan yang jelita itu ______________ tunangan orang. 

3.       Tiada siapa yang menyangka dia__  _________ sangat garang orangnya.

4.       Penyakit Hussein yang berjangkit itu _____________ penyakit yang tiada
          penawarnya lagi.

5.       Matlamat mengadakan laman web Bahasa Melayu__________ untuk    
          memberi pengajaran yang lebih berkesan.

6.       Pasar serbanika itu yang dibuka di kawasan itu_____________ untuk
          kemudahan penduduk di situ.

7.      Rumah baru di hadapan rumah saya itu ____________ milik Encik Mokhtar.

8.      Salah satu masalah remaja _____________ tabiat membelanjakan wang
         dengan berlebihan.

A.     Pilih jawapan yang betul.

01.   Hari ini ialah hari jadi Ahmad.
 A.    Betul         B. Salah

02.   Makanan kegemaran saya adalah nasi goreng.
 A.    Betul         B. Salah

03.   Harga barangan yang dijual di pasar raya itu adalah berpatutan.
        A. Betul      B. Salah

04.   Cita-cita saya adalah menjadi seorang pakar jantung.
        A. Betul      B. Salah

 05. Bertanggungjawab adalah sifat yang terpuji.
       A. Betul       B. Salah

06. Johan pertandingan bercerita sekolah menengah tahun ini adalah saudara
       Masyiroh Taib.
       A. Betul       B. Salah

07.  Tuduhan itu ialah palsu.
       A. Betul       B. Salah

08.   Pemuda yang kita jumpa tadi ialah seorang lulusan Universiti Al-Azhar.
       A. Betul       B. Salah

09.   Sapu tangan itu adalah pemberian kekasih abang saya.
       A. Betul       B. Salah

10.   Epok-epok adalah sejenis kuih tradisional.
        A. Betul      B. Salah


B.    Pilih kata pemeri yang sesuai.

1.    Farid ( ialah, adalah ) seorang kanak-kanak istimewa.

2.    Surat yang sampai tadi ( adalah , ialah ) daripada peguam.

3.   Ucapan yang disampaikan oleh pengetua ( adalah , ialah ) terlalu panjang.

4.    Warna kuning ( ialah , adalah ) warna diraja

5.    Wang peruntukan itu ( adalah , ialah ) untuk semua murid.

6.    Keputusan yang dibuat oleh hakim mahkamah itu ( adalah , ialah ) tidak adil.

7. .  Rumah setinggan di lereng bukit itu (adalah , ialah ) rumah Pak Abu.

8.    Suara guru itu ( adalah ,ialah ) tidak jelas.

 9.   Jawapan yang diberikan oleh pelajar itu (adalah , ialah ) tidak tepat.

10.  MEASAT 1 ( ialah , adalah )satelit pertama Malaysia.

SEMOGA DENGAN LATIHAN DI ATAS, ANDA TIDAK MELAKUKAN KESALAHAN PENGGUNAAN KATA PEMERI.

Tiada ulasan: