Sabtu, 3 Ogos 2013

CADANGAN JAWAPAN SOALAN NOVEL 4 (A) DAN 4 (B) SOALAN SBP KERJA RUMAH UNTUK CUTI HARI RAYA

Soalan Komsas Novel di bawah antara soalan berbentuk KBKK ( Kemahiran Berfikir Secara Kreatif dan Kritis. Justeru, soalan berkenaan memerlukan pelajar berfikir dan mengaitkan kemahiran komsas untuk menjawabnya. Pelajar tidak perlu panik apabila menerima soalan berkenaan. Apabila ada unsur teguran, sudah pasti jawapannya berfokus kepada idea atau persoalan negatif yang berlaku dalam masyarakat dalam novel berkenaan. Selain persoalan, anda juga boleh merujuk kepada pengajaran sesbuah novel, kerana pengajaran merupakan panduan kepada masyarakat untuk tidak melakukan tingkah laku yang negatif.

Soalan 4 (a)
Pengarang biasanya menggunakan karya yang ditulis sebagai medan untuk menegur pelbagai masalah sosial yang berlaku dalam masyarakat.

Berdasarkan sebuah novel yang anda kaji, berikan dua teguran yang dibuat oleh pengarang.

Contoh jawapan:-
  Pengarang kebiasaannya memasukkan idea sampingan atau persoalan ke dalam karya mereka untuk menegur masyarakat dalam meneruskan kehidupan seharian. Saya memilih novel Kembara Amira karya  (Amer Hmzah L.Kadir) dalam membicarakan teguran yang telah dilakukan oleh pengarang Novel Kembara Amira.

  Antara teguran yang telah dilakukan oleh pengarang adalah dengan menengur sikap sesetengah masyarakat yang mementingkan diri sendiri. Contohnya bapa Jachinta iaitu rakan Amira yang berkahwin untuk kali kedua tetapi tidak dipersetujui oleh anaknya. Akibatnya Jachinta tidak pulang ke rumah tetapi mengambil keputusan mengikuti Amira bersamanya ibunya mencari gali artifak di Bukit Mat Raya. Oleh sebab itu, sebagai bapa, bapa Jachinta perlu mendapat persetujuan daripada anaknya sebelum membuat keputusan untuk berkahwin buat kali kedua kerana paling utama ialah kebahagian rumah tangga dan Jachinta merupakan salah seorang ahli keluarganya. Justeru, hati dan perasaan Jachinta perlu dijaga oleh bapanya.

   Selain itu, pengarang juga menegur segelintir masyarakat yang bersifat materialstik sehingga sanggup mengaut kekayaan sehingga tidak memikirkan kepentingan orang lain. Hal ini jelas dibuktikan melalui kerakusan manusia yang melakukan pembalakan haram dan penerokaan khazanah hutan untuk mencari emas. Hal ini terbukti dengan kehadiran John O’Hara berusia setengah abad ke Bukit Mat Raya untuk membuktikan bahawa kawasan tersebut mengandungi emas atau tidak. Sekiranya terbukti kawasan tersebut mengandungi emas sudah pasti kawasan tersebut akan diterokai dan kawasan hutan di tempat berkenaan akan musnah apabila usaha cari gali emas dijalankan di kawasan tersebut.
    Bahkan juga, pengarang menyelitkan teguran ke atas sesetengah masyarakat yang tidak menerima kehadiran orang luar seperti berlaku kepada Ipah ataupun Jenifer, contohnya Ipah tidak diterima oleh masyarakatnya kerana kulitnya putih dan matanya biru. Perbezaan kulit dan warna matanya menyebabkan rakan-rakan sebaya dalam kalangan masyarakat Orang Asli memulaunya.Justeru, hati budi ahli masyarakat perlu dijaga dan jika berlaku hal demikian kehidupan sesebuah keluarga akan musnah seperti Ipah melarikan diri menyebabkan suaminya Tau, Itai dan Sabi terpisah.
 
Soalan 4 (b)
Berdasarkan dua novel yang telah anda pelajari, bandingkan satu unsur saspens terdapat dalam setiap novel.

    Unsur saspens merupakan teknik plot yang amat penting untuk meninggalkan kesan pertanyaan kepada pembaca terutama peristiwa yang mungkin akan berlaku selepas sesuatu peristiwa tersebut berlaku.

 Dalam Novel Azfa Hanani karya  Halis Azhan Mohd Hanafiah teknik saspens diperlihatkan melalui peristiwa ketika Syafinaz memberitahu Azfa Hanani bahawa Datin Maziah    sudah sedar dan dia mengajak Azfa Hanani turun menemui Datin Maziah. Azfa Hanani berdebar- debar semasa menuruni anak tangga. Pembaca tertanya-tanya tentang apakah reaksi Datin Maziah apabila melihat Azfa Hanani buat kali pertama.
 
     Sementara dalam Novel Kembara Amira peristiwa berkaitan unsur saspens dapat dilihat melalui keadaan diri Malique setelah ditangkap oleh mahkluk berbulu·Dia tidak pasti ke mana dan siapa manusia yang sering membawa makanan untuknya.  Malique tidak sempat bertanya di mana dia sekarang.  Tetapi siapakah manusia itu. Adakah manusia itu mempunyai kaitan dengan hidupnya?  Kenapa manusia itu membantunya tetapi tidak berusaha mencari dari mana dia datang. Pembaca tertanya-tanya tujuan mahkluk berbulu menangkap Malique, dan kaitan mahkluk berbulu tersebut dengan Malique. Justeru, teknik saspens ini sangat memberi kesan sampingan kepada pembaca dalam sesebuah novel kerana teknik ini akan merangsang pembaca untuk mengetahui peristiwa yang akan berlaku setelah sesuatu konflik berlaku.
 
Untuk makluman, di atas merupakan contoh jawapan sebagai usaha untuk mempermudah pelajar menjawab soalan. Sebagai cadangan pelajar perlu merujuk nota dan rujukan tambahan untuk memastikan jawapan anda mantap. Jika boleh tambah isi, supaya jawapan anda mempunyai "bacpup". Harap maklum. Pastikan jawapan anda mantap. Jika ada kelapangan saya akan memasukkan lagi kerja tambahan terutama bahagian komponen soalan yang agak sukar seperti peribahasa, dan tatabahasa yang lain. Diharapkan anda sentiasa merujuk blog ini untuk arahan selanjutnya. Sekian.

Sekiranya terdapat masalah dalam melakukan kerja rumah, sila hubungi saya melalui face book saya. Jika boleh saya akan membantu anda.

Saya mengharapkan anda melakukan tugasan kertas 1 dan 2 dengan cemerlang. 

1 ulasan:

ummi berkata...

Sangat membantu. Terima kasih!