Soalan berpandu di atas meminta
pelajar menulis langkah-langkah untuk menggalakkan orang ramai supaya
menggunakan pengangkutan awam. Selain itu, isi karangan berkenaan telah
diberikan, antaranya untuk menggalakkan orang ramai menggunakan kemudahan awam,
antaranya:-
- meningkatkan mutu perkhidmatan
- memperbanyakkan kempen
- menawarkan tambang berpatutan
Pelajar cemerlang dan bijak akan
menambah satu lagi isi KBAT, di luar daripada maklumat dalam petikan diberikan
seperti :-
- mendidik anak-anak menggunakan pengangkutan awam
daripada kecil.
- mewujudkan sistem pengangkutan berintergrasi
- mewujudkan hiburan untuk pengguna dalam pengangkutan
awam.
Paling penting pelajar
perlu banyak membaca sama ada melalui buku, surat khabar, atau sumber atas
talian sama ada melalui akses internet serta membuat latihan yang banyak
berkaitan perkhidmatan pengangkutan awam di Malaysia akan gembira mendapat
soalan sebegini rupa. Insya-Allah saya akan cuba memberikan contoh karangan
terbaik berkaitan tajuk ini. Namun, pelajar yang banyak membaca dan mempunyai
kemahiran KBAT semasa mengarang sangat bertuah menjawab tajuk soalan bergini.
Pelajar cemerlang dapat mengaplikasi kemahiran mengarang mereka dalam pelbagai
situasi dan dimensi soalan.
Selain itu, pelajar
juga perlu ada acuan atau kaedah untuk menghasilkan karangan yang baik dan
bermutu, dan kaedah yang saya maksudkan ialah pendekatan guru untuk menjelaskan
cara untuk mengarang dengan baik. Banyak kaedah yang boleh digunapakai seperti
kaedah imbakup, kaedah saya gunakan iaitu Kaedah Pengembangan Idea Perenggan
Karangan, dan pelbagai lagi. Paling utama kaedah berkenaan mampu untuk membantu
pelajar mengembangkan isi, huraian isi,ayat contoh, frasa menarik,ayat KBAT,
dan ayat penegas. Selain itu, pelajar juga perlu mahir menulis perenggan isi,
dan juga perenggan penutup.
Sebagai
makluman, penulisan karangan berpandu dengan karangan bahagian B atau karangan
dimensi sama sahaja, yang membezakannya karangan berpandu ada diberikan panduan
isi, sementara karangan dimensi memerlukan pelajar menulis isi sendiri. Selain
itu, karangan berpandu memerlukan 4 isi dan isi keempat jika tidak disenaraikan
boleh menggunakan isi sendiri tetapi perlu merujuk tajuk. Sedangkan karangan
berbentuk dimensi, pelajar perlu menyenaraikan 5 isi. Semoga pelajar faham
dengan penerangan di atas.
Contoh Karangan Berpandu:-
Perenggan Pengenalan:-
Dunia sentiasa
mengalami inovasi dalam sistem pengangkutan dari semasa ke semasa. Dalam era
globalisasi ini, pelbagai jenis kenderaan moden telah dicipta bagi menggantikan
kenderaan konvensional. Pada masa ini, terdapat pelbagai jenis kenderaan awam
seperti monorel, ERL, komuter, bas, teksi, kapal terbang dan sebagainya
disediakan oleh kerajaan. Pengangkutan awam yang moden itu pula mampu untuk
memainkan peranan yang penting kepada kemajuan dan keselesaan pengguna sesebuah
negara. Dengan perkataan lain, pengangkutan awam yang terdapat di negara kita
juga tidak kurang pentingnya kerana terdapat pelbagai kelebihan yang akan
diperoleh apabila masyarakat menggunakannya. Pengenalan
sistem pengangkutan terkini seperti perkhidmatan grab car atau e-haling, dan
Uber merancakkan lagi sistem pengangkutan awam dengan pengguna diberi
kesempatan untuk memilih pelbagai pengangkutan awam yang ada di negara kita.
Namun, sekiranya budaya masyarakat tidak berubah dan pengguna masih menggunakan
kenderaan sendiri untuk sampai ke destinasi mereka, bermakna kerajaan gagal
mencapai objektifnya untuk menggalakkan pengguna menggunakan perkhidmatan awam.
Persoalannya, apakah langkah-langkah yang perlu dimainkan oleh kerajaan, masyarakat
dan keluarga untuk memastikan pengangkutan awam menjadi keutamaan dalam
kalangan pengguna.
Sebagai seorang pelajar mempunyai minda
kelas pertama, saya berpendapat pihak kerajaan perlu meningkatkan mutu
perkhidmatan pengangkutan awam seperti mewujudkan sistem tiket berintergrasi. Menurut satu kajian yang dibuat dalam kalangan
rakyat, banyak pihak mengatakan bahawa kepelbagaian sistem tiket digunapakai telah
mengurangkan minat mereka untuk bergerak dari tempat asal ke destinasi lain .
Hal kerana pengguna lebih selesa memilih pengangkutan awam yang sesuai setiap
lokasi tempat tumpuan mereka. Oleh itu, kerajaan haruslah melaksanakan sistem
tiket bersepadu dengan harga yang mampu dibeli oleh orang ramai khususnya
mereka yang berpendapatan rendah supaya dapat menggalakkan orang ramai
menggunakan pengangkutan awam. Kerajaan haruslah menubuhkan sebuah Lembaga
Pengangkutan Awam (PTA) untuk menguruskan pengangkutan awam di negara kita.
Pertubuhan tersebut dapat mempercepat proses perlaksanaan sistem tiket
bersepadu yang masih dalam peringkat kajian. Selain itu, kerajaan juga
harus mengambil contoh pelaksanaannya di negara barat seperti di Melbourne,
Australia. Di Melbourne penumpang hanya perlu membeli satu tiket pada kos
yang rendah untuk menaiki kereta api atau menaiki bas. Hal ini bertepatan
dengan peribahasa “serampang dua mata”. Sekiranya pendekatan ini dilaksanakan
bukan sahaja dapat menjimatkan wang golongan yang kurang berupaya tetapi juga
dapat memudahkan rakyat untuk mengatur laluan perjalanan harian mereka secara
lebih selesa. Jadi jikalau sistem tiket bersepadu ini dapat
direalisasikan, jumlah penumpang pastilah dapat mencapai sasaran yang telah
diramalkan oleh pengendali pengangkutan awam. Tegasnya, pihak
kerajaan perlu meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam seperti
mewujudkan sistem tiket berintergrasi atau bersepadu.
Sebagai
pelajar berminda kelas pertama, saya ingin mencadangkan agar pihak kerajaan memperbanyak
kempen untuk menarik perhatian rakyat untuk menaiki pengangkutan awam. Antara
kempen berkenaan ialah menguar-uarkan kuantiti dan kualiti serta kekerapan laluan
pengangkutan awam ke sesuatu destinasi. Bilangan kereta api atau bas awam
haruslah dipertingkatkan jumlahnya bagi memenuhi kehendak rakyat serta
mengatasi masalah kekurangan pengangkutan awam di sesetengah kawasan yang
menjadi rungutan orang ramai. Selain itu, KTM (Kereta Api Tanah Melayu) haruslah
mencontohi perkhidmatan kereta api di negara Jepun yang telah menggunakan kuasa
elektrik seperti shinkansen (bullet train) sehingga mencapai kelajuan melebihi
200 kilometer sejam. Dengan menggunakan lokomotif berkuasa elektrik
termoden, kekerapan perkhidmatan train elektrik di negara kita pasti dapat
ditingkatkan. Kekerapan pengangkutan awam adalah salah satu unsur untuk menarik
perhatian penumpang terutamanya mereka yang memandu kereta atau menunggang
motosikal. Dengan kekerapan perjalanan pengangkutan awam yang tinggi, penumpang
tidak akan membazirkan masa untuk menunggu ketibaan pengangkutan awam tersebut kerana masa itu emas.
Hal ini dapat mengurangkan masa perjalanan orang ramai secara keseluruhannya.
Dalam era globalisasi yang mengutamakan kepantasan, kelemahan perkhidmatan dan
kelewatan jadual perjalanan pengangkutan awam akan merumitkan kehidupan
masyarakat dan menyebabkan mereka kurang berkeyakinan terhadap pengakutan awam
di negara kita. Lantaran itu, cara ini haruslah dilaksanakan untuk mendapatkan
semula keyakinan rakyat terhadap sistem perkhidmatan pengangkutan awam.
Selain itu, sebagai
mengukuhkan lagi usaha untuk menggalakkan masyarakat pengguna menggunakan sistem
pengangkutan awam saya mencadangkan pihak kerajaan atau swasta meneruskan usaha
mengurangkan harga tiket pengangkutan awam melibatkan golongan warga emas,
anak-anak dibawah umur, golongan pelajar malah warga yang menggunakan perkhidmatan
awam setiap masa. Bahkan juga harga tiket boleh diberi potongan kepada keluarga
yang menggunakan perkhidmatan awam dalam bilangan ahli keluarga yang besar.
Sebagai contoh, jika sesebuah keluarga berkenaan membeli tiket sama ada bas
atau kereta api untuk kegunaan ahli keluarga melibatkan sepuluh ahli keluarga ke atas, keluarga
berkenaan boleh mendapat diskaun harga berbanding mereka membeli tiket secara
individu. Sekiranya, potongan harga diberikan kepada kategori pengguna kereta
api atau bas seperti yang saya perkatakan seperti di atas, sudah pasti
masyarakat pengguna pengangkutan awam akan tertarik untuk menggunakan
perkhidmatan pengangkutan awam. Hal ini kerana, pengguna akan mendapat
keuntungan kerana kos yang mereka bayar untuk menggunakan pengangkutan awam
amat berpatutan. Bagi penyedia perkhidmatan pengangkutan awam pula, mereka
perlu sedar bahawa dengan adanya potongan harga sedemikian rupa, sudah pasti
ruangan tempat duduk bas atau kereta api akan sentiasa penuh dan situasi ini
sudah pasti akan menguntungkan mereka berbanding dengan harga tiket biasa,
tempat duduk disediakan oleh perkhidmatan pengangkutan awam mereka sentiasa
tidak diisi kerana konsep sama untung atau menang-menang perlu ada dalam
kalangan pengguna dan penyedia pengangkutan awam di Malaysia. Sekiranya
penyedia perkhidmatan awam terus menerus untuk mengaut keuntungan tanpa
memikirkan keuntungan kepada pengguna, sampai bila-bila hasrat kerajaan untuk
menggalakkan pengguna menggunakan perkhidmatan awam tidak akan menjadi
kenyataan kerana pengguna lebih suka memilih untuk menggunakan kenderaan mereka
sendiri untuk menuju ke destinasi mereka. Tegasnya, untuk menggalakkan
masyarakat pengguna menggunakan sistem pengangkutan awam pihak kerajaan atau swasta
perlu meneruskan usaha mengurangkan harga tiket pengangkutan awam melibatkan
golongan warga emas, anak-anak dibawah umur, golongan pelajar malah warga yang
menggunakan perkhidmatan awam setiap masa. Bahkan juga harga tiket boleh diberi
potongan kepada keluarga yang menggunakan perkhidmatan awam dalam bilangan ahli
keluarga yang besar.
Pada
masa yang sama, langkah kerajaan menggalakkan pemasangan televisyen di dalam
bas ekspres mendapat banyak komen yang baik daripada orang ramai. Hal ini
kerana langkah ini dapat menghiburkan rakyat dalam perjalanan mereka. Para
penumpang berpeluang untuk menonton pelbagai siaran televisyen ketika berada
dalam perjalanan mereka dan menjadikan perjalanan lebih menarik. Perkara ini
haruslah diperluaskan dalam pengangkutan awam yang lain seperti Komuter dan LRT
untuk menarik lebih banyak penumpang menaiki pengangkutan awam. Selain
menghiburkan para penumpang ketika dalam perjalanan, siaran televisyen juga
mampu menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat dengan
menyiarkan rancangan cinta akan negara, rancangan yang mengimbas kembali
detik-detik bersejarah di negara kita dan sebagainya. Kemudahan seperti alat
pendingin udara juga perlu dipertingkatkan bagi menjadikan penumpang berasa
lebih selesa apabila menaiki pengangkutan tersebut. Kemudahan-kemudahan
sampingan seperti ini pasti akan dapat meningkatkan bilangan penumpang
pengangkutan awam kerana orang ramai boleh mendapatkan perkhidmatan yang
berkualiti dengan banyaran yang minimum. Manisfestasinya, langkah memasang
televisyen memang dapat menarik perhatian para penumpang untuk menaiki
pengangkutan awam.
Kesimpulannya, pengangkutan awam banyak membawa kemaslahatan kepada
masyarakat di negara kita seperti dapat mengurangkan kesesakan dan kemalangan,
mengurangkan pencemaran udara, menjimatkankan masa malah mengurangkan kos
kehidupan kita sehari-hari. Oleh itu, sebagai pengguna jalan raya yang bijak,
kita perlulah menyahut seruan kerajaan agar menggunakan pengangkutan awam
sebagai kaedah untuk bergerak dari satu destinasi ke satu destinasi yang lain.
Kita juga berharap agar dengan langkah-langkah yang telah dan sedang
dilaksanakan ini maka pengangkutan awam di negara kita akan menjadi lebih maju
setanding dengan pengangkutan awam di negara-negara lain seperti Jepun, Amerika
Syarikat dan Australia.
6 ulasan:
Terbaiklah ayat dia.
Assalamualaikum.. Saya nak tanya jika tajuk tulis 'orang ramai' tetapi saya gantikan'masyarakat'dalam karangan saya...boleh x?
Waalaikumsalam, jika tak salah saya soalan di atas bermaksud subjek soalan memerlukan calon menulis contohnya kepentingan membaca dalam kalangan orang ramai dan yang anda tulis kepentingan membaca dalam kalangan masyarakat. Pada hakikatnya, masyarakat merupakan sekelompok orang yang tinggal disesuatu kawasan. Oleh sebab itu penggunaan orang ramai dan masyarakat tidak menimbulkan banyak perbezaan. Insya-Allah.
nampak mcm pjg je ni brapa patah perkataan?
Nampak macam panjang sangat.
Memang lojik ini karangan😘😘
Catat Ulasan