LANGKAH PERTAMA:-
MEMILIH PENGENALAN YANG SESUAI.
ANTARA CADANGAN PENGENALAN:-
1. Pengenalan jenis berita.
2. Pengenalan jenis
definisi.
3. Pengenalan jenis
statistik.
4. Pengenalan jenis
situasi.
Pengenalan Jenis Berita:-
PETALING JAYA – PLUS Expressways Berhad (PLUS) membelanjakan
RM13 juta untuk memasang semula peralatan yang rosak akibat perbuatan
vandalisme di sepanjang lebuh raya itu pada tahun lepas.Ketua Pegawai
Operasinya, Nik Airina Nik Jaffar berkata, lebih 5,000 kes vandalisme yang
dilaporkan kepada pihaknya dalam tempoh tersebut.Katanya, antara kemudahan yang
dirosakkan ialah pagar sebanyak 4,332 kes, perabot (825 kes), kecurian kabel
telefon kecemasan (42 kes), kecurian penutup longkang (50 kes) serta kemudahan tandas
(107 kes). Akhbar Berita Harian bertarikh 26 Mac 2010 di atas
mengambarkan keadaan vandalisme yang menyebabkan kerugian kepada pengendali
lebuh raya Malaysia. Justeru, apakah langkah yang boleh dilakukan untuk
mengatasi masalah berkenaan.
Pengenalan Jenis Stastitik: ( Ubah Suai daripada Berita di
atas )
Ketua Pegawai PLUS Expressways Berhad (PLUS), Nik Airina Nik
Jaffar berkata, lebih 5,000 kes vandalisme yang dilaporkan kepada pihaknya pada
tahun 2009. Statistik vandalisme yang dicatatkan melibatkan perbuatan
merosakkan pagar sebanyak 4,332 kes, perabot (825 kes), kecurian kabel telefon
kecemasan (42 kes), kecurian penutup longkang (50 kes) serta kemudahan tandas
(107 kes). Siapakah yang akan menanggung kerugian akibat perbuatan yang tidak
bertanggungjawab ini? Jawapannya, sudah pasti pengendali rebuh raya berkenaan
dan juga pengguna jalan raya sendiri. Justeru, apakah langkah yang boleh
dilakukan untuk mengatasi masalah berkenaan.
Pengenalan jenis definisi:-
Gejala vandalisme dalam
kalngan remaja semakin menjadi-jadi di negara kita. Hal ini kerana,
golongan remaja mudah terpengaruh dengan sesuatu gejala atau budaya yang tidak
sihat terutamanya gejala vandalisme. Maksud vandalisme menurut kamus dewan ialah
satu bentuk jenayah di sisi moral dan undang-undang negara. Sebarang perbuatan
seperti menconteng, mengotori, atau merosakkan harta benda awam dianggap
sebagai vandalisme. Vandalisme juga dikenali sebagai gejala laku musnah iaitu
tabiat seseorang membinasakan harta benda awam dan juga harta benda orang lain.
Perkataan vandalisme ini berasal daripada nama sebuah puak di Eropah yang
dikenali sebagai Vandal. Kebiasaannya, gejala vandalisme ini dianggap sebagai
satu bentuk jenayah, tetapi pada keadaan tertentu vandalisme ini juga merupakan
satu bentuk jenayah ritual yang dilakukan oleh golongan manusia yang tidak puas
hati terhadap keadaan masyarakat. Motif kejadian vandalisme biasanya terletak
pada aspek emosi. Vandalisme ini dianggap sebagai suatu cara untuk melepaskan
geram atau pun cara untuk menghilangkan kebosanan semata-mata. Walaupun mereka
dianggap ringan, tetapi masyarakat awam dan terutamanya kerajaan terpaksa
menanggung kerugian yang besar akibat daripada vandalisme tersebut. Oleh sebab
itu, setiap ahli masyarakat dan kerajaan perlu mengatasi masalah vandalisme
yang banyak mendatangkan kerugian kepada negara. Persoalannya, bagaimanakah
caranya untuk mengatasi masalah vandalisme dalam kalangan masyarakat terutama
melibatkan golongan remaja di negara kita?
Pengenalan
Jenis Situasi:-
Perbuatan yang merosakkan
segala benda awam merupakan vandalisme.Di Malaysia pelbagai kemudahan diberikan
oleh kerajaan untuk keselesaan rakyat tetapi malangnya kebanyakan
daripada kemudahan awam yang disediakan ini tekah dirosakkan oleh mereka yang
tidak bertanggungjawab Bayangkan sikap remaja yang tidak bertanggungjawab
melakukan perkara sedemikian tanpa memikirkan kesannya kepada masyarakat yang
memerlukan kemudahan awam berkenaan. Berita di muka akhbar dan
berita televisyen sering melaporkan mangsa terkorban dalam kebakaran
ataupun mati akibat kemalangan jalan raya kerana tidak sempat untuk mendapat
rawatan di hospital. Salah satu faktor yang menyebabkan kejadian di atas
berlaku adalah vandalisme. Telepon awam yang sudah dirosakkan menyebabkan kita
tidak dapat membuat panggilan untuk mendapatkan bantuan perubatan, serta paip
yang sudah dirosakkan menyebabkan bomba tidak boleh mendapat bekalan air untuk
memadamkan api dan akhirnya membawa kepada berlakunya tragedi. Apa akan jadi, jika mangsa
yang terlibat merupakan "darah daging" remaja yang melakukan
vandalisme berkenaan? Oleh sebab itu, setiap ahli masyarakat dan kerajaan perlu
mengatasi masalah vandalisme yang banyak mendatangkan kerugian kepada negara.
Persoalannya, apakah langkah-langkah untuk membanteras masalah vandalisme dalam
kalangan masyarakat?
Cadangan Pengembangan Isi
Dalam
konteks mengatasi masalah vandalisme , ibu bapalah ialah orang perlu
memainkan peranan penting membanteras masalah sosial ini. Didikan agama dan
nilai moral yang sempurna haruslah ditanam dalam jiwa anak-anak mereka semenjak
kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ibu bapa perlu
mendidik anak-anak mereka supaya menghargai harta benda awam yang terdapat di
kawasan tempat tinggal mereka mahupun di tempat lain. Selain itu, mereka harus
memantau aktiviti-aktiviti yang biasa dilakukan oleh anak-anak mereka dan
mengetahui latar belakang rakan-rakan anak mereka. Sekiranya mereka mendapati
anak-anak mereka terlibat dalam gejala vandalisme ini, tindakan sewajarnya
harus dilakukan. Hal ini termasuklah dengan memberi amaran tegas kepada
anak-anak mereka untuk mereka tidak mengulangi perbuatan sedemikian kerana
boleh menyusahkan masyarakat. Tindakan ini memang sesuai dengan kata
orang-orang tua,“Sayangkan anak, tangan-tangankan”. Seyogia, dengan
tindakan sebegini masalah vandalisme tidak akan menjadi fobia sehingga
merencat kehidupan masyarakat untuk menjalani kehidupan secara lebih kondusif. Tegasnya,
ibu bapa merupakan orang yang paling penting membanteras gejala vandalisme
dalam kalangan remaja.
Di
samping itu, masyarakat tidak harus berpeluk tubuh apabila gejala vandalisme
‘menjalar’ dengan berleluasa di kawasan perumahan dan mereka perlu prihatin
terhadap masalah sosial tersebut . Perbuatan seperti menconteng dinding
bangunan, merosakkan telefon awam, buaian di taman permainan dan tong sampah
awam wajar diambil perhatian. Pemimpin masyarakat di sesebuah
kawasan taman atau kawasan perumahan perlu mengadakan mesyuarat
dengan ibu bapa tentang gejala itu dan mengenakan tindakan seperti denda
berupa bayaran kepada ibu bapa yang didapati anaknya terlibat dalam salah laku
ini. Kesannya, ibu bapa akan menjadi lebih peka terhadap tindak-tanduk
anak-anak mereka. Konsep “menjaga tepi kain” perlu ditanam dalam kalangan
masyarakat agar masalah yang merugikan negara ini dapat dibanteras dengan
sebaik-baiknya. Jelaslah, masyarakat perlu berperanan untuk mengatasi masalah
sosial remaja ini. Sikap seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk
masing-masing perlu dibuang dalam persepsi kehidupan masyarakat. Sekiranya
masyarakat mempunyai kesedaran akan masalah vandalisme sudah pasti kehidupan
masarakat akan sentiasa sejahtera dan kondusif. Sebaliknya masyarakat yang
tidak ambil penduli masalah vandalism terutama melibatkan anak-anak mereka
sidah pasti masyarakat di kawasan perumahan akan sentiasa huru-hara
Di
samping itu, pihak sekolah patut melaksanakan peraturan sekolah secara lebih
tegas terhadap pelajar. Mereka harus mendenda pelajar yang melakukan vandalisme
di dalam kawasan sekolah. Antara perbuatan vandalisme yang dikesan dilakukan
oleh pelajar dan merugikan warga sekolah seperti memusnahkan kemudahan tandas
dengan memasuk atau menyampakkan benda-benda yang tidak sepatutnya ke dalam
lubang tandas, merosakkan telefon awam, menconteng mural, memusnahkan pasu-pasu
bunga, dan pelbagai lagi. Pelajar yang terlibat dengan gejala vandalisme perlu
dikenakan penalti atau denda yang berat
tanpa amaran seperti hukuman gantung sekolah. Tindakan ini dapat menginsafkan
pelajar yang terlibat dan mampu menjadi pengajaran kepada pelajar-pelajar yang
lain. Pihak sekolah juga harus mengenepikan sikap pilih kasih semasa mengenakan
tindakan terhadap pelajar yang terlibat dengan vandalisme. Langkah ini bukan
sahaja mampu menangani masalah vandalisme, tetapi turut dapat mengurangkan
masalah-masalah disiplin yang lain. Sekiranya pengurusan sekolah cakna akan
gejala vandalisme dalam kalangan pelajar, sudah pasti harta benda awam yang ada
di sekolah tidak akan musnah begitu sahaja. Malah dengan keberadaan kemudahan
awam berkenaan pelajar akan dapat belajar dengan lebih kondusif. Kesimpulannya,
pihak sekolah patut melaksanakan peraturan sekolah secara lebih tegas terhadap
pelajar yang terlibat dalam gejala vandalisme.
Selain
itu, pihak kerajaan perlu mengadakan kempen-kempen untuk memerangi gejala
vandalisme. Pihak kerajaan boleh menyebarkan idea tersebut melalui stesen
televisyen dan radio tempatan untuk menangani gejala yang semakin ‘membarahi’
negara ini. Kerajaan juga perlu mengenakan bayaran kompaun yang setimpal kepada
sesiapa yang didapati melakukan sebarang aktiviti yang melibatkan kerosakan
harta benda awam. Individu yang didapati bersalah melakukan perbuatan laku
musnah ini perlulah melakukan kerja-kerja kebajikan kepada masyarakat seperti
menyapu sampah dan membersihkan tandas awam dan taman-taman permainan.
Natijahnya, sudah pasti gejala vandalisme akan dapat diatasi dengan penguatkuasaan
undang-undang yang tegas oleh pihak berwajib. Tegasnya, pihak kerajaan perlu
mengadakan kempen-kempen untuk memerangi gejala vandalisme sebelum penyakit
sosial ini merebak menjadi barah.
Kesimpulannya,
semua pihak perlu berganding bahu dan mengerah keringat untuk bersama-sama
memerangi gejala vandalisme ini. Walaupun isu ini dilihat tidaklah terlalu kronik, tetapi ingatlah bahawa vandalisme dapat memberi impak yang besar kepada negara dan juga kepada kehidupan masyarakat yang dahagakan hidup secara kondusif.
Sekiranya semua kemudahan awam yang disediakan oleh pihak kerajaan tidak boleh digunakan atau diconteng dan dimusnahkan, maka
di manakah kita hendak meletakkan air muka kita. Imej negara yang bersih hanya
akan tinggal kenangan sahaja. Ayuhlah kita bertindak segera untuk ‘memerangi’
gejala ini dan ingatlah , ‘jangan sudah terhantuk barulah terngadah’.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan