Khamis, 24 Mac 2022

KARANGAN RESPON TERBUKA DOMAIN PENDIDIKAN " PERANAN IBU BAPA DALAM MENGGALAKKAN ANAK-ANAK MEMBACA " KERTAS BAHASA MELAYU 1 BAHAGIAN B

 

 

Program Si cilik Membaca diadakan bertujuan memupuk budaya membaca dalam kalangan kanak-kanak, di samping menggalakkan mereka mengisi masa pada musim PKP ini dengan aktiviti berfaedah. Program ini adalah anjuran Wanita IKRAM Johor (Unit IKRAM Junior) dengan kerjasama Yayasan IKRAM Malaysia (YIM) dan IMAN ELC. Sebanyak 100 set buku-buku bacaan disediakan untuk anak-anak daripada 100 keluarga terpilih. Agihan sumbangan buku untuk fasa pertama diadakan secara ‘drive thru’ di perkarangan Kompleks IKRAM Johor, Taman Universiti. Seramai 50 keluarga santunan IKRAM Kawasan Iskandar Puteri, Pulai dan Skudai telah terpilih sebagai penerima pada kali ini.

Sumber dipetik dan diubahsuai daripada

artikel ‘Program Cilik Membaca’ dalam Yayasan

Ikram Malaysia, 6 Ogos 2021.

 

Petikan di atas berkaitan Program galakan membaca yang difokuskan kepada golongan kanak-kanak yang dianjurkan oleh Wanita IKRAM Johor dengan Kerjasama Yayasan IKRAM Malaysia dan IMAN ELC.

 

Nyatakan usaha-usaha yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk memastikan program galakan membaca dalam kalangan kanak-kanak menjadi kenyataan.

Membaca jambatan ilmu, begitulah ungkapan yang sering menjadi halwa telinga apabila menjelaskan kepentingan membaca. Sememangnya amalan membaca itu menjadi tali yang menghubungkan seseorang dengan ilmu pengetahuan. Membaca dapat menambahkan ilmu dan keyakinan seseorang untuk berhadapan dengan dunia realiti. Namun begitu, amat menyedihkan apabila kajian yang dibuat menunjukkan majoriti masyarakat Malaysia hanya membaca tiga buah buku sahaja setahun. Amalan membaca sepatutnya menjadi budaya dalam lapisan masyarakat tanpa mengira agama ataupun bangsa seseorang. Oleh itu, dalam merealisasi hasrat murni ini, peranan ibu bapa sangat ditagih. Persoalannya , apakah peranan ibu bapa dalam usaha memupuk minat membaca dalam kalangan anak-anak ?

          Ibu bapa merupakan suri teladan utama kepada anak-anak. Ibu bapa mesti mendidik dan menanam minat membaca dalam kalangan anak-anak sejak mereka kecil lagi bak kata peribahasa Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Untuk itu, ibu bapa hendaklah menerapkan amalan membaca dalam kehidupan anak-anak seharian. Ibu bapa hendaklah membudayakan amalan mulia ini di hadapan anak-anak di samping mengajak mereka membaca bersama-sama. Tindakan segelintir ibu bapa yang selalu membacakan buku cerita kepada anak-anak kecil mereka sebelum tidur pada waktu malam wajar dipuji kerana amalan ini tanpa disedari boleh memupuk minat membaca dalam kalangan kanak-kanak. Tegasnya, ibu bapa perlu mendidik dan menanam minat membaca kepada anak-anak mereka.

            Ibu bapa haruslah bersedia melabur wang ringgit dengan membeli bahan bacaan yang mencukupi untuk anak-anak. Walaupun pelaburan ini tidak menampakkan keuntungan dalam jangka masa pendek, namun dalam jangka masa panjang pelaburan ini cukup menguntungkan. Secara tidak langsung, tindakan ini seolah-olah menjadi serampang dua mata dalam usaha melahirkan anak-anak yang cemerlang. Bahan bacaan yang boleh menjadi pilihan ibu bapa untuk tatapan anak-anak ialah bahan bacaan ilmiah dan majalah seperti Asuh, e-Baca, Kawan dan sebagainya. Selain itu, ibu bapa boleh membeli akhbar perdana setiap hari seperti akhbar Berita Harian dan Utusan Malaysia supaya anak-anak dapat membaca berita utama setiap hari sebagai persediaan untuk menjawab soalan karangan bahagian A dan B. Seelok-eloknya, ibu bapa melanggan surat khabar harian dan majalah-majalah seperti ini pada setiap bulan.

            Untuk menanam minat membaca dalam kalangan anak-anak, ibu bapa juga sewajarnya menyediakan ruang yang selesa di rumah sebagai tempat membaca. Bagi yang berkemampuan, mereka boleh menyediakan sebuah bilik yang dilengkapi dengan kerusi dan meja yang selesa serta pendingin hawa. Bilik yang kondusif seperti ini mampu mencetus minat yang lebih baik kepada anak-anak untuk membaca. Mereka juga boleh belajar dan mengulang kaji pelajaran di bilik ini. Ibu bapa yang kurang berkemampuan pula boleh menyediakan satu sudut atau bilik khas yang jauh daripada ruang menonton televisyen agar tumpuan anak-anak ketika membaca tidak akan terganggu. Dengan adanya bilik atau tempat khusus untuk membaca ini dan ditambah pula dengan susulan buku yang pelbagai genre di dalam bilik tersebut akan melahirkan suasana seperti sebuah perpustakaan di rumah sendiri yang mampu menarik minat semua orang untuk membaca.

         Akhir sekali, ibu bapa dapat menggalakkan anak-anak membaca dengan memberi hadiah dan ganjaran. Hadiah dan ganjaran mungkin dalam bentuk barangan atau wang ringgit. Ganjaran yang dijanjikan ini akan memberi motivasi dan galakan kepada anak-anak dan seterusnya menjadi tarikan untuk mereka membaca. Anak-anak di minta membaca buku atau bahan bacaan lain sebanyak mungkin dalam tempoh sebulan.Mereka perlu bersaing antara adik-beradik untuk mendapatkan ganjaran yang dijanjikan oleh ibu bapa. Persaingan ini sangat sihat kerana mereka akan memdapat pelbagai ilmu dan maklumat yang buku yang di baca di samping hadiah yang bakal diberikan oleh ibu bapa mereka.

           Kesimpulannya, budaya membaca banyak mendatangkan manfaat. Sehubungan dengan itu, ibu bapa perlu proaktif dalam usaha menggalakkan anak-anak membaca. Walaupun sesibuk mana, ibu bapa perlu meluangkan sedikit masa untuk menemani  dan membaca bersama-sama dengan anak. Peribahasa Melayu ada mengatakan bapa borek anak rintik memberi gambaran kepada umum bahawa anak-anak akan mengikut semua tindakan yang dilakukan oleh ibu bapa mereka. Jadi, ibu bapa hendaklah menjadikan amalan mulia ini sebagai ikutan anak-anak.

 

 

 

 

 

 

 

 

Ahad, 20 Mac 2022

KARANGAN RESPON TERBUKA DOMAIN AWAM " ISU MENJAGA KELESTARIAN ALAM SEKITAR " KERTAS BAHASA MELAYU 1 BAHAGIAN B

 

Kini,        Kini, isu kelestarian alam sekitar sering diperkatakan oleh masyarakat. Jelaskan langkah-langkah yang patut kita lakukan untuk menjaga kelestarian alam sekitar di negara kita,

          Sejak kebelakangan ini, pembangunan tanpa limitasi kian pesat berlaku di negara kita terutama untuk menyesuaikan perkembangan alaf globalisasi kini. Namun, kemajuan dalam sektor perindustrian telah dikecapi hari ini sedikit tercalar impak daripada sikap manusia yang tidak bertanggungjawab. Adakah kita ingin membiarkan alam sekitar terjejas semata-mata ingin mengejar kemajuan kerana mencegah lebih baik daripada  mengubati. Persoalannya, sebagai ahli masyarakat yang bertanggungjawab apakah langkah-langkah positif untuk kita lakukan untuk menangani masalah berkenaan?


          Salah satu langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah kebersihan alam sekitar adalah dengan mengurangkan penggunaan bahan kimia kerana bahan kimia akan mendatangkan pencemaran. Hal ini jelas akan mendatangkan impak dalam jangka masa yang panjang kepada alam sekitar. Perkara yang dimaksudkan ialah penggunaan racun serangga dan penghawa dingin merupakan salah satu kesan yang paling ketara dan serius. Akibatnya, penipisan lapisan ozon dan air bawah tanah oleh kluoroflurokarbon (CFC) amat bahaya kepada masyarakat di Malaysia. Oleh itu, penggunaan bahan ini perlu dikawalkan oleh kerajaan dan pihak swasta supaya dapat menjaga alam sekitar yang dicipta oleh Tuhan. Tegasnya, mengurangkan penggunaan bahan kimia akan dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar.


          Selain itu, kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang alam sekitar yang menyeluruh. Hal ini demikian, boleh membantu menjaga alam sekitar kita dengan lebih efektif. Jika kita lihat pada hari ini, berapakah kilang-kilang yang telah dibina oleh kerajaan mematuhi piawaian kebersihan yang telah ditetapkan? Di sini saya memberi contoh, pelepasan asap kilang dan pembuang sisa toksik ke dalam sungai mahupun laut secara terbuka. Implikasi daripada tindakan ini, undang-undang harus diperketatkan lagi oleh pihak berkuasa agar dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar. Oleh sebab itu, kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang alam sekitar yang menyeluruh untuk mengelakkan kudis menjadi tokak.

 


          Dalam pada itu, kitar semula yang diperkenalkan oleh kerajaan perlu diambil perhatian kerana mampu menjaga kelestarian alam sekitar. Bahan-bahan buangan boleh diproses semula untuk digunakan sekali lagi dan kita boleh mengklasifikasikan bahan-bahan yang tidak diperlukan di dalam tong-tong kitar semula yang telah disediakan. Sebagai contoh, bahan buangan boleh diproseskan menjadi baja nutrien bagi menghindarkan pembaziran dan surat khabar boleh dijadikan sebagai tisu. Melalui cara ini, sumber bahan terpakai boleh digunakan semula dan sudah pasti dapat menjimatkan kos untuk melupuskannya demi kebersihan alam sekitar  kerana ingat sebelum kena dan berjimat sebelum habis.


          Di samping itu, kebersihan alam sekitar boleh diselenggara melalui kempen kesedaran sivik supaya rakyat dapat menjaga kelestarian alam sekitar. Melalui kempen kesedaran ini, masyarakat ditiup kesedaran untuk menjaga kebersihan alam sekitar. Dengan ini, sedikit demi sedikit masalah dan hal ini dapat membendung dan memastikan bahawa kualiti kebersihan alam sekitar senantiasa bersih dan terjaga. Oleh sebab itu, kempen kesedaran ini dapat melahirkan rakyat yang sedar akan kepentingan alam sekitar kerana bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.


          Kesimpulannya, setiap anggota masyarakat perlu bekerjasama dan memainkan peranan untuk mengekalkan kebersihan alam sekitar. Kita tidak sepatutnya meletakkan masalah ini diatas bahu kerajaan dengan semata-matanya. Kerjasama yang erat antara rakyat Malaysia dengan kerajaan tentunya akan lebih bermakna dan hasilnya kelak akan memuaskan hati semua orang. Sinonim dengan slogan negara “ Negara Bersih, Rakyat Sihat

 

(492 patah perkataan)

 

KEPENTINGAN PEMILIHAN JENIS KARANGAN UNTUK MENGHASILKAN PENGENALAN YANG EFEKTIF DAN MENARIK

 

Karangan boleh dimulai dengan penulisan jenis karangan tertentu. Oleh sebab itu pelajar boleh memilih jenis-jenis karangan seperti di bawah:-

JENIS-JENIS PENGENALAN KARANGAN:-

           1.            Pengenalan jenis umum.

2.             Pengenalan jenis pendapat dan kata-kata pemimpin

3.             Pengenalan jenis definisi.

4.             Pengenalan jenis sejarah.

5.             Pengenalan jenis lagu.

6.             Pengenalan jenis puisi.

7.             Pengenalan jenis iklan.

8.             Pengenalan jenis cerita.

9.             Pengenalan jenis fakta.

10.          Pengenalan jenis cerita

11.          Pengenalan jenis persoalan.

 

1.   Penulisan pengenalan jenis umum memerlukan pelajar menulis lima jenis ayat iaitu        

      a) Ayat tema                 b)   ayat rangsangan      c) frasa menarik    

     d) Unsur KBAT            e)   ayat arahan.

 

         Ayat tema : Merujuk kepada soalan karangan.

 

      Ayat rangsangan  ialah ayat yang berfungsi untuk merangsang pembaca untuk membaca karangan tersebut seterusnya dan meninggalkan kesan yang bermakna kepada pembaca atau pemeriksa. Justeru, dalam penulisan perenggan pengenalan jenis umum ini pelajar perlu mampu menulis ayat-ayat yang menarik, merujuk kepada tema berdasarkan soalan karangan dan isu yang dikaitkan seelok-eloknya berkaitan isu semasa yang hendak dikaitkan secara umum. Sebaliknya, jika ayat yang dibina tidak merangsang minat pembaca, situasi ini akan menyebabkan pengenalan anda biasa sahaja dan tidak ada ciri keistimewaan untuk memikat pembaca atau pemeriksa untuk menentukan slot markah sama ada markah cemerlang, kepujian, baik, memuaskan, kurang memuaskan dan pencapaian minimum.

     Frasa menarik : merujuk kepada peribahasa/ hadis/ maksud ayat Al Quran/puisi/ kata-kata pemimpin/ stastitik dan sebagainya.

      Unsur KBAT:  Kesan dan akibat.

     Ayat arahan pula bermaksud ayat yang menjawab kata kunci soalan karangan yang ditugaskan. Melalui ayat arahan ini pembaca atau pemeriksa sudah tahu isi yang ingin anda tulis atau garap dalam penulisan seterusnya. Kebiasaannya ayat arahan ditulis pada bahagian akhir perenggan pengenalan.

** Perenggan pengenalan cemerlang dan sesuai dengan tahap pelajar SPM, bilangan ayat dalam perenggan pengenalan mesti mengandungi lima atau enam ayat.

 

Contoh soalan:

Kerajaan telah berusaha untuk membanteras gejala rasuah, namun amalan yang berakar umbi dalam kalangan masyarakat ini masih wujud. Pada pendapat anda, mengapakah masalah rasuah perlu dibendung?

Contoh

Kebelakangan ini, kes rasuah semakin bertambah dan nampaknya sukar dibanteras kerana melibatkan pegawai kerajaan dan swasta, ahli politik, dan orang awam. (AR1) Keadaan ini membimbangkan kita kerana jika dibiarkan, sudah tentu perkara ini akan menjadi seperti api di dalam sekam. (AR2) Fenomena ini sekali gus akan melahirkan masyarakat yang tiada integriti, dan boleh merosakkan masyarakat dan ekonomi negara.(AR3) Bahkan juga, isu rasuah boleh menyebabakan sesebuah kerajaan yang kukuh menjadi lemah, dan tidak dipercayai oleh msyarakat. [ AR4 ] Sejarah telah menunjukkan isu rasuah meruntuhkan sesebuah kerajaan seperti yang berlaku di  negara Jepun,  dan Thailand. [ AR 4 ] [ Oleh sebab itu, semua pihak samada ada kerajaan mahupun masyarakat sesebuah Negara harus berusaha untuk membanteras gejala rasuah kerana rasuah mendatangkan pelbagai masalah kepada masyarakat, ekonomi, dan maruah negara. ( AA)

 

Contoh soalan 2.

Di negara kita, kes kemalangan jalan raya berlaku hampir setiap hari. Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengatasi kes kemalangan jalan raya.

Hampir setiap hari media masa sama ada media elektronik mahupun media cetak menyiarkan berita tentang kemalangan jalan raya. ( AR1) Pada musim-musim perayaan terutamanya, banyak pengguna jalan raya kehilangan nyawa atau mengalami kecacatan anggota akibat terlibat dalam kemalangan. (AR2)  Dari segi stastik pula, kadar kemalangan jalan raya di negara kita kadar kemalangan yang tertinggi di dunia. (AR3) Menurut stastitik bagi tempoh perayaan Hari Raya Aidilfitri 2015, sebanyak 20,458 kemalangan yang melibatkan 330 kematian telah direkodkan oleh Polis Di Raja Malaysia (Stastitik)Justeru, stastitik berkenaan merupakan kejutan yang menakutkan kita sebagai masyarakat Malaysia. ( AR4) Oleh itu, pihak berkuasa seperti Polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan perlu mengambil langkah drastik dan berkesan untuk mengatasi masalah ini. (AA)

Dalam jawapan contoh pengenalan di atas ( AR1 ) ialah ayat rangsangan 1, (AR2) ayat rangsangan 2, (AR3) ayat rangsangan 3,  (Ayat Contoh Statistik ) dan (AA) ayat arahan.

 

2. Pengenalan jenis definisi.

Isu penderaan kanak-kanak masih lagi berlaku walaupun negara kita sudah mencapai kemajuan yang pesat. Bincangkan punca-punca yang menyebabkan kes ini sentiasa berlaku dan berulang.


“Dera” bermaksud pukulan dengan rotan, tali pinggang, atau alat-alat lain sebagai hukuman. “Mendera” bermaksud memukul dengan menggunakan alat-alat yang dinyatakan tadi. “Penderaan” pula bermaksud melakukan perbuatan mendera. Sebenarnya penderaan terbahagi kepada dua jenis iaitu penderaan berbentuk fizikal dan penderaan berbentuk mental. Bedasarkan keratin akhbar Utusan Malaysia bertarikh 15 April 2016, Sebanyak 1,531 kes penderaan kanak-kanak telah dilaporkan di seluruh negara dengan 46 daripadanya melibatkan kematian sejak 2011 sehingga Mac 2016.
Berdasarkan kajian, banyak faktor penyebab berlakunya gejalaini berlaku terutamanya kepada kanak-kanak.

 

3. Pengenalan jenis pendapat pemimpin.

    Kepentingan bahasa Inggeris kepada rakyat dan negara. Bincangkan.

Tun Dr. Mahathir pernah menyatakan bahawa kita tidak akan mencapai kemajuan yang cepat jika kita tidak menumpukan perhatian dalam penguasaan bahasa Inggeris. Beliau mengatakan bahawa kebanyakan ilmu yang terdapat dalam dunia ini terungkap dalam bahasa Inggeris. Oleh itu, kita mestilah memberikan penekanan terhadap penggunaan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan kita. Menurut beliau bahasa Inggeris banyak kepentingan atau kebaikannya, sama ada kepada rakyat mahupun negara.

 

 

4. Pengenalan jenis suasana atau situasi.

Jiran anda telah ditimpa kemalangan ngeri kerana rumah tertimbus oleh runtuhan batu. Gambarkan keadaan dan suasana pada masa itu.

Apabila saya sampai di tempat kejadian itu, saya terdengar jeritan manusia dari celah-celah rekahan batu. Selain itu, tangisan bayi dan kanak-kanak jelas kedengaran dari sebuah bilik yang berdekatan dengan runtuhan batu tersebut. Pada ketika itu, pasukan penyelamat masih belum tiba lagi. Saya menjadi gelabah kerana buntu untuk melakukan sesuatu tindakan. Tambahan pula. tiada alat yang boleh saya gunakan untuk membantu saya menyelamatkan mangsa. Namun begitu saya menggagahkan semangat dan mencuba untuk melakukan sesuatu supaya mangsa yang berada di bawah runtuhan batu itu dapat diselamatkan.

 

 

 

5. Pengenalan jenis persoalan.

Akhir-akhir ini, kejadian kemalangan di jalan raya berlaku hampir setiap hari. Pada pendapat anda, apakah faktor-faktor yang menyebabkan kemalangan ini berlaku?


Tahukah anda bahawa hampir setiap hari ada sahaja kemalangan di jalan raya yang dilaporkan di media massa? Siapakah yang patut disalahkan, penggunaan jalan raya atau pihak kerajaan? Persoalannya, apakah faktor-faktor yang menyebabkan kemalangan ini berlaku?

 

  6. Pengenalan jenis sejarah.

Bincangkan punca-punca yang menyebabkan mutu sukan bola sepak di negara kita merosot.



Pada tahun 1972, pasukan bola sepak negara kita telah berjaya melayakkan diri dalam pertandingan bola sepak Sukan Olimpik di Munich, Jerman. Kejayaan ini diulang pada tahun 1980 apabila pasukan kita layak menyertai Sukan Olimpik di Moscow, Rusia. Pada akhir tahun 1970-an dan awal tahun 1980-an pula, keupayaan pasukan bola sepak negara kira setanding dengan keupayaan pasukan bola sepak Korea Selatan. Namun demikian, apakah punca-punca yang menyebabkan mutu sukan bola sepak negara kita sekarang ini begitu jauh merosot atau ketinggalan berbanding dengan negara-negara lain?

 

7.  Pengenalan jenis berita .

Sistem pengangkutan di negara ini telah mengalami perubahan yang amat ketara. Berbanding dengan dua puluh tahun yang lalu, kini pelbagai jenis sistem pengangkutan moden telah disediakan bagi kemudahan para pengguna.

Berikan pendapat anda tentang sistem pengangkutan moden di negara ini.


‘Kerajaan galak mohon permit teksi eksekutif’. Demikian tajuk berita yang terpapar di muka 11 akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 17 Jun 2007 yang lalu. Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi selepas beliau merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Berjasa Negeri Sembilan Berhad kali ke-9 di Seremban. Teksi eksekutif merupakan sistem pengangkutan awam yang menggunakan teksi yang lebih besar dan selesa, tetapi tambangnya lebih tinggi berbanding dengan teksi bajet. Penggunaan teksi eksekutif dicadangkan apabila usia kenderaan sedia ada mencapai tempoh tujuh tahun. Selain teksi eksekutif, terdapat beberapa jenis sistem pengangkutan moden di negara ini, termasuklah monorel, keretapi LRT dan lain-lain lagi.

 

 8.  Pengenalan jenis peribahasa.

Peribahasa ”jiran sepakat membawa berkat” sangat tepat digunakan sebelum ini oleh masyarakat di kawasan luar bandar dalam tradisi bermasyarakat. Bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar pula, budaya ini semakin pupus sekiranya tiada usaha untuk terus memupuknya.
Huraikan pendapat anda tentang usaha-usaha memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.

‘Jiran sepakat membawa berkat’. Ungkapan indah ini mengandungi maksud yang amat mendalam. Hidup bermasyarakat pada era globalisasi ini sering meletakkan konsep kejiranan bukan di sisi paling utama. Senario ini menyebabkan kedapatan jiran yang tidak mengetahui bahawa tetangga mereka sedang mengalami masalah, malah musibah sekalipun. Ada antara mereka yang kehairanan serta terkejut apabila dimaklumkan bahawa jiran sebelah rumah sudah berulat setelah menjadi mangsa pembunuhan oleh penjenayah. Seandainya hidup sesama jiran mengamalkan konsep pemuafakatan, sudah barang pasti pelbagai faedah diperoleh masyarakat. Justeru, kejadian yang menyedihkan seperti peristiwa di atas tidak akan berlaku dalam kalangan masyarakat.  Hal ini tentu menggenapi maksud peribahasa yang terungkap di awal perenggan
 ini.

 

9.   Pengenalan jenis dialog.     

      Ceritakan sebuah karangan yang berkait dengan peribahasa air yang dicincang tidak  akan putus.

 

“Kataku pergi! Pergi!!” pekik Kassim.

“Pergi kataku!” kataku lagi.

“Mengapa mesti aku pergi?” balas Aminah, isteri Kassim sambil menangis teresak-esak menahan kesakitan.

“Bukankah ini rumahku juga?” tambahnya lagi. Mata kirinya yang lebam kerana dipukul sebelum ini sudah tidak boleh dibuka lagi. Namun, Aminah sedar, sekeras-keras batu akan lembut juga apabila terkena titisan air. Aminah sedar akan sifat Pak Karim suaminya yang kerap membuat keputusan terburu-buru tanpa usul periksa . Aminah juga sedar, sikap pemarah Pak Karim pada hari itu sungguh berbeza. Kemungkinan juga,suaminya mempunyai masalah pada waktu tersebut. Aminah tetap sabar dan terus mendiamkan diri selepas itu.

       Hatinya berkata-kata, “ Sabar separuh daripada iman, jika aku terus melawan tindakaku  ibarat api dengan minyak akan terus menyala.”

 

 

 10.  Pengenalan jenis puisi.

Anda telah dipilih mewakili kelas dalam pertandingan menulis esei sempena
Minggu Keusahawanan yang dianjurkan oleh Persatuan Ekonomi sekolah anda. Tajuk esei yang ditetapkan ialah “Faedah Berjimat Cermat”.
Tulis esei anda itu selengkapnya.

Tikar pucuk tikar mengkuang,
Alas nikah raja Melayu;
Ikan busuk jangan dibuang,
Buat perencah si daun kayu. 

Pantun warisan di atas mengingatkan kita supaya tidak membuang ikan yang sudah busuk. Sebaliknya, suri rumah yang kreatif seharusnya memanfaatkan ikan busuk itu untuk dijadikan hidangan yang istimewa. Dengan sentuhan yang bijak, ditambah pula dengan pelbagai ramuan termasuk ulam-ulaman, ikan busuk itu akan menjadi makanan yang enak untuk dinikmati. Demikian, maksud secara literal pantun empat kerat di atas. Secara tersiratnya, pantun tersebut mengingatkan kita agar sentiasa berjimat-cermat dalam kehidupan amnya, dan perbelanjaan seharian khususnya. Tambahan pula, agama Islam sendiri melarang umatnya bersikap boros lantaran pemboros ialah sahabat syaitan.

 

 

11.  Pengenalan jenis lagu.

Pelbagai langkah telah diambil oleh pihak kerajaan untuk memajukan sektor pertanian di samping meningkatkan taraf hidup golongan petani.
Tulis sebuah rencana tentang sumbangan sektor pertanian terhadap ekonomi negara untuk dimuatkan dalam akhbar tempatan.

Burung yang berkicau
Air mengalir tenang
Sejuk mata memandang
Damai mempesonakan
Padi melambai-lambai
Gadis di tepi bendang
Walau panas membahang
Tetap manis tersenyum riang 

 

Lagu ’Desa Tercinta’ dendangan Nora yang dikategorikan dalam genre muzik irama Malaysia ini sangat popular sekitar tahun 2000 yang lalu. Ilustrasi di dalam lagu tersebut menunjukkan betapa harmoni hubungan antara alam dengan insan. Lebih jauh lagi, lagu itu berusaha memberikan gambaran tentang keindahan sebuah kampung tradisional di negara kita. Kampung tersebut masih mengekalkan sektor pertanian, khususnya penanaman padi sebagai sumber utama pendapatan penduduknya. Walau bagaimanapun, gambaran seumpama itu hanya indah dan terdapat di beberapa perkampungan di negara kita, sedangkan desa yang lainnya sudah dicalar oleh projek pembangunan yang menggila. Di sisi yang lain, sektor pertanian sesungguhnya masih amat diperlukan untuk terus membangunkan negara. Lantaran itu, apakah langkah-langkah proaktif yang wajar dilaksanakan bagi memajukan sektor pertanian di negara ini?

 

 

 

12.  Pengenalan Jenis petikan Hadis dan Al Quran.

Tangungjawab pelajar menumpukan pelajaran amat penting kerana hanya pendidikan mampu mengubah kehidupan keluarga dan diri mereka kelak. Bincangkan.

Allah berfirman dalam Surah Al-“Asr, “ Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” Pengertian Surah Asr ini amat bermakna kepada seorang pelajar, serta tanggungjawab mereka sebagai seorang pelajar dan tanggungjawab mereka sebagai seorang anak kepada kedua-dua ibu bapa mereka. Pelajar perlu belajar bersungguh dan berjaya dalam pelajaran untuk memastikan mereka mampu mengubah kehidupan keluarga dan untuk kebahagian kehidupan mereka pada masa mendatang. Justeru, sebagai seorang pelajar, mereka perlu tidak mengabaikan tanggung jawab mereka sebagai seorang pelajar.

 

           Apabila kita merujuk, dan meneliti setiap pengenalan di atas, pengenalan-pengenalan berkenaan mempunyai kekuatan dan  impaknya tersendiri kepada pembaca atau kepada pemeriksa. Namun,keberkesanan pengenalan bergantung kepada kebijaksanaan pelajar semasa memilih dan menentukan supaya pengenalan berkenaan efektif dan sesuai berdasarkan tema atau soalan yang dikemukan semasa peperiksaan.

Isnin, 14 Mac 2022

KARANGAN RESPON TERBUKA DOMAIN AWAM KERTAS BAHASA MELAYU 1 BAHAGIAN B

 

Karangan Respon Terbuka Domain Awam ( Kerajaan, Swasta, Masyarakat dan Keluarga )

Pandemik Covid-19 telah mencatatkan kes kematian terkini iaitu seramai 32 ribu orang di Malaysia. Apakah cara yang dapat menangani penyakit berjangkit di negara kita?

Dasawarsa ini, isu penularan penyakit berjangkit menjadi tajuk hangat dalam akhbar harian utama dan isu yang menjadi polemik dalam masyarakat sehingga ada yang trauma dengan penyakit berjangkit ini. Negara kita sedang mengalami serangan penularan penyakit berjangkit Covid-19 dan telah mencatatkan kes kematian seramai 32 ribu orang. Sebelum ini, negara kita juga telah diduga dengan serangan Penyakit Selesema Burung yang juga dikenali sebagai H5N1 juga pada 2007 dan Selesema Babi atau dikenali sebagai H1N1 pada tahun 2009. Oleh itu, langkah bijak perlu diambil bagi membendung masalah yang tiada kesudahan ini kerana cegah sebelum parah sebelum kudis menjadi tokak. Persoalannya, apakah cara yang perlu dilakukan oleh pelbagai pihak bagi menangani masalah penyakit berjangkit ini?

Antara langkah yang signifikan dalam usaha mengawal penularan penyakit berjangkit adalah dengan memastikan penjagaan kesihatan secara sistematik menjadi keutamaan dalam kalangan masyarakat. Kementerian Kesihatan Malaysia telah menyarankan kita agar mencuci tangan, memakai pelitup muka, dan melakukan penjarakan sosial. Kaedah ini telah berjaya memberi kesedaran kepada masyarakat supaya mematuhi Prosedur Tetap Operasi (PTO) yang telah dikeluarkan oleh kerajaan. Sebagai contoh, peniaga mematuhi syarat jumlah pelanggan yang boleh berada di dalam premis dengan mengikut Prosedur Tetap Operasi. Dengan cara ini, kerajaan dapat mengawal penyakit berjangkit tersebut daripada merebak.

Dalam isu yang sama, masyarakat juga hendaklah meningkatkan imunisasi diri mereka. Masyarakat hendaklah mengambil kesempatan untuk melakukan senaman, riadah atau aktiviti yang mengeluarkan peluh pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan. Hal ini bertujuan untuk memastikan tubuh badan kita berada dalam keadaan sihat dan terhindar daripada penyakit. Dengan cara ini masyarakat dapat memiliki kekuatan dalaman terutama kekuatan imunisasi badan, kekuatan fikiran dan perasaan serta kekuatan fizikal bagi menghadapi penularan penyakit berjangkit yang masih belum ketemu titik pengakhiran. Secara tidak langsung penjagaan kesihatan kendiri menjadi benteng utama pertahanan diri.

Dari sudut lain pula, pihak berkuasa hendaklah mengambil tindakan tegas dengan mengetatkan syarat kemasukan pendatang asing dari luar negara. Sama ada mereka datang ke Malaysia sebagai pelancong atau sebagai pekerja, Jabatan Imigresen hendaklah melakukan saringan kesihatan terhadap mereka. Banyak kes jangkitan penyakit berjangkit dibawa oleh pendatang asing. Sebagai contoh, kes COVID-19 yang berlaku di Napoh adalah disebabkan oleh pendatang asing yang tidak melakukan kuarantin diri sehingga wujudnya kluster Sivangangga. Kes ini menjadi bukti bahawa pendatang asing menjadi ejen pembawa penyakit berjangkit ke negara Malaysia. Oleh itu, kerajaan perlu bertindak segera dengan menutup semua pintu masuk negara bagi membendung masalah ini daripada berlaku.

Dalam konteks yang sama berkaitan isu penguatkuasaan undang-undang, kerajaan hendaklah mengambil tindakan tegas dengan mengenakan hukuman berat terhadap individu atau syarikat yang masih berdegil tidak mematuhi Prosedur Tetap Operasi. Mereka hendaklah dikenakan denda yang besar dan hukuman yang berat agar memberi keinsafan kepada pesalah dan orang lain. Sebagai contoh, denda sebanyak seribu ringgit dikenakan terhadap pesalah yang melanggar Prosedur Tetap Operasi dan mereka yang masih berdegil melanggar PKP, akan dikenakan hukuman penjara di bawah Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1998 dan Akta 342.

Secara keseluruhannya, pelbagai langkah drastik dan efektif telah diambil oleh semua pihak bagi memutuskan rantaian penyakit berjangkit ini. Dalam hal ini, semua lapisan masyarakat tanpa mengira warna kulit, agama dan kaum hendaklah bersatu hati dan mengetepikan segala persengketaan yang disebabkan isu-isu politik dan sosial demi mencari satu titik persamaan bagi membendung wabak Covid-19 ini.