Manfaat-manfaat yang diperoleh
sekiranya kitar semula menjadi amalan dalam kehidupan seharian.
Amalan
kitar semula memberikan keuntungan kepada pelbagai pihak sekiranya dilakukan
secara kolektif.
Bincangkan
manfaat-manfaat yang diperoleh sekiranya kitar semula menjadi amalan dalam
kehidupan seharian.
“Kitar Semula,
Fikir Dulu Sebelum Buang” begitulah bunyi laungan slogan yang sering terpapar
dan terpampang di mana-mana sahaja yang menuntut kerjasama dan sokongan
pelbagai pihak dalam menyuburkan amalan kitar semula di negara yang tercinta
ini. Dalam menyingkap tabir alaf baharu dan dalam menongkah arus globalisasi
yang pantas bertolak bagai belut diketil ekor ini, hampir saban hari mauduk
tentang kepentingan mempraktikkan amalan kitar semula kepada semua strata
masyarakat sering dibincangkan melalui media massa arus perdana di negara kita.
Kes pencemaran alam sekitar semakin melonjak dan tidak pernah surut dari
setahun ke setahun. Lebih ruwet lagi kes-kes ini acap kali mendatangkan
kesusahan kepada semua pihak. Senario ini amat menyedihkan kita memandangkan
kita sedang memacu arus kemodenan dengan menghamparkan landasan keimanan Apa
yang merisaukan kita ialah generasi muda kini sering mengabaikan aspek
kebersihan dan tidak membudayakan amalan kitar semula kerana tidak mengetahui
akan kemaslahatan amalan ini dalam kehidupan seharian. Oleh, itu formula penyelesaian
segera untuk menyuburkan amalan kitar semula dalam kalangan masyarakat Malaysia
perlu difikirkan dan pendekatan yang efektif perlu diimplementasikan sebelum
nasi menjadi bubur. Persoalannya ialah apakah faedah-faedah apabila menjadikan
kitar semula sebagai etos dalam kalangan masyarakat di negara kita? Segala
persoalan yang mewarnai mauduk diskusi di atas wajib dikupas hingga ke akar
umbinya.
Menelusuri
perbincangan ini, salah satu faedah yang signifikan ialah ibu bapa dapat
menjimatkan wang perbelanjaan isi rumah dengan mengamalkan amalan kitar semula
barangan terpakai di rumah. Persoalan yang muncul dalam benak kita bagaimanakah
kesan sekiranya ibu bapa dapat menarik minat anak-anak untuk menjadikan amalan
ini sebahagian daripada rutin harian mereka? Pemikir tersohor dan tokoh ilmuwan
yang disegani di negara kita Profesor Diraja Ungku Aziz pernah menyatakan
bahawa rumah merupakan institusi pertama anak-anak dan ibu bapa pula merupakan
profesor pertama bagi mereka. Ibu bapa seyogialah menunjukkan kepada anak-anak
manfaat-manfaat yang diperoleh sekiranya mereka mengamalkan amalan kitar semula
di rumah. Negara menaruh harapan yang menggunung kepada ibu bapa untuk menjadi
suri teladan bagi melakar dan mewarnai potret kehidupan cemerlang anak-anak agar
generasi akan datang sedar akan kepentingan amalan kitar semula ini. Jika ibu
bapa menjadikan diri mereka sebagai rol model dalam mempraktikkan budaya kitar
semula ini di rumah maka anak-anak akan menaruh minat kepada amalan ini sejak
kecil kerana peribahasa Melayu ada menyatakan bahawa bapa borek anak rintik.
Oleh itu, ayuhlah ibu bapa marilah berkorban demi menyuburkan amalan kitar
semula dalam kalangan anak-anak daripada dilupakan sebelum padi di tangan
menjadi lalang dan ayam ditambat disambar helang. Setegas-tegasnya dinyatakan
bahawa faedah yang paling yang vital apabila menjadikan kitar semula sebagai
amalan hidup ialah ibu bapa dapat menjimatkan wang perbelanjaan isi rumah
mereka.
Selain memberi
faedah kepada ibu bapa, masyarakat juga mendapat faedah yang besar sekiranya
kitar semula menjadi budaya dalam masyarakat kita. Setiap anggota masyarakat
harus menjunjung tinggi sikap bekerjasama dan bertoleransi yang menjadi senjata
utama untuk menjayakan kempen kitar semula ini. Profesor Adam Smith seorang
pakar sosiologi dan tokoh akademik dari Universiti Harvard mentakrifkan
masyarakat sebagai komuniti manusia yang tinggal bersama-sama dan mendapat
kepentingan bersama. Persoalan yang bermain-main dalam minda kita ialah
bagaimana seluruh masyarakat Malaysia memperoleh manfaat apabila mereka
berganding bahu bantu-membantu dan bahu-membahu mewujudkan sikap cinta akan
alam sekitar dengan menyokong budaya kitar semula ibarat kata pepatah Melayu
yang terbilang ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni? Masyarakat
Malaysia dapat dikategorikan kepada dua kelompok utama yakni pertama masyarakat
yang melakukan kitar semula demi menjaga alam sekitar daripada tercemar
manakala masyarakat kedua ialah masyarakat yang pentingkan diri sendiri dan
sering mengabaikan penjagaan alam sekitar. Jika masyarakat yang mempunyai sikap
mementingkan diri sendiri dapat dikurangkan dan dihapuskan bagi menyahut slogan
yang berbunyi “Kitar Semula Tanggungjawab Bersama” pasti persekitaran di bumi
tercinta ini bersih dan terjaga. Masyarakat harus merafakkan kesyukuran
dan memanjatkan doa kepada Tuhan sekalian alam kerana dapat mendiami sebuah
negara yang aman dan sejahtera serta terhindar daripada sebarang pencemaran
alam yang teruk kerana kita sering bersatu hati untuk mengamalkan kitar semula
persis peribahasa Melayu yang berbunyi bagai aur dengan tebing. Tegasnya,
masyarakat merupakan lokomotif utama yang mendapat manfaat apabila amalan kitar
semula dalam kehidupan seharian kerana terdapat pepatah Melayu menyatakan
bahawa ‘hidup bersama menjadi tradisi bak sirih, serumpun bak serai harus
dijadikan pegangan hidup bermasyarakat di negara ini.
Banyak
kebaikan yang boleh diperoleh dengan mengitar semula, bukan sahaja mendatangkan
kebaikan kepada manusia, malahan kepada haiwan dan alam sekitar. Kamus Oxford
yakni kamus paling lengkap lagi terperinci mendefinisikan alam sekitar sebagai
benda hidup dan bukan hidup yang wujud secara semula jadi di permukaan bumi
atau sebahagian daripadanya. Alam sekitar juga boleh dipanggil flora dan fauna.
Persoalan yang bermain di minda kita ialah bagaimanakah kesan kepada alam
sekitar di negara kita jika kita dapat berganding bahu, bantu-membantu dan
bahu-membahu untuk mempraktikkan amalan kitar di negara jalur gemilang ini?
Pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar di negara kita bukan saja memberikan
keselesaan kepada masyarakat malah dapat menggamit pelancong asing untuk datang
ke bumi bertuah ini seterusnya melonjakkan nama negara sebagai destinasi yang
kaya dengan keindahan flora dan fauna. Kehadiran pelancong daripada pelbagai
negara ini bakal memulihkan ekonomi negara kerana kemajuan industri pelancongan
negara yang setaraf dengan negara lain yang kaya dengan keindahan flora dan fauna
seperti Indonesia, India, New Zealand dan sebagainya. Industri pelancongan
negara janganlah sesekali mengutamakan pembangunan bandar pelancongan seperti
taman tema permainan dengan mengabaikan keindahan alam sekitar semula jadi yang
terdapat di negara ini persis peribahasa Melayu kera di hutan disusukan, anak
di rumah mati kelaparan. Baru berkilat sudah berkilau, bulan sangkap tiga puluh
kepentingan kitar semula di negara kita bukan sahaja kepada manusia, malah alam
sekitar semula jadi turut mendapat tempiasnya seperti kata peribahasa Melayu ke
mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.
Seterusnya, masalah
kesan rumah hijau dapat dikurangkan melalui kitar semula. Menurut kajian yang
dijalankan oleh Universiti Sains Malaysia, penghasilan barang baharu daripada
bahan mentah menggunakan lebih banyak tenaga berbanding menghasilkan barang
baharu daripada barang terbuang. Persoalan yang bermain-main dalam minda
kita ialah bagaimana penghasilan barang baharu ini akan mengundang pencemaran
alam sekitar dan pemanasan global? Umum mengetahui bahawa gas-gas yang
dikeluarkan dari kilang seperti karbon monoksida , sulfur oksida dan metana
merupakan punca kesan rumah hijau sekali gus menjurus kepada pemanasan
global. Lebih ruwet lagi apabila kajian yang dilakukan oleh Universiti
Harvard mendapati suhu bumi telah meningkat dua darjah dan kadarnya berbeza
mengikut benua dan kawasan tertentu. Jika kita membandingkan negara di
seantero dunia, negara yang pesat membangun sering mengabaikan aspek penjagaan
alam sekitar dan mementingkan pembangunan ekonomi semata-mata seterusnya
membawa kepada pencemaran alam sekitar dan pemanasan suhu dunia. Impaknya,
masyarakat dunia turut menerima tempiasnya dan berhadapan dengan risiko suhu
panas yang melampau kerana pepatah Melayu ada menyatakan bahawa akibat nila
setitik rosak susu sebelanga. Tegas-setegasnya, masyarakat dunia akan mendapat
manfaat apabila amalan kitar semula dalam kehidupan seharian mereka kerana
dapat mengurangkan kesan rumah hijau.
Sebagai akhir
kalam, kitar semula juga dapat mengurangkan penggunaan bahan mentah
baharu. Kebanyakan bahan mentah diperoleh daripada sumber hutan. Misalnya,
kertas diperbuat daripada pokok dan tayar-tayar kenderaan diperbuat daripada
getah. Persoalan yang bermain-main di minda kita ialah bagaimanakah jika
sumber-sumber ini habis digunakan tanpa disimpan untuk generasi akan datang?
Data-data statistik yang sahih lagi jitu yang diajukan oleh akhbar Metro yakni
akhbar arus perdana yang mempunyai pembaca paling ramai di Malaysia melaporkan
bahawa hamper 69.7% hutan di negara kita telah digondolkan untuk tujuan
pembangunan bandar dan sebagai penggunaan bahan mentah. Jika masyarakat sedar
bahawa kawasan hutan merupakan tempat tadahan hujan dan tempat tinggal bagi
flora dan fauna yang amat berharga kepada generasi akan datang pasti mereka
akan berusaha melestarikan penggunaan alam sekitar dengan membudayakan amalan
kitar semula yang dapat mengurangkan penggunaan bahan mentah baharu. Jelaslah,
sudah terang lagi bersuluh amalan kitar semula akan menjadikan hutan terus
kekal sebagai habitat bagi flora dan fauna yang terdapat di negara ini.
Perbincangan
tentang mauduk kepentingan kitar semula telah meniti ke puncaknya maka sebagai
kesimpulan kerajaan perlulah sedar bahawa di sebalik pembangunan fizikal,
kebendaan dan infrastruktur kelas pertama tetapi masalah pencemaran alam
sekitar diabaikan sejak akhir-akhir ini. Pemimpin negara haruslah menjadi
khalifah di muka bumi Tuhan yang bertanggungjawab untuk memakmurkan ala mini
agar kita terus menyokong usaha kitar semula ini. Masyarakat perlu menyedari
bahawa amalan kitar semula telah mendatangkan banyak kemaslahatan dalam
kehidupan seharian mereka sama ada dari segi ekonomi, persekitaran dan
kesihatan. Masyarakat haruslah bersinergi dengan pelbagai pihak dalam usaha
menjayakan kempen kitar semula yang telah dijalankan oleh kerajaan agar
generasi yang akan datang akan terus cemerlang, gemilang dan terbilang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan