SELAMAT DATANG

Jumaat, 1 Mac 2013

KARANGAN BERPANDU (KEBAIKAN PEMBELAJARAN MENERUSI E-PEMBELAJARAN

Pengenalan:-
Era teknologi maklumat,  World Wide Web (WWW) telah menjadikan internet lebih mesra pengguna di mana penggunaan media grafik, animasi, teks audio dan video ke dalam laman web. Perlaksanaan E-pembelajaran mampu mengubah cara pembelajaran kerana pelajar dengan lebih mudah dapat mengakses bahan serta mempelajarinya mengikut keperluan sendiri dari segi masa teknik juga  dalam keadaan tidak formal. E-pembelajaran juga membantu perkongsian maklumat dengan lebih berkesan dengan penggunaan kaedah yang meluas digunakan di internet seperti forum, email, video dan chatting. Pengetahuan dalam e-pembelajaran juga dapat disebarkan secara serentak dimana pelajar dapat mencapai maklumat dari laman web yang berkaitan. E-pembelajaran telah diperkenalkan sebagai satu strategi baru dalam kaedah pembelajaran dan menggantikan sistem pendidikan yang lama.Jelasnya, E-pembelajaran banyak faedahnya bukan saja kepada guru, malah pelajar, dan juga masyarakat


Maklumat untuk dikogsi bersama untuk menghasilkan karangan di atas;-

 

E-Learning Kaedah Pembelajaran Yang Berkesan

komp_anak
Masyarakat lebih tertumpu kepada komputer
Ledakan IT meletus dimana-mana sepanjang masa. Tanpa mengira tempat dan waktu, evolusinya seakan-akan tidak terhenti. Mula-mula dari segi telekomunikasi, peralatan audio dan video, komputer dan sebagainya, semuanya mengalami evolusi yang begitu pantas.
Namun, IT bagi pandangan masyarakat lebih tertumpu kepada komputer jika dibandingkan dengan peranti-peranti lain seperti yang dinyatakan diatas. Ketika komputer mula-mula popular seawal dekat 80-an, penggunaanya lebih menjurus kepada permainan kanak-kanak serta kerja-kerja penaipan data di pejabat, tidak lebih daripada itu.
Di masa itu siapa yang tidak kenal dengan komputer Atari, Amstrad, CAT dan sebagainya yang menjadi kegilaan kanak-kanak memaksa ibu bapanya membeli komputer tersebut semata-mata untuk bermain PACMAN. Namun, semenjak perkakasan IT yang lain dimajukan terutamanya dalam bidang komunikasi data, komputer tidak hanya difokuskan kepada kegunaan penaipan dipejabat ataupun rekreasi sahaja tetapi dihargai lebih dari itu.
Pengkomersilan Internet
Pengkomersilan Internet, penghasilan rangkaian komunikasi data yang lebih pantas dan selamat, pengenalan LAN (Local Area Network), WAN (Wide Area Network), pemajuan teknologi penyimpanan data dari analog kedigital menyebabkan teknologi IT jauh kehadapan.


Begitu juga dengan perkakasan komputer yang semakin berteknologi tinggi serta boleh didapati dengan harga yang berpatutan. Kepesatan IT ini telah mempengaruhi iklim ataupun atmosfera kemodenan sedunia.
Semuanya tidak mahu ketinggalan. Semua sektor ingin mengetahui, mempelajari serta mengkaji apa yang boleh disumbangkan serta penyumbangan yang boleh dilakukan oleh dunia IT sendiri. Dari sektor perubatan, ekonomi, perkapalan, astronomi, hartanah, pendidikan dan sebagainya,semuanya ketika ini berlandaskan IT. Pendidikan amnya mengalami perubahan yang sangat ketara.
Bermula dengan penggunaan papan hitam tradisional disekolah, kemudian beralih kepapan putih, kemudian kealat bantuan mengajar seperti OHP dan seterusnya yang terkini pembelajaran secara on-line ataupun dalam bahasa ITnya dewasa kini e-learning. E-learning yang seakan-akan mitos 10 tahun dulu kini menjadi keperluan semenjak web mendominasi Internet.
Di Malaysia, e-learning masih lagi 'baru' kehadirannya jika dibandingkan dengan negara-negara Barat khasnya di US dimana setengah sekolah telah menjadikan ianya sebagai satu kaedah asas pembelajaran bagi menggantikan teknik-teknik pembelajaran tradisional.
E-Learning
E-learning di negara kita lebih terarah kepada pembelajaran secara jarak jauh dan on-line yang kebanyakannya hanya ditawarkan diperingkat Universiti serta kolej-kolej swasta yang menjalankan usahasama Universiti-universiti luar negara. Antara pusat pengajian tinggi tempatan yang menawarkan pembelajaran secara maya ini ialah Universiti Putra Malaysia melalui Program IDEAL ( Institut Pendidikan & Pembelajaran Jarak Jauh). Menerusi usahasama dengan syarikat tempatan Mahirnet Sdn. Bhd., UPM julung-julung kalinya menawarkan program Bacelor Komunikasi secara maya.
Walaupun yurannya kelihatan agak tinggi berbanding dengan program ijazah saluran biasa namun jika dibandingkan dengan corak pembelajarannya, ia dianggap berbaloi, dengan jadual kuliah yang fleksibel, nota dan tutorial yang boleh didapati dari Internet serta perkuliahan secara on-line. Dengan tidak disedari, ianya dapat menjimatkan kos dan masa terutamanya bagi mereka yang berkerja sepenuh masa serta tempat tinggal yang jauh daripada universiti. Dalam ertikata yang lain, melalui pembelajaran secara maya ini, tiada lagi jurang masa dan jarak yang menjadi halangan untuk belajar.
Di Amerika Syarikat  pula, terdapat beribu-ribu laman web pendidikan yang mengatakan bahawa mereka menyediakan program e-learning. Namun menurut Linda C. Joseph, penyelidik dari Columbus (Ohio) Public Schools, Konsep e-learning tidak hanya sekadar penghantaran nota-nota kuliah kepada pelajar ataupun penghantaran tugasan kepada pensyarah melalui e-mail semata-mata tetapi yang sebenarnya pengisian web tersebut mestilah dipenuhi dengan forum/perbincangan dua pihak secara komunikasi dua hala, pengorganisasian maklumat dengan lebih teratur dari segi nota kuliah, jadual, bayaran yuran, tutorial dan juga peperiksaan.Dengan menemui kriteria yang dinyatakan diatas, pembelajaran yang lebih efektif dan interaktif dapat dilaksanakan.
Di antara contoh-contoh kelas maya yang terdapat di Amerika Syarikat ialah seperti California State University yang menawarkan program sijil perguaman kepada pemohon-pemohon yang berkelulusa ijazah dan lulus dalam Carlifonia Basic Education Skills Test (CBEST). Program ini amat berguna bagi mereka yang ingin belajar dalam kadar yang segera. Program yang dipersajikan secara maya ini direkabentuk betul-betul seperti didalam bilik kuliah dimana pelajar-pelajar boleh berinteraksi dengan rakan-rakan yang lain serta profesor mereka melalui laman web.
Pada setiap hari Sabtu pula, pelajar-pelajar akan menghadiri seminar secara maya.Bagi Universiti Of Nebraska pula, e-learning melalui web lebih bersifat komersial dimana pelajar boleh memilih mana-mana kursus yang disukai untuk melengkapkan pengajiannya diperingkat sekolah tinggi ataupun diploma.
Perkembangan e-learning dinegara kita agak membanggakan kerana terdapat organisasi-organisasi besar yang tidak mementingkan komersial sebaliknya lebih menekankan kepada penyebaran ilmu pengetahuan terutamanya dikalangan pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah.
E-learning tidak hanya mencakupi pembelajaran jarak jauh secara maya malahan melibatkan 'Web Portal'. Kelebihan web portal, pendidikan ini ialah ia mempunyai bank-bank ujian, pelan pengajaran, bilik darjah maya, bahan-bahan pengajaran untuk guru, ujian untuk pelajar, dan direktori laman-laman web yang berkaitan dengan tujuan pembelajaran serta maklumat-maklumat yang berguna seperti maklumat-maklumat sekolah, kelender tahunan, aktiviti pendidikan dan sebagainya. Antara organisasi yang melibatkan diri dalam menjayakan penubuhan web portal ini ialah seperti MIMOS Berhad melalui laman webnya, www.cikgu.net.my dan juga Kumpulan Utusan yang melancarkan laman webnya, www.tutor.com.my baru-baru ini.
Cikgu.Net
Cikgu.Net (disebut Cikgu dot Net) merupakan portal pendidikan yang pertama sekali dilancarkan dinegara kita pada bulan Mac 2000. Dengan isi kandungan yang berbahasa Melayu, ia berjaya menarik ribuan pengguna yang mendaftar dengannya, dianggarkan sekurang-kurangnya lebih 120 ribu pengunjung telah pun melawat portal tersebut. Dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai perantaraannya, kesesuaiannya dengan iklim pendidikan tempatan serta aktiviti kokurikulum dapat diselaraskan.
Dengan disokong kuat oleh Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Pearson Education Malaysia, DBP serta beberapa lagi organisasi besar, sumbangan Cikgu Net terhadap pendidikan negara sememangnya tidak dapat disangkalkan lagi. Begitu juga dengan Portal Pendidikan Utusan yang mendapat sambutan hangat ketika mula-mula dilancarkan.
Secara amnya, pembelajaran jarak jauh secara maya lebih popular dinegara kita terutamanay bagi kolej-kolej dan syarikat-syarikat swasta yang menjalankan usahasama dengan universiti luar negeri dengan menawarkan program ijazah sarjana muda dan lepasan ijazah.
Antaranya ialah seperti Hartford Management Centre Sdn Bhd menawarkan program peringkat sarjana dengan usahasama University Of Newcastle, Australia, TL Management Centre Sdn Bhd yang menawarkan program ijazah sarjana muda pentadbiran perniagaan usahasama Preston University, Amerika Syarikat dan banyak lagi. Universiti maya tunggal tempatan yang menawarkan pembelajaran secara maya sepenuhnya ialah Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR). Sektor swasta dilihat sebagai lebih mengeksplorisasi penggunaan e-learning.
Platform
Bagi syarikat-syarikat antarabangsa, e-learning dijadikan platform untuk meningkatkan pengetahuan serta skil kakitangannya. IBM Corporation misalnya, menggunakan 25% daripada latihan dalamannya lebih berbentuk jarak jauh secara maya. Latihan secara maya ini merangkumi 135,000 kakitangannya diseluruh dunia. Dan pada tahun 1999, IBM Corperation telah berjaya menjimatkan kos latihan sebanyak RM760 juta (USD 200 juta). Dengan kaedah ini juga, pertukaran teknologi dan pengetahuan dapat dilakukan secara mudah dan pantas.
Mengikut laporan International Data Corporation (IDC), pada ketika ini 87% daripada kaedah latihan disektor swasta adalah secara tradisional iaitu pengajar bersemuka dengan pelajar secara berhadapan didunia nyata tetapi dengan kehadiran konsep e-learning, statistik latihan tradisional dijangka merosot kepada 74% pada tahun 2004 bagi kawasan Asia Pasifik. Menurut IDC lagi, pertumbuhan e-learning dijangka meningkat sehingga 94% diantara tahun 1999 sehingga 2004.
Namun sejauh mana keberkesanan kaedah e-learning, belum dapat ditentukan dan kajian keatasnya masih lagi dilakukan. Konsep e-learning dinegara kita masih lagi diperingakat permulaan dan memerlukan banyak pengkajian keatasnya bagi meningkatkan lagi kebolehcapaian serta keberkesanannya kepada kumpulan sasaran samaada pelajar, kakitangan syarikat mahupun pengguna-pengguna Internet dari seluruh dunia. Berdasarkan tanggapan pengurus jualan e-business IBM Corporation kawasan Asia Pasifik, Heah Kheng Lye bahawa yang menjadi penghalang kepada kemajuan e-learning bukanlah teknologinya tetapi sumber manusia, ada benarnya.
Pendekatan yang betul perlu diterapkan bagi memastikan kejayaan e-learning. Peralihan atau anjakan teknologi perlu diseimbangkan dengan peralihan pemikiran yang lebih positif. Yang lebih penting tenaga-tenaga pengajar, amnya diuniversiti mestilah bersikap positif dengan konsep ini serta menggalakkan para pelajar menggunakan kaedah ini. Seharusnya dengan adanya konsep ini, tenaga-tenaga pengajar dapat mengeksploitasinya sebaik mungkin bukannya dengan mencemburuinya.
Celik IT
Dengan disokong oleh kecanggihan sistem rangkaian seperti Internet dan Intranet serta teknologi digital, konsep e-learning seperti web portal, dan on-line jarak jauh seharusnya dimanfaatkan secara bersungguh-sungguh oleh semua pihak. Adalah diharapkan dengan adanya konsep e-learning ini, mutu pendidikan negara akan meningkat dan juga produktiviti bagi sesebuah organisasi akan bertambah baik menerusi latihan dalaman seperti IBM Corporation.
Secara tidak langsung visi negara dalam usaha menambahkan kadar celik IT sedikit sebanyak akan berjaya dalam tempoh terdekat ini. Kaedah e-learning ini seharusnya diperkenalkan secara lebih meluas bermula dari peringkat sekolah rendah bagi memupuk pelajar khasnya kanak-kanak mencintai ilmu pengetahuan disamping merangsang minat mereka untuk belajar.
Sumber Maklumat: Majalah PC

Sumber rujukan:
 http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/component/content/article/94-perisian/303-elearning-kaedah-pembelajaran-yang-berkesan.html

Definisi E-Pembelajaran:-
 
e-Pembelajaran

Menurut Rosmah, Rasidah, Nor Liza, dan Rohayu (2001), e-pembelajaran ini membolehkan pembelajaran tercanggih dilaksanakan dan membolehkan pencapaian ke atas lebih ramai pelajar tanpa mengira jarakjauh di samping membolehkan pembelajaran berlangsung secara berterusan. Oleh kerana e-pembelajaran ini adalah sistem pembelajaran yang menggunakan internet sebagai saluran (Rosmah, Rasidah, Nor Liza, dan Rohayu (2001), atau teknologi portal yang menggabungkan system data dengan system maklumat yang lain (Hartley, 2000) maka ia berupaya menyampaikan teori, metodologi dan amalan yang telah diterbitkan kepada audien yang lebih besar dan menarik kerana menurut Learnframe (2001) penggunaan media-media ini kebiasaanya mengandungi teks, animasi, grafik, audio dan video yang menarik di samping menyediakan kemudahan untuk perbincangan menerusi talian dan bantuan profersional isi pelajaran secara dalam talian.E-pembelajaran ini juga ditakrifkan sebagai pendekatan pembelajaran di mana pendidikan, latihan dan maklumat yang berstruktur disepadukan dan disampaikan oleh komputer melalui internet khususnya web, atau dari cakera keras, CD ROM, storan mudah alih berkeupayaan tinggi atau melalui sistem jaringan organisasi (Jamaludin Mohaiadin, 2000).
Rujukan:-
 http://zairiipti.blogspot.com/2008/05/apa-itu-e-pembelajaran.html

Kepentingan sebagai Pembelajaran-Jarak Jauh

E-pembelajaran, Pembelajaran Atas Talian, Pembelajaran Berasaskan Web atau
Pembelajaran Jarak Jauh: Merungkai Kekaburan Dalam Istilah Semasa.

PENGENALAN

Proses pembelajaran dan pengajaran telah mengalami banyak perubahan seiring dengan perkembangan teknologi. Definisi “e-learning”, “online learning”, “web-base Learning” atau “distance learning” ini sering kali berubah-ubah selaras dengan kemajuan teknologi pada masa kini. Ia juga sering kali di salah tafsirkan dalam iklan-iklan yang mempromosi pendidikan. Pemahaman yang jelas tentang konsep dan pendekatan yang digunakan pada istilah-istilah berkenaan adalah penting terutamanya yang terlibat di dalam kelompok pendidikan itu sendiri. Penggunaan yang tepat kepada istilah berkenaan akan mewujudkan komunikasi yang berkesan dan boleh dipercayai seperti di antara pelanggan dan pembekal peralatan pembelajaran, kumpulan teknikal yang menyediakan bahan pembelajaran dan para komuniti pengkaji.

Di dalam artikel ini ia membincangkan tentang perbezaan setiap maksud perkataan “e-learning”, “online learning”, “web-base Learning” dan “distance learning”, dari segi konteks penggunaannya, membuat tinjauan semula maksud yang sering digunakan dan mencadangkan beberapa definisi yang sesuai dalam setiap penggunaan perkataan atau ayat tersebut.

METODOLOGI

Dari segi istilah teknikal ia boleh diterjemahkan dengan pelbagai cara. Contohnya konsep “e-learning” dan “web-based learning” biasanya dikaitkan dengan proses pembelajaran dalam kaedah penggunaan “e-mail” dan laman web. Beberapa konsep yang sering digunakan dalam penulisan teknikal akan merujuk dengan teliti dan melihat penggunaannya dengan lebih meluas serta telah diterima umum. Definisi ‘distance learning’ atau pembelajaran jarak jauh telah dikemukakan oleh Keegan (1986) dan Garrison & Shale (1987). Manakala Khan (2001) dan Hall (1997) membuat perhubungan di antara “web-based learning” dengan teknologi “web browser” yang sering kali dikaitkan dengan penggunaan internet dan intranet.

Terdapat juga dalam penulisan teknikal, menggunakan maksud yang berlainan daripada kebiasaan yang digunakan. Seperti di dalam sesetengah penulisan menggunakan perkataan “e-learning” yang membawa maksud sebarang pengajaran dan pembelajaran yang menggunakan rangkaian elektronik untuk menyampaikan isi kandungan, interaksi atau pemudah cara. Internet, Intranet, satelit, tape audio/ video, TV interaktif dan CD ROM adalah sebahagian media elektronik yang dimaksudkan di dalam kategori ini.

Bagi penulis artikel ini, mereka akan memberi pengertian kepada istilah-istilah berkenaan melibatkan dua kaedah yang akan saling melengkapi. Ia akan berdasarkan maksud setiap perkataan dan maksud yang berkaitan dengan konsep ayat yang dibentuk. Seperti untuk “online learning”, penulis akan meneliti maksud perkataan “online” itu sendiri dan perkataan “learning” serta maksud lain yang berkaitan seperti
"online documentation”, "online service”, dan "online help”. Sebagai tambahan mereka akan merujuk pakar dalam penulisan tentang penggunaan sebenar bagi kaedah dan cadangan definisi yang akan di buat. Dua sumber ini akan digabungkan untuk melihat perbezaan dan pertindihan di antara konsep-konsep tersebut.

DEFINISI

Secara ringkasnya definisi “e-learning” yang dikemukakan oleh penulis biasanya dikaitkan dengan aktiviti yang melibat penggunaan komputer dan rangkaian yang interaktif.
“Web-based learning” pula dikaitkan dengan pembelajaran berasaskan “Web browser” termasuklah bahan lain yang telah dipakejkan pada CD-ROM atau media lain.
Bagi “online learning” biasanya bahan pembelajaran yang boleh diakses terus melaluikomputer sama ada daripada internet atau pun yang telah dimasukkan pada program di komputer.
“Distance learning” melibatkan interaksi jarak jauh di antara pelajar dengan tenaga pengajar menggunakan bidang penyiaran seperti tayangan video secara langsung.

Setiap konsep yang telah dinyatakan, perkara utamanya adalah menerangkan tentang cara aktiviti pembelajaran dan pengajaran dilakukan. Penggunaan secara insentif sesuatu bentuk keadaan adalah perlu bagi menerangkan sifat sesuatu aktiviti pembelajaran dan pengajaran itu. Penggunaan yang tidak menyeluruh tentang sesuatu perkara itu tidak mencukupi untuk mengiktiraf sebagai salah satu konsep pembelajaran di atas. Contohnya seorang pensyarah meminta pelajar “e-mail” tugasannya setelah memberi kuliah di dalam kelas, tidak cukup untuk kita katakan ia sebagai suatu “distance learning”.


PERBINCANGAN DALAM ARTIKEL

Menurut penulis, definisi “e-learning” datang daripada konsep penggunaan “e-mail”. “E-mail” merujuk kepada aktiviti penghantaran “mail” melalui komputer dan rangkaian. Dalam keadaan yang sama “e-learning” adalah aktiviti pembelajaran yang melibatkan penggunaan komputer dan rangkaian.
“Web-based learning” melibatkan aktiviti penggunaan laman web dan proses pembelajaran serta bahan disampaikan dalam format Web. Ia boleh disamakan dengan penggunaan buku dalam keadaan sebenar di dalam kelas sama ada buku tersebut adalah novel, laporan atau buku teks. Penulis berpendapat perkara ini tidak boleh disamakan dengan memuat turun bahan daripada sesuatu laman web kerana isi kandungan laman web tersebut tidak digunakan bagi tujuan pembelajaran. Sesetengah “web-based learning” menawarkan penggunaan “CD-ROM” sebagai alternatif mengakses bahan menerusi aplikasi web secara “offline”. Ia biasa digunakan bagi institusi pengajian yang menghadapi masalah dengan talian internet.

“Online learning” biasanya dikaitkan dengan konsep “online help”, “online documentation”, dan “online services” yang menyediakan suasana pembelajaran pada persekitaran komputer. Sering kali “online learning” merujuk kepada bahan pembelajaran yang boleh diakses terus daripada aplikasi teras seperti “online help”. Penggunaan rangkaian tidak semestinya diperlukan dan konsep “online learning” adalah sebelum pembangunan laman web itu sendiri dan juga sebelum bahan pembelajaran dimuatkan pada rangkaian mahu pun di internet.

Konsep “distance learning” adalah antara kaedah paling awal digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Ia tidak semestinya menggunakan rangkaian atau pun komputer. Ia melibatkan interaksi jarak jauh di antara sekumpulan pelajar dengan tenaga pengajar dengan menggunakan kaedah penyiaran secara langsung menerusi televisyen atau pun disebut sidang video. Dalam konteks penggunaan internet pula “distance learning” ia boleh termasuk di dalam perbualan secara “online” (chatting) dan perbincangan menerusi “e-mail”. Walau bagaimanapun, penulis berpendapat “web-based learning”, tidak boleh dianggap sebagai “distance learning” meskipun tenaga pengajar membekalkan bahan dari jauh menerusi internet kepada pelajarnya. Begitu juga dengan penghantaran bahan pembelajaran melalui pos ataupun kapal, ia masih lagi tidak boleh dianggap sebagai “distance learning”.


RUMUSAN ARTIKEL

Meskipun “e-learning”, “online learning”, “web-base Learning” dan “distance learning”, mempunyai perkaitan antara satu sama lain, namun masih terdapat perbezaan yang ketara sebagaimana yang telah dinyatakan oleh penulis di dalam artikel ini. Kegagalan dalam mengenal pasti perbezaan di antara konsep yang telah diperbincangkan oleh penulis, mungkin akan menyebabkan salah faham dalam pembangunan jenis pembelajaran, komunikasi di antara kelompok ataupun komuniti pendidikan serta kesilapan dalam memberi makna oleh penulis-penulis teknikal. Merujuk kepada setiap konsep yang telah diperbincangkan, bukan sekadar dapat memberikan maklumat yang tepat tentang sesuatu jenis konsep pembelajaran, ia juga akan memberi tindakan yang betul dalam menyediakan penerangan tentang cabaran, potensi dan nilai bagi konsep pembelajaran “e-learning”, “online learning”, “web-base learning” dan “distance learning”.
 Rujukan:-
http://sifoobestari.blogspot.com/2009/08/ulasan-artikel-e-learning.html

Kebaikan e-pembelajaran di sekolah:-
 

Kebaikan e-pembelajaran dalam bidang pendidikan



Melalui konsep e-pembelajaran atau e-learning yang diperkenalkan ini, guru dan murid tidak perlu lagi berinteraksi secara empat mata. Sebaliknya, proses berinteraksi berupaya dilakukan pada jarak yang tiada sempadan dan kekangan, iaitu hanya perlu menggunakan komputer dan internet sebagai medium.
Sungguhpun demikian, pengaplikasian e-pembelajaran tidak bermaksud proses pembelajaran akan menjadi lebih longgar dan kurang pengawasan hingga boleh menjejaskan kualiti pendidikan yang disampaikan. Sebaliknya, e-pembelajaran merangkum suatu program yang mapan, bukan saja mampu mengekalkan kualiti pendidikan, malah mampu menjadi lebih terancang dan fleksibel jika diukur dan aspek penilaian prestasi pelajaran dan pembelajaran yang dilangsungkan.
Konsep ini merupakan enjin e-pembelajaran mengikut masa sebenar yang dibangunkan bagi mewujudkan kitaran pembelajaran yang menyamai proses pengajaran dan pembelajaran secara fizikal, seperti yang diamalkan di sekolah. Pada masa yang sama, konsep e-pembelajaran dapat mengenal pasti kelemahan setiap pelajar juga. Proses mengenal pasti kelemahan dan kekuatan pelajar ini dapat dilaksanakan melalui latihan dan profil pelbagai cumber pembelajaran. Malah, melalui latihan yang dijalankan melalui talian, enjin ini mampu membuat penilaian terhadap kemampuan para pelajar dalam setiap komponen dalam satu-satu mata pelajaran.
Misalnya, dalam pelajaran Bahasa Inggeris, para pelajar akan diberi ujian dalam setiap komponen yang terdapat dalam subjek tersebut, termasuklah aspek tatabahasa, pemahaman, dan sebagainya. Seterusnya, keputusan semua ujian tersebut akan dianalisis secara automatik untuk mengenal pasti kekuatan dan kelemahan setiap pelajar.
Pada masa yang sama, enjin ini juga turut menyediakan kemudahan kepada para guru untuk mengubahsuai sistem sedia ada mengikut kesesuaian proses pengajaran mereka. Misalnya, guru dapat menyesuaikan beberapa pilihan jawapan yng betul dan dapat diterima untuk satu-satu soalan berbentuk subjektif. Beberapa kata kunci tertentu akan dimasukkan ke dalam sistem oleh guru yang terlibat bagi membolehkan sistem tersebut menandakan jawapan yang diberikan oleh pelajar mengikut kehendak guru yang berkenaan.
Rujukan:-
 http://mazlan66.wordpress.com/2009/03/14/kebaikan-e-pembelajaran-dalam-bidang-pendidikan/

Kebaikan E-pembelajaran di sekolah:-

 E-Pembelajaran terdiri daripada semua bentuk pembelajaran secara elektronik yang disokong dengan pengajaran dan pembelajaran. Ianya wajar diistilahkan sebagai peranti pembelajaran. Pada dasarnya E-Pembelajaran merupakan rangkaian maklumat yang boleh dipindahkan terus kepada seseorang melalui talian internet, audiovideo, TV satelit  dan CD-ROM.  Aplikasi dan proses E-Pembelajaran termasuk juga pembelajaran berasaskan Web. Pembelajaran berasaskan komputer pula dibina secara maya dan fungsi digital.  E-Pembelajaran juga boleh merujuk kepada laman web pendidikan di negara kita contohnya Edu Web TV. Ianya menawarkan pakej pembelajaran, lembaran kerja dan latihan interaktif untuk murid-murid sekolah.  Antara kelebihan  E-Pembelajaran ialah ianya boleh dipelajari di mana-mana sahaja. Murid-murid boleh menyertai kelas dari mana-mana tempat di dunia, asalkan ia mempunyai sambungan komputer di internet. 

   Pelajar boleh melayari pembelajaran mereka pada bila-bila masa siang atau malam dan mempunyai akses berterusan untuk mengikuti kelas. Namun begitu banyak kelemahan E-Pembelajaran yang harus ditangani agar ia dapat diperluaskan di sekolah-sekolah negara kita.   Kebanyakan guru belum bersedia menggunakan kaedah E-Pembelajaran dan masih mengajar menggunakan kaedah ceramah serta belum mahir menggunakan kemudahan seperti video dan komputer. Oleh itu kepakaran harus dipertingkatkan dengan menyediakan kursus-kursus berkaitan di kalangan guru. Selain itu ia memerlukan masa dan kos yang tinggi terutama melibatkan perkakasan dan perisian di samping terdapat beberapa buah sekolah mempunyai kemudahan yang terhad. Pelajar terpaksa mengikut giliran untuk mengikuti pembelajaran yang berkonsepkan E-Pembelajaran menyebabkan mereka ketinggalan dan terpaksa untuk mengikuti pembelajaran yang seterusnya melalui kaedah pembelajaran yang sama. 

    Di samping itu penggunaan E-Pembelajaran harus dipantau setiap masa kerana masalah penyalahgunaan. Ini termasuk masalah kes penipuan dan peniruan kerja pelajar lain. Objektif penggunaan harus dicapai dan elakkan pelajar menggunakan E-Pembelajaran atas dasar keseronokan sahaja.. Bagi pelajar yang tidak mempunyai rangkaian internet di rumah mereka, ia akan menyukarkan pelajar untuk melihat apa-apa yang di paparkan dalam E-Pembelajaran. Sewajarnya semua pihak sentiasa harus mengenalpasti dan meyelesaikan masalah ini agar E-Pembelajaran di sekolah kita mencapai tahap yang membanggakan.
Rujukan:-
 http://gajetsekolah.blogspot.com/2011/10/apa-itu-e-pemebalajaran.html

Karangan terbaik berdasarkan E-Pembelajaran

Dalam usaha kerajaan memartabatkan sistem pendidikan agar bertaraf dunia, sistem pengajaran dan pembelajaran secara maya telah diperkenalkan di sekolah dan institusi pengajian tinggi. Bincangkan kelebihan-kelebihan pendidikan maya dan usaha-usaha untuk menggalakkan penggunaan pendidikan maya.

Pepatah ada mengatakan ‘zaman beralih, musim bertukar’,sememangnya tidak dapat dinafikan lagi pendidikan konvensional kini telah bertukar wajah. Sistem pendidikan maya telah diperkenalkan di negara kita atas usaha kerajaan untuk memartabatkan lagi sistem pendidikan kita agar bertaraf dunia. Sistem ini bertujuan untuk melonjakkan taraf pendidikan rakyat Malaysia agar setanding dengan sistem pendidikan di negara-negara maju dan juga untuk meningkatkan sistem pengajaran dan pembelajaran agar boleh diaplikasikasikan di seluruh dunia. Pendidikan maya merupakan satu bentuk pendidikan masa depan yang akan memaksimumkan penggunaan Teknologi dan Maklumat dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pendidikan maya dapat ditakrifkan sebagai sistem pengajaran dan pembelajaran yang melepasi sempadan bilik kuliah atau kelas di sekolah. Jika kita menerobosi secara terperinci tentang sisitem pendidikan maya ini, banyak kelebihan yang bakal kita dapati.
Dalam hal ini, pendidikan maya membolehkan para pelajar mengikuti tutorial tanpa perlu terikat dengan waktu pembelajaran di dalam kelas. Hal ini kerana, para pelajar dapat menghadiri mana-mana sidang dimana-mana sahaja tanpa mengira waktu. Pembelajaran secara asinkronis ini memudahkan lagi para pelajar untuk melakukan perbincangan pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja tanpa perlu duduk setempat bersama-sama. Hasilnya, lebih banyak informasi dapat digali dan pelbagai idea baru dapat ditunasi. Selain itu, sitem ini turut membuka peluang untuk para pelajar berinteraksi menggunakan internet dan juga e-mel. Hal ini secara tidak langsung dapat menjimatkan lagi masa para pelajar.
Dalam nada yang serupa, menerusi sistem pendidikan maya, para pelajar dapat menggunakan E-buku yang boleh dimuat turun secara langsung dari alam maya. E-Buku mempunyai pelbagai aplikasi. Antaranya termasuklah pemprosesan kata, hamparan data, senarai kandungan, kalendar dan sebagainya. Dengan e-buku itu, para pelajar tidak perlu membawa buku yang banyak. Penggunaan buku elektronik ini dijangka dapat mengurangkan kos bagi Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) di sekolah dalam jangka masa yang panjang. Penggunaan e-buku mampu menangani kepelbagaian masalah pelajar dalam bidang akademik di dalam sesebuah kelas. E-buku menjadi suatu wahana dengan pendekatan interpersonal antara guru dengan pelajar. Sebagai seorang pelajar, internet juga boleh dijadikan sebagai medium rujukan. Malahan, internet juga dianggap sebagai perpustakaan maya yang menyimpan khazanah ilmu pengetahuan. Maklumat yang diperoleh lebih cepat, mudah dan dapat menjimatkan masa.
Di samping itu, para pelajar terutama di peringkat pengajian tinggi tidak perlu lagi bersemuka dengan pensyarah. Sebagai contoh Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) membolehkan para pensyarah mengendalikan telesidang yang menggabungkan audio, video dan grafik dapat dilakukan di lokasi yang berbeza dengan peralatan canggih dan didengari ramai tanpa melibatkan kos yang tinggi. Malahan, konsep universiti terbuka seperti Universiti Tun Abdul Razak dapat dirancakkan lagi kewujudannya tanpa pelajar perlu bersua muka dengan pensyarah seperti masa ini. Dalam hal ini, golongan seperti suri rumah dan pesara dapat terus melanjutkan pelajaran tanpa perlu menghadirkan diri di institusi pendidikan. Hal ini secara tidak langsung dapat memanifestasikan slogan pendidikan sepanjang hayat yang digalakkan oleh kerajaan. Seterusnya, pendidikan secara maya juga dapat menjimatkan pelbagai kos kehidupan seperti penginapan dan pembelanjaan. Hal ini kerana pendidikan maya boleh dilakukan di rumah. Hal ini secara tidak langsung telah menjimatkan kos perbelanjaan dan penginapan para pelajar.
Demi melonjakkan lagi sistem pendidikan di negara kita, pelbagai usaha telah dilakukan untuk menggalakkan pendidikan maya dalam kalangan masyarakat. Antara usaha yang telah di lakukan ialah menaik taraf sekolah dan institut pengajian tinggi. Kementerian Pelajaran telah melaksanakan Pelan Induk Pembangunan dan Pendidikan (PIPP) yang bertujuan untuk menghasilkan pendidikan yang berkualiti untuk semua lapisan masyarakat.Menerusi teras yang keenam Pelan Induk Pembangunan dan Pendidikan, Kementerian Pelajaran berhasrat untuk melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan tidak kira sama ada sekolah mahupun institusi pengajian tinggi. Sebagai contoh, menerusi PIPP, sebanyak 60 buah sekolah telah dinaik taraf sebagai sekolah kluster.Skolah Kluster dapat disignifikasikan sebagai satu jenama yang diberi kepada sekolah yang dikenal pasti kecemerlangannya dalam klusternya daripada aspek pengurusan sekolah dan kemenjadian murid. Penggunaan kemudahan teknologi maklumat yang disediakan perlu diikuti oleh semua pelajar sekolah kluster. Misalnya, beberapa sekolah kluster telah mengambil beberapa langkah untuk mempraktikkan pendidikan maya dalam proses pembelajaran dan pengajaran di sekolah seperti menghantar tugasan melalui e-mel dan juga melakukan pembentangan melalui pengunaan komputer. Para pelajar juga digalakkan untuk menguasai perisian komputer seperti Microsoft Words, Microsoft Power Point dan sebagainya. Di samping itu, banyak universiti telah diiktiraf sebagai Universiti penyelidikan seperti Universiti Malaya dan juga Unversiti Sains Malaysia untuk melonjakkan lagi sistem pendidikan di negara kita.
Kesimpulannya, sememangnya pendidikan maya memberikan pelbagai kelebihan kepada seluruh lapisan masyarakat. Umum mengetahui bahawa bentuk pengaajaran dan pembelajaran yang baharu membolehkan rakyat meningkatkan kemahiran dan kelayakan akademik. Pelaksanaan sistem pendidikan maya di negara kita dapat meluaskan lagi horizon minda para pelajar. Para pelajar akan lebih terdedah dengan dunia globalisasi sekiranya pendidikan maya dilaksnakan secara menyeluruh. Walaupun usia telah meningkat ilmu pengetahuan tetap dapat dikuasai. Konsep pembelajaran sepanjang hayat menerusi pendidikan sedemikian patut dimanfaatkan oleh semua bertunjangkan pepatah ‘ sebab mutiara sebiji, lautan dalam diselami orang’. Selain itu pelbagai pihak tidak kira pihak swasta mahupun badan bukan kerajaaan (NGO) perlulah berganding bahu bersama kerajaan untuk membangunkan lagi sistem pendidikan di negara kita agar ‘duduk sama rendah, berdiri sama tinggi’ dengan negara-negara maju yang lain. 
Rujukan:-
 http://cikgujana.blogspot.com/2009/06/soalan-dalam-usaha-kerajaan.html

Antara dapatan yang boleh digunakan pelajar dan cuba cari lagi maklumat jika perlu.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan