SELAMAT DATANG

Rabu, 25 April 2012

Contoh Karangan Berpandu 4K ( Kerja Rumah Dalam Cuti )

CARA-CARA BERJIMAT CERMAT

Dasawarsa ini,  negara kita telah dilanda oleh gelombang inflasi secara global. Setiap pengguna tidak dapat melepaskan diri  daripada masalah sistem ekonomi melibatkan kenaikan harga barangan yang semakin menjadi-jadi belakangan ini. Sehubungan dengan itu, segenap masyarakat diseru supaya mengimplementasikan amalan berjimat cermat dalam rutin hidup mereka seharian untuk menghadapi  masalah berkenaan. Semua ajaran agama mengajar penganutnya agar berjimat cermat dan tidak membazir dalam kehidupan.  Allah s.w.t. menegah perbuatan boros (al-Isra’ 26) seperti yang dijelaskan dalam al-Quran yang bermaksud: Dan janganlah kamu boros terlalu boros. Filosofer  Laotze berkata, “Kehidupan membazir dan tamak akan mendorong manusia ke arah kebinasaan.” Hal ini memanifestasikan bahawa betapa pentingnya amalan berjimat cermat dalam kehidupan sehari-harian kita. Terdapat beberapa cara untuk kita berjimat cermat.

              Mari kita fokus perbincangan ini kepada cara berjimat cermat yang pertama iaitu mengurangkan perbelanjaan keluarga. Sebagai unit keluarga yang besar, setiap ahli keluarga perlu mempunyai tanggungjwab dalam mengurangkan perbelanjaan harian keluarga mereka. Ibu bapa dan anak-anak perlu saling berkerjasama untuk menjalankan tanggungjawab masing-masing kerana  setiap unit keluarga ini diibaratkan seperti sebatang pokok kerana setiap bahagian pokok perlu menjalankan peranannya untuk memastikan pertumbuhan pokok tersebut sentiasa dalam keadaan baik. Ibu bapa sebagai ketua rumah perlu menunjukkan contoh berbelanja yang baik seperti mempunyai buku penggunaan wang seharian dan mereka sentiasa merujuk buku berkenaan pada setiap bulan untuk melihat pengurusan wang mereka. Justeru, dengan cara ini mereka dapat mengawal dan merancang perbelanjaan setiap masa kerana pengguna boleh melihat rutin perbelanjaan seharian atau sepanjang bulan dan mengurangkan perbelanjaan untuk bulan seterusnya jika didapati perbelanjaan mereka berlebihan.
             Selain itu, ibu bapa juga perlu menjadi contoh kepada anak-anak dengan tidak mengamalkan sikap boros semasa berbelanja. Sebelum merancang untuk membeli barangan, ibu bapa perlu menulis barangan keperluan yang  perlu digunakan sahaja. Hal ini kerana, kita sentiasa rambang mata apabila pergi ke pusat beli belah yang sentiasa memasang perangkap dengan menawarkan harga promosi untuk mempengaruh pengguna membeli barangan mereka. Justeru dengan adanya senarai barangan yang ditulis lebih awal mereka boleh mengelakkan daripada membeli barangan yang tidak perlu dan hanya mengutamakan barangan yang perlu dibeli sahaja. Selain itu, pengguna juga perlu menilai beberapa pusat beli belah dan kemudian membuat bandingan harga barangan yang dijual. sebelum membuat pembelian. Pastikan barangan yang dibeli tersebut ditawarkan dengan harga paling istimewa kerana dengan membeli barangan yang sama dengan harga lebih murah akan membantu pengguna berjimat cermat. Contohnya, harga sebotol syampu rambut mungkin berbeza harganya daripada pusat beli belah berbeza. Tegasnya, sikap tidak boros berbelanja dan membuat pengamatan harga barangan membantu pengguna untuk berjimat cermat.

            Sebagai ibu bapa, anak-anak perlu didedahkan sikap menghargai wang yang mereka miliki sejak kecil lagi. Bak kata pepatah melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Sebagai seorang anak, mereka perlu sedar wang saku atau perbelanjaan yang diberikan oleh ibu bapa perlu dihargai. Hal ini kerana, keperluan asas mereka sudah di sediakan oleh ibu bapa dan sewajarnya mereka menyimpan lebihan wang saku yang diberikan ibu bapa untuk perbelanjaan harian atau persekolahan di dalam tabung. Sikap sebegini akan menjadi kelaziman mereka apabila sudah menjadi kebiasaan. Sebagai contoh, jika ibu bapa memberi anak mereka sebanyak RM 2.00 sehari, anak-anak perlu menambung RM 0.50 ke dalam tabung sekiranya tidak digunakan. Selain sebagai simpanan, kemungkinan apabila wang tersebut diperlukan untuk membeli buku atau keperluan yang penting wang tersebut boleh digunakan semula. Budaya begini bertepatan dengan peribahasa sediakan payung sebelum hujan. Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit, dan peribahasa ini amat bermakna sekiranya wang yang mereka kumpul secara berdisiplin akan menjadi banyak dalam tempoh yang lama. Tegasnya, sikap menghargai wang amat perlu di dedahkan kepada anak-anak semenjak mereka kecil lagi.
            Akhir sekali, berjimat cermat dapat meningkatkan tabungan sama ada anak-anak mahupun remaja. Sikap menabung ini juga perlu didedahkan kepada anak-anak kerana wang yang mereka simpan di dalam tabung boleh dimasukkan ke dalam bank. Hal ini amat penting untuk kesedaran anak-anak supaya wang simpanan mereka akan tersimpan dengan lebih selamat di dalam bank. Selain itu, wang simpanan ini boleh ditambah dari semasa ke semasa untuk kegunaan mereka pada masa akan datang. Malang tidak berbau, kemalangan dan tragedi yang tidak dijangka mungkin berlaku. Contohnya kebakaran, kemalangan jalan raya mungkin terjadi kepada mereka dan wang tabungan tersebut mungkin amat berguna untuk mereka ketika itu. Malah, kemungkinan mereka juga memerlukan wang untuk kemasukan ke universiti dan sudah tentu wang berkenaan dapat membantu mereka. Kesimpulannya, berjimat cermat dengan menabung dapat meningkat tabungan mereka.

         Tuntasnya, amalan berjimat cermat memang bermanfaat dan menjadi amalan yang mampu membantu kehidupan manusia. Justeru, bukan sahaja ibu bapa perlu membantu menyubur sikap positif ini dalam kalangan anak-anak, malah kerajaan, pihak bank swasta dan separa kerajaan serta Kementerian Pelajaran perlu mengorak langkah dan berganding bahu  agar sikap berjimat cermat menjadi budaya dan amalan masyarakat Malaysia yang berbilang etnik dan agama. Impaknya, ekonomi negara dan keawangan masyarakat akan mantap dan mampu untuk menghadapi ekonomi dunia yang sering terumbang-ambing  dan sentiasa tidak stabil. Semoga dengan situasi sedemikian rupa negara dan rakyat mampu seiring dengan pembangunan ekonomi negara maju dunia agar kita mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi bersama mereka.

    Karangan di atas sebagai contoh dan pelajar perlu kreatif mengubah suai dan   
    memastikan    karangan yang dihasilkan lebih bermutu. 

    Pastikan pengenalan anda mantap dan menarik.
    Pastikan perkembangan isi anda mengikut kaedah deduktif:-
     Ayat Isi  +  Ayat Huraian  1 + Huraian  2 + Ayat Huraian  3 + Ayat Contoh  + Ayat Penegas
     ( Selitkan frasa menarik )

   Penutup:-
   Ayat cadangan 1  + Ayat Cadangan 2  + Ayat Cadangan 3 + Ayat Cadangan 4  
   + Ayat Harapan

2 ulasan:

  1. assalamualaikum. saya bekas pelajar cikgu di smkasas. dapat jumpa sekejap je. tp sy cukup kagum dgn cikgu. betullah pepatah, "don't judge a book by its cover". hehe... sayangnya sy x sempat tadah ilmu sastera cikgu yg sy rasa luas tu. tp alhamdulillah sy still boleh follow melalui blog cikgu. terima kasih cgu.

    BalasPadam
  2. Terima kasih kerana memberi komen membina untuk saya. Namun, semua yang saya lakukan adalah untuk kemudahan para pelajar dan juga sudah menjadi tugasan dan tanggungjawab saya memastikan mereka mendapat maklumat untuk persiapan menghadapi peperiksaan. Seterusnya, saya mengharapkan mereka mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Saya juga mendokan inti sukses dalam segala lapangan yang diceburi dan mantapkan keimanan dan ketakwaan sebagai muslimah.

    BalasPadam